lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Ahli Parlimen Dungun Jumpa PDTD Bincang Isu Tanah
Ahli Parlimen Dungun Jumpa PDTD Bincang Isu Tanah
DUNGUN, 8 Januari - Ahli Parlimen Dungun mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Daerah dan Tanah Dungun bagi membincangkan isu tanah yang membelenggu rakyat di daerah terbabit. Wan Hassan Mohd Ramli yang mengetuai kunjungan berkenaan berkata kunjungan tersebut lebih kepada membina hubungan dan kerjasama antara PAS Kawasan Dungun dan dua agensi Kerajaan Negeri Terengganu bersama Pejabat Daerah dan Tanah Dungun. "Pertemuan bersama Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim dan Pegawai Pentadbir Tanah Daerah Dungun membincangkan isu berkaitan tanah dan cadangan untuk membangunkan tanah di Daerah Dungun," katanya. Beliau juga Yang Dipertua PAS Dungun berkata demikian menerusi hantaran 'facebook'nya di sini, hari ini. Turut hadir dalam kunjungan itu adalah PAS Dungun, UPDI Daerah Dungun dan I-MITS Parlimen Dungun Menurut Wan Hassan, beliau juga berbincang beberapa isu yang penting iaitu isu bayaran tanah premium, isu pelancongan di Dungun dan isu tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB). "Insya-Allah selepas ini jika ada apa-apa isu yang timbul berkaitan dengan tanah, kita akan rujuk semula kepada pihak Penguran Pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Dungun. Pihak mereka sedia menerima aduan dari rakyat Dungun. "Semoga dengan kunjungan ini, dapat membuahkan hasil yang lebih baik demi memastikan kesejahteraan rakyat di Daerah Dungun," jelasnya.
08 Jan 24
322
'Langkah' Terengganu Inc Cemerlang, Raih Pendapatan RM1.55 Bilion
'Langkah' Terengganu Inc Cemerlang, Raih Pendapatan RM1.55 Bilion
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Selepas menerima 'Grand Award Winner, 23rd Malaysia-International HR Awards 2023’ dan ‘Gold Award Winner, Employer of Choice (Private Sector) Category’ pada Majlis Makan Malam Anugerah Sumber Manusia (HR) Malaysia-Antarabangsa Ke-23 2023 pada Disember lalu, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Kumpulan TI) meneruskan langkah positif apabila mencatat prestasi cemerlang bagi tahun kewangan 2022. Menurut laporan yang telah diaudit, hasil anak syarikat Kerajaan Terengganu itu meningkat kepada RM1.55 bilion berbanding RM1.17 bilion pada tahun 2021. Selain menjadi pencapaian tertinggi syarikat tersebut di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berbanding kerajaan terdahulu, Kumpulan TI juga mencatatkan peningkatan secara konsisten selama lima tahun berturut-turut sejak 2018 dengan perolehan hampir RM1 bilion sepanjang tempoh itu. Nilai keuntungan selepas cukai juga meningkat sebanyak RM13 juta kepada RM21 juta pada tahun 2022, berbanding RM8 juta pada tahun sebelumnya. Lebih menarik, keuntungan berkenaan 'dipulangkan' semula kepada rakyat Terengganu apabila Kumpulan TI membelanjakan sebanyak RM11.4 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta membayar zakat sebanyak RM4.5 juta.   Kumpulan TI juga berjaya meningkatkan kembali aset bersih (net asset) mereka mencapai RM1.6 bilion setelah mengalami penurunan sepanjang tahun 2019-2021. Bagi tahun-tahun mendatang, Kumpulan TI akan melibatkan diri dengan lebih aktif dalam teknologi hijau dengan meneroka secara aktif tenaga boleh diperbaharui  dalam menyokong agenda negara dalam mengurangkan pelepasan karbon. Selain itu, syarikat berkenaan turut bergiat aktif dalam bidang keterjaminan makanan bagi menyokong matlamat negeri Terengganu menjadi negeri pengeluar makanan. 
08 Jan 24
3868
JKNT Kenal Pasti Punca Keracunan Makanan di RNR Perasing
JKNT Kenal Pasti Punca Keracunan Makanan di RNR Perasing
KUALA TERENGGANU, 8 Januari –Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesan wujud pelanggaran dalam etika pemakanan sehingga berlaku kes keracunan makanan yang meragut nyawa seorang wanita berusia 54 tahun di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman baru-baru ini. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah menjalankan siasatan terhadap premis yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar berkaitan isu ini.  Katanya, beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan. "Keputusan makmal menunjukkan wujud pelanggaran dibawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan tindakan perundangan sedang diambil ke atas peniaga yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambah Kasemani, JKN Terengganu juga menasihati para pengusaha dan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberat aspek kebersihan dan keselamatan makanan minuman yang dijual. Di samping, memastikan makanan disediakan adalah bersih serta selamat bagi mengelakkan kes keracunan makanan kepada pelanggan khususnya dan orang ramai amnya.  “Tindakan perundangan termasuk pendakwaan ke mahkamah akan diambil terhadap pengusaha dan pengendali makanan yang cuai dalam penyediaan makanan. “Sehingga menyebabkan makanan yang dijual kepada orang ramai tercemar oleh bahan atau bakteria, virus dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” ujarnya. Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih dan pengendali makanan yang beretika.  Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep ‘perhati dan pilih’ sebelum membuat keputusan membeli makanan dan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi rosak.                      
08 Jan 24
1084
Kerja Baik Pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud Berjalan Lancar
Kerja Baik Pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud Berjalan Lancar
HULU TERENGGANU, 8 Januari- Kerja pembaikan cerun dan kerosakan infrastruktur di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir yang runtuh ketika bencana akhir Februari serta awal Mac 2022  sedang berjalan dengan lancar. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata sehingga kini kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan di dalam kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bagi bukit di luar kawasan TNB usaha baikpulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Katanya, bagi kerja-kerja baik pulih yang melibatkan TNB, mereka bermula sejak 27 Februari 2022  dan fasa pertama meliputi empangan dan alur limpah telah siap seratus peratus. "Kini TNB telah memasuki fasa seterusnya yang melibatkan hampir 60 peratus cerun dibawah  kawasan seliaan mereka. "Sementara itu, bagi lima cerun di kawasan seliaan JKR, kerja-kerja baik pulih bermula pada Oktober tahun lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM42 juta, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke tapak projek bagi kerja baik pulih SJSM bertempat di Jenagor di sini hari ini. Hanafiah turut berkata penilaian terkini mendapati struktur empangan juga kekal utuh dan tidak berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada masyarakat. "Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi sehinggakan mencetuskan suasana panik berhubung tentang keselamatan empangan. "Empangan Kenyir masih dalam keadaan selamat dan terkawal serta pihak TNB sentiasa memantau paras air di empangan tersebut secara berkala," katanya. SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari. Kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen.
08 Jan 24
770
Krisis Air Kota Putera Dijangka Selesai Hujung Bulan
Krisis Air Kota Putera Dijangka Selesai Hujung Bulan
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Isu bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dijangka selesai menjelang hujung bulan ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini AB Rahman berkata, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) beriltizam menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh tiga minggu bermula 2 Januari lalu. "Hasil perbincangan dengan SATU, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts Abdul Karim Endut menjelaskan pihaknya akan membuat saluran pirau (bypass) dari lokasi kebocoran sedalam 10 meter di dasar sungai ke atas jambatan melibatkan sambungan sejauh 720 meter. "Jadi, ia dijangka selesai sekitar 23 Januari dan kita berharap usaha dilakukan berjalan lancar dan menepati jangka masa ditetapkan kerana ia akan mencecah sebulan jika berganjak lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau itu memaklumkan, sejak krisis bermula pada 28 Disember lalu, beberapa tindakan segera telah dilakukan bagi membekalkan air bersih kepada penduduk terlibat. "Sebaik sahaja kedua-dua tangki (Tangki SATU Kampung Raja dan Loji Air Bukit Bunga) ditutup, pihak DUN memanggil pegawai SATU memberi taklimat dan pihaknya meletakkan tangki-tangki statik di lokasi terpilih. "SATU mendapat bantuan segera daripada Setiu dan Kuala Terengganu dengan kekuatan enam lori tangki bagi mengisi tangki-tangki statik yang ada. Di pihak DUN, sukarelawan kami telah berusaha mengambil air dari loji SATU dan bergerak dengan tiga buah lori dan lima buah kenderaan pacuan empat roda pada awalnya. "Pada 2 Januari, pihak DUN berjaya mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) yang menyediakan dua lori tangki berkapasiti 20,000 liter serta satu lori tangki daripada ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim untuk beroperasi sehingga hari ini," ujarnya. Beliau memaklumkan, pihak DUN turut mendapat kerjasama NGO Khidmat Malaysia Terengganu dan Jabatan Amal Malaysia dengan membuka pusat operasi di Dataran Limbungan sepanjang tempoh krisis bekalan air yang beroperasi sehingga jam lima pagi. Untuk makluman, krisis bekalan air Kota Putera bermula apabila berlaku kebocoran paip pada kedalaman 12 meter di dasar Sungai Besut berlokasi di Jambatan Lampu. Ia disedari berikutan berlakunya tekanan rendah pada 23 Disember. Dalam tempoh penyiasatan pihak SATU, kebocoran semakin parah menyebabkan dua tangki terpaksa ditutup pada 28 Disember. Masalah bekalan air melibatkan kawasan Kampung Raja dan Keluang dengan sebanyak 2,570 pengguna melibatkan 10 buah kampung terjejas sepanjang krisis berlaku, tetapi tangki Kampung Raja dapat diselamatkan kerana sebahagiannya sempat disalurkan kepada tangki berdekatan.        
08 Jan 24
367
Tiada Syarikat Terengganu Diberikan Lesen Benih Padi Sah
Tiada Syarikat Terengganu Diberikan Lesen Benih Padi Sah
KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Tidak ada syarikat dari Terengganu yang diberikan lesen benih padi sah walaupun Malaysia mempunyai 12 syarikat pembekal benih padi sah yang dilesenkan dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim. Sedangkan katanya, Terengganu memiliki 500 hektar sawah yang menghasilkan padi benih. “Bila padi benih ini dituai, ia di hantar untuk diproses Syarikat Gerbang Selatan di Johor. Bila pesawah Terengganu hendak tabur benih, padi benih dibawa semula ke Terengganu. Main gi mari gitu jah. “Di Terengganu kita ada Loji Pemprosesan Benih Padi di Ajil, Hulu Terengganu. Tapi tak ada syarikat dari negeri ini diberikan lesen benih padi sah,” ujar Dr Azman dalam satu hantaran di laman facebook rasminya. Mengulas lanjut katanya, bekalan benih padi sepenuhnya bawah bidang kuasa kementerian dan bukannya dibawah bidang kuasa negeri.  “Bagaimanapun, dengan kemampuan yang ada, Kerajaan Negeri berusaha sebaiknya bagi memajukan sektor padi Terengganu.  “Contohnya, bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri memperuntukan lebih kurang RM6 juta kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagi pembangunan sistem pengairan dan saliran dibantu oleh Kerajaan Persekutuan lebih kurang RM600 ribu. “Peruntukan Kerajaan Negeri 10 kali ganda lebih besar. Ini terjemahan dari keseriusan kita,” jelasnya.
08 Jan 24
219
Kerajaan Negeri Jumpa Pelabur China Bincang REE di Terengganu
Kerajaan Negeri Jumpa Pelabur China Bincang REE di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Januari – Kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan bersama para pelabur daripada China bagi membincangkan mengenai Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata mereka merupakan pelabur yang telah mempunyai hubungan startegik bersama Malaysia sebelum ini. Menurutnya, beberapa pelan pembangunan telah diutarakan oleh mereka buat negeri Terengganu.  “Semoga perbincangan ini dapat membawa kemajuan dan kestabilan buat negeri ini,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Terdahulu, berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang telah dikenalpasti terdapat di Terengganu. Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 lepas. Katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengan perlombongan industri berkenaan. Beliau berkata, ia bagi memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.                
07 Jan 24
565
Rakyat Terengganu Bantu Bina Rumah Mangsa Banjir di Thailand
Rakyat Terengganu Bantu Bina Rumah Mangsa Banjir di Thailand
NARATHIWAT, 5 Januari - Sekumpulan rakyat Terengganu sedang berkampung di Pekan Tanjung Mas di sini bagi menggerakkan misi bantuan dan membina rumah mangsa banjir Thailand. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman yang turut serta dalam rombongan itu berkata, usaha diketuai Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu, Surau Al-Hikmah dan GTN Care selepas selesai misi di Terengganu dan Kelantan. Katanya, 105 anggota sukarelawan bersama 30 buah kenderaan daripada beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain akan menjayakan misi itu  "NGO yang turut serta adalah Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia Wakaf Mempelam, kami disambut baik sebaik tiba hari ini. “Tujuan kami turun misi banjir untuk misi membina rumah, pembersihan dan agihan barang. Kami bahagikan kepada kumpulan membina rumah, membersih dan agihan keperluan. “Paling utama agihan kami berupa bentuk pakaian dalam wanita yang sangat dinanti-nantikan oleh para wanita di sana. "Pakaian ini telah pun dikumpul terlebih dahulu dan menyusun mengikut jenis pakaian oleh pihak Surau Hikmah yang turut serta dalam misi ini," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas taklimat operasi dengan wakil wilayah Narathiwat hari ini. Ariffin juga turut menzahirkan harapan agar seluruh anak muda dan wanita unuk tidak merasa serik memberikan sumbangan berupa tenaga, masa dan wang bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan. "Mangsa-mangsa banjir di sini berkata air tidak biasa naik 15 tahun dahulu, tahun ini hari pertama sudah banjir paras pinggang. "Empangan Yala telah dibuka, paras air semakin melonjak dan ia merupakan banjir terburuk di selatan Thailand sejak 50 tahun. “Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa hari kita. teruskan melakukan kebajikan untuk dana pahala akhirat kelak. “Sesiapa yang berminat melakukan aktiviti sukarelawan, boleh sahaja sertai NGO seperti Prihatin, Jabatan Amal, dan pelbagai lagi di peringkat negeri dan daerah masing-masing,” jelasnya lagi. Untuk rekod, Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dan GTN Care adalah dua NGO yang aktif dalam misi kebajikan di Malaysia. Sebelum ini, NGO terbabit telah membina beberapa buah rumah di Pahang dan Terengganu selain misi bantuan biasa.  
05 Jan 24
356
Jalan Rosak : Keresahan Penduduk Jalan Rosak Bakal Berakhir
Jalan Rosak : Keresahan Penduduk Jalan Rosak Bakal Berakhir
MARANG, 4 Januari - Keresahan penduduk berkenaan jalan tidak rata di sekitar Kampung Undang ke Kampung Atas Tol akibat proses naik taraf paip air bakal berakhir sebelum Mac ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Dato’ Mohd Nor Hamzah. Beliau berkata, pihak kontraktor telah berjanji untuk memulakan fasa pembaikian jalan selepas kerja penggalian selesai. Katanya, jika kontraktor gagal memenuhi janji tersebut, tindakan yang sewajarnya akan diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). “Projek mengorek tanah dan jalan bagi menaik taraf tersebut bermula dari bulan Ogos 2022 bagi menghubungkan loji air Kepong ke tangki takungan air di Bukit Kor berakhir malam ini,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini. Terdahulu Mohd Nor yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu menghadiri majlis makan malam di tapak kerja-kerja akhir proses pemasangan paip sekaligus meraikan para pekerja dan kontraktor SATU yang terlibat. Tambahnya lagi, semua pengguna diharapkan dapat memahami situasi yang dihadapi dan mendoakan agar urusan ini dipermudahkan.
04 Jan 24
437
Kerajaan Negeri Peruntuk RM140,000 Bina Rumah Mangsa Tanah Runtuh
Kerajaan Negeri Peruntuk RM140,000 Bina Rumah Mangsa Tanah Runtuh
KEMAMAN, 4 Januari – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM140,000 bagi membina rumah mangsa yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku di Felda Neram 2 Kemaman pada Sabtu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata sumbangan tersebut akan disalurkan menerusi Tabung Bencana Negeri yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan. Menurutnya, seramai dua keluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut. “Pihak Felda Neram juga bersetuju untuk menggantikan dua bidang tanah bagi tujuan pembinaan semula rumah kedua-dua keluarga tersebut di tapak yang baharu. "Sehubungan itu, pembinaan dua buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dibina bagi keluarga mangsa,” katanya memetik laporan portal berita rasmi Astro Awani semalam. Tambah Hanafiah, pembinaan rumah dijangka akan memakan mangsa antara enam hingga 10 bulan untuk disiapkan. Terdahulu, kira-kira jam 12 malam, dua buah keluarga di Felda Neram 2 berdepan detik cemas apabila tanah di belakang rumah mereka runtuh secara tiba-tiba. Justeru, menyebabkan bilik, dapur dan tandas di salah sebuah kediaman runtuh lalu terjunam ke dalam cerun di belakang rumah mereka.
04 Jan 24
3671