lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Wahai Kaki Pancing! Sungai Cacing Kini Dibuka
Wahai Kaki Pancing! Sungai Cacing Kini Dibuka
HULU TERENGGANU, 23 Mei - Lokasi idaman para penggemar aktiviti memancing di Tasik Kenyir iaitu Sungai Cacing telah dibuka kepada umum, bermula minggu ini. Sungai Cacing, salah satu dari empat sungai yang terletak dalam kawasan Taman Negara Terengganu menjadi lokasi yang diimpikan pemancing tegar. Menurut Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abd Aziz Abd Rahim, pembukaan sungai berkenaan sememangnya dinantikan oleh kaki-kaki pancing terutama yang ' mesra' dengan Tasik Kenyir. "Sungai Cacing memang dari dulu terkenal di mana ia memiliki spesies berharga seperti Kelah yang menjadi tarikan pemancing. "Mereka memang menunggu pengumuman ini dan berita ini akan menarik kaki-kaki pancing untuk berkunjung. "Kami akan menghebahkan kepada pengusaha dan pengunjung cuma, apabila ingin masuk ke sini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak Taman Negara Terengganu dan Perhilitan seperti membeli permit memancing dan sebagainya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Sungai Cacing, semalam. Tambahnya, para penggiat pelancongan di tasik Kenyir juga akan bekerjasama dalam peraturan yang telah ditetapkan Perhilitan dipatuhi pengunjung dalam usaha mengekalkan kelestarian khazanah alam di sungai berkenaan. Salah seorang pengusaha bot di Tasik Kenyir, Sulong Mustafa pula amat berterima kasih kepada pihak Taman Negara Terengganu Perhilitan kerana membenarkan pembukaan Sungai Cacing untuk aktiviti memancing. "Paling tidak, kami boleh mempromosikan produk ini kepada pengunjung," katanya. Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu turut menyokong usaha tersebut dengan melepaskan 20,000 benih ikan asli ke sungai berkenaan. Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berharap usaha dilakukan dapat meningkatkan sumber ikan asli di Terengganu khususnya di Sungai Cacing, disamping menambah kepelbagaian sumber perikanan darat dalam negara. "Kita telah melepaskan benih ikan asli terdiri daripada ikan Terbul dan Lampam. "Semoga program pengayaan sumber perikanan darat ini akan dapat menarik lebih ramai pelancong dan pelbagai aktiviti di sini," katanya. Sebagai makluman, bagi pengunjung yang berminat untuk menjelajahi Sungai Cacing, kos permit untuk masuk bernilai seringgit dikenakan bagi tempoh masa 8.00 pagi sehingga 5.00 petang kerana ia terletak di dalam Taman Negara Terengganu. Manakala, permit kamera bernilai RM5 dan permit pancing sebanyak RM10 bagi satu joran.
23 May 24
443
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - 35 pelayar dari pelbagai pelosok negara yang kini berlabuh di Terengganu sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' menjadi sandaran kerajaan negeri bagi memperkenalkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang hebat di mata dunia. Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, menjadi sejarah buat para pelayar dari Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Switzerland, New Zealand dan Hong Kong yang berpeluang melihat keindahan Terengganu. Ujarnya, sebanyak 14 perahu layar berlabuh di Terengganu bermula 19 Mei hingga 2 Jun 2024. "Kita mengharapkan kehadiran mereka ini mampu memberi pulangan ekonomi yang berimpak tinggi di samping mengharapkan mereka akan menjadi sebagai duta atau 'influencer' yang akan memperkenalkan Terengganu di persada antarabangsa. "KIta (juga) mengharapkan mereka mampu memberitahu dan menceritakan kebaikan dan keindahan yang ada supaya mereka akan kenang dan ingat bahawa tempat yang menarik adalah Terengganu yang selalu disebut sebuah negeri yang cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Sambutan Pelayar Antarabangsa sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally' di Jeti Marina Garden, Duyong Marina Pulau Duyong, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman berkata sepanjang berada di Kuala Terengganu pihak JPNT akan mengambil peluang sebaiknya untuk membawa para pelayar mengenali lebih dekat budaya, adat tradisi dan merasai sendiri keenakan masakan tradisional negeri ini. "Saya dimaklumkan esok mereka akan ke Noor Arfa Batik kerana mereka dikatakan cukup berminat dengan batik Terengganu. "Selain itu mereka akan ke tempat Pembuatan Bot di Pulau Rusa, Kampung Budaya Terengganu, muzium negeri, makan tengah hari di Kampung Cina, tempat pembuatan keropok di Losong dan perkampungan rumah-rumah lama," ujarnya. Untuk rekod, pelayar termuda yang menyertai program ini ialah Sawyer Anderson berusia tiga tahun serta paling tua ialah Larry Green yang berusia 83 tahun, antara peserta yang menyertai pelayaran selama 15 hari di Terengganu.  
21 May 24
3185
Parti Aloha : Kerajaan Negeri Panggil Pemilik Resort
Parti Aloha : Kerajaan Negeri Panggil Pemilik Resort
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Kerajaan negeri memanggil pemilik resort persendirian, Summer Bay Resort pada Khamis ini bagi memberi penjelasan berhubung poster tular memaparkan penganjuran satu parti pada 20 Mei. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu akan turut terlibat. Kata beliau, pihaknya mahu meneliti jawapan daripada pihak premis swasta itu terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan diambil. "Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta kita akan bertindak. "Sama ada salah dari segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit, itu kita akan teliti," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman sebentar tadi. Difahamkan, tular satu poster memaparkan satu parti dihadiri penyanyi berbangsa cina dianjurkan pada 20 Mei. Carian di facebook resort berkenaan tentang parti itu juga memaparkan ia dihos dan dihadiri oleh masyarakat bukan islam resort di Pulau Lang Tengah berkenaan. Dalam pada itu, Razali turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat tentang isu tersebut kepada pihak berautoriti. "Jika bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terlibat dalam parti itu boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut. "Insya-Allah kita pakat jaga dan majukan sektor pelancongan negeri kita," katanya.
21 May 24
5259
Tunas Scholar Jadi 'Value Chain' Sedia Tenaga Terlatih
Tunas Scholar Jadi 'Value Chain' Sedia Tenaga Terlatih
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Program Tunas Scholar dijangka menyediakan sebanyak 100 hingga 200 pekerja terlatih dalam satu hingga tiga tahun di Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan kerjasama antara Majlis Agaam Islam dan Adat Melayu Terengganu(MAIDAM) melalui pengurusan Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dan Terengganu Inc menggunakan wakalah agihan zakat dan dana bukan zakat. Katanya, pelaksanaan program itu mampu meningkatkan 'value chain' pendidikan dan kelestarian sektor kesihatan di Malaysia khususnya dan Terengganu secara amnya. "Program tersebut menawarkan inisiatif pembangunan insan melalui diploma kejururawatan dan diploma fisioterapi sebagai platform bagi mengatasi keperluan kekurangan petugas kesihatan di pasaran. "Ia juga sebagai manifestasi peningkatan produktiviti negeri bagi mentransformasi pendekatan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam negeri,"ujarnya. Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan YPM dan pelancaran Biasiswa Tunas Scholar di Permai Hotel di sini hari ini. Seramai 12 pelajar asnaf fakir dan miskin terpilih yang mengikuti pengajian selama tiga tahun di Kolej Universiti Bestari (UCB) akan  menerima biasiswa Tunas Scholar sebanyak RM65 ribu setahun. Tambahnya lagi, program TUNAS Scholar juga dilihat dapat memberi nilai tambah kepada pelajar apabila tamat pengajian di UCB, mereka akan ditawarkan penempatan pekerjaan di mana-mana hospital Kumpulan Medic Iman(KMI Healthcare) tertakluk kepada prestasi pengajian mereka selama tiga tahun.  
21 May 24
148
Qubaz Suites Bakal Lonjak Sektor Pelancongan Terengganu
Qubaz Suites Bakal Lonjak Sektor Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Usaha kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membangunkan projek Qubaz Suites@Kuala Terengganu menjanjikan potensi besar dalam merancakkan lagi pembangunan bandar sekali gus melonjakkan sektor pelancongan dan sosiol ekonomi penduduk negeri ini. Projek usaha sama antara MBKT dan pemaju hartanah, Exsim Development Sdn Bhd itu melibatkan pembangungan pangsapuri di atas tanah berkeluasan 5,868 meter persegi di pusat bandar raya ini dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan. Pada awalnya tapak tersebut menempatkan premis perniagaan milik MBKT yang disewakan, namun melihat kepada keadaan fizikal bangunan yang semakin uzur, kerajaan memikirkan perlunya pembaharuan dibuat bagi memajukan lagi kawasan itu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan projek tersebut melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM278.1 juta manakala Kos Pembangunan Kasar (GDC) berjumlah RM178 juta. “Projek Qubaz Suites@Kuala Terengganu menawarkan tiga jenis pilihan rumah iaitu jenis studio dengan keluasan 388 kaki persegi (184 unit), jenis dua bilik dengan keluasan 506 kaki persegi (552 unit) dan jenis tiga bilik dengan keluasan 753 kaki persegi (23 unit). “Jumlah keseluruhan adalah 759 unit dan harga jualan yang ditawarkan bermula dari RM379,500 sehingga RM720,100 seunit,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pangsapuri Perkhidmatan 30 Tingkat (Qubaz Suites@Kuala Terengganu) di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, matlamat utama kerajaan negeri membangunkan Qubaz Suites @ Kuala Terengganu adalah untuk menggerakkan ekonomi bandar melalui sektor pelancongan. “Pelaksanaan projek berkonsepkan 'Airbnb' yang mempunyai 759 unit penginapan ini akan menawarkan kualiti penginapan selesa kepada pelancong.  “Saya yakin projek ini akan menjadi pilihan kepada para pelancong kerana lokasinya berada di dalam ‘tourism belt’ Bandaraya Kuala Terengganu dan berdekatan dengan Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan, drawbridge dan produk-produk pelancongan lain,” ujarnya. Selain itu jelas beliau, objektifnya juga adalah untuk meningkatkan jumlah pegangan hartanah bumiputera di dalam bandar. “Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat kuota bumiputera di dalam projek ini adalah tidak kurang daripada 70 peratus daripada jumlah unit yang dibina.  “Pelaksanaan projek yang berkonsepkan "Airbnb' ini akan menjana ‘passive income’ kepada pembeli dan seterusnya meningkatkan pendapatan bumiputera,” jelasnya. Sementara itu, ia turut bertujuan untuk meningkatkan pendapatan MBKT. “Melalui pembangunan secara usahasama ini, MBKT akan mendapat pulangan sebanyak RM22.5 juta dalam bentuk tunai dan pemilikan hartanah di Qubaz Suites. “Setelah projek ini siap dan beroperasi, MBKT dijangka akan menambahkan pendapatan sebanyak RM1 juta setahun melalui cukai pintu, bayaran lesen dan bayaran-bayaran per unit.  “Melalui peningkatan pendapatan ini, sudah tentu MBKT akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” ujarnya. 
21 May 24
2640
'Peluh' Ibu Bapa Bawa Tiga Beradik ke Tanah Suci
'Peluh' Ibu Bapa Bawa Tiga Beradik ke Tanah Suci
KUALA NERUS, 21 Mei – Pengorbanan ibu bapa yang tiada hentinya dalam menabung telah membawa kepada penunaian impian tiga anak mereka untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci. Rezeki terpilih untuk menunaikan haji itu tidak disangka oleh tiga beradik yang berasal dari Gong Badak apabila dapat bersama melaksanakan rukun Islam yang kelima. Menurut Muhammad Nazirul Haqimi Zulkeflee, 32, dia amat bersyukur di atas usaha yang dilakukan oleh ibu bapanya yang mendaftar sejak 2008 membuka peluang untuk menunaikan haji pada usia muda. Bercerita lanjut katanya, setiap bulan ibu dan bapanya yang bekerja sebagai guru menyimpan antara RM100 hingga RM200 untuk setiap anak. “Mak ayah saya simpan setiap bulan lebih kurang RM100 lebih setiap seorang sehingga kami dapat melakukan haji pada usia muda ini. “Duit raya yang dapat juga disimpan dalam tabung haji. Jadi pengorbanan mak dari daftar sampai hari ini, kami bersyukur mak simpan, bukan hanya seorang, tetapi empat beradik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Bakal Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1445/2024 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam kelmarin. Haqimi berkata, walaupun harapan kedua orang tuanya untuk menghantar empat beradik ke tanah suci bersama tidak tercapai tetapi sekurang-kurangnya tiga sudah dimakbulkan. Haqimi bersama adiknya, Muhammad Nazirul Hazimi Zulkeflee dan Muhammad Nazirul Fatihi Zulkeflee antara 139 jemaah haji kumpulan ketujuh yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam tadi untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bertolak ke Madinah pada jam 4 pagi semalam. Tahun ini, Tabung Haji mengurus seramai 31,600 orang jemaah haji dengan menggunakan 100 penerbangan sewa khas terus ke Tanah Suci.        
21 May 24
185
Sultan Terengganu Titah Bakal Jemaah Haji Doakan Kesejahteraan Negara
Sultan Terengganu Titah Bakal Jemaah Haji Doakan Kesejahteraan Negara
KUALA TERENGGANU, 20 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menitahkan bakal jemaah haji negeri Terengganu untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara sepanjang berada di Tanah Suci. Dalam titahnya, baginda mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji. Baginda menekankan bahawa jemputan itu adalah satu peluang yang amat istimewa dan harus dimanfaatkan sepenuhnya. "Jangan lupa untuk memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT sepanjang berada di Tanah Suci agar terus memelihara kesejahteraan negara Malaysia dan dijauhkan dari bencana yang tidak diingini," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji ke Tanah Suci, bertempat di Stesen Haji, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam. Titah ucapan baginda disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra, dan disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada bakal jemaah haji tersebut. Baginda mengingatkan para jemaah untuk melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji dengan bersungguh-sungguh seperti yang telah dipelajari dalam kursus-kursus anjuran Tabung Haji. Baginda memuji Tabung Haji serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam operasi haji tahun ini atas persediaan yang rapi dan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan jemaah haji. Di akhir titahnya, baginda mendoakan agar semua jemaah haji negeri Terengganu diberikan kemudahan oleh Allah SWT untuk mengerjakan ibadat haji dengan sempurna dan kembali dengan haji yang mabrur, Insya-Allah.  
20 May 24
266
UC TATI Pilihan Tepat Lepasan SPM Jadi Graduan Berkemahiran Tinggi
UC TATI Pilihan Tepat Lepasan SPM Jadi Graduan Berkemahiran Tinggi
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Kolej Universiti TATI (UC TATI) merupakan pilihan tepat untuk anak negeri Terengganu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi graduan berkemahiran tinggi dalam memenuhi pasaran kerja dan permintaan industri masa kini. Timbalan Rektor UC TATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed berkata kolej universiti itu menawarkan program peringkat sijil sehingga peringkat falsafah dengan memerlukan pelajar SPM mendapat tiga kredit untuk ke program diploma yang memiliki 15 pilihan program  dan lima kredit untuk ke peringkat asasi yang menawarkan dua program.  Menurutnya, para pelajar berkenaan akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan UC Tati menawarkan satu program Ijazah Doktor Falsafah, tiga program Sarjana dan 11 program  Ijazah Sarjana Muda. "UC TATI ini merupakan satu institusi berasaskan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional yang mana kita menjalankan program yang melibatkan 80 peratus praktikal dan 20 peratus kepada teori. "KIta juga menyediakan pensyarah yang mememiliki kepakaran dalam bidang yang ditawarkan antaranya pembuatan, automasi, elektrikal, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi, media grafik, Media Komunikasi, Pendidikan Awal kanak-Kanak danb "UC TATI bukan sahaja terkenal dalam negara bahkan di luar negara dengan mendapat pelbagai pengiktirafan daripada agensi luar negara malah memenangi pelbagai anugerah dalam pertandingan inovasi sama ada dalam negara mahupun luar negara," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, dengan lepasan SPM menyatakan kesediaan untuk belajar, UC TATI akan menyediakan ruang yang luas bagi untuk bakal pelajar. Katanya, pelajar di peringkat program asasi akan menerima tajaan biasiswa daripada Yayasan Terengganu dengan yuran pengajian akan ditanggung sepenuhnya manakala bagi pelajar Diploma pula akan menerima elaun RM2,000 setahun. Penyediaan penginapan pula katanya akan disediakan sepanjang tempoh pembelajaran untuk semua peringkat. Dalam pada itu katanya, untuk pelajar yang tidak mencukupi kredit serta kelayakan yang diperlukan, UC TATI masih memberikan peluang serta tawaran istimewa dengan menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga. Selain itu menurutnya, UC TATI juga menawarkan Program SPM Fast Track Darul Huffaz bagi membantu pelajar pondok bagi mengambil peperiksaan di Kolej Universiti terbabit serta berpeluang menyambung pengajian melalui kursus yang ditawarkan. 
20 May 24
899
139 Jemaah Haji Terengganu Berangkat ke Tanah Suci
139 Jemaah Haji Terengganu Berangkat ke Tanah Suci
KUALA NERUS, 20 Mei– Seramai 139 jemaah haji Terengganu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. Setelah tiba di KLIA, semua jemaah menaiki penerbangan KT032T dan bertolak ke Makkah pada jam 4.00 pagi hari ini. Ini merupakan penerbangan haji yang ke-30, dan sehingga kini, lebih 7,985 jemaah haji Malaysia sudah selamat tiba di Madinah dan Makkah. Majlis pelepasan jemaah tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra. Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Ahmad Samsuri, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu dan Pengurusan Kanan Tabung Haji, mengucapkan tahniah kepada semua bakal haji Malaysia yang telah terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada musim haji tahun ini. Beliau menasihatkan para jemaah agar menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di Tanah Suci, serta mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan Tabung Haji demi keselamatan jemaah dan kelancaran proses mengerjakan haji. “Ganjaran bagi mereka yang mengerjakan ibadat haji sangatlah besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci daripada dosa-dosanya, seolah-olah dia kembali pada hari dia dilahirkan oleh ibunya,” ujarnya. Beliau berharap agar ibadat haji yang bakal dikerjakan akan meningkatkan lagi iman dan amal dalam mencari keredhaan Allah, demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.  
20 May 24
2360
Polis Terengganu Tingkatkan Tahap Keselamatan Balai
Polis Terengganu Tingkatkan Tahap Keselamatan Balai
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Polis Kontinjen Terengganu telah meningkatkan tahap keselamatan di semua balai dan pondok polis di negeri ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada. Ketua Polis Terengganu, Dato' Mohd Khairi Khairuddin berkata, langkah itu diambil ekoran kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram yang telah mengakibatkan berlaku kematian dan kecederaan pegawai polis. "Kesemua tujuh buah ibu pejabat polis daerah, 38 balai polis dan 32 pondok polis di negeri ini sentiasa siap siaga. "Dalam memastikan keselamatan premis-premis polis serta premis berkepentingan utama di negeri ini berada di dalam tahap (keselamatan) yang tinggi," ujarnya melalui satu kenyataan rasmi, di sini, kelmarin.  Dalam pada itu katanya, rakyat di negeri ini tidak perlu khuatir dan panik kerana pihak Polis Diraja Malaysia akan memastikan orang ramai  sentiasa berada dalam keadaan selamat. "Kerana PDRM akan sentiasa melakukan pemantauan dan risikan dalam memastikan keselamatan (di) negeri ini (berada) di tahap yang terkawal," katanya.
20 May 24
334