Artikel "Semasa" Terkini
Hijrah : Perjalanan 460 Kilometer Penuh Hikmah, Ibrah
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal sejauh 460 kilometer dari Makkah ke Madinah, tetapi juga sebuah perjalanan yang penuh dengan hikmah dan ibrah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata bahawa hijrah merupakan perjuangan besar Rasulullah SAW dan para sahabat untuk memastikan kelestarian agama Islam di muka bumi ini.
“Sejarah Islam merekodkan bahawa hijrah dilakukan berdasarkan perancangan yang begitu teliti dan rapi dalam menempuh perjalanan sejauh lebih 460 kilometer ini.
“Bermula dengan perancangan untuk keluar daripada Makkah tanpa pengetahuan pihak musuh sehinggalah kepada perancangan bagaimana untuk sampai ke Madinah dengan selamat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Dr Khalil turut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memastikan individu yang terlibat dalam peristiwa hijrah adalah mereka yang benar-benar mempunyai kelayakan dan boleh dipercayai.
“Peristiwa hijrah menunjukkan kepada kita kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi dalam menempuhi kesukaran untuk melaksanakan perintah Allah SWT.
"Hijrah juga membuktikan pergantungan atau tawakal yang amat kuat oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. kepada Allah SWT.
“Pergantungan atau tawakal yang amat kuat ini amat sukar untuk dilestarikan dan dizahirkan oleh sesiapa pun melainkan oleh mereka yang memiliki akidah yang benar dan sahih, yang tidak ternoda dengan sebarang bentuk keraguan atau syak kepada Allah SWT.
“Hanya akidah yang lurus dan benar sahaja yang dapat melahirkan kekuatan dalaman yang sedemikian teguh dan kukuh dalam menghadapi ujian-ujian seperti yang dialami oleh Baginda SAW dan para sahabat r.a. dalam peristiwa hijrah,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengajak umat Islam untuk menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai tauladan dan ikutan dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang mencabar ini.
“Hijrah dalam tradisi Islam memberikan maksud yang sangat besar dalam kehidupan umat Islam keseluruhannya.
“Hal ini kerana peristiwa hijrah yang telah berlaku adalah sarat dengan pelbagai sejarah, hikmah dan ibrah kepada kesemua yang berakal dan terbuka mata hatinya.
“Sebagai mengakhiri ucapan saya, marilah sama-sama kita menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW untuk dijadikan tauladan dan ikutan kita dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang cukup mencabar ini. Selamat menyambut Maal Hijrah 1446,” katanya.
06 Jul 24
219
46 Menara Telekomunikasi Baharu Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Anak syarikat Theta Edge Berhad iaitu Theta Telecoms Sdn Bhd telah berjaya membina sebanyak 46 menara telekomunikasi baharu di Negeri Terengganu melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, syarikat sangat memahami kepentingan projek tersebut dan teruja dapat menyiapkan pembinaan menara baharu itu mengikut jadual yang ditetapkan pada tahun 2023.
Menurutnya, usaha dan komitmen syarikat sepanjang proses pembinaan menara baharu itu diharap dapat membantu operator rangkaian mudah alih memperluaskan lagi liputan 4G di kawasan luar bandar untuk manfaat rakyat.
"Sebagai syarikat yang membangun, kami berbesar hati kerana dapat merealisasikan agenda kerajaan dalam memperluaskan kesalinghubungan digital untuk rakyat di negeri ini.
"Kami berbangga dapat menjadi rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi inisiatif ini dan berpeluang menawarkan kepakaran dalam menyediakan kemudahan infrastruktur tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemuktamadan Penyerahan 46 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 yang dirasmikan oleh Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat di Menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Majlis itu juga bertujuan meraikan pencapaian 100 peratus pelaksanaan tapak Jendela Fasa Satu yang sudah siap dibina dan dibangunkan oleh Theta Telecoms Sdn Bhd pada tahun 2023.
Mengulas lanjut, Nuraslina berkata, penyediaan perkhidmatan akses jalur lebar yang kondusif adalah keutamaan syarikat dalam menuju ke arah era pendigitalan khususnya di Negeri Terengganu kerana capaian internet dapat memudahkan urusan harian rakyat dan meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat.
"Paling penting, ia dapat memperkukuhkan keyakinan pelabur khususnya sektor perindustrian melalui pembangunan ekonomi digital serta melonjakkan lagi industri pelancongan di Terengganu.
"Antara pembinaan menara baharu yang unik ialah di Pulau Tenggol, Dungun kerana ia mengambil masa selama 150 jam dan meliputi jarak sejauh 83.3 kilometer dari jeti di Kuala Terengganu.
"Menara setinggi 60 meter ini berjaya dibina dalam tempoh tiga bulan dan banyak cabaran telah dilalui sepanjang proses tersebut namun kami berbangga dapat melaksanakannya dengan sempurna," katanya.
05 Jul 24
794
'90 Peratus Peniaga Pasar Payang 1 Sudah Bayar Deposit'
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif, mengumumkan bahawa 90 peratus daripada 110 peniaga yang menerima surat tawaran untuk berniaga di Pasar Payang 1 telah membayar deposit bagi membolehkan mereka mengambil kunci lot perniagaan baharu di kompleks tersebut.
Beliau berkata, setakat ini, hanya 10 peratus peniaga yang belum membayar deposit dan peniaga yang menerima tawaran itu adalah peniaga sedia ada di Pasar Payang lama.
“Mereka berhak untuk menolak tawaran tersebut, dan jika ditolak, tawaran akan diberikan kepada mereka yang berminat untuk berniaga di lokasi baharu itu,” katanya memetik laporan berita Sinar Harian pada program Eksplorasi Gelombang Kasih Sejagat di Pantai Pandak Chendering pada Jumaat.
Rosli berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengekalkan kadar kenaikan sewa bagi kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 sebagaimana diputuskan sebelum ini.
Beliau menegaskan bahawa bayaran sewa di pusat perniagaan baharu itu akan mula dikenakan pada 1 Ogos depan.
“Kita memutuskan untuk mengekalkan kadar sewa baharu terhadap peniaga sebagaimana yang dimaklumkan menerusi surat tawaran yang diedarkan kepada mereka sebelum ini. Keputusan itu diambil hasil mesyuarat yang dijalankan oleh pihak MBKT sebelum ini.
“Tempoh pembukaan Pasar Kedai Payang 1 akan dilanjutkan atas beberapa faktor, termasuk pengubahsuaian ruangan sutera dan batik di tingkat satu kompleks perniagaan baharu tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, jumlah lot yang tersedia tidak mencukupi untuk menampung semua peniaga batik sutera yang berjumlah 244 orang, sedangkan hanya terdapat 218 lot sahaja.
“Kita baharu dapat kelulusan untuk ubah suai tingkat atas bangunan itu. Setakat ini kita ada 244 peniaga batik sutera di ruangan tersebut dan kita hanya ada 218 lot sahaja.
“Disebabkan itu, kita akan buat ubah suai dengan membuat penambahan lot kedai yang dijangka siap akhir tahun ini. Jadi ruangan itu dijangka boleh beroperasi pada awal tahun depan,” ujarnya.
Terdahulu, segelintir peniaga Pasar Kedai Payang telah merayu supaya MBKT mengkaji semula kadar kenaikan harga sewa ruang niaga di bangunan baharu Pasar Payang 1.
Namun begitu, dengan 90 peratus peniaga telah membayar deposit dan bersedia untuk berpindah, proses peralihan ke Pasar Payang 1 kelihatan berjalan lancar.
MBKT komited untuk memastikan peniaga dapat memulakan operasi mereka di lokasi baharu dengan secepat mungkin.
05 Jul 24
651
Kerajaan Negeri Pantau Aktiviti di Kawasan Terumbu Karang
MARANG, 4 Julai - Kerajaan negeri sedang menguatkuasakan langkah-langkah untuk memantau aktiviti manusia di kawasan terumbu karang bagi mengelakkan kelunturan kritikal terhadap khazanah berharga itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu adalah penting dalam usaha memastikan kelestarian terumbu karang yang semakin terancam akibat aktiviti manusia seperti pelancongan dan perikanan.
“Pemantauan yang berterusan akan membantu kita mengenal pasti impak negatif yang mungkin berlaku terhadap ekosistem terumbu karang kita.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan setiap aktiviti manusia di kawasan ini berada dalam sempadan yang selamat dan berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 bertempat di Jeti Marang di sini semalam.
Tambah Razali, sistem pemantauan akan meliputi penggunaan teknologi terkini seperti drone dan sistem penglihatan bawah air untuk mengawasi dan merekodkan keadaan terumbu karang secara sistematik.
“Selain itu, kami juga akan menggalakkan kesedaran awam melalui kempen-kempen pendedahan dan pendidikan, serta memperkenalkan peraturan-peraturan yang lebih ketat bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan terumbu karang.
“Rencana ini turut melibatkan kerjasama dengan komuniti tempatan dan penggiat industri pelancongan untuk memastikan setiap tindakan yang diambil tidak hanya berkesan tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.
“Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kami yakin bahawa kelestarian terumbu karang kita dapat dijaga dengan baik untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Untuk rekod, menurut Department of Fisheries (DOF), lebih 50 peratus terumbu karang terjejas telah dikesan, antaranya di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu.
“Kelunturan batu karang, disebabkan kenaikan suhu air laut, disebabkan oleh perubahan suhu (climate change).
“Kelunturan batu karang adalah suatu fenomena yang memerlukan kepada perhatian kerana apabila karang ini mati, terumbu jarang kembali,” jelasnya.
04 Jul 24
288
Program Kutip Sampah Kuala Berang Tarik Lebih 200 Peserta
HULU TERENGGANU, 4 Julai - Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di Tapak Perkelahan Lubuk Bayas, Kampung Menerong, Ajil berjaya menarik lebih 200 peserta yang terdiri daripada komuniti setempat,swasta dan semua agensi kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah, berkata program yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu itu melibatkan komitmen masyarakat setempat untuk merancang dan menguruskan Kawasan persekitaran kearah Pembangunan mampam dan kualiti hidup yang lebih tinggi.
Menurutnya, sebanyak empat program seumpamanya telah dilaksanakan pada 2023 dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat, agensi dan badan NGO.
"Pada tahun ini Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan juga telah meluluskan empat lagi peruntukan bagi melaksanakan Program Local Agenda (LA21).
"Iaitu gotong royong, kutip sampah sambil riadah Laman Kuala Berang yang telah diadakan pada 7 Mac yang lalu," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Tambah Fadli, pemilihan Lokasi gotong-royong di Lubuk Bayas itu selaras dengan Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dengan aktiviti mengutip sampah dan membersihkan sekitar Perkelahan Lubuk Bayas yang bersebelahan dengan Sungai Berang di mana ia merupakan salah satu usaha Majlis Daerah dalam mewujudkan denai Sungai.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung Menerong, Awi Too, 48, menyifatkan objektif program tersebut bukan sekadar bergotong royong namun apa yang lebih utama ialah dapat memupuk hubungan erat dalam meningkatkan keakraban hubungan strategik antara agensi kerajaan.
"Antara agensi Kerajaan terlibat, Rela Pertahanan Awam Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Masyarakat setempat.
"Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi berakhir pada pukul 12.00 tengahari berjalan lancar dengan cuaca yang begitu baik," ujarnya.
04 Jul 24
827
Candat Sotong : 500 Bot Turun ke Laut Setiap Hari
MARANG, 4 Julai - Dianggarkan hampir 500 bot turun ke laut setiap hari dengan lebih 5,000 pencandat yang mengambil bahagian dalam aktiviti mencandat sotong di sekitar Pulau Kapas dan lokasi-lokasi pilihan lain di Terengganu pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Program 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 berjaya menarik lebih 250 peserta dari seluruh Terengganu untuk menyertai Pesta Candat Sotong yang berlangsung di perairan Pulau Kapas hari ini.
Menurutnya, usaha Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan program tersebut adalah untuk mengembalikan populariti musim mencandat sotong dengan melibatkan seluruh daerah.
"Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada penggiat industri pelancongan untuk bersatu dalam aktiviti yang dinanti-nantikan ini, tetapi juga memperluaskan fokus kepada lokasi mencandat lain di seluruh Terengganu, termasuk Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Chepu, Setiu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 bertempat di Jeti Marang di sini semalam.
Tambah Razali, program itu secara tidak langsung untuk memberi rangsangan ekonomi kepada pelbagai sektor seperti pengusaha bot nelayan, pengusaha hotel dan resort, serta peniaga tempatan.
"Aktiviti mencandat sotong yang popular bermula pada waktu senja sehingga awal pagi menarik minat pelancong tempatan dan luar negara.
"Program ini adalah langkah positif dalam usaha untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan negeri ini dengan lebih merata ke seluruh daerah, seiring dengan saranan kerajaan untuk memperluaskan kepelbagaian destinasi pelancongan di Terengganu," ujarnya.
04 Jul 24
1369
Blackrock : ‘Jangan Samakan Pembelian Saham Pasaran Terbuka dengan MAHB’
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Pihak tertentu digesa untuk tidak mengelirukan rakyat dengan menyamakan pembelian saham oleh syarikat kontroversi, GIP-Blackrock di pasaran terbuka dengan aset strategik negara, Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB).
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui pasaran terbuka atau bursa saham sesiapa sahaja boleh membeli tanpa ada sekatan atau halangan daripada undang-undang kerajaan.
“(Di pasaran terbuka) semua boleh beli dengan peratus tertentu.
“Tetapi apabila penjualan saham itu melibatkan tawaran khusus yang bukan di pasaran terbuka ia adalah satu cerita berbeza.
“Apa yang dibangkitkan oleh orang ramai sama ada di luar atau di dalam Parlimen adalah berkisar tentang ini (penjualan saham bukan di pasaran terbuka),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas 'One off' tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kemaman itu turut membangkitkan persoalan tentang keperluan untuk menjual saham milik MAHB tersebut kepada entiti antarabangsa yang berdepan dengan pelbagai kontroversi.
“Apa keperluan kita menjual saham 30 peratus itu kepada mereka, kenapa mereka mendapat keistimewaan tersebut?,” soal beliau.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Khazanah Nasional mempertahankan tindakan penjualan saham itu dengan memberi alasan Blackrock sudah lama membeli saham dalam syarikat di Malaysia.
"Kita ini negara berkembang, tengok tahap keupayaan kita, jangan kerana nafsu serakah nak tunjuk hebat, kita rosakkan kepentingan negara, itu prinsip secara umumnya,” katanya.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat, agamawan, cendekiawan dan tokoh negara yang tidak bersetuju dengan kenyataan Anwar.
Tokoh pemikir Dr Chandra Muzaffar yang juga antara pengasas utama PKR yang satu masa dulu, berkata tidak ada justifikasi untuk menjual saham MAHB kepada GIP-Blackrock yang berdepan tuduhan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel.
"Mengapa kita perlu bekerjasama dengan syarikat yang dimiliki sebuah entiti yang mempunyai hubungan rapat dengan ketenteraan Israel dan AS.
"Ini sesuatu yang membimbangkan kerana ia melibatkan lapangan terbang - bukan restoran atau pasar raya - yang akan diuruskan GIP yang dimiliki BlackRock?," soal Chandra.
03 Jul 24
326
MB Minta Imam Doakan Kewangan Negeri Makin Mengukuh
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri memohon agar para imam mendoakan supaya kedudukan kewangan negeri semakin mengukuh dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, perkara itu sangat penting bagi memastikan segala agenda untuk menjaga kebajikan rakyat dan para imam di negeri ini berjaya dilakukan.
"Berdoalah supaya kedudukan kewangan kita mengukuh dan berada dalam keadaan stabil, bertambah dari segi 'cash flownya', insya-Allah.
"Sesungguhnya saya percaya para imam yang ada ini akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited, istiqamah serta berdisiplin sebagai golongan yang paling hampir dengan anggota masyarakat di negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas 'One-off' 2023' kepada imam ketiga masjid mukim negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausa Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Penegerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Khalil turut menharapkan agar para imam mengambil peluang yang ada untuk sentisa berdoa kepada Allah agar dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kerahmatan.
"Kepada negeri kita ini dan ke atas seluruh umat Islam," ujarnya.
03 Jul 24
2373
Kekecewaan Rakyat Terhadap Kerajaan Berlaku Akibat Tekanan
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Kekecewaan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan Persekutuan muktakhir ini berlaku secara organik akibat tekanan berterusan dalam pelbagai sektor terutamanya kos sara hidup.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai isu dibicarakan rakyat Malaysia tanpa terpengaruh dengan mana-mana parti politik.
"Saya lihat secara umumnya isu yang ada dalam negara banyak dan bukan parti politik sahaja yang memainkan isu yang ada ini.
"Bahkan kita lihat di media sosial ia berlaku secara organik di kalangan rakyat, pengusaha, peniaga kecil dan sebagainya yang merasa telah berlaku tekanan kehidupan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas 'One off' tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai usaha menolak kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim, katanya perkara itu bukan diatur oleh parti tetapi merupakan gerakan massa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Jadi terpulang kepada tafsiran mana-mana pihak apa yang sedang berlaku ini, tapi pokok pangkalnya isu di kalangan rakyat ini telah berlaku secara organik bukan diapi-apikan oleh mana-mana pihak," ujarnya.
03 Jul 24
173
Majlis Perbandaran Kemaman PBT Pertama Laksana Pasport Keselamatan
KEMAMAN, 3 Julai - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Semenanjung Malaysia yang melaksanakan sistem pasport keselamatan untuk memastikan keselamatan para pekerjanya serta mereka yang bekerja untuk kontraktor dan vendor MPK.
Yang Dipertua MPK, Fadli Yusof Zakaria berkata, Pasport Keselamatan MPK (MPK Safety Passport - MPKSP) merupakan kad keselamatan yang dikeluarkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) setelah para pekerja menjalani kursus induksi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Beliau memaklumkan, antara manfaat yang diperolehi oleh pemegang pasport keselamatan ini adalah pampasan sebanyak RM15,000 jika berlaku kematian atau hilang upaya akibat kemalangan.
“Dengan adanya kad keselamatan ini, kebajikan kakitangan MPK dan pekerja kontraktor lebih terjamin.
“Sebagai sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan awam kepada masyarakat, MPK sentiasa menitikberatkan aspek KKP dalam setiap aktiviti pembersihan awam, pengurusan sisa pepejal, pengindahan bandar, kawalan lalulintas dan sebagainya,” katanya ketika melancarkan MPKSP di ibu pejabat MPK, hari ini.
Fadli berkata, kualiti dan perkhidmatan warga kerja MPK akan lebih berkesan apabila sentiasa mengutamakan aspek KKP manakala gabungan pematuhan amalan kerja yang standard, selamat dan sihat akan menjadikan kerja harian lebih selamat, jimat kos, produktif selain mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.
Mengulas lanjut katanya, MPK juga berjaya melahirkan seramai 10 orang tenaga pengajar dalaman untuk memberikan latihan berkaitan MPKSP.
“Fokus utama MPK adalah untuk memastikan kakitangan yang terdedah dengan risiko bahaya di tempat kerja dilindungi dan mendapat manfaat apabila berlaku kemalangan sama ada di tempat kerja atau ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif NIOSH Mejar (B) Hanif Madin berkata, pelaksanaan MPKSP merupakan pencapaian yang amat penting dan seharusnya menjadi kebanggaan warga MPK serta mendorong PBT-PBT lain untuk melaksanakannya.
“NIOSH berharap kesemua PBT di Negeri Terengganu akan melaksanakan sistem pasport keselamatan agar negeri ini menjadi negeri pertama di Semenanjung di mana kesemua PBT melaksanakan inisiatif tersebut,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyeru majikan dan pihak industri yang masih belum melaksanakan program pasport keselamatan untuk berusaha ke arah pelaksanaannya sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit di tempat kerja.
“Walaupun penggunaan pasport keselamatan tidak diwajibkan oleh Kerajaan, namun ia amat digalakkan bagi membantu mengurangkan kemalangan dan penyakit pekerjaan sebagaimana yang digariskan di bawan Pelan Induk KKP 2021-2025 (OSHMP25),” katanya.
Program Pasport Keselamatan NIOSH mula diperkenalkan pada tahun 2000 sebagai usaha Kerajaan untuk meningkatkan tahap kesedaran pekerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Pasport keselamatan NIOSH diwajibkan oleh sesetengah industri termasuk minyak dan gas, telekomunikasi dan pengendali lebuhraya. Setiap tahun, lebih 100,000 peserta dilatih di bawah program pasport keselamatan NIOSH di seluruh negara.
Pada majlis tersebut, pihak MPK dan NIOSH turut menandatangani dan betukar-tukar memorandum persefahaman untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang KKP. MPK diwakili Fadli manakala Hanif mewakili NIOSH.
Hanif turut menyarankan PBT untuk mendapatkan pensijilan pengurusan KKP melalui anak syarikat NIOSH iaitu NIOSH Certification Sdn Bhd.
Beliau berkata, Sistem Pengurusan KKP atau ISO 45001:2018boleh diintegrasikan dengan proses pengurusan organisasi sedia ada dan mengikuti struktur standard sistem pengurusan ISO yang lain, seperti ISO 9001 (pengurusan kualiti) dan ISO 14001 (pengurusan alam sekitar).
03 Jul 24
261