Artikel "Semasa" Terkini
Jejak Pusara Pahlawan, Veteren Renjer Dalam Kenangan
KUALA BESUT, 21 Sept – Program Jejak Pusara Pahlawan telah diadakan di Tanah Perkuburan Beris Baru, Kuala Besut bagi menziarahi pusara Allahyarham Wan Hassan Idris, seorang Veteran Renjer yang gugur syahid dalam serangan hendap pengganas komunis pada 26 Jun 1972 di Lundu, Sarawak.
Majlis turut disertakan dengan bacaan tahlil ringkas sebagai tanda penghormatan serta doa agar roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT.
Hadir sama Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Dato’ Sharuddin, dan Yang Dipertua PVATM Negeri Terengganu, Shaikh Muhamad Shaikh Keramat, bersama-sama mengenang jasa dan pengorbanan besar Allahyarham dalam mempertahankan tanah air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Mohd Husaimi Hussin berkata, pengorbanan yang dicatatkan oleh Allahyarham Wan Hassan Idris perlu dijadikan teladan oleh generasi hari ini sebagai bukti keberanian dan kesetiaan seorang pejuang tanah air.
“Allahyarham telah membuktikan bahawa keamanan dan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini dibayar dengan darah, keringat dan nyawa pejuang terdahulu. Kita sebagai generasi pewaris wajib menghargai jasa besar ini dengan menjaga perpaduan serta mempertahankan negara daripada sebarang ancaman,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha mengenang dan menghargai jasa pahlawan negara akan terus diperkasakan agar semangat patriotisme sentiasa hidup dalam kalangan masyarakat.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada, pejuang agama, bangsa dan negara, dan semoga pengorbanannya menjadi sumber kekuatan kepada kita untuk terus berbakti kepada tanah air tercinta,” jelasnya.
21 Sep 25
65
Gas Bocor : PGB Laksana SOP Keselamatan Pembakaran Hingga 25 September
KEMAMAN, 21 September – Prosedur pembakaran terkawal di saluran paip gas sedang dijalankan bermula hari ini sehingga 25 September ini susulan insiden kebocoran gas berhampiran Kampung Chabang, Kertih, di sini, semalam.
Menurut kenyataan PETRONAS Gas Berhad (PGB), ia adalah prosedur keselamatan standard yang membolehkan sisa gas dalam bahagian terpencil dilepaskan dan dibakar dengan selamat.
“Orang yang lalu lalang mungkin memerhatikan beberapa pembakaran pada masa ini. Walau bagaimanapun, kami ingin memberi jaminan bahawa ia dalam keadaan terkawal.
“Prosedur yang dijalankan di bawah pengawasan ketat Jabatan Bomba & Penyelamat (BOMBA) itu diikuti dengan pemantauan berterusan bagi meminimumkan risiko kepada masyarakat dan alam sekitar,” ujar kenyataan tersebut.
PGB menegaskan, kerjasama penuh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan yang berkaitan serta pihak berkepentingan dalam menguruskan insiden terbabit.
“Keutamaan utama kami ialah keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sekeliling dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah PGB.
21 Sep 25
89
20 Penghuni Pusat Tahfiz Dipindahkan Susulan Kebocoran Paip Gas
KEMAMAN, 21 September - Lebih 20 penghuni sebuah pusat tahfiz, di sini akan dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan insiden kebocoran paip gas Petronas Gas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, walaupun jarak dari pusat tahfiz ke lokasi kejadian agak jauh, iaitu dua kilometer, namun tindakan awal perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin, memandangkan risiko pencemaran udara mungkin berlaku sekiranya keadaan angin berubah.
"Kita mengambil langkah berjaga-jaga dan kita bimbang arah angin yang menghala ke pusat tahfiz boleh menyebabkan udara tercemar sekali gus memberikan kesan buruk. Jadi, kita ambil keputusan pindahkan mereka lebih awal.
"Pemindahan akan dilaksanakan hari ini juga sebelum malam bagi mengelakkan sebarang risiko. Pegawai kita sudah berurusan dengan pihak pusat tahfiz berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Gerakan Operasi di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Memetik laporan Bernama, Mohd Razi turut menasihati orang awam supaya tidak mendekati kawasan kejadian atau cuba melihat lokasi dari jarak dekat kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko pencemaran udara.
"Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka kerana gas yang dibawa angin boleh sampai ke kawasan pembakaran sekali gus membahayakan keadaan.
"Selain itu, hentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan hutan berhampiran dengan lokasi kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Razi berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana situasi berada dalam keadaan terkawal, selain mereka diminta mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung insiden terbabit.
Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menutup laluan utama Kerteh–Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas PGB di Tapak ECRL, Seksyen 5, Kerteh, di sini pagi semalam.
Mohd Razi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas butana dalam bentuk gas mudah terbakar.
Beliau berkata lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
21 Sep 25
92
Semangat 'Setiu Fighters' Bakal Gegar SUTERA 2025
SETIU, 21 September – Kontinjen Setiu tampil dengan semangat juang tinggi bakal menggegarkan pentas Sukan Terengganu (SUTERA) 2025.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kontinjen Setiu bakal memberikan saingan hebat edisi SUTERA kali ini dan optimis dengan kedudukan yang lebih baik dari sebelum ini.
"Saya mengharapkan kita semua membawa semangat 'Setiu Fighters' dan menyumbang seberapa banyak kemenangan pada SUTERA nanti, katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Setiu di Mini Stadium Sungai Tarom.
Turut hadir Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor sebagai Pengerusi Majlis Sukan Daerah Setiu.
Beliau yang dilantik sebagai Chief de Mission (CDM) dibantu Timbalan 1 CDM, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof manakala ADUN Permaisuri, Mohd Yusof Majid dilantik Timbalan 2 CDM.
Kata beliau, pada edisi SUTERA kali ini Setiu menyertai 12 daripada 13 acara yang dipertandingankan dengan penyertaan 181 atlet dan 49 pegawai.
SUTERA yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 September di Kuala Nerus hujung minggu ini mencatatkan penyertaan seramai 181 atlet dan 49 pegawai.
Dengan semangat kesukanan yang membara, kontinjen Setiu diyakini mampu memberi saingan sengit dan mengharumkan nama daerah di pentas SUTERA 2025.
21 Sep 25
137
Paip Gas Bocor : Pekerja Dipindahkan, Tiada Kediaman Terjejas
KEMAMAN, 20 September – Susulan insiden kebocoran gas di saluran paip berhampiran Kampung Chabang, Kertih pagi tadi, pekerja-pekerja di tapak terbabit telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut kenyataan PETRONAS Gas Berhad (PGB), lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan berada jauh daripada kawasan perumahan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pekerja yang berada berhampiran lokasi kejadian telah dipindahkan ke lokasi selamat, manakala kawasan insiden ditutup daripada akses awam dan pekerja,” kata kenyataan itu.
PGB memaklumkan keadaan kini terkawal dengan saluran paip yang terjejas telah disekat sepenuhnya, selain pemantauan berterusan sedang dijalankan.
Dalam masa sama, bekalan gas kepada pelanggan tidak terganggu kerana penghantaran masih diteruskan melalui saluran lencongan (loop line) dalam rangkaian paip sedia ada.
Syarikat itu juga menegaskan kerjasama penuh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan bagi menguruskan insiden ini, sementara hasil siasatan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan satu kebocoran paip gas jenis ‘butane’ yang dilaporkan berlaku di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, pada jam 9.53 pagi.
“Polis menutup sepenuhnya kawasan kejadian serta menghentikan bekalan gas sehingga kerja-kerja penyelenggaraan selesai dijalankan kontraktor. Laluan utama Kerteh–Ranggon turut ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga diaktifkan untuk memantau situasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan tersebut serta mematuhi arahan pihak berkuasa.image widget
20 Sep 25
576
Paip Gas Bocor di Tapak Projek ECRL Kerteh
KEMAMAN, 20 September – Satu kebocoran paip gas jenis butana (C4) dilaporkan berlaku di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Pegawai Daerah Kemaman sebelum segera turun padang meninjau lokasi.
Menurutnya, laporan daripada Petronas memaklumkan paip gas dari Gas Processing Plant (GPK) Kerteh ke Terminal Eksport Gas (TSET) Kemaman pecah, menyebabkan gas terbebas ke udara.
“Pihak Petronas bersama pasukan keselamatan bertindak menutup bekalan gas di saluran terbabit serta memastikan keadaan di kawasan sekitar selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 pada jam 9.53 pagi.
Katanya, lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
“Polis menutup sepenuhnya kawasan kejadian serta menghentikan bekalan gas sehingga kerja-kerja penyelenggaraan selesai dijalankan kontraktor. Laluan utama Kerteh–Ranggon turut ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga diaktifkan untuk memantau situasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan tersebut serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-859 2222.
20 Sep 25
281
Terengganu Jalin Kerjasama Ilmu Al-Quran Bersama Masjidil Haram
MEKAH, 19 September – Satu langkah besar dalam memperkasa ilmu al-Quran anak-anak Terengganu direalisasikan apabila Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan rasmi bersama Pentadbiran Halaqah Tahfiz Masjidil Haram, Arab Saudi semalam.
Pertemuan itu dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang berkesempatan berbincang secara terus mengenai peluang mengikuti halaqah al-Quran di Masjidil Haram untuk anak negeri Terengganu khususnya para imam.
Menurut Dr. Muhammad Khalil, hasil perbincangan awal tersebut, imam Terengganu akan dihantar bagi menjayakan usaha itu.
“Sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri akan menghantar dua orang imam dari Terengganu pada tahun hadapan untuk mengikuti program istimewa ini sebelum ia diperluas kepada lebih ramai pada masa akan datang,” ujar beliau.
Tambahnya, cadangan lain turut dikemukakan oleh pensyarah Ilmu al-Quran Universiti Umm al-Qura merangkap Penyelia Halaqah Al-Quran di Masjidil Haram, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman Aidi adalah termasuk kesinambungan daripada kursus Bahasa Arab sebulan yang pernah dianjurkan sebelum ini.
Selesai perbincangan, Dr. Muhammad Khalil turut dibawa menziarahi beberapa majlis ilmu yang sedang berlangsung serta bertemu para syeikh bagi menyaksikan sendiri suasana talaqqi di Masjidil Haram.
Kerajaan Negeri melihat usaha ini sebagai jambatan ilmu yang akan melahirkan lebih ramai generasi ulama dan pendakwah berkualiti, bukan sahaja untuk Terengganu, bahkan untuk ummah seluruhnya.
19 Sep 25
713
Lapan Kampung Hulu Dungun Bakal Jadi Destinasi Pelancongan Komuniti
DUNGUN, 19 September – Kerajaan Negeri Terengganu merancang membangunkan lapan kampung di Hulu Dungun sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti bagi mengekalkan warisan, budaya dan keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata kampung yang terlibat ialah Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Kampung Jongok Batu, Kampung Kuala Jengai, Kampung Rantau Panjang, Kampung Minda, Kampung Talong dan Kampung Tepus.
Katanya, Hulu Dungun terkenal dengan tarikan alam semula jadi seperti Air Terjun Chemerong, Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Kelemin, Gunung Berembun serta kewujudan pokok cengal tertua dan terbesar di negara ini.
"Kita mahu semua produk pelancongan ini digabungkan dan diurus secara lebih tersusun melalui konsep pelancongan komuniti.
"Ia akan menarik lebih ramai pelancong dan dalam masa sama memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya ketika Sidang Media Majlis Perasmian Penutup Karnival Warisan Hulu Dungun di Kampung Kuala Jengai, baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Razali berkata, melalui konsep ini, tinggalan sejarah seperti Kubu Mat Kilau di Kampung Pasir Raja juga akan lebih terpelihara kerana ada pihak yang menguruskan dan memantau jumlah pelawat.
"Sangat penting usaha untuk mendokumentasikan seni budaya tradisi Hulu Dungun seperti Tarian Saba, Tarian Piring dan Gendang Kulit yang kini hanya dikuasai oleh generasi tua.
"Jika tidak dirakam dan diwariskan, seni ini akan lenyap begitu sahaja. Dengan adanya rakaman khas, sekurang-kurangnya generasi akan datang masih boleh melihat dan belajar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razali mengakui terdapat masalah liputan telekomunikasi yang lemah di beberapa lokasi pelancongan termasuk Taman Eko Rimba Chemerong.
Katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk mencari penyelesaian segera demi keselesaan pelancong dan penduduk.
Sempena karnival tersebut, kira-kira 10,000 benih ikan termasuk terbul dan lampam turut dilepaskan ke Sungai Jengal dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kelestarian perikanan dan pemuliharaan sungai.
19 Sep 25
966
Imam, Pendakwah Terengganu Tamatkan Kursus Bahasa Arab di Ummul Qura
MEKAH, 17 September – Imam dan pendakwah dari Terengganu berjaya menamatkan Kursus Bahasa Arab di Universiti Ummul Qura, Mekah Al-Mukarramah melalui Majlis Haflah Takharruj yang berlangsung penuh bermakna semalam.
Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu itu dijalankan selama sebulan dengan matlamat memperkukuh penguasaan bahasa Arab sebagai medium utama dalam penyampaian dakwah dan penguasaan ilmu Islam.
Majlis graduasi tersebut diserikan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif Iqra’ al-‘Arabiyyah, Universiti Ummul Qura, Dr. Abdullah Bawazir, serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, bersama para tenaga pengajar kursus.
Salah seorang peserta, Ustaz Amirul Hakim, menzahirkan rasa syukur atas peluang berharga itu.
Beliau berharap kerajaan negeri dapat memperluaskan lagi ruang pembelajaran agar lebih ramai imam dan pendakwah berpeluang mendalami bahasa Arab secara berkesan.
Dalam ucapannya, Dr. Khalil menekankan rasa bangga dengan kesungguhan para peserta yang gigih menguasai bahasa Arab dalam tempoh singkat.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh penggunaan bahasa Arab supaya imam dan pendakwah mampu menyampaikan dakwah dengan kefahaman Islam yang lebih mendalam.
“Semoga kursus ini menjadi permulaan kepada kerjasama lebih luas dengan Universiti Ummul Qura dan Iqra’ al-‘Arabiyyah untuk menyediakan modul lanjutan yang sesuai dengan keperluan peserta,” ujarnya.
Selesai majlis, turut diadakan perbincangan khas antara Dr. Khalil dan pihak Iqra’ al-‘Arabiyyah yang membincangkan cadangan kursus lanjutan, penetapan sasaran peserta yang lebih berfokus, serta peluang kerjasama akademik jangka panjang.
Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus membuka ruang peningkatan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan imam dan pendakwah, agar mereka mampu menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan serta mendekatkan masyarakat kepada sumber asal al-Quran dan al-Sunnah.
18 Sep 25
1675
Raja Muda Terengganu Cemar Duli Labuh Tukun Tiruan
KUALA NERUS, 18 September – Perairan Tanjung Gelam pagi ini mencatat sejarah apabila Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melabuh 18 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (rekreasi), sebagai ikhtiar memperkasa kelestarian laut negeri.
Keberangkatan tiba baginda di jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, Pulau Kambing tepat jam 9.00 pagi disambut penuh hormat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim.
Tuanku berkenan menaiki bot menuju ke lokasi pelabuhan tukun, dan sebaik tiba di perairan Tanjung Gelam, Yang di-Pertuan Muda Terengganu berangkat menaiki tongkang yang telah sedia menanti.
Majlis bertambah bermakna apabila baginda berkenan menekan buzzer sebagai gimik pergerakan kren mengangkat tukun, sebelum menekan air horn yang menandakan pelepasan rasmi ke permukaan air.
Baginda turut berkenan menyaksikan proses melabuh tiga unit tukun pertama, simbol harapan agar usaha pemeliharaan laut ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan nelayan tempatan.
Usai majlis, baginda berangkat ke bot dan kembali ke jeti Pejabat Perikanan Kuala Terengganu, sebelum berangkat pulang dengan penuh istiadat.
18 Sep 25
1007