lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tenaga Boleh Diperbaharui Nafas Baharu Terengganu
Tenaga Boleh Diperbaharui Nafas Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Terengganu sedang mengorak langkah baru dengan mengfokuskan kepada tenaga boleh diperbaharui untuk memajukan ekonomi negeri.  Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata sumber tenaga alternatif itu penting untuk mencapai visi Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera menjelang 2030. “Pengembangan tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja memberi nafas baharu kepada ekonomi Terengganu, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar terjaga. “Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) yang menekankan pembangunan yang berterusan dan lestari,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Resilient Terengganu Dialogue 2024 (RTD2024) di Dewan Intan, Hotel Permai di sini hari ini. Tambah Dr Hanif, usaha itu termasuk bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional dengan menggunakan tenaga solar dan angin.  “Langkah ini dijangka dapat meningkatkan hasil bukan cukai negeri sehingga 10 peratus setiap tahun. “Tenaga boleh diperbaharui akan menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi negeri, menyediakan peluang pekerjaan baharu, dan menarik pelaburan luar,” ujarnya. Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengkaji potensi nadir bumi sebagai sumber ekonomi baharu yang boleh meningkatkan daya saing Terengganu di peringkat global.  “Ini termasuk memperkukuh infrastruktur dan melaksanakan program latihan untuk memastikan tenaga kerja tempatan bersedia untuk industri baru ini. “Dengan fokus pada tenaga boleh diperbaharui dan nadir bumi, Terengganu optimis untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif, memberikan manfaat kepada seluruh rakyat negeri,” ujarnya.    
11 Jun 24
1466
Diesel Naik Harga, Rakyat Tertekan
Diesel Naik Harga, Rakyat Tertekan
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Pengumuman mengenai kenaikan harga diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 susulan penarikan subsidi oleh Timbalan Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah, telah menimbulkan kebimbangan ramai terutamanya berkenaan kesan kepada rakyat dan perniagaan. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim, turut menyuarakan kebimbangan beliau tentang kenaikan harga barang yang mungkin berlaku akibat kenaikan subsidi diesel tersebut. “Walau bagaimanapun saya memahami banyak perbincangan telah dibuat untuk mengambil kira kesan kepada kenaikan harga subsidi ini yang sudah tentu akan memberi kesan kepada rantaian kenaikan harga barangan dan sebagainya,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam. Amzad turut mengulas berhubung kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 melibatkan sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat. “Saya tengok bahawa disebut bagi syarikat pengangkutan yang terlibat dalam logistik ini diperkenalkan kad fleet untuk dapat pada harga kekal subsidi iaitu RM2.15 seliter. “Soalan saya, syarikat logistik di dalam negara ini banyak, daripada syarikat logistik yang besar yang tersusun sehingga syarikat lain termasuk lori pak mat (orang biasa) yang bawa barang, jadi adakah mereka semua ini akan dapat kad fleet yang berkenaan, yang akan membolehkan mereka menikmati subsidi?,” soal Amzad. Amzad turut menekankan pentingnya untuk memastikan semua yang layak menerima subsidi, terutama program RM200 yang diuruskan oleh Budi Madani, didaftarkan dengan betul. Bermula tengah malam tadi, harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter. Sementara itu, seramai 30,000 penerima Budi Madani individu dan Budi Agri-Komoditi meliputi petani dan pekebun kecil komoditi menjadi kumpulan pertama menerima bantuan bulanan RM200 yang didepositkan ke akaun masing-masing mulai tengah malam tadi. “Sekarang ini disebut untuk fasa pertama yang melalui Budi Madani ini. RM200 subsidi akan dimasukkan kepada seramai 30,000 penerima bersamaan RM6 juta.  “Jadi berapa ramai yang telah mendaftar dengan Budi Madani kerana sebelum ini sistem Padu boleh dikatakan gagal, ramai yang tidak mendaftar dan ada negeri seperti Sarawak misalnya tidak menyembunyikan bahawa mereka sangsi terhadap Padu. “Adakah ini akan dijadikan alasan kepada kerajaan? Kerajaan akan kata bukan tak nak bagi tetapi pihak yang berkenaan yang sepatutnya mendaftar, tidak mendaftar, dipersalahkan balik,” ujarnya. Justeru, tegas beliau perkara itu perlu ditangani supaya rakyat tidak menjadi mangsa sehingga menyebabkan mereka tidak menikmati apa yang sepatutnya diperolehi.                                
11 Jun 24
352
Dialog ‘Resilient Terengganu’ Lambang Keterbukaan Kerajaan
Dialog ‘Resilient Terengganu’ Lambang Keterbukaan Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Dialog 'Resilient Terengganu' 2024 yang dianjurkan Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS) hari ini membuktikan keterbukaan Kerajaan Negeri Terengganu dalam mendepani pandangan dan kritikan pihak luar. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata dialog itu dibuat bagi mengumpul dapatan konstruktif daripada para ahli panel yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing. "Perspektif dan saranan yang berdasarkan bukti faktual sangat penting untuk membantu kepimpinan Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan dan tindakan yang berpandukan data atau 'data-driven'," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Resilient Terengganu Dialogue 2024 (RTD2024) di Dewan Intan, Hotel Permai di sini hari ini. Tambah Razali, dialog tersebut adalah sambungan daripada Persidangan Terengganu Sejahtera 2022, yang menekankan keperluan untuk bermula dari sekarang dalam membangunkan kapasiti dalam pelbagai bidang. Katanya, tema 'resilient' atau berdaya tahan dialog itu adalah penting dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan. “Lebih lanjut, dialog ini mencetuskan harapan untuk mencipta inovasi dalam perancangan, pentadbiran, dan penyampaian perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.  “Hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan badan-badan pemikir tidak akan berhenti pada program ini sahaja, tetapi akan diteruskan melalui pelbagai projek penyelidikan, inisiatif ‘living lab’, aktiviti advokasi, dan program-program lain,” ujarnya. Razali berkata cabaran global seperti kesihatan, perubahan iklim, dan kemajuan teknologi menjadi tumpuan utama dalam dialog itu. Beliau turut menyampaikan penghargaan yang tinggi kepada semua pembentang daripada enam badan pemikir dan pusat penyelidikan ternama di negara ini. "Antara yang hadir ialah IDEAS, Merdeka Center, Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Khazanah Research Institute (KRI), Institute for Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) dan AmInvestment Bank Berhad. "Saya berharap program dialog tersebut akan menjadi acara tahunan untuk memperkukuh keberdayaan negeri Terengganu," ujarnya.                
11 Jun 24
411
Sultan Terengganu Hadiri Majlis Santapan Malam
Sultan Terengganu Hadiri Majlis Santapan Malam
KUALA TERENGGANU, 10 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menghadiri Majlsi Santapan Malam bersama Pegawai-pegawai Tadbir Negeri dan Pegawai-pegawai Tadbir Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Baginda, hari ini. Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Wisma Darul Iman disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja pada jam 9.15 malam. Memulakan acara, ucapan alu-aluan dipersembahkan oleh Pengerusi Pegawai Tadibir Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Sultan Mizan seterusnya berkenan mencemar duli memotong pulut kuning sebagai simbolik keraian Sambutan Ulang Tahun ke-62 Baginda. Majlis Santapan Malam turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Zarul Umbrella dan penyanyi meningkat naik, Apex Tajudin.  
11 Jun 24
2038
Rezeki Bayi, Bapa Terima Rumah
Rezeki Bayi, Bapa Terima Rumah
MARANG, 10 Jun - Seorang penerima kunci rumah di bawah projek Rumah Mampu Milik (RMM) Kemas Sejahtera di sini yang merupakan usahasama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menyifatkan rumah baharu yang diterimanya sebagai rezeki kelahiran anaknya yang ketiga. Zulazri Hafiz Zukilfi, 40, berkata, dia bersama lima ahli keluarganya bersyukur kerana impian untuk memiliki kediaman sendiri tercapai.  “Kami sekeluarga tidak pernah jemu membuat permohonan RMM, setiap kali ada iklan tawaran kami mohon, kiranya hampir 13 tahun dan alhamdulillah akhirnya hari ini kami menerima kunci rumah bagi projek RMM Kemas Sejahtera ini (dahulu dikenali sebagai My Beautiful New Home- MyBNHome). “Terima kasih kepada semua pihak terlibat terutamanya kerajaan negeri. Saya sangat gembira dan terharu, mungkin ini rezeki anak yang baru lahir,” ujarnya. Zulazri yang merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata berusia antara 12 tahun hingga 7 bulan itu ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci RMM Kemas Sejahtera yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kampung Mak Kemas, di sini hari ini. Sementara itu, Luqman Hakim Sharif, 33, memberitahu, dia memohon untuk mendapatkan rumah itu sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dan bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan. “Saya sangat teruja sebenarnya kerana tidak sangka dapat memiliki rumah ini. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. Luqman Hakim bersama isteri, Jamaliah Jusoh, 29, tahun bersama dua anak sebelum ini menumpang di rumah neneknya yang terletak di kampung Atas Tol.   
10 Jun 24
1638
Peserta Projek RMM Kemas Sejahtera Terima Kunci
Peserta Projek RMM Kemas Sejahtera Terima Kunci
MARANG, 10 Jun - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seramai 25 ketua keluarga susulan menerima kunci rumah melalui projek Rumah Mampu Milik (RMM) Kemas Sejahtera, di Kampung Mak Kemas, di sini hari ini. Penyerahan RMM Kemas Sejahtera (dahulu dikenali sebagai My Beautiful New Home- MyBNHome) kepada penerima yang terdiri daripada golongan B40 itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ahmad Samsuri memaklumkan, projek hasil usahasama antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang dibangunkan di atas tanah seluas 6.0 ekar menyediakan sebanyak 50 unit rumah berkembar setingkat untuk keselesaan peserta. “Terima kasih kepada yang terlibat dalam menjayakan projek ini termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), MOF serta Bank Simpanan Nasional. “Tahniah juga kepada para penerima rumah yang sudah tentu sangat teruja berada di rumah baru mereka ini dan diharap agar penghuni dapat menjaga kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan persekitaran rumah masing-masing supaya ianya menjadi contoh,” ujarnya ketika berucap menyempurnakan majlis penyerahan tersebut, hari ini. Pada majlis itu, seramai 25 daripada 50 ketua keluarga terpilih telah menerima kunci rumah dan bakinya akan diserahkan kemudian. Mengulas lanjut katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, dengan berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak projek tersebut dapat disiapkan sekaligus dapat mengelak dari menjadi projek terbengkalai. “Projek perumahan ini telah bermula pada 5 Februari 2018 namun tergendala seketika disebabkan masalah teknikal serta Covid-19 tetapi diteruskan semula pada 12 Julai 2022.  “Projek pembinaan RMM dengan kos keseluruhan bernilai RM6 juta ini telah berjaya disiapkan sepenuhnya dengan memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 18 Ogos 2023 oleh pihak Kontraktor Aza Ventures Sdn.Bhd,” jelasnya. Untuk rekod, keluasan setiap rumah bagi projek RMM Kemas Sejahtera adalah 718.902 kaki persegi yang mempunyai ruang meletak kenderaan, ruang tamu, ruang makan, ruang dapur, 3 bilik tidur, bilik air dan tandas.  Selain itu, terdapat kemudahan lain seperti Compact Substation TNB, tapak tadika, tapak surau, tapak penjaja, tapak tangki air dan kebuk sampah. Kerajaan telah menetapkan harga rumah mampu milik ini RM40,000 seunit, namun begitu, harga yang dijual kepada peserta adalah sebanyak RM20,000 di mana kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang dibangunkan. Manakala RM20,000 lagi akan dibiayai oleh peserta menerusi pinjaman Bank Simpanan Nasional. Tempoh pembiayaan adalah selama 10 tahun iaitu dengan kadar bayaran sebanyak RM196 sebulan.  
10 Jun 24
1376
Anak Jati Terengganu Juara Debat Antarabangsa
Anak Jati Terengganu Juara Debat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Anak jati Terengganu, Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan dinobatkan sebagai pendebat terbaik dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Antarabangsa Piala Syed Abdul Rahman Aljunied di Singapura baru-baru ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyampaikan ucapan tahniah kepada Wan Amzar atas kejayaan cemerlangnya.  Beliau menyatakan bahawa pencapaian pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, itu bukan sahaja membanggakan negeri tetapi juga seluruh rakyat Terengganu. “Syabas saudara Wan Amzar yang juga merupakan ADUN Belia Terengganu kelahiran Besut. Kejayaan ini membuktikan kemampuan anak Terengganu untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam. Menurut Samsuri, kemenangan itu bukan pencapaian biasa kerana Wan Amzar berjaya mengalahkan pendebat-pendebat terbaik dari pelbagai negara. Beliau berharap kejayaan tersebut akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus cemerlang. Tahun lalu katanya, Wan Amzar juga mencipta nama di pentas dunia apabila dinobatkan sebagai peserta terbaik dalam Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Doha, Qatar. Beliau berjaya menewaskan peserta dari 34 negara Arab dan bukan Arab. “Kejayaan Wan Amzar itu sekali lagi membuktikan bahawa anak jati Terengganu mampu mencapai kecemerlangan di peringkat global, membanggakan negeri dan negara.  “Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang,” ujarnya.  
10 Jun 24
461
20 Ahli Majlis Daerah Setiu Angkat Sumpah
20 Ahli Majlis Daerah Setiu Angkat Sumpah
SETIU, 10 Jun - Majlis Daerah Setiu melengkapkan senarai Ahli Majlis selepas 20 orang mengangkat sumpah pada pagi tadi. Mengetuai angkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Zalizan Sulong ialah Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, Ahli Majlis perlu mengetahui matlamat PBT, kerajaan negeri dan persekutuan dalam melaksana kewajipan dan tugas sebagai ahli majlis sebagai penyampai dan jurucakap PBT serta mempertimbangkan dan meluluskan undang- undang kecil. "Insya-Allah semua Ahli Majlis dilantik dapat melaksanakan tugas dengan baik dan memberi kerjasama dalam membangunkan PBT," tambahnya.
10 Jun 24
648
Pameran Jabatan Pelancongan Terengganu Raih Pengiktirafan Antarabangsa
Pameran Jabatan Pelancongan Terengganu Raih Pengiktirafan Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mencipta sejarah apabila buat pertama kali menyertai Malaysia International Dive Expo 2024 (MIDE) dan dinobatkan sebagai 'Best Booth Design Award'.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, mengucapkan tahniah kepada semua petugas Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang bertugas sepanjang ekspo tersebut. "Acara itu berlangsung selama tiga hari bermula tujuh hingga sembilan Jun di Malaysia International Trade and Exhibition Centre, Kuala Lumpur," katanya dalam hantaran hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Sementara itu, Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd Rahman, menyatakan bahawa pencapaian itu merupakan pengiktirafan penting bagi Terengganu dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri.  Katanya, penganugerahan itu bukan sahaja mengiktiraf usaha dan kreativiti pasukan kami, tetapi juga memberikan dorongan untuk terus mempromosikan destinasi-destinasi menarik di Terengganu. Tambah Ridzwan, MIDE 2024, yang melibatkan 217 pempamer dari 15 negara, memberi fokus kepada aktiviti air seperti sukan air dan selam skuba di pulau-pulau terkemuka seluruh dunia.  "Penyertaan JPNT dalam acara itu adalah sebahagian daripada usaha bersepadu bersama Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, dan Majlis Pengurusan Taman Negeri. “Ia bertujuan bagi mempromosikan Sultan Mizan Underwater Photography (SMUPA) 2024 serta 128 lokasi selam skuba di tujuh pulau Negeri Terengganu termasuk Pulau Tenggol, Pulau Lang Tengah, Pulau Redang, dan Pulau Perhentian," jelasnya. Ahmad Ridzwan turut menegaskan bahawa penglibatan dalam pameran antarabangsa itu adalah langkah strategik untuk merancakkan industri pelancongan Terengganu khususnya dalam kluster pulau dan pantai.  “Kami berharap dapat menarik lebih ramai pencinta selam skuba dan meningkatkan kesedaran global tentang keindahan dan keunikan destinasi selam di Terengganu,” tambah beliau. Selain daripada memenangi anugerah, JPNT juga berjaya menarik perhatian ramai pengunjung dan pempamer lain dengan reka bentuk booth yang kreatif dan informatif, memaparkan keindahan alam marin serta peluang pelancongan yang ditawarkan di Terengganu.                  
10 Jun 24
1608
24 Ahli Majlis Perbandaran Dungun Selesai Angkat Sumpah
24 Ahli Majlis Perbandaran Dungun Selesai Angkat Sumpah
DUNGUN, 9 Jun- Seramai 24 Ahli Majlis Perbandaran Dungun telah selesai angkat sumpah di Pejabat Majlis Perbandaran Dungun, hari ini. Acara mengangkat sumpah disempurnakan di hadapan Yang Pertua Majlis Perbandaran Dungun Rashdan Muda, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu iaitu dari Bukit Besi; Ghazali Sulaiman, ADUN Sura; Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dan ADUN Rantau Abang; Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli. Wan Hassan ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) merakamkan setinggi - tinggi tahniah kepada kesemua Ahli Majlis di atas pelantikan mereka. "Semoga dapat tunaikan tanggungjawab anda dengan penuh komitmen dan berintegriti bagi memajukan Daerah Dungun. "Di samping itu, saya berharap agar aktiviti yang akan dilaksanakan oleh Ahli - Ahli Majlis di zon masing - masing dapat berjalan dengan lancar dan memberikan impak yang berkesan kepada komuniti penduduk setempat di Daerah Dungun," katanya. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Dungun; Jusman Ibrahim, Ketua Polis Daerah Dungun; Supt. Maizura Abdul Kadir dan Jurutera Daerah JKR Dungun; Ir. Mohd Alazhar Ali.
09 Jun 24
2542