Artikel "Semasa" Terkini
Sekatan Royalti Petroleum Jejas Sektor Pelancongan Terengganu
DUNGUN, 10 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, menyatakan bahawa sekatan pembayaran royalti petroleum memberi kesan yang besar kepada sektor pelancongan negeri Terengganu.
Menurut beliau, sejak awal pemerintahan kerajaan negeri, sebanyak 90 peratus daripada perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negeri datang daripada royalti minyak.
"Hanya 10 peratus perbelanjaan dikutip daripada cukai dan sumber lain. Oleh itu, apabila pembayaran royalti minyak disekat, ia memberi impak yang sangat besar kepada keupayaan kerajaan negeri untuk menguruskan pembangunan dan pembayaran hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Program Lawatan Ke Tapak Cadangan Projek Pembangunan Pelancongan Dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu, Pulau Tenggol bertempat di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di sini baru-baru ini.
Razali berkata apabila disekat, maka pelbagai sektor akan merana termasuk pelancongan.
"Maksudnya, pembangunan sukar untuk kita uruskan dengan sempurna dan hutang-hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu terpaksa tidak dibayar.
"Kita sebenarnya merayu kepada pihak kerajaan pusat supaya meneruskan pembayaran royalti minyak seperti biasa, seperti kerajaan-kerajaan lain.
"Supaya walaupun negeri pembangkang, tetapi pembangunan tetap sama, pemerintahan daripada rakyat tetap sama," tambahnya.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan pembangunan negeri dan pemerintahan daripada rakyat tidak terjejas.
Beliau turut menegaskan bahawa konsep federalisme perlu diterapkan dengan adil dan menyatakan bahawa royalti minyak adalah penting untuk membangunkan negeri Terengganu sebaik mungkin.
10 Jul 24
3511
Kaji Perkenal Lesen Candat Sotong Bagi Keselamatan Pengunjung
MARANG, 10 Julai - Kerajaan Negeri sedang mengkaji langkah proaktif untuk meningkatkan keselamatan pelancong termasuk ketika mencandat sotong dengan memperkenalkan lesen bagi aktiviti itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata inisiatif tersebut dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan jika mendapat persetujuan semua pihak.
Katanya, ia melibatkan semua bot yang terlibat dalam aktiviti mencandat sotong dan mereka akan diberikan permit lesen khas.
"Lesen ini berbeza daripada lesen bot biasa kerana ia khusus untuk aktiviti mencandat sotong sahaja, yang akan dikeluarkan dari bulan April hingga Oktober.
“Langkah ini bertujuan untuk memudahkan urusan bot-bot pelancong, pesisir, atau nelayan yang berminat untuk membawa pelancong mencandat sotong di laut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 yang berlangsung di Jeti Marang baru-baru ini
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong, dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Tambah Razali, pelesenan itu juga bertujuan untuk memastikan semua bot dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan yang mencukupi, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
"Insya-Allah, pada tahun hadapan, sebanyak mungkin bot mencandat sotong di seluruh Terengganu akan dilesenkan bagi memastikan tiada masalah timbul sekiranya berlaku sebarang insiden.
"Saya yakin dan percaya, dengan pelesenan ini, lebih ramai pelancong akan datang ke Terengganu untuk mencandat sotong kerana yakin semua bot yang ada lesen dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan yang mencukupi," jelasnya.
Beliau berkata, permohonan untuk lesen tersebut akan dibuat kepada Jabatan Laut bersama dengan Lembaga Urus Air Terengganu (LUAT).
"Langkah ini juga diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri Terengganu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan negeri," ujarnya.
10 Jul 24
1039
JHEAT Siasat Dakwaan Tiang Tempat Nabi Khidir Bersandar di Surau Tokku Paloh
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang menyiasat dakwaan mengenai kewujudan sebatang tiang yang dikatakan menjadi tempat Nabi Khidir AS bersandar ketika bertemu ulama besar Terengganu, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh.
Tiang tersebut terletak di Surau Tokku Paloh dan menjadi perhatian susulan penyebaran video oleh pemilik akaun TikTok, Remy Lepat Liat.
Video bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu’ telah menjadi tular sejak Ahad lalu, menarik minat ramai pengguna media sosial.
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima maklumat mengenai perkara itu sebelum ini, namun ia masih di peringkat siasatan.
“Kita sudah mendapat maklumat berkaitan sebelum ini dan kita dapati video mengenainya telah tersebar di media sosial baru-baru ini,” katanya menurut laporan berita Sinar Harian pada selasa.
Video berdurasi 2 minit 58 saat itu memaparkan kawasan yang dipercayai Makam Tokku Paloh di Kampung Serada. Video tersebut menunjukkan orang ramai mengunjungi kawasan itu untuk melihat sendiri sebatang tiang yang dikatakan menjadi tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu ulama abad ke-19 Terengganu itu.
JHEAT mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu hasil siasatan rasmi.
“Kami berharap masyarakat dapat bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan teliti,” kata M Rozi.
Sementara itu, pihak berkuasa juga meminta agar orang ramai berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang belum sahih bagi mengelakkan kekeliruan dan fitnah. Hasil siasatan ini dijangka akan diumumkan sebaik sahaja ia selesai.
09 Jul 24
1637
Kerajaan Negeri Bantu Percepat Proses Pengesahan Lesen Jeti Pulau Tenggol
DUNGUN, 10 Julai – Kerajaan Terengganu sedang mempercepatkan proses pengesahan lesen bagi jeti-jeti di Pulau Tenggol untuk meningkatkan aksesibiliti kepada pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris mengakui bahawa pada masa sekarang, kebanyakan jeti yang beroperasi di Pulau Tenggol tidak mempunyai pengesahan atau lesen yang sah daripada pihak berkuasa.
Beliau menekankan kepentingan untuk berbincang dan berdialog dengan pengusaha tempatan bagi memastikan keselamatan dan kemudahan akses bagi pelancong harian dan penginapan di Pulau Tenggol.
"Melalui perbincangan bersama jabatan daerah dan majlis daerah, jeti-jeti tersebut akan segera mendapat lesen yang sah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Program Lawatan Ke Tapak Cadangan Projek Pembangunan Pelancongan Dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu, Pulau Tenggol bertempat di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di sini hari ini.
Razali menjelaskan bahawa langkah tersebut tidak hanya untuk memastikan keselamatan pelancong, tetapi juga untuk memperluas industri pelancongan di Terengganu.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan dalam mematuhi peraturan sedia ada untuk meningkatkan standard pengurusan jeti-jeti tersebut.
“Saya yakin, selepas hari ini, pada tahun depan, kita akan melihat jeti-jeti persendirian yang sedia ada mendapat pengiktirafan sepenuhnya,” ujarnya.
08 Jul 24
213
Terengganu Bakal Dirikan Kilang LNG
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Terengganu bakal mendirikan kilang ketiga di Malaysia yang membotolkan gas 'Liquefied Natural Gas' (LNG) selepas Johor dan Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata ia akan digunakan untuk keperluan industri yang ada di dalam negara sekali gus menjadi sumber pendapatan baharu Terengganu.
Ujarnya, gas itu diimport dari luar negara dan dibawa masuk ke negeri ini melalui Pelabuhan Kemaman dengan kerjasama syarikat ENH Sdn Bhd.
"Setakat ini Johor dan Melaka membekalkan LNG ini untuk kegunaan industri di sebelah pantai barat dan utara Malaysia iaitu Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak hingga ke Pulau Pinang,
"Sebelah pantai timur belum ada lagi 'bottling plant' dengan diwujudkan di negeri ini, jadi kita akan menguasai pasaran di sebelah pantai timur," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), mengulas mengenai kilang LNG yang akan dibuka di Terengganu, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, ia akan didirikan di tapak tanah kepunyaan EPIC Berhad yang telah dipersetujui antara pihak terlibat dan kini dalam proses akhir untuk menandatangani perjanjian.
"KIta sangat berharap dengan wujudnya kilang atau 'plant' ini kita mampu menguasai pasaran di sebelah Pantai Timur, ia akan menjadikan Terengganu negeri ketiga akan ada 'bottling plant'
"Satu lagi maklumat, di Malaysia import dan eksport LNG ini hanya di Bintulu Sarawak, jadi syarikat ENH yang akan bekerjasama dengan EPIC dengan menyewa tapak anak syarikat kerajaan negeri, mereka juga turut berhasrat menyediakan 'LNG Storage' di Pelabuhan Kemaman.
"Apabila ada 'LNG Storage', produk yang kita import akan disimpan di sana, ini akan menjadikan Kemaman tempat kedua adanya aktiviti import dan eksport ini selepas Bintulu, Sarawak," katanya.
08 Jul 24
3588
Exco Cadang Asing Lelaki, Perempuan di Kolam Air Panas
DUNGUN, 8 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, telah mengumumkan cadangan untuk mengasingkan lelaki dan perempuan di kolam air panas La Hot Spring, Hulu Besut.
Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan persekitaran yang lebih selesa dan selamat bagi semua pengunjung, sambil mengekalkan keaslian dan struktur semula jadi kolam air panas tersebut.
“Pengasingan ini merupakan satu langkah proaktif dalam meningkatkan pengalaman pelancongan di La Hot Spring.
“Kami sedang berbincang dengan pakar untuk melaksanakan teknologi yang sesuai untuk memisahkan antara lelaki dan perempuan tanpa merubah kepanasan air atau struktur semulajadi yang sedia ada,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Program Lawatan Ke Tapak Cadangan Projek Pembangunan Pelancongan Dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu, Pulau Tenggol bertempat di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di sini hari ini.
Razali turut menekankan bahawa inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memajukan sektor pelancongan dengan mengekalkan keaslian dan memperbaiki kemudahan yang sedia ada.
“Cadangan ini juga merupakan tindak balas kepada maklum balas daripada pengunjung yang menginginkan persekitaran yang lebih selamat dan selesa, terutamanya dalam konteks kepelbagaian sosial yang semakin sensitif.
“Rencana lanjut mengenai pelaksanaan cadangan ini akan diumumkan selepas perbincangan lebih lanjut dengan pihak-pihak berkepentingan dan pakar-pakar terlibat dalam bidang ini,” ujarnya.
Beliau berkata, sejak dibuka kepada pengunjung, La Hot Spring terus menjadi tarikan utama di Hulu Besut, Terengganu dengan keindahan alam semulajadi serta kesejukan kolam air panasnya yang terkenal.
“Langkah untuk meningkatkan pengalaman pelancongan di sini diharapkan dapat menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa, menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia,” katanya.
08 Jul 24
772
RM16.5 Juta Dirampas, 123 Ditahan
KUALA TERENGGANU, 8 Julai- Hasil laut dan bot bernilai RM16.5 juta dirampas serta 123 nelayan asing telah ditahan sepanjang tahun ini oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid memaklumkan, keseluruhan nilai rampasan tersebut melibatkan 15 kes tangkapan vesel nelayan asing Vietnam di perairan negeri Terengganu.
Tambahnya, Maritim Negeri Terengganu telah berjaya menahan dua lagi vesel nelayan asing Vietnam di kedudukan 95.01 batu nautika Tenggara Muara Terengganu sekitar jam 3.30 hingga 3.50 petang pada Khamis lalu.
"Kedua-dua vesel tersebut ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
"Seramai 20 orang kru termasuk tekong telah diperiksa, didapati tidak memiliki pengenalan diri yang sah serta melakukan aktiviti perikanan tampa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Nilai rampasan kedua-dua vesel terbabit dianggarkan berjumlah RM30 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut kru dan tekong berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
08 Jul 24
1156
Penjawat Awam Perlu Jaga Kerahsiaan Maklumat
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan menjaga intergriti dan memelihara kerahsiaan supaya tidak membocorkan maklumat kepada pihak ketiga khususnya melalui aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata justeru itu, penjawat awam perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu ghairah berkongsi sebarang maklumat sama ada dokumen atau keputusan yang masih dikategorikan sebagai rahsia dan sulit.
“Kita sebagai penjawat awam bertanggungjawab menguruskan pelbagai dokumen rasmi kerajaan termasuk dokumen-dokumen terperingkat seperti dokumen terhad, sulit, rahsia dan rahsia besar.
“Oleh yang demikian, melalui pelaksanaan program AKKP ini, kita dapat memastikan pengurusan kerahsiaan dokumen tersebut mengikut prosedur yang telah digariskan oleh kerajaan agar tiada kebocoran dan ketirisan maklumat yang akan memberi impak yang besar kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 20 orang penerima APC Bulanan WDI yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit dalam Wisma Darul Iman akan menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500.00 berserta sijil penghargaan.
Selain itu, sebanyak 22 jabatan di bawah Pentadbiran Negeri Terengganu yang telah menyertai Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) pada tahun lepas dan Terengganu merupakan negeri yang mempunyai penyertaan yang paling banyak di antara negeri-negeri yang lain turut menerima penghargaan.
Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya Raja juga meraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu di atas kejayaan menerima penarafan lima bintang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) 2023 dan Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting Tahun 2023.
08 Jul 24
375
406 Kilogram Sisa Sampah Berjaya Dikutip
KUALA TERENGGANU, 9 Julai- Sebanyak 406 kilogram (kg) sisa sampah berjaya dikutip menerusi Program Gelombang Kasih Sejagat di Pantai Tok Kita (belakang Sk Chendering), baru-baru ini.
Jumlah berkenaan dikumpulkan dalam program kolaboratif antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Geng Plastik Ija, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Universiti Malaysia Terengganu, Sekolah Kebangsaan Chendering dan komuniti setempat.
Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Zalina Zakaria berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai berkenaan serta menghapuskan kawasan pengumpulan dan pembakaran sampah haram di lokasi tersebut.
Jelasnya, usaha tersebut secara tidak langsung turut membantu kelestarian pantai Tok Kita sebagai lokasi tarikan terbaharu tempat ‘healing’ penduduk tempatan mahupun pelancong.
"Program kali ini disertai pelajar PJJ UUM, 10 orang ahli GPI, 7 orang pelajar UMT, 34 orang murid SMKSS serta 30 orang murid SK Chendering turut serta menjayakan program ini.
"Program sebegini akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya kawasan persisir pantai akan terjaga, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program terbabit.
Turut hadir bersama memeriahkan program berkenaan ialah Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.
08 Jul 24
173
Tambah Menara Telekomunikasi Baharu di Kawasan LPT2- Hanafiah
KUALA TERENGGANU, 8 Julai- Kerajaan negeri memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah projek pembinaan menara telekomunikasi khususnya di kawasan jajaran lebuh raya LPT2 bagi memperluas rangkaian internet di negeri ini.
Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia susulan kejayaan anak syarikat Theta Edge Berhad iaitu Theta Telecoms Sdn Bhd yang telah berjaya membina sebanyak 46 menara telekomunikasi baharu di Negeri Terengganu melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1.
Katanya, kerajaan negeri amat berharap usaha sebegini dapat diteruskan dan ditambah lagi memandangkan masih banyak kawasan lain yang memerlukan perhatian dari segi liputan telekomunikasi khususnya kawasan jajaran lebuh raya LPT2 selain kawasan-kawasan tumpuan pelancongan, dan juga kawasan luar bandar yang masih belum mempunyai liputan yang memadai.
"Kerajaan negeri melalui Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) akan sentiasa memantau dan membantu pelaksanaan berkenaan telekomunikasi bagi memastikan ia berjalan lancar.
"Pihak negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak yang terlibat bagi mencapai matlamat ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemuktamadan Penyerahan 46 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 di Menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, baru-baru ini.
Sementara itu Hanafiah yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam projek pembinaan 46 menara telekomunikasi baharu itu.
"Kami sangat menghargai usaha yang dilakukan terutamanya oleh MCMC dalam melaksanakan projek Universal Service Provision (USP) yang merangkumi inisiatif JENDELA, Major Contributor (MC), dan juga Clawback (CB).
"Projek-projek sebegini amat penting bagi
memastikan liputan telekomunikasi di kawasan ‘non-commercial’ dan jajaran lebuh raya dapat dipertingkatkan.
"Projek ini banyak memberi makna kepada Negeri Terengganu. Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui peningkatan infrastruktur," ujarnya.
08 Jul 24
347