Artikel "Semasa" Terkini
Perumahan Terbengkalai Gong Chempedak dalam Perhatian Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 16 Julai – Isu perumahan terbengkalai di Kampung Gong Chempedak , di mana projek perumahan yang mencatat kemajuan 47.54 peratus itu tergendala akibat masalah dengan pihak pemaju kini dalam perhatian kerajaan negeri
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri serta pihak kerajaan tempatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan pertemuan bersama dengan para pembeli Perumahan Swasta di Wisma Darul Iman petang semalam.
Menurutnya, pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah penyelesaian bagi mengatasi kesulitan yang dihadapi dalam projek perumahan tersebut
“KPKT melalui Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta (BPPS), telah mengambil langkah proaktif dengan merancang perlantikan kontraktor penyelamat untuk menyiapkan projek berkenaan.
“Permohonan bagi proses kerja ini telah diajukan kepada YB Menteri KPKT pada bulan Mei 2024,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya semalam.
Wan Sukairi berkata dengan jangkaan kelulusan yang diharapkan, BPPS, KPKT akan menjalankan penyelarasan antara kontraktor penyelamat, pihak bank, dan pembeli perumahan untuk memastikan penyelesaian projek dilakukan secara berkesan dan bersepadu.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus mengangkat isu berkenaan kepada YB Menteri KPKT bagi memastikan tindakan segera dapat diambil demi kepentingan semua pihak yang terlibat.
“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan berusaha sedaya upaya dalam menangani isu projek perumahan yang terbengkalai di Kampung Gong Chempedak, Marang itu.
“Dengan harapan untuk membawa penyelesaian yang memuaskan bagi pembeli dan komuniti setempat,” ujarnya.
15 Jul 24
1150
Kerjasama Dua Negeri dalam Pembangunan Wanita
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Satu kerjasama dan penyelarasan di antara Kelantan dan Terengganu dalam hal ehwal berkaitan pembangunan wanita bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim berkata beliau berhasrat untuk menyatukan antara negeri Terengganu dan Kelantan dan menggabungkan dua dasar untuk memudahcarakan dasar itu diperturunkan kebawah.
"Jadi, kami telah mengadakan satu usaha sama dan perbincangan serta insya Allah, akan adakan program dipanggil projek untuk memudahkan cara dasar wanita di peringkat bawah (akar umbi) di dua buah negeri," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas lawatan kerja ke Terengganu di Kediaman Sri Iman, Batu Buruk, pada hari ini.
Menurutnya, beliau turut membincangkan untuk penambahbaikan dan memperluaskan lagi isu berkaitan dasar tersebut ke dua buah negeri lagi iaitu Perlis serta Kedah yang dikenali SG4.
"Insya Allah, semoga dasar yang kami rancang di Kelantan dan Terengganu dapat direalisasikan.
"Bukan sekadar dasar sahaja, tetapi (juga) diperturunkan (ke peringkat) bawah dengan mempermudahkan ayat-ayat dasar untuk masyarakat serta merakyatkan dasar ini.
Beliau menambah, di negeri Kelantan mempunyai tiga dasar utama iaitu pertama, dasar membangun bersama Islam, kedua, dasar rakyat bersama Islam dan ketiga, dasar penghayatan.
"Dasar-dasar ini telah diturunkan ke peringkat akar umbi dan, insya-Allah, akan dihayati serta dilaksanakan oleh rakyat Kelantan," tambah beliau.
15 Jul 24
255
Video Tiktok MB Terengganu Dipadam Tanpa Sebab
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kebebasan bersuara di bawah kerajaan hari ini terus menjadi tanda tanya apabila hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu dipadam tanpa sebarang notis dan alasan.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, beliau terkejut selepas melihat senarai video yang dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).
“Antara video yang dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, 'Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan).
Antara video yang dipadam.
"Selain itu, video majlis Perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park (900 ribu tontonan) dan meraikan kunjungan hormat Duta Qatar (300 ribu tontonan) turut dipadam.
“Banyak lagi video lain yang dipadam terus, rata-rata tontonan sudah mencecah 500 ribu hingga 1 juta, ini kejadian sangat pelik dan saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku.
“Tambah lagi semua video terbabit tiada unsur provokatif atau menyakitkan hati mana-mana pihak, ia hanya dengan fakta, harapan dan perkembangan negeri serta kerajaan negeri,” katanya kepada media hari ini.
Program bersama Duta Qatar.
Menurut Mohd Harun, beliau difahamkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar (SAMB) Terengganu telah memohon penjelasan rasmi daripada pihak TikTok, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
“Kita harap isu ini ada penjelasan segera daripada pihak berwajb, jangan baling batu sembunyi tangan,” tegasnya.
Jelas beliau lagi, pihak SAMB turut memaklumkan bahawa penggunaan X (twitter) Ahmad Samsuri juga mengalami kesukaran akses.
“Video yang dimuat naik hilang secara tiba-tiba dan tidak dapat dilihat oleh orang ramai, ini juga menghairankan saya,” ujarnya.
Video perkongsian Aunty Amy Chua.
Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa mendukung dan mempertahankan hak serta kebebasan media dalam memberi teguran dan kritikan, malah semangat itu kekal sejak prakemerdekaan negara.
"Pendirian saya dan rakan-rakan dalam jemaah menteri, tiada tindakan diambil atau kawalan terhadap ruang kebebasan wartawan dan media memberi pandangan, teguran dan kritikan.
"Saya beri jaminan semangat (kebebasan media) itu kekal, walaupun timbulkan sedikit keresahan kerana ketegasan kita (kerajaan) tangani isu terkait dengan keselamatan, fahaman cauvinisme (patriotisme melampau) dan perkauman, atau aliran pelampau agama,” katanya.
15 Jul 24
13813
JKNT Nafi Peningkatan Kes Rotavirus
KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan yang tular kononnya terdapat peningkatan kes rotavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, ini berdasarkan siasatan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu mendapati hanya dua kes sahaja yang telah disahkan mendapat jangkitan rotavirus di HSNZ pada Minggu Epidemiologi ke-28 (7 Julai 2024 hingga 13 Julai 2024).
“Kedua-dua kes berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di HSNZ.
“Sehingga kini, tiada peningkatan kes rotavirus di HSNZ seperti yang ditularkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan terkini kejadian jangkitan rotavirus serta penyakit-penyakit berjangkit yang lain, disamping meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan yang berterusan.
Menurut Dr Kasemani, Rotavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan sistem pencernaan.
“Rotavirus boleh berjangkit apabila termakan najis individu yang dijangkiti (faecal-oral) sama ada melalui air atau makanan yang tercemar, sentuhan secara langsung dengan individu yang dijangkiti, atau melalui alat permainan, peralatan, dan permukaan yang tercemar.
Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengambil makanan dan minuman yang selamat.
“Pastikan basuh tangan setiap kali selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak, sebelum makan, dan sebelum menyediakan makanan dan minuman.
“Orang ramai juga perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya bergejala,”jelasnya.
15 Jul 24
240
Kos Ternak Madu Kelulut Rendah Mampu Jana Pendapatan
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 15 Julai - Memandangkan kos untuk menternak madu kelulut adalah rendah, seorang pemuda mampu menjana pendapatan sampingan sehingga menjadi usahawan muda.
Mohd Sollehuddin Mohd Hussain, 38 yang bertugas sebagai jurutera di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) memulakan ternakan madu kelulut ini sejak lapan tahun lepas, tetapi mengusahakannya secara serius sejak setahun yang lalu.
"Madu Kelulut ini kos penyelenggaraannya sangat rendah, sebab itulah boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan saya.
"Dengan bermodalkan RM10, 000, saya membangunkan perniagaan sampingan ini dengan 20 sarang dan perangkap yang dibuat sendiri," ujarnya.
Beliau yang tinggal di Kampung Durian Guling, Binjai Rendah berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Darul Iman (UPDI) Daerah Marang baru - baru ini.
Katanya, dengan berbekalkan 20 sarang pada peringkat permulaan di Binjai Rendah, beliau merancang akan membuka dalam setahun, sebuah ladang di beberapa tempat lain lagi.
"Saya pasarkan madu kelulut ini di media sosial iaitu 'facebook' dan juga kepada kenalan rapat ," katanya.
Beliau yang banyak menimba ilmu berkenaan menerusi pembacaan dan 'kumpulan' di media sosial yang juga mengusahakan madu kelulut.
"Bagi yang ingin memulakan perniagaan madu kelulut, bolehlah dapatkan maklumat lanjut dengan Jabatan Pertanian," jelasnya.
15 Jul 24
425
Sedia Tarik Pelabur Asing Teroka Industri Tani di Terengganu
MARANG, 15 Julai – Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan para pelabur asing yang berminat dan bersedia untuk melabur ke Terengganu bagi melihat, membangunkan sektor pertanian berpotensi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, namun begitu mereka perlu patuh kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Katanya, tiga soalan utama akan diberikan apabila ada pelabur yang datang mengemukakan ‘proposal’ atau cadangan projek iaitu nyatakan apa yang pelabur nak buat, kedua apa yang kerajaan negeri perlu bantu dan apa yang rakyat Terengganu boleh dapat manfaat.
“Setiap negara kita tak boleh lari daripada foreign direct investment (FDI)sebab pelabur ini mereka datang bawa modal, teknologi, kemahiran baru dan juga membuka peluang pekerjaan.
“Setakat ini alhamdulillah pelabur asing dalam pertanian kita berada di atas landasan yang tepat. Contohnya pelaburan asing daripada McCormick Global penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong seluas 600 hektar, mereka patuh kepada apa yang telah kita persetujui bersama dalam MoU.
“Antaranya peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, syaratnya dibina kilang bagi kita tambahkan ruang dan peluang pekerjaan,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Ayam Dinsan, Kampung Temala, hari ini.
Justeru itu katanya, dari konteks kerajaan negeri, rakyat tempatan, daripada kalangan kebanyakan disantuni, dalam masa yang sama pengusaha dan pelabur asing juga dialu-alukan sebab tidak boleh bergantung kepada satu sektor sahaja tapi perlu bergantung kepada banyak perkara cabang untuk membangunkan Terengganu.
Dr Azman juga berkata, ini membuktikan bahawa rakyat tidak disisihkan sebaliknya kerajaan negeri menyediakan sokongan modal untuk rakyat tempatan melalui skim pinjaman modal tani dan pelbagai bantuan teknikal.
“Kita bercakap dengan pelabur jangan campur aduk dengan fokus kita untuk bantu usahawan tempatan, kedua-dua ini kita tidak boleh abaikan dan mesti berjalan serentak,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan bahawa selain McCormick, kerajaan negeri kini sedang menerima beberapa pelabur yang genuine investor.
“Kita sedang menerima beberapa pelabur yang saya istilahkan datang dengan proposal jelas tentang perancangan bisnes dan ada syarikat daripada Korea yang datang untuk buka ladang ternakan ayam bersekali dengan ladang solar yang kita panggil agrivoltaic termasuk pelabur yang datang untuk buat ladang lada besar-besaran pun kita tengah proses.
“Yang terbaru ada satu syarikat yang datang untuk buat ternakan ikan talapia secara komersial di Tasik Kenyir dalam bentuk sangkar dan kita telah buat perbincangan awal lawatan tapak.
"Kerajaan negeri dalam proses pengezonan sebahagian daripada kawasan di tasik kenyir sebagai zon industri aquaculture bagi kita memudahkan lagi untuk usahawan pelaburan masuk dan memanfaatkan keadaan geografi tasik kenyir itu bagi pengembangan industri aquaculture,”ujarnya.
15 Jul 24
995
ADUN Belia Agih 1,000 Bekas Bubur Asyura
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 14 Julai - Sebanyak 1,000 bekas bubur asyura telah diagihkan kepada jemaah masjid dalam Program Kacau Bubur Asyura 2024 yang berlangsung dengan meriah di Masjid Tebauk, Bukit Tunggal.
ADUN Belia Seberang Takir, Syukran Afifi, berkata, aktiviti itu bukan sahaja menyemarakkan lagi semangat keagamaan tetapi juga menyuburkan nilai kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama manusia.
"Program ini bertujuan untuk memperingati hari kebesaran Islam dan sudah menjadi acara tahunan bagi masyarakat di Malaysia untuk menyediakan bubur Asyura serta mengagihkannya bagi meraikan ketibaan bulan Muharram.
“Program ini merupakan satu bentuk solidariti dan kebersamaan dalam memperingati peristiwa penting umat Islam,” kata Syukran.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi ADUN Belia, Muhammad Fakhruddin Nordin merupakan ADUN Belia Kemasik, berkata program tersebut merupakan salah satu usaha untuk mengekalkan tradisi dan budaya yang telah diwarisi sejak sekian lama.
“Diharapkan agar Urus Setia Beliau Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) dapat memperluaskan program seperti ini di setiap DUN bagi menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat,” ujar Muhammad Fakhruddin.
Beliau menambah, aktiviti yang dianjurkan oleh ADUN Belia Terengganu berkolaborasi beberapa pertubuhan antaranya Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, UBSNT, Masjid Tebauk dan JPKK Taman Perumahan Bukit Tunggal.
14 Jul 24
298
16 Pulau Buatan Dibina di Kawasan Hakisan Pantai
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Kerja-kerja membina 16 pulau buatan di kawasan hakisan pantai di Kuala Terengganu sedang giat dijalankan sebagai langkah proaktif untuk mengawal hakisan yang semakin kritikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kawasan pantai tersebut sering berdepan dengan masalah hakisan yang serius setiap kali tiba musim tengkujuh.
"Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk melindungi pantai daripada terus terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengikuti taklimat Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus yang diadakan di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, baru-baru ini.
Taklimat tersebut turut dihadiri ADUN Batu Rakit, Shafizi Ismail, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Nerus dan Ahli Lembaga Pengarah GPQ Sdn Bhd.
Hishamuddin berkata, projek itu adalah harapan penduduk yang telah sekian lama menantikan langkah penyelesaian bagi masalah hakisan pantai.
“Walaupun ia tidak akan memulihkan keadaan pantai seperti sediakala, ia dijangka memberi kesan positif kepada penduduk sekitar,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, menjelaskan bahawa bahan binaan untuk projek tersebut termasuk batu-batuan yang dihantar menggunakan tongkang kargo dari Kemaman serta jalan darat.
“Beberapa pulau dijangka siap sebelum musim tengkujuh yang akan datang, khususnya di lokasi-lokasi yang paling kritikal,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa beberapa isu berbangkit yang telah merencatkan perjalanan projek telah dikenal pasti dan akan ditangani segera untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.
“Projek ini mendapat sokongan penuh dari penduduk setempat yang berharap ia akan memberikan perlindungan yang berkesan terhadap hakisan dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Perkembangan lanjut mengenai projek ini akan terus dipantau dan diumumkan kepada orang awam dari semasa ke semasa,” ujarnya.
14 Jul 24
2772
Industri Nyahkarbon Beri Pulangan Lumayan Buat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 JULAI - Projek industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang bakal dilaksanakan di Kerteh, Kemaman akan menghasilkan pulangan lumayan buat rakyat, negeri dan negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah segera bagi menjayakan perancangan itu telah diambil termasuk dengan mengadakan libat urus bersama Kementerian Ekonomi dan pelbagai jabatan serta agensi di peringkat negeri dan persekutuan.
Katanya, manfaat industri CCUS amat besar dan penting bagi Terengganu kerana ekosistem yang dibuat akan menjana pendapatan baharu.
“Di peringkat kerajaan negeri melalui entiti GLC, kami telah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas terlibat menjadi rakan kongsi dalam CCUS.
“Tugas kita ialah pastikan kerajaan sediakan semua kerangka jadi pihak swasta melaksanakan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Kerajaan negeri Terengganu mengenai pelaksanaan inisiatif CCUS, di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa CCUS adalah projek rintis dalam pelan peralihan tenaga negara, dengan Terengganu sebagai negeri peneraju kerana potensi besar dalam industri minyak dan gas di Kerteh.
“Di peringkat Kerajaan Persekutuan kami sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang untuk dibentangkan dalam bulan November 2024 dan keputusan mengenai pelaburan dibuat selepas rang undang-undang itu dimuktamadkan.
“Perbincangan dengan pelabur dan pelanggan antarabangsa sedang berjalan serta keputusan besar kemungkinan akan dapat dimuktamadkan dalam tahun 2025.
“Tetapi kita sedia maklum pelaburan untuk setiap satu fasiliti CCUS yang lengkap daripada terminal sampai ke luar pesisir pantai selalunya dalam lingkungan RM20 bilion.
“Jadi itu sebenarnya potensi yang ada untuk pelaburan kesat limpahan ekonomi kepada Terengganu, kalau kita berjaya susun dengan baik,” ujar Rafizi.
Beliau menambah, empat buah negeri dikenal pasti berpotensi besar untuk memanfaatkan teknologi pembangunan sektor CCUS di negara ini.
“Perancangan kita melibatkan empat tapak dan potensi yang ada adalah setakat ini melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak jadi Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan empat buah negeri untuk memastikan semua berjalan baik.
“Kita memastikan dalam perancangan CCUS peringkat nasional semua berada dalam keadaan baik supaya pelanggan daripada luar negara boleh menilai kemajuan dan potensi projek ini,” tambah beliau.
14 Jul 24
1181
Anak Syarikat Terengganu Diiktiraf Lima Syarikat Perladangan Terbaik
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah tersenarai antara lima syarikat perladangan terbaik di Malaysia selepas mendapat penarafan tiga bintang dalam siri indeks FTSE Bursa Malaysia.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata pencapaian itu diumumkan susulan semakan separa tahunan yang dilakukan pada bulan Jun 2024.
“Dalam penarafan ini, TDM berjaya mengungguli 39 syarikat perladangan lain yang tersenarai, sekaligus menempatkan diri sebaris dengan syarikat-syarikat ternama seperti KLK Berhad, IOI Corporation, SD Guthrie Berhad dan TH Plantations Berhad.
“Pada bulan Disember 2023, TDM buat pertama kalinya disenaraikan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia dan Indeks Shariah FTSE4Good Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.
Tambah Najman, semakan tersebut memberikan TDM penarafan dua bintang daripada empat bintang bagi penggredan untuk persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).
Namun begitu, dalam semakan terbaru pada Jun 2024, TDM telah berjaya meningkatkan penarafannya kepada tiga bintang.
“Penarafan ini amat penting bagi TDM dalam usaha mendapatkan kepercayaan dan keyakinan daripada pihak berkepentingan termasuk pelabur, pelanggan, pekerja dan komuniti yang lebih luas.
“Pencapaian ini juga menjadi tanda aras untuk syarikat dalam mengejar kelestarian dan kejayaan jangka panjang dengan terus menambah baik amalan ESG sebagai teras perjalanan syarikat,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak, termasuk kakitangan Kumpulan TDM, rakan niaga, pelanggan dan semua yang mendukung perjalanan kejayaan tersebut.
“Kami komited untuk terus berusaha meningkatkan amalan ESG dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha keras dan dedikasi TDM dalam memastikan operasi perladangan mereka memenuhi standard tertinggi dalam aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus,” ujarnya.
14 Jul 24
3673