lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pertandingan Kacau Bubur Asyura Libatkan 20 JPKK Bukit Payong 2024
Pertandingan Kacau Bubur Asyura Libatkan 20 JPKK Bukit Payong 2024
MARANG, 7 Julai 2024 – Pertandingan Kacau Bubur Asyura peringkat Ahli Dewan Undangan Negi Bukit Payong telah berlangsung dengan meriah dan dapat menarik penyertaan sebanyak 20 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari kawasan tersebut. Acara ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk semangat muhibah dan memperkukuh silaturahim di kalangan penduduk setempat. ADUN Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata melalui pertandingan yang diadakan itu menyaksikan Setiap JPKK menunjukkan kreativiti dan kemahiran dalam mengacau bubur Asyura itu yang merupakan makanan tradisional yang sering dimasak sempena ketibaan bulan Muharram.  "Acara seumpama ini menekankan pentingnya acara seperti ini dalam memperkukuh ikatan masyarakat dan memelihara tradisi budaya.  " Setiap JPKK membawa keunikan tersendiri dalam penyediaan bubur Asyura, dengan variasi resepi yang mencerminkan kekayaan budaya dan kreativiti penduduk,"ujarnya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang, di sini, baru-baru ini.  Ujarnya selain pertandingan, acara ini juga turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti kuliah maghrib dan sukaneka yang menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
14 Jul 24
266
Gerai Kuih Gong Kapas 'Pinor' Mata Nak Buat Pilihan
Gerai Kuih Gong Kapas 'Pinor' Mata Nak Buat Pilihan
KUALA TERENGGANU,14 Julai - Perasan tak sejak kebelakangan agak susah untuk mencari kuih tradisional? Bila dah jumpa, selalunya cepat habis dijual. Bahkan, kuih tradisional lagi laris dari kuih yang biasa kita jumpa. Mungkin keistimewaannya terletak pada cara pembuatannya membuatkan ia sukar dicari. Kepelbagaian kuih-muih tradisional yang dijual di Gerai  Kuih Tradisional Terengganu, Gong Kapas membuat siapa saja menjadi rambang mata, bukan saja penduduk tempatan tapi juga orang luar dan juga pelancong termasuk daripada luar negara yang datang ke Terengganu. Lebih 100 jenis kuih-muih tradisional dijual di gerai milik Tengku Ahmad Tengku Mohamad, 56, yang terletak di persimpangan lampu isyarat Jalan Panji Alam, Antara kuih tradisional yang boleh diperoleh di situ jala emas, seri kaya, akok, nekbat, tepung pelita, puding raja dan ada sesetengah kuih tradisional sukar diperoleh di tempat lain dan hanya dijual di sini. Menurut Tengku Ahmad, perniagaan itu diwarisi dari moyangnya, arwahTengku Awang Tengku Mahmud yang memulakan bisnes tersebut awal tahun 1970 dengan hanya menjual kuih muih menggunakan beca roda tiga di lokasi sekarang. “Selepas itu, bapa-bapa saudara saya ‘upgrade’ sedikit dengan membuka meja di tepi jalan depan gerai ini pada tahun 1980 an dengan lebih banyak pilihan kuih. “Apabila saya mula mengambil alih tahun pada tahun 1986, kami membina gerai dan di situlah perniagaan kuih mula berkembang dan menjadi tumpuan ramai,”katanya. Ujarnya, sambutan menggalakkan terhadap lebih 100 jenis kuih di gerainya membolehkan dia menjana pendapatan dari hasil komisen ke atas setiap kuih yang dijual. Menurutnya, kebanyakan pembeli bukan sahaja dalam kalangan yang berusia, malah golongan muda turut mengambil peluang mencuba kuih-muih tersebut. “Generasi kini mungkin tidak kenal dengan kuih hati sukma, koleh lemak atau lok lik, jadi saya manfaatkan kesempatan ini supaya mereka dapat merasai keenakan hidangan warisan kita,"ujar Tengku Ahmad lagi. Beliau berkata kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda kini lebih cenderung membeli kuih muih moden mengikut trend selain peniaga juga semakin kurang untuk menerima dan menjual kuih-muih tradisional meski pun ia masih ada peminat tersendiri. Justeru itu, kuih tradisional mutakhir ini semakin diancam kepupusan berikutan beberapa faktor. Bahan mentah sukar didapati, kehilangan petua memasak, tidak dipraktikkan dan proses penyediaan yang renyah dikenal pasti antara punca kuih tradisional ini berdepan risiko lenyap ditelan zaman.
14 Jul 24
520
Mahasiswa Terengganu Lapor Polis Terhadap Aktivis Politik
Mahasiswa Terengganu Lapor Polis Terhadap Aktivis Politik
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Video kontroversi yang melibatkan aktivis politik, Wan Hadi telah membangkitkan kemarahan dalam kalangan mahasiswa di Terengganu, khususnya mereka dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Presiden Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) Terengganu, Ahmad Baihaqi Mohd Fadzil berkata GAMIS bersama-sama dengan Siswa PAS Terengganu dan wakil persatuan mahasiswa UniSZA, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Hadi. Kenyataan tersebut, yang tersebar luas melalui media sosial, didakwa sebagai tohmahan yang merosakkan nama baik golongan ulama serta menggunakan platform tersebut secara tidak wajar. “Kenyataan ini bukan sahaja mengapi-apikan masyarakat tetapi juga menimbulkan ketidakselesaan yang besar di kalangan mahasiswa, terutamanya ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan akhir semester sekarang. “Laporan polis tersebut dibuat bagi memohon pihak berkuasa untuk menyiasat Wan Hadi di bawah Seksyen 499, 504, dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Baihaqi berkata pihaknya berharap agar tindakan segera diambil untuk memastikan isu tersebut diselesaikan dengan adil dan tidak menjejaskan keharmonian serta imej institusi pengajian tinggi di negeri ini. Pihaknya turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap impak kenyataan tersebut. “Video ini telah mencetuskan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan mahasiswa dan orang awam. Kami mendesak pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas terhadap Wan Hadi. “Dengan laporan polis yang telah dibuat, GAMIS Terengganu dan Siswa Pas Terengganu berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang telus dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya. Baihaqi turut menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini dengan baik. “Kes ini kini dalam siasatan pihak polis dan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa. “Mahasiswa UniSZA serta masyarakat umum diingatkan agar tidak menyebarkan spekulasi dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” jelasnya.
13 Jul 24
1429
Isu Setempat Dibawa Ke Kamar Khas
Isu Setempat Dibawa Ke Kamar Khas
KUALA LUMPUR, 14 Julai - Sesi Kamar Khas pada sidang parlimen telah dimanfaatkan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus dengan membawa isu-isu setempat di Kuala Nerus kepada pihak berwajib.  Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, antara isu yang dibangkitkan berkaitan cadangan tapak baharu Klinik Kesihatan Bukit Tunggal dan naik taraf jalan FT03 dari Kampung Pulau Rusa ke Bulatan Batu 6, Kuala Nerus. "Situasi kesesakan semasa di Klinik Kesihatan Bukit Tunggal, sehingga bangunan kuarters terpaksa dijadikan makmal klinik.  "Tempoh menunggu sehingga 2031 adalah terlalu lama dan ini memberi kesan yang amat besar terhadap kualiti perkhidmatan awam yang ditawarkan kepada rakyat Kuala Nerus.  "Oleh itu, bagi memastikan isu klinik kesihatan ini dapat diselesaikan lebih cepat dengan kos yang lebih rendah, saya ingin mencadangkan agar Klinik Kesihatan Bukit Tunggal dibina di atas tapak baharu di Kampung Banggol Pauh," katanya.  Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian dalam ucapan Kamar Khas Sidang Parlimen, baru-baru ini. Selain itu katanya, berkaitan naik taraf jalan FT03 dari Kampung Pulau Rusa ke Bulatan Batu 6, Kuala Nerus, yang juga melibatkan dua Jambatan yakni Jambatan Manir dan juga Jambatan Buluh Gading yang mana daripada dua lorong kepada empat lorong.  "Hal ini adalah untuk menyelesaikan isu kesesakan trafik yang teruk bermula di jambatan tersebut ekoran Kuala Terengganu Bypass dari Kuala Ibai mempunyai 'double carriageway' yang berakhir di Kampung Durian Burung. "Isu ini telah saya bawa sebagai usul Kamar Khas pada Tahun 2023. Namun jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu menyatakan cadangan projek ini telah dimohon pada Rolling Plan 4(RP4) "Namun sehingga kini, saya belum mendapat apa-apa maklumat terkini secara rasmi daripada pihak Jabatan Kerja Raya Negeri mengenai projek ini," katanya.                 
13 Jul 24
186
Skim Baja Rintis Perlukan Penelitian Lanjut
Skim Baja Rintis Perlukan Penelitian Lanjut
DUNGUN, 11 Julai- Kerajaan perlu membuat penelitian lanjut terhadap Skim Baja Rintis termasuk dari sudut apakah kebaikan skim tersebut kepada petani. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, Kementerian Pertanian dan keterjaminan Makanan telah membuat keputusan bahawa tiada lagi Skim Subsidi Baja Padi di beberapa kawasan jelapang padi. Katanya, kawasan tersebut adalah IADA Ketara Besut, KADA serta IADA Semerak Kemasin Kelantan, IADA Pulau Pinang dan IADA Barat Laut Selangor bagi musim ini. "Ia diganti Skim Baja Rintis dengan sistem tender terbuka. Syarikat yang berjaya akan uruskan semburan dan kerja-kerja tabur baja, maknanya urusan sembur dan tabur baja bukan lagi urusan pesawah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Ikan Lampam Ke Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, beberapa isu telah dibangkitkan pesawah di lapangan mengenai penggantian skim tersebut. "Antaranya siapa kontraktor yang dapat kontrak untuk sembur dan tabur baja dan berapa lama kontraktor dan pekerja mereka ada pengalaman 'buat padi'. "Selain itu, mereka turut bertanya apa jaminan kontraktor boleh buat campuran baja dan teknik tabur baja yang lebih baik berbanding pengalaman pesawah yang telah berpuluh tahun bergelumang selut dan lumpur," ujarnya. Katanya, para pesawah turut mempersoalkan mampukah kontraktor bagi jaminan mereka boleh menepati jadual pembajaan yang dikehendaki pesawah. "Berapa ramai mereka ada pekerja untuk menyelesaikan taburan baja kira-kira 5,000 hektar sawah padi IADA Ketara Besut, tidak termasuk lokasi lain lagi," ujarnya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Azman memberitahu, kenaikan harga diesel memberikan impak yang agak ketara kepada sektor pertanian.  "Contohnya kos untuk bajak seekar sawah dulunya RM120 tetapi kini telah naik kepada RM180, memang peningkatan yang agak mendadak. "Belum di kira kos-kos lain. Kita yakin kos lori padi, jentera-jentera pertanian yang menggunakan diesel turut meningkat," ujarnya.
11 Jul 24
253
57 Pelajar Cemerlang SPM Hulu Besut Diraikan
57 Pelajar Cemerlang SPM Hulu Besut Diraikan
Hulu Besut, 11 Julai - Seramai 57 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2023 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menerima imbuhan serta sijil penghargaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang hadir dalam majlis diadakan pada hari ini. "Sumbangan RM100 kepada pelajar yang mendapat 6A hingga 8A manakala rm200 yang mendapat 9A hingga 12 A. "Sumbangan ini tidaklah terlalu besar tetapi ini adalah sebagai tanda ingatan diatas usaha dan kejayaan yang diperolehi "Bersedialah untuk memulakan alam baru lepas SPM kerana perjalan masih jauh dan ini adalah permulaan untuk menuju sesuatu kenikmatan hidup menepuhi rintangan alam sebelum pekerjaan," ujarnya ketika ditemui pada majlis meraikan pelajar itu, di sini, hari ini.  Untuk rekod, Terdapat seorang pelajar cemerlang dengan keputusan 12 A, pelajar sekolah Menengah Imtiaz Besut dari Kampung Padang Baloh iaitu adik Nisrina Nazihah Abdullah Suhaimi.
11 Jul 24
281
Sasar Lepas 500,000 Benih Ikan Tahun Ini
Sasar Lepas 500,000 Benih Ikan Tahun Ini
DUNGUN, 11 Julai – Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu (Perikanan) menyasarkan untuk melepaskan 500,000 benih ikan air tawar ke perairan umum di Terengganu pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program pelepasan benih ikan itu membabitkan lokasi yang menjadi tumpuan nelayan serta kaki pancing. “Bagi tahun ini, kerajaan negeri menyusun 16 siri program pelepasan anak benih ikan di sungai dan tasik seluruh negeri ini dengan sasaran lebih 500,000 anak benih ikan air tawar pelbagai spesis.  “Ia dilaksanakan secara berperingkat di semua daerah dan dijadualkan akan berakhir pada September depan, setakat ini kira-kira 300,000 anak benih telah selesai dilepaskan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Ikan Lampam Ke Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun, di sini, hari ini. Program pelepasan 15,000 benih ikan lampan itu merupakan salah satu projek kelestarian oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Golden Pharos Berhad dengan kerjasama Perikanan bagi menjayakan program memperkayakan sumber perikanan darat. Mengulas lanjut Dr Azman berkata, menerusi program pelepasan benih ikan dapat dilihat berlaku peningkatan pendaratan hasil perikanan yang direkodkan nelayan darat. “Ia memberikan indikator dengan peningkatan hasil pendaratan pada tahun 2023 dalam 190 tan metrik berbanding tahun 2022 iaitu dalam 163 tan metrik,” ujarnya. Sementara itu katanya, program pelepasan anak benih ikan juga boleh dikembangkan menjadi produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dengan mewujudkan santuari ikan. “Ia boleh dilaksanakan dengan menggazetkan satu kawasan larangan menangkap ikan bagi tujuan melepaskan anak benih dengan pemuliharaan dan penjagaan yang secara tidak langsung ia boleh jadi satu sumber ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya. Tambah beliau, usaha tersebut setakat ini telah dilaksanakan di Lata Ulu Kasar, Setiu.  “Baru-baru ini kita telah lepaskan 700 anak benih ikan kelah merah di santuari tersebut dengan nama 'Santuari Ikan Sesohor Setiu' yang menjadi santuari ikan yang kedua selepas Tasik Kenyir. “Kita akan kembangkan lagi ke beberapa lokasi strategik di antaranya di Lata Tembakah, Besut yang strategik untuk diwujudkan santuari,” ujarnya.
11 Jul 24
436
RM1 Juta Peruntukan Segera Baik Pulih Kuarters IPD Marang
RM1 Juta Peruntukan Segera Baik Pulih Kuarters IPD Marang
MARANG, 10 Julai - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membaiki 20 daripada 166 kuarters di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah diumumkan dalam kunjungan dan ramah mesra Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian  Dalam Negeri (KDN) peringkat negeri Terengganu. Ujarnya, 20 unit kediaman anggota polis itu telah mengalami kerosakan sehingga tidak dapat didiami. "Apa yang kita kenal pasti adalah bumbung yang bocor itu membawa kepada syiling, cat pudar dan juga mengalami kerosakan lantai. "Sebab itu saya minta disegerakan sejumlah peruntukan dan Perdana Menteri telah mengumumkan satu juta, tekad kita dengan satu juta ini kita boleh segerakan pembinaanya dalam hujung September atau Oktober," ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini. Dalam perkembangan yang lain, Saifuddin menafikan telah mengeluarkan arahan penutupan balai polis selepas 10 malam. Katanya, penutupan hanya membabitkan pintu pagar dan bukannya balai polis. "kita ada sebanyak 810 balai polis dan 127 IPD di seluruh negara, penutupan pintu pagar ini hanya membabitkan kawasan berisiko tinggi," ujarnya.  
10 Jul 24
533
Tiada Bukti Tiang Surau Tokku Paloh Tempat Bersandar Nabi Khidir
Tiada Bukti Tiang Surau Tokku Paloh Tempat Bersandar Nabi Khidir
KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan tiada bukti sahih yang mengesahkan sebatang tiang di Surau Tokku Paloh sebagai tempat bersandar Nabi Khidir AS. Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan itu setelah tular satu video yang bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu’ yang telah menarik perhatian ramai sejak Ahad lalu. “Sehingga kini tidak terdapat bukti yang sahih untuk menyokong kewujudan tiang tersebut sebagai tempat bersandar Nabi Khidir,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Sementara itu, cicit Tokku Paloh, Syed Khairuldin Syed Mustafa menafikan kesahihan video tersebut. Beliau yang juga merupakan Imam Surau Tokku Paloh itu menyatakan bahawa video itu kemungkinan diambil kira-kira lima hingga enam tahun lalu. "Ini berdasarkan beberapa unsur seperti kertas yang telah lama dibuang dari dinding surau, tetapi masih kelihatan dalam video tersebut, menunjukkan bahawa video itu memang lama," katanya. Tambahnya lagi, beberapa perubahan struktur bangunan seperti wakaf di hadapan surau dan atap kolah yang sekarang sudah ada, tetapi pada masa penggambaran video tersebut, struktur ini belum wujud. “Individu yang membuat kenyataan dalam video tersebut tidak dikenali, menimbulkan keraguan tentang asal usul maklumat yang disampaikan,” ujarnya. M Rozi menambah bahawa JHEAT akan terus menyiasat kes ini secara teliti sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi.
10 Jul 24
1904
Pentingnya "Huffaz" Dalam Masyarakat
Pentingnya "Huffaz" Dalam Masyarakat
KUALA NERUS, 10 Julai - Kerajaan negeri sentiasa melihat kepentingan dan peranan para Hafiz dan Hafizah (Huffaz) di kalangan masyarakat dalam memperkasakan pendidikan golongan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, gelaran itu bukan sahaja membawa kemuliaan di sisi Allah tetapi juga menunjukkan dedikasi tinggi dalam menjaga kesucian Al-Quran. Katanya, dalam sejarah Islam, peranan "huffaz" telah terbukti krusial, terutama ketika zaman Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang mana ramai huffaz syahid di medan perang, sehingga mendorong usaha pembukuan Al-Quran untuk memastikan kelestariannya dan diteruskan juga di zaman Khalifah Uthman bin Affan. "Jika dulu dilihat kurangnya minat masyarakat untuk menghantar anak ke institusi pondok. Malah ada stigma jika anak yang kurang pandai dalam akademik, maka akan dihantar ke pondok untuk belajar agama dan Al-Quran.  "Sejarah tercipta apabila Maahad Tahfiz Negeri Pahang dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik SPM 2023 peringkat kebangsaan yang lepas.  "Kita amat berbangga terutamanya lepasan pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) berjaya mencatatkan keputusan cemerlang di dalam SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Himpunan Huffaz 4.0 Negeri Terengganu Darul Iman di Dewan Arena Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini. Selain itu, Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu Darul Iman yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. "Para huffaz ini diberi peluang untuk berbakti dalam kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas Al-Quran atau fardhu ain secara sukarela.  "Kita mengharapkan agar dengan adanya program seumpama ini dapat meningkatkan celik ilmu agama di dalam masyarakat, terutamanya golongan muda kita," ujar beliau. Tambahnya, kerajaan negeri turut memastikan kebajikan dan keperluan anak-anak huffaz dijaga sebaik mungkin, agar mereka dapat meneruskan tanggungjawab menjaga dan menghafal Al-Quran dengan komitmen penuh. "Saya mengharapkan agar kita semua dapat menjadikan program tahunan ini medan untuk menjalinkan ukhuwwah, menimba ilmu dan pengalaman. "Serta muhasabah untuk menjadikan kita sebagai hamba yang sentiasa dekat kepada Pencipta," katanya.
10 Jul 24
249