lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Banjir Terengganu Makin Teruk, 5,170 Mangsa Terpaksa Pindah
Banjir Terengganu Makin Teruk, 5,170 Mangsa Terpaksa Pindah
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Jumlah mangsa di negeri ini terus meningkat kepada 5,170 orang daripada 1,382 keluarga yang terpaksa berpindah ke 84 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata enam daerah tersebut melibatkan Marang, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu. “Setakat jam 10.30 malam, daerah Dungun mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,340 orang daripada 350 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini. Tambahnya, Besut dan Kemaman merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 1,155 dan 516 orang dari 245 dan 153 keluarga yang dibawa ke 23 PPS. “Hulu Terengganu antara daerah teruk dilanda banjir yang merekodkan seramai 1,494 mangsa daripada 456 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS. “Marang dan Setiu pula merekodkan seramai 18 dan 647 mangsa daripada empat dan 174 keluarga yang berlindung di 17 PPS dalam daerah tersebut,” jelasnya. Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu. “Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.                
25 Dec 23
178
Gelombang Ketiga Banjir Saksikan Penduduk Patuh Arahan Pindah Lebih Awal
Gelombang Ketiga Banjir Saksikan Penduduk Patuh Arahan Pindah Lebih Awal
HULU TERENGGANU , 25 Disember - Gelombang ketiga banjir yang melanda Terengganu sejak petang Sabtu lalu menyaksikan rata-rata mangsa yang terjejas telah membuat persediaan awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tanpa menunggu arahan. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, beliau memuji tahap kepatuhan penduduk di kawasan terjejas banjir yang segera berpindah ke PPS yang yang diaktifkan di enam daerah di negeri itu setelah kawasan mereka berisiko dinaiki air. "Pada gelombang kali ini jika  ikutkan peratusan jumlah kes menyelamat mangsa banjir oleh pihak bomba tidak begitu ramai sebenarnya kerana kesedaran yang sudahvmenebal dalam kalangan masyarakat. "Kesedaran pada tahun ini semakin ketara dan ia sangat-sangat membantu melancarkan pemindahan menyelamat dan operasi serta mangsa banjir...kita harap sikap positif yang begini terus dikekalkan pada masa akan datang," katanya. Beliau berkata demikian  kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang selepas membuat pemantauan di beberapa lokasi yang terjejas banjir di sini, hari ini. Menurut Hassan, gelombang ketiga kali ini agak berbeza jika dibandingkan dengan gelombang pertama dan kedua.  "Gelombang banjir kali ini menyaksikan daerah Dungun dan Hulu Terengganu antara yang terjejas dengan mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi.  "Kalau kita lihat kawasan yang terlibat dengan banjir melibatkan kawasan bahagian hulu iaitu di kawasan hulu Dungun dan hulu Kuala Berang dengan taburan hujan yang tinggi,"katanya. Tambahnya, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menunjukkan gelombang ketiga banjir di Terengganu bermula pada 23 hingga 25 Disember.  "Jika berdasarkan apa yang dijangka, sepatutnya sudah nampak perubahan  cuaca di mana bahagian pinggir pantai sudah nampak agak cerah dan taburan hujan juga berkurangan.  "Bagaimanapun, berbeza dengan dua kawasan ini. Walaupun ramalan menunjukkan hujan berlaku renyai-renyai sahaja, kita dapati hujan masih lagi lebat di beberapa kawasan menyebabkan jumlah mangsa yang berpindah ke PPS bertambah daripada semasa ke semasa," ujarnya.  Menurut data oleh sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga jam 6 petang, banjir gelombang ketiga di Terengganu merekodkan daerah Dungun yang paling terjejas iaitu sebanyak 1,236 orang  Selain Dungun, lima lagi daerah terkesan ialah Hulu Terengganu sebanyak 803 orang, Besut (607 orang), Kemaman (361 orang), Setiu (306 orang),  dan Marang (12 orang), menjadikan keseluruhan sebanyak 3,325 mangsa yang masih berteduh di 58 buah PPS.
25 Dec 23
170
Ibu Dukung Bayi Redah Banjir 200 Meter Ke Pusat Pemindahan
Ibu Dukung Bayi Redah Banjir 200 Meter Ke Pusat Pemindahan
HULU TERENGGANU, 25 Disember - Meredah air paras pinggang sejauh 200 meter ke pusat pemindahan sambil mendukung bayi yang berusia 3 bulan, itu antara detik cemas yang terpaksa diharungi seorang ibu muda apabila rumahnya dinaiki air semalam. Fatin Noor Shahira Mohd Fadli, 26, dari Kampung Pengkalan Ajal berkata dia terpaksa meredah air banjir itu pada kira-kira 11 pagi sambil mendukung bayinya Bibi Afia Mohd Sabri. Manakala anak sulung berusia 10 tahun memimpin adiknya berusia enam tahun meredah banjir sejauh 200 meter ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) "Melihat keadaan semakin membimbangkan, saya empat beranak  nekad meredah banjir untuk ke PPS Kampung Pengkalan Ajal kerana kedudukan rumah berhampiran Sungai Berang, sememangnya berisiko untuk berlakunya limpahan air sungai secara mendadak. "Mujur limpahan air berlaku pada waktu siang iaitu kira-kira 11 pagi semalam dan ia memudahkan saya untuk membawa tiga anak ke PPS dengan selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui. Tambahnya, paras air ketika itu mencecah 0.5 meter dan tidak mustahil untuk naik mendadak susulan hujan lebat yang masih tidak berhenti. "Lebih baik pindah awal sebab jika malam air naik lagi tinggi, ia akan menyukarkan pergerakan kami sekeluarga...yang penting keselamatan anak-anak lebih diutamakan," katanya.  
25 Dec 23
270
Rezeki Banjir, 4 Sekawan Dapat Ikan Kelah Merah Hampir RM3 Ribu
Rezeki Banjir, 4 Sekawan Dapat Ikan Kelah Merah Hampir RM3 Ribu
HULU TERENGGANU, 25 Disember - Bak kata orang, kalau sudah rezeki pasti tidak salah alamat. Itulah nasib yang menimpa seorang anak muda yang dikenali sebagai Mohammad Hafifi Abu Bakar yang berusia 32, berasal dari Kampung Pengkalan Ajil, di sini. Dia dan tiga lagi rakannya berjaya mendapat Ikan Kelah merah  atau nama saintifiknya, Tor putitora satu-satunya spesies liar di habitat sungai yang paling mahal di pasaran negara ini. Katanya, banjir yang melanda kampung tersebut bulan ini membawa tuah di sebalik menanggung kesusahan yang menimpa dirinya serta penduduk di situ yang menjadi mangsa banjir akibat limpahan air Sungai Berang. Berkongsi cerita, setiap kali banjir, dia dan rakan-rakanya,  Khairuddin Hassan, Alias Hassan dan Lokman Abd Razak akan mengambil kesempatan untuk memasang pukat sambil berharap pada tuah untuk memperoleh ikan liar untuk dijual bagi menampung pendapatan dan perbelanjaan selepas ditimpa banjir. "Dalam pukul 5 petang semalam, kami turun ke sungai Berang tidak jauh dari rumah untuk mencuba nasib sambil berharap ada rezeki ikan liar terperangkap dalam jaringnya. "Pada mulanya tak perasan lehadiran ikan kelah  dan bila tersedar, saya mula pasang pukat kembali. Alhamdulillah tak sangka dapat ikan Kelah Merah yang cukup bernilai di pasaran," katanya ketika ditemui pemberita . Tambahnya, dia dan rakan-rakan terpegun melihat ikan kelah merah bersaiz besar itu seberat 19kg yang tidak pernah ditangkapnya sejak dia memulakan hobi memukat setiap kali banjir. Berdasarkan pasaran semasa, harga sekilogram ikan kelah merah ialah RM150 hingga RM200  bagi ikan yang sudah mati dan menurutnya anggaran keuntungan yang diperolehnya adalah hampir RM3,000 seekor. "Hasil yang akan diperolehi akan kami agih bersama termasuk peraih  dan seorang lagi iaitu pemilik pukat. "Berkongsi rezeki menjadi keutamaan disaat banjir melanda semoga dapat meringankan lagi beban bersama," katanya.  
25 Dec 23
2334
Mangsa Banjir Naik 2281, Dungun Paling Teruk Terjejas
Mangsa Banjir Naik 2281, Dungun Paling Teruk Terjejas
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Mangsa banjir di negeri ini meningkat sebanyak 2,281 mangsa daripada 661 keluarga dengan menyaksikan daerah Dungun paling teruk terjejas. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari enam daerah melibatkan Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman. Katanya, mereka semua ditempatkan di 46 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam daerah berkenaan. "Setakat jam 10.00 pagi, Daerah Dungun mencatatkan mangsa seramai 1,146 orang daripada 299 keluarga daripada 21 PPS," menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambahnya, Besut dan Kemaman merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 19 dan 357 orang dari empat dan 112 keluarga yang dibawa di enam PPS. "Hulu Terengganu antara daerah teruk dilanda banjir yang merekodkan seramai 547 mangsa daripada 193 keluarga yang ditempatkan di empat PPS. "Marang dan Setiu pula merekodkan seramai 12 dan 192 mangsa daripada tiga dan 50 keluarga yang berlindung di sembilan PPS dalam daerah tersebut," jelasnya. Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu. “Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
25 Dec 23
537
Mangsa Banjir di Setiu Meningkat Kepada 179 Orang
Mangsa Banjir di Setiu Meningkat Kepada 179 Orang
SETIU, 25 Disember -Mangsa banjir di daerah Setiu meningkat kepada 197 orang awal pagi ini daripada 50 keluarga berbanding 151 orang pada sebelah malam semalam. Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Setiu, jumlah PPS  bertambah kepada lapan, berbanding enam malam semalam. "Dua PPS yang bertambah ialah PPS Perpustakaan Setiu yang melibatkan 33 orang dari 9 keluarga dan PPS Kampung Nyatoh Penarik yang menempatkan tiga keluarga seramai 10 orang," ujarnya. Sementara itu, mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Tong juga meningkat daripada 21 kepada 24 orang. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof menyampaikan pesanan kepada penduduk berhampiran sungai agar sentiasa mengambil langkah berwaspada dan bersiap-sedia untuk berpindah sekiranya perlu. "Usah tunggu keadaan genting baru berpindah dan sekiranya boleh elakkan berpindah ketika waktu malam," tambahnya. Semalam, Setiu kembali dilanda banjir apabila enam buah PPS dibuka susulan hujan lebat berterusan.
25 Dec 23
229
Enam PPS Dibuka di Setiu
Enam PPS Dibuka di Setiu
SETIU, 24 Disember -Enam pusat pemindahan sementara (PPS)  telah dibuka di Daerah Setiu setakat jam 10.30 malam tadi, berikutan berlakunya banjir di beberapa kawasan dalam daerah ini. Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Setiu semua PPS di Setiu kini menempatkan 143 mangsa daripada 37 keluarga yang membabitkan enam kawasan terjejas. "Dua PPS dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap iaitu PPS Surau Mak Bakas, Seri Kenangan yang menempatkan lapan mangsa dari Kampung Mak Bakas membabitkan tiga keluarga, diikuti PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Tong yang menempatkan 21 penduduk Kampung Pengkalan Merbau daripada tujuh keluarga. "Di DUN Permaisuri pula, empat PPS dibuka iaitu PPS Balairaya Kampung Seladang dengan 25 mangsa dari Kampung Seladang yang membabitkan empat keluarga dan PPS Balairaya Kampung Che Long membabitkan 8 orang dari dua keluarga," menurut kenyatan tersebut. Manakala dua buah PPS lagi menempatkan penduduk Kampung Besut iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Besut membabitkan 40 orang dari 13 buah keluarga dan PPS Balairaya Kampung Besut menempatkan 49 orang dari 8 keluarga. Sementara itu, menurut portal https://publicinfobanjir.water.gov.my tiga buah sungai di Setiu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok.  
24 Dec 23
289
Tujuh Jalan di Hulu Terengganu Ditutup Akibat Banjir
Tujuh Jalan di Hulu Terengganu Ditutup Akibat Banjir
HULU TERENGGANU, 24 Disember - Tujuh jalan di daerah Hulu Terengganu ditutup untuk laluan kenderaan selepas ditenggelami banjir gelombang ketiga yang melanda daerah ini. Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, jalan Kampung Matang, ditenggelami banjir sedalam 0.4 m dan ditutup sejauh 100 m kepada semua kenderaan. Sementara itu, Jalan Kampung Lubuk Periuk-Kampung Felda Mengkawang ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter (m) dan ditutup sejauh 100 m kepada kenderaan ringan. "Jalan Kampung Pengkalan Ajal pula, air melimpah sedalam 1.1 m, sejauh 300m dan ditutup kepada semua kenderaan. "Sementara itu, Jalan Kampung Kuala Ping, paras air melimpah sedalam 0.5m di sepanjang 100 dan ditutup kepada kenderaan ringan. "Ini termasuk Jalan Kampung Jak yang mana paras air melimpah sedalam 0.5 m dan ditutup kepada semua kenderaan sejauh 50 meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambahnya, Jalan Kampung Felcra Pasir Pelata juga ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam 0.4 m. Selain itu, Jalan Kampung Nibong pula paras air melimpah sedalam 0.5m dan ditutup kepada semua kenderaan. Menurutnya, pihak polis menasihati orang ramai melakukan perancangan terlebih dahulu bagi mengelakkan kesulitan terutama terperangkap di kawasan terbabit.
24 Dec 23
2811
Banjir: Ibu Tangguh Rawatan Demi Keselamatan Anak-Anak
Banjir: Ibu Tangguh Rawatan Demi Keselamatan Anak-Anak
HULU TERENGGANU, 24 Disember- Demi keselamatan anak-anak, seorang ibu yang sedang menjalani rawatan di hospital sanggup keluar lebih awal dari wad untuk membawa anak-anak ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kampungnya dilanda banjir. Wan Nor Zaimah Wan Muhamad, 46, yang menderita kanser payudara dan buah pinggang berkata dia lebih memikirkan keadaan tiga anaknya yang masih kecil termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun yang tiada penjaga selepas air memasuki rumah mereka di Kampung Pengkalan Ajal, semalam. "Kalau ikutkan saya terpaksa ditahan di wad sejak Jumaat untuk rawatan buah pinggang tapi saya minta keluar wad untuk pindahkan anak-anak ke PPS. Mujurlah pihak hospital benarkan dan bekalkan saya ubat sepanjang tempoh rawatan.  "Saya rasa susah juga sebab tumpuan penuh kepada kesihatan diri tak dapat diberikan anak pun perlukan penjagaan rapi juga," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Kampung Pengkalan Ajal, di sini, hari ini. Ibu kepada enam cahaya mata itu, berpindah bersama empat lagi anaknya iaitu Fitri Norliyana, 18; Nor Nadia Syahira, 9; Nor Al-Annur Aina, 6 dan Nor Al-Annur Aisyah, 5 ke PPS . Manakala anak sulungnya, Kamarudin, 22, dan Muhammad Arif, 16, tinggal di PPS berasingan di masjid bagi menempatkan mangsa banjir lelaki kampung berkenaan.   Tiga anak Wan Nurzaimah iaitu Kamaruddin merupakan OKU pelbagai termasuk penglihatan dengan pergerakan yang terbatas, Fitri Nurliyana (OKU intelektual dan penghidap Noonan Syndrom) dan Muhammad Ariff, 16, (OKU intelektual). Wan Nor Zaimah yang berasal dari Kampung Bukit Ara, Ajil di sini menyewa rumah dan membuka kedai makan di Kampung Pengkalan Ajal, namun banjir kali ini turut menjejaskan perniagaannya.  Katanya, setiap kali banjir, kedai yang diusahakan bersama suami turut dinaiki air sehingga mereka terpaksa menutupnya untuk beberapa hari. "Dah la saya sakit lepas tu banjir pula, tak tahu nak buat apa lagi namun redha atas ketentuanNya," ujarnya.  
24 Dec 23
168
Derita Warga Emas Sakit Strok, Hilang Isteri Terubat
Derita Warga Emas Sakit Strok, Hilang Isteri Terubat
KUALA TERENGGANU, 24 Disember - 'Ujian tanda Allah sayang' itulah ayat yang sesuai bagi menceritakan musibah bertimpa yang dialami warga emas Fauzi Ismail, 60 tahun. Fauzi, kehilangan isteri tersayang pada 12 Oktober lalu selepas dia disahkan sakit dam kini terlantar akibat strok.  Sembilan tahun yang lalu, dia yang bekerja sebagai tukang kimpal besi pada ketika itu telah diserang strok kali pertama dan selepas itu pada awal tahun 2023 dia sekali lagi diserang strok sehingga menyebabkannya terlantar. Keperitan hidupnya mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim. Ujar Ahmad, beliau akan cuba sedaya upaya untuk meringankan beban Fauzi. "Untuk tahun ini agak perlahan kerana terpaksa keluar peruntukan sendiri berbanding ketika kita sebahagian daripada kerajaan. "Namun saya tetap berusaha mencari sumber kewangan untuk membantu rakyat dalam parlimen saya," tambahnya lagi ketika menziarahi Fauzi bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung hari ini Selain bertanya khabar, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tersebut turut menyerahkan sumbangan barang dapur dan wang belanja kepada penerima. Dalam pada itu, anaknya, Aisyah Fauzi, 20, yang bekerja sebagai pembantu kedai bersyukur atas keprihatinan semua pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Melayu Terengganu (MAIDAM) damn Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas bantuan bulanan yang diberikan.  "Alhamdulillah bantuan ini sedikit sebanyak meringankan kos perbelanjaan kami sekeluarga. "Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada YB (Ahmad Amzad) yang sudi ziarah ayah kami dan berikan bantuna hari ini," katanya.  
24 Dec 23
265