Artikel "Semasa" Terkini
Penyelam Skuba Kutip Sampah Dalam Dasar Laut Pulau Perhentian
BESUT, 23 Jun – Sebanyak 215.85 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dari dasar laut dan tepi pantai oleh sukarelawan, termasuk penyelam skuba, melalui 'Program Sukarelawan Antarabangsa Fasa Kedua Dive Against Debris (DAD)' di kawasan Pulau Perhentian Kecil, Long Beach di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program yang berlangsung tiga hari, bermula dari 21 hingga 23 Jun itu melibatkan 149 sukarelawan dari dalam dan luar negara.
"Seramai 32 penyelam skuba yang mengutip sampah di kawasan terumbu karang dasar laut dan 117 sukarelawan di tepi pantai.
“Antara sampah yang banyak dikutip adalah puntung rokok, straw plastik, botol plastik, dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan program berkenaan semalam.
Turut hadir, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor, Pengarah Program, Ariff Ismail, dan Penasihat Program, Datuk Zuraidah Atan
Program itu, mendapat tajaan utama dari Kenanga Investors Berhad serta dikelolakan oleh Black Eye Scuba Team (BEST) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia (SALAM) dan Pejabat Daerah Besut.
Datuk Zuraidah berkata, program tersebut dijalankan melalui tiga peringkat iaitu Dive Against Debris (DAD), Pembersihan Pantai (Beach Cleanup), dan Pendidikan Alam Sekitar (Environment Education).
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan bagi memupuk semangat menjaga alam sekitar, khususnya pemuliharaan lautan dan kebersihan pantai selaras dengan slogan ‘Menjaga Pantai dan Laut Bersih, Budaya Mulia, Amalan Kita’.
“Program ini bukan sahaja berjaya dalam usaha membersihkan alam sekitar, tetapi juga memberikan pendidikan alam sekitar yang penting kepada semua peserta.
“Aktiviti ‘Dive Against Debris’ atau terjunan untuk menaikkan sampah sarap dari laut ini memang menjadi aktiviti di beberapa negara yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai penjagaan laut,” tambahnya.
Sementara itu, peserta program, Salmizi Saibu, 40, berkata program tersebut melibatkan tiga langkah iaitu yang pertama dive against debris, di mana penyelam-penyelam yang pakar akan mengutip sampah-sampah di dalam laut.
“Langkah kedua adalah beach cleanup bersama dengan sukarelawan dari Malaysia dan juga dari luar negara termasuk Jordan, Iraq, Pakistan, China, dan pelbagai lagi negara.
“Seterusnya, adalah pendidikan alam sekitar untuk pelajar-pelajar sekolah bersama dengan komuniti kampung,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Platun RELA Cawangan Pulau Redang, memberi pesanan agar pelancong-pelancong yang datang ke Pulau Perhentian menjaga kebersihan pantai dan kelestarian alam sekitar.
23 Jun 24
413
‘Penyelesaian Dua Negara’ Israel-Palestin Dijangka Hangatkan Parlimen Esok
KUALA LUMPUR, 23 Jun - Soalan lisan berkaitan pendirian Kerajaan Malaysia mengenai dasar penyelesaian dua negara (Israel-Palestin) dijangka akan menghangatkan persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok.
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, soalan berkenaan akan ditanya Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 10 pagi.
Soalan itu mahu Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan menyatakan sejauh mana hasrat kerajaan untuk menyemak semula dasar ‘two state solution’ atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata, pertemuannya dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Doha, Qatar bulan lalu adalah untuk menjamin penyelesaian berkenaan situasi di Gaza pada ketika ini.
"Saya meminta mereka untuk menghormati keputusan negara-negara jiran selain cuba untuk menjamin keamanan, melalukan pertukaran pembebasan tahanan dan menerima 'penyelesaian dua negara'.
"Adakah itu satu kesalahan? Adakah saya mempromosikan keganasan? Tidak. Saya merayu kerana saya mempunyai kelebihan, apa kelebihan saya, saya mengenali mereka, mereka menganggap saya sebagai kawan,” tegas Anwar.
Untuk rekod, Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menyeru supaya penyelesaian dua negara diabaikan Malaysia.
"Israel langsung tidak percaya dengan penyelesaian dua negara. Mereka tidak melakukan apa-apa dalam dekad yang lalu untuk menunjukkan mereka komited terhadap penyelesaian dua negara," katanya.
Selain itu, badan pemikir Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra) mempersoalkan pendirian Perdana Menteri yang menyokong penyelesaian dua negara.
"Memandangkan komitmen Malaysia di masa lalu terhadap pemerintahan sendiri dan hak asasi manusia, kami menggesa perdana menteri mempertimbangkan semula dan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap apartheid Israel," kata Azril Mohd Amin dari Centhra.
Beliau juga menambah penyelesaian tersebut hanya boleh berlaku atas dasar mematuhi undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin.
23 Jun 24
201
'Dive Against Debris' Bersih 70 Kilogram Sampah di Pulau Perhentian
BESUT, 22 JUN - Penasihat Program DIVE AGAINST DEBRIS, Zuraidah Atan, kira-kira 150 sukarelawan dan pelancong dari luar negara telah bergotong-royong membersihkan Pulau Perhentian dekat Kuala Besut dan kawasan sekitar melalui program Dive Against Debris (DAD).
Dalam program ini, mereka mengumpul sampah di dasar laut dan di pesisir pantai. Pada hari semalam, berjaya dikutip sebanyak 70 kilogram (kg) sampah di Pasir Panjang, Pulau Perhentian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Azbi Salleh, usaha itu akan memastikan pulau tersebut akan terus terjaga akan keindahan serta kebersihannya untuk terus menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara. berkata,
"Misi lebih besar kita ialah menjaga ekosistem dan konservasi laut. Di Pulau Perhentian Kecil ini, keindahan laut begitu penting untuk mengekal dan menambah bilangan kehadiran pelancong dari seluruh dunia.
"Di sini, adalah salah satu tempat pilihan mereka menyelam. Kita mahu pelancong berkongsi cerita dan berita mengenai keindahan Pulau Perhentian Kecil ini, bila mereka pulang ke negara masing-masing.
"Dengan kecangihan teknologi maklumat (IT) hari ini, saya harap program ini dihebohkan atau diviralkan secara meluas ke seluruh dunia. Kita tidak mahu bilangan pelancong terjejas hanya disebabkan kita gagal menjaga kebersihan laut dan pantai di sini," ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini, baru-baru ini.
"Melalui program ini, saya berharap kegiatan D.A.D dan pembersihan pantai ini akan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang supaya menjaga kebersihan laut dan mewujudkan laut yang bebas daripada sampah sarap.
"Daripada penjelasan penyelam, mereka dapati banyak barangan buangan dan sampah sarap di dasar laut kita seperti plastik, pukat, botol, besi, kayu, kasut, dan bermacam-macam lagi.
"Oleh itu, kita mesti galakkan generasi hari ini dan bakal generasi akan datang supaya menanam sikap membersihkan laut dan benci kepada kekotoran laut," katanya.
"saya memberi jaminan bahawa sekiranya program seperti ini hendak dijalankan lagi, di mana-mana pulau di Terengganu darul Iman ini, saya percaya ia akan mendapat sokongan daripada Jabatan Pelancongan.
Kalau hendak diadakan di Besut, Insya-Allah, saya sedia membantu, Kita mahu menjadikan laut di negara ini, khasnya di Terengganu Darul Iman ini sentiasa bersih sama ada pada permukaan atau di dasar laut.
Kita berharap nama Malaysia akan berada sebaris dengan beberapa negara lain seperti di Indonesia, Filipina, Maldives, Thailand, Australia dan negara Eropah seperti di England, Sepanyol, Itali, Croatia, dan beberapa negara lain dalam melaksanakan kegiatan D.A.D ini," Ujarnya lagi.
Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Besut, selaku peneraju utama program ini bersama SALAM BEST serta semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam program ini.
"Syabas dan Tahniah kepada Kenanga Investor Berhadkerana menjadi penaja utama dalam program ini buat kali kedua dalam program DIVE AGAINST DEBRIS (D.A.D) dan pembersihan pantai di Pualau Perhentian.
"Dengan sokongan yang diberikan oleh Kenanga Investor, syarikat ternama yang menguruskan kegiatan sekuriti, nasihat pelaburan, perancangan kewangan, dan sebagainya bagi menjayakan program ini.
"Terima kasih Kenanga Investor kerana komited untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha menjaga kelestarian alam sekitar di darat dan di laut," katanya lagi.
Untuk rekod, DAD merupakan gerakan sains warga bawah air terbesar di dunia yang memerangi pencemaran marin. Sejak 2011, lebih daripada 90,000 penyelam dari seluruh dunia telah menyumbang data mengenai jenis dan jumlah sampah yang dikeluarkan dari persekitaran bawah air.
Data ini memainkan peranan penting dalam mengisi jurang maklumat mengenai sampah laut. Kita semua boleh menyertai gerakan ini dengan menjadi penyelam dan menyumbang kepada kebersihan bawah laut.
22 Jun 24
218
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kemerosotan terburuk Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2024 memperlihatkan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam negara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejatuhan tujuh anak tangga ke kedudukan 34 dan menjadi yang tercorot dalam sejarah negara itu perlu diberikan perhatian segera.
Kataya, bagi memastikan negara berkeadaan baik, pandangan serta teguran yang membina daripada pelbagai pihak harus dipandang serius.
"Saya rasa kerajaan perlu bersifat terbuka untuk menerima teguran kerana selama ini banyak perkara yang berlaku seolah-olah kerajaan menutup mata dan telinga daripada melihat apa yang disampaikan oleh mereka yang pakar tentang aspek pelaburan, tata kelola dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Tapak Pembukaan Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Amzad berkata negara kini sedang menuju ke belakang lantaran tindakan yang diambil tidak melbatkan urus tadbir yang baik.
"Diterima secara negatif oleh pasaran, misalnya kenaikan harga diesel yang terlalu mendadak seolah-olahnya dilihat tidak ada mekanisma libat urus yang baik.
"Jadi setelah dinaikkan dahulu harga diesel baru timbul satu persatu isu di kemudian hari.
"Ini merupakan susuatu yang kita bimbang memberi mesej tidak elok tentang pendekatan pentadbiran negara kita yang memberi kesan kepada daya saing negara," katanya.
20 Jun 24
306
Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Eastern Pacific Corporation bhd (Kumpulan EPIC) menaik taraf surau di kawasan Taman Rekreasi Batu Buruk dengan kos RM100,000.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata langkah itu diambil setelah menerima aduan serta rungutan orang ramai mengenai kemudahan tempat beribadat di kawasan rekreasi terbabit.
Katanya, surau beserta tandas baru itu dijangka boleh digunakan bermula Ogos.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak EPIC kerana telah memperuntukkan belanja untuk satu projek yang sangat bermakna di dalam Parlimen Kuala Terengganu.
"Saya tengok pada pelan pembinaan surau dan tandas ini sangat selesa untuk kegunaan muslimin dan muslimat.
"Juga telah dimaklumkan pihak EPIC turut bermurah hati bagi menanggung sepenuhnya berkait utiliti , penyelengaraan dan sebagainya supaya surau ini boleh berjalan dengan sempurna," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan pengarah EPIC berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Tapak Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini.
Menurut Amzad, bagi memastikan keadaan surau itu terpelihara dengan baik dan sentiasa berada di dalam keadaan bersih pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil juga telah bersetuju menjaganya termasuk memastikan ia sentiasa diimarahkan.
"Kita akan menyerahkan kepada pihak yang akan menguruskan surau ini, kita tidak mahu ia akan dijadikan sebagai tempat tidur percuma kepada golongan gelandangan tanpa penjagaan rapi.
"Surau ini boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu-satu masa, yang akan turut dilengkapi penghawa dingin yang lebih baik dari sebelum ini," ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama katanya syarikat EPIC telah membelanjakan sebanyak RM2.3 juta setakat tahun ini bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya antara CSR yang telah dijalankan ialah di Padang Astaka di Jerteh, Sekolah Ittifaqiyah dan Sekolah Seri Budiman serta beberapa sekolah pondok yang telah dibantu bagi melengkapkan keperluan yang dikehendaki.
20 Jun 24
562
1,500 Pek Daging Korban Diagih Kepada B40
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 20 Jun – Sebanyak 1,500 pek daging korban telah diagihkan kepada rakyat kurang berkemampuan dalam Majlis Korban Perdana Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang diadakan di Surau Kampung Pak Tuyu semalam.
ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 10 ekor lembu dan dua ekor kerbau telah dikorbankan dalam majlis tersebut.
“Sebanyak tiga ekor lembu juga telah berjaya dikorbankan dalam satu majlis ibadah korban yang diadakan sehari sebelumnya di Kampung Sungai Ikan,” katanya kepada pemberita ketika majlis berkenaan.
Tambah Hishamuddin, terdapat beberapa agensi lain yang turut menyumbangkan lembu korban sempena majlis tersebut.
“Bagi pihak DUN Tepoh, kami merakamkan ucapan terima kasih kepada Terengganu Inc, Ladang Rakyat, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), EPIC dan GPQ Sdn Bhd yang menyumbang lembu korban sempena majlis kali ini,” tambah beliau.
Selain itu, terdapat pelbagai pihak lagi yang turut menjayakan majlis tersebut dari melapah, membungkus dan mengagihkan daging.
“Antaranya adalah Pengerusi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) , Ulama’ PAS Dun Tepoh, Muslimat PAS Dun Tepoh, Pemuda PAS Dun Tepoh, Ameerah Dun Tepoh, Jabatan Amal, jamaah Surau Kg Pak Tuyu serta seluruh penduduk sekitar,” ujarnya.
20 Jun 24
173
ADUN Langkap Rai 55 Pelajar Cemerlang SPM 2023
SETIU, 20 Jun - Seramai 55 orang pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 diraikan dalam satu majlis hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, sumbangan sebanyak RM200 diberikan setiap orang pelajar yang telah memperolehi keputusan 6A dan ke atas.
"Sumbangan ini mungkin tidak besar tapi ini adalah sebagai tanda ingatan atas usaha mereka dalam meraih kejayaan ini.
"Tahun ini seramai 18 orang telah mendapat 6A, 10 orang 7A dan seramai 17 orang menerima keputusan 8A," tambahnya dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap pagi tadi.
Selain itu, seramai lapan orang berjaya memperolehi 9A dan keputusan paling tinggi adalah 2 orang yang meraih 10A.
Untuk rekod, pelajar yang memperolehi 10A adalah Ahmad Faiz Alias pelajar SMKA Wataniah berasal dari Kampung Rahmat manakala seorang lagi ialah Siti Nazifah Mohd Azmi pelajar SMK Melor berasal dari Sungai Tong.
20 Jun 24
332
Operasi Dua Kren Baharu Tingkatkan Kecekapan Pelabuhan Kemaman
KEMAMAN, 19 Jun - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) telah melancarkan operasi dua kren gantri baharu dan tali sawat (conveyor belt) di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman, dalam meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengendalian pelabuhan, baru-baru ini.
Pengurus Besar Kanan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin, Ashari Mohammad berkata penyediaan insfrastruktur ini mengoptimumkan operasi pengangkutan kargo secara lebih lancar dari pelabuhan ke fasiliti kilang.
Menurutnya, tali sawat sepanjang 8.2 kilometer yang siap dipasang April lalu kini menghubungkan Pelabuhan Kemaman dengan kilang Eastern Steel Sdn Bhd ("ESSB").
“Dua kren baharu yang mula beroperasi pada 5 Mei 2024 dan dijangka meningkatkan kapasiti pelabuhan daripada 4 juta tan metrik ("MT") setahun kepada 7 juta MT setahun tersebut telah menunjukkan impak transformatif terhadap aktiviti pelabuhan, dengan pengendalian kargo tiga kali lebih tinggi daripada penggunaan kren kapal.
“Hasilnya, tempoh kapal berlabuh dapat dikurangkan sebanyak tiga kali ganda, sekali gus meningkatkan kapasiti pelabuhan, memendekkan turnaround time dan meningkatkan produktiviti keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kemajuan itu bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga meletakkan syarikat di landasan strategik untuk mencapai pertumbuhan dan memenuhi permintaan masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Haji Muhtar Suhaili menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat dan menekankan bahawa pencapaian tersebut adalah satu komponen kritikal dalam strategi pertumbuhan yang lebih meluas.
“Pencapaian ini adalah bukti dedikasi yang dikongsi bersama dan ia pasti akan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan Kumpulan,”ujarnya lagi.
Dalam masa sama, EPIC Berhad mempunyai perancangan kukuh untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan bagi dimanfaatkan oleh pelanggan sedia ada dan baharu pada masa hadapan.
“Dijangka pemasangan empat lagi tambahan kren Level-Luffing di Dermaga Timur yang akan dijalankan dalam beberapa tahun mendatang.
“Kren-kren baharu ini akan meningkatkan keupayaan pengendalian pelabuhan kepada 12 juta MT setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan EPIC Berhad sebagai pemain terkemuka dalam industri,” tambah beliau.
19 Jun 24
290
Kerajaan Digesa Wujud Jawatankuasa Selesai Isu Penyeludupan Diesel
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Kerajaan disyorkan mewujudkan satu Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian kepada isu penyeludupan diesel.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ucapan Menteri Ekonomi yang mendakwa berleluasanya kegiatan penyeludupan diesel di kalangan nelayan di tengah laut adalah satu dakwaan serius.
"Menteri Ekonomi boleh membantu dengan mencadangkan formula penyelesaian berkesan," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, ia melibatkan soal integriti dan kemampuan agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyusun mekanisma pengurusan dan kawal selia penyaluran minyak subsidi kepada nelayan.
"Bukan itu saja, malah profesion sebagai nelayan yang menyabung nyawa di lautan bagi membekalkan makanan kepada negara telah dimomokkan dengan dakwaan begitu negatif," ujarnya.
Jelas beliau, Jabatan Perikanan menguruskan pemberian Lesen Nelayan manakala LKIM adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyaluran minyak subsidi nelayan.
"Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, TLDM dan Jabatan Perikanan bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang di laut berada di bawah beberapa Kementerian," katanya.
19 Jun 24
185
Kerbau Jadi Pilihan Korban Pusat Khidmat DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Dua ekor kerbau antara binatang korban yang berjaya dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk sempena Majlis Korban Perdana pagi semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata selain itu pihaknya juga mengorbankan tujuh ekor lembu untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
“Walaupun mungkin jumlahnya tidak banyak tetapi pihak kami memilih untuk mengorbankan binatang korban yang bersaiz besar.
"Khususnya dua ekor kerbau yang kita sembelih tu harga lebih daripada RM10, 000. Alhamdulillah… saya kira ianya satu pendekatan yang sangat baik dan kita berjaya mengumpulkan banyak daging," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu berkata demikian selepas program tersebut .
Jelasnya, dua ekor kerbau besar dan tiga ekor lembu berjaya dikorbankan di kandang Zamakhshari yang terletak di kaki Bukit Cendering manakala empat ekor lembu lagi di Gong Pok Maseh.
Tambah beliau, program gotong royong itu melibatkan semua petugas-petugas yang daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), AJK PAS Cawangan DUN Batu Buruk termasuk muslimat.
19 Jun 24
202