lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pok Din Tabah Teruskan Warisan Pembuatan Arang
Pok Din Tabah Teruskan Warisan Pembuatan Arang
Oleh : Fatimah Din  MARANG, 20 Julai - Walaupun terpaksa berhadapan pelbagai cabaran Samsuddin Abdullah, 58, tetap tabah mengharunginya demi untuk meneruskan warisan pembuatan arang. Lebih dikenali sebagai Pok Din menjelaskan  antara cabarannya ialah ketiadaan kayu untuk dibuat arang kerana hanya kayu jenis akasia dan  jambu sahaja yang sesuai untuk diproses. "Paling penting ada kayu, tak boleh ambil kayu sewenang-wenangnya, kayu yang boleh diambil untuk buat arang antaranya kayu akasia dan kayu jambu. "Sebulan jika banyak kayu, boleh dapat dalam RM 5,000 dan bukan setiap hari,   kadang tu dapat dalam RM 1,000 sehingga RM1,500 sahaja.  "Kalau tidak ada kayu, tidak adalah duit bulan itu, jika musim hujan, kayu tiada, jadi pendapatan tidak menentu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada semalam. Pengusaha 'Arang Pok Din bersama isteri dan dua anaknya sejak tujuh tahun lalu di Kampung Pulau Kerengga, kini turut terkesan dengan kos bahan binaan yang semakin tinggi di pasaran berikutan kenaikan harga diesel.  "Untuk buat tempat bakar arang pula kita bina guna bata tanah liat sekitar 4000 hingga 4500 biji bata, selut iaitu campuran tanah dan pasir," ujarnya.  Tambah Pok Din, antara pelanggan yang pernah berurusan dengannya adalah dari Kuantan, Dungun, Pasir Putih, Rhu Muda, Pulau Redang dan sekitarnya. "Untuk luar negeri, kita tak hantar sebab jauh," katanya.
20 Jul 24
367
Gantung Ahli Parlimen Machang Langkah Undur ke Belakang
Gantung Ahli Parlimen Machang Langkah Undur ke Belakang
MARANG, 20 Julai - Tindakan mengantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan dilihat suatu langkah tidak wajar dan mundur ke belakang. Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu juga dibuat dengan cara yang tidak betul apabila menafikan hak untuk Ahli Parlimen itu bercakap atas isu dibangkitkan. "Sepatutnya boleh diambil tindakan dengan cara yang lain sekiranya didapati melakukan kesilapan kerana kita ada banyak jawatankuasa hak dan sebagainya yang doleh mengambil pendekatan untuk melakukan teguran dan sebagainya. "Tetapi kenapa 'disilentkan' Ahli Parlimen Machang dengan pengantungan selama enam bulan?. "Jadi saya tidak faham apakah bentuk sistem demokrasi yang kita hendak bawa untuk memastikan Malaysia maju ke depan di masa yang akan datang, ini seolah-olah kita balik ke belakang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut Daerah Marang, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS berkata Perikatan Nasional (PN) belum memutuskan calon yang akan diletakkan untuk Pilihan  Raya Kecil (PRK) Nenggiri. "Jadi tidak perlu ada pihak yang sibuk-sibuk mahu mencaturkan PN. "Kanapa ada pihak hendak sibuk-sibuk minta supaya meletakkan calon daripada PAS, ikut kitalah hendak letak siapa calon, orang mana, siapa, umur berapa, kerja apa kerana semua itu kita akan putuskan berdasarkan pertimbangan kita untuk mengekalkan kemenangan PN," ujarnya.
20 Jul 24
239
14 Video TikTok Dr Sam Dipadam Tiada Unsur Sensitif
14 Video TikTok Dr Sam Dipadam Tiada Unsur Sensitif
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Pemadaman 14 video TikTok milik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dikritik sebagai tindakan yang tidak berasas dan mencabuli prinsip kebebasan bersuara. Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razab, berkata video yang dimuat naik itu tidak mengandungi sebarang elemen 3R (agama, bangsa, dan institusi raja) yang boleh dianggap sensitif atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Beliau turut menyatakan rasa kesal terhadap tindakan platform yang dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu. Menurut beliau, kandungan video berkenaan bertujuan untuk menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Terengganu demi kesejahteraan rakyat. “Sebagai platform media sosial yang mempunyai tanggungjawab sosial, adalah penting bagi TikTok untuk memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi dengan masyarakat. “Pemadaman video-video ini bukan sahaja tidak berasas tetapi juga mencerminkan tindakan yang mengabaikan prinsip kebebasan bersuara yang diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Mohd Nasir berkata antara video yang dibuang dari TikTok Menteri Besar Terengganu baru-baru ini ialah ucapan kepada pemain bola sepak Terengganu yang mendapat 1.3 juta penonton, video ‘Aunty Amy Chua’ daripada Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang meraih 5.9 juta tontonan. Selain itu, perbahasan Ahmad Samsuri di parlimen yang meraih 700,000 tontonan, acara perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park dengan 900,000 tontonan, dan kunjungan hormat Duta Qatar yang mendapat 300,000 tontonan juga dipadam. Menurut beliau, video yang dipadam mencerminkan usaha gigih Menteri Besar dalam membangunkan negeri dan memperkukuhkan ikatan dalam masyarakat. “Saya menggesa pihak TikTok untuk meneliti semula keputusan pemadaman tersebut dan memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi dengan masyarakat,” katanya. Beliau menegaskan kepentingan platform media sosial untuk berperanan secara adil dan saksama, serta menghormati kebebasan bersuara yang diiktiraf. “Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan berharap perkara sebegini tidak akan berulang lagi. Kerjasama daripada semua pihak berautoriti amatlah dihargai,” ujarnya. Untuk rekod, pemadaman video pertama iaitu Video Aunty Amy Chua mula disedari pada 20 Januari 2024. Selepas itu, satu demi satu video mula dipadamkan tanpa sebarang amaran dan notis hingga yang terkini video yang dimuat naik pada 12 Julai di Twitter (X) mengenai Perasmian Taman Solar Terbesar di Malaysia juga dipadamkan tanpa sebarang notis.  
20 Jul 24
506
Pelajar Terengganu Berpeluang Nikmati Program Pertukaran ke Korea
Pelajar Terengganu Berpeluang Nikmati Program Pertukaran ke Korea
KUALA TERENGGANU, 20 Julai – Pelajar Terengganu bakal menikmati peluang unik melalui program pertukaran pendidikan ke Korea Selatan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan inisiatif berkenaan semasa Majlis Pembukaan Festival K-Culture 2024 yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea di KTCC Mall, Kuala Terengganu, semalam. Menurutnya, program tersebut adalah hasil hubungan erat antara Terengganu dan Korea Selatan yang diperkukuh melalui pelbagai kerjasama, termasuk dalam bidang budaya dan pendidikan. “Program pertukaran pendidikan ini akan membuka peluang luas kepada pelajar kita untuk merasai sendiri kehidupan dan sistem pendidikan di Korea Selatan. “Ia bukan sahaja akan memperkayakan pengetahuan mereka, tetapi juga membentuk mereka menjadi individu yang lebih terbuka dan berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan. Turut hadir, Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif Emart24, Vuitton Pang. Ahmad Samsuri berkata melalui program tersebut, ianya akan memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negeri dan negara. "Dengan pelajar yang kembali ke Terengganu dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang diperoleh di Korea. “Kami berharap dengan adanya program ini, lebih ramai pelajar Terengganu akan mempunyai pendedahan antarabangsa yang akan membantu mereka dalam kerjaya dan kehidupan mereka di masa depan,” ujarnya. Beliau berharap dengan program berkenaan dapat mempereratkan lagi hubungan antara rakyat Terengganu dan Korea Selatan.
20 Jul 24
792
Festival K-Culture 2024 Kukuhkan Hubungan Terengganu-Korea
Festival K-Culture 2024 Kukuhkan Hubungan Terengganu-Korea
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Festival K-Culture 2024 yang berlangsung di Terengganu telah menambah eratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan keyakinannya bahawa acara sedemikian mampu memperkukuhkan hubungan budaya dan ekonomi antara kedua-dua negara tersebut. “Dengan adanya festival ini, kita dapat menyaksikan pertukaran budaya secara langsung yang pastinya memperkukuh hubungan kita dengan Korea Selatan. “Saya yakin, melalui aktiviti seperti ini, rakyat Terengganu dapat lebih memahami dan menghargai keunikan budaya Korea,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Festival K-Culture yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea di KTCC Mall, Kuala Terengganu, di sini hari ini. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif, dan Ketua Pegawai Eksekutif Emart24, Vuitton Pang. Ahmad Samsuri berkata Festival K-Culture 2024, yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur, menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran seni tradisional Korea, serta demonstrasi masakan Korea yang menarik minat ramai pengunjung. “Dalam dunia yang semakin global, memahami dan menghormati budaya antara satu sama lain adalah kunci kepada keamanan dan kemakmuran bersama. “Festival ini adalah platform terbaik untuk kita membina jambatan antara dua budaya dan mengukuhkan lagi kerjasama kita dalam pelbagai bidang,” katanya. Yeo Seung-bae dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Terengganu atas sambutan hangat yang diberikan. “Kami amat berbesar hati dapat membawa Festival K-Culture ke Terengganu dan berharap hubungan antara Korea Selatan dan Malaysia akan terus berkembang pesat. “Festival K-Culture 2024 diharapkan dapat menjadi platform untuk memupuk rasa hormat dan persefahaman antara komuniti di Terengganu dan Korea Selatan, seterusnya memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” ujarnya.  
20 Jul 24
438
Kerajaan Negeri Baiki Segera 96 Rumah Terjejas Ribut
Kerajaan Negeri Baiki Segera 96 Rumah Terjejas Ribut
MARANG, 19 Julai - Sebanyak 96 buah rumah yang dibadai ribut kelmarin mendapat perhatian dan pembelaan segera daripada kerajaan negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memperhalusi segala kerugian dan kerosakan dialami mangsa bagi memudahkan proses penyaluran bantuan agar mereka yang terjejas dapat menduduki kembali kediaman itu dengan selesa. "Bagi tindakan segera dalam masa sehari dua ini adalah untuk memastikan mereka boleh masuk dahulu, sebab itu urusan membaiki atap dan sebagainya telah kita selesaikan dan hari ini dijangka selesai bahagian membaik pulih bumbung yang rosak. "Supaya kalau hujan tidak akan merosakkan barangan dalam rumah, yang lain daripada itu adalah untuk memastikan segala sisa-sisa kekotoran ini dapat dibersihkan secepat mungkin," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut bertempat di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, rumah terjejas akibat ribut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan. "Kesemuanya telah kita uruskan dan kini dalam proses, kediaman yang paling teruk rosak akan ambil masa sedikit untuk dilakukan pembaikan oleh sukarelawan, segala kerja baik pulih ini secara gotong royong dengan bantuan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk tempatan. "Insya-Allah kita akan bantu untuk memastikan mereka boleh masuk rumah terutama bagi rumah yang paling teruk terjejas dengan segera," ujarnya. Sementara itu katanya, gerai para peniaga Pulau Kekabu tidak mengalami kerosakan yang teruk kerana kebanyakan mereka menghentikan operasi apabila melihat angin yang kuat.  
19 Jul 24
725
TDM Dianugerahkan 'Company of the Year' Bagi Tahun 2024
TDM Dianugerahkan 'Company of the Year' Bagi Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 19 Julai– TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”), telah dianugerahkan 'Company of the Year' dalam kategori Perladangan dan Penjagaan Kesihatan untuk Anugerah Kepimpinan Kelestarian di majlis anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2024, di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin, berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada komitmen TDM dalam mengamalkan amalan kelestarian dan  tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.  "Ini adalah usaha dan dedikasi berterusan pasukan kami dalam menyokong serta menggabungkan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam operasi perladangan dan penjagaan kesihatan. "Selain itu, pengiktirafan ini juga bukan sahaja mengukuhkan reputasi TDM tetapi juga sebagai syarikat yang bertanggungjawab terhadap komuniti dan alam sekitar.  "TDM berhasrat untuk terus menerajui amalan kelestarian dalam usaha menjaga kelestarian bumi kita,” ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah beliau lagi,  TDM turut mendapat penarafan 3 bintang dalam siri indeks FTSE Bursa Malaysia, selepas semakan separa tahunan pada bulan Jun 2024.  "TDM telah tersenarai antara lima syarikat perladangan terbaik yang mendapat penarafan tinggi daripada 39 syarikat perladangan yang tersenarai.  "Pencapaian ini juga menjadi tanda aras untuk kami bergerak maju ke hadapan bagi mengejar kelestarian dan kejayaan jangka panjang dengan sentiasa menambah baik amalan ESG sebagai teras perjalanan kami," katanya. Sementara itu, KMI Healthcare juga telah memperoleh reputasi sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang  dipercayai dan menjadi pilihan dalam komuniti.  "Baru-baru ini, organisasi tersebut memenangi Anugerah ‘GlobalHealth Asia Pacific’ di Phuket, Thailand, sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik Malaysia.  “Kejayaan ini bukan hanya menjadi pencapaian TDM, tetapi juga bukti kepada semua pihak berkepentingan  tentang tekad kami untuk terus berinovasi dan membangun program CSR yang bermanfaat serta mematuhi prinsip-prinsip ESG sebagai teras perjalanan kami,” tambah Najman. 
19 Jul 24
522
"Apa Yang Ditakutkan Dengan TikTok Saya?" - Dr Sam
"Apa Yang Ditakutkan Dengan TikTok Saya?" - Dr Sam
MARANG, 19 Julai - "Apa yang hendak ditakutkan dengan kandungan video TikTok saya yang memaparkan aktiviti saya memberi motivasi kepada pemain bola, menerima kunjungan dari luar (Duta Qatar) 'it's not political, its not 3R'," ujar Menteri Besar Terengganu. Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya merasa sangat pelik kerana hampir 20 video di TiKTok beliau dipadam tanpa sebarang notis dan alasan. Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada paltform terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun masih bekum menerima jawapan. "Dalam masa yang sama kami juga akan cuba mendapatkan jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). "Saya merasa pelik (dengan perkara ini) dan banyak pihak yang menghubungi saya menyatakan mereka juga hairan dengan apa berlaku. "Sehingga perkara ini keluar dalam media dan akhbar sama ada yang bukan Bahasa Melayu, seperti English media Mandarin. "Ini menunjukkan keprihatinan seluruh anggota masyarakat bahawa perkara seperti ini tidak boleh didiamkan, mungkin hari ini kena pada saya mungkin esok pada orang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut daerah Marang di Pantai Kekabu dan Kampung (kg) Seberang Marang, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, adalah penting untuk semua pihak terlibat menegur mengenai perkara yang dilihat cuba untuk menyekat kebebasan bersuara. "KIta perlu untuk sama-sama menegur supaya jangan jadi seperti ini lagi, kerana ia tidak akan membantu negara kita untuk terus maju ke depan," katanya. Beberapa hari lalu, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa mempersoalkan kebebasan bersuara di bawah kerajaan hari ini apabila hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu dipadam tanpa sebarang notis dan alasan. Beliau terkejut selepas melihat senarai video yang dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja). “Antara video yang dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, 'Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan)," katanya. Pendedahan itu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang rakyat berkait kebebasan media di bawah kerajaan hari ini.
19 Jul 24
406
700 Peniaga Baru Mohon Berniaga di Pasar Payang 1
700 Peniaga Baru Mohon Berniaga di Pasar Payang 1
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Sebanyak 700 permohonan baru diterima daripada orang ramai yang berminat untuk  berniaga di Pasar Payang 1. Perkara tersebut disahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Rosli Latif dalam satu kenyataannya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam. Katanya, permohonan diterima sangat banyak berbanding hanya 50 kekosongan sahaja yang ada. "Permohonan telah dibuka pada 1 Julai dan ditutup pada 14 Julai lalu bagi kedai emas, kedai cenderahati, kedai pelbagai dan kedai makanan & minuman viral. "Selepas ini MBKT akan memproses borang tersebut dan memanggil pemohon untuk ditemuduga, proses ini mungkin mengambil masa dalam sebulan atau dua bulan dan dijangka selesai sebelum akhir tahun ini," katanya. Dalam pada itu, Rosli memaklumkan seramai 109 orang daripada 110 peniaga Pasar Payang 1 telah menerima kunci dan membayar deposit. Katanya, fasa pertama perpindahan di ruangan bahagian bawah itu melibatkan kedai emas, cenderamata, dan kedai terpakai.  “Setakat ini, hanya seorang peniaga yang belum membayar deposit dan mengambil kunci,” ujarnya. Rosli berkata, pihaknya juga telah memberi kelonggaran kepada peniaga untuk membolehkan mereka melakukan kerja-kerja renovasi sehingga 1 Ogos sebelum dikenakan kadar sewa baru. “Pada mulanya, peniaga dijadualkan berpindah pada 1 Julai, tetapi memahami keperluan mereka untuk bersiap sedia, kami menangguhkan tarikh tersebut. “Kadar sewa yang dikenakan bulan ini adalah kadar lama Pasar Payang 2. Apabila mereka berpindah pada 1 Ogos, kadar sewa baru akan dikenakan. Mereka kini sedang melakukan renovasi dan persediaan untuk berpindah,” katanya. Mengulas berhubung papan tanda yang digembar gembur mahal oleh sesetengah pihak, beliau berkata harga yang diletakkan akan berubah selepas proses sebut harga. “Harga papan tanda RM1,600 yang didakwa mahal itu hanyalah anggaran jabatan, harga sebenar akan ditentukan selepas proses sebut harga.  “Jika harga yang ditawarkan lebih rendah, peniaga hanya perlu membayar jumlah tersebut. Andai kata ada pembida masuk harganya RM1,200 kita akan cas mereka RM1,200 sahaja, baki itu kita debit dalam akaun sewa peniaga. “Mereka tidak rugi apa-apa pun, katakan bulan Ogos nanti sewa mereka RM800 mereka bayar RM400 sahaja kerana RM400 lagi diambil daripada baki bayaran papan tanda,” ujarnya. Selain itu, beliau berkata, pihaknya ingin menyeragamkan papan tanda di Pasar Payang 1 itu sebagaimana yang dilakukan di negara maju.
18 Jul 24
1802
Tiga Laras Meriam Berusia Lebih 100 Tahun Ditemukan
Tiga Laras Meriam Berusia Lebih 100 Tahun Ditemukan
KUALA TERENGGANU, 18 Julai- Tiga laras meriam yang dipercayai berusia lebih 100 tahun ditemukan di dua daerah iaitu Dungun dan Setiu ketika kerja-kerja pembangunan dilakukan di lokasi tersebut. Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, bagaimanapun asal usul meriam itu belum dapat dipastikan sehingga selesai konsevarsi bagi mengetahui asal usulnya yang sebenar. Menurutnya, satu laras meriam dijumpai dengan kedudukan sedalam kira-kira satu meter dalam tanah di bekas tapak balai polis lama di Dungun ketika kerja-kerja pembangunan dilakukan pada 26 November 2023. Selain itu, katanya, dua laras meriam telah dijumpai oleh syarikat kontraktor pembinaan benteng pemecah ombak di Kuala Setiu, Setiu pada 21 Januari lepas. "Ada tiga laras meriam yang dipercayai lebih 100 tahun dijumpai baru-baru ini. Satu laras meriam berukuran kira-kira enam hingga tujuh kaki dijumpai di Dungun  dengan keadaan fizikal meriam masih berada dalam keadaan baik susulan dijumpai di atas darat namun ia agak berkarat pada sebahagian badannya. "Selain itu, dua laras meriam yang berukuran kira-kira enam hingga tujuh kaki itu dijumpai sedalam tiga meter dalam air di Kuala Setiu. Keadaan meriam itu sudah berkarat dan bersalut tebal. "Jadi dengan keadaan fizikal kedua laras meriam yang agak berkarat itu sudah tentu mengambil masa untuk dibuat konsevarsi," katanya ketika ditemui pemberita di Muzium Negeri Terengganu di sini pada Rabu. Mengulas lanjut, Che Muhamad Azmi berkata, tiga laras meriam yang dijumpai itu kini diletakkan di Muzium Negeri Terengganu untuk proses konsevarsi. Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya setakat ini telah menemukan 10 laras meriam sejak tahun 2012. "Di Terengganu, kita menjumpai meriam buatan dari pelbagai negara termasuk Portugis, Belanda dan Perancis. "Jadi setakat ini tiga laras meriam yang dijumpai ini tidak menunjukkan lagi tanda-tanda (buatan dari negara mana). Insya-ALLAH... selepas kita buat pemuliharaan dan pembersihan mungkin dapat tahu asal usul ketiga meriam ini dari mana," ujarnya. Sementara itu, Konservator Muzium Negeri Terengganu, Alisa Abdul Wahab menyatakan proses untuk membersihkan meriam itu bergantung kepada ketebalan dan kerosakan sesuatu meriam tersebut.  "Konservasi ini pertama sekali melibatkan kerja-kerja pembersihan dahulu iaitu bersihkan keseluruhan permukaan meriam ini. Kita buang selaput karat yang ada pada besi. "Jadi proses itu akan bergantung pada ketebalan atau kerosakan meriam itu. Untuk proses membuang karat pada meriam itu mengambil masa lebih kurang dalam sebulan," jelas beliau.
17 Jul 24
739