lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

'Indahnya Hidup Bersyariat' Pacu Terengganu
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pacu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Melalui slogan 'Indahnya Hidup Bersyariat' memberikan penjelasan mengenai usaha untuk memacu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera secara konsisten. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memberikan pendedahkan kepada seluruh rakyat mengenai betapa pentingnya melaksanakan syariat Islam. "Kalau kita hendak maju, hendak ada keberkatan, hendakkan kesejahteraan mestilah melaksanakan syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi kita (Muhammad) SAW. "Maka di situlah kita hendak memberikan gambaran kepada rakyat bahawa segala yang dilakukan dalam kehidupan daripada kita makan dan minum, tidur, di pejabat, ketika di rumah, berada di pasar, bermain semuanya ada kaitan dengan syariah. "Kita akan menyedari betapa indahnya syariah Islam ini yang memberikan kebaikan kepada kita (rakyat) dan menolak (menghindari) keburukan berlaku ke atas diri kita," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui video pendek yang dimuat turun di facebook rasminya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata dua unit tubuh berada di bawah portfolionya iaitu Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah membincangkan kerangka umum mengenai program yang akan dijalankan pada tahun ini selari dengan tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' . "Antara yang menariknya ialah sempena dengan israk dan mikraj kita akan buat program kesedaran tentang isu al-Quds melalui minggu al-Quds, Madinah Ramadan. "Kemudian kita akan teruskan program yang telah diadakan pada tahun lepas iaitu Terengganu International Summit yang akan membincangkan topik tertentu. "Kemudian program-program rutin yang lain seperti 'Badar Qubra', Nuzul Quran, hari Wukuf Arafah, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan lain-lain lagi di samping itu (mengekalkan program sedia ada) kita juga akan mengenegahkan beberapa pembaharuan daripada penggal yang lepas untuk kita kita ketengahkan kepada rakyat," jelasnya.  
11 Jan 24
223
Sektor Awam Tulang Belakang Kerajaan
Sektor Awam Tulang Belakang Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan Terengganu berharap semua anggota Perkhidmatan Awam menjadikan sektor awam sebagai tulang belakang kerajaan yang lebih efisien dan responsif terhadap keperluan rakyat. Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, kerajaan memerlukan kerjasama kukuh, kesefahaman jitu dan sokongan kuat daripada semua agensi. "Ia adalah ramuan utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dapat disediakan kepada rakyat negeri Terengganu khususnya dan negara Malaysia amnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena Tahun Baru 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nara Setia, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Dato’ Ishamudin Hashim, Timbalan SUK (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Timbalan SUK (Pengurusan) Ab Rasid Jusoh dan kira-kira 1,300 kakitangan awam negeri Terengganu dari pelbagai jabatan. Terdahulu, Tengku Seri Bijaya Raja mahu penjawat awam menterjemahkan saranan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa pentadbiran kerajaan penggal ini sudah masuk 'gear tiga'. "Ini bererti kakitangan awam perlu melaksana tanggungjawab selari dengan dasar, arahan dan halatuju kepimpinan negeri. "Maka, segala dasar, arahan dan halatuju kepimpinan negeri harus selari dan serentak mungkin lebih baik dan ke depan diterjemahkan, dilaksanakan oleh jentera pentadbiran iaitu kakitangan awam," ujarnya. Beliau juga membuat perumpamaan secara asasnya nisbah gear tiga ialah 1:1 iaitu tayar berputar perlu sama dengan kuasa kuda (CC) injin sesebuah kereta. “Apa yang istimewanya gear tiga ni, secara asasnya nisbah gear tiga adalah 1:1 dan tork yang sampai pada tayar sama dengan enjin. "Mungkin sedikit berbeza mengikut jenis kereta atau CC enjin, kalau enjin putar 3000 RPM, maka tayar pun akan berputar dengan nilai hampir sama," jelasnya.
11 Jan 24
277
Awas Ancaman Ulat Bulu Laut Ketika Beriadah di Tepi Pantai
Awas Ancaman Ulat Bulu Laut Ketika Beriadah di Tepi Pantai
KUALA NERUS, 11 Januari - Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati ketika beriadah di tepi pantai susulan penemuan dua ekor ulat laut (fireworm) terdampar di pantai di sini, semalam. Ketua Unit Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan, Prof Madya Dr Izwandy Idris berkata, ulat bulu laut ditemui itu dipercayai daripada spesies 'Amphinome Rostrata' (Pallas 1766) itu dijumpai oleh sukarelawan pusat berkenaan ketika berjalan di tepi pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Katanya, bahagian ulat bulu yang digelar 'chaetae' berbentuk tajam serta rapuh mudah melekat pada kulit apabila disentuh. "Spesies  ini mempunyai kelenjar bisa (venom gland) yang mana ia boleh memasuki badan melalui luka tusukan chaetae yang patah. "Gabungan luka akibat chaetae yang patah dan bisa dari kelenjarnya boleh menimbulkan rasa sakit yang kuat, bengkak di tempat yang terkena serta tindak balas alahan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, pengunjung pantai dinasihatkan agar berhati-hati sekiranya terjumpa A. rostrata atau mana-mana organisma marin yang mempunyai rupa seakan-akan ulat bulu tersebut. Katanya,Ulat bulu laut merupakan nama panggilan tempatan bagi kumpulan cacing laut (Annelida, Polycheata) yang mempunyai struktur seperti kuku (cheatae) di seluruh badan yang menyerupai ulat bulu. "Namun, dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil fireworm (cacing api) kerana rasa sakit seperti terkena api apabila menyentuh atau memegang haiwan itu. Elakkan daripada menyentuh haiwan ini serta jauhkan dari kanak-kanak," katanya. Izwandy yang juga Pensyarah Biologi, Diversiti dan Ekologi Invertebrat Bentik UMT berkata, haiwan berkenaan dipercayai dihanyutkan ombak yang kuat sehingga terdampar di pantai Terengganu. "Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Laut China Selatan ketika ini menyebabkan banyak organisma dan benda-benda lain dihanyutkan ke pesisir pantai disebabkan arus dan ombak yang kuat. "Amphinome rostrata merupakan spesies yang banyak berasosiasi (berhubungan) dengan teritip angsa (Goose Barnacle) yang melekat pada benda hanyut seperti kayu serta sampah laut (marine debris) dan dijumpai di lautan seluruh dunia," katanya.  
11 Jan 24
666
'Sila Berhenti Jika Lesen Mati'
'Sila Berhenti Jika Lesen Mati'
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - "Sila berhenti jika lesen mati," itu nasihat Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin kepada pengguna jalan raya jika mendapati lesen memandu mereka telah tamat tempoh ketika sedang memandu. Tambahnya, hanya dalam tempoh kurang lima minit mereka sebenarya boleh memperbaharui lesen memandu mereka sebelum kembali meneruskan perjalanan melalui aplikasi MyJPJ yang diperkenalkan kerajaan. "Ini pengalaman saya sendiri. Sebagai manusia, kami juga ada sifat lupa. Oleh itu, inisiatif ditawarkan aplikasi MyJPJ sangat membantu sebenarnya. "Saya pernah memandu di lebuhraya dan ketika itu baru teringat lesen memandu saya sudah tamat tempoh. "Jadi, saya berhenti seketika di bahu jalan, kemudian saya memperbaharui lesen menggunakan MyJPJ di telefon saya dan ia selesai dalam tempoh kurang tiga minit sahaja," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di pemberita selepas majlis kunjungan hormat Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di ibu pejabat JPJ, di sini hari ini. Jelasnya, JPJ telah memperkenalkan sistem pembaharuan lesen memandu menggunakan slip bagi menggantikan lesen fizikal. Walaubagaimanapun, proses itu diaplikasikan secara interim sehingga hujung tahun 2024. Menurut Zulkarnain, Tahun 2025 adalah tahun di mana JPJ cuba merealisasikan sistem digital secara keseluruhan melibatkan pempameran lesen memandu dan LKM. "Setakat ini, seramai tujuh juta pengguna telah memuat turun aplikasi MyJPJ. "Kita harap orang ramai belajar menggunakan sistem ini kerana pada masa depan kita kena menerima teknologi yang berlangsung. "Saya juga nampak ia memudahkan kerana tidak lagi perlu ke kaunter untuk memperbaharui lesen memandu," katanya. Dalam pada itu, beliau cuba menjernihkan kegusaran orang ramai berkaitan isu mempamerkan lesen memandu dan LKm secara fizikal. "Orang mungkin risau disaman jika gagal mempamerkan lesen dan LKM ketika berdepan sekatan jalan raya. "Jangan bimbang kerana pegawai kami mampu untuk menyemaknya," katanya.
11 Jan 24
1095
14,457 Kakitangan Awam Terengganu Dapat Bonus RM2,000
14,457 Kakitangan Awam Terengganu Dapat Bonus RM2,000
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Seramai 14,457 penjawat awam Terenganu menerima khabar gembira apabila kerajaan Negeri mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM2,000. Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata bayaran itu bakal dibayar pada Mac nanti. "Kita (kerajaan) telah membuat ketetapan sebagaimana yang disebut  oleh Menteri Besar (Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) (pemberian) mengikut pentadbiran, kita akan ikut apa yang disarankan oleh Kerajaan Persekutuan (pemberian bonus) sebanyak RM2,000," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada  media selepas Majlis Pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Katanya, bagi tujuan itu kerajaan negeri akan mengikut sebagaimana dipekelilingkan Kerajaan Persekutuan. Sebelum ini, Dr Ahmad Samsuri ketika berucap membentang Belanjawan Negeri Terengganu 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun lalu berkata beliau tidak membuat pengumuman pemberian bonus kakitangan awam seperti biasa kerana keadaan semasa itu tidak mengizinkan beliau berbuat demikian. Katanya, pemberian bonus itu mengikut pentadbiran kerajaan dan tidak diumumkan jumlahnya. Ketika itu Dr Ahmad Samsuri bertanding sebagai calon Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dan kempen pilihan raya tersebut sedang berjalan, dibimbangi menimbulkan implikasi Undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
11 Jan 24
325
MAIDAM Nafi Seleweng Wang Zakat
MAIDAM Nafi Seleweng Wang Zakat
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menafikan dakwaan penglibatan agensi itu dalam penyelewangan wang zakat sebagaimana laporan pihak media massa pada 4 Januari baru-baru ini. MAIDAM dalam satu kenyataan berkata siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes seleweng kutipan zakat lebih RM9.7 juta di Selangor, Terengganu dan Perak tersebut tidak melibatkan agensi terbabit di Terengganu "Pengesahan yang diperoleh daripada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada 5 Januari 2024 jam 8.48 pagi, kes yang dilaporkan di Terengganu merujuk kepada kes seorang pekerja di sebuah syarikat swasta yang tidak membayar zakat ke atas wang yang diamanahkan oleh majikannya. "Berdasarkan kenyataan tersebut adalah ditegaskan bahawa kes yang dilaporkan ini tiada kaitan sama sekali dengan  sama ada kakitangan, amil zakat mahupun ejen zakat MAIDAM," ujar kenyataan itu. Dalam masa sama, penjelasan tentang perkara ini telah disiarkan menerusi Buletin Utama TV3 jam pada 5 Januari 2024.  
10 Jan 24
1010
Pusat Autisme Terengganu Capai Matlamat
Pusat Autisme Terengganu Capai Matlamat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang dirasmikan setahun yang lalu terus mengorak langkah dalam membantu anak-anak autisme dalam Negeri Terengganu. Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata Pusat Autisme Sejahtera Terengganu itu telah hampir genap setahun usia pelancarannya,  Pelancaran Pusat Autisme Terengganu pada 25 Julai 2023 yang lalu. "Setelah empat tahun kita bertungkus-lumus untuk menubuhkan pusat ini akhirnya, Allah mengizinkan jua untuk pusat ini berdiri megah. "Baru-baru ini, kami telah pun selesai permukiman (retreat) Pusat Autisme Sejahtera Terengganu untuk kita perincikan gerak kerja, meliputi pelan tindakan strategik juga program-program yang bakal dilaksanakan," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Pada masa yang sama, Zuraida turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada pusat tersebut. Peserta pemukiman Pusat Autisme Sejahtera Terengganu. "Saya sangat terhutang budi kepada semua individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penubuhan pusat ini. "Kesemua kesusahan dan kesulitan kita harungi bersama, elemen inilah yang menjadi penaut kepada kita untuk terus kuat bersama. "Insya-Allah, kita cuba bantu ibubapa yang mempunyai anak autisme untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik," ulasnya lagi.
09 Jan 24
417
SPM ’Tiket’ Untuk Hidup
SPM ’Tiket’ Untuk Hidup
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kelulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan sekurang-kurang kelulusan untuk meneruskan kehidupan bagi rakyat Malaysia. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata bahawa SPM adalah tiket penting kalau mahu bekerja. Katanya, majikan mahu yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya SPM, apatah lagi jika mahu menyambung pelajaran. "Oleh hal yang demikian, SPM adalah sekurang-kurang kelulusan yang bagi saya wajib ada untuk seorang rakyat Malaysia," katanya. Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program Tuisyen Rakyat DUN Ladang di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Jalan Sultan Omar, baru-baru ini. Bergambar bersama-sama para peserta Program Tuisyen Rakyat DUN Ladang. Ujar Zuraida lagi, beliau agak risau dengan keadaan mutakhir ini, apabila generasi muda seakan tidak berminat mahu belajar ditambah pula dengan pengaruh buruk yang dibawa oleh sesetengah pempengaruh media sosial. “Saya doakan mudah-mudahan semua para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM nanti, dipermudah segala urusan dan semoga peroleh keputusan yang cemerlang, “Antara tujuan utama penganjuran Program Tuisyen Rakyat ialah sebagai pecutan terakhir kepada para pelajar menjelang peperiksaan sebenar tak lama lagi,” tambahnya lagi. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri berkata bahawa Program Tuisyen Rakyat ini diadakan di kesemua 32 DUN dalam Negeri Terengganu. Sebahagian daripada peserta Tuisyen Rakyat DUN Ladang. Program tersebut telah berjaya mengumpulkan peserta lebih 50 orang peserta dari pelbagai sekolah, bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.30 petang dan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Ladang.
09 Jan 24
250
Premis Perniagaan Islam Perlu Tutup Dua Jam Setiap Jumaat
Premis Perniagaan Islam Perlu Tutup Dua Jam Setiap Jumaat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan premis perniagaan membabitkan majoriti Islam dalam kawasan pentadbirannya menutup operasi selama dua jam pada setiap Jumaat. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, semua premis perniagaan perlu dihentikan operasi bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap jumaat. Jelasnya, arahan terbabit yang mula berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu itu bukan sahaja membabitkan pasar raya, tetapi turut melibatkan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan. "Pemilik pasar raya dan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan diminta memberi kerjasama memastikan aktiviti tidak beroperasi dalam tempoh itu," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini. Mengulas lanjut Rosli Latif berkata, MBKT akan mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan jika pemilik premis perniagaan gagal mematuhi arahan dikeluarkan. "Jika kita dapati pemilik semua premis perniagaan gagal mematuhi arahan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan berdasarkan undang-undang yang digunapakai," katanya.
09 Jan 24
689
Bina Tembok Penghadang Ombak Selamatkan Perigi 101 Tahun
Bina Tembok Penghadang Ombak Selamatkan Perigi 101 Tahun
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Satu  tembok penghadang ombak akan dibina dalam tempoh terdekat bagi menyelamatkan perigi lama berusia lebih seratus tahun di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di Kuala Nerus daripada musnah akibat masalah hakisan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata beliau difahamkan masalah hakisan pantai yang berlaku semakin kritikal sehingga mengubah struktur tanah di sekeliling kawasan perigi itu. "Sebagai langkah awal, kita akan bina sebuah tembok penghadang di kawasan perigi ini secepat mungkin bagi melindungi ia kekal pada kedudukan asal dan tidak dihanyutkan ombak. "Proses pembinaan tembok itu akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, GPQ Sdn Bhd di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan anggaran kos perbelanjaan sebanyak RM30,000," katanya ketika dihubungi. Menurut Razali, cadangan pembinaan tembok penghadang itu telah dipersetujui oleh syarikat berkenaan yang terlibat dalam industri pembinaan. "Mereka telah bersetuju untuk membina tembok penghadang yang bersesuaian untuk memastikan struktur perigi lama itu kekal dan tidak terjejas apabila berdepan masalah hakisan yang semakin kritikal ketika ini," ujarnya. Difahamkan, sekitar awal tahun 1970-an, perigi lama itu berada pada kedudukan antara 100 hingga 200 meter dari pantai. Kawasan di sekitar perigi yang dipercayai dibina mengikut kalendar Islam pada 1345 Hijrah itu semakin terhakis sehingga mencecah dasarnya sejak musim tengkujuh melanda bermula hujung November tahun lalu. Perigi sedalam kira-kira lima meter itu akan runtuh sepenuhnya sekiranya banjir melanda dan berlaku perubahan cuaca akibat Monsun Timur Laut (MTL) jika tiada usaha segera dilakukan bagi memulihara segera bahan peninggalan sejarah itu.  
09 Jan 24
631