lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Projek 'Solar Park' Tasik Kenyir Bertaraf Dunia
Projek 'Solar Park' Tasik Kenyir Bertaraf Dunia
KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Tasik Kenyir bakal menjadi lokasi utama untuk pembangunan 'solar park' bertaraf dunia dengan pelancaran projek baru oleh kerajaan negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman, berkata projek tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pendapatan negeri melalui teknologi hijau. “Projek 'solar park' ini bukan sahaja akan meningkatkan penggunaan tenaga hijau tetapi juga dijangka memberi sumbangan besar kepada ekonomi negeri. “Teknologi hijau, seperti yang kita kenali dengan hidro Kenyir sebelum ini, kini kita akan mengembangkan lagi dengan ladang solar dan 'solar park'. Tasik Kenyir adalah tempat yang sesuai untuk projek berkenaan," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Bicara Parlimen 3.0 dengan tajuk Penjanaan Pendapatan Baharu: SG4 Berdaya Maju, menerusi siaran langsung Facebook TV Darul Iman baru-baru ini. Turut hadir dalam program itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid. Tambah Nurkhuzaini, projek itu akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai salah satu daripada 10 lokasi solar park terbaik di dunia, berdasarkan potensi besar tasik itu untuk menghasilkan tenaga solar. “Kerajaan juga merancang untuk membangunkan 'solar park' di atas air, yang menjadikan Tasik Kenyir unik dalam penggunaan teknologi hijau. “Kami merancang untuk membangunkan 'solar park' yang mempunyai manfaat ganda. Selepas solar, kami juga akan mempertimbangkan untuk menggunakan mini hidro dari sungai-sungai besar di kawasan ini, yang sebelum ini belum pernah diterokai,” tambahnya. Selain membawa pendapatan tambahan, projek solar park di Tasik Kenyir juga dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dan mempromosikan penggunaan tenaga bersih dalam komuniti setempat. "Projek ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam memimpin bidang teknologi hijau untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan mencapai matlamat ekonomi dan ekologi yang mampan. "Kerajaan negeri juga merancang untuk membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan teknologi hijau, menarik pelancong dari dalam dan luar negara yang berminat dengan inisiatif pembangunan mampan," ujarnya.  
30 Jun 24
2949
Pusat Maklumat Pelancongan Terengganu Dalam Proses Pemulihan
Pusat Maklumat Pelancongan Terengganu Dalam Proses Pemulihan
MARANG, 30 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu telah mengumumkan langkah-langkah proaktif untuk memulihkan Pusat Maklumat Pelancongan (TIC) di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kebanyakan pusat maklumat pelancongan di Terengganu mengalami kemerosotan operasi disebabkan pandemik COVID-19. Katanya, semasa pandemik, banyak staf diberhentikan dan kontrak mereka tidak disambung, termasuk staf daripada Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (MOTAC) dan agensi lain. “Akibatnya, beberapa pusat maklumat pelancongan tergendala dan tidak dapat beroperasi dengan efektif. “Jadi sekarang, kita nak pulihkan balik dan kita sedang bincang dengan majlis, pegawai daerah untuk kita ambil satu hingga dua hari untuk gotong-royong sahaja,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Lawatan Kerja Exco Pelancongan ke Pulau Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini baru-baru ini. Tambah Razali, pemulihan tersebut akan diketuai oleh pegawai daripada Pelancongan Negeri Terengganu. “Insya-Allah, dalam masa terdekat, kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan dan pusat-pusat maklumat pelancongan ini akan kembali beroperasi sepenuhnya untuk memberi khidmat kepada pelancong. “Sebab rumah, pejabat, kawasan itu dah ada dan kita akan buat satu atau dua hari gotong-royong,” katanya. Razali turut menekankan pentingnya Community Based Tourism (CBT) di setiap daerah dalam mengenal pasti dan mengetengahkan tarikan baru di Terengganu. “CBT adalah satu pelaksanaan yang terbaik setakat ini bagi pihak kerajaan dan perlu melibatkan komuniti yang mempunyai semangat dan kefahaman yang mendalam tentang subjek ini. “Dengan langkah-langkah pemulihan ini, kerajaan berharap dapat menghidupkan semula industri pelancongan di Terengganu dan memastikan pusat maklumat pelancongan di seluruh negeri beroperasi dengan baik. “Seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan dan pengalaman pelancong yang lebih baik,” ujarnya.
30 Jun 24
216
Kesedaran Masyarakat Kepentingan Pengosongan Tangki Septik Dipertingkat
Kesedaran Masyarakat Kepentingan Pengosongan Tangki Septik Dipertingkat
KUALA TERENGGANU, 30 Jun- Kesedaran dalam kalangan masyarakat di negeri ini mengenai kepentingan pengosongan tangki septik secara berjadual akan dipertingkat bagi menjamin kelestarian alam sekitar. Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, susulan itu kerajaan negeri menjadi pemudah cara kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam memupuk kesedaran pengguna. “Contohnya hari ini, kita mengadakan sesi taklimat kepada penghulu-penghulu mukim untuk mereka panjangkan mengenai kepentingan pengosongan tangki septik kepada penduduk kampung dan juga taman perumahan. “ini kerana pengosongan tangki septik secara berkala amat penting dalam memastikan enap cemar yang terkumpul dibawa ke pusat rawatan kumbahan untuk dirawat sebelum dilupuskan ke tapak pelupusan yang dibenarkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Dan Taklimat Kesedaran Pengosongan Tangki Septik Kepada Penghulu Mukim dan Wakil Pihak Berkuasa Tempatan Seluruh Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Pengarah SPAN Wilayah Timur, Azamy Abdul Aziz Abdul Aziz dan Ketua Jabatan Perniagaan Nyah Enapcemar IWK, Pauzi Mohamed. Katanya, sisa kumbahan perlu dilupuskan dengan cara yang betul dan selamat supaya dapat mengelak berlakunya penyebaran penyakit bawaan air yang berbahaya kepada masyarakat. “Kita harap pengguna sedar akan hal ini kerana risiko pencemaran sumber air berpunca daripada tangki septik bukan sahaja menyusahkan mereka tetapi juga komuniti terdekat,” ujarnya. Sementara itu, Pauzi memaklumkan, kesedaran mengosongkan tangki septik di kediaman secara berjadual masih rendah dalam kalangan masyarakat di Terengganu dengan kurang dari 10 peratus daripada kira-kira 90,000 tangki septik di negeri ini.  “Boleh dikatakan hampir semua negeri lebih kurang sama iaitu dibawah 10 peratus yang tangki septik telah dikosongkan secara berjadual.  “Justeru, kita terus berusaha untuk sedarkan masyarakat melalui penghantaran notis, pertingkatkan kempen dan pelbagai cara lagi,” katanya. Tamabh beliau, masyarakat dan pengguna diharapkan akan bertanggungjawab untuk bersama-sama mengosongkan tangki septik memandangkan kos yang dikenakan agak berpatutan. “Berdasarkan soal selidik yang dilakukan pihak kami, hampir 95 peratus  pengguna faham tentang kepentingan pengosongan tangki septik tetapi mereka tidak meletakkan ia sebagai keutamaan dalam pengurusan kewangan keluarga masing-masing,” ujarnya.
30 Jun 24
356
Terengganu Sokong Usaha Perkasakan STEM
Terengganu Sokong Usaha Perkasakan STEM
KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha untuk martabatkan Bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia perlu bagi membolehkan Terengganu mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negeri maju dan meningkatkan kualiti pendidikan yang dapat melahirkan para ilmuan dalam semua bidang STEM. “Memandangkan dunia telah mula bersaing  dan rancak mengusahakan pemodenan teknologi maklumat bagi menuju Fourth Industrial Revolution, Terengganu juga perlu memandang jauh kehadapan supaya kita tidak ketinggalan dalam melahirkan saintis dan pakar-pakar bidang professional. “Justeru itu, kita harus bersiap sedia dari sekarang supaya kita dapat melahirkan golongan professional  yang mantap dari segi sahsiah diri yang terpuji,”ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu teks ucapan yang dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah sebagai wakil beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan STEM ExxonMobil & Penyampaian Sumbangan ExxonMobil Untuk Program-Program Kemasyarakatan Negeri Terengganu 2024 di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini hari ini. Dalam program tersebut, seramai 31 pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang  STEM ExxonMobil dengan  hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang dan tiga Anugerah Kecemerlangan Guru STEM yang membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 setiap seorang. Manakala, empat  buah sekolah iaitu SMK Belara, SMK Dato Haji Mohd Said, SMK Bukit Guntong dan SMK Tengku Bariah menerima Anugerah Sekolah Menengah  Harian Terbaik STEM dengan hadiah wang tunai RM1,500 bagi setiap mata pelajaran. Dalam masa sama, SMK Tengku Bariah turut dianugerahkan Sekolah Menengah Harian Terbaik Keseluruhan Mata Pelajaran STEM serta membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 dan Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Daerah Peningkatan Peratusan Tertinggi Calon STEM juga membawa pulang hadiah bernilai RM2,000. Sementara itu, ExxonMobil juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM530,000 untuk program kemasyarakatan di Terengganu bagi tahun 2024.
30 Jun 24
465
Terengganu Terima Peruntukan RM1 Juta Bagi Projek Bandar Selamat
Terengganu Terima Peruntukan RM1 Juta Bagi Projek Bandar Selamat
MARANG, 30 Jun- Sebanyak RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek bandar selamat di Terengganu tahun ini. Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Dr Alias Rameli berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini iaitu Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Marang dengan pecahan RM500,000 bagi setiap PBT. "Ia bagi mempertingkatkan kemudahan dan ciri-ciri bandar selamat di kawasan  pentadbiran terbabit. "Sekali gus memudahkan rakyat untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang baik, pendidikan, alam sekitar yang bersih, tempat tinggal selamat, kawasan beriadah dan persekitaran kerja selesa," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini, hari ini. Menurut beliau, Kerajaan memperkenalkan ANMS di bawah teraju Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan menjadikan Rakyat Malaysia Sihat Sejahtera. "KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah diberi mandat bagi pelaksanaan Teras Ke-4 ANMS iaitu Memantapkan Kebersihan Persekitaran dan Strategi Ke-10 bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan melalui pembudayaan cara hidup sihat di dalam kehidupan seharian dan kelestarian persekitaran yang sejahtera. "Perancangan bandar sangat terkait dengan kesihatan kerana visi utama perancangan sesebuah bandar antara lainnya adalah untuk mewujudkan persekitaran yang harmoni dan sejahtera," ujarnya. Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan Projek Showcase Bandar Sihat oleh KPKT telah bermula pada tahun 2015 di mana ia mula dilaksanakan di Bandar Kluang, Johor dan Bandaraya Kuala Terengganu. "Kemudian projek ini diteruskan pada tahun 2021 di Bandar Jerantut di Pahang, Ampang Jaya di Selangor dan di Kulim, Kedah," jelasnya. Katanya, pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM300,000 telah disediakan oleh KKM untuk melaksanakan program ANMS di bandar-bandar terpilih di Malaysia.  "Daripada jumlah itu, sebanyak RM105,000 disediakan khusus untuk program kita pada hari ini bagi memastikan matlamat ANMS tercapai khususnya di Bandar Marang ini. "Bandar Marang merupakan antara empat buah bandar paling bahagia di Negeri Terengganu dengan skor sebanyak 87.27 peratus berdasarkan Indeks Kebahagiaan Tahun 2023 yang dinilai melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan BandarLuar Bandar (MURNINets).  "Pencapaian ini telah dijadikan salah satu kriteria pemilihan Bandar Marang sebagai sebuah bandar sihat di Malaysia," ujarnya.
30 Jun 24
1361
'Lebih RM1 Bilion Royalti Minyak Terengganu Belum Dibayar' – MB
'Lebih RM1 Bilion Royalti Minyak Terengganu Belum Dibayar' – MB
MARANG, 29 Jun – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Kerajaan Persekutuan masih belum melunaskan lebih RM1 bilion bayaran royalti petroleum Terengganu. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang jawapan jelas mengenai penangguhan bayaran milik rakyat itu. Menurutnya, jumlah yang akan terus dituntut berkenaan termasuk baki kira-kira RM700 juta yang belum dibayar kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 dan bayaran untuk tahun ini. “Masih lagi banyak bakinya (royalti), kalau tak silap, saya rasa campur dengan tahun ini, lebih RM1 bilion. “Buat masa ini, kerajaan negeri diminta untuk mengemukakan tuntutan berdasarkan kepada program dan juga keperluan kewangan dari masa ke semasa, ‘claim’ (tuntutan) baharu akan dipertimbangkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media pada progran Temasya Sukan DAR Terengganu bertempat di Maecon Sport Centre, Kelulut, Marang di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, pihaknya ada bertemu dengan persekutuan dalam mesyuarat-mesyuarat namun tiada perbincangan yang khusus mengenai royalti. “Tapi saya telah menyuarakan kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan tentang keperluan semasa yang berlaku setiap bulan.  “Apa yang berlaku ialah pertimbangan keperluan kewangan akan dibuat oleh pihak Kementerian Kewangan setiap bulan,” katanya. Beliau turut menyatakan kekeliruan kerajaan negeri mengenai alasan penangguhan tersebut. “Bagi kerajaan negeri, kami tidak faham sebenarnya apa alasannya. Itulah keadaan sekarang ini. “Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memenuhi keperluan yang diminta oleh kerajaan persekutuan bagi memastikan royalti minyak tersebut dapat disalurkan kepada negeri Terengganu,” ujarnya. Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dilaporkan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu. Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022.            
29 Jun 24
1174
JPKK Taman Perumahan Gong Pauh Juara Kereta Berhias
JPKK Taman Perumahan Gong Pauh Juara Kereta Berhias
KEMAMAN, 29 Jun - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Perumahan Gong Pauh dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Kenderaan Berhias Peringkat JPKK Bagi Daerah Kemaman Tahun 2024, semalam. Dalam majlis yang diadakan di Padang Astaka Kemaman itu, JPKK Taman Perumahan Gong Pauh membawa pulang hadiah cek cura bernilai RM3000 dan sijil penyertaan. Tempat kedua dimenangi oleh JPKK Felda Kertih dengan hadiah berupa cek cura bernilai RM2000 dan sijil penyertaan. Tempat ketiga pula dimenangi JPKK Geliga Jambatan dengan hadiah cek cura bernilai RM1000 dan sijil manakala JPKK Air Putih Zon C (RM600), JPKK Geliga Permai (RM500), JPKK Pengkalan Pandan (RM400), JPKK Bakau Tinggi (RM350), JPKK Air Putih Zon B (RM300), JPKK Geliga Baru (RM250) dan JPKK Pekan Kerteh (RM200) masing-masing di kedudukan keempat hingga kesepuluh. Pertandingan kenderaan berhias ini merupakan anjuran bersama oleh Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai. Terdahulu, semua kenderaan ini dibawa berarak mengelilingi bandar Cukai untuk dipamerkan kepada warga di daerah ini dimana majoriti mereka berkumpul di sepanjang laluan perarakan berlangsung dan masing-masing kelihatan begitu teruja dengan perarakan kenderaan berhias ini. Kenderaan berhias Daerah Kemaman yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu turut menjadi tumpuan utama masyarakat di sini. Turut dipamerkan dalam perarakan ini iaitu beca berhias milik EPIC Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn.Bhd.    
29 Jun 24
1598
31 Keluarga Asnaf Terima Sumbangan
31 Keluarga Asnaf Terima Sumbangan
Oleh: Muhammad Zamarul hishyam BESUT, 28 Jun - Kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyantuni golongan asnaf menerusi program temu mesra dan kasih prihatin 2024. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, ia merupakan satu lagi inisiatif penting dalam usaha memastikan nasib golongan memerlukan terutama asnaf mendapat perhatian serta bantuan yang terbaik. Katanya, untuk siri pertama seramai 31 keluarga asnaf dari daerah Besut menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. "Kecil bagi kita tetapi besar nilainya bagi mereka yang memerlukan. "Pada hari ini mereka akan menerima sumbangan wang tunai serta barangan makanan asas dengan jumlah Rm 500 satu keluarga,” ujarnya kepada pemberita. Tambah Maliaman lagi, program tersebut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NGO Wargakilang serta pihak-pihak berkaitan. Menurutnya, program itu juga akan diteruskan ke daerah-daerah lain dari semasa ke semasa melibatkan golongan asnaf di Terengganu. Sementara itu, salah seorang penerima, Rogayah Rifin, 52, berkata sumbangan yang diterima dapat meringankan beban kerana dia masih mempunyai tujuh orang anak yang perlu ditanggung olehnya. "Syukur Alhamdulillah atas keprihatinan semua pihak...terima kasih kerana membantu kami sekeluarga," ujarnya. Manakala bagi Norwahidaa Wani yang merupakan seorang ibu tunggal berkata sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan hariannya.
28 Jun 24
162
PETRONAS Tingkat Kemahiran Komuniti
PETRONAS Tingkat Kemahiran Komuniti
KEMAMAN, 28 Jun- PETRONAS  melalui program Menyemai Masa Hadapan- Ke Arah Masyarakat Mampan, menganjurkan siri Bengkel Peningkatan Kemahiran Kitar Semula Minyak Masak Terpakai 2024.  Pengurus Kanan, Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohd Munawir Mahdun berkata, bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PETRONAS meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap pengurusan sisa buangan yang betul. "Di samping pendedahan kepada amalan ekonomi kitaran (circular economy), ianya juga diharap mampu meningkatkan kemahiran di dalam pengurusan sisa buangan pepejal yang sistematik,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup bengkel yang disempurnakan oleh Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat di Pusat 3R, Kemaman, hari ini.  Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Fadli Yusof. Katanya, projek rintis impak sosial terbabit dilaksanakan dengan Kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Majlis Perbandaran Kemaman. "Program yang berjalan selama dua bulan ini melibatkan 40 peserta terdiri daripada anggota komuniti terpilih. "Sepanjang mengikuti bengkel, peserta dididik bagaimana menukarkan minyak masak terpakai kepada produk yang lebih berharga.  "Ia secara tidak langsung memberi peluang menjana pendapatan kepada masyarakat disamping lebih peka terhadap kesan sisa buangan kepada alam sekitar, " ujarnya.
28 Jun 24
198
Terengganu Fokus Tiga Jenis Sisa Buangan
Terengganu Fokus Tiga Jenis Sisa Buangan
KEMAMAN, 28 Jun - Terengganu memberi fokus kepada tiga jenis buangan iaitu minyak masak terpakai, plastik dan tekstil.  Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, secara keseluruhannya 100 orang peserta daripada komuniti yang terpilih telah mengikuti siri bengkel latihan di mana mereka telah diajar tentang pengenalan dan pengasingan bahan buangan terpakai serta penghasilan produk daripada bahan buangan. Katanya, beberapa siri bengkel latihan untuk tekstil dan bengkel latihan ‘precious plastics’ akan berjalan sehingga awal Julai. "Melalui inisiatif ini, kami berharap akan muncul lebih banyak peluang yang berpotensi untuk membantu komuniti dalam menjana pendapatan sampingan melalui penjualan produk yang berjaya dihasilkan. "Untuk aktiviti terakhir, pihak kami akan mengadakan program kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah yang terpilih mulai dari bulan Julai,"ujarnya. Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Ekonomi Kitaran (Minyak Masak Terpakai) 2024 yang telah berlangsung di 3R Centre, Jalan Feri Lama, hari ini. Katanya lagi, bengkel yang telah diadakan itu merupakan salah satu kempen kesedaran kepada semua bagi menjaga kebersihan persekitaran yang melibatkan rakan strategik, rakan kongsi dan komuniti. Tambahnya, pengisian program tersebut berkait rapat dengan aktiviti masyarakat setempat. "Semua usaha murni ini mestilah dijalankan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat. "Penglibatan semua pihak dalam menyumbang barang buangan terpakai seperti sumber plastik, minyak masak terpakai dan tekstil secara berterusan bagi kegunaan komuniti untuk menghasilkan produk amatlah dialu-alukan," ujarnya lagi. Program tersebut merupakan anjuran oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Yayasan Hijau Malaysia(YHM) dan Impaclution Sdn. Bhd. dan telah disambut baik oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).  
28 Jun 24
413