lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pelajar Pecah Saluran Darah Otak Terima Bantuan Kerajaan, Petronas
Pelajar Pecah Saluran Darah Otak Terima Bantuan Kerajaan, Petronas
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Kerajaan Terengganu dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus memberi sokongan dan bantuan kepada salah seorang pelajar tajaan, Muhammad Amirul Nazmi Sam yang kini terlantar di rumah beliau di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil sejak Disember lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Ajil Maliaman Kassim berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencari dana bagi meringankan kos perubatan dan makanan harian pelajar cemerlang Terengganu itu. Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataan media, memaklumkan sejak Amirul Nazmi dimasukkan ke hospital, pihaknya terus memantau dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan beliau. Katanya, pihaknya juga menerima sokongan perubatan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu. “PETRONAS sentiasa komited dalam menyokong pelajar tajaannya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga semasa dalam keadaan sukar.  “Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan pelajar tajaan kami, dan kami bersedia untuk memberi bantuan sewajarnya dalam situasi yang sukar ini,” ujar kenyataan itu. Terdahulu, Amirul Nazmi yang merupakan seorang pelajar cemerlang yang menerima tajaan PETRONAS dan bakal melanjutkan pengajian di sebuah universiti di England, kini terlantar di rumahnya. Menurut ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46 berkata anaknya telah pengsan tiba-tiba di ruang tamu apartment di Taylor University. Jelasnya lagi, imbasan pihak hospital mendapati saluran darah ke otak anaknya pecah sehingga mengakibatkan anaknya itu lumpuh sebelah badan bahagian kanan.              
13 Feb 24
623
Safawi, Akhyar Sah Sarung Jersi TFC
Safawi, Akhyar Sah Sarung Jersi TFC
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Dua tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kini sah bersama Terengganu Football Club (Terengganu FC) bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025. Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata kedua-dua penyerang itu diikat masing-masing selama setahun secara pinjaman dari kelab JDT. “Safawi kini sekali lagi akan menjadi anak didik Tomislav Steibruckner buat kali kedua dimana sebelum ini mereka pernah bekerjasama di dalam pasukan T-Team FC pada tahun 2015. “Akhyar pula dilihat sebagai calon pemain sayap yang tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import Terengganu FC musim lepas iaitu Sony Norde,” ujar kenyataan itu. Tambahnya lagi, jika tiada sebarang masalah, kedua pemain itu bakal menjalani latihan pertamanya bersama Sang Penyu bermula 15 Februari ini. Menurutnya, Safawi akan menyarung jersi bernombor 11 manakala Akhyar pula bakal menyarung jersi bernombor 33 bersama pasukan Terengganu FC. “Kedua-dua pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik ini berjaya menarik minat pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner. "Sekali gus, meletakkannya mereka dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025,” jelasnya. Pihak pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang buat kedua-dua pemain dan semoga berjaya membawa kejuaraan buat pasukan gergasi pantai timur itu.                
12 Feb 24
340
Pesta ‘Maing Ujang’ Tarik Pelancong Musim Tengkujuh
Pesta ‘Maing Ujang’ Tarik Pelancong Musim Tengkujuh
SETIU, 11 Februari – Pesta 'Maing Ujang' merupakan satu inisiatif bagi membawa pengunjung untuk datang ke Setiu pada musim tengkujuh dan bermain pelbagai aktiviti yang disediakan di sini. Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata, penganjuran tersebut berjaya mempromosikan budaya dan tradisi Terengganu kepada lebih 100 peserta dan pengunjung luar di sini. Katanya, kesemua peserta itu terdiri dari seluruh negara yang membangunkan lebih 70 buah khemah. “Pesta Maing Ujang juga diperkenalkan sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung ke daerah Setiu, sekaligus mempopularkan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan eko yang baharu.  “Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti mencari lokan dan kepah, ‘monsoon river cruise’, pertandingan menghias khemah, 'flying fox', 'jungle trekking' dan pelbagai lagi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Pesta ‘Maing Hujang’ Setiu Wetlands Race dan Setiu Adventure Park bertempat di Desa Pancaran Delima, Kampung Mangkuk, Setiu di sini hari ini. Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris. Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman. Pogram tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Februari di beberapa buah Kampung di daerah Setiu. Beliau melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama di bawah portfolio pelancongan kerana sokongan serta peruntukan yang diberikan bagi melaksanakan program berkenaan. Di samping katanya, membuka peluang kepada pemain-pemain industri yang berniaga makanan, cenderamata serta para pengusaha bot yang rata-rata merupakan penduduk tempatan di daerah Setiu. “Program ini merupakan kali pertama diadakan hasil daripada turun padang exco pelancongan yang meminta untuk melaksanakan aktiviti bagi menarik pelancong pada musim tengkujuh ini," jelasnya. Jelasnya lagi, pihaknya bersama exco pelancongan sempat berkunjung ke Rumah Botol Ayahku dan juga bermain beberapa aktiviti berkait komuniti setempat. Menurutnya, lokasi tersebut sering mencuri tumpuan pengunjung di Desa Pancaran Delima dengan keindahan panorama Pantai Mangkuk. "Mangkuk di daerah Setiu memang terkenal dengan keunikan lanskap yang memukau.  "Maka tidak hairanlan Setiu, Merang  dan Penarik merupakan antara model eko tourism yang terkandung dalam National Ecotourism Master Plan 2016-2025," ujarnya.                  
11 Feb 24
354
Kemenangan Nik Elin Beri Kesan Negatif Sistem Perundangan Syariah
Kemenangan Nik Elin Beri Kesan Negatif Sistem Perundangan Syariah
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kes pembatalan 16 enakmen syariah Kelantan akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah di seluruh negara termasuk Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tanpa hilang hormat kepada institusi mahkamah, keputusan itu sangat mendukacitakan seluruh umat Islam di Malaysia dan ia merupakan hari kelam dan peristiwa hitam (Black Friday) yang akan dikenang oleh semua. “Sekiranya ada kes liwat di Terengganu dan pelaku didakwa di Mahkamah Syariah Terengganu, pelaku boleh merujuk kepada keputusan kes Nik Elin bagi mengelak hukuman.  “Sekali gus membatalkan undang-undang sama di Terengganu walaupun undang-undang terbabit telah dipersetujui dan mendapat perkenan Tuanku Sultan di negeri masing-masing,”katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Dr Khalil, sekiranya berterusan, kita juga bakal menyaksikan Mahkamah Syariah hanya gah pada nama tetapi tiada kuasa untuk menegakkan hukum Islam di negara ini. Tambah Dr Khalil, Itulah kesan daripada keputusan kes hari ini yang seharusnya diinsafi seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi politik. “Ini juga merupakan satu jentikan kepada kita untuk bersatu bangkit melawan serangan musuh Islam yang semakin rancak saban hari. “Saya juga menggesa Kerajaan agar serius untuk mengkaji suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedaulatan undang-undang Syariah kerana sekarang bukan lagi masa untuk bersikap ‘acuh tak acuh’ seperti sebelum ini walaupun banyak nasihat dan amaran sudah diberikan oleh pelbagai pihak,” jelasnya. Beliau berkata, Ahli-Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam sebagai anggota badan legislatif juga perlu menyokong usaha dalam mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini. “Langkah itu perlu bagi memperkasakan sistem kehakiman Syariah agar sebarang tuntutan atau petisyen terhadap bidang berkenaan dapat dipatahkan,” ujarnya.                    
09 Feb 24
706
Impian Pelajar Cemerlang Ke UK Hancur Dalam Satu Detik
Impian Pelajar Cemerlang Ke UK Hancur Dalam Satu Detik
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali HULU TERENGGANU, 8 Februari - Hasrat seorang pelajar, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 21 yang ingin melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) tidak kesampaian akibat kesakitan yang dialami. Ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46, berkata sebelumnya Amirul tidak pernah mengalami sebarang penyakit namun peristiwa pada tarikh 18 Disember 2023 menyebabkan segalanya berubah dalam satu detik. Katanya, Amirul telah pengsan tiba-tiba di ruang tamu apartment di Taylor University dan hasil dari siasatan hospital mendapati salur darah dalam otaknya telah pecah. "Doktor menjelaskan kepada saya bahawa tengkorak di bahagian otak Amirul pula tidak mengalami sebarang retak namun punca pendarahan itu masih belum diketahui lagi. "Amirul telah dibawa ke Sunway Medical Centre Unit Kecemasan dan dipindahkan ke Hospital Cyberjaya pada hari sama kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rumahnya pada hari ini. Turut hadir menziarahi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Merangkap ADUN Ajil, Maliaman Kassim. Maliaman Kassim berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencari dana bagi meringankan kos perubatan dan makanan harian Amirul. Beliau juga mendoakan Amirul agar cepat sembut dan kembali sihat seperti sedia kala supaya dapat merialisasikan impianya. "Di samping, semoga dia dapat menjalani kehidupan seharian seperti orang-orang lain," ujarnya.  
08 Feb 24
1970
Utamakan Keselamatan Dalam Keghairahan Bercuti
Utamakan Keselamatan Dalam Keghairahan Bercuti
MARANG, 7 Februari - Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak bertanggungjawab bagi mengelakkan kecelakaan dalam kesibukan pulang bercuti. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, keselamatan perlu diutamakan dalam dalam keghairahan sambutan musim perayaan.  "Kita harap semua akan berhati-hati kerana keselamatan jalan raya banyak bergantung kepada pengguna itu sendiri. "Tambah-tambah, jalan raya kini turut dilalui lembu, binatang lain yang membuatkan kita bimbang risiko yang menanti. "Kita harap semua pengguna memahami aspek keselamatan termasuk kecuaian manusia, kalau tidak berhati-hati mungkin akan mengakibatkan kecelakaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Musim Tahun Baru Cina di perkarangan Shell Wakaf Tapai, hari ini. Kempen diadakan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan pelbagai agensi dalam usaha membina gelombang kefahaman bahaya di jalan raya. Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Terengganu; Dato' Wan Rukman Wan Hassan, Pengarah JPJ Terengganu; Zulkarnain Yasin,  ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Isa. Kempen itu turut melibatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri antaranya Terengganu Inc, Syarikat Air Terengganu (SATU), TDM Berhad dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).
08 Feb 24
260
Dun Bandar, Yayasan Islam Jalin Kerjasama Martabat Syiar Islam
Dun Bandar, Yayasan Islam Jalin Kerjasama Martabat Syiar Islam
KUALA TERENGGANU, 7 Februari – Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar bakal menjalin kerjasama dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) bagi perancangan memartabatkan syiar Islam pada tahun ini. Pegawai Yayasan Islam Terengganu Daerah kuala terengganu, Ahmad Solahuddin Al Ayubi Ahmad berkata melalui pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed sebentar tadi, banyak buah fikiran dibincangkan berasama. Katanya, pelbagai perancangan juga telah mendapat persetujuan khususnya program berkaitan kerohanian dan dakwah. “Pertemuan pada petang ini juga bagi mengeratkan lagi kerjasama hubungan erat terutamanya jalinan kerja kerajaan negeri bersama pihak YIT. YIT dan pejabat DUN Bandar serius untuk menjalin kerjasama. “Pelbagai perancangan telah dibuat namun perlu diteliti juga kos setiap program memandangkan kewangan negeri semakin merunsingkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bertempat di PKM DUN Bandar. Tambah Salahuddin, program kerohanian penting dalam membentuk karakter masyarakat yang lebih berakhlak. “Saya mengharapkan program yang bakal dijalankan nanti mampu memberi manfaat dari sudut ilmu sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita. “Harapan saya agar kerjasama YIT dan kerajaan negeri melalui unit tubuh di setiap DUN semakin bagi memberi manfaat rakyat negeri ini,” ujarnya.
07 Feb 24
324
Rewcastle-Brown Dipenjara 2 Tahun Fitnah Sultanah Terengganu
Rewcastle-Brown Dipenjara 2 Tahun Fitnah Sultanah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Keputusan itu dibuat Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri selepas Rewcastle-Brown, 65, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan. Nik Mohd Tarmizie kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini. Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes berkenaan. Perbicaraan kes dijalankan secara 'in absentia' (tanpa kehadiran) dibawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah. Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose. Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta. Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Kenyataan itu juga mengatakan baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud Baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Mohd Khairuddin Idris dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali. Sebelum ini, Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021. Bagaimanapun, Rewcastle-Brown membuat pemohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K Muniandy pada 21 Jun 2023 menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Muniandy memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan kes itu sepatutnya diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagimemandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 September 2021. - Berita Harian.
07 Feb 24
372
11 Barang Disenarai di Bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2024
11 Barang Disenarai di Bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2024
HULU TERENGGANU, 7 Februari - Sebanyak 11 barangan disenaraikan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)Tahun Baru Cina 2024 yang berkuat kuasa bermula 6 hingga 14 Februari di Terengganu. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari lagi selepas hari perayaan. "11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut ialah udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). "Selain itu, turut disenaraikan ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran SHMMP Tahun Baru Cina 2024 di Pasaraya Xiri Wakaf Tapai di sini hari ini. Sehubungan itu katanya, semua pihak diharapkan dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut. Saharuddin memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Tambah beliau, pihak KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim perayaan ini. Justeru itu, seramai 117 penguat kuasa KPDN di seluruh negeri dikerahkan untuk membuat pemantauan dan  melakukan pemeriksaan harga sempena pelaksnaaan skim harga maksimum musim perayaan tersebut. "Pihak kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang  disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.    
07 Feb 24
254
PMINT Sasar Perolehan RM170 Juta Tahun Ini
PMINT Sasar Perolehan RM170 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 7 Februari- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan melalui sembilan anak syarikatnya sebanyak RM170 juta tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Derahman, berkata jumlah tersebut lebih tinggi berbanding perolehan pada tahun lepas yang dianggarkan berjumlah RM100 juta. “PMINT mempunyai perancangan lima tahun bermula 2022 sehingga 2026 dan sekarang sudah masuk tahun ketiga. “Untuk tahun ini sasaran perolehan PMINT adalah lebih kurang RM170 juta dan kita akan bergerak lebih agresif berbanding tahun 2023,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen Bicara Jabatan Kerajaan di TV Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, anak-anak syarikat PMINT melibatkan pelbagai sektor termasuk pelancongan, pertanian, pengilangan makanan, kuari, mineral dan galian serta pembangunan perumahan. Sementara itu Wan Adnan berkata, fokus utama PMINT untuk tahun ini adalah mengurus kawasan industri dengan lebih agresif. Katanya, kawasan perindustrian yang ditambah baik dan dibaik pulih berpotensi menarik pelabur termasuk daripada luar negara. “Dengan adanya tambah baik di kawasan indsturi ini dari segi fasiliti, jalan masuk, talian telekomunikasi, bekalan elektrik, bekalan air dan sebagainya ia akan lebih menarik minat pelabur dengan tawaran dan pakej terbaik yang kita sediakan. “Apabila pelabur luar negara masuk dan membuat pelaburan yang bernilai ratusan juta di Negeri Terengganu dengan memajak kawasan-kawasan industri sudah pasti ia akan dapat membangunkan lagi sektor ekonomi samada SME dan sebagainya. “Selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kerana kita sasarkan 70 peratus daripada pekerja dalam industri yang dibangunkan mesti rakyat Terengganu,” ujarnya.  
07 Feb 24
391