lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

120 Penduduk di Bukit Besi Terima Tanah
120 Penduduk di Bukit Besi Terima Tanah
DUNGUN, 16 Januari - Seramai 120 peserta Rancangan Tanah Baharu (RTB) di Dewan Undangan Negeri Bukit Besi gembira apabila menerima geran tanah hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kesemua penerima melibatkan RTB Pecah Mangkuk, RTB Dendang Sejahtera, RTB Bukit Jelutong dan RTB Kampung Talong bersyukur kerana penantian sejak sekian lama ditamatkan kerajaan PAS Terengganu. "RTB di kawasan setiap mempunyai proses yang berbeza di setiap peringkat, ia perlu melalui beberapa prosedur untuk diluluskan menyebabkan ada permohonan yang mengambil masa yang singkat dan ada juga mengambil masa yang lama. ‘’Tahniah diucapkan kepada 120 penerima geran tanah pada kali ini, ia  jelas termasuk dalam manifesto yang dijanjikan oleh PAS Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas majlis penyerahan geran tersebut. Mengulas lanjut, Ghazali berkata, Kerajaan Negeri berterima kasih kepada para pemohon yang bersabar. "Diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. "Manfaatkanlah tanah ini dengan sebaik mungkin kerana masih ada lagi yang tidak memiliki tanah," katanya.
16 Jan 24
2049
Tujuh Keluarga Terima Rumah daripada Kerajaan Terengganu
Tujuh Keluarga Terima Rumah daripada Kerajaan Terengganu
Oleh : Suhaimi Taib dan Muhammad Zamarul Hisyam HULU TERENGGANU, 16 Januari - Tahun baharu pastinya memberi kenangan yang cukup manis buat tujuh keluarga di Dewan Undangan Negeri Ajil apabila menerima kunci rumah kediaman daripada kerajaan negeri hari ini. Rofeah Razali, 45, yang merupakan salah seorang penerima melahirkan rasa syukur kerana dapat memiliki rumah sendiri. Menurutnya, sudah lebih lima tahun dia menunggu untuk detik bermakna itu. "Impian kami sekeluarga akhirnya tercapai juga pada awal tahun ini. "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ustaz Maliaman Kassim serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bantuan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) ini," katanya kepada pemberita. Dia berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci PPTS di Bukit Che Amin, Kampung Tok Randok Ajil di sini hari ini. Sementara itu, Maliaman berkata, usaha seperti akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat miskin. Katanya, Kerajaan Negeri dijangka berkolaborasi dengan Skuad Prihatin (PRIHATIN) untuk melaksanakan projek perumahan rakyat dengan harga RM50,000 sebuah. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata kos berkenaan termasuk perabot dan kelengkapan lain. Jelasnya, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan kewangan dengan jumlah tersebut manakala PRIHATIN menyediakan tenaga buruh binaan untuk menyiapkan rumah berkenaan. "Kolaborasi itu masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya akan disegerakan tidak lama lagi," katanya. Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, kerajaan negeri berhasrat memperkasakan program negeri berkebajikan dengan melaksanakan  pelbagai aktiviti bersama rakyat negeri itu termasuk membina rumah percuma untuk rakyat. ​​​​"Melalui program tersebut rakyat (yang prihatin) membantu orang ramai sama ada secara individu atau melalui badan bukan kerajaan (NGO). "Saya sedang menyusun satu program untuk selaraskan portfolio kebajikan dengan NGO untuk membina rumah rakyat. "Saya telah berbincang dengan Skuad PRIHATIN untuk membantu membina rumah rakyat dengan cara kolaborasi dengan kerajaan," jelasnya. Menurutnya melalui program itu kerajaan bersama NGO membantu rakyat yang memerlukan bantuan bukan kerajaan sahaja berbuat demikian. Walau bagaimanapun ujarnya, program berkenaan akan dilaksanakan dengan syarat tertentu termasuk memiliki tanah sendiri dan tidak pernah menerima rumah bantuan kerajaan.  
16 Jan 24
596
PSKT Tumpuan Utama Pelancongan Pendidikan
PSKT Tumpuan Utama Pelancongan Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 16 Januari- Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kini menjadi destinasi tumpuan utama pelancongan pendidikan di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya terbukti dengan peningkatan ketara pengunjung ke PSKT daripada 100,000 lebih pengunjung pada tahun 2022 kepada 150,000 lebih pengunjung pada tahun lalu. “Insya-Allah pada tahun 2024, PSKT komited dengan kedatangan yang lebih ramai dan menyasarkan 200,000 pengunjung dengan pelbagai program menarik yang dirancang sepanjang tempoh tersebut.  “Lebih-lebih lagi, ia bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat dari negeri kita, bahkan pengunjung dari Pantai Timur terutamanya pelajar sekolah yang ingin merasai pengalaman menarik melalui pembelajaran sains yang interaktif,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau, hari ini. Menurut beliau, PSKT juga telah membuka Galeri Mini Solar Farm awal Januari lalu hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Terengganu Inc.  “Ia merupakan satu lagi pembangunan ilmu yang ditawarkan kepada pengunjung agar sentiasa memenuhi kehendak dan kepentingan masyarakat. “Tahniah seluruh warga PSKT atas kejayaan membanggakan ini hasil pembaharuan yang dilaksanakan,” tulisnya.  
16 Jan 24
242
Klinik Anak Jati Terengganu Terkenal di Melaka
Klinik Anak Jati Terengganu Terkenal di Melaka
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali  HULU TERENGGANU, 16 Januari - Klinik Pergigian Dental Square yang pemiliknya merupakan anak jati Terengganu, Dr Wan Mohamad Firwan Mohamad Fauzi kini semakin dikenali di Melaka. Dr Wan berasal dari Bukit Besar, Kuala Terengganu telah berjaya menubuhkan sebuah klinik gigi bertempat di 161, Jalan KU2, Taman Klebeng, Melaka.  Katanya, penghijrahan beliau bermula pada tahun 2008 di Kelantan dan beberapa buah negeri lagi sehingga kini menetap di Melaka. "Klinik yang mempunyai tiga orang pekerja ini telah mula beroperasi pada bulan Mac 2023 serta pelbagai tawaran harga diskaun diberikan kepada anak perantau yang datang merawat gigi di klinik ini. "Walau dimanapun kita berada, paling penting jangan lupa pada asal usul kita dan hasrat saya adalah ingin berbakti kepada negeri kelahiran di Terengganu", katanya kepada pemberita ketika kunjungan kerajaan negeri ke klinik berkenaan. Turut hadir dalam kunjungan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim dan Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPDI), Harun Esa. Maliaman berkata, beliau melahirkan rasa teruja kerana dapat melihat sendiri klinik anak jati Terengganu yang berjaya di perantauan. Menurutnya, kos barang-barang kelengkapan untuk klinik ini cukup mahal, dan kelihatan semua lengkap serta terdapat juga bilik studio untuk 'content creator'. Sekali gus, klinik ini mampu mempromosikan melalui laman sesawang dengan mudah dengan kelengkapan dan teknologi yang sedia ada. "Ramai anak perantau yang berjauhan dengan keluarga mereka yang telah berjaya seperti ini. "Di samping itu juga, saya ingin menasihati kepada anak-anak perantau supaya kerap pulang ke kampung halaman menjenguk keluarga di sana," ujarnya.  
15 Jan 24
460
Kanak-Kanak Didera Berisiko Alami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma
Kanak-Kanak Didera Berisiko Alami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma
KUALA TERENGGANU, 16 Januari – "Kanak-kanak yang didera berisiko mengalami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD), terbantut perkembangan, kurang keyakinan diri dan bersikap negatif terhadap persekitaran," ujar Zuraida Md Noor. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu berkata kesan penderaan kanak-kanak boleh berpanjangan sekali gus merosakkan perkembangan mental dan fizikal. Katanya, mereka memerlukan rawatan psikologi untuk pulih dari trauma yang dialami. "Berita tentang kes penderaan terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa dan keluarga sendiri sering dilaporkan oleh media arus perdana. “Kajian menunjukkan setakat Ogos 2023, kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak merupakan kes tertinggi dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 1,603 kes," katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Zuraida, kanak-kanak wajar diberikan perlindungan dan penjagaan yang betul bagi mengelakkan berlaku kes penderaan. Menurutnya, faktor yang menjurus kepada penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada institusi keluarga yang bermasalah, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pengetahuan terhadap agama.  Jelasnya lagi, tidak dinafikan, pasca Covid-19, status kesihatan mental masyarakat semakin membimbangkan.  “Ditambah lagi, dengan peningkatan kos sara hidup isi rumah membuatkan sesebuah institusi rumahtangga semakin goyah jika tidak mempunyai asas agama yang kuat serta kemahiran mengurus emosi dengan baik.  "Dalam menangani isu ini, beberapa cadangan perlu diberi perhatian serius dalam mewujudkan Garis Panduan Keluarga Sejahtera di samping latihan dan kursus keibubapaan dipertingkatkan di seluruh negara," ujarnya. Beliau berkata, Jabatan Agama Islam sesebuah negeri juga boleh memainkan peranan dengan menyentuh tajuk kesejahteraan rumahtangga menurut perspektif Islam melalui khutbah Jumaat dan kuliah-kuliah Dhuha di masjid-masjid.  Selain itu, pentingnya peranan ibu dalam memberikan perhatian kepada anak-anak walau sesibuk mana pun tugasan di tempat kerja.  Jelasnya, kanak-kanak merupakan anugerah istimewa dalam sesebuah institusi keluarga malah dan merupakan aset penting buat negara dan masyarakat dalam menentukan corak pembangunan negara pada masa hadapan.                        
15 Jan 24
146
PAS Kini Bukan 'Parti Kampung' – Dr Sam
PAS Kini Bukan 'Parti Kampung' – Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 14 Januari – "Parti Islam Se-malaysia (PAS) kini bukan lagi dianggap sebagai ‘parti kampung’ dan ianya adalah lebih dari hanya sekadar parti,” ujar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menteri Besar Terengganu itu berkata sebenarnya dalam PAS, terdapat ramai ahli yang datang dari pelbagai bidang dan latar belakang.  Katanya, kebanyakan daripada mereka tidak menonjol ke depan, sebaliknya amat berperanan di belakang tabir dan terlibat dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan.  “Di Malaysia, kita amat memahami struktur masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama dan PAS merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh masyarakat dalam negara ini.  “PAS mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden,” Katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, beliau merupakan salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018. Beliau berkata, PAS sudah berada sejauh ini dan akan terus bergerak ke hadapan. “Ada juga yang beranggapan PAS sebuah parti ekstrimis dan mempunyai rasa prejudis lalu menyamakan PAS dengan parti Islam lain di dunia ini.  “Ianya 100 peratus tidak benar sama sekali dengan menyamakan parti PAS dengan Taliban seumpamanya merupakan satu kesilapan,” jelasnya. Menurut beliau, PAS juga bukanlah sebuah parti yang sempurna tetapi kami mempunyai ahli dan penyokong yang terdiri dari pelbagai latar belakang yang mendokong. “Kami amat memahami, untuk menjadikan negara kita negara yang terbaik, kita semua perlu bekerjasama sebagai warganegara Malaysia,” ujarnya.                      
14 Jan 24
107
Sewakan Motosikal 'Biak' Penunggang Warga Asing Tanpa Lesen
Sewakan Motosikal 'Biak' Penunggang Warga Asing Tanpa Lesen
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir warga tempatan yang memberikan sewaan kenderaan kepada warga asing menyebabkan mereka berani menunggang motosikal dan memandu kereta secara berleluasa tanpa memiliki lesen memandu yang sah. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, dakwaan itu disuarakan susulan pihaknya mengesan kewujudan kegiatan yang menyewakan motosikal kepada warga asing di negeri itu. Dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa), yang dijalankan selama dua hari berakhir semalam, JPJ Terengganu berjaya menahan dan menyita 79 kenderaan melibatkan 66 motosikal dan 13 motokar di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. "Dalam tempoh dua hari, kita telah memeriksa 567 kenderaan yang dipandu warga asing. Sebanyak 284 saman dan 79 notis atas pelbagai kesalahan juga telah dikeluarkan pada operasi tersebut. "Kita juga telah mengesan satu individu yang disyaki mungkin membuat sewaan motosikal. Semakan kita mendapati individu ini memiliki 40 buah motosikal didaftarkan atas nama beliau. "Jadi, JPJ sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk pastikan apakah ada kegiatan atau sindiket yang membuat sewaan kepada warga asing," katanya. Tambahnya, JPJ Terengganu telah mengeluarkan 39,028 saman dan 33,213 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu dengan tiga kesalahan tertinggi direkodkan ialah penggunaan cermin gelap, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.        
14 Jan 24
261
Proses Pembaikan Paip Air Pecah di Sungai Besut Capai 30 Peratus
Proses Pembaikan Paip Air Pecah di Sungai Besut Capai 30 Peratus
BESUT, 14 Januari - Status kerja-kerja pemasangan dan pembaikian paip bersaiz 600 milimiter (MM) di dasar sungai Besut kini memasuki 30 peratus dan dijangka siap antara tempoh tujuh hari hingga 10 hari. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan memberikan kelegaan kepada 2,670 akaun pengguna yang terjejas. "Setakat ini semuanya mengikut perancangan, telah mencapai kemajuan 30 peratus dan prosesnya cepat walaupun pada  peringkat permulaan sahaja  yang mengambil masa, tetapi bila dah bergerak itu, insya-Allah akan cepat disiapkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika melawat ke lokasi paip pecah, di Jambatan Kampung Lampu, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan penduduk yang terjejas dengan bekalan air tersebut tidak perlu khuatir dan bimbang tidak akan mengulangi sebagaimana di Kuala Terengganu sebelum ini. "Kita cuba yang terbaik, cuma situasi yang berlaku di Kuala Terengganu dahulu,  ia agak kompleks sikit, tetapi di sini kita buat dengan cara agak berbeza sedikit dan ia lebih cepat, insya-Allah," ujarnya. Terdahulu, bekalan air terputus berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 MM di dasar Sungai Besut berhampiran dengan Jambatan Kampung Lampu telah menyebabkan berlaku gangguan air bermula 1  sehingga 21 Januari.
14 Jan 24
335
SATU Rancakkan Kerja Pembaikan Paip Dasar Sungai Besut
SATU Rancakkan Kerja Pembaikan Paip Dasar Sungai Besut
BESUT, 13 Januari – Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikian dan pemasangan paip bersaiz 600mm dasar Sungai Besut sedang berjalan. Jurucakap SATU berkata penyediaan reka bentuk berjaya disiapkan 100 peratus manakala paip 'Mild Steel & HDPE' pula telah berada di tapak dan bersedia untuk kerja pembaikian. Katanya, pihaknya juga telah melantik pembekal untuk projek berkenaan. "Pihak SATU telah berjaya melaksanakan persempadanan kawasan bekalan air dengan mengurangkan impak gangguan air menerusi persempadanan semula Zon Bubus. "Ia bagi meminimakan kawasan yang dijangka akan mengalami masalah tekanan air rendah," katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambahnya, proses persempadanan semula ini telah berjaya mengurangkan impak sehingga 2,000 akaun. Selain itu, bantuan alternatif sebanyak 102 buah tangki statik dan 11 buah lori tangki telah ditempatkan bagi kawasan terlibat dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal. Terdahulu, bekalan air terputus berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 mm di dasar Sungai Besut berhampiran dengan Jambatan Kampung Lampu. Kebocoran paip tersebut mengakibatkan 2,670 akaun pengguna menghadapi gangguan bekalan air yang bermula pada 1 Januari 2024 sehingga 21 Januari 2024. SATU akan memaklumkan perkembangan situasi ini dari semasa ke semasa menerusi kesemua media rasmi SATU seperti mySATU, Facebook dan Instagram atau hubungi Careline di 1300-88-2111.
13 Jan 24
454
Lima Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang di Awal Tahun Baharu
Lima Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang di Awal Tahun Baharu
MARANG, 11 Januari - Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 3 petang hari ini. Tarmizi Musa, 43, berkata mereka empat beranak ketika itu sedang berehat di rumah di Kampung Atas Tol. Katanya, mereka sekeluarga hanya mampu menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut manakala anak sulongnya yang berumur 17 tahun masih belum pulang dari sekolah “Saya sedar akan kebakaran diawalnya dan cuba untuk memadam kebakaran yang berpunca daripada litar pintas di tingkat atas namun api merebak terlalu cepat,. "Apa pun saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya. Menyedari akan hal itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah segera mengusahakan penempatan sementara buat mereka lima beranak di rumah tumpangan berdekatan. Menurutnya lagi, pihaknya akan usahakan bantuan bina rumah melalui bantuan JKM dan MAIDAM secepatnya buat mereka sekeluarga.  
11 Jan 24
592