Artikel "Semasa" Terkini
Tajaan Syarikat Arak Bertentangan Dasar Pendidikan Negara , Prinsip Islam - Mufti
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menyatakan bahawa penajaan syarikat arak kepada sekolah, termasuk sekolah Cina yang mempunyai pelajar Melayu adalah bertentangan dengan dasar pendidikan negara dan perlu disiasat dengan teliti.
Mohamad Sabri Haron berkata, Perlembagaan Malaysia secara asasnya berteraskan Islam dan semua pihak mesti peka terhadap hal tersebut.
Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan adalah elemen penting dalam masyarakat dan nilai-nilai tinggi dalam sistem tersebut mesti dipelihara dan masyarakat perlu peka.
“Isu arak merupakan perkara asas yang perlu diambil perhatian, khususnya bila dikaitkan dengan pendidikan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambahnya, syarikat yang terlibat dalam perniagaan arak yang menaja institusi pendidikan secara terbuka, walaupun kepada sekolah Cina, adalah bertentangan dengan roh dasar pendidikan negara itu sendiri.
Mufti Terengganu juga mencadangkan agar isu ini disiasat dengan terperinci oleh pihak Kementerian Pendidikan dan garis panduan yang sedia ada dikemaskini jika perlu.
“Ia bertujuan bagi memastikan kesesuaian penajaan dengan nilai dan prinsip pendidikan negara,” jelasnya.
Untuk rekod, baru-baru ini sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menerima sumbangan daripada sebuah syarikat arak yang merupakan salah satu penyumbang semasa Konsert Amal Pendidikan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu yang juga Ketua Wanita AMANAH, beliau dikecam memegang replika cek berlogo syarikat arak.
29 Jul 24
801
Kolam La Hot Spring Akan Diasingkan Jantina Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Pengasingan pengunjung wanita dan lelaki di kolam air panas semulajadi La Hot Spring di Hulu Besut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun depan dengan peruntukan antara RM30,000 hingga RM50,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan secara serius agar pengasingan kolam lelaki dan wanita di La Hot Spring ini dapat dilakukan segera.
"Sudah tentulah, kita ambil kira kemudahan infrastruktur dan prasarana sedia ada demi mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk pengunjung ke kolam air panas semula jadi tersebut.
"Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Besut akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha dan penduduk setempat untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk melaksanakan usaha tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Husaimi Hussin (Hulu Besut) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan terkenal di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Katanya lagi, cadangan untuk melaksanakan pengasingan kolam air panas lelaki dan wanita akan turut mengambil kira faktor infra sedia ada di kawasan La Hot Spring tersebut.
"Ketika ini, kolam air panas itu menerima limpahan pengunjung setiap hari kerana khasiatnya yang terbukti untuk kesihatan manusia.
"Namun situasi itu tidak 'manis' kerana percampuran lelaki dan wanita di kawasan kolam air panas yang agak sempit sebab itu kita nak asingkannya," ujar beliau.
Kolam Air Panas yang berada di Kampung La atau lebih dikenali sebagai La Hot Spring itu terletak kira-kira 125 kilometer (km) dari Kuala Terengganu.
29 Jul 24
665
Kilang Makanan Ternakan Manfaat 70 Peratus Bahan Mentah Tempatan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Perancangan kerajaan negeri untuk mempunyai kilang makanan sendiri antara salah satu usaha untuk menurunkan harga makanan ternakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, hasil penyelidikan daripada pakar-pakar di Institut Pengajian Tinggi mendapati langkah tersebut dapat manfaatkan sekitar 70 peratus bahan mentah tempatan dan meletakkan kebergantungan hanya kira-kira 30 peratus pada bahan mentah yang diimport.
“Antara yang kita gariskan dalam Pelan strategik Pertanian Terengganu adalah untuk mempunyai kilang makanan sendiri.
“Apabila diperkasakan lagi hasrat tersebut bersama negeri SG4, kita telah adakan beberapa perancangan bersama untuk merealisasikan kilang makanan ternakan dengan memanfaatkan sumber bahan mentah tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh yang ingin tahu apakah usaha kerajaan negeri untuk mengatasi kenaikan harga makanan ikan (akuakultur).
Dr Azman berkata, beliau mengakui harga input makanan ternakan bukan hanya ternakan akuakultur malahan makanan unggas dan ternakan dominan turut berhadapan dengan isu kenaikan harga.
“Antara sebabnya kerana kita tidak ada kilang makanan ikan di Terengganu.
“Dan kilang-kilang makanan ikan yang ada di negeri lain bergantung kepada sumber bahan mentah yang diimport menyebabkan naik turun harga,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Mamad turut mengemukan soalan lisan mengenai berapakah bilangan pengusaha sangkar ikan di Hulu Terengganu, khususnya dalam DUN Kuala Berang dan berapakan nilai sumbangan yang telah dihulurkan kepada mereka pada tahun 2023 dan 2024.
Dr Azman memaklumkan, terdapat 170 pengusaha di Hulu Terengganu dan 133 di Kuala Berang dengan spesis utama yang diternak mereka adalah ikan baung, patin dan tilapia.
“Sebanyak RM1,288,654 nilai bantuan telah disalurkan kepada pengusaha di Hulu Terengganu dengan pecahan RM637, 813 (2023) dan RM650,841 (2024),” ujarnya.
Manakala katanya, skop bantuan yang disalurkan seperti bot, tangki fiber, pukat sangkar, water jet, tong drum, sangkar, induk ikan kelah, makanan ikan serta kerja-kerja berkaitan pemulihan bekalan air, bekalan lektrik, pembinaan jeti terapung dan baik pulih sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir.
“Kerajaan Negeri sedang melakukan penyelarasan antara Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri bagi mewartakan kira-kira 3000 hektar kawasan daratan dan tasik di Sungai Como Tasik Kenyir yang sekarang ini berada dalam warta Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA),” ujarnya.
29 Jul 24
510
Kerajaan Negeri Sumbang RM8,500 Suntik Semangat Atlet Judo
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memberikan sumbangan sebanyak RM8,500 sebagai suntikan semangat buat para atlet judo yang mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, dengan sedikit suntikan permulaan itu ia akan menaikkan semangat serta moral para atlet sukan berkenaan untuk beraksi cemerlang pada kejohanan yang akan berlangsung di Mukah, Sarawak itu.
Katanya sebelum kesemua atlet berangkat ke negeri Kenyalang itu hari telah diadakan jamuan selain menyerahkan sumbangan wang dan selepas ini akan ada insentif lain yang akan diberikan apabila berjaya merangkul pingat nanti.
"Jadi tahun ini kita target enam emas akan berjaya diperolehi, kalau lebih itu sudah dikira sebagai bonus namun tidak mustahil untuk mencapai banyak pingat dalam acara ini kerana edisi sebelum ini telah berjaya dibuktikan dengan menjadi juara keseluruhan.
"Kerana itu tahun ini kita juga target untuk menjadi juara secara keseluruhan termasuk dalam sukan-sukan yang lain,"ujarnya yang juga merupakan bapa angkat kepada sukan terbabit.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Inspirasi SUKMA 2024 : Bapa Angkat dan Persatuan Judo Terengganu, di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini, semalam.
Dalam pada itu beliau menitipkan pesanan kepada para atlet agar berjuang bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama Terengganu di temasya sukan yang berprestij dalam negara itu.
"Saya yakin mereka boleh buat yang terbaik, saya juga selalu pergi ke tempat mereka mengadakan latihan dan mereka sangat berdisiplin, melalui disiplin yang tinggi itulah yang akan menjadi rahsia kejayaan mereka di SUKMA nanti," katanya.
29 Jul 24
78
Miskin Tegar di Terengganu Turun Kepada 1,193 Keluarga
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kadar kemiskinan tegar di Terengganu mencatatkan penurunan kepada 1,193 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam sistem e-Kasih setakat 1 Julai lepas, berbanding 6,632 pada tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata penurunan angka berkenaan merupakan hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui pelbagai agensi.
“Besut mencatatkan jumlah miskin tegar tertinggi iaitu seramai 229 KIR diikuti Kuala Terengganu (212), Kemaman (164), Kuala Nerus (132), Setiu (123), Dungun (115), Hulu Terengganu (111) dan Marang (107).
“Senarai Miskin Tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 sebanyak 6,632 telah berjaya disifarkan dari status miskin tegar melalui penyaluran bantuan dengan kerjasama dari agensi pemberi bantuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Selain itu, Maliaman berkata tindakan pengemaskinian maklumat pendapatan juga memainkan peranan penting dalam kejayaan itu.
29 Jul 24
477
'Tidak Masuk Akal Persoal Kenapa Terengganu Bergantung Pada Minyak'
KUALA TERENGGANU, 29 Julai- Kerajaan negeri menegaskan bahawa tidak masuk akal apabila ada pihak mempertikaikan kenapa Terengganu bergantung kepada hasil minyak dan gas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sedangkan sama ada mereka suka atau tidak (hasil royalti dan wang ihsan) adalah hak rakyat negeri ini.
“Jadi janganlah ada pihak di luar sana yang menyebut ‘Terengganu jangan bergantung pada hasil royalti atau wang Ihsan’, kerana tindakan demikian umpama peribahasa menyebut ‘sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula’.
“Ini adalah kerana bagi kami di Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di Terengganu adalah hak Terengganu sejak 1978 sebagaimana yang pernah saya sebutkan ketika sidang Dewan Rakyat lalu dan termaktub dalam berbagai enam dokumen rasmi dan kontrak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, keadaan itu hanya bermula dan berlaku akibat daripada perbezaan politik pilihan rakyat dalam pilihan raya.
“Menambahkan lagi kecelaruan, ada pula yang menyebut dan memaksa Kerajaan Negeri dengan tindakan seperti ‘menyekat royalti pada hari ini, dan esok terus diminta jana hasil baharu’, itu adalah tindakan yang tidak masuk akal,” ujarnya.
Menurut beliau, ia umpama ‘mengikat kaki dan tangan dan disuruh berenang pula’ sedangkan anak-anak yang lain dapat berenang bebas.
“Puncanya kerana anak ini berbeza pandangan politik kepartian, dan ada rakan taulan baik si ayah ini pula beranggapan jika ditekan, disusahkan, dan dilemaskan anak ini, mungkin akan ada hasilnya kepada ‘kawan ayah’ di satu hari nanti di tempat bertuah ini,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang merancang dan menyambut dengan gembira sekatan wang royalti minyak dan gas ke Negeri Terengganu atas apa jua alasan kepentingan politik atau tidak, merekalah sebenarnya kelompok yang membawa rakyat, masyarakat, negeri dan negara ke belakang dan wajar ditolak oleh rakyat.
29 Jul 24
4296
RM700 Ribu Atasi Masalah Banjir Jangka Pendek di Rantau Abang
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran negeri telah melaksanakan pelan penyelesaian jangka pendek masalah banjir bagi menangani isu itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang bagi tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata ia merupakan langkah awal kerajaan negeri apabila ketiga-tiga permohonan projek tebatan banjir yang dipohon dalam 'Rolling Plan' Rancangan Malaysia namun sehingga kini masih belum diluluskan.
Katanya, program-program penyelengaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran dengan lima kerja secara sebutharga dengan kos RM700,000.00 sedang dilaksanakan melalui Peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun 2024 bagi Kawasan sekitar Rantau Abang.
“Kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran utama serta kerja kerja berkaitan di Kampung Alor Mak Bah,Dungun melibatkan kos RM50,000
“Seterusnya, kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran dan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Paya Jara, Kuala Abang dengan kos RM400,000 dan kerja kerja pemuliharaan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Tanjung Jara, Dungun, sebanyak RM150,000.
“Manakala kerja kerja pemuliharaan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg Tok Kah, Dungun sebanyak RM50,000 dan kerja kerja pemuliharaan struktur tebing dan pagar jps akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg. Teluk Bidara, Dungun (RM50,000),” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Zulkifli pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mohd Fadhli mengemukan soalan bilakah kerajaan negeri akan melaksanakan projek tebatan banjir di Kawasan DUN Rantau Abang yang selalu terkesan dengan banjir terutama bila tiba musim tengkujuh.
Tambah Hanafiah lagi, itu tidak termasuk jumlah peruntukan melibatkan senarai kerja yang dipohon melalui peruntukan kerajaan negeri (P02) bagi tahun 2025 bagi kawasan sekitar Rantau Abang.
29 Jul 24
164
Royalti Hak Rakyat Terengganu Berdasar Akta Kemajuan Petroleum 1974 - MB
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Terengganu bertegas untuk terus menuntut royalti petroleum hak rakyat dan negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri kekal berpegang teguh dengan akta tersebut dan perjanjian-perjanjian yang berkaitan.
"Kita menuntut hak rakyat Terengganu ini dengan berbagai-bagai cara yang akan dibuat, sepertimana simpulan bahasa menyebut 'lalu penjahit, lalu kelindan'.
"Usaha-usaha ini akan dilakukan secara bersama dengan seluruh rakyat negeri Terengganu dan rakyat Malaysia nanti, insya-Allah," katanya bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili mengenai tindakan lanjut yang akan dilakukan bagi memastikan tuntutan royalti dapat diterima, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata hasil perundingan berkali-kali dengan kerajaan Persekutuan, setakat Julai 2024 kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan royalti berjumlah RM792.32 juta berbanding anggaran hak sebenar RM1.54 bilion.
Namun katanya, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri.
"Baki RM367.15 juta royalti petroleum (daripada kelulusan) setakat Julai tahun tidak diterima," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri turut menjelaskan jumlah yang patut diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2023 ialah sebanyak RM1.524 bilion namun hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu.
29 Jul 24
978
Calon Nenggiri Diumumkan Petang Ini
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diumumkan pada petang nanti.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN akan menggunakan lambang PAS bagi PRK itu sebagai strategi mengekalkan kemenangan.
"Respon yang kita terima dari tinjauan di lapangan , yang sara rasa 'survey' cara ini lebih penting berbanding secara atas talian terutamanya di luar bandar yang ketepatannya boleh diragui.
"Melaui 'survey' di lapangan kita telah mendapat respon yang sangat baik di kalangan rakyat dan masyarakat di Nenggiri," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Menteri besar Terengganu itu berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya, selepas menghadiri Mesyarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Nenggiri merupakan satu DUN yang memeliki keluasan yang lebih besar dari negeri Perlis.
"Sangat besar walaupun penduduknya tidak ramai, dan insya-Allah dengan mendapat respon positif yang sangat baik daripada masyarakat di sana kita berupaya untuk mengekalkan kemenangan," ujarnya.
29 Jul 24
99
Terengganu Teroka Sumber Baharu Hadapi Sekatan Royalti
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Negeri telah mengatur langkah bagi menghadapi sekatan royalti petroleum dengan mengukuhkan kewangan negeri melalui pengawalan perbelanjaan, mengoptimumkan perolehan hasil sumber sedia ada serta mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam berhadapan dengan sekatan royalti ketika ini, semua agensi dan jabatan negeri diminta mempertimbangkan semula keperluan, kebolehlaksanaan dan keutamaan setiap program atau projek yang dirancang.
“Selain meleveraj inisiatif dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, meneroka sumber dan usaha sama dengan pihak bukan kerajaan serta merintis ‘community/bottom-up initiative’.
“Pada masa yang sama, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terengganu perlu mengurangkan kebergantungan pada kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti perniagaan mereka.
“GLC perlu berusaha dengan lebih gigih melaksanakan aktiviti perniagaan supaya hasil keuntungan perniagaan lebih besar dan dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial dan ekonomi kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Shah mengemukakan soalan mengenai bagaimana Kerajaan Negeri mengatur segala urusan pentadbiran dan pembangunan yang dirancang dengan kekangan kewangan akibat daripada pembayaran royalti atau wang ihsan yang tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri seperti yang sepatutnya.
Jelas Ahmad Samsuri lagi, usaha mengksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu tertumpu kepada industri unsur nadir bumi (REE) dan tenaga boleh diperbaharui (renewble energy).
"Hasil cukai dan bukan cukai pula mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun," tambahnya.
29 Jul 24
2824