Artikel "Semasa" Terkini
34 Anak Asnaf Berkhatan Percuma
DUNGUN, 18 Disember - 34 orang anak-anak daripada kalangan asnaf mendapat perhatian pihak Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah untuk menyertai program khatan beramai secara percuma.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata inisiatif yang dijalankan pihak masjid tersebut sangat baik bagi membantu golongan asnaf.
"Perkara ini menjadi berita baik kepada mereka yang kurang berkemampuan, terutama bagi keluarga yang mungkin menghadapi kekangan dari sudut kewangan dalam menanggung kos berkhatan yang semakin meningkat.
"Kita semua menyedari bahawa kos berkhatan di masa kini bukan lagi perkara yang mudah dijangkau. Program ini sudah pastinya merupakan satu peluang besar kepada anak-anak. Maka, zahirkanlah rasa syukur dan terima kasih atas peluang yang diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Program Berkhatan MTAIZ.
Beliau turut merakam jutaan terima kasih kepada pihak masjid atas anjuran penuh manfaat ini.
"Saya berharap agar inisiatif seperti ini dapat terus dilaksanakan di masa depan agar lebih ramai lagi menerima manfaat ini sekaligus memberi inspirasi kepada pihak-pihak lain untuk melibatkan diri dalam usaha kemanusiaan dan keagamaan, serta mencipta lebih banyak inisiatif yang bermanfaat untuk komuniti," katanya.
18 Dec 23
207
Kerajaan Sambut Baik Kolaborasi Usahawan Terengganu-Indonesia
KUALA TERENGGANU, 18 Disember – Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama perniagaan antara usahawan Republik Indonesia dengan Terengganu yang bertujuan memasarkan produk Terengganu ke negara jiran itu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata usaha sama itu membolehkan usahawan tempatan meluaskan pasaran produk mereka hingga ke peringkat luar negara.
"Usahawan negeri Terengganu mempunyai peluang amat besar untuk menembusi pasaran perniagaan negara tersebut kerana jumlah penduduknya mencecah kira-kira 278 juta orang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menembusi Pasaran Indonesia di Hotel Paya Bunga di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah MATRADE Terengganu Zaimah Osman, Ketua Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Draman dan Raja Muda Kabaena, Wakil Kesultanan Indonesia dan Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia, Dr Yurisman Star.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata kerjasama strategik turut diadakan dengan sebuah syarikat Indonesia PT Larra World, bertindak sebagai ejen kemasukan produk usahawan Terengganu ke republik itu.
“Dengan pengalaman yang ada pada PT Larras World, lebih-lebih lagi daripada pihak MATRADE akan dapat membantu lebih ramai usahawan yang berpotensi untuk memasarkan produk mereka ke Indonesia,” ujarnya.
Di samping itu katanya Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan berperanan membantu usahawan Terengganu mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara termasuk ke republik itu.
“Saya berharap jalinan hubungan (usahawan Terengganu dan Indonesia) hari ini akan terus mekar dan mampu menyumbang kepada perkembangan keusahawanan sekali gus dapat membantu mengembangkan ekonomi negeri Terengganu,” jelasnya.
18 Dec 23
231
Kes Covid-19 Yang Mendadak, Kerajaan Tidak Laksana PKP
PUTRAJAYA, 18 Disember - Malaysia kini sedang mengalami peningkatan kes Covid-19 yang mendadak namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap situasi ini dapat diatasi tanpa diadakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkuatkan Pelan Pengurusan Covid melalui lima strategi yang berkaitan.
"Pertama, melibatkan pengesanan awal kes Covid-19 dan variasi melalui High Alert System (HIS).
“Kedua, pemantauan sentinal di seluruh negara. Ketiga, pemantauan persekitaran i-kumbahan dan pintu masuk antarabangsa.
“Selanjutnya, kita memperkasakan komuniti melalui amalan Test Report Isolate Inform Seek (TRIIS)," katanya dalam sidang media petang tadi.
Walaupun mengakui cabaran ketika ini, Menteri Kesihatan menegaskan bahawa pihaknya bersedia untuk bertindak dengan cergas dan menyeluruh bagi mengekalkan kawalan ke atas penularan virus.
Beliau menyeru rakyat untuk terus patuh kepada SOP yang telah ditetapkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan kesihatan.
18 Dec 23
103
Tasik Kenyir 'Syurga Kaki Pancing' Bertaraf Antarabangsa
HULU TERENGGANU, 18 Disember - International Moosoonn Casting Tournament (IMCT) 2023 yang bermula 15 hingga 18 Disember baru-baru ini berjaya menarik minat 250 'kaki pancing' bukan sahaja dari dalam negara, bahkan dari Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, China, Thailand dan Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, program yang telah memasuki edisi ke-14 sejak mula diperkenalkan pada tahun 2009 berjaya mengangkat imej Kenyir di persada antarabangsa.
Ujarnya, dengan kejayaan tersebut, kerajaan negeri berhasrat menyenaraikan program berkenaan di dalam kalendar pelancongan pada tahun hadapan.
"Alhamdulillah saya melihat program ini cukup berjaya walaupun penyertaan agak kurang berbanding tahun lepas tetapi ia meriah dengan acara yang melibatkan kepelbagaian segmen yang dilakukan oleh sekretariat IMCT.
"Saya melihat dengan adanya penyertaan dari luar negara ianya bertaraf antarabangsa, dan saya mencadangkan agar ia diperkasakan lagi di peringkat global bagi memperkenalkan Tasik kenyir berupaya membawa kepuasasan kepada kaki pancing di seluruh dunia," ujarnya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup International & Penyampaian Hadiah IMCT 2023, di Dapur Kenyir, di sini, hari ini.
Tambah Razali, penganjuran IMCT itu juga memberi banyak manfaat terutama kepada pengusaha 'houseboat', pemandu bot Tasik Kenyir dan juga penduduk kampung yang turut mendapat limpahan ekonomi secara langsung kesan kehadiran pengunjung ke tasik buatan itu.
Sementara itu, bagi memberi kepuasan kepada peserta, sejumlah 2,200 anak ikan lampam hasil sumbangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turut dilepaskan sebagai usaha mengalakkan pemancing meraih kemenangan, sekali gus menggalakkan perkembangan pembiakan sepesies ikan air tawar di Kenyir Geopark.
Untuk rekod, bermula IMCT 2015 hingga tahun lalu sejumlah 800,000 anak benih ikan spesies eksotik tempatan asli, termasuk Temoleh, Lampam, kelah, Jelawat, Kerandang dan Sebarau telah dilepaskan.
18 Dec 23
365
Penduduk Kawasan Risiko Banjir Perlu Peka Gelombang Seterusnya
HULU TERENGGANU, 18 Disember - Penduduk kawasan berisiko banjir perlu lebih berwaspada untuk menghadapi gelombang berikutnya kerana Terengganu masih dalam iddah banjir dan ia belum berakhir.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, mereka perlu sentiasa mengambil tahu dengan amaran semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kerana masih wujud risiko untuk gelombang banjir berulang.
"Hujan seperti ini kemungkinan berlaku lagi. Kita baru melepasi gelombang pertama dan kedua, untuk gelombang seterusnya, diminta sentiasa berwaspada. Jadikan apa yang berlaku sebagai iktibar.
"Saya menyeru orang ramai supaya membuat persiapan awal dan sekiranya air naik serta diminta berpindah, perlulah berpindah segera ke tempat yang sudah disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Agihan Bakul Makanan Petronas di PPSK FELCRA Gunung Menerong, Ajil di sini hari ini.
Berdasarkan rekod, keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa kini menurun kepada 764 orang.
Sehingga jam 12 tengahari tadi, hanya sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di tiga daerah iaitu Dungun, Marang dan Setiu yang menempatkan 169 keluarga.
18 Dec 23
283
COVID-19 : Rakyat Dinasihat Berjaga-Jaga
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah meminta rakyat negeri ini mengambil langkah pencegahan ekoran kes Covid-19 semakin meningkat.
Wan Sukairi berkata, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa terdapat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan secara global termasuk juga di beberapa negara jiran.
Katanya di Malaysia, peningkatan ini seiring dengan tren yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara-negara lain.
“Majoriti kes Covid-19 di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
“Kementerian kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambah Wan Sukairi, beliau meminta agar rakyat mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi.
Selain itu katanya, beliau menasihati supaya rakyat membuat penilaian kendiri tahap kesihatan serta tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai sekiranya bergejala.
Di samping itu katanya, orang ramai disaran sentiasa memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak terutama kepada kumpulan berisiko tinggi.
“Seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung.
“Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk terutama kepada kumpulan berisiko tinggi,” ujarnya.
Untuk rekod, pada minggu epidemiologi ke-49 (ME 49/2023), sebanyak 12,757 kes Covid-19 telah dilaporkan berbanding 6,796 kes yang dilaporkan pada ME 48/2023 (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023).
Secara keseluruhan, peratus kes kematian COVID-19 dari 25 Januari 2020 sehingga 9 Disember 2023 adalah 0.72 peratus.
18 Dec 23
349
824 Mangsa Masih Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 17 Disember – Mangsa banjir di negeri ini mencatat penurunan seramai 824 orang berbanding semalam 2,103 mangsa.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari 184 keluarga yang ditempatkan 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam tiga daerah terlibat.
Katanya, tiga daerah yang masih terjejas adalah Dungun, Marang dan Setiu.
“Setakat jam 8.00 malam, Dungun merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 595 orang daripada 151 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.
“Manakala di Marang dan Setiu pula mencatatkan seramai 179 dan 50 orang daripada 22 dan 11 keluarga yang ditempat di empat PPS dalam daerah berkenaan,”menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Jelasnya lagi, secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
17 Dec 23
166
JKM Terengganu Tambah Bekalan Makanan, Keperluan Hadapi Gelombang Banjir Seterusnya
HULU TERENGGANU, 17 Disember- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memperuntukan lebih RM1.2 juta bagi tambahan keperluan barangan makanan bagi menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri , Mazura Ngah Abdul Manan berkata, penambahan itu diberikan kepada semua 152 pengkalan hadapan di seluruh negeri sejak awal Disember baru-baru ini selepas gelombang pertama banjir di Terengganu.
"Kita sudah mengambil langkah awal dengan menyediakan segala persiapan termasuk tilam, tikar, makanan seperti sardin dan lain-lain barangan keperluan termasuk kelengkapan mandian.
“Barang-barang asas makanan tersebut dihantar bagi menambah keperluan yang telah digunakan sepanjang banjir gelombang pertama yang melanda beberapa daerah di Terengganu pada akhir November lepas.
“Bekalan tambahan tersebut yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri ini merupakan persediaan menghadapi kemungkinan hujan lebat pada akhir Disember hingga Mac 2024,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Agihan Bakul Makanan Petronas di PPSK FELCRA Gunung Menerong, Ajil di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata JKM akan menggunakan perbelanjaan darurat yang sedia ada sebanyak RM1.7 juta daripada kerajaan negeri sekiranya berlaku banjir besar dan keperluan bekalan masih tidak mengcukupi.
"Kita banyak belajar dari pengalaman lepas, oleh sebab itu persediaan ini penting supaya tidak berlaku sebarang kelewatan dalam usaha membantu mangsa bencana yang berada dalam kesusahan," ujarnya.
Sementara itu, Mazura berkata pihaknya bersedia mengkaji penggunaan kad pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mangsa banjir bagi mengelak berlaku keciciran agihan barangan keperluan sebagaimana JKM Kelantan.
"Kita akan lihat kesesuaian penggunaannya di Terengganu sama ada membantu atau tidak.Jika dapat memudahkan lagi urusan, mungkin kita akan buat pelaksanaan yang sama.
"Setakat ini kita berpuas hati dengan kaedah sedia ada yang mana kita sentiasa menambah baik sistem bantuan mangsa banjir bagi mengelakkan keciciran bantuan berlaku," katanya.
17 Dec 23
272
Tiga PPS Di Rantau Abang Ditutup
Oleh : Wan Al Affan Bassam Wan Manam
DUNGUN, 17 Disember - Tiga Pusat Pemindahan Sementara(PPS) di Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang di tutup setelah penghuninya kembali ke rumah masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata tiga PPS tersebut ialah PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan yang sebelum ini menempatkan 237 orang , PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Abang 40 mangsa dan PPS Dewan Majlis Sukan Negara(MSN) seramai 235 mangsa banjir.
"Ini menjadi tujuh PPS masih dibuka, dan kita berharap dengan cuaca panas dan tidak hujan hari serta tidak berlakunya air pasang besar malam nanti kesemua PPS akan menyusul, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang di sini petang ini.
Menurut beliau DUN Rantau Abang adalah DUN yang paling banyak PPS dibuka di Daerah Dungun untuk gelombang kedua ini.
" Banjir kali ini berikutan 'air termenung' yang berlaku, walaupun sudah tidak berlaku hujan tetapi sesetengah tempat masih dinaiki air," katanya lagi.
17 Dec 23
196
Nelayan Seberang Takir Terima 'Durian Runtuh'
KUALA NERUS, 17 Disember - Seramai 350 nelayan di Seberang Takir menerima bantuan berbentuk barang keperluan harian bagi mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi mereka.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, kehidupan nelayan yang mencurah keringat demi menyediakan sumber makanan rakyat adalah pekerjaan yang cukup mulia.
“Sebagai anak yang dibesarkan dalam keluarga nelayan, golongan ini sangat dekat di hati saya dan amat memahami jerit perit mereka tatkala tiba musim Monsoon Timur Laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketiaka berucap di Program Bantuan Nelayan Dun Seberang Takir Di Dewan Sivik Seberang Takir, Dun Seberang Takir kelmarin.
Dalam pada itu, nelayan Azhar Berahim, 42, berkata, bantuan yang diterima hari ini mengurangkan sedikit kerisauan yang difikirkan selama ini.
Menurutnya, musim tengkujuh nanti sudah pasti menyebabkan golongan nelayan tidak dapat turun ke laut selama berbulan-bulan.
“Banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi sedikit sumbangan kepada kami terutama ketika berlaku musim Monsoon Timur Laut,” katanya.
Menurut Azhar, seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali musim tengkujuh kira-kira 80 peratus nelayan akan terkesan kerana tidak dapat turun sehingga tiga bulan.
Bantuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seberang Takir, Kazan Che Mat dan Dr Alias.
Bagi nelayan veteran, Zinal Che Omar, 62, pula menyifatkan bantuan yang diberikan kepada nelayan menjelang musim tengkujuh memang cukup bermakna.
“Laut bergelora, angin kuat memang kami tak akan turun laut. Sebab itu saya gembira dan mengalu-alukan bantuan yang diterima, sekurang-kurangnya meringankan beban saya. Alhamdulilallah.
“Bukan sahaja bersyukur, malah saya gembira kerana ada pihak prihatin dengan nasib kami," katanya.
17 Dec 23
1147