Artikel "Semasa" Terkini
Masalah Petani Telaga Nibong Temui Penyelesaian
KUALA LUMPUR, 17 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, telah mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah yang dihadapi petani yang menanam padi di Kawasan Pertanian Air (KPA) Gong Lawang, Telaga Nibong kesan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Katanya, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwish Abdul Razak, serta wakil daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (IADA KETARA), Ketua Jurutera Projek, Encik Ahmad Tarmizi, di Pejabat CEO MRL SDN BHD, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"Hasil perbincangan ini telah membawa berita baik kepada para petani yang terjejas. Masalah mereka telah mendapat perhatian serius dan menemui jalan penyelesaian yang akan dilaksanakan secepat mungkin ini merupakan berita baik buat petani yang terlibat," ujarnya.
Dalam pada itu katanya Datuk Seri Darwish juga telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan kunjungan ke Hulu Besut.
"Kunjungan ini amat dialu-alukan dan dijangka akan memberi keutamaan pekerjaan kepada penduduk sekitar apabila Projek ECRL siap kelak.
"Ini adalah langkah positif yang diambil dalam memastikan kepentingan dan kesejahteraan petani terus terjaga," ujarnya.
17 Jul 24
195
MBKT Tutup, Kompaun Premis Urut Haram
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertindak menutup dan mengenakan kompaun kepada sebuah pusat urut di Dataran Emas, Jalan Sultan Sulaiman di sini kerana beroperasi secara haram.
Datuk Bandar MBKT, Dato’ Rosli Latif berkata, tindakan itu diambil selepas 11 penguatkuasa MBKT menyerbu premis urutan tradisional berkenaan sekitar jam 11 malam kelmarin.
Kata beliau, pihaknya telah merampas dan menyita beberapa barangan termasuk enam buah tilam, tujuh helai cadar dan tuala, sehelai seluar pendek dan satu set alatan urut.
“Dalam serbuan itu juga kita dapati ada enam warga Thailand yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut dan seorang penjaga kaunter.
"Premis berkenaan dikenakan denda maksima berdasarkan kuasa kami, sebanyak RM1,000 di bawah undang-undang kecil perlesenan tred perniagaan dan perindustrian 2013.
“Sekiranya denda ini tidak dibayar, pemilik premis berkemungkinan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM2,000 jika dibawa ke mahkamah.
“Pemilik premis juga diberi tempoh 30 hari untuk menuntut kembali barangan yang dirampas, jika tidak, barangan tersebut akan dilelong. Suka saya ingatkan, MBKT tak akan berkompromi terhadap sesiapa yang melanggar tatasusila dan undang-undang kerajaan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam.
Tambah Rosli, premis milik bukan islam itu tidak akan dibenarkan beroperasi lagi.
Menurut beliau lagi, operasi kelmarin berjaya membuahkan hasil selepas dua bulan MBKT menjalankan intipan.
“Pada malam serbuan, kebetulan terdapat pelanggan yang ingin memasuki premis, ini memberikan peluang kepada pihak penguatkuasa untuk bertindak.
“Ketika serbuan ada tiga pelanggan yang berada di dalam premis tersebut,” katanya.
Mengulas laporan Kosmo mengenai 14 wanita Thailand yang bekerja sebagai pelayan pelanggan didenda RM700 gara-gara menyalahguna pas lawatan sosial, beliau berkata kes berkenaan merupakan kes lama.
“Saya sudah merujuk isu ini dengan Polis Kuala Terengganu, kes itu sekitar Mei lalu, yang keluar dalam Kosmo setelah selesai perbicaraan dan hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.
“MBKT juga sudah memeriksa premis itu dalam beberapa hari dan kami boleh sahkan bahawa premis berkenaan sudah ditutup sepenuhnya," ujarnya.
17 Jul 24
2095
Surah Al- Jumuah Beri Panduan Dalam Pembangunan Sosial
KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Pemilihan Surah Al-Jumuah dalam Program Terengganu Bertadabbur Siri II amat bertepatan dalam memberi panduan kepada cabaran dalam kehidupan sosial yang dihadapi umat Islam pada masa kini.
Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, dalam konteks semasa surah berkenaan memberikan makna yang cukup signifikan kerana berupaya mengubah kerangka fikiran dan karakter muslim dalam aspek sosial.
“Surah Al-Jumuah ini sangat tepat untuk kita jadikan sebagai model ikutan kerana ayat pertama disebutkan kepada kita adalah tentang bertasbih dan berzikir kepada Allah, juga ayat ke-11 iaitu ayat terakhir surah menyebut sedemikian rupa.
“Jadi isu sosial yang agak ketara dalam masyarakat pada hari ini adalah berkaitan dengan masalah mental termasuk kemurungan dan penagihan dadah kemungkinan disebabkan tidak beroleh ketenangan.
“Antara yang disebutkan dalam ayat pertama surah ini jika sekiranya kita hendak mencari ketenangan, hendaklah kita dekatkan diri dengan al-quran dan banyakkan berzikir,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Mengulas lanjut katanya, ayat ini turut menyatakan mengenai kepentingan zikir kepada umat Islam dalam mencari ketenangan hakiki daripada Allah.
“Dalam ayat pertama (surah) ini meminta kita banyakkan zikir, yang pentingnya zikir itu, kita hendak galakkan umat Islam dengan al-quran dan banyakkan berzikir supaya terus mendapat ketenangan dan insya-Allah segala penyakit mental, jiwa dan sebagainya akan terhapus.
“Bukan saya katakan zikir sahaja boleh menyelesaikan masalah, tetapi antara amalan atau perkara yang boleh diusahakan,” ujarnya.
17 Jul 24
131
Kenapa Padam, Apa Salah MB Terengganu?
Selepas tular berita video di Tiktok Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dibuang daripada platform media terbabit tanpa sebarang sebab, timbul pelbagai tanda tanya daripada kalangan rakyat.
Rata-rata mereka mempersoalkan mengapa ia dipadamkan, sedangkan semua video tidak memburukan atau memprovokasi pihak tertentu, apatah lagi menghina kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Lebih memeranjatkan, satu daripada belasan video yang dipadam adalah penceritaan berkait dengan perpaduan kaum dan agama yang wujud di Terengganu oleh seorang warga emas berbangsa cina.
Warga emas yang mesra disapa dengan panggilan Aunty Amy Chua itu berkata, beliau sangat sedih apabila dimaklumkan video yang sudah mencecah 5.9 juta tontonan lesap sekelip mata.
Katanya, dia merasa amat pelik sedangkan ucapannya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
"Kali terakhir 'aunty' semak ada 5.9 juta tontonan, sebab hari-hari 'aunty' balas komen orang.
"Tiba-tiba hilang macam tu saja, sedih memang sedih," katanya ketika membalas komen di laporan berkait video terbabit.
Dalam video itu, Aunty Amy menegaskan, dia dan rakan-rakan bukan islam yang lain tidak pernah sesekali dipaksa menukar agama atau masuk islam.
"Kami bebas mengamalkan agama kami, tokong-tokong di sini pula ada seperti biasa, tak pernah diroboh oleh kerajaan hari ini.
"Agama kami bebas diamalkan. Apa yang timbul hanya cerita tak betul yang dimainkan pihak tertentu," katanya.
Hasil semakan juga mendapati video yang dipadam rata-rata mempunyai tontonan antara 500 ribu hingga 1 juta.
Jelas sekali rakyat berhak tahu apa sebenarnya berlaku? siapa yang baling batu sembunyi tangan? adakah Menteri Besar Terengganu menjadi ancaman kepada orang ramai? adakah ia sebab teknikal? Hanya pihak berautoriti yang tahu.
Saya percaya Kerajaan Persekutuan juga tidak merestui perbuatan ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah watak yang cukup lantang bercakap soal kebebasan media.
Bahkan, Anwar juga mahu perpaduan kaum diangkat sejajar dengan dasar kerajaan madani.
Justeru, apa yang dipaparkan dalam video di TikTok Ahmad Samsuri mengenai perpaduan yang wujud antara kaum melayu, cina dan india di Terengganu wajar disebarluaskan, bukan dipadam.
Ini bagi juga bagi menutup mulut segelintir pihak yang mengatakan tidak wujud perpaduan kaum di bawah pemerintahan selain kerajaan madani.
Akhir kata, perkara yang patut dipadam adalah tindakan ‘tangan-tangan’ ghaib yang cuba memadam fakta sebenar.
Muhammad Husaif Mamat,
Ketua Editor TRDI News.
17 Jul 24
574
Isu ‘Tiang Nabi Khidir Bersandar’ Tidak Dibawa Ke Panel Jawatankuasa Fatwa- Mufti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Isu dakwaan tiang yang menjadi tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu ulama tersohor Terengganu, Tok Ku Paloh tidak akan dibawa ke Panel Jawatankuasa Fatwa.
Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Pegawai Penguatkuasa Syariah telah pergi ke surau berkenaan yang terletak di Kampung Paloh, di sini untuk melakukan siasatan dan mendapati tiada bukti yang menjelaskan tiang surau itu pernah menjadi tempat bersandar Nabi Khidir seperti diviralkan.
“Ada penguatkuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu yang telah pergi ke sana dan didapati bahawa perkara tersebut tidak benar.
“Pada zaman Tok Ku Paloh dulu tidak timbul cerita ini, anak-anak ulama tersohor itu sendiri pun sudah meninggal dunia, jadi tidak ada saksi yang boleh menjelaskan perkara ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Mengulas lanjut katanya, video mengenai tiang surau dijadikan tempat bersandar Nabi Khidir itu dipercayai dirakam dan ditimbulkan pemandu pelancong yang membawa sekumpulan pengunjung dari luar Terengganu sehingga menimbulkan isu tersebut.
Katanya, Jabatan Mufti negeri tidak boleh mengesahkan kerana tiada bukti yang menunjukkan perkara itu berlaku.
“Dari sudut keluarga Tok Ku Paloh sendiri menafikan perkara ini dan kita tidak boleh hendak mengesahkan perkara ini kerana tidak ada bukti yang menunjukkan perkara tersebut berlaku.
“Bagi pihak kita, sekiranya ada apa-apa isu yang di bawa ke jabatan mufti, akan ada panel jawatankuasa yang akan mengesahkan.
“Tetapi dalam hal ini tidak perlu dibawa kepada Panel Jawatankuasa Fatwa kerana perkara ini sudah jelas dilihat bahawa dari sudut penguatkuasaan didapati tidak ada bukti-bukti yang menjelaskan tentang apa yang berlaku dalam viral tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, video berdurasi 2 minit 58 saat yang di muat naik seorang inivididu menerusi aplikasi Tik Tok bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu' kembali ditularkan baru-baru ini.
Video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkunjung ke sebuah surau didakwa berada Makam Tok Ku Paloh di Kuala Terengganu.
Beberapa pengunjung dilihat diberi penerangan oleh seorang lelaki selain terdapat pengunjung yang menunaikan solat serta mengusap tiang yang didakwa menjadi tempat Nabi Khidir bersandar.
17 Jul 24
155
Lebih 300 Polis Kawal Perlawanan Separuh Akhir Piala FA Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Polis akan menempatkan seramai 351 orang pegawai dan anggota bagi menjaga serta mengawal ketenteraman awam dan keselamatan perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ia bagi memastikan perlawanan tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan berlaku.
Justeru itu katanya, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan agar mematuhi sepenuhnya garis panduan dan S.O.P (standard operating procedure) terhadap kawalan keselamatan di stadium sepertimana yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium dengan melakukan pemeriksaan badan mahupun beg.
“Penonton tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti mercun / bunga api / suar (flare) / dinamit, topi keledar / botol air / botol kaca / tin minuman, laser / mancis / pemetik api / power bank.
“Ini termasuk sebarang objek tajam sama ada besi, kayu atau sebagainya seperti senjata tajam seperti pisau, parang, gunting dan sebagainya 2, minuman keras serta payung / tongkat atau dron,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya juga tidak membenarkan sebarang penggunaan alat pembesar suara atau alat peniup yang mengeluarkan bunyi bising.
Dalam masa sama, turut memberi amaran keras kepada penyokong-penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dengan cara menganjurkan perhimpunan, perarakan atau membuat provokasi, pergaduhan, merusuh atau nyanyian dalam bentuk sindiran / hinaan, membakar atau menyalakan suar (flare) dan sebagainya.
“Tindakan keras akan diambil ke atas sebarang pelanggaran undang-undang yang sedia ada
“Polis trafik juga akan ditempatkan untuk mengawal aliran trafik di sekitar kawasan stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan diingatkan juga kepada penonton yang berkunjung ke stadium untuk tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan / laluan ke kawasan pintu utama (grand stand) Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus,” ujarnya.
17 Jul 24
534
500 Peserta Sertai Terengganu Bertadabbur
KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Program Terengganu Bertadabbur Siri II anjuran Yayasan Pendidikan Maidam (YPM) berjaya menarik 500 penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pendidik dan masyarakat umum.
Program yang membawa tema Surah Al- Jumuah itu menawarkan panduan kepada cabaran dalam kehidupan sosial yang dihadapi umat dimana surah tersebut menggariskan pentingnya keseimbangan dan kesederhanaan pada individu dalam masyarakat.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPM, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, ia merupakan inisiatif YPM untuk memupuk masyarakat yang berinteraksi dengan al-Quran dan menjadikan kalam Allah itu sebagai prinsip kehidupan harian.
“Selain menyemai nilai insaniah dalam diri masyarakat yang mengetahui kepentingan untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam kehidupan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Menurut Wan Ismail, program tersebut menterjemahkan salah satu fungsi YPM dalam menguruskan Dana Sumbangan Pendidikan ke arah mencapai objektif mempromosikan pembangunan pendidikan kepada masyarakat khususnya di negeri ini.
“Diharapkan program ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memberi impak positif dalam meningkatkan pemahaman umat Islam terhadap nilai-nilai murni dalam agama dan kehidupan seharian,” ujarnya.
17 Jul 24
840
Program Jelajah DUN Terengganu : Dengar Rintihan, Keperluan Rakyat
Oleh ; Fauzi Adam
MARANG, 16 Julai – MARANG, 16 Julai – Program Jelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berusaha mendengar rintihan dan keperluan rakyat bagi memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat, serta memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi kehendak penduduk.
ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, acara tersebut bertujuan mendekatkan perkhidmatan kerajaan dan agensi kepada masyarakat setempat.
“Saya menekankan kepentingan kerjasama antara pemimpin dan rakyat bagi mencapai kemajuan bersama dan program ini merupakan 'platform' terbaik untuk mencapai matlamat tersebut.
"Penduduk sekitar diingatkan agar tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi terlibat." jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah ke DUN-DUN Terengganu bertempat di Dewan Terbuka, Pasar Pengkalan Berangan baru-baru ini.
Menurutnya, beberapa agensi kerajaan dan swasta turut serta dalam program berkenaan termasuk Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan kredit (AKPK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan beberapa agensi lagi.
"Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat setempat yang hadir untuk menyuarakan rintihan dan keperluan mereka. Melalui sesi interaksi yang diadakan, penduduk dapat berkongsi pandangan dan masalah mereka secara langsung dengan pihak kerajaan dan agensi-agensi terlibat.
"Dengan kejayaan ini, kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk meneruskan program jelajah ini ke seluruh DUN bagi memastikan semua rakyat Terengganu mendapat perhatian dan perkhidmatan yang sewajarnya," ujarnya
Beliau berharap agar Program Jelajah DUN Terengganu tersebut akan menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam usaha mendekatkan diri kepada rakyat dan mendengar serta memenuhi keperluan mereka.
16 Jul 24
177
MRL Utamakan Rakyat Terengganu Bagi 3,200 Peluang Kerja ECRL
KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberi jaminan untuk mengutamakan rakyat Terengganu bagi 3,200 peluang pekerjaan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila memulakan operasi pada Januari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kerajaan Terengganu bagi menyediakan tenaga kerja dan sumber manusia khususnya di enam stesen ECRL di negeri tersebut.
Katanya, Terengganu juga akan merasai limpahan ekonomi dan kemajuan sebaik ECRL beroperasi.
"Jadi tentunya kerajaan negeri perlu bersedia menyediakan keperluan tenaga kerja dan sumber manusia pada masa akan datang (fasa pengoperasian).
"Saya rasa perkara ini perlu diperhalusi, diperbincangkan lagi dengan lebih mendalam," ujarnya ketika ditemui urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menerima kunjungan Kerajaan Negeri Terengganu di sini, semalam.
Delegasi itu telah diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman.
Turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar serta wakil daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Terengganu.
Dalam pada itu, Ariffin Deraman pula berkata pertemuan yang diadakan itu sangat bermakna dalam usaha kerajaan negeri memastikan rakyat negeri Terengganu akan diberikan keutamaan untuk mendapat peluang pekerjaan.
"Hasil pertemuan sangat memberangsangkan, kalau kita tidak berjumpa maka kita tidak tahu akan peluang pekerjaan begitu banyak untuk rakyat Terengganu. Besar harapan agar rakyat Terengganu diberikan peluang untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang ada," katanya.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan tenaga kerja yang akan mengisi segala peluang pekerjaan itu, rakyat Terengganu akan dilatih dengan kemahiran tinggi bagi mengisi kekosongan itu nanti.
"Insya-Allah kita akan bertindak atas persetujuan bersama untuk membuat Memorandum Persefahaman (MoU) berdasarkan objektif utamanya, rakyat Terengganu akan mendapat pekerjaan di bawal MRL. Dari segi berapa jumlah pekerjaan yang akan diisi itu nanti tidak dibincangkan lagi.
"Apa yang pasti dengan adanya ECRL ini dia akan menjadikan kawasan di sekitar enam stesen di Terengganu ini akan mengalami pembangunan yang pesat dari Kemaman sehingga ke Besut," ujarnya.
16 Jul 24
2477
'Aunty Amy' Kecewa Videonya di Tiktok Dr Sam Kena Padam
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Seorang warga emas berbangsa cina di daerah ini kecewa selepas video perkongsiannya di TikTok Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang perpaduan kaum di Terengganu dipadam tanpa sebab.
Wanita yang mesra disapa dengan panggilan Aunty Amy Chua itu berkata, lebih menyedihkan video yang dibuang daripada TikTok Menteri Besar Terengganu tersebut sudah mencecah 5.9 juta tontonan itu.
Katanya, dia merasa amat pelik sedangkan ucapannya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
"Kali terakhir 'aunty' semak ada 5.9 juta tontonan, sebab hari-hari 'aunty' balas komen orang.
"Tiba-tiba hilang macam tu saja, sedih memang sedih," katanya ketika membalas komen di laporan berkait video terbabit.
Terdahulu, hasil semakan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati, 'Aunty Amy' mempromosi perpaduan kaum yang ada di Terengganu.
Katanya dalam video itu, dia dan rakan-rakan yang lain tidak pernah sesekali dipaksa menukar agama atau masuk islam.
"Kami bebas mengamalkan agama kami, tokong-tokong di sini pula ada seperti biasa, tak pernah diroboh oleh kerajaan hari ini.
"Apa yang timbul hanya cerita tak betul yang dimainkan pihak tertentu," katanya.
Semalam, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa terkilan selepas melihat senarai video di TikTok Ahmad Samsuri yang dipadam tanpa sebarang alasan.
Katanya, kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).
16 Jul 24
2833