lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

EPIC Sumbang RM25 Ribu Suntik Semangat Pasukan Hoki Terengganu
EPIC Sumbang RM25 Ribu Suntik Semangat Pasukan Hoki Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Kerajaan Negeri menerusi anak syarikatnya, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyumbang tajaan sebanyak RM25,000 kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2024. Penaung Pasukan Hoki Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, tajaan tersebut bakal membantu persediaan dan memperkuat lagi para pemain bertepatan dengan liga yang sudah membuka tirai awal Februari lalu. "Sumbangan tajaan pada tahun ini, ditambah sebanyak RM15 ribu kepada RM25 ribu berbanding tajaan pada tahun 2023 yang berjumlah RM10 ribu. "Di samping, ia juga merupakan kesinambungan dalam usaha EPIC Berhad untuk merancakkan prestasi dan pembangunan sukan di ngeri Terengganu, sekali gus melahirkan atlet-atlet tempatan bertaraf dunia," jelasnya.   Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Cek Tajaan kepada Pasukan Hockey Team bertempat di Tingkat 5, Pejabat EPIC Kuala Terengganu di sini hari ini. Sesi penyerahan tajaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Ir Mukhtar Suhaili, kepada Presiden Persatuan Hoki Terengganu Mohd Fikri Harun dengan disaksikan oleh Penaungnya, Ir Saiful Azmi Suhaili. Tambah Ir Saiful, pihak syarikat juga optimis dan yakin dengan barisan atlet baharu pasukan THT. Menurutnya, sebagaimana pencapaian cemerlang THT merangkul kejuaraan tiga piala musim lalu. "Cabaran besar untuk musim 2024 adalah untuk mengekalkan kembali ketiga-tiga kejuaraan tersebut apabila sebahagian pemain kita telah masuk ke pasukan lawan. “Setinggi-tinggi penghargaan kepada EPIC Berhad atas sokongan yang diberikan kepada pasukan THT bagi merealisasikan misi memburu kejuaraan musim ini,” ujarnya.                  
06 Feb 24
367
SRIDI Kini Jadi Pilihan Ibu Bapa di Terengganu
SRIDI Kini Jadi Pilihan Ibu Bapa di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) kini semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa di Terengganu. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata ia berikutan usaha dan kesungguhan ibu bapa dalam penglibatan aktiviti bersama anak-anak di sekolah semakin memberangsangkan. "Semua pihak sentiasa bersepadu dan bersungguh-sungguh supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak.  "Sebenarnya, kejayaan seorang murid bukan hanya terletak pada usaha guru semata-mata bahkan ibu bapa juga perlu mencorakkan masa depan anak-anak mereka,” jelasnya. Ahmad Shah sedang berucap ketika merasmikan majlis tersebut. Beliau berkata demikian ketika Majlis Ihtifal Takrim At-Talaamiz Al-Mutafawwikin bertempat di Sekolah Rendah Islam Darul Iman(SRIDI) Bandar di sini hari ini. Tambah Ahmad Shah, majlis tersebut merupakan satu penghargaan khas untuk murid-murid yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang Akademik, Koakademik dan Kokurikulum.   “Saya percaya majlis pada hari ini selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.  “Diharapkan semoga program seperti ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan,” katanya. Jelasnya lagi, cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu.  “Pada kesempatan ini, saya ingin melontarkan cabaran kepada murid-murid agar dapat membuktikan bahawa anda mampu meneruskan kejayaan yang lebih gemilang.  “Berusahalah dengan lebih gigih berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah,” ujarnya. Ibu bapa yang hadir meraikan kejayaan anak-anak mereka.  
06 Feb 24
2562
Golongan Bukan Islam Hidup Aman di Terengganu
Golongan Bukan Islam Hidup Aman di Terengganu
HULU TERENGGANU, 6 Februari - Golongan bukan Islam dan bukan melayu di negeri ini hidup aman damai dalam satu komuniti walaupun Terengganu didominasi oleh melayu islam. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, semua kaum yang ada saling hormat menghormati sekali gus menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa orang bukan islam terpinggir di Pantai Timur. "Di Terengganu, tidak pernah berlaku masalah perkauman justeru semua rakyat dapat hidup bersatu menjayakan pelbagai aktiviti komuniti," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Komuniti Rahmah Bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu, di Dewan NGO, Kampung Pengkalan Ajal, di sini, semalam. Dalam pada itu, mengulas tentang hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini, beliau berkata hubungan sentiasa berlangsung dalam keadaan harmoni atas semangat federalisme. "Hubungan baik antara kedua belah pihak akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama dalam memastikan kebajikan rakyat terbela serta sentiasa berada dalam keadaan harmoni," katanya. Ujarnya, kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang amat bermakna kepada kerajaan negeri serta sangat dialu-alukan kerana ia secara tidak langsung menzahirkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berada di dalam keadaan baik. "Kehadiran Menteri Perpaduan Negara hari ini telah dapat menceriakan masyarakat di sini melalui Program Komuniti Rahmah bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu. "Dengan jalinan kerjasama ini diharap akan berterusan untuk menjaga keharmonian supaya tiada berlaku pergeseran yang boleh mengakibatkan kerugian dan berlakunya rusuhan yang tiada sepatutnya berlaku di negara mahupun negeri ini," ujarnya. Sementara itu, Aaron berkata lawatan semalam merupakan lawatan sulungnya ke Terengganu. "Saya ingin rakamkan jutaan terima kasih kerana Kawasan Rukun Tetangga Kampung Pengkalan Ajal telah sudi menjadi tuan rumah bagi Program Komuniti Rahmah. "Program ini adalah merupakan kluster ketiga di bawah program 'flagship' kementerian iaitu Kembara Pepaduan Melaysia MADANI yang telah dilancarkan pada 1 Mac 2023, selain daripada kluster Semarak Kenegaraan dan Semarak Perpaduan. "Dirangka bagi membina komuniti yang sejahtera, mampan dan rahmah khususnya dalam KRT yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan dengan saling menghormati, mengasihi dan menghargai melalui penggemblengan usaha serta tenaga semua pihak," ujarnya.  
06 Feb 24
464
Peruntukan Tabung Bencana Pertanian Terengganu Naik 100 Peratus
Peruntukan Tabung Bencana Pertanian Terengganu Naik 100 Peratus
KUALA NERUS, 6 Februari – Kerajaan Negeri menaikkan peruntukan Tabung Bencana Pertanian (TBP) yang diperkenalkan sejak 2020 sebanyak sekali ganda. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata dana TBP pada  2024 ditambah sebanyak RM1 juta kepada RM2 juta berbanding pada tahun 2023. Katanya, fokus TBP adalah berkaitan projek agromakanan dalam Dasar Agromakanan Negara serta Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu. "Ia meliputi tanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, ternakan, ternakan akuakultur, nelayan dan industri asas tani (IAT). “Di samping, kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang menceburi bidang pertanian, penternakan dan perikanan di Negeri Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat 2024 bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kuala Nerus di sini baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Hilmi Harun, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh Tambah Dr Azman, sepanjang tahun 2023, pembangunan padi di dalam jelapang di Terengganu mencapai keluasan sebanyak 4,541 hektar berbanding dengan 6,675 hektar di luar jelapang.  “Bagi keluasan ladang MyGap di dalam jelapang seluas 415.21 hektar dengan bilangan ladang sebanyak 437 ladang melibatkan 383 orang petani.  “Ia lebih tinggi berbanding luar jelapang hanya 328 hektar dengan bilangan ladang sebanyak 314 ladang melibatkan 299 orang petani,” ujarnya.              
05 Feb 24
227
Mak Su Berputih Mata Lihat Keadaan Rumah
Mak Su Berputih Mata Lihat Keadaan Rumah
Oleh : Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor DUNGUN, 5 Februari – Mangsa banjir di Jalan Cermai, Pasir Raja, Hulu Dungun di sini terpaksa berputih mata apabila melihat kediamannya dibadai lumpur mencecah paras lutut setelah banjir besar. Mangsa, Siti Zubaidah Mat Zin, 74, berkata banjir tersebut antara paling buruk berlaku di kampung berkenaan. Dia yang juga dikenali sebagai Mak Su berkata kejadian itu berlaku sekelip mata sahaja kerana air naik begitu cepat dan dia terpaksa masuk ke dalam rumah tanpa boleh melakukan apa-apa. “Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan yang membantu membersihkan rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Cermai, Pasir Raja, Hulu Dungun baru-baru ini. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata seramai 30 pemuda Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat dalam misi banjir di kampung berkenaan. "Operasi yang bermula pada jam 8 pagi itu berjalan lancar dengan beberapa buah rumah berjaya dibersihkan," ujarnya. Untuk rekod, banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun. Selain Kampung Shukor, banjir sama turut melanda Kampung Pasir Raja, Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing.              
05 Feb 24
666
Malaysia Perlu Kekalkan Pendirian Terhadap Israel
Malaysia Perlu Kekalkan Pendirian Terhadap Israel
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan Malaysia diharap terus mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf negara haram Israel sejak dahulu sehingga kini walau menghadapi apa jua cabaran dan ancaman. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ketegasan untuk tidak menyokong 'two-state solution' juga perlu teguh dipertahankan. "Kita tidak bercakap tentang nama siapa yang memimpin kerajaan pada hari ini cuma kita bercakap atas asas sebagai rakyat malaysia. "Kita berbangga dengan pendirian negara kita sejak daripada merdeka sehingga ke hari ini, inilah pendirian yang perlu kita (bersama) pertahankan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media, sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia baru-baru ini. Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palstein, Dr Ahmad Amir. Dalam pada itu Dr Muhammad Khalil berkata, seluruh dunia pada ketika ini telah sedar akan kekejaman dilakukan rejim zionis terhadap umat Islam di Palestin ekoran daripada peristiwa 'taufan al-Aqsa'. "Ini satu kejayaan sebenarnya dari segi hukuman mereka boleh lepas kerana di belakang mereka adanya Amerika yang merupakan kuasa besar dunia. "Tetapi dari sudut moral, dari segi politik bukan sahaja orang Islam bukan bahkan orang bukan Islam termasuk di barat sudah nampak kezaliman dilakukan oleh Zionis Israel, sekarang orang sudah nampak ini sebenarnya wajah Amerika yang melindungi rejim tersebut," katanya. Mengenai perkembangan semasa, katanya konflik yang berlaku di Palestin akan berterusan. "Konflik ini akan berpanjangan antaranya kita melihat kenyataan-kenyataan daripada pimpinan zionis sendiri yang menyebut mereka akan mengembangkan operasi mereka ke Utara Israel dan akan berlaku pertembungan dengan Hizbullah di Selatan Lubnan," ujarnya.
05 Feb 24
140
Terengganu Lulus Peruntukan Bina Rumah Musnah Akibat Banjir
Terengganu Lulus Peruntukan Bina Rumah Musnah Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina dua buah rumah yang musnah akibat banjir baru-baru ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, dua kediaman tersebut membabitkan daerah Kemaman. “Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melalui Tabung Bencana Negeri telah memberi peruntukan untuk membina dua kediaman mangsa banjir yang musnah di daerah Kemaman," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Green Mobility Roadshow By Gentari di Wisma Darul Iman, semalam.  Mengulas tentang kerugian akibat banjir, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan pihaknya masih dalam proses meneliti laporan dalam empat gelombang setakat ini. "Ia termasuk laporan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan di seluruh negeri ini sebelum menyalurkan sebarang bentuk bantuan kepada mangsa yang terjejas. "Kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kali ini ialah Kampung Shukor dan Kampung Raja di Hulu Dungun dan kita sudah mengarahkan pihak PBT untuk menjalankan kerja pembersihan di sana,” ujarnya. Sementara itu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mengenai bantuan kewangan pihaknya perlu meneliti keadaan kewangan semasa sebelum menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini. "Untuk bantuan kewangan pula, kita perlu teliti dahulu laporan daripada agensi terlibat tetapi untuk bantu semua mungkin kita tidak mampu kerana memerlukan peruntukan yang agak besar,” ujarnya.  
05 Feb 24
233
Bertudung Tanda Kolot, Mundur?
Bertudung Tanda Kolot, Mundur?
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Memakai hijab atau bertudung sering dimomokkan pihak tertentu sebagai kolot dan ketinggalan zaman, walhal ia bukanlah penghalang kepada kebebasan, sebaliknya mengangkat martabat wanita. Pengarah program Hari Hijab Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, mengenakan hijab adalah kewajipan dalam agama Islam, mematuhi perintah Allah SWT untuk menutup aurat. "Berusaha berhijab dengan sempurna, kita akan temui  kekuatan untuk terus melangkah merealisasikan impian," jelasnya. Beliau yang juga Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berkata demikian dalam laman sosial pada semalam. Bertudung bukan sekadar tindakan luaran, tetapi ia melibatkan dimensi spiritual yang mendalam.  "Berhijab, adalah ekspresi kepada kekuatan dan identiti seorang muslim yang mempertahankan keyakinan mereka terhadap pegangan agama. "Bersyukurlah kita masih mampu berhijab dengan sempurna," katanya lagi.
05 Feb 24
793
Kerajaan Negeri Sambut Baik Kerjasama Strategik Dengan Gentari
Kerajaan Negeri Sambut Baik Kerjasama Strategik Dengan Gentari
KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Kerajaan negeri membuka seluasnya ruang kerjasama strategik dengan Gentari Sdn Bhd (Gentari) termasuk pembinaan stesen pengecas kenderaan elektrik di negeri ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat anak syarikat PETRONAS itu untuk membuat lebih banyak pelaburan di negeri ini. “Setakat ini, kalau kita lihat sesiapa yang ada kenderaan elektrik ini bila datang ke Pantai Timur mereka perlu merancang untuk cas kenderaan.  “Sebelum ini pun Gentari dah ada buat ‘enggagement’ dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu. “Mungkin selepas ini dibawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, kita boleh ‘explore’ banyak lagi kerana dibawah Gentari ini bukan sahaja kenderaan elektrik sahaja mereka mahu bawa ke Terengganu tetapi pelbagai lagi cadangan daripada mereka yang boleh kita pertimbangkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Green Mobility Roadshow By Gentari di Wisma Darul Iman, hari ini.  Sementara itu, mengulas mengenai siri jelajah tersebut, beliau memaklumkan, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Gentari telah mengadakan satu Siri Jelajah Kenderaan Elektrik yang berlangsung pada 4 hingga 5 Februari (esok). “Sebanyak empat buah kereta elektrik dan motosikal elektrik akan dipamerkan seperti kereta Mercedes EQS, BYD Atto 3, Motosikal Elektrik Blueshark dan lain-lain. “Gentari menawarkan penyelesaian tenaga bersih melalui rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau untuk pelanggan komersial, perindustrian serta runcit,” ujarnya. Mengulas lanjut katanya, penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta kesedaran dalam bidang tenaga bersih terutamanya tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya kepada penjawat awam, pelajar sekolah serta masyarakat setempat. “Siri jelajah ini akan bermula dengan pameran kenderaan elektrik di Wisma Darul Iman pada jam 9 pagi hingga jam 2.30 petang hari ini. “Seterusnya, pameran akan diteruskan di Pantai Batu Burok pada jam 7 petang hingga 10 malam ini. “Pameran kemudiannya akan berakhir pada 5 Februari dengan sesi pameran di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu dan seterusnya di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bermula pada jam 2 petang hingga jam 5 petang esok,” ujarnya. Tambah beliau, kolaborasi ini adalah salah satu usaha untuk kerajaan negeri meneroka teknologi pengangkutan baharu dan mewujudkan ekosistem kenderaan hijau di Terengganu melalui pembangunan infrastruktur elektrik dan hidrogen pada masa akan datang. 
04 Feb 24
470
Terengganu Berjaya Lahir 266 PASTI
Terengganu Berjaya Lahir 266 PASTI
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Terengganu berjaya mewujudkan 266 buah Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) yang mempunyai seramai 1,352 orang tenaga pengajar dan 15,575 orang pelajar sehingga tahun 2024. Ahli Jawatankuasa PASTI cawangan Kuala Terengganu, Khairul Ammarnizam Khamaruzaman berkata, PASTI merupakan institusi pendidikan pra sekolah yang telah bergerak hampir 40 tahun dahulu. Katanya, ia dengan Misi untuk melaksanakan program pendidikan yg cekap, berkualiti dan berkesan bagi menjadikan PASTI pilihan utama masyarakat di Malaysia.  “Di kesempatan ini, saya merakamkan ucapan tahniah kepada PASTI cawangan Kuala Terengganu yang telah berjaya mendapat Johan bagi acara Kalam Jamaie peringkat kebangsaan yang berlangsung di Perlis baru-baru ini. Khairul Ammarnizam Khairul Ammarnizam Khamaruzaman sedang berucap ketika majlis berkenaan “Marilah sama-sama kita memastikan anak-anak kita selesa dan mendapat didikan agama seawal usia mereka empat, lima dan enam tahun,” katanya ketika Majlis Anugerah Prestasi PASTI Al-Huda dan Fardhu Ain bertempat di cawangan Tanjung di sini semalam. Tambah Khairul, pihaknya berharap agar kerjasama dan semangat persaudaraan di kalangan guru-guru dan ibu bapa, sentiasa erat bagi melahirkan kanak-kanak soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan prasekolah berteraskan islam akan tercapai. “Semoga mereka tumbuh dan membesar dalam suasana Islam agar mereka mampu menjadi pejuang agama Allah SWT suatu masa nanti, InshaAllah,” ujarnya. Ustaz Ahmad Zuhhad Abdul Rahman sedang menyampaikan hadiah.
04 Feb 24
763