Artikel "Semasa" Terkini
JPKK DUN Ajil Komited Laksana Tugas
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali
HULU TERENGGANU, 19 Disember - Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) AJIL perlu komited menjadi penggerak hasrat kerajaan dalam menyampaikan maklumat mengikut saluran yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong , Mohd Zawawi Ismail berkata , JPKK adalah orang tengah yang membantu memudahkan segala urusan di setiap kampung.
"Tujuan kita adakan majlis watikah pelantikan pengerusi JPKK DUN AJIL ini adalah untuk memperkukuhkan tanggungjawab anggota JPKK yang telah diamanatkan dengan kepercayaan secara rasmi untuk melaksanakan tugas mereka.
"Ianya melibatkan pengerusi dan ahli JPKK di DUN AJIL ini," ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Watikah Pelantikan JPKK Peringkat Dun Ajil pada malam tadi.
Turut Hadir , Ketua Penolong Pegawai Daerah , Fairul Hisyam Mat , dan diiringi oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) , Mohammad Ariff Syahdan Ab. Razak , dan Penghulu Mukim Penghulu Diman , Mohd Jefri Din Salleh.
Dalam majlis tersebut, seramai 46 orang pengerusi JPKK menerima watikah perlantikan masing-masing di Dewan Yayasan Salim , Kampung Tok Randok , Ajil .
20 Dec 23
583
‘Saya Mahu Jaga Ibu’
MARANG, 20 Disember- “Saya nak jaga ibu saya sebaik keluar dari sini,” itu tekad Adam (bukan nama sebenar), 17, salah seorang daripada 13 penghuni Asrama Akhlak (lelaki) Rusila di sini yang kini insaf atas perbuatan lalu.
Kemasukan Adam selama tiga tahun ke asrama berkenaan adalah mengikut Seksyen 46 akta Kanak-kanak 2001 yang mana terdiri daripada kanak-kanak luar kawalan dan dimohon sendiri pihak keluarga melalui mahkamah.
“Akibat kelalaian, tidak mendengar kata ibu bapa dan pengaruh rakan-rakan ketika menjejakkan kaki ke tingkatan satu menyebabkan saya berada di sini.
“Kalau ikutkan ada hikmah juga. Saya harap apa yang terjadi pada diri saya dapat memberi pengajaran kepada remaja lain untuk sentiasa mendengar nasihat ibu bapa serta tidak mementingkan diri sendiri,” katanya yang merupakan anak kelima dari tujuh beradik.
Adam ditemui pemberita di pusat berkenaan sempena Lawatan dan Sesi Ramah Mesra Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri Bersama Penghuni Asrama Akhlak Rusila, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Menurut Adam yang bercita-cita untuk menjadi anggota bomba, sepanjang berada di asrama berkenaan, banyak perkara yang dia belajar termasuk kemahiran seperti pertukangan dan kimpalan selain diajar berdikari, displin dan keagamaan.
“Saya juga bersekolah seperti biasa di sekolah berhampiran dengan dihantar oleh petugas di asrama ini setiap kali waktu pergi dan balik,” ujarnya yang masih berbaki enam bulan berada di pusat berkenaan sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.
Terdahulu, Pengetua Asrama Akhlak (lelaki) Rusila, Mohamed Abdan Ishak berkata, penghuni yang ditempatkan di asrama berkenaan diajar dengan pelbagai kemahiran dan ada yang dihantar ke sekolah.
“Mereka diberi pelbagai latihan disini antaranya kelas kemahiran asas seperti pertukangan kayu, motor mekanik, kelas komputer, kelas agama, bengkel kimpalan dan lain-lain.
“Kita ada guru yang mengajar penghuni disini dan apa yang paling membanggakan kami sebagai penjaga mereka disini adalah apabila anak-anak ini kembali menyambung pelajaran di sekolah menengah, pusat kemahiran, selain ada yang bekerja di sektor swasta sebaik pulang ke pangkuan keluarga,” ujarnya.
Katanya, beliau turut mengharapkan penghuni di asrama berkenaan dapat menangkis unsur-unsur negatif di luar sana dan berbekalkan ilmu yang dipelajari disini mereka akan menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti.
20 Dec 23
633
Tambah Baik Program Kukuh Institusi Keluarga
MARANG, 20 Disember- Kerajaan negeri akan menambah baik program sedia ada sebagai usaha memastikan institusi keluarga diperkukuh selari dengan hasrat supaya keharmonian dan nilai kasih sayang dapat dinikmati oleh setiap ahli di dalam keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat menjadi benteng kepada anak-anak dari terjerumus dengan perkara yang tidak berfaedah.
“Ini merupakan satu cabaran untuk kita. Bagaimana hendak bentuk keluarga ini supaya menjadi institusi keluarga yang mantap dan kukuh sekali gus dapat menghindar anak-anak dari terbiar dan terjebak dengan masalah sosial.
“Antara yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk program-program pasca perkahwinan seperti ‘second honeymoon’ dan sebagainya.
“Usaha-usaha pengukuhan institusi kekeluargaan ini dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain istitusi seperti sekolah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Lawatan dan Sesi Ramah Mesra Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri Bersama Penghuni Asrama Akhlak Rusila di sini, semalam.
Menurut Maliaman, pihaknya ketika ini dalam proses menubuhkan jawatankuasa tindakan sosial untuk menggabungkan semua institusi yang melibatkan sosialisasi ini dalam satu ‘task force’ kearah pembentukan masyarakat sejahtera.
Sementara itu katanya, peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak-anak.
“Kalau kita lihat, masalah sosial di kalangan remaja ini kebiasaannya berpunca daripada intitusi keluarga yang berpecah belah selain ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak.
“Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka,” ujarnya.
20 Dec 23
344
Penduduk Diminta Waspada Banjir Gelombang Ketiga
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Penduduk Terengganu diminta berwaspada dengan banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku bermula 22 hingga 26 Disember nanti susulan ramalan hujan lebat.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat susulan daripada kejadian ribut tropika Jelawat yang melanda di tenggara Filipina.
Menurutnya, hujan lebat tersebut boleh menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
"Banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini baharu saja pulih apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya pada 2 petang, semalam dan kita menjangkakan hujan lebat serta angin kencang kemungkinan dijangka berlaku mulai Jumaat ini.
"(Ia dijangka) membawa kesan agak serius, kita akan mengalami hujan yang agak 'berat' sikit, jadi kita nasihatkan orang ramai untuk berhati-hati terutama yang duduk di persisir pantai.
"Ini baru ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia, namun dalam masa sama kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut,”ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kit Bantuan Mangsa Banjir daripada Petronas di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini hari ini.
Justeru itu, Tengku Seri BIjaya Raja menasihatkan semua penduduk di kawasan terlibat dapat membuat persediaan lebih awal dan sentiasa waspada dengan amaran dikeluarkan pihak berkuasa.
"Orang ramai di sekitar kawasan yang dikeluarkan amaran dinasihatkan untuk berwaspada terutamanya penduduk yang duduk di persisiran pantai, kawasan rendah dan tempat yang kerap banjir,” katanya.
Dalam masa sama, semua jabatan dan agensi berkaitan pengurusan bencana di Terengganu terus bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam banjir gelombang ketiga nanti.
20 Dec 23
188
Petronas Sumbang 1,500 Kit Keperluan Asas Banjir
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Prihatin dengan situasi banjir yang telah melanda di Terengganu baru-baru, PETRONAS mengambil langkah proaktif membantu mangsa bencana tersebut dengan menyumbangkan 1,500 kit keperluan asas menerusi program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, setiap kit bernilai RM300 akan diberikan kepada setiap ketua keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) .
Katanya, program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023 adalah salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha membantu mangsa banjir yang terjejas.
“Setiap keluarga menerima sumbangan Pakej Prihatin merangkumi keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral.
"Saya berharap sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka berada di PPS," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan.
"Sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk kad hadiah Petronas itu disampaikan kepada Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Terengganu.
"Sejak 2019, Yayasan PETRONAS sudah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM5 juta kepada isi rumah yang terjejas oleh banjir. Sumbangan ini dijalankan setiap tahun dan disampaikan berdasarkan keperluan semasa," katanya.
20 Dec 23
191
13 Rumah Terlibat Banjir Lumpur Terima Bantuan
DUNGUN, 20 Disember - Pihak perlombongan kuari Tebing Tembah iaitu TI Properties, dan Persona Venture Sdn Bhd mengambil inisiatif memberikan bantuan kepada 13 buah rumah mangsa banjir lumpur di Tebing Tembah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihak tersebut telah menyampaikan sumbangan keperluan harian serta wang tunai kepada keluarga yang terkesan akibat bencana alam itu.
"Usaha ini diharapkan dapat membantu mereka yang kehilangan harta benda dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," katanya.
Salah satu keadaan sebuah rumah mangsa ditimpa banjir lumpur.
Terdahulu, pengusaha perlombongan kuari Tebing Tembah menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) melakukan kerja-kerja menggali kembali sistem perparitan dan membina benteng penghadang bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat daripada terjadi lagi kejadian banjir lumpur.
Masalah hakisan tanah runtuh dari bukit di kawasan itu telah menyebabkan parit di Kampung Panchor disini yang memiliki kedalaman dua meter tertimbun dan menyebabkan 13 buah rumah mangsa ditimpa musibah banjir lumpur.
Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa banjir.
"Kerjasama dan sokongan dari pihak swasta adalah penting dalam bersama-sama membantu komuniti yang terjejas oleh bencana alam.
"Selain itu, usaha ini turut mencerminkan tanggungjawab sosial korporat yang dipegang oleh syarikat-syarikat terlibat," ujarnya.
Katanya, orang ramai juga diminta untuk terus bersatu padu dan memberikan pertolongan dan sokongan kepada pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir lumpur.
19 Dec 23
188
Terengganu Fokus Jaga Rakyat Berbanding Bermain Politik
KUALA TERENGGANU, 19 Disember – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan beliau lebih mengutamakan penyelesaian kepada apa jua masalah dalam isu rakyat dan urusan pentadbiran negeri.
Justeru itu katanya, beliau tidak akan membongkar kegagalan kerajaan terdahulu atau berterusan menyalahkan pihak lain dalam isu dan urusan pentadbiran negeri apabila menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu pada penggal pertama
“Ketika ditanya oleh wartawan tentang keutamaan saya, saya ada dua pilihan iaitu sama ada merobohkan semuanya dan membina dari awal atau membuat penstrukturan semula dan melihat apa yang boleh diselamatkan.
“Saya memilih jalan yang kedua dan jalan ini memerlukan kepada melakukan sesuatu mengikut keutamaan seperti adakah memilih untuk membaiki atap dahulu atau membaiki dapur dahulu?.
“Boleh saja kami memilih untuk membongkar kegagalan kerajaan terdahulu tetapi ianya tidaklah membantu apa-apa. “Witch hunting” atau berterusan menyalahkan sesuatu pihak bukanlah jalannya. Keperluan pada masa tersebut adalah mencari penyelesaian kepada apa masalah yang ada mengikut keutamaan," katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi facebook beliau hari ini.
Justeru itu, pada penggal kedua, beliau menggesa kesemua Exco dan ketua agensi Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus mengorak langkah dengan pantas mendapatkan pelabur dan mencari pendapatan tambahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum dan royalti.
“Pada penggal kedua, saya kumpulkan semua EXCO dan ketua agensi Kerajaan Negeri dalam satu program dan memberitahu mereka untuk terus masuk ke gear tiga bukannya lagi gear satu mahupun gear dua.
“Kami perlu terus bertindak dengan mendapatkan pelabur dan mencari pendapatan tambahan kepada negeri bagi mengurangkan kebergantungan negeri kepada sumber petroleum dan royaltinya,” ujarnya lagi.
Tambah Ahmad Samsuri, pada penggal pertama, kerajaan negeri dapat mengurangkan kebergantungan dalam 3 hingga 4 peratus walaupun tidak banyak tetapi ada perubahan.
“Sekarang, kami cuba mengoptimumkan kutipan cukai dan hasil daripada sumber mineral lain bagi mendapatkan pulangan kepada kerajaan negeri.
“Kami ingin mendapatkan lebih banyak pendapatan dalam sektor inisiatif hijau seperti menjalinkan kerjasama hidrogen dengan PETRONAS,”kata beliau.
Dalam masa sama, pihaknya juga telah melawat Sarawak untuk melihat dan mempelajari mengenai inisiatif hijau untuk diimplementasi di Terengganu.
"Harapan kami juga, segala hasil usaha daripada keputusan yang diambil dapat dilihat akan datang," ujarnya.
19 Dec 23
174
Dr Sam Serah Polis Siasat Kenyataan Kontroversi Lim Kit Siang
KUALA NERUS, 19 Disember - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil langkah bagi melakukan siasatan terhadap kenyataan kontroversi yang dibuat Lim Kit Siang.
"Saya rasa pihak berkuasa melalui polis telah mengambil langkah memanggil beliau dan (melakukan) soal siasat.
"Perkara ini saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah seterusnya terutama bagi memastikan keharmonian dalam negara kita ini masih tercapai.
"Jadi sebarang suara-suara (kenyataan) yang boleh menganggu keharmonian itu, sudah tentu kita tidak mahu dengar suara-suara sedemikian," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas menghadiri Program Exclusive Meet & Greet With World Championship FIM Mini GP 2023 (Inisiatif Qabil Irfan), di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, hari ini.
Terdahulu, Veteren DAP itu mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sekatan dalam perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Dalam pada itu menyentuh mengenai jemaah menteri baharu yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan Dr Ahmad Samsuri berkata pihaknya tiada ulasan khusus untuk diberikan.
Sebaliknya, hanya merakamkan ucapan tahniah terhadap pelantikan menteri dan timbalan menteri baharu atau pun yang masih dikekalkan selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet, pada Selasa lalu.
"Saya tiada komen khusus cuma mengucapkan tahniah dan 'good luck' kepada mereka yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri yang baharu ataupun yang lama (dikekalkan)," ujarnya.
19 Dec 23
539
Terengganu Sasar Terima Kunjungan 4.5 Juta Pelancong
HULU TERENGGANU, 18 Disember - Kerajaan Terengganu menyasarkan kehadiran 4.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan selepas berjaya mencatatkan kunjungan lebih 3.5 juta pelancong tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, sasaran itu mampu dicapai apabila pertumbuhan ekonomi negara akan sedikit pulih berbanding pada tahun ini di samping kerajaan negeri telah memulakan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa.
"Saya minta di Tasik Kenyir ini kita sasarkan satu juta pengunjung, kalau semua agensi ataupun pelbagai sektor terlibat berusana memanggil (menarik) pelancong hadir ke negeri Terengganu target kita akan sampai.
"(Kerana) kita bukan hanya ada Tasik Kenyir, juga memiliki pulau, 'rainforest' yang cantik di samping kita akan rancakkan lagi dengan beberapa aktiviti yang baru (bagi) menukar persepsi dimana apabila musim tengkujuh Terengganu tidak boleh dikunjungi.
"Tetapi sekarang kita telah buktikan (Terengganu boleh dikunjungi) dengan adanya International Moosoon Casting Tournament (IMCT), di Setiu Wetland pula kita akan adakan aktiviti mandi hujan dan kita akan banyakan lagi program di bulan tengkujuh antara november hingga Disember," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas menyempurnakan Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah IMCT, di Dapur Kenyir, Tasik Kenyir, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut Razali berkata, pada tahun hadapan promosi menarik pelancong dari luar negara tidak hanya bertumpu negara Eropah sebaliknya turut menyasarkan pelancong dari Timur Tengah.
"Kita hendak ramaikan pelancong muslim datang ke negeri Terengganu kerana kita hendak tunjukkan bahawa kita mesra muslim dan mesra syariah, di samping itu kita mendapat statistik yang baru bahawa pelancong dari negara China yang beragama Islam ramai datang ke negeri ini.
"Dengan pengecualian visa yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kita sangat mengalu-alukan supaya pelancong yang mendapat pengecualian visa ini datang seberapa ramai mungkin," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi mendapat data yang lebih tepat mengenai kehadiran pelancong ke negeri ini kerajaan negeri akan bangunkan satu sistem web bermula tahun hadapan bagi mendapatkan jumlah pengunjung yang lebih tepat.
18 Dec 23
341
ADUN Sura Teliti Jalan Rosak, Sistem Perparitan Kampung
DUNGUN, 18 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, membuat tinjauan menyeluruh terhadap keadaan jalan yang rosak dan sistem perparitan yang terjejas di kawasan Dun Sura.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata beliau mendapat beberapa aduan penduduk berkenaan jalan yang berlubang serta sistem perparitan yang kurang efektif menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk di sini.
"Saya mengambil serius tentang jalan yang berlubang kesan daripada hujan yang berterus menyebabkan terjadinya lopak air di jalan yang berlubang.
"Kawasan rendah menghadapi risiko banjir disebabkan kapasiti longkang yang tidak mencukupi untuk menyalurkan air yang terus meningkat," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika membuat tinjauan di beberapa lokasi terjejas banjir semalam.
Sehubungan dengan itu, katanya, situasi tersebut menjadi lebih sukar apabila adanya projek perumahan baru menimbun tanah menyebabkan aliran air tertumpu ke kawasan perumahan rendah.
"Kita akan mencari penyelesaian segera dan kita akui cabaran dalam pembuatan longkang pada waktu ini serta kami sedang giat mengumpul maklumat dari setiap kampung, untuk menambahbaik sistem perparitan di seluruh kawasan Dun Sura ini," katanya.
18 Dec 23
224