lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Mahkamah Utama Syariah Bakal Dibina di Terengganu
Mahkamah Utama Syariah Bakal Dibina di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Kerajaan Negeri Terengganu berdasarkan belanjawan baru-baru ini telah mengumumkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah bagi membantu sistem kehakiman syariah di negeri ini. Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata sejak dahulu, Mahkamah Syariah mempunyai tiga tingkat iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. “Mana-mana kes yang didaftarkan di Mahkamah Rendah boleh dirayu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. “Manakala, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi hanya boleh dirayu di Mahkamah Rayuan sahaja,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri Kedua Tahun 2023 bertempat di Kenari Ballroom, DSA Batu Buruk Beach Resort baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Tambah Mohd Zakri, penubuhan Mahkamah Utama Syariah ini dapat menimbulkan keadilan dari segi kehakiman itu sendiri. Justeru, masyarakat boleh membuat dua kali rayuan sepertimana kes yang dimulakan di Mahkamah Rendah. “Mahkamah Utama Syariah merupakan satu perkara sangat penting bagi memastikan keadilan dan bidang kuasa dapat ditafsirkan dengan lebih jelas. “Pembinaan akan bermula pada bila-bila masa cuma kita sedang menyiapkan pindaan terhadap enakmen Mahkamah Syariah itu sendiri berkenaan penubuhannya,” katanya. Beliau berkata, setiap Mahkamah Syariah yang ditubuhkan hendaklah diwartakan dan pewartaan tersebut akan berlaku setelah penubuhan. “Semoga pada awal tahun 2024 kita mengharapkan akan dimasukkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diluluskan enakmen tersebut,” ujarnya.            
24 Dec 23
1519
Penduduk Lali Dengan Banjir
Penduduk Lali Dengan Banjir
HULU TERENGGANU, 24 Disember - Penduduk Kampung Pengkalan Ajal di sini sudah lali dengan banjir yang melanda sehingga tiga kali dalam tempoh setahun dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS). Setiap kali ditimpa musibah itu, penduduk bukan sahaja menanggung kerugian apabila banyak kelengkapan rumah dan harta benda rosak, malah terpaksa berkorban masa dan keringat membersihkan rumah. Salah seorang mangsa banjir, Roslin Mohamad, 58, berkata, saban tahun  mereka sekeluarga berdepan dengan banjir sejak dia kecil lagi. "Memang setiap kali musim tengkujuh kami menjadi penghuni setia di PPS dan pernah berlindung di sini lebih dari lima hari. "Walaupun agak memenatkan kami tidak serik untuk berpindah ke PPS kerana kami mungkin akan mengalami kesukaran jika tidak berpindah," katanya ketika ditemui di PPS Pengkalan Ajal, di sini,  hari ini. Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia sudah serik dengan banjir yang besar tetapi apakan daya kerana ia adalah fenomena alam yang tidak boleh dihalang.  "Apa yang penting saya sekeluarga sudah berada di tempat selamat walaupun pusat pemindahan sementara ini juga mungkin terperangkap seperti tahun lepas," ujarnya. Manakala Ruzita Sulong, 51, berkata setiap kali berlaku banjir mesti ada barang yang rosak tidak dapat diselamatkan. "Bagaimanapun kali ini saya sekeluarga memindahkan barang ke tempat selamat dengan segera apabila hujan lebat berterusan. "Apabila hujan lebat pada Sabtu, saya mula berkemas barang untuk dipindahkan," katanya. Dalam kejadian banjir pagi ini seramai 139 penduduk daripada 74 keluarga di kampung itu dipindahkan ke PPS, selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat limpahan Sungai Berang.
24 Dec 23
98
Mangsa Banjir Terengganu Naik 686 Orang
Mangsa Banjir Terengganu Naik 686 Orang
KUALA TERENGGANU, 21 November – Mangsa banjir terus meningkat kepada angka 686 orang yang melibatkan 217 keluarga di Terengganu. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari empat daerah melibatkan Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu . Setakat jam 4.00 petang, sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka keempat-empat daerah berkenaan. “Dungun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 337 mangsa daripada 92 keluarga yang berada di enam PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambahnya, Hulu Terengganu merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 274 orang dari 106 keluarga yang ditempatkan di empat PPS. Manakala, Marang dan Setiu pula merekodkan seramai 12 dan 63 mangsa daripada tiga dan 16 keluarga yang berlindung di tiga PPS dalam daerah tersebut. Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu. “Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
24 Dec 23
122
Banjir Gelombang Ketiga Landa Terengganu, 340 Mangsa Dipindahkan Ke PPS
Banjir Gelombang Ketiga Landa Terengganu, 340 Mangsa Dipindahkan Ke PPS
KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Terengganu mula mengalami banjir gelombang ketiga dengan daerah Marang, Dungun dan Setiu mula terjejas berikutan hujan lebat tanpa henti selama hampir 24 jam sejak pagi semalam. Setakat pukul 10 pagi ini, seramai 340 mangsa daripada 91 keluarga sudah berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga daerah terbabit. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 303 mangsa daripada 84 keluarga berada di empat PPS di Dungun manakala 12 mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS di Marang. “PPS pertama dibuka ialah pada pukul 9.30 malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Dungun yang menempatkan 21 mangsa daripada lima keluarga. “PPS kedua dibuka ialah di Dewan Sivik Wakaf Tapai, daerah Marang iaitu pada pukul 10 malam tadi (12 mangsa daripada tiga keluarga). “Seterusnya PPS ketiga dibuka ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor pada pukul 12 tengah malam yang menempatkan 69 mangsa daripada 17 keluarga kemudian diikuti Balairaya Bembam yang menempatkan dua mangsa daripada sebuah keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang menempatkan 84 mangsa daripada 28 keluarga,” katanya. Menurut kenyataan itu, PPS terbaru dibuka adalah di Setiu iaitu Balai Raya Kampung Seladang yang menempatkan 25 mangsa daripada empat keluarga. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini.  
24 Dec 23
430
Andartu Jaga Anak Angkat Tergolong Sebagai Ibu Tunggal
Andartu Jaga Anak Angkat Tergolong Sebagai Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 24 Disember - Andartu (golongan wanita lanjut usia) yang membesarkan anak angkat termasuk golongan ibu tunggal di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata mereka termasuk dalam 43,471 orang bilangan ibu tunggal yang tercatat di Terengganu. Menurutnya, apabila mereka pelihara anak angkat sekali gus akan didaftarkan sebagai ibu tunggal. "Penambahan status tersebut antara faktor penambahan jumlah ibu tunggal di negeri ini, bukan kes penceraian sahaja. "Seramai 36,140 adalah isteri yang kematian suami manakala 7,331 lagi adalah ibu tunggal akibat perceraian," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri Kedua Tahun 2023 bertempat di Kenari Ballroom, DSA Batu Buruk Beach Resort di sini, baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Tambah Maliaman, dari segi bantuan pihaknya akan melihat pelbagai kategori sama ada melalui asnaf fisabilillah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai had umur namun kebiasaanya dalam kalangan yang berusia 35 tahun atau 40 tahun ke atas. "Bila sebut perkataan andartu masyarakat kita sensitif sedikit, seeloknya kita istilahkan sebagai wanita lanjut usia sekiranya tidak berkahwin," ujarnya.  
24 Dec 23
170
Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya - JPS
Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya - JPS
KUALA TERENGGANU, 24 Disember Empat Sungai di Terengganu mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya, selepas hujan berterusan membabitkan dua di Setiu dan masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Kemaman. Bacaan dicatatkan setakat jam 8.15 pagi tadi berdasarkan laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membabitkan Sungai Nerus di Kampung Langkap  merekodkan bacaan 21.74 meter berbanding paras bahaya 21.00 meter. Sungai Setiu di Kampung Besut pula mencatat bacaan 17.73 meter, berbanding paras bahaya 17.5 meter. Manakala Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu pula merekodkan bacaan 20.11 meter berbanding 19.7 meter paras bahaya. Di Kemaman, Sungai Tebak di Jambatan Tebak mencatat bacaan 18.66 meter berbanding 18.5 meter paras bahaya. Sementara itu, tujuh sungai mencatatkan bacaan pada paras amaran iaitu dua di Besut membabitkan Sungai Besut di Jambatan Besut dan Sungai Besut di Kampung La. Lima sungai lain termasuk Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun, Sungai Berang di Kg. Menerong, Hulu Terengganu, Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.
24 Dec 23
1026
Amaran Banjir di Terengganu, Bermula Esok Hingga 26 Disember
Amaran Banjir di Terengganu, Bermula Esok Hingga 26 Disember
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini. JPS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan jangkaan banjir tersebut berlaku di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai iaitu dalam lingkungan lima kilometer (5km). Di Daerah Besut, jangkaan banjir adalah pada 2 pagi (24 Disember) hingga 2 pagi 26 Disember dengan Sungai Besut melibatkan sekitar Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Keruak dan Kampung Pengkalan Nangka. Manakala di Kemaman pula membabitkan Sungai Kijing iaitu di sekitar Kampung Sungai Mas, Kampung Pelantuh, Padang Kubu, Kampung Paman dan Kampung Sungai Pinang. Jangkaan banjir di daerah sama juga melibatkan Sungai Kemaman iaitu di sekitar Jambatan Air Putih, Kampung Teladas, Kampung Darat Air Putih, Rumah Pam Paya Paman, Kampung Binjai, Kampung Bukit Mentok, Kampung Kubang Kurus dan Kampung Fikri. Amaran banjir itu turut melibatkan Sungai Tebak di daerah sama meliputi kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Jambatan Tebak. Sementara Sungai Tersat di daerah Hulu Terengganu pula, membabitkan kawasan sekitar KM 8 Jalan Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan Kampung Bukit Gemuruh. Menurut JPS, banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan dan daerah lain yang tidak termasuk dalam amaran banjir monsun ini turut diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga. "Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. "Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.   
23 Dec 23
499
SPM Bukan Titik Pengakhiran
SPM Bukan Titik Pengakhiran
Oleh : Safwan Syakir KUALA NERUS, 22 Disember - Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu pengakhiran buat pelajar tetapi ia adalah titik permulaan kepada dunia sebenar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid berkata, justeru itu, ibu bapa perlu memberi  dorongan kepada pelajar yang ingin meneruskan pengajian mereka selepas menamatkan SPM. “Sebagai ibu bapa, kita harus bersifat adil kepada anak-anak. Di usia remaja, mereka masih memerlukan dorongan dan sokongan kita. “Ini bagi memastikan anak-anak kita sentiasa bersemangat untuk menempuh hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran di luar sana,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Penutup Tuisyen Rakyat dan Motivasi Pelajar Peringkat Dun Bukit Tunggal yang diadakan selama empat hari bermula 18 sehingga 21 Disember 2023. Program tersebut melibatkan seramai 141 orang peserta daripada SMK Bukit Tunggal dan SMK Kompleks Tembesu serta pelajar dari DUN Bukit Tunggal membabitkan tiga mata pelajaran iaitu Sejarah, Bahasa Melayu dan Matematik yang dikendalikan oleh guru-guru pakar. Zaharudin turut berharap program pecutan akhir persediaan SPM itu dimanfaatkan sebaiknya dan dijadikan rangsangan motivasi untuk menempuh peperiksaan nanti. "Buatlah bersungguh-sungguh dan tanamkan azam nak hadiahkan kejayaan SPM untuk ibubapa dan guru-guru sebagai memberikan kegembiraan buat mereka yang selama ini banyak berkorban untuk anak-anak semua. ‘’Pastikan ambil berat tentang solat, jangan tinggal atau lalai walau keadaan apapun, disitu letaknya kunci keberkatan hidup kita disamping usaha yang berterusan dan tidak mengabaikan aspek penjagaan kesihatan diri,’’ ujarnya. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program tersebut termasuk Jabatan Pendidikan Daerah Kuala Nerus, guru-guru, IMITS DUN, Pusat Khidmat, pakar motivasi serta ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha itu.
23 Dec 23
209
Lelaki Goda Isteri Orang Boleh Dipenjara 3 Tahun di Terengganu
Lelaki Goda Isteri Orang Boleh Dipenjara 3 Tahun di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Mana-mana lelaki menggoda perempuan yang telah mempunyai suami boleh disabitkan denda RM5,000 ataupun berdepan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata perbuatan menggoda atau memikat isteri orang adalah satu kesalahan syariah mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001. “Mahkamah syariah juga boleh memerintahkan isteri terbabit supaya kembali patuh kepada suaminya. “Ini merupakan konsep terdapat dalam syariah sama ada lelaki atau perempuan yang membuat perbuatan tersebut diingatkan sebagai dosa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri Kedua Tahun 2023 bertempat di Kenari Ballroom, DSA Batu Buruk Beach Resort di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Tambah Mohd Zakri, di Terengganu tiada sebarang kes suami menggoda isteri orang yang dibawa ke mahkamah syariah negeri inI. Tambahnya lagi katanya, kes berlaku adalah penceraian kerana isteri mengikut orang lelaki keluar dari rumah.                
21 Dec 23
1021
PMINT Dan Anak Syarikat Nadi Penggerak Ekonomi Negeri
PMINT Dan Anak Syarikat Nadi Penggerak Ekonomi Negeri
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - PMINT dan anak-anak syarikat kumpulannya kini diberi kepercayaan tinggi sebagai salah satu nadi penggerak ekonomi negeri. Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata,  anak syarikat kerajaan negeri itu diharap melipatgandakan usaha dan kerja untuk meningkatkan pembangunan negeri. “Keuntungan anak syarikat (GLC) Terengganu telah memberi pelbagai manfaat dalam membantu rakyat.  “Urus tadbir anak syarikat yang baik akan mampu menterjemahkan Corporate Social Responsibility (CSR) yang lebih banyak kepada masyarakat di negeri ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023, di sini hari ini. Katanya, PMINT dan anak-anak syarikat kumpulan PMINT melalui sektor pembangunan hartanah, perlombongan Mineral dan REE, pertanian, pembuatan, pelancongan, perhotelan dan pengangkutan awam telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif. “Kali ini kita bergerak dengan misi yang lebih besar. Jika penggal pertama, kita bergerak dengan gear satu, kali ini terus gear tiga...tentunya lebih banyak perkara yang lebih agresif perlu kita laksanakan. “Saya juga berharap PMINT dan Kumpulan Anak Syarikat akan terus memperkasakan peranan untuk membantu kerajaan negeri dalam usaha mengalakkan pertumbuhan ekonomi, industri dan perdagangan dengan mengendalikan peluang perniagaan dalam industri yang lebih kompetitif,”ujarnya.  
21 Dec 23
345