lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

‘Gear 3’ Dr Sam Pacu Terengganu ke Era Baharu
‘Gear 3’ Dr Sam Pacu Terengganu ke Era Baharu
Selepas kembali memimpin Terengganu melalui sokongan penuh rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tanpa berlengah mengumumkan Kerajaan Negeri akan terus bergerak dengan ‘gear 3’ bagi memacu negeri ini ke era baharu. Jelas Ahmad Samsuri, beliau serta barisan Exco menggunakan ‘gear’ lebih pantas dan agresif bagi melaksanakan beberapa agenda untuk memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat selepas menyelesaikan pelbagai isu asas seperti projek ‘sakit’ di penggal lepas. Katanya, segala langkah menaikkan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi adalah berpandukan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi. “Strategi tersebut termasuk kajian semula cukai, serahan GLC, sumber galian dan mineral, sumber batuan, sumber air, sumber hijau serta fi pelancongan dan rekreasi dengan jumlah jangkaan nilai hasil (secara berfasa) sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030. “Menerusi tindakan ini kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak, penggal lalu kita berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti. “Pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE),” katanya. Industri Hidrogen Hijau Potensi Majukan Terengganu Kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan era baharu Terengganu terbukti apabila, Ahmad Samsuri dan pasukannya giat menjalankan perbincangan dengan pelabur dan pemain utama industri hidrogen hijau terutama dari Korea Selatan. Ujar Pakar Aeroangkasa itu, Empangan Hidroelektrik Tasik kenyir adalah salah satu loji kuasa hidroelektrik terbesar di Malaysia, oleh yang demikian Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan lagi keupayaan tenaga hijau dengan memasang loji fotovoltaik solar terapung di Tasik Kenyir. “Kerajaan negeri juga telah menandatangani MOU dengan PETRONAS Gas Berhad untuk mencari peluang dalam tenaga boleh diperbaharui terutamanya pada mini hidro. “Industri hidrogen hijau dijangka akan dibangunkan menjadi pendapatan baharu Terengganu, Sarawak yang terlebih dahulu menggunakan kaedah berkenaan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Terengganu. “Saya juga telah bertemu dengan Duta Korea Selatan ke Malaysia H.E. Yeo Seung-bae sebanyak dua kali bagi bercakap mengenai potensi Terengganu membawa masuk pelabur Korea dalam bidang 'hydrogen energy', 'floating solar', pendidikan dan bahasa,” katanya. Terengganu Miliki Aset REE Terbesar di Malaysia Mengulas mengenai Unsur Nadir Bumi (REE), Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri telah mengadakan pertemuan bersama pelabur China bagi membincangkan potensi sumber baharu itu. “Mengikut makLumat daripada Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, pelabur tersebut merupakan pelabur yang mempunyai hubungan strategik dengan Malaysia sebelum ini. “Beberapa pelan pembangunan telah diutarakan oleh mereka buat negeri Terengganu,” kata beliau yang turut memaklumkan harga REE boleh meningkat sehingga 700 peratus kerana mendapat permintaan yang tinggi. Menurutnya, kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kawasan luluhawa granit yang terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 581,735 hektar (1,437,500 ekar) dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 tan. “Terengganu pula mempunyai simpanan REE terbesar bernilai kira-kira RM250 bilion melibatkan lima daerah itu. "Bahan mentah ini jika diproses boleh digunakan untuk sektor pembuatan terutamanya bagi penghasilan kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi,pembuatan kaca dan banyak lagi produk berteknologi tinggi,” jelasnya. Terengganu Terus Diintai Pelabur Berpotensi Dalam pada itu, bagi mengurus sambutan dan kedatangan pelabur ke Terengganu yang semakin rancak, pihaknya menganjurkan Hari Pelaburan Terengganu atau TBMIC (Terengganu Business Meeting with Investor Community). Katanya, ia untuk mempermudahkan dan mempercepatkan proses permohonan dalam usaha menarik pelabur ke Terengganu dengan melibatkan MB, Exco Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri. Menurut beliau lagi, perjumpaan itu juga membabitkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Mentri Besar Inc (MBI), Terengganu Inc (TI), PMINT, TSIS dan pakar teknokrat. "Sebanyak 12 pelabur daripada pelbagai latar belakang industri yang disenarai pendek telah membentangkan cadangan projek dan pelaburan masing-masing dengan kriteria umum serendah RM50 juta sehingga beberapa billion ringgit untuk satu tempoh jangka masa panjang. "Ia termasuk syarikat gergasi teknologi hijau antarabangsa, pembekal utama komponen kereta elektrik (EV) global, GLC negara seperti TNB Genco dan Petronas Gentari serta pelbagai lagi syarikat dari dalam dan luar negara," maklum Naib Presiden PAS itu. Manfaatkan Kawasan Stesen ECRL, Buka Kawasan Industri Baharu Sementara itu, mengulas mengenai usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah, beliau menegaskan pusat perindustrian baharu akan dibuka terutama di utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu melibatkan kawasan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Tambahnya, ini secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perkhidmatan kargo dan dapat mengubah wajah pembangunan ekonomi di dua daerah tersebut. “Kita akan mengerahkan seluruh jentera supaya bergerak ke arah mewujudkan kawasan industri yang baharu untuk mengambil manfaat daripada kewujudan ECRL, ini bakal membangkitkan sosioekonomi rakyat,” jelasnya.
28 May 24
4690
Penuhi Hasrat Ayah Jadi Usahawan Berjaya
Penuhi Hasrat Ayah Jadi Usahawan Berjaya
MARANG, 28 Mei - Bermula berniaga secara kecil-kecilan untuk memenuhi hasrat ayah dan kini mampu tersenyum lega atas kejayaan perniagaan santan dan kerisik diusahakannya sejak lebih 12 tahun yang lalu. Pengusaha muda, Baharuddin Mad Daud,30, berkata pada mulanya perniagaan ini adalah cetusan idea daripada ayahnya, Mad Daud Mat Zain, 61 tahun, sejak 12 tahun yang lalu. “Ayah saya melihat, santan pada waktu itu merupakan satu keperluan harian khususnya bagi penduduk Rhu Rendang yang kebanyakannya menjadi pilihan utama dalam masakkan harian. “Kebanyakkan pelanggan disini memilih santan segar kerana rasa dan aroma baunya yang sedap,” ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Rhu Rendang.  Dalam pada itu katanya, hasil didikan ayah yang sentiasa memberi nasihat dan tunjuk ajar membuahkan hasil lumayan serta pengalaman sangat mahal sepanjang 12 tahun ini. “Untuk menghasilkan sehingga 300 kg santan, kita memerlukan hampir 1 tan kelapa. Memandangkan di sini bekalan kelapa agak berkurangan, jadi kita guna kelapa diimport dari Indonesia yang diambil di jeti Batu Pahat, Johor. Saya juga ada bekalkan kelapa biji yang dijual secara per kilo dan kerisik kelapa. “Syukur, musim Perayaan Aidilfitri pada bulan lepas memberi impak yang sangat positif yang mana jumlah permintaan santan dan kerisik sangat tinggi.   “Kebiasaannya tahun sebelum ini, bila tiba musim cuti sekolah dan hari perayaan seperti hari raya aidilfitri dan aidiladha, peningkatan  jualan santan hampir 300kg dalam satu hari sehingga tidak cukup tangan untuk menerima tempahan," ujarnya. Dalam pada itu katanya, jualan kerisik juga tinggi permintaannya sehingga pelanggan dari Dungun datang membeli kerana aroma baunya menaikkan selera. Namun jelasnya, proses pembuatan kerisik sangatlah terhad kerana memerlukan masa yang lama dalam 10 jam.  "Walaupun harga bekalan kelapa sering turun naik, santan yang dijual masih pada harga runcit iaitu RM11 bagi setiap satu kilogram dan harga borong iaitu RM10 bagi setiap satu kilogram," ujarnya. Katanya lagi, dia sangat berterima kasih kepada FAMA yang banyak membantu saya dalam urusan perniagaan dan sedikit sebanyak dapat melancarkan bekalan stok kelapa ini.
28 May 24
293
Program TVET Bantu 50 Bekas Penagih Temui Pekerjaan
Program TVET Bantu 50 Bekas Penagih Temui Pekerjaan
KUALA NERUS, 27 Mei – Seramai 50 bekas penagih berjaya mendapatkan peluang pekerjaan melalui program seminar kerjaya Hari Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diadakan setiap tahun bermula 2022. Program tersebut merupakan inisiatif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif THRDC, Aminuddin Omar, menyatakan bahawa program itu dirangka khusus untuk membantu golongan rentan, terutamanya bekas klien AADK, dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang sesuai dan membolehkan mereka memulakan hidup baru. “Hari ini, kita telah mendatangkan lima majikan dari luar Negeri Terengganu yang bersedia untuk menawarkan pekerjaan kepada mereka. "Seramai 103 klien AADK hadir pada majlis perasmian seminar berkenaan dan menjalani sesi temuduga. Kejayaan ini bukanlah kali pertama dicapai oleh AADK Negeri Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Seminar Kerjaya Sempena Hari TVET Negara 2024 bertempat di THRDC, Gong Badak, Kuala Nerus, di sini hari ini.  Tambah Aminuddin, program tersebut dilaksanakan di Pusat Cari Kerja Negeri Terengganu, sebuah pusat yang ditubuhkan untuk membantu penduduk negeri itu dalam pencarian pekerjaan. “Inisiatif yang dilaksanakan ini amat penting bagi golongan bekas klien AADK kerana golongan tersebut mudah terdedah dan mereka memerlukan bantuan untuk mendapatkan peluang pekerjaan. "Program ini juga mendapat sokongan daripada platform My Future Job, portal pekerjaan peringkat kebangsaan yang memadankan pencari kerja dengan majikan," ujarnya. Aminuddin berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan bagi membantu lebih ramai golongan rentan di Negeri Terengganu mendapatkan pekerjaan dan menjalani kehidupan yang lebih baik.  "Sebelum ini, program serupa telah diadakan di daerah Kuala Terengganu dan Besut yang mana 50 peserta berjaya mendapat pekerjaan. "Pusat Cari Kerja Terengganu yang berada di hadapan lapangan terbang diharapkan menjadi tumpuan para belia dalam usaha mencari pekerjaan," ujarnya. Orang awam juga turut menghadiri sesi temuduga terbuka di Pusat Cari Kerja Terengganu   
27 May 24
442
Pemain Industri Pelancongan Mesti Peka Keselamatan Pelancong
Pemain Industri Pelancongan Mesti Peka Keselamatan Pelancong
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Pengusaha serta pemain industri pelancongan digesa agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya perlu bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pelancong terjamin. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, dengan memastikan keselamatan lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung diutamakan ia akan memberi pulangan yang lumayan apabila dikunjungi secara berterusan tanpa ada kebimbangan. "Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan, keselamatan, kebersihan dan lain-lain perlu dititikberatkan untuk menarik pengunjung datang ke Terengganu dan ia mesti menjadi tanggungjawab bersama. "Keuntungan itu akan kembali kepada pemain industri, pihak kerajaan akan membantu untuk mempromosikan tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi yang akan memberi pulangan yang lumayan kepada pemain-pemain industri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, semasa menghadiri sambutan pelayar antarabangsa Sempena Program Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally 2024, di Jeti Marina Garden, Duyong Marina, di sini baru-baru ini. Mengulas mengenai kejadian pelancong warga emas dari Jerman yang maut akibat lemas semasa bercuti di Pulau Perhentian, beliau berkata ia perlu menjadi iktibar kepada penggiat industri tersebut. "Jadi kita minta supaya semua yang terlibat dalam pelancongan ini memastikan SOP keselamatan dipatuhi agar insiden seumpama itu tidak berulang dengan memeberikan perkhidmatan yang tebraik bagi memastikan industri ini terus maju. "Ini merupakan 'industri kita bersama' jadi masing-masing perlu ambil peranan dan perhatian, kerajaan akan mengambil perjalanan melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan memastikan pakej pelancongan yang ditawarkan memberikan keselesaan dan selamat kepada mereka yang bertandang ke negeri ini. "Kalu semua dapat mengambil tanggungjawab insya-Allah kita yakin sasaran untuk mencapai 4.5 juta pelancong pada tahun ini akan dapat dicapai,"katanya.  
27 May 24
154
'Titian Muhibah' Realisasikan Impian Usahawan Terengganu Tembus Pasaran Indonesia
'Titian Muhibah' Realisasikan Impian Usahawan Terengganu Tembus Pasaran Indonesia
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - 'Titian Muhibah' bukan sahaja mengeratkan hubungan Terengganu dan Indonesia melalui dunia perdagangan malah turut merealisasikan impian usahawan Terengganu  untuk mengeksport produk dari negeri ini ke Indonesia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, menebusi pasaran negara republik itu merupakan impian setiap usahawan kerana ia memiliki pasaran yang terbesar di dalam negara ASEAN. "Ini terbukti melalui kejayaan 100 orang usahawan dari Malaysia khususnya dari Terengganu akan menjadi pendorong kepada usahawan lain untuk turut serta memasarkan produk mereka ke Indonesia. "Tahniah juga kepada 16 usahawan yang telah berjaya mendapat kelulusan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) bagi 22 produk, iaitu syarat utama yang telah ditetapkan bagi memasarkan produk ke Indonesia. "Saya merasa bangga kerana sembilan daripada 16 usahawan ini merupakan rakyat Terengganu, kerjasama daripada semua pihak MATRADE yang diadakan pada hari ini amat disambut baik oleh Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia dapat membantu meluaskan lagi produk usahawan Terengganu ke peringkat antarabangsa," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan ketika mengadakan lawatan ke negara berkenaan baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar malaysia di dunia dan rakan dagang ketiga terbesar dalam ASEAN selepas Singapura dan Thailand sepanjang tahun lalu. "Perdagangan dua hala Malaysia dengan Indonesia bernilai RM111.21 bilion berkurang sebanyak 14.3 peratus daripada RM129.70 bilion direkodkan dalam tahun 2022. "Manakala eksport dan import mencatatkan sejumlah RM50.91 bilion, menurun sebanyak 8.7 peratus dan RM60.3 bilion, berkurang 18.5 peratus. "Diharap dengan penganjuran program ini dapat meningkatkan lagi perdagangan dua hala Malaysia dan Indonesia," ujar beliau.
26 May 24
297
Parti Liar : Exco Bidas Kenyataan Semberono Ahli Parlimen DAP
Parti Liar : Exco Bidas Kenyataan Semberono Ahli Parlimen DAP
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Kerajaan negeri membidas kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen DAP dari Kepong yang mengatakan tindakan Terengganu mengenakan kompaun kepada penganjur parti liar sebagai tak masuk akal. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan  Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, kompaun RM25,000 itu tidak menjejaskan sektor pelancongan di Terengganu sebaliknya ia menjadi pengajaran buat pihak yang melanggar peraturan. Katanya, sangat tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa tindakan itu sebagai langkah ke belakang kepada industri pelancongan tempatan. "Hanya kerana sebilangan kecil yang tidak memahami atau mengikut peraturan, adakah adil untuk mengatakan ia memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan tempatan?. "Usahlah 'serkap jarang' nanti tersalah malunya besar, berkata biarlah berfakta, jangan hanya hendak mencari modal politik murahan untuk menjana populariti," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Muhammad Khalil berkata semua sedar pelancongan adalah salah satu industri penting yang memacu ekonomi negeri, kerana itu pelbagai inisiatif, pembangunan dan kemudahan diperkasakan bagi menarik kedatangan pelancong. "Namun begitu, kerajaan negeri telah mentapkan garis panduan serta peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua pihak sama ada pemain industri mahupun pelancong seiring dengan pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai dasar. "Pemain sektor pelancongan yang berkualiti mampu menjamin kemampanan industri yang berpotensi besar ini dalam jangka masa yang panjang," ujarnya. Justeru tegasnya, dengan kepelbagaian produk yang menjadi daya tarikan dalam negeri Terengganu adalah tidak munasabah dengan hukuman tegas akan mengkibatkan kedatangan pelancong merosot hanya kerana parti liar persendirian seumpana itu dihalang penganjurannya. "Terengganu sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia khususnya keindahan pulau-pulau di perairannya dan alam semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna. "Terengganu terjual kerana keindahnnya, alam semulajadinya, kebudayaan dan masyarakatnya, Eloklah dikekalkan begitu, semoga rezekinya berkat dan dilimpahi rahmat Allah SWT," katanya. Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menegur kerajaan Terengganu kerana mengenakan denda RM25,000 kepada resort swasta di Pulau Lang Tengah. Ujar Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan itu, tindakan tersebut tidak masuk akal dan boleh menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan negara
26 May 24
649
Hamdan Awang Akhiri Kisah Suka Duka Dunia Pengadilan
Hamdan Awang Akhiri Kisah Suka Duka Dunia Pengadilan
KUALA NERUS, 26 Mei – Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamdan Awang yang telah memberikan impak besar dalam arena bola sepak tempatan telah mengumumkan persaraannya pada usia 42 tahun.  Hamdan atau Cikgu Hamdan yang juga merupakan anak jati Terengganu telah berkecimpung selama 16 tahun dalam dunia kepengadilan mengumumkan persaraan beliau melalui hantaran di laman facebook rasminya kelmarin. Presiden Bola Sepak Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagi menghargai jasa beliau satu majlis kejutan telah diadakan sempena persaraannya. Katanya, Cikgu Hamdan akan dikenang sebagai seorang pengadil yang berdedikasi dan memberi sumbangan besar kepada bola sepak Malaysia.  “Semoga persaraannya membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam usaha masa depannya,” katanya Jelas Hishamuddin melalui hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada semalam. Sejak pengumuman persaraan oleh Cikgu Hamdan, Hishamuddin segera menghubungi beliau untuk memahami keputusan tersebut. “Maklum balas Cikgu Hamdan amat saya fahami dan akur dengan keputusan persaraan tersebut. “Beliau telah meletakkan Key Performance Indicator (KPI) untuk diri beliau dan rakan-rakan pengadil yang lain bagi mengangkat agenda pembangunan pengadil pelapis untuk Terengganu selepas ini secara lebih serius,” tambahnya. Tambahnya lagi, komitmen Cikgu Hamdan terhadap pembangunan pengadil pelapis dibuktikan dengan penganjuran Akademi Pengadil Muda Terengganu pada Ogos 2024.  “Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Pengadil Negeri Terengganu, yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Unit Pengadil FAM. “Saya yakin, Cikgu Hamdan Awang merupakan pengadil yang sangat digemari oleh semua peminat bola sepak tanah air. Jasa dan bakti cikgu pasti dikenang oleh semua. Semoga beliau terus berjaya dalam skop kerja baharu selepas ini,” ujarnya..  
25 May 24
548
Terengganu FC Lepas Geram, Tumbangkan Kelantan
Terengganu FC Lepas Geram, Tumbangkan Kelantan
KUALA NERUS, 25 Mei - Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah membenam pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia, sebentar tadi. Pada aksi ‘derbi Pantai Timur’ yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan keduanya dalam aksi saingan liga pada musim ini. TFC yang bermula garang terus melancarkan serangan ke kubu KDN dengan cubaan berbahaya pada minit ke- 12 menerusi Manuel Ott namun bola sedikit melepasi palang gol. Memasuki minit ke 36, Skuad TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Afzal Akbar menjatuhkan Safawi Rasid dalam kotak penalti. Penalti itu diberikan selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR). Penyerang import TFC, Ismaheel Akinade berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan Terengganu mendahului satu gol di hadapan. Pada minit ke 41, pemain tengah TFC, Marin Pilj hampir menambah derita skuad Kijang Emas apabila rembatannya melepasi palang gol hasil hantaran cantik Alif Zakaria. Berselang empat minit kemudian, Nurillo Tukhtasinov menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Terengganu FC melalui umpanan cantik Ubaidullah Shamsul untuk pasukannya mendahului 2-0. Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapat jaringan ketiga selepas Manuel Ott melakukan rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-47 berpunca daripada bola sepakan sudut. Pada minit 74, TFC sekali lagi hampir memecah kebuntuan gol apabila rembatan kencang Akhyar Rasyid sedikit melepasi palang gol lawan. Kemenangan 3-0 Terengganu FC ke atas Kelantan Darul Naim menyaksikan TFC kini menghuni tempat kedua dalam kedudukan saingan Liga Super pada minggu ketiga. Pada perlawanan tersebut, penyokong Terengganu FC dan Kelantan Darul Naim menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan mengibarkan bendera Palestin sepanjang perlawanan berlangsung. Lebih 13,000 penyokong yang hadir di stadium berkenaan mengibarkan bendera dan sepanduk sebagai tanda sokongan kepada rakyat di negara berkenaan yang ditindas rejim Zonis.  
24 May 24
394
Parti Liar : Terengganu Bakal Naikkan Kompaun Lebih RM25,000
Parti Liar : Terengganu Bakal Naikkan Kompaun Lebih RM25,000
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Kerajaan Terengganu bakal menaikkan kadar kompaun bagi mana-mana premis atau resort yang melanggar peraturan hiburan Pihak Berkuasa Tempatan negeri ini, susulan insiden parti aloha di Pulau Lang Tengah. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah tidak menolak kemungkinan pindaan kadar itu, daripada maksima RM25,000 kepada satu jumlah baharu akan dibuat selepas ini bagi menghalang peristiwa sama berulang. Katanya, ia dinaikkan jika kompaun maksima sedia ada tidak memberikan kesan yang cukup kepada pengusaha resort.   “Jika kompaun ini tidak menimbulkan kegerunan kepada pengusaha resort untuk mengikut peraturan, kita mungkin meningkatkan jumlah kompaun supaya memberi pengajaran kepada semua untuk mengikut peraturan yang ada di negeri Terengganu, kita pinda enakmen dalam sidang Dewan Undangan Negeri untuk naikkan kompaun. "Kerajaan negeri berharap tindakan ini akan menjadi pengajaran dan memastikan sektor pelancongan di Terengganu berkembang dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memantau dengan lebih ketat aktiviti di semua resort di Terengganu.   “Kita kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula daripada sekarang akan memantau perjalanan aktiviti semua resort yang ada di negeri Terengganu supaya mengikut peraturan, enakmen yang kita tetapkan,” jelasnya. Terdahulu, kerajaan negeri telah mengenakan kompaun maksima sebanyak RM25,000 kepada Summer Bay Resort yang menganjurkan parti liar di negeri terbabit.
23 May 24
319
Resort Anjur 'Parti Liar' Kena Kompaun RM25 Ribu
Resort Anjur 'Parti Liar' Kena Kompaun RM25 Ribu
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada Summer Bay Resort dan melarang penganjuran program seumpamanya diadakan pada masa akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan bersama pemilik resort tersebut. "Ini berikutan penganjuran sebuah parti pada 20 Mei yang melanggar kesalahan bawah Sub Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 2002 negeri Terengganu. "Daripada penjelasan pihak Summer Bay Resort, kita dapati banyak perkara yang mereka langgar termasuk tatasusila, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara mesra muslim di negeri ini," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas pertemuan bersama pengurusan Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6 Wisma Darul Iman pada hari ini. Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif. Razali menjelaskan bahawa program tersebut diadakan setiap tahun tanpa pengetahuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya dan Jabatan pelancongan. "Resort tersebut mempunyai lesen yang lengkap dan boleh beroperasi seperti biasa, namun kesalahan ini akan dikenakan tindakan. "Pihak PBT akan mengenakan kompaun kepada resort tersebut dalam masa terdekat, di samping siasatan lanjut mengenai sebarang kesalahan lain di pulau tersebut," tambahnya. Difahamkan, program tersebut telah diadakan selama 10 tahun dan hanya dihentikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa pengetahuan PBT. Razali turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pelanggaran peraturan oleh mana-mana resort kepada pihak berautoriti. "Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana menyalurkan info mengenai parti terbabit," katanya.
23 May 24
2080