Artikel "Semasa" Terkini
Imam Ketiga di Terengganu Terima Insentif Khas RM194,400
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Seramai 324 orang imam ketiga di Terengganu menerima bantuan khas secara 'one-off' daripada kerajaan negeri dengan peruntukan keseluruhan RM194,400.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini imam ketiga di masjid mukim negeri itu tidak menerima bayaran oleh mana-mana entiti yang lain.
"Jadi kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membayar kepada imam ketiga, pembayaran hari ini adalah untuk tahun 2023.
"Agak terlewat sebenarnya kerana kita bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ' One Off' tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri turut berhasrat bagi meneruskan bayaran bantuan khas kepada imam bagi tahun 2024.
"Insya-Allah sekiranya kedudukan kewangan mengizinkan kita akan cuba selesai secepat mungkin sebelum berakhir tahun ini," ujarnya.
03 Jul 24
5267
‘Pengalaman’ Jadi Senjata TI Properties Tambat Pelanggan
KUALA TERENGGANU, 3 Jun- "Sekiranya anda ingin menjual sesuatu yang berharga tinggi, anda perlu menjual ‘pengalaman’ dan bukannya produk semata-mata," ujar Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad.
Katanya, beliau percaya testimoni pelanggan adalah alat pemasaran yang berkuasa untuk pemilik perniagaan kerana ia membantu mewujudkan kredibiliti dan kepercayaan dengan bakal pelanggan.
Jelasnya lagi, dengan ulasan dan pengalaman positif daripada pelanggan sedia ada, perniagaan mampu membina reputasi positif, mempengaruhi keputusan pembelian dan membantu meningkatkan jualan.
“’Pengalaman’ yang dimaksudkan adalah pengalaman yang dirasai pengguna apabila menggunakan produk atau perkhidmatan yang syarikat tawarkan.
“Mereka yang mempunyai pendapatan yang tinggi, tidak risaukan wang. Tetapi, mereka ingin membeli pengalaman.
“Sekiranya kita masuk Starbucks & Coffee Bean, kita akan disajikan dengan ‘pengalaman’ atau ‘lifestyle’!.
“Dan kita orang ramai sanggup bayar pada harga yang tinggi untuk membeli ‘pengalaman’ tersebut jadi kenapa kita tidak laksanakannya di sini contohnya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu supaya lebih berdaya saing,” ujar Awasi.
Menurutnya lagi, apabila syarikat memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan, mereka melabur dalam kesetiaan dan kebahagiaan pelanggan untuk kejayaan jangka panjang.
Justeru, dengan memberikan pelanggan pengalaman yang hebat, pihak syarikat boleh mengekalkan kesetiaan pelanggan dan pengiklanan percuma daripada mulut ke mulut yang menjurus kepada peningkatan jualan dan mengekalkan lebih ramai pelanggan.
“Bagi saya, pengalaman pelanggan adalah penting untuk kejayaan perniagaan. Apabila anda menguasai khidmat pelanggan syarikat, anda boleh menjadikan jenama anda sebagai pembekal yang dipercayai, walaupun dalam pasaran yang sukar dengan pesaing yang mantap.
“Ia mungkin kelihatan seperti kos tambahan pada masa apabila banyak syarikat mengurangkan belanjawan mereka, tetapi melabur dalam pengalaman pelanggan adalah penting untuk kejayaan jangka panjang.
“Setiap pelanggan mempunyai pengalaman sama ada ia baik atau buruk yang akan mempengaruhi persepsi mereka terhadap jenama yang ditawarkan.
“Jika kita mahu pengalaman itu menjadi positif, jadi bina hubungan yang kuat dengan pelanggan anda dan pastikan mereka kembali termasuk menarik pelanggan baharu kepada produk atau perkhidmatan syarikat tawarkan,” jelas beliau.
03 Jul 24
360
Penjawat Awam Terengganu Dilatih Kuasai Seni Pidato
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Penganjuran pertandingan pidato sektor awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman telah berjaya mencapai matlamatnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan seni pidato dalam kalangan penjawat awam negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata tujuan utama pertandingan itu diadakan adalah untuk memupuk rasa bangga dan cinta terhadap bahasa Melayu.
"Manfaatkanlah seni berpidato ini dengan mempamerkan kekuatan penguasaan bahasa yang baik.
"Ini akan membolehkan kita membicarakan idea dengan baik dan menjadi instrumen untuk mencapai cita-cita besar dan impian yang disampaikan kepada masyarakat, bangsa, dan negara," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu 2024 bertempat di Dewan Besar, WDI di sini hari ini.
Tambah Bijaya Raja, beliau turut menekankan bahawa pidato adalah satu kemahiran yang datang dengan tanggungjawab dan profesionalisme, khususnya dalam amalan pentadbiran serta pengurusan pekerjaan pada masa akan datang.
"Pertandingan ini menyaksikan penyertaan seramai 32 penjawat awam dari pelbagai agensi negeri dan persekutuan seluruh Terengganu.
"Mereka telah melalui peringkat saringan pada 12 Jun yang lalu sebelum layak ke peringkat akhir. Sebelum pertandingan, peserta juga didedahkan dengan Bengkel Seni Berbahasa (Pidato) bagi berkongsi ilmu berkaitan pengucapan awam," katanya.
Beliau berkata tema bagi pertandingan akhir adalah, 'Tadbir Urus Berintegriti, Negeri Diberkati,' dipilih sebagai usaha kerajaan untuk menzahirkan amanah dan tanggungjawab sebagai penjawat awam yang utuh, suci, jujur dan berusaha mengelak sebarang ketirisan yang boleh memudaratkan kehidupan.
Tambahnya, penjawat awam perlu sentiasa menghayati dasar-dasar kerajaan, memahami aspirasi dan ekspektasi pentadbiran, mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan
"Dengan kejayaan penganjuran ini, penjawat awam Terengganu diharap dapat terus menguasai seni pidato dan menjadikan kemahiran ini sebagai alat untuk mencapai matlamat besar dalam kerjaya mereka dan sumbangan kepada masyarakat," ujarnya.
02 Jul 24
199
Gajah Ceroboh Kampung Pak Sik Berjaya Ditangkap
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap seekor gajah yang menganggu ketenteraman dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Pak Sik, Hulu Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, gajah jantan seberat dua tan itu ditangkap pihak Perhilitan di kawasan kebun kelapa sawit kampung itu kira-kira jam 9 pagi, semalam.
“Tahniah dan terima kasih pihak Perhilitan yang bekerja keras menyelesaikan aduan penduduk,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, semalam.
Mamalia yang berusia sekitar 10 hingga 12 tahun itu berjaya ‘dipujuk’ oleh tujuh anggota perhilitan yang terlibat dengan operasi terbabit.
Azman berkata, proses pemindahan mamalia berkenaan ke habitat asal akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Proses pemindahan ke lokasi yang jauh dari konflik dengan manusia akan dilakukan sehari dua ini,” katanya.
02 Jul 24
206
Burhan Juara Pidato Piala SUK Terengganu 2024
KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Penolong Pegawai Undang-Undang Majlis Daerah Besut, Ahmad Burhan Sadqi A Rahim, 40, muncul sebagai juara dalam pertandingan pidato sektor awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Burhan berkata, beliau pernah mengikuti tiga pertandingan pengucapan awam iaitu Pidato Rukun Negara 2020, Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tahun 2020 dan Pidato Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2021.
Menurutnya, medan pertandingan pidato merupakan platform penting untuk menyebarkan ilmu kepada pendengar.
"Saya akan mengkaji terlebih dahulu bahan yang diperlukan sebelum menerjemahkannya di dalam tulisan sekali gus pidato.
“Ada beberapa perkara yang kita pentingkan terutamanya bila bercakap tentang tadbir urus. Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS) adalah institusi yang sentiasa memainkan peranan," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas pertandingan berkenaan.
Tambah Burhan, dalam teks pidatonya, beliau memberi penekanan berkenaan dengan tadbir urus rabani dalam dasar integriti Darul iman iaitu melalui tujuh teras utama.
“Jadi, sebagai saranan Yang Berhormat Mulia Tengku, kita semua penjawat awam negeri terutamanya perlu dalami apa yang ada pada tujuh teras itu,” katanya.
Burhan juga berhasrat untuk terus menyebarkan dakwah dan ilmu pengucapan awam kepada mereka yang berminat.
"Dalam pada itu, sekiranya diberikan kesempatan untuk menyertai pertandingan pidato saya tidak akan melepaskan peluang tersebut.
“Keinginan untuk menyertai pertandingan yang lebih besar wujud kerana setiap pentas memberikan peluang untuk mempelajari ilmu baru,” ujarnya.
Beliau juga turut melahirkan ucapan terima kasih kepada isteri, ibu bapa, guru-guru dan sahabat pidato.
“Terima kasih semua pihak terutamanya kepada pihak penganjur antaranya yang mengadakan aktiviti yang cukup bermanfaat ini,” katanya.
Sementara itu, pemenang tempat kedua pula menjadi milik guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman Permaisuri, Muhammad Sollehin Mohd Shah, 29, manakala Guru Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, Dungun, Mohd Syafiq A Ghani, 33, di tempat ketiga.
Pemenang tempat kedua dan ketiga itu masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan RM700 serta piala iringan.
02 Jul 24
600
Terengganu Negeri Paling Strategik Bangunkan Industri CCUS
KUALA LUMPUR, 1 Julai - Terengganu merupakan negeri yang paling strategik bagi pelaksanaan industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Menteri Besar merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana Kompleks Petroleum yang wujud di negeri itu mampu memudahkan proses projek berkenaan.
“CCUS yang merupakan salah satu potensi yang besar yang perlu untuk direncanakan dengan penuh teliti untuk memajukan industri ini.
“Negeri Terengganu adalah merupakan salah sebuah negeri yang paling strategik untuk untuk menjadi pelopor bagi industri CCUS ini di Kompleks Petroleum yang sedia ada di Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam soalan tambahannya, beliau meminta agar Menteri menjelaskan status terkini rangka kerja peraturan dan undang-undang berkaitan CCUS yang sebelum ini pernah dibincangkan.
“Bagaimana pula Terengganu boleh memainkan peranan dalam pembangunan industri ini termasuklah untuk memperkasakan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya mereka juga turut beroleh manfaat ekonomi dalam membekalkan kandungan tempatan menyokong rantaian nilai dan eksport?,” soal beliau.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong berkata, akta berkaitan CCUS akan digubal oleh Kementerian Ekonomi dan dijangka dibentang dalam Parlimen pada penghujung tahun ini.
Katanya, dalam penggubalan akta itu, MITI terlibat di dalam kumpulan kerja untuk memastikan pembangunan industri dan pelaburan dan juga teknologi.
“Yang kedua, Petronas di Kerteh memang telah dilantik oleh MITI sebagai salah satu ‘mision base champion’ dalam sektor CCUS dan ini juga telah dilakukan dan akan membawa manfaat kepada Terengganu dan juga seluruh negara.
“Yang ketiga, saya rasa memang Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri boleh memastikan dari segi tanah dari segi perlesenan dan dari segi infrastruktur boleh disediakan supaya kita dapat memastikan apabila akta telah diterima oleh Parlimen kita boleh laksanakan projek-projek CCUS di Terengganu secepat mungkin,” jelasnya.
01 Jul 24
2396
Kurangkan Kebergantungan Royalti Minyak, Sumber Baharu Jana Ekonomi Terengganu
MARANG, 1 Julai – Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengubah landskap pendapatan negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada royalti petroleum yang sebelum ini meliputi hampir 90 peratus perbelanjaan negeri kepada pendapatan yang lebih pelbagai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata langkah itu diambil bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan ekonomi setempat dalam jangka panjang.
Menurutnya, transformasi tersebut adalah penting bagi mengurangkan risiko ekonomi negeri yang terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan.
“Kita sedang melihat untuk mengurangkan kebergantungan yang ketara pada royalti minyak. Sekarang ini, kita sedang mempelbagaikan sumber pendapatan melalui pelbagai inisiatif.
“Inisiatif tersebut seperti pembangunan ekonomi tempatan, pengutipan cukai yang lebih optimum, serta penambahbaikan dalam pengurusan perbelanjaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Lawatan Kerja Exco Pelancongan ke Pulau Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini kelmarin.
Tambah Razali, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan langkah-langkah strategik untuk memaksimumkan pendapatan dari sektor-sektor baru.
“Ia seperti renewable energy, Unsur Nadir Bumi (REE) dan pelaburan dalam infrastruktur yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi setempat.
“Ini dijangka dapat membantu mengimbangi pengurangan pendapatan daripada royalti minyak yang semakin berkurangan," katanya
Beliau menegaskan bahawa pendekatan yang dilaksanakan adalah untuk memastikan pendapatan negeri lebih stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan ekonomi global.
“Langkah-langkah ini turut mendapat sokongan daripada komuniti perniagaan tempatan yang melihatnya sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan landskap ekonomi setempat.
“Kami berharap dengan diversifikasi pendapatan ini, Terengganu akan lebih bersedia dan mampu untuk menghadapi cabaran ekonomi pada masa hadapan," ujarnya.
01 Jul 24
2986
Gajah Liar Berjaya Ditangkap
Hulu Besut, 2 Julai - Gajah liar yang menganggu ketenteraman dan merosakkan kebun Penduduk di sekitar Kampung Pak Sik, telah berjaya ditangkap oleh Perhilitan Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin berkata, pihaknya sangat bersyukur dengan penangkapan gajah yang kedua itu.
"Sebelum ini telah ditangkap seekor gajah di sekitar sini.
" Mengambil masa lebih kurang satu bulan, bagi mengesan selepas gajah liar berkenaan masuk ke Kampung serta memakan tanaman Penduduk setempat dan telah berjaya ditangkap pada hari ini (semalam) .
"Insyaallah, dalam sehari dua ini, kerja - kerja pemindahan gajah akan dilakukan ketempat pemindahan di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik setelah denak sampai dan pemeriksaan akan dilakukan oleh Doktor Veterinar terlebih dahulu," ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.
"Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Perhilitan kerana menyelesaikan rungutan atau aduan Penduduk Kampung Pak Sik Ini," tambah beliau.
01 Jul 24
189
15 Negara 'Terbang' Di Terengganu Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Julai- Sebanyak 15 negara 'berkampung' selama dua hari di Terengganu dalam Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, bermula hari ini.
Pegawai Tugas-tugas Khas Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Zulkifli Abd Rani memaklumkan, pameran singkat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dari jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam ini.
Menurutnya, sekitar 35 peserta dari Indonesia, Thailand, Macau, Hong Kong, China, Poland, Austria, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Sweden.
"Tujuan diadakan pameran ini adalah untuk memeriahkan kembali tradisi wau dan layang-layang di Terengganu. Ikut rekod, kita (pelayang wau) main di luar berjaya jadi orang tertanya-tanya mengapa kita tidak buat di Terengganu sendiri?
"Jadi, peluang ini cuba kita ambil dengan menghubungi Majlis Pelayang Malaysia yang baru selesai pameran di Kelantan untuk program ini, dataran ini pula dilihat sebagai tapak yang sesuai dan menawarkan nilai pelancongan yang lebih baik.
"Seingat saya, pameran atau pertandingan sebesar ini sudah lebih 10 tahun tidak diadakan. Dengan langkah pertama ini, secara umumnya kita hendak membantu negeri menarik lebih ramai pelancong ke sini selain berhasrat mengadakan semula pertandingan hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, hari ini.
Tambah Zulkifli, malam ini pengunjung akan disajikan wau yang dihiasi kerlipan cahaya sebagai keunikan yang diketengahkan dalam pesta-pesta wau dan layang-layang.
Dalam pada itu, wakil Komunitas Pencinta Layang-layang Nusantara Talikama Lianawati Lea menyifatkan Terengganu memiliki potensi untuk pertandingan dan pameran layang-layang gergasi terutama di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
"Ini kali pertama saya ke Terengganu, sebelum ini saya sering 'menerbangkan' layang-layang di Kelantan, Sarawak dan Johor.
"Festival ini bagus kepada pelancongan setempat, sebagai contoh penganjuran festival layang-layang yang diadakan Jogjakarta tahun lalu berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung," katanya.
01 Jul 24
8246
Terengganu Kaji Semula Larangan Jual Hasil Padi
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Terengganu akan mengkaji semula larangan penjualan hasil padi dari negeri ini ke kilang padi negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia dalam rangka mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan pengusaha kilang padi di Terengganu.
“Secara amnya, harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding di negeri lain. Banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1300/mt dalam masa yang sama harga padi di negeri lain sudah mencecah RM1800/mt.
“Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1300/mt tanpa penetapan harga siling. Terpulang kepada pihak kilang untuk penetapan harga asalkan jangan lebih rendah dari harga lantai,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi.
“Peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status ‘quo’ kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain.
“Kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah kita,” ujarnya.
Katanya, persaingan sihat perlu dibuka di kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran yang terbaik dalam rangka menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang mereka.
01 Jul 24
623