lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kes Malaria Import Meningkat di Terengganu
Kes Malaria Import Meningkat di Terengganu
BESUT, 22 Julai -  Sebanyak 25 kes malaria di rekodkan di Terengganu sejak awal tahun ini membabitkan 24 kes malaria import dan satu kes jangkitan malaria zoonotik. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata jumlah itu menunjukkan penurunan 62 peratus daripada tahun lepas iaitu 65 kes namun berlaku peningkatan kes ketara apabila 20 kes malaria direkodkan dalam kalangan warga asing Katanya, daripada 24 kes ini, 20 kes adalah berlaku di Hulu Terengganu, manakala Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun serta Kemaman masing-masing mempunyai satu kes. "Berlaku peningkatan kes ketara  dalam kalangan warga asing bekerja di tapak pembinaan di Kampung Machang, Hulu Terengganu. "Kes malaria import ini membabitkan etnik Rohingya dan warga Bangladesh, Pakistan, India serta Papua New Guinea," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Jertih di sini semalam. Justeru itu, beliau berkata saringan awal sudah dilakukan ke atas penduduk di sekitar Kampung Machang, Kampung Kua serta Kampung Pengkalan Ajal, namun tiada kes dalam kalangan warga tempatan direkodkan. “Hasil tinjauan ke lokasi penempatan mereka yang terlibat dan dijangkiti malaria itu, pihaknya mendapati keadaan kawasan diduduki tidak bersesuaian dan ada yang hanya tinggal di dalam khemah. Katanya, majikan juga perlu memaklumkan kepada jabatan kesihatan sebelum membuka tapak baharu pembinaan untuk saringan awal malaria dan menyediakan penginapan lebih baik kepada pekerja. Dr Kasemani juga memaklumkan bagi menjalankan kerja-kerja pembasmian di kawasan terlibat, JPNT turut melantik 'Duta Malaria'  yang bertangungjawab memaklumkan akan kemasukan pekerja asing baru kepada pihak kesihatan bagi membolehkan saringan penyakit malaria dilakukan. Tambahnya lagi, setakat ini seramai 176 orang duta malaria telah dilantik di seluruh Terengganu.
22 Jul 24
415
Halimah Kongsi Kaedah Pembuatan Ubat Buasir Tradisional
Halimah Kongsi Kaedah Pembuatan Ubat Buasir Tradisional
HULU TERENGGANU, 22 Julai – Ubat buasir yang diperbuat daripada air rebusan batang ubi gegeli kini menjadi tumpuan penduduk setempat di Kampung Dura, Hulu Terengganu. Halimah Deraman, 66, seorang penduduk kampung, menerangkan kaedah tradisional yang digunakan untuk menyediakan ubat berkenaan. Menurut Halimah, proses pembuatan ubat buasir itu dimulakan dengan memotong batang ubi gegeli, kemudian membersihkannya dari duri-duri menggunakan berus. “Batang yang telah dibersihkan dihiris menjadi kepingan kecil dan dijemur sehingga kering. Setelah itu, kami meneruskan proses dengan merebus kepingan kecil tersebut. "Biasanya, kami mengukur kematangan air rebusan itu dengan menggunakan tiga cawan air sehingga menjadi satu cawan air rebusan daripada kepingan batang ubi gegeli itu,” jelasnya. Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di kediamannya bertempat di Kampung Dura, Hulu Terengganu pada hari ini. Halimah berkata, setelah itu, air rebusan tersebut kemudian dimasukkan ke dalam plastik kecil untuk dijual. Harga bagi setiap plastik adalah sekitar RM20. “Pelanggan kami kebiasaannya adalah penduduk Kampung dan juga orang luar yang mengetahui tentang keberkesanan ubat ini melalui kenalan rapat kami,” tambahnya. Halimah juga menyatakan bahawa ubat buasir tersebut terbukti berkesan dan juga boleh digunakan untuk merawat penyakit gout. “Keberkesanan ubat ini telah menarik perhatian ramai, menjadikannya produk yang popular dalam kalangan masyarakat setempat. “Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan kepakaran masyarakat tempatan dalam menggunakan bahan-bahan tradisional, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan," katanya. Menurut anaknya, Fadhilah Yusof, 44, batang geli sukar dijumpai, dan kebiasaannya hanya ditemui satu atau dua kali dalam setahun. “Kami telah menjalankan kaedah ini sejak tiga tahun lepas. Setelah mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung, kami meneruskan pembuatan ubat buasir ini sehingga sekarang,” ujarnya.                                              
22 Jul 24
461
KUPEKMAS Gesa Kerajaan Turut Beri Perhatian Terhadap Kenaikan Pencen Pesara
KUPEKMAS Gesa Kerajaan Turut Beri Perhatian Terhadap Kenaikan Pencen Pesara
KUALA TERENGANU, 22 Julai- Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) menggesa kerajaan turut memberi perhatian terhadap kenaikan pencen pesara memandangkan kos sara hidup dan bebanan kewangan yang semakin tinggi. Presidennya, Dato’ Omar Osman berkata,  ia selaras dengan pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam yang akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan. “KUPEKMAS memang mengharapkan kerajaan hari ini supaya memberi perhatian terhadap kenaikan pencen pesara. “Bila berlaku pembatalan kenaikan pencen dua peratus setahun hari itu, kita tidak ada lagi kenaikan tahunan macam biasa. Kita terimalah keputusan kerajaan ketika itu.  “Kita harap ketika Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam tidak lama lagi, akan berlaku kenaikan pelarasan pencen buat pesara,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Pesara KUPEKMAS Peringkat Kebangsaan 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, hari ini. Dalam pada itu, beliau mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut yang melibatkan kebajikan kira-kira 900,000 pesara.  
22 Jul 24
721
Empat Lelaki Bersenjata Serang IPD Hulu Terengganu Dalam Satu Simulasi
Empat Lelaki Bersenjata Serang IPD Hulu Terengganu Dalam Satu Simulasi
HULU TERENGGANU, 22 Julai – Dalam satu simulasi yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, empat lelaki bersenjatakan parang dan pedang menyerang seorang anggota polis yang sedang mengawal pos kawalan. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata simulasi itu bertujuan untuk menguji kesiapsiagaan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi serangan daripada pihak luar. Menurutnya, simulasi tersebut menggambarkan senario di mana Balai Polis Kuala Berang diceroboh dan diserang oleh enam lelaki bersenjata yang diketuai oleh penjenayah dikenali sebagai ‘Zainon Al Baghdadi’. “Dalam senario tersebut, seorang anggota polis mengalami kecederaan pada bahagian rusuk dan kesemua suspek serangan berjaya ditahan. “Latihan ini melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta JKNT untuk mempersiapkan menghadapi situasi serangan yang melibatkan kebakaran dan kecederaan,” katanya kepada pemberita selepas simulasi berkenaan. Zainul berkata, simulasi tersebut adalah panduan penting kepada pegawai dan anggota polis dalam menghadapi situasi berkenaan. “Latihan ini membolehkan kami menguji langkah-langkah kesiapsiagaan kami sambil bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memperhalusi langkah-langkah keselamatan. “Ia juga memastikan semua faktor keselamatan di balai polis berfungsi dengan baik dan lebih teliti,” katanya. Beliau berkata simulasi itu juga bagi memastikan semua pegawai dan anggota polis sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman atau situasi tidak diingini.  
22 Jul 24
1344
Pertima Raih Anugerah Top 500 Trusty Brand Award 2024
Pertima Raih Anugerah Top 500 Trusty Brand Award 2024
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Pertima Trengganu Sdn Bhd (PERTIMA) berjaya merangkul anugerah berprestij iaitu Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award 2024 dalam satu majlis yang berlangsung di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Anugerah tersebut merupakan inisiatif Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) untuk mengiktiraf syarikat-syarikat yang telah menunjukkan komitmen dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan dipercayai oleh pengguna. Pengurus Besar PERTIMA, Tuan Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan buat PERTIMA setelah 52 tahun syarikat itu berdiri di negeri Terengganu yang juga merupakan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). “Pemilihan bagi anugerah ini perlu melalui penilaian dan proses audit yang sangat ketat serta rujukan  daripada pasaran, pengguna ataupun media  sosial demi memastikan kebolehpercayaan jenama dan kualitinya.  “Apa yang paling penting, jenama PERTIMA ini akan terus berkembang seiring dengan slogan iaitu ‘Pilihan Bijak Pastinya Citarasa Lokal’,’’ujarnya. Katanya, MTPN turut mengucapkan tahniah dan berharap agar PERTIMA akan terus berinovasi dan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna Malaysia pada masa hadapan .  
21 Jul 24
299
Kerjasama Mantap, ECRL di Terengganu Kini Fasa Tiga
Kerjasama Mantap, ECRL di Terengganu Kini Fasa Tiga
KUALA LUMPUR, 21 Julai - Komitmen serta kerjasama kukuh daripada kerajaan negeri Terengganu telah membolehkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Terengganu mencapai kemajuan yang sangat memberangsangkan sekali gus membolehkan fasa ketiga bermula. Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, projek di Terengganu pada Jun telah pun mencapai kemajuan sehingga 84.43 peratus. Manakala kemajuan keseluruhan katanya, mencapai 68.68 peratus dengan kerja 'tracklayer' telah pun berjalan sejak Disember 2023. "Bermula dari Pelabuhan Kuantan, Gebeng bergerak ke Dungun siap sepenuhnya begitu juga dengan jajaran dari Pelabuhan Kuantan ke Maran juga telah siap. "Kini yang terbaru kita telah mula masuk ke fasa yang ketiga, kita telah memulakan kerja-kerja 'tracklayer' bermula dari Dungun ke Kota Bharu sejauh 205 KM dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Terengganu yang mengadakan kunjungan muhibbah dan perbincangan mengenai peluang pekerjaan dalam sektor railway baru-baru ini. Delegasi Kerajaan terengganu itu diketuai oleh, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman. Turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Terengganu. Dalam pada itu, Darwish berkata ECRL berkenaan dijangka akan dapat disiapkan akhir Disember 2026 dan akan memulakan operasinya pada awal 2027.  
21 Jul 24
2911
Maidam Sedia Latih Individu Minat Gunting Rambut
Maidam Sedia Latih Individu Minat Gunting Rambut
KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melalui Yayasan Pendidikan Maidam sedia melatih individu terutamanya golongan remaja yang berminat menceburi bidang gunting rambut dalam usaha menghidupkan sunnah. Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, mereka yang berjaya menamatkan kursus gunting rambut digalakkan membuka kedai terutama pada setiap Jumaat. “Menggunting rambut pada hari Jumaat besar ganjarannya, kita akan ajar mereka sehingga boleh buka kedai gunting yang bersuaian. “Kita akan promosikan bahawa menggunting rambut pada hari Jumaat itu besar pahalanya, dengan cara itu, InsyaAllah orang ramai akan pergi,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam baru-baru ini. Tambah beliau, kebiasaan orang ramai menghadapi masalah untuk menggunting rambut pada setiap Jumaat kerana kebanyakan tukang gunting menutup premis perniagaan pada hari tersebut.
21 Jul 24
628
'Terengganu Tuntut Royalti, Bukan Persoal Perbelanjaan Pembangunan'
'Terengganu Tuntut Royalti, Bukan Persoal Perbelanjaan Pembangunan'
MARANG, 21 Julai - Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa pihaknya menuntut Kerajaan Persekutuan melunaskan pembayaran lima peratus daripada hasil minyak atau royalti petroleum, bukan mempersoalkan mengenai perbelanjaan pembangunan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bayaran royalti petroleum dan perbelanjaan pembangunan adalah dua perkara yang sangat berbeza. "Yang dipersoalkan oleh pentadbiran kerajaan dan juga rakyat negeri Terengganu adalah perolehan Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau wang ehsan yang kita panggil sebagai royalti. "Ia berbeza antara 'developement expenditure', 'rolling plan' daripada Rancangan Malaysia dengan pendapatan hasil royalti," ujarnya sambil berkata tidak adil mengaitkan perbelanjaan pembangunan dengan royalti minyak yang sememangnya menjadi hak rakyat Terengganu. Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan pembangunan di Terengganu yang meningkat kepada RM7.23 bilion pada tahun ini berbanding RM5.99 bilion pada 2022. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ia membabitkan projek negeri dan Persekutuan sekali gus menunjukkan dakwaan kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan untuk Terengganu tidak benar. Mengulas mengenai dakwaan perbelanjaan pembangunan untuk Terengganu meningkat di bawah Anwar Ibrahim berbanding ketika pemerintahan terdahulu, Ahmad Samsuri berkata perkara itu sangat mengelirukan. "Perbelanjaan pembangunan yang berlaku bukan sehari dua tetapi mengambil masa daripada tahun sebelum-sebelum ini lagi, ada 'developement expenditure' melibatkan projek-projek tertentu yang ambil masa bertahun-tahun atau lima tahun. "Ada projek zaman atau sebelum zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi dan juga Dato' Seri Ismail Sabri, sebelum daripada PM10 lagi, jadi kalau kita hendak banding perbelanjaan pembangunan begiitu tidak adillah, tetapi kita hargai apa jua jumlah peruntukan yang diberikan," jelasnya.    
21 Jul 24
1071
Terengganu Eksport Durian Kampung ke China Tahun Depan
Terengganu Eksport Durian Kampung ke China Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Industri tanaman durian tempatan bakal memperoleh akses pasaran eksport baharu ke China, sekali gus mampu melonjakkan nilai eksport agro makanan itu bermula tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerjasama itu dicapai melalui satu sesi pertemuan dan dialog antara Kerajaan Negeri, delegasi Syarikat Vanton International Sdn Bhd dan Mia Nafas Sdn Bhd bersama pekebun durian Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, baru-baru ini. “ Syarikat Vanton yang beribu pejabat di Shenzen China nak bawa durian kampung dari Terengganu ke pasaran China dan kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara. “Bukan Musang King dan bukan Duri Hitam. Hanya durian kampung dari kebun milik orang kampung,”ujarnya dalam satu hantaran di facebook rasminya semalam. Dr Azman berkata syarikat pengeksport buah-buahan terbesar di China itu akan memetik durian diusahakan pekebun tempatan dengan tahap kematangan 70 peratus masak. “Kemudian buah durian akan dieksport ke China secara segar. Bukan dengan kaedah pembekuan seperti buah Musang King,”jelas beliau.  
21 Jul 24
557
Hubungan Erat Terengganu, PETRONAS Lonjak Aktiviti Pelancongan
Hubungan Erat Terengganu, PETRONAS Lonjak Aktiviti Pelancongan
MARANG, 21 Julai - Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS terus mengukuhkan hubungan dalam mempromosikan aktiviti pelancongan negeri Terengganu.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, sokongan PETRONAS bukan hanya dalam bentuk kewangan, tetapi juga melalui pelbagai program pembangunan komuniti. "Antaranya pendidikan dan infrastruktur yang telah banyak membantu dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Terengganu. "Sebagai contoh, Program MEKAR yang dilaksanakan dalam menyokong usaha kerajaan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan B40 dan telah diadakan di beberapa daerah seperti Kemaman, Dungun dan Kuala Nerus," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program 'Candak Sutong Sempena PETRONAS 50 Tahun' bertempat Jeti, Marang di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliman Kassim dan Naib Presiden Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Nooruddin Liew. Razali berkata bahawa program tersebut adalah simbol hubungan erat antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Terengganu serta komitmen bersama dalam mempromosikan budaya dan tradisi tempatan. "Program ini bertujuan memperkenalkan kawasan perairan negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin yang menarik, terutamanya aktiviti mencandat sotong. "Saya berharap agar kerjasama ini akan terus utuh dan membawa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, serta menyeru agar masyarakat tidak serik untuk datang mencandat sotong di Terengganu lagi," ujarnya. Razali turut mengumumkan pertandingan mencipta lagu 'Tranung Dok Rilek' yang telah berlangsung dari 3 Julai hingga 11 Ogos 2024. "Pertandingan ini diadakan untuk mencipta lagu tema bagi aktiviti pelancongan dan kebudayaan di Terengganu," katanya. Beliau menyeru kepada masyarakat yang berbakat dalam bidang seni muzik untuk menyertai pertandingan ini dan menonjolkan kreativiti mereka.  Untuk maklumat lanjut mengenai syarat dan terma pertandingan, masyarakat boleh merujuk kepada media sosial Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu atau Beautiful Terengganu Malaysia.  
20 Jul 24
1323