Artikel "Semasa" Terkini
Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera Tarik Lebih 10,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) menerima lebih 10,000 pengunjung selama tiga hari program berlangsung yang bermula 15 hingga 17 Februari bertempat di pasaraya KTCC di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, seramai 24 orang usahawan terpilih dalam program tersebut yang terdiri dari belia dan beliawanis Terengganu.
Katanya, karnival jualan U-BES ini merupakan program julung kalinya dianjurkan oleh pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu yang menghimpunkan Usahawan Belia Sejahtera di bawah satu bumbung.
“Rata-rata peniaga meluahkan perasaan puas hati kerana sambutan yang meriah ditunjukkan dari kalangan para pengunjung yang hadir.
“Beberapa gerai yang menjadi tumpuan pada karnival tersebut antaranya gerai kek lapis, kuih-muih tempatan, pakaian batik dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketik sidang media selepas Menghadiri Walkabout Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bertempat di Centre Atrium, KTCC Mall di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi.
Tambah Ariffin, penyertaan para peniaga yang mendaftar di bawah U-Bes juga amat memberangsangkan dan lebih ramai pada tahun ini.
“Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Insyaallah pihak YPU Terengganu akan menganjurkan lagi program sedemikian rupa pada masa akan datang.
“Terima kasih diucapkan kepada semua usahawan yang terlibat dalam menjayakan Karnival Jualan U-BES ini,” ujarnya.
18 Feb 24
333
Didikan Awal Berhijab Bermula Dari Rumah
SETIU, 18 Februari - Didikan awal berhijab bermula dari rumah dengan ibu bapa dan penjaga memegang peranan utama dalam membimbing anak-anak mengenai nilai-nilai menutup aurat, pemahaman tentang keagamaan dan mengajarkan kehormatan diri.
Ketua Nisa' kawasan Setiu, Siti Mardhiah Mohd Zain berkata, langkah proaktif itu bagi memastikan anak-anak membesar dengan kesedaran yang kukuh terhadap pentingnya menutup aurat sebagai aspek utama dalam kehidupan beragama.
"Semuanya bermula dari rumah.Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan awal berkenaan berhijab.
"Apabila dari rumah sudah kita asuh dan didik dengan baik maka ia akan menjadi amalan dan ikutan serta amalan yang baik sedari anak-anak kecil sehinggalah dewasa kelak," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Sambutan Hari Hijab Terengganu Peringkat Daerah Setiu di Pasar Tani Pantai Rhu 10, pada kelmarin.
Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain bin Abdul Kadir, Pegawai Pejabat Agama Daerah Setiu, Ustaz Mohd Shaharuddin Zainal, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Hamiz Zahiruddin Zahari.
Tambahnya, risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita turut diedarkan pada orang ramai.
Selain itu, stokin tangan dan kaki turut diedarkan secara percuma kepada pengunjung yang datang membeli belah.
"Terima kasih juga diucapkan kepada Pejabat Daerah Setiu dan juga Majlis Daerah Setiu yang telah menyediakan kemudahan untuk para peserta yang hadir.
"Insya-Allah jumpa lagi di program program akan datang," tambah Siti Mardhiah lagi.
18 Feb 24
135
Beras Madani : Kerajaan 'Kluk Klek', Rakyat Jadi Mangsa
BESUT, 18 Februari - Kenyataan yang saling bercanggah dalam isu utama negara terutama melibatkan sumber makanan ruji negara seperti beras tidak boleh diterima sama sekali.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim menegaskan, percanggahan keputusan dalam kementerian lebih-lebih lagi apabila melibatkan makanan utama akan memberi impak kepada seluruh rakyat.
"Di kalangan teraju yang menjaga sektor makanan negara tidak sepakat, baru-baru ini ada seorang keluar kenyataan (Ahli Parlimen Bukit Gantang), semalam pula menteri (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan-KPKM), keluar kenyataan menafikan kenyataan itu.
"Saya tengok ada sesuatu isu yang perlu diselesaikan di peringkat kementerian, bagaimana seorang boleh mengeluarkan kenyataan dan apakah dia berautoriti dalam bidang kuasanya? Tanpa kelulusan kabinet dan menteri pula hari ini memberi kenyataan tidak merestui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
"Bagaimana boleh tidak sepakat dalam perkara ini, selesaikanlah. Jangan jadikan rakyat keliru serta buat satu solusi yang terbaik," katanya.
Belilau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Main Selut Bukit Tanah 2024 yang diadakan di Baruh Padi Gong Telikung, semalam.
Tambah Dr. Azman, keputusan tersebut seharusnya dikaji semula oleh kementerian terbabit sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas ini kerana sebarang keputusan akan memberi impak besar kepada rakyat.
"Kita tidak dapat elak situasi pembelian panik berlaku kerana ada kemungkinan harga akan naik pada suatu tarikh yang ditetapkan apabila ia berkuatkuasa.
"Semoga ia dikaji semula kerana dilihat tiada kesepakatan. Daripadakenyataan dikeluarkan sebelum ini (oleh Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)) seolah-olah mendapat restu Perdana Menteri, tetapi hari ini dinafikan pula.
"Kita harap mereka tengok semula kepentingan rakyat, jangan kita jaga kepentingan taikun-taikun yang akhirnya menekan rakyat dengan sektor makanan ruji seperti ini," nasihatnya.
Sebagai rekod, pada 14 Februari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL mengumumkan bahawa kerajaan bakal memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.
Namun, hari ini Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan media menafikan perkara itu. Jelasnya dalam kenyataan itu, kerajaan belum ada ketetapan yang dibuat atas cadangan Datuk Syed Abu Hussin, sebaliknya menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan membincangkan secara kolektif isu Beras Putih Malaysia Madani dalam Mesyuarat NACCOL akan datang.
Nota: Kluk klek merupakan loghat Terengganu yang bermaksud tidak tetap pendirian.
18 Feb 24
505
110 Kanak-kanak Batu Rakit Berkhatan Beramai-ramai
KUALA NERUS, 17 Februari - Seramai 110 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur lima hingga 13 tahun menyertai program Khatan Perdana Peringat DUN Batu Rakit 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, program yang menjadi tradisi saban tahun itu mendapat sokongan menggalakkan daripada ibu bapa.
Katanya, program tersebut mendapat sambutan sangat luar biasa dengan penyertaan yang cukup ramai dan meriah.
"Baru buka penyertaan sudah ramai mula mengisi penyertaan sampai penyertaan lebih pada yang kita jangkakan.
“Bahkan kita belum pun menyebar luas maklumat kepada umum mengenai program ini, tetapi penyertaan sudah pun penuh.
“Memang tempoh waktu yang sesuai dengan cuti sekolah hujung tahun program sebegini diadakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika selepas merasmikan pada Program Khatan Perdana di Masjid Mengabang Telipot disini hari ini.
Tambah beliau, khatan beramai-ramai merupakan acara tahunan pihaknya bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan.
Ujar beliau, kerjasama semua pihak bagi menjayakan program itu sangat dihargai.
“Tahniah pihak penganjur Majlis Tindakan DUN Batu Rakit dengan kerjasama dari penyediaan tempat, Masjid Mengabang Telipot dan Bomba Kuala Nerus yang menjayakan program ini dengan baik," katanya.
17 Feb 24
93
200 Rakyat Terengganu Berpeluang Kerja Dengan Sony
KUALA NERUS, 16 Februari - Sony EMCS Malaysia Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 200 anak muda negeri ini yang berusia tidak lebih 35 tahun untuk bekerja dengan syarikat terkemuka dunia dari Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, temuduga untuk rakyat negeri ini bekerja di syarikat berkenaan bermula semalam sehingga 19 Februari ini membabtikan tiga daerah, Kuala Nerus, Besut dan Setiu.
Katanya, syarikat tersebut bersetuju membuka peluang pekerjaan bagi rakyat negeri ini setelah kunjungan hormat oleh pihak Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC).
"Saya meharapkan supaya ramai lagi datang di Pusat Cari Kerja di Jalan Lapangan Terbang ini di mana hari ini (semalam) dan esok (hari ini) diadakan temuduga secara 'outreach' di sini sebelum ke Besut dan Setiu.
"Syarikat Sony ini menyediakan pelbagai inisiatif yang menarik dengan menyediakan penginapan yang kondusif, menyediakan bas untuk menghantar kesemua yang berjaya ditemuduga ini selain akan menyediakan bas untuk pulang dan pergi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Tawaran gaji yang diberikan juga cukup menarik dengan menyediakan elaun asas yang sangat tinggi sesuai dengan keadaan semasa, melalui taklimat yang diberikan tadi saya melihat peluang untuk melakukan pekerjaan lebih masa ada jika dicampur gaji asas berserta elaun yang lain boleh mencecah RM3,000," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri Walkabout Outreach Kerjaya di THRDC ( Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud), di sini, semalam.
Turut Hadir Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata walaupun pada permulaan syarikat tersebut hanya menawarkan perkhidmatan sebagai Operator Pengeluaran namun peluang untuk naik pangkat dan diserap ke bahagian yang lebih baik bagi menempatkan diri di Sony EMCS itu ada.
"Jika untuk menjadi operator pengeluaran ini hanya melalui sijil PMR, namun dengan memiliki SPM, Diploma dan Ijazah jika didapati bekerja dengan baik semasa menjadi operator di masa akan datang akan ditawarkan ke jawatan yang lain.
"Ini merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangasa yang berpengalaman dalam mengeluarkan barangan elektronik berasal dari Jepun," katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui THRDC akan terus merintis kerjasama dengan mana-mana majikan dalam negara ini bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan pekerjaan.
"Program secara 'outreach' ini kita akan terus lakukan bertemu seramai mungkin bertemu dengan mana-mana majikan yang ingin mencari pekerja," ujarnya.
16 Feb 24
7187
Beras Madani Buat Rakyat Makin Tersepit
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Keputusan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara bakal menyebabkan rakyat tersepit kerana tiada pilihan dalam mendapatkan sumber makanan ruji itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dahulu rakyat yang kurang berkemampuan boleh membeli beras tempatan berharga murah.
"Apa pun, kenaikan ini meletakkan rakyat dalam situasi tiada pilihan. Hendak tanak nasi, inilah saja beras yang ada.
"Beras adalah sumber makanan ruji rakyat. Kenaikan ini meletakkan rakyat dalam situasi memikul bebanan perbelanjaan tambahan demi mendapatkan bekalan makanan ruji, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos hidup yang sudah sedia membebankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kerajaan perlu memberi penjelasan samada Beras Putih Malaysia Madani itu merupakan beras tempatan atau beras import, atau beras campuran keduanya.
"Kalau ia beras tempatan, bermakna ada kenaikan harga kira-kira RM1 bagi setiap kg berbanding harga sebelum ini RM2.50/kg.
"Sekiranya beras import, bermakna ada penurunan harga kerana sebelum ini beras import biasanya dijual sekitar RM3.80/kg.
"Saya tak merasakan ia adalah beras import kerana kuantiti import beras kita hanya sekitar 33 peratus dari keperluan negara," ujarnya.
Menurutnya lagi, jika ia dihasilkan daripada campuran tempatan dan import, komposisi campuran tentunya 60-70 peratus ialah beras tempatan dan bakinya adalah beras import.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan keputusan memperkenalkan Beras Madani pada sidang media, dua hari lalu.
Serentak itu, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini.
Dalam sidang media tersebut, Syed Abu Hussin Hafiz memaklumkan, penetapan harga siling muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.
Beliau turut memberitahu media bahawa ketetapan dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dan perkara berkenaan sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
16 Feb 24
975
Terengganu Hijab Day Bukan Sekadar Program
SETIU, 16 Februari - Penganjuran Terengganu Hijab Day (THD) bukan sekadar program berhijab atau bertudung tetapi mendidik masyarakat ke arah kebaikan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda itu berjaya dijalankan.
"Tahniah kepada pihak penganjur NISA' Setiu atas program yang dijalankan pada hari ini dengan bersama turun padang menggerakkan kempen Terengganu Hijab Day pada hari ini.
"Dalam masa yang sama, kita semua sedang menjalankan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat sebagaimana yang disuruh dalam Islam Amar Maaruf Nahi Mungkar," katanya ketika berucap pada majlis ringkas THD peringkat kawasan Setiu di Pasar Tani Pantai Rhu 10.
Hadir sama Pegawai Agama Daerah Setiu, Mohd Shaharuddin Zainal.
Dalam pada itu, turut diadakan soal jawab kuiz, edaran risalah dan agihan belon khas sempena THD 2024.
Kemuncak sambutan THD akan diadakan pada 22 Februari nanti bertempat di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus yang akan dirasmikan oleh Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri.
16 Feb 24
389
Terengganu Sudah Rangka Pelan Pembangunan di Kawasan ECRL
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan negeri sudah merangka pelan pembangunan bagi merancakkan lagi perkembangan ekonomi di kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata ini termasuk dengan membina laluan cabang landasan (spur line) di lokasi ke Pelabuhan Kemaman.
“UPEN juga sedang menyediakan pelan untuk membangunkan kawasan-kawasan sekitar stesen ECRL di Jerteh, Permaisuri, Dungun, Kerteh dan Chukai.
“Pembangunan yang dirancang akan menyokong kepada industri pemprosesan, pelancongan, pengumpulan produk tani dan berbagai aktiviti-aktiviti komersil,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) susulan kunjungan hormat kerajaan negeri ke atas CEO Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak di pejabat beliau di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Delegasi tersebut turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Harun, Pengurus Kanan Lembaga Pelabuhan Kemaman, Mohd Idi Amin Salleh dan Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ridzuan Ali.
Tambah Tun Faisal, pelan cadangan itu akan dikemukakan untuk pertimbangan agensi-agensi seperti Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaaan Malaysia Negeri Terengganu (MOTAC), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan East Coast Economic Region (ECER).
Jelas Tun Faisal lagi, status pelaksanaan untuk jajaran ECRL di Terengganu adalah mengikut jadual
Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mewujudkan ‘spur line' dari hentian Chukai ke pelabuhan Kemaman, dipercayai dapat memangkin pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat.
Menurutnya, apabila berlakunya kenaikan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian dan kadar penggunaan pelabuhan yang maksimum.
“Pihak kerajaan negeri juga yakin dengan penambahan ‘spur line’ ini akan dapat meningkatkan minat pelabur-pelabur baharu ke Terengganu dan menambahkan keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
16 Feb 24
3603
Beri Peluang Baharu Untuk Kembangkan Perniagaan Koperasi
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad disaran meneroka peluang-peluang baharu untuk mengembangkan lagi perniagaan koperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, penerokaan peluang-peluang berkenaan penting dalam memastikan perkembangan pesat koperasi agar tidak terhad di bawah beberapa perniagaan sahaja.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memberikan sokongan dan memastikan peluang baharu tetap wujud untuk koperasi.
"Mereka boleh mencuba bidang penternakan atau pertanian
memandangkan sektor berkenaan menawarkan potensi besar susulan peningkatan permintaan setiap tahun.
"Kita berharap jika koperasi melebarkan sayap ke dalam sektor perniagaan lain, kedudukan mereka akan berubah, dan lebih ramai akan menjadi ahli apabila koperasi menampakkan hasil yang lebih baik,"ujarnya.
Ariffin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad 2023 di Menara Drawbridge di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, sebagai menghargai pemegang saham utama koperasi, sebanyak 10 peratus agihan dividen dilaksanakan daripada hasil keuntungan sehingga 31 Mac 2023.
Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Pasti daripada NGO Iman Care sempena program Wakaf Al Quran yang dijalankan pada tahun 2023 dan pelancaran Umrah Haramain PASTI Negeri Terengganu.
15 Feb 24
226
Pemain Belanda Perkuat Benteng TFC
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Pemain asal Belanda, Matthew Rudolf Maria Steenvoorden bakal memperkukuh benteng Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila diumumkan sebagai pemain import baharu pasukan itu.
Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata Steenvoorden telah menjadi pilihan utama pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk ditempatkan di benteng pertahanan terakhir pasukan TFC.
Katanya, pemain yang berumur 31 tahun yang berketinggian 1.88 meter itu merupakan bekas pemain kelab Feyenoord dalam Liga Belanda musim 2012 hingga 2015.
"Beliau akan beraksi buat kali kedua di pentas Asia selepas tahun sebelum ini bersama kelab Uzbekistan, Pakhtakor Tashkent FC.
"Ketika beraksi di liga utama Uzbekistan itu beliau turut membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan kali keempat berturut-turut," ujar kenyataan itu.
Tambahnya, Matthew Steenvoorden juga pernah beraksi di liga Belanda bersama Feyenoord Rotterdam, Excelsior Rotterdam, Dordrecht FC dan SC Cambuur Leewarden sebelum berhijrah ke Croatia pada tahun 2019.
"Pencapaian itu cukup membuktikan beliau seorang pemain yang mempunyai pengalaman yang luas di eropah dan turut pernah menyertai Skuad bawah 19 tahun Belanda.
"Dengan harapan yang tinggi, beliau yang bakal menyarung jersi bernombor 4 menyatakan ingin menggunakan peluang ini sebaik mungkin membuktikan kualiti yang beliau ada bagi memantapkan lagi jentera pertahanan tengah pasukan ini," jelasnya.
Pihak Pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada Steenvoorden dan selamat berjuang.
15 Feb 24
239