lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Perhimpunan Terbesar di Padang Arafah, Lambang Kekuatan Umat Islam
Perhimpunan Terbesar di Padang Arafah, Lambang Kekuatan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Kerajaan negeri menyeru umat Islam untuk merebut peluang keampunan yang terbuka luas pada Hari Arafah, sambil menegaskan bahawa perhimpunan besar umat Islam di Padang Arafah adalah lambang kekuatan umat Islam di seluruh dunia. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hari Arafah juga mengingatkan manusia tentang perhimpunan besar pada hari kiamat, di mana semua manusia akan dikumpulkan di hadapan Allah untuk dihisab. “Perhimpunan di padang Arafah adalah gambaran kecil dari perhimpunan besar itu. Marilah kita muhasabah diri dan memperbanyakkan amal soleh agar kita termasuk dalam golongan yang berjaya di akhirat kelak,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Sultanah Nur Zahirah, pada Khamis. Tambah Dr Khalil, Hari Arafah adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan.  “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, ‘Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah’. “Hadis riwayat Muslim ini menunjukkan betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah pada hari Arafah. Pada hari tersebut, Allah membuka pintu-pintu keampunan seluas-luasnya,” katanya. Dr Khalil juga menyentuh mengenai ibadat wukuf di padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun haji, di mana para jemaah haji berkumpul untuk berdoa, berzikir, dan memohon keampunan daripada Allah.  “Walaupun tidak semua dapat bersama-sama dengan jemaah haji di sana, umat Islam masih dapat mengambil iktibar dan melaksanakan ibadat sunnah sempena Hari Arafah. “Saya menyeru kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat di Negeri Terengganu untuk turut sama-sama berpuasa pada 9 Zulhijjah ini, yang merupakan hari wukuf di Arafah," ujarnya. Beliau berkata, Sabda Nabi SAW, puasa pada hari tersebut, iaitu Hari Arafah, akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.  Dr Khalil turut mengucapkan terima kasih kepada barisan penganjur dan seluruh jemaah yang hadir memenuhi masjid pada malam tersebut untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Arafah.          
16 Jun 24
253
Hampir 100 Banduan PBSL Terengganu Berjaya Teruskan Hidup
Hampir 100 Banduan PBSL Terengganu Berjaya Teruskan Hidup
MARANG, 13 Jun- Hampir 100 peratus banduan yang mengikuti program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Terengganu berjaya meneruskan kehidupan di luar 'jeriji besi' setelah dibebaskan. Pengarah Penjara Terengganu, PKK Hamid Taha berkata, hanya lima prospek yang masuk kembali daripada jumlah banduan dibebaskan setakat ini. "Sehingga kini, telah lebih 1,500 orang mengikuti program ini. Alhamdulillah statistik hanya menyatakan lima orang sahaja yang masuk kembali. "Faktor utama yang menjayakan program ini adalah peluang pekerjaan. Kita lihat, walaupun peluang pekerjaan di Terengganu agak terbatas (namun), kerjasama majikan dan keluarga memberi ruang untuk syarikat-syarikat luar ambil mereka bekerja.," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidiladha di Penjara Marang, hari ini. Turut hadir, Pengarah Penjara Marang, PKK Mohamad Jusoh Ismail. Tambahnya lagi, lebih 40 majikan di Terengganu memberikan kerjasama dalam 'membina' semula kehidupan para banduan. "Alhamdulillah, lebih 90 peratus dari mereka bekerja dan dapat peluang menyara keluarga," ujarnya. Untuk makluman, seramai 118 orang prospek dari seluruh negeri Terengganu mendapat pembebasan secara lesen dari keseluruhan 882 orang di seluruh Malaysia, hari ini  dengan Terengganu merekodkan jumlah pembebasan tertinggi.            
13 Jun 24
547
'Spin' Kenyataan MB, Media Ditekan Tangan Ghaib?
'Spin' Kenyataan MB, Media Ditekan Tangan Ghaib?
Semalam tular beberapa berita memaparkan tajuk dan konteks laporan yang salah berkait kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang kenaikan harga diesel. Alhamdulillah, semakan semula hari ini terhadap berita-berita itu mendapati tajuk dan konteks sebenar telah diubah walaupun masih ada bibit-bibit untuk menampakkan Ahmad Samsuri menyokong tindakan menaikkan harga diesel di saat rakyat terbeban dengan kos sara hidup. Berbalik kepada penyelewengan berita, sebaik keluar laporan salah tersebut, Ahmad Samsuri menerusi ruangan Facebooknya telah menerbitkan satu kemaskini yang memaparkan berita 'Bukan Masa Tepat Untuk Naikkan Harga Diesel' dengan kapsyen 'apa sahaja tindakan yang dibuat, perlulah ada data dan kajian berkesan bagi mengurangkan impak kepada rakyat'. Ini sekali gus mengesahkan bahawa tajuk berita 'Penyasaran Subsidi Diesel Langkah Tepat, Berani' adalah tersasar jauh daripada maksud asal Ahmad Samsuri. Semakan juga telah dibuat pada video asal kenyataan Menteri Besar (MB), memang benar laporan berita memutar belit kenyataan MB. Ketika ditanya wartawan, tentang penarikan subsidi diesel MB berkata, 'di saat rakyat terbeban dengan kos sara hidup, ini bukan masa terbaik, kena cermat dan bukan kajian sebelum melaksanakan tindakan ini', tetapi media melapor 'penyasaran subsidi diesel langkah tepat dan berani - MB Terengganu'. Ahmad Samsuri juga menyebut, 'secara dasarnya semua (PM) bersetuju dengan penyasaran subsidi minyak kerana demi mengelakkan ketirisan, tetapi perlu dibuat berdasarkan kajian dan dengan cermat...', jawapan ini merujuk kepada soalan wartawan yang berbunyi, 'apa pandangan MB, apabila Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berkata PM-PM sebelum ini pun setuju nak buat rasionalisasi subsidi, tapi tak berani'. Jelas jawapan bersetuju ini berkait dengan persetujuan PM terdahulu dengan langkah rasionalisasi subsidi, bukan MB bersetuju dengan tindakan PM hapus subsidi ketika ini. Di pihak rakyat pula, ramai tidak berpuas hati dengan laporan berita tersebut yang didakwa seolah-olah mahu menjatuhkan reputasi beliau di saat rakyat sangat marah dengan kenaikan harga diesel. Hasil semakan juga mendapati berita asal yang ditulis wartawan di lokasi jauh berbeza dengan apa yang diterbitkan. Seolah-olah apa pihak yang sengaja menukar konteks berita tanpa pemakluman. Jika benar, ini adalah budaya tidak sihat yang makin mengcengkam pihak media, wujud 'tangan ghaib' mengatur naratif jahat bagi memberi keuntungan kepada pihak tertentu. Lama-kelamaan jika ini berterusan, media sudah tidak lagi bebas, kita semua akan berada di dalam 'penjara' dan ditekan agar menuruti kehendak pihak tidak bertanggungjawab ini. Kelab Wartawan perlu bangkit bersatu keberanian menyatakan bantahan bagi membela nasib wartawan di bawah jika merasa penganiayaan ini tidak sepatutnya berlaku. Lidah Pengarang.
13 Jun 24
508
'Jika Bukan Kita Hendak Terima, Siapa Lagi?'
'Jika Bukan Kita Hendak Terima, Siapa Lagi?'
MARANG, 13 Jun - Begitulah luahan seorang ibu kepada salah seorang banduan yang dipilih dalam program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) di Penjara Marang, hari ini. Aminah (bukan nama sebenar), 70, menyifatkan pelepasan anaknya, Amar (bukan nama sebenar), 35, sempena Hari Raya Aidiladha ini sebagai satu kegembiraan besar buat dirinya dan keluarganya. "Anak kita kan? siapa lagi hendak terima? Kita kasihankan dia, dia cacat dan jadi begini pula.  'Terimalah, marah tidak marah pun, hendak macam mana?," katanya yang hadir menerima penyerahan perintah (Lesen PBSL) bersama suaminya, Amin. Tambah beliau, anak keenam dari lapan beradik itu ditahan buat kali kedua di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya dan dihukum penjara selama lima bulan, sebelum ini dijadualkan bebas pada bulan Julai.  "Lepas pada dia buat lagi, kita berusaha macam-macam dah. Rasa susah dah, ingatkan tidak boleh berjalan tiadalah berulang lagi. Tapi, tidak boleh berjalan pun orang hantar," ujarnya. Dalam pada itu, Amar yang hilang kaki kirinya dalam kemalangan pada tiga tahun lalu, terharu dengan kehadiran ibu bapanya. "Saya rasa terharu dan sedih. Insya-Allahlah (akan berubah). "Dahulu (tahun 2016), saya (kena) dalam enam bulan. Sebelum ini, ada kaki lagi. Untuk uruskan diri itu, sukarlah sedikit pakai tongkat, (kena) berdikarilah. "Saya bercadang cari bantuan kaki palsu (dan) cari kerja. Pelihara lembu ke," katanya. Beliau merupakan salah seorang dari 118 banduan yang dilepaskan melalui program PBSL di Penjara Marang yang disempurnakan Pengarah Penjara Terengganu PKK Hamid Taha pada pagi ini.              
13 Jun 24
276
KMI Kuala Terengganu Menang Anugerah Kecemerlangan Industri 2024
KMI Kuala Terengganu Menang Anugerah Kecemerlangan Industri 2024
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMI Kuala Terengganu) meraih Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024, anugerah berprestij yang diiktiraf di peringkat nasional bagi menghargai sumbangan industri terhadap pembangunan ekonomi negara. Kejayaan KMI Kuala Terengganu itu diumumkan pada satu majlis yang diadakan di The Majestic Hotel yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz. Pengurus Besar KMI Kuala Terengganu, Salina Long berkata, AKI adalah pengiktirafan penting oleh kerajaan bagi meraikan syarikat-syarikat yang menunjukkan kecemerlangan dalam sektor masing-masing.  “Memenangi anugerah ini mengukuhkan dedikasi KMI Kuala Terengganu untuk menetapkan piawaian tertinggi dalam perkhidmatan kesihatan dan misi yang berterusan bagi meningkatkan penjagaan pesakit dan kecemerlangan operasi.  “Pengiktirafan berprestij daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ini turut menandakan pencapaian luar biasa Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan inovatif kepada masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan.  Katanya, penilaian untuk AKI 2024 adalah berdasarkan Kerangka Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), sebuah kerangka penilaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang digunakan untuk mempromosikan amalan terbaik global dalam kecemerlangan perniagaan.  "Kami amat berbesar hati menerima AKI 2024 dan penghargaan ini adalah bukti kerja keras seluruh pasukan yang komited terhadap kecemerlangan, memastikan sentiasa memenuhi keperluan pesakit dan kepentingan semua pemegang taruh. “Kami juga berbangga menjadi syarikat pertama dari Terengganu yang merangkul anugerah nasional, sangat bersyukur atas pengiktirafan ini dan akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek perkhidmatan," jelasnya. Katanya, KMI Kuala Terengganu diketengahkan kerana perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, amalan pengurusan yang inovatif, dan peranannya dalam memajukan industri kesihatan di Malaysia. Tambah beliau, pencapaian tersebut tidak akan dicapai tanpa sokongan staf KMI Kuala Terengganu yang tekun bekerja, pesakit yang menaruh kepercayaan dan pemegang taruh yang sentiasa menyokong usaha untuk memperkukuhkan industri kesihatan di Negeri Terengganu.
13 Jun 24
1775
Terengganu Antara Negeri Terawal Perkenal Kad Perniagaan NFC
Terengganu Antara Negeri Terawal Perkenal Kad Perniagaan NFC
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Terengganu antara negeri terawal memperkenalkan kad perniagaan yang mempunyai keupayaan untuk menggunakan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) dalam pentadbiran kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, inisiatif tersebut bertujuan memudahkan urusan pertukaran maklumat digital dan meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan awam. “Melalui usahasama TAJDID Corporation Sdn Bhd, kita telah bangunkan platform kad perniagaan NFC sebagai satu produk digital yang menggabungkan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi pengkomputeran awam bersama kad fizikalnya. “Kalau sebelum ini apabila berjumpa dengan tetamu/pelanggan kita memberikan ‘business card’ (kad perniagaan) tetapi dengan keupayaan teknologi NFC kita hanya menggunakan satu kad sahaja yang mana segala maklumat peribadi boleh disimpan terus ke dalam telefon,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kad Perniagaan NFC Bagi Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut Mohd Nurkhuzaini berkata, semua pegawai kerajaan negeri digalakkan untuk menggunakan kad NFC tersebut bagi mengukuhkan sistem pengurusan dan memudahkan urusan komunikasi di kalangan pegawai-pegawai kerajaan. “Bagi peringkat permulaan kita memperkenalkan kad ini di kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum diperluaskan kepada jabatan, agensi, pejabat daerah, GLC dan lain-lain dalam masa terdekat,” ujarnya. Katanya, penggunaan kad NFC juga secara tidak langsung dapat menjimat kos di peringkat pentadbiran. “Pengunaan kad NFC juga akan mengurangkan kos perkhidmatan kepada pentadbir contohnya, apabila berlakunya pertukaran kakitangan awam daripada suatu jabatan ke jabatan lain, kalau guna ‘business card’ yang konvesional perlu ‘print’ baru, tetapi yang ini hanya hubungi TAJDID untuk kemaskini maklumat,” ujar beliau. Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan agensi kerajaan persekutuan untuk turut sama menggunakan Kad NFC dalam usaha mentransformasikan penyampaian perkhidmatan digital khususnya di agensi kerajaan dan seluruh warga kerja.
13 Jun 24
710
Kenaikan Diesel, Dr Sam Ucap 'Good Luck' Kerajaan Persekutuan
Kenaikan Diesel, Dr Sam Ucap 'Good Luck' Kerajaan Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - "Good luck," itu respon bersahaja Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar susulan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya yang bakal meninggalkan kesan berangkai kepada rakyat. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ucapan itu dibuat kepada pentadbiran kerajaan persekutuan untuk menangani permasalahan yang timbul. "Kesan berangkai daripada kenaikan mendadak itu, sedang kita lihat daripada beberapa pengumuman daripada penyedia perkhidmatan, pengeluar barangan dan lain-lain lagi. "Ini cabaran yang sangat besar kepada sesebuah kerajaan terutama kerajaan pusat untuk menangani persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan jadi saya ucap 'good luck' kepada pentadbiran," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Conference Of Head Of Academic Departments 2024 (CHAD 2024) di Hotel Primula, di sini hari ini. Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebenarnya juga telah dirancang oleh barisan kerajaan terdahulu, Ahmad Samsuri berkata pada dasarnya ia dipersetujui tentang perkara tersebut. "Namun, paling penting cara pelaksanaan, kaedah mana, cara untuk menangani bagaimana, perkara yang memerlukan cara yang cermat 'handle' perkara ini agak tidak membebankan rakyat. "Perkara dasar, mungkin sama-sama buat keputusan tetapi yang menentukan berjaya atau tidak tu atau kesan yang terdapat tu dari segi pelaksanaan tu," ujarnya.
12 Jun 24
6179
Bukan Masa Tepat Untuk Naikkan Harga Diesel
Bukan Masa Tepat Untuk Naikkan Harga Diesel
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Program Penyasaran Subsidi Diesel disifatkan bukan pada masa yang tepat.  Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah itu kurang sesuai dilaksanakan dalam keadaan rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi. "Peningkatan satu hal tetapi dari segi jumlah itu memberikan kesan berangkai terhadap rakyat lebih besar dan ini  yang perlu kita tengok...jadi kena lebih cermat tentang perkara tersebut. "Sebelum  pengumuman itu cara untuk menangani kepada rakyat harus difikir lebih mendalam termasuk jumlah peningkatan yang begitu mendadak sekarang ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program 'Conference Of Head Of Academic Departments 2024' (CHAD 2024) di Hotel Primula, di sini hari ini. Tambah beliau, dicadangkan agar ia dibuat secara berperingkat jika kerajaan tetap ingin melaksanakannya. "Saya tak pasti sama ada peringkat pentadbiran persekutuan telah mengkaji sedalamnya pelaksanaan yang terbaik," ujarnya lagi. Menurut Ahmad Samsuri, beliau juga sedar bahawa mungkin pada satu masa subsidi diesel perlu dirungkaikan daripada kerajaan lama. "Ini kerana kebocoran tanpa kita tanpa sedari membiayai syarikat-syarikat yang tidak kena mengena dengan kita, orang-orang luar daripada negara kita dan sebagainya," jelasnya.
12 Jun 24
4817
PAS Umum Calon Sungai Bakap 15 Jun
PAS Umum Calon Sungai Bakap 15 Jun
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bagi Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan secara rasmi pada 15 Jun (Sabtu) ini. Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, calon yang dipilih itu adalah calon yang terbaik dipilih pucuk pimpinan parti dan mampu memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang kepada rakyat di Sungai Bakap. "Kita akan umumkan calon PRK DUN Sungai Bakap itu pada hari Sabtu nanti.Kalau saya bagi hint, dah tak ada kejutan la untuk hari Sabtu nanti. "Insya-Allah kita ada peluang untuk menang dan kita doakan agar peratus yang keluar mengundi itu tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut. Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
12 Jun 24
183
Rakyat Resah Kenaikan Harga Diesel Sebabkan Barang Makin Mahal
Rakyat Resah Kenaikan Harga Diesel Sebabkan Barang Makin Mahal
MARANG, 11 Jun - Rata-rata pengguna kenderaan diesel menyuarakan pandangan bahawa kenaikan harga bahan mentah itu akan memberi impak terhadap kenaikan harga barang selain mengakui terbeban dengan pertambahan perbelanjaan. Pemandu lori, Fazhli Ghazali, 52, mempersoalkan apa rasionalnya kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi di Semenanjung Malaysia yang menyebabkan semua golongan terpalit. "Tergamak naikkan sehingga RM1.20, sepatutnya tak payah kacau subsidi itu kerana ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang. "Selama ini pembekal barang-barang mentah dan keperluan rakyat tidak menggunakan kereta untuk menghantar barangan tersebut, semuanya menggunakan kenderaan diesel. "Dia (Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang selama ini beria-ria menjanjikan harga minyak turun apabila jadi Perdana Menteri hanyalah auta. "Sebaliknya bila berada di tampuk kekuasaan langsung tidak mengambil kisah apa akan jadi terhadap segala tindakan yang dibuat dibimbangi tidak lama lagi minyak petrol pula akan naik," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Sementara itu, bagi Mohd Faizudin Ishak, 30, yang turut menggunakan kenderaan diesel untuk perniagaan milik persendirian berkata, kenaikan harga bahan mentah itu memang mengejutkan. "Saya ada mengisi permohonan untuk dapatkan Budi Madani bagi mendapatkan bantuan RM200 sama ada berupaya meringankan beban ataupun tidak memandangkan saya masih baru lagi memakai kenderaan ini untuk perniagaan sendiri. "Tentang kenaikan harga barang itu kita tunggu sebulan ini apa kesan daripada kenaikan harga Diesel ini," ujarnya. Bagi pengguna kenderaan diesel persendirian Malik Safrizan Umar, 38, menyatakan dia turut terkejut dengan kenaikan harga diesel itu. "Rasanya macam tidak padan dengan bantuan RM200 itu dengan kenaikan yang agak ketara. "Mengenai kenaikan harga barangan saya rasa ia akan terjadi kerana semua kebanyakan kenderaan perdagangan menggunakan diesel. "Perjalanan dekat mungkin tidak akan terasa, tetapi kenderaan perdagangan yang memerlukan perjalanan jauh sudah tentu akan terpaksa menilai semula kos baru yang akan ditanggung," ujarnya.  
11 Jun 24
1009