lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kanak-Kanak Maut Dilanggar Kenderaan Dipandu Bapa
Kanak-Kanak Maut Dilanggar Kenderaan Dipandu Bapa
BESUT, 29 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun lapan bulan maut dilanggar kenderaan jenis pacuan empat roda dipandu bapanya di halaman sebuah rumah di Kampung Wakaf Kubor, Kluang, Kampung Raja, di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika bapa mangsa sedang mengundurkan kenderaannya selepas selesai membasuh kenderaannya di halaman rumah berkenaan. Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuh kenderaan di halaman rumah. "Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak yang sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah telah bergerak menuju ke arah kenderaan yang dipandunya dan menyebabkan dia telah terlanggar anaknya. "Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa perlu lebih berhati-hati serta peka semasa memandu di kawasan kediaman terutamanya yang mempunyai anak kecil serta sentiasa mengawasi mereka untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. "Terutama apabila melibatkan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak kecil serta tidak membiarkan kanak-kanak di luar rumah tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.    
29 May 24
951
'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'
'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'
KUALA TERENGGANU, 29 Mei- Itu kekaguman disuarakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Sunita Abdul Aziz yang bersama sekitar 50 pegawai Pejabat SUK Negeri Kedah dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Berpeluang turut serta ke sebahagian siri lawatan dalam Kunjungan Hormat Menteri Besar dan delegasi Negeri Kedah ke Terengganu, Sunita menyatakan banyak perkara baru dipelajari dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu. "Ini pengalaman baru bagi kami. Apa yang kami pelajari (hari ini) adalah sejarah negeri dan kehidupan rakyat Terengganu, serta keseniannya yang menarik. Terima kasih pihak kerajaan negeri Terengganu. Sunita cuba memegang gasing terbang Terengganu. "Secara peribadi, saya tengok produk-produk pelancongan Terengganu sangat hebat, kita tengok pemasarannya seperti di peringkat antarabangsa, pengunjung yang datang pun boleh belajar perkara baru seperti seni Telepuk yang berusia ratusan tahun, yang dibawa keluar dari istana dan ditunjukkan kepada umum supaya orang ramai menghargai kesenian Melayu yang sangat halus serta berkualiti. "Saya amat berharap kami dapat belajar serta bawa pulang apa yang dipelajari untuk meningkatkan upaya dan tambah baik terutama dalam industri pelancongan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengiringi delegasi berkenaan, berbesar hati dapat berkongsi produk-produk yang ada di Kampung Budaya Terengganu. "Hari ini, kita berpeluang berkongsi dengan sahabat dari Kedah tentang cara kita menggerakkan agenda pelancongan di negeri Terengganu ini. Kedua-dua negeri sebenarnya berkongsi, tetapi memiliki kelainan dan produk tersendiri. "Di Terengganu ini kita kaya dengan budaya, jadi kita mempromosikan bagaimana menjadikan Kampung Budaya sebagai teras untuk para pelancong yang datang, sebelum bergerak ke tempat lain bagi mengenali dan mempelajari budaya Terengganu. "Daripada kita bersaing dan rugi, sebaliknya kita boleh berkongsi mempromosikan kelebihan produk masing-masing. Kalau orang ke Kedah mereka dapat menyaksikan sesuatu produk hebat, mereka juga boleh datang ke Terengganu dan menyaksikan produk berlainan. Apa yang penting kita boleh berkongsi pengalaman, pengetahuan dalam memperkaya dan mengembangkan agenda pelancongan negeri," katanya. Turut hadir dalam program terbabit ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Manusia dan Integriti), Dato' Hadi Hassan dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.  
29 May 24
4173
Karnival Tech Com Semai Keusahawanan Digital di Kalangan Belia
Karnival Tech Com Semai Keusahawanan Digital di Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Karnival Tech Com 2024 yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) menjadi platform utama untuk menyemai semangat keusahawanan digital dalam kalangan generasi muda negeri itu.  Acara yang dianjurkan bersama Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat itu bertujuan memperkasakan pelajar dan usahawan muda dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam ucapannya, menyatakan bahawa karnival tersebut sangat penting untuk memastikan generasi muda Terengganu tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi global. “Karnival Tech Com ini diharapkan dapat menyemai semangat keusahawanan digital di kalangan generasi muda.  “Mereka adalah aset negara yang perlu kita persiapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk menghadapi masa depan yang semakin berteknologi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian dan Menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Bersama Rakan Strategik bertempat di PSKT, Kampung Laut di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, dengan bimbingan dan sokongan yang betul, anak-anak muda Terengganu mampu menjadi peneraju dalam bidang teknologi dan inovasi, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa. “Kita mahu anak-anak muda kita berani mencuba, berinovasi dan akhirnya menjadi usahawan digital yang berjaya. Karnival ini menyediakan peluang untuk mereka belajar dan berinteraksi dengan teknologi seperti robotik, AI, dan drone. “Selain itu, karnival ini turut menampilkan pelbagai program dan bengkel seperti Bengkel Robotik, Forum Jenayah Siber, dan Drone Challenge, yang direka khusus untuk memberi pendedahan langsung kepada peserta tentang teknologi-teknologi terkini,” jelasnya. Ahmad Samsuri turut menekankan pentingnya integriti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam untuk memastikan perkhidmatan awam di Terengganu terus cekap dan berkesan. Beliau merujuk kepada Belanjawan Negeri 2024 yang menekankan keperluan untuk menjunjung tinggi nilai integriti, mengamalkan konsep ‘walk the talk’ dan berhubung baik dengan semua pihak. “Kita perlu pastikan bahawa kemajuan teknologi yang kita capai tidak hanya membawa manfaat material tetapi juga memberi impak positif kepada nilai dan moral masyarakat,” katanya. Jelasnya, karnival tersebut juga bertujuan untuk mengukuhkan keselamatan siber dan meningkatkan kesedaran tentang jenayah siber, yang semakin meningkat di era digital sekarang. “Melalui forum dan sesi perkongsian, peserta diajar cara-cara untuk melindungi diri mereka daripada ancaman dalam talian. Kita harus memperkukuhkan keselamatan siber dan memastikan bahawa kita mempunyai perlindungan yang mencukupi untuk menghadapi ancaman ini. "Selain jenayah siber, kita juga harus berhati-hati dengan gejala negatif media sosial yang boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan mental dan sosial masyarakat,” ujar beliau. Beliau berharap, dengan penganjuran Karnival Tech Com, Terengganu berhasrat untuk tidak hanya memajukan teknologi dan inovasi sahaja tetapi juga membentuk generasi muda yang berdaya saing dan berfikiran maju, seiring dengan slogan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.  
29 May 24
151
TDM Catat Peningkatan EBITDA 2.5 Kali Ganda Suku Pertama 2024
TDM Catat Peningkatan EBITDA 2.5 Kali Ganda Suku Pertama 2024
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad, melaporkan prestasi kewangan positif bagi suku pertama tahun kewangan 2024 yang berakhir pada 31 Mac 2024 (1QFY2024).  Dalam pengumuman semalam, TDM Berhad mengumumkan peningkatan Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak 2.5 kali ganda Tahun ke Tahun (YoY) kepada RM19.3 juta. Menurut kenyataan media TDM Berhad, keputusan itu didorong oleh prestasi cemerlang dari Bahagian Penjagaan Kesihatan dan strategi pengoptimuman kos di Bahagian Perladangan. “Bahagian Penjagaan Kesihatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak sembilan peratus YoY, yang disebabkan oleh peningkatan purata hasil setiap pesakit sebanyak 13 peratus. “Walaupun kos ubat-ubatan dan bekalan perubatan meningkat, Bahagian ini berjaya mencatatkan EBITDA sebanyak RM11.2 juta,” jelas kenyataan tersebut. Tambahnya, Bahagian Perladangan mencatatkan penurunan hasil sebanyak lima peratus YoY kepada RM50.4 juta, disebabkan oleh penurunan jualan minyak sawit mentah (CPO) dan minyak inti sawit (PK). Walau bagaimanapun, peningkatan pengeluaran Tandan buah segar (FFB) sebanyak lapan peratus dan inisiatif pengoptimuman kos menyumbang kepada peningkatan EBITDA yang ketara sebanyak RM13.4 juta berbanding tempoh yang sama sebelumnya. "Selain itu, Kumpulan mencatatkan pengurangan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak 66 peratus dari RM17.5 juta kepada RM5.9 juta pada tempoh ini. “Pengumuman ini menunjukkan komitmen TDM dalam meningkatkan prestasi kewangan melalui strategi yang berkesan di kedua-dua bahagian utama mereka,” tambah kenyataan tersebut.  
29 May 24
170
Subsidi Diesel : Kaji Kesan Kenaikan Kos Sektor Perikanan Secara Holistik
Subsidi Diesel : Kaji Kesan Kenaikan Kos Sektor Perikanan Secara Holistik
MARANG, 28 Mei - Kenaikan kos dalam sektor perikanan dan pertanian susulan Program Subsidi Diesel Bersasar adalah isu kompleks yang memerlukan pendekatan holistik. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia melibatkan keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat, memastikan kestabilan ekonomi dan mengekalkan kelestarian kewangan negara. "Masih tak jelas dan saya tak dapat nak komen dengan mendalam kerana prosedur dan tatacara pelaksanaan masih tak jelas lagi. "Cuma kita mengharapkan apa sahaja langkah yang diambil, manfaat mesti sampai kepada golongan dan sasaran tepat kerana apa sahaja kenaikan kesannya menjadi berantai," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Sidang Media pada Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Wakaf Unjam Lambaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Pangkalan Nelayan Merchang, Marang, pada hari ini. Justeru itu, Dr Azman berharap program subsidi bersasar tidak memberi impak negatif kepada rakyat, terutama golongan umum seperti para nelayan. "Bila naik harga minyak kos nelayan ke laut akan meningkat dengan sendiri menyebabkan peningkatan dari segi harga ikan dan memberi kesan kepada pengguna," ujar beliau.
28 May 24
240
Portfolio Pertanian Terima Suntikan Dana Sebanyak RM10.07 Juta
Portfolio Pertanian Terima Suntikan Dana Sebanyak RM10.07 Juta
MARANG, 28 Mei - Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri Terengganu mendapat suntikan dana sebanyak RM10.07 juta daripada Kerajaan Persekutuan. Exconya, Dr Azman Ibrahim berkata, dengan sumbangan kerajaan persekutuan ini, pelaksanaan projek akan dipercepatkan dan memberi manfaat langsung kepada nelayan. "Kita dapat daripada Kementerian Ekonomi  di bawah dana jaminan  Pelaksanaan Makanan kerjasama di antara Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan dan kerajaan negeri untuk pelbagai projek. "Dan program yang akan dilaksanakan  pada tahun ini," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Wakaf Unjam Lambaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Pangkalan Nelayan Merchang, Marang, pada hari ini. Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama ini yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat, terutama nelayan. "Antara projek tersebut ialah, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk program tukun tiruan. "Kita dalam proses perolehan sekarang ini dan dengan jumlah wang RM3 juta, kita dapat menyiapkan 100 tukun untuk  menjayakan program garis sempadan  tukun," ujarnya. Beliau menambah, sasaran setiap 245 kilometer sepanjang perairan Terengganu diletakkan satu kelompok tukun berjumlah lapan hingga sepuluh unit. "Jadi dengan sumbangan Kerajaan Persekutuan ini akan mempercepatkan lagi dan kita ucap terima kasih di atas  kerjasama, insya-Allah akan beri manfaat langsung kepada nelayan," tambah beliau. Selain projek tukun tiruan, dana ini juga akan digunakan untuk pembaikan reban ayam, naik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan   dan beberapa program lain yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.
28 May 24
117
Yayasan Terengganu Jalin Kerjasama dengan UniSHAMS
Yayasan Terengganu Jalin Kerjasama dengan UniSHAMS
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menjalinkan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di Kedah dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS). Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan satu usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan kerjasama strategik antara negeri State Government 4 (SG4) dalam semua bidang bagi mencapai kesejahteraan bersama. "UniSHAMS  merupakan satu-satunya universiti swasta milik penuh kerajaan negeri Kedah yang menawarkan Program MBBS dengan kadar yuran pengajian paling rendah berbanding IPTS lain. "Sehingga kini seramai 13 orang pelajar telah memulakan pengajian perubatan di UniSHAMS dan berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan baru-baru ini," ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Terengganu dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah(UniSHAMS) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan delegasi kerajaan negeri Kedah yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Terengganu. Menurut Ahmad Samsuri lagi, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan kepada pendidikan dalam memastikan semua rakyat berpeluang mendapatkan pendidikan yang sempurna dan terbaik. "Saya percaya prinsip ini akan melahirkan modal insan berkualiti dalam pelbagai bidang yang akan menyumbangkan kembali kepada kesejahteraan negeri dan negara," katanya.
28 May 24
374
Terengganu Teroka Peluang Pendidikan di Lima Negara
Terengganu Teroka Peluang Pendidikan di Lima Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Terengganu meneroka peluang pendidikan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di lima buah negara. Mewakili Dato' Satiful Bahari Mamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, lima buah negara tersebut ialah Oman, Arab Saudi, Qatar, Afrika Selatan dan Turkiye. Jelas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri itu, kelima-lima negara berkenaan telah dikunjungi oleh beliau bersama Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Azmi Mat Dahan serta pihak pengurusan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT). "Tujuan lawatan adalah bagi mencari peluang untuk anak-anak Terengganu menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi sama ada peringkat ijazah, sarjana ataupun Doktor Falsafah (PHD). "Alhamdulillah, hasil daripada lawatan tersebut kita mendapat respon yang sangat positif insya-Allah saya difahamkan ia akan diperincikan oleh Pengarah Yayasan Terengganu melalui taklimat kepada pihak-pihak berkenaan kemudian akan membuka peluang kepada mana-mana yang berminat untuk memilih tempat atau institusi yang dipilih untuk melanjutkan pelajaran, "ujarnya. Beliau berkata demikian  ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini hari ini. Ujarnya lagi, kerajaan negeri bukan sahaja melawat negara berkenaan bagi memastikan anak Terengganu dapat menyambung pengajian ke negara tersebut bahkan juga turut berusaha bagi mendapat biasiswa penuh untuk meringankan kos pengajian sepanjang di sana. "Menjadi polisi mana-mana negara akan membuka peluang untuk pelajar antarabangsa mendapatkan biasiswa. "Cuma setiap negara ada kaedah yang tersendiri, jadi kita perlu tahu macamana untuk kita menghantar permohonan seterusnya mendapat tempat untuk menghantar anak Terengganu menyambung pengajian di negara terbabit dalam pelbagai bidang bukan sahaja pengajian Islam bahkan juga sains," ujarnya. Dalam pada itu katanya, Terengganu juga berhasrat untuk menghantar kakitangan di bawah portfolionya untuk mengikuti kursus singkat dalam bahasa Arab bagi memperkasakan lagi penyampaian dakwah dan penerangan.
28 May 24
1103
Dr Sam Terima Kunjungan Hormat MB Kedah
Dr Sam Terima Kunjungan Hormat MB Kedah
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjungan hormat daripada Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini. Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua belah pihak untuk mengukuhkan lagi hubungan dan meneroka lebih banyak peluang kerjasama antara dua negeri. Muhammad Sanusi turut meluangkan masa hampir setengah jam mendengar taklimat pembangunan negeri yang disampaikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Beliau bersama delegasi kerajaan negeri Kedah yang sedang berada di Terengganu untuk lawatan kerja turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Terengganu dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
28 May 24
281
EPIC, Altus Kerjasama Kembangkan Perkhidmatan Pelantar di Pelabuhan Kemaman
EPIC, Altus Kerjasama Kembangkan Perkhidmatan Pelantar di Pelabuhan Kemaman
KEMAMAN, 28 Mei – Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad dan Altus Oil & Gas Malaysia Sdn Bhd (Altus) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperluas rangkaian kerjasama dalam mempromosikan Pelabuhan Kemaman sebagai pelabuhan singgah buat pelantar. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts Muhtar Suhaili berkata MoU tersebut dimeterai bagi jalinan kerjasama strategik antara EPIC Marine dan Altus, dengan sasaran untuk meneroka peluang perniagaan dalam segmen pelantar secara lebih jauh. “Ini termasuklah perkhidmatan penempatan sementara pelantar, penyelenggaraan dan pembaikan pelantar, persiapan projek-projek seterusnya, serta perkhidmatan berkaitan yang lain," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani memorandum berlangsung minggu lalu di premis operasi EPIC Berhad di Teluk Kalong, Kemaman. Ketika pemeteraian memorandum, EPIC Marine diwakili oleh Pengurus Besar Kanan Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin, Ashari Mohammad dan Ketua Syarikat EPIC Marine, Kapten Mohd Kamarul Mamat. Sementara itu, Altus pula diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Altus, Mohamad Taufik Othman dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Nazli Mohd Salim. Majlis itu disaksikan oleh Ts Muhtar Suhaili, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah, Pengurus Besar Kanan Pangkalan Bekalan dan Sokongan, Syed Abdullah Syed Omar dan Pengurus Besar Operasi Altus, Izudin Ab Ghani. Dalam pada itu, Muhtar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada EPIC Marine atas kerjasama tersebut, sambil menekankan bahawa ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam memenuhi permintaan perkhidmatan pelantar yang semakin meningkat di Pelabuhan Kemaman. Beliau mengharapkan inisiatif itu dapat memperkasakan pertumbuhan keseluruhan syarikat dan Kumpulan EPIC. "Menerusi MoU ini, EPIC Marine, bersama syarikat-syarikat lain di bawah Kumpulan EPIC, berhasrat dapat terus menambah baik penawaran dan perkhidmatan di samping menyumbang secara positif kepada pembangunan sosioekonomi Negeri Terengganu,” katanya. Sementara itu, Mohamad Taufik, menekankan komitmen Altus untuk bekerjasama dengan EPIC Marine melalui pelbagai bidang yang berkaitan. “Kerjasama ini diharapkan dapat memajukan kedua-dua syarikat dalam segmen perniagaan yang diceburi, sekali gus meningkatkan daya saing dan keupayaan operasi mereka," ujarnya.
28 May 24
230