lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000
TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000
HULU TERENGGANU, 15 Februari- Pasukan Bola Sepak, Terengganu FC (TFC) menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM500,000 daripada Rimba Razia Petting Zoo, hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, jumlah penajaan itu adalah bagi tempoh semusim.  "Selain wang tunai bernilai RM250,000, tajaan yang diterima daripada pihak Rimba Razia membabitkan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan pasukan TFC. "Kami ingin mengucapkan terima kasih atas penajaan ini, " ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani penajaan TFC sesi 2024/2025 di Rimba Razia Petting Zoo di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lanjut katanya, setakat ini pasukan TFC telah berjaya mengumpul kira-kira RM7 juta penajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan daripada 23 syarikat. Sementara itu, Pengerusi Rimba Razia Petting Zoo, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, sebagai peminat tegar bola sepak, tajaan tersebut merupakan salah satu sumbangan syarikatnya kepada pembangunan sukan bola sepak negeri selain diharap dapat membantu mempromosikan zoo miliknya itu.  "Kami mengharapkan agar sumbangan kecil daripada syarikat kami ini akan meransang lagi pasukan TFC dan pemain-pemainnya untuk berjuang dalam pertandingan musim hadapan ini dengan lebih cemerlang. "Sekiranya prestasi syarikat dan TFC bertambah baik, insyaAllah kita akan tambah lagi penajaan pada musim-musim akan datang," katanya.
15 Feb 24
353
Terengganu Terima Kunjungan Duta Palestin
Terengganu Terima Kunjungan Duta Palestin
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Kerajaan Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Palestin ke Malaysia, TYT Walid Abu Ali bersama rombongan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata TYT Walid menceritakan sedikit sebanyak tentang isu global yang sedang berlaku kini sekali gus menimbulkan rasa pilu apabila mengenangkan keadaan saudara kita di sana. “Beliau juga meluahkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada kelompok yang mempertahankan dan menyumbang kepada rakyat di sana. “Semoga hubungan antara Malaysia dan Palestin dapat diperkukuhkan demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, beliau meminta agar rakyat teruskan berdoa dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing sama ada dari segi kewangan, fizikal dan sebagainya.  Untuk rekod, Terengganu berjaya mengumpulkan sumbangan RM2,414,300 untuk disalurkan bagi membela nasib umat Islam yang sedang ditindas dan sedang berjuang demi membebaskan bumi al-Aqsa. Tabung yang dilancarkan pada 13 Oktober itu telah diserahkan kepada Sekretariat #Aid4Palestin di Masjid Rusila, Marang pada 5 November lepas.              
15 Feb 24
140
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
KUALA NERUS, 15 Februari - Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) memperkenalkan satu aplikasi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang menjadi platform untuk rakyat Terengganu mencari pekerjaan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui aplikasi berkenaan rakyat negeri ini dapat maklumat yang betul mengenai info semasa jawatan kosong yang diiklankan sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa 'scammer'. "Setiap hari akan dikemaskini maklumat semasa tentang syarikat, agensi, jabatan, organisasi sama ada kerajaan ataupun swasta yang memerlukan pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan. "Bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang info semasa jawatan kosong di negeri ini tetapi akan mendapat maklumat seluruh malaysia akan dipaparkan melalui peranti yang dicipta khas oleh THRDC yang ditempatkan di Pusat Cari Kerja, di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Walkabout Outreach kerjaya bertempat di T-HRDC, Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid. Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat peranti itu, paparan aplikasi berkenaan akan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat selepas ini. "Apa yang penting hasrat kerajaan negeri hendak memastikan rakyat mendapat pekerjaan seramai mungkin," ujarnya.  
15 Feb 24
1078
Pemuda Raih Pendapatan Lumayan Cebur Bidang Penternakan
Pemuda Raih Pendapatan Lumayan Cebur Bidang Penternakan
SETIU, 15 Februari - Seorang anak muda dari Kampung Bahagia meraih pendapatan lumayan apabila menceburi bidang penternakan ayam daging secara komersil. Hisyamudin Mat Isa, 30 berkata, beliau mewarisi bidang penternakan ayam daging daripada bapanya sejak tahun 2018. "Reban yang sedia ada sekarang ini kita mampu memuatkan 10,000 ekor ayam dalam satu-satu masa. "Kita mempunyai tiga reban dan saya bercadang untuk menambah lagi reban bagi membolehkan lebih banyak ayam dapat diternak," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Penternakan ayam daging yang diusahakannya turut mendapat pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu. Tambahnya lagi, masa yang diambil untuk ayam membesar dan boleh dipasarkan adalah selama 35 hari.  
15 Feb 24
418
Masyarakat Padang Maras Joging Sambil Berfesyen
Masyarakat Padang Maras Joging Sambil Berfesyen
KUALA NERUS, 15 Februari - Masyarakat Kampung Maras mencipta kelainan apabila menganjurkan aktiviti santai berjoging atau 'Fun Run Padang Maras di kawasan sawah padi dengan memakai pakaian mengikut tema-tema tertentu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, larian sejauh 5.1 kilometer bertemakan 'warna-warni perayaan' itu juga bertujuan mengembalikan suasana keharmonian dan perpaduan dalam komuniti seperti zaman lampau. Katanya, program itu disifakan sebagai sangat berjaya apabila mampu mengumpulkan hampir 200 peserta yang menggayakan pakaian masing-masing mengikut tema. "Dengan pemandangan indah di awal pagi sebaik matahari terbit ataupun detik matahari terbenam, lokasi ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam gambar dan keindahan lanskap yang sangat cantik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Larian Fun Run Padang Maras Kampung Maras, Batu Rakit disini baru-baru ini. Acara ini turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Muhammad Izzudin Abd. Aziz, Ketua Balai Polis Batu Rakit , Syeikh Mohd Ali Aswad Syeikh Mahamod dan wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Nurmazira Mahussin. Sementara itu, Setiausaha Kelab Sukan Rekreasi Bukit Maras, Mohd Izham Mohd A.Wahid, 48, berkata, acara itu bakal menjadi acara tahunan. "Dengan hasrat menjadikannya sebagai satu pengisian komuniti untuk mengeratkan hubungan dan memberi peluang kepada pelancong yang datang untuk menyertai acara, sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan untuk menghayati keindahan suasana kampung berlatarkan aktiviti pertanian," jelasnya. Katanya, mengambil manfaat cuti umum sempena Tahun Baru Cina, 'Fun Run Padang Maras' memberi peluang kepada penduduk kampung dan peserta berkumpul sambil menyertai aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga serta merakam momen menarik sepanjang acara berlangsung. ‘’Semangat kesukanan dan keceriaan para peserta yang hadir menjadikan acara yang julung kali diadakan ini sangat meriah dan begitu bermakna sekali.  "Para peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur dapat berhimpun dalam satu acara komuniti setempat, bersama menghayati keunikkan suasana kampung yang masih tinggal, sementara ia belum ditelan arus pembangunan," katanya.
15 Feb 24
499
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
SETIU, 14 Februari - Sepasang beruang liar mengancam keselamatan penduduk dengan mengakibatkan beberapa serangan dan gangguan di Kampung Pengkalan Gelap. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Setiu, Rosdi Che Lah berkata, serangan berlaku sejak tiga hari lepas menyasarkan haiwan ternakan, kawasan pertanian dan terbaru sarang lebah kelulut. Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu "Saya telah memberi peringatan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati dengan kehadiran beruang liar ini yang boleh memberikan ancaman keselamatan. "Sejak tiga hari lepas setiap malam berlaku serangan dan gangguan dan saya menaruh rasa bimbang yang amat dengan kehadiran binatang liar ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Gelap. Ekoran aduan yang telah dibuat, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap bagi menangkap binatang liar ini supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Tambahnya, beliau berharap situasi itu segera berakhir dan penduduk kampung bebas daripada ancaman.
15 Feb 24
388
Aduan Rakyat Jadi Platform Selesai Masalah
Aduan Rakyat Jadi Platform Selesai Masalah
SETIU, 15 Februari – Program Kaunter Aduan Rakyat di Parlimen Setiu terus diadakan bagi memastikan permasalahan rakyat dapat diteliti dan diselesaikan dengan baik. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program itu tetap dilaksanakan bagi penggal kedua beliau sebagai Ahli Parlimen di Kawasan tersebut. “Alhamdullilah, saya melihat program Kaunter Aduan Rakyat sejak dilaksanakan bermula 2018 sangat mendapat sambutan. Usaha ini juga dapat memberi input yang lebih terperinci tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. “Insya-Allah semua aduan daripada orang kampung akan diambil perhatian. Kita telah menerima pelbagai aduan hasil daripada program ini. "Semua permasalahan akan diambil perjalanan segera untuk diselesaikan agar kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin, insya-Allah kita akan terus mengadakan program ini dengan melibatkan seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Setiu ini secara dwi-bulanan atau secara bulanan," katanya. Tambahnya, bermula minggu lepas telah berlangsungnya Program Kaunter Aduan Rakyat di tapak Pasar Tani Kampung Buluh dan pada hari Isnin yang lalu telah dilaksanakan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang dibuat di Dewan Kampung Gong Lingai.  "Pada sebelah petang pula, aktiviti ziarah Mahabbah di sekitar kampung yang terlibat. Menyantuni dan menziarahi penduduk yang ditimpa musibah, keuzuran dan sebagainya," katanya.
15 Feb 24
154
I-MiTS, KWSP Perkukuh Hubungan Rakan Strategik
I-MiTS, KWSP Perkukuh Hubungan Rakan Strategik
KUALA TERENGGANU, 14 Februari- Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) komited dalam memperkukuhkan hubungan bersama rakan strategiknya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pengarah I-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata, matlamat utama kerjasama tersebut adalah untuk menjalin hubungan baik I-MiTS bersama kerajaan negeri, melalui portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional dengan pihak KWSP.  “Pada minggu lalu kita telah mengadakan pertemuan bersama pihak KWSP bertempat di Wisma Darul Iman. “Dalam perjumpaan tersebut, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Rahmat Ali telah berkongsi beberapa perkara antaranya memberi penerangan mengenai produk-produk yang ada di KWSP untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.  “Beliau turut memaklumkan terdapat 10 produk KWSP yang perlu diketahui oleh orang ramai,” ujarnya. Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu KWSP sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan sebarang program demi untuk kebajikan rakyat. “Selari dengan misi memperkukuhkan celik pengurusan kewangan terutamanya yang berada di sektor tidak formal melibatkan pelajar, bekerja sendiri, suri rumah dan lain-lain,” ujarnya.  
14 Feb 24
311
Bina Penempatan Baharu Mangsa Banjir Hulu Dungun
Bina Penempatan Baharu Mangsa Banjir Hulu Dungun
HULU DUNGUN, 13 Februari - Kerajaan dicadang untuk mewujudkan perumahan dan penempatan baharu bagi penduduk terkesan banjir termasuk dari Kampung Pasir Raja dan Kampung Syukur serta sekitarnya bagi mengelakkan mereka terbeban dengan kerugian harta benda serta masalah sama setiap tahun. Serentak itu, penduduk kedua-dua kampung terlibat bersetuju sekiranya kerajaan negeri berhasrat mewujudkan rancangan tersebut di kawasan penempatan baharu yang lebih selamat daripada banjir. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani, 62, berkata penduduk Kampung Pasir Raja bersedia menyahut seruan kerajaan negeri sekiranya kerajaan berhasrat membina kawasan perumahan baharu untuk mengatasi masalah tersebut. Katanya, penduduk bersedia mengenalpasti kawasan yang sesuai dan akan membuat cadangan tersebut melalui JPKK kampung itu jika perlu. Menurutnya penduduk bersedia membayar sewa beli rumah berkenaan dengan harga berpatutan sebagaimana syarat biasa memiliki rumah kerajaan. "Walaupun pendapatan penduduk kampung tidak seberapa namun mereka bersedia membayar kadar sewa beli rumah yang berpatutan jika kerajaan bersedia membantu menyelesai masalah mereka dengan mengadakan perumahan mampu milik di kampung kami," katanya ketika ditemui di kampung Pasir Raja di sini hari ini sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris di kampung tersebut. Sementara itu Timbalan Pengerusi JPKK Syukur Che Wan Baderi Che Wan Hassan, 62, berkata lebih 100 penduduk kampung itu menerima tanah untuk perumahan seluas kira-kira 140 ekar di Kampung Bukit Tiong Sungai Perlis daripada kerajaan negeri. JPPK Syukur dan penduduk kampung katanya memberi sokongan penuh sekiranya kerajaan berhasrat menjadikan tanah tersebut sebagai kawasan penempatan dan perumahan baharu supaya masalah terkesan banjir dapat diatasi. "Kami bersedia membayar sewa beli rumah tersebut sebagaimana kesanggupan yang dibuat penduduk Kampung Pasir Raja," ujarnya ketika dihubungi hari ini. Setiap tahun penduduk kampung Pasir Raja dan Syukur menghadapi masalah banjir mengakibatkan rumah mereka ditenggelami air dan paling teruk tahun ini rumah mereka berhadapan dengan banjir lumpur. Tinjuan UPDI mendapati keadaan rumah penduduk kedua-dua kampung tersebut ada yang belum pulih sepenuhnya dan masih terdapat kesan-kesan banjir di sekitar rumah mereka termasuk lumpur dan timbunan peralatan rumah yang rosak. Untuk rekod, sebelum ini Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina dua buah rumah yang musnah akibat banjir baru-baru ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, dua kediaman tersebut membabitkan daerah Kemaman. “Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melalui Tabung Bencana Negeri telah memberi peruntukan untuk membina dua kediaman mangsa banjir yang musnah di daerah Kemaman," jelasnya.        
14 Feb 24
344
Destinasi Pelancongan Terjejas Banjir Bakal Dibaik Pulih
Destinasi Pelancongan Terjejas Banjir Bakal Dibaik Pulih
HULU DUNGUN, 14 Februari - Kerajaan negeri komited untuk membaik pulih dan memulihara destinasi pelancongan di Hulu Dungun yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini.. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kolaborasi antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan sedia terjalin akan berusaha bagi mengekalkan keaslian destinasi pelancongan di daerah itu. "Begitu juga penduduk setempat memberi kerjasama yang baik bagi memastikan keaslian alam semula jadi di sini terus terjaga," katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan pelancongan terjejas banjir di sini semalam. Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim dan beberapa pegawai lain dari agensi kerajaan persekutuan dan negeri Terengganu. Razali berkata kolaborasi dan pemuliharaan kawasan tersebut perlu dilaksanakan segera kerana banjir yang melanda daerah itu adalah luar biasa sekali gus usaha bagi membaik pulih kawasan pelancongan itu memakan belanja yang begitu besar. "Pejabat Daerah sebagai tuan rumah bersama agensi-agensi terlibat dengan pembangunan di kawasan Pasir Raja ini, perbincangan mereka dan pelaksanaan pemulihara destinasi pelancongan akan dilaksanakan sebelum hari raya Aidilfitri ini," jelasnya. Mengulas lanjut mengenai perancangan pelancongan pasca banjir di daerah itu, Razali berkata Hulu Dungun merupakan hutan hujan Asia Tenggara terbaik yang masih tidak tercemar dan perlu dipelihara sebagai aset pelancongan negeri Terengganu. "Justeru itu kita (kerajaan) akan meneruskan agenda pelancongan berasaskan komuniti (Community Base Tourism) yang dimiliki oleh penduduk sendiri," tambahnya. Justeru katanya kerajaan akan memberi penjelasan cara pengurusan pelancongan supaya Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan NGO setempat mengambil bahagian mengurus kawasan tersebut sebagai pendapatan tambahan mereka. Kampung Pasir Raja dan Kampung Syukur mempunyai destinasi pelancongan menarik untuk anak muda yang suka aktiviti lasak termasuk 'jungle trecking', aktiviti pacuan empat roda, memancing dan sukan air. Justeru katanya kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan lain akan menyusun aktiviti pelancongan untuk manfaatkan keaslian alam semula jadi di daerah itu sebagai daya tarikan pelancongan popular negeri Terengganu. 
14 Feb 24
221