Artikel "Semasa" Terkini
Lebih 70,000 Meriahkan HPPNT
SETIU, 29 Julai - Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNT) dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT) 2024 mendapat sambutan yang luar biasa dengan kehadiran pengunjung lebih dari 70,000 dengan menghasilkan jumlah jualan luar jangkaan iaitu mencecah RM702.433.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rata-rata orang ramai menilai penganjuran program kali ini sebagai yang paling berjaya.
Katanya, secara peribadi beliau meletakkan jumlah kehadiran adalah lebih daripada apa yang direkodkan.
"Kerana Dataran Pekan Jabi ialah sebuah kawasan terbuka di mana pengunjung boleh masuk dari segenap penjuru begitu juga dengan hasil jualan diyakini ia lebih tinggi.
"Itu tidak termasuk lagi impak secara umum, di mana kawasan sekitarnya turut merasa limpahan ekonomi hasil daripada ramai yang datang berkunjung melibatkan perniagaan rumah inap, hotel, kedai sate, stesen minyak, kedai runcit dan gerai-gerai tepi jalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Penutup HPPNT & HLSPT, di Dataran Pekan Jabi, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut Dr Azman berkata pihaknya sangat bersyukur atas kejayaan program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu.
"Apa yang kita rancang berjalan mengikut landasan yang betul dan insya-Allah pada tahun-tahun akan datang kita cuba perbaiki lagi beberapa kelemahan dan kekurangan yang ada untuk kita persembahkan apa yang terbaik untuk rakyat.
"Di sini adalah medan untuk berjumpa dengan semua pemain dari semua sektor yang berada di bawah pertanian, penternakan, perikanan dan juga asas tani untuk sama-sama berbincang dan berkongsi idea dalam memajukan lagi sektor ini," ujarnya.
29 Jul 24
523
Kerajaan Bina Lebih Banyak Fasiliti di Kompleks Sukan Gong Badak
KUALA NERUS, 28 Julai - Beberapa fasiliti di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak kini sedang dalam proses pembinaan dalam usaha kerajaan negeri memastikan pelbagai aktiviti dan kegiatan sihat dapat dilakukan oleh seluruh rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, antara fasiliti yang sedang dibangunkan adalah tempat latihan angkat berat, memanah serta padang sintetik beserta lampu limpah
Katanya, tujuan menghidupkan Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu supaya lebih ramai rakyat negeri ini boleh berkunjung dan melakukan aktiviti riadah dan bersukan.
"KIta telah menjalinkan hubungan kerja sama dengan pihak kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) dan sebahagian (peruntukan) itu adalah daripada pihak kementerian supaya kompleks sukan kita ini tidak statik dengan apa yang telah sedia ada.
"Jadi kita juga berharap apabila ada fasiliti-fasiliti baru ini ia mampu untuk membangunkan bakat atlet kita dengan lebih agresif pada hari mendatang.
"Namun ada juga tempat latihan yang kita tidak boleh buat di kompleks ini seperti pusat latihan layar jadi kita buat tepi pantai yang 'progress' pembinaanya saya rasa dah hampir siap, insya-Allah dari semasa ke semasa kita akan 'update' perkembangan pusat pembangunan yang saya maksudkan." ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Fit Is Sunnah 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata 'Fit Is Sunnah' itu merupakan agenda yang terkandung di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PINTAS) di samping mengajak rakyat ke arah mengamalkan gaya hidup sihat ia juga bertujuan memperkasakan Komplek Sukan itu untuk menjadi pusat sukan di peringkat negeri.
Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata program seperti 'Fit Is Sunnah' itu merupakan mercu tanda agenda PINTAS.
"UBSNT sedang merangka banyak program dan aktiviti kecergasan yang akan kita laksanakan dalam rancangan merakyatkan sukan kepada seluruh masyarakat negeri Terengganu dengan konsep patuh syariah," ujarnya.
28 Jul 24
766
'Kita Harap Azizulhasni Mampu Hadiahkan Emas Sulung'- Hishamuddin
KUALA NERUS, 28 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap agar jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang berupaya menghadiahkan emas sulung buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024.
Katanya, kejayaan atlet yang berasal dari Dungun Terengganu itu sudah tentu akan bermakna bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa itu.
Kata beliau, selain Datuk Azizulhasni Awang seorang lagi pemain yang turut diharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat buat negara ialah Nur Aisyah Muhammad Zubir yang merupakan atlet berasal dari Kemaman.
"Atlet (Terengganu) kita ke Sukan Olimpik ada dua orang ini yang semuanya merupakan atlet berbasikal dan kita harapkan kedua-duanya mampu untuk menyumbang pingat kepada Malaysia.
"Dato' Azizulhasni Awang kita harapkan beliau mampu memberikan emas sulung bagi pasukan negara kita, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program 'Fit Is Sunnah 2024' di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam.
Untuk rekod, Dato' Azizulhasni akan membuat penampilan kelimanya di Olimpik Paris. dengan sebelum ini dia telah berjaya memenangi pingat gangsa di Olimpik London 2012 sebelum meraih perak di Olimpik Tokyo 2020.
Manakala, Nur Aisyah dalam usia 27 tahun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara berbasikal lebuh raya wanita yang akan turun beraksi secara berseorangan mewakili Malaysia.
28 Jul 24
296
Motivasi Atlet Sukma Terengganu di Tahap Terbaik
KUALA NERUS, 28 Julai - Motivasi atlet Terengganu yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) berada pada tahap terbaik menjelang temasya sukan itu yang akan diadakan di Sarawak pada bulan hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia. Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan laporan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semua atlet sangat bersedia.
"Sebahagian besar telah pun melalui latihan termasuk berkunjung ke luar negara, ada yang telah melalui beberapa perlawanan dan persaingan dengan pelbagai pihak di mana sebahagian besar atlet telah mula berada di Kuching.
"Saya difahamkan ketika hari perlawanan (bola sepak) Terengganu FC menentang Selangor (Separuh Akhir Piala FA) atlet sukan layar telah pun bertolak ke sana.
"Jadi saya jangkakan dari semasa ke semasa akan bermulalah atlet-atlet kita akan berada di Sarawak mengikut jadual perlawanan masing-masing," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program 'Fit Is Sunnah' 2024 Peringkat Negeri Terengganu, di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berharap agar tuah akan berpihak kepada atlet Terengganu bagi mencapai sasaran untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya sukan berprestij dalam negara itu.
"Kita harap kita akan jadi juara keseluruhan dengan semua atlet akan berusaha bagi mencapai pingat emas," ujarnya.
28 Jul 24
311
Penubuhan LAUT Tambah Hasil Baru Buat Negeri
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Penubuhan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) dijangka membawa impak positif kepada seluruh rakyat Terengganu dalam pengurusan sumber air dan tambahan pendapatan buat negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, LAUT membolehkan Terengganu mengoptimumkan kekayaan sumber yang tidak dilaksanakan sebelum ini.
“Penubuhan LAUT ini sama juga dengan kebanyakan negeri di Malaysia yang telah memperuntukkan kuasa melalui enekmen negeri masing-masing untuk membolehkan hasil dikutip daripada penggunaan sumber air, ia bukan air laut sahaja, bahkan turut melibatkan penggunaan air sungai.
“Pelbagai kategori diperkenalkan dan kebanyakan pihak industri dan komersial kita kenakan cas-cas tertentu (sebelum ini percuma).
“Alhamdulillah dari segi pelaksanaan kita ambil masa yang sekejap, ada negeri setelah 10 tahun enakmen itu dibuat, barulah ia dapat dilaksanakan di kawasan berkenaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, baru-baru ini.
Menurutnya, LAUT akan berperanan dalam merancang, mengurus dan menyelaras segala aktiviti berkaitan sumber air di negeri Terengganu.
“Alhamdulillah di negeri Terengganu, bagi tahun pertama kita bagi ‘grace period’ (tempoh ehsan), bagi pemahaman dengan mengadakan libat urus untuk menjelaskan kepada mereka kenapa timbul kutipan ini.
“Tahun kedua kita mengenakan dengan kadar-kadar yang munasabah dahulu, ada insentif dan kita boleh dapat kutipan dengan jumlahnya bertambah,” ujarnya.
Samsuri turut menjelaskan bahawa ada penambahan pendapatan tetapi tidak dinyatakan jumlah.
“Saya tak nak beri jumlah berapa mungkin dalam Sidang DUN ada soalan yang berkaitan dengan jumlah kutipan hasilnya ada enakmen ini,” tambah beliau lagi.
28 Jul 24
2293
Sembilan Kawah Bubur Asyura Untuk 1,125 Keluarga
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 26 Julai - Sebanyak sembilan kawah bubur asyura yang diusahakan 200 orang penduduk telah diagihkan kepada 1,125 keluarga di Kampung Atas Tol.
Ketua Koordinator UPDI Daerah Marang, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, kerjasama Masjid Kampung Atas Tol bersama tujuh surau dan agensi serta NGO telah bergotong royong sambil mengeratkan ukhwah menjayakan program mengacau bubur asyura.
"Antara surau yang terlibat ialah Surau Kampung Sungai, Kampung Kolam, Kampung Pengkalan Kuin, Kampung Tok Ku, Kampung Alor, Kampung Haji Chik, Dan Kampung Tanah Lot," katanya yang turut melahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah turut menyumbang dan hadir meraikan petugas.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambahnya, agensi dan NGO (badan bukan kerajaan) juga turut terlibat adalah JPKK, JPKKP, Kelab Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Rendah Atas Tol, Rangkaian Pemuda Pemudi Atas Tol (RAPAT), Kelab Muhibbah Atas Tol, Kelab Bola Sepak Atas Tol.
"Tahniah pada pemenang kawah Surau Kampung Sungai, Taman Desa , JPKKP Atas Tol, kawah Surau Tokki Ku ,JPKK Atas Tol, kawah Masjid Atas Tol, KRT Atas Tol dan juga kawah Surau Tanah Lot, Kelab Muhibbah," ujarnya.
28 Jul 24
168
Rakyat Tolak Elemen Negatif Arak Dalam Sekolah
KUALA TERENGGANU, 28 Julai– Rakyat Malaysia menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap kemasukan elemen negatif seperti arak ke dalam institusi pendidikan walaupun di sekolah aliran Cina.
Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris, berkata bahawa institusi pendidikan seharusnya bebas daripada sebarang bentuk pengaruh negatif termasuk arak dan rokok.
Menurutnya, adalah sangat malang apabila institusi pendidikan dicemari dengan tajaan daripada syarikat arak, yang seharusnya dikecualikan daripada sistem pendidikan.
“Sekolah seharusnya menjadi tempat yang bersih dan bebas dari anasir yang boleh merosakkan nilai-nilai murni pelajar.
"Kementerian Pendidikan perlu mengambil pendirian tegas dengan menolak semua bentuk sumbangan dana yang mempunyai imej negatif seperti arak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razali berkata kritikan tersebut merujuk kepada sumbangan hampir RM1 bilion daripada syarikat arak yang dikaitkan dengan DAP.
Beliau berkata sumbangan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan peraturan kementerian tetapi juga tidak menghormati perasaan pelajar Melayu Islam yang turut bersekolah di sekolah aliran Cina.
“DAP seolah-olah tidak menghormati ketetapan peraturan dan semangat muhibbah yang menjadi asas perpaduan negara. Rakyat tidak boleh menerima sebarang agenda yang mengutamakan elemen negatif dalam pendidikan.
"Saya menggesa agar rakyat menolak sebarang bentuk pengaruh negatif dan memastikan bahawa semua elemen yang berpotensi merosakkan nilai-nilai murni diinstitusi pendidikan dikeluarkan.
“Rakyat harus bersatu dalam menolak pengaruh negatif seperti arak dalam pendidikan. Ini adalah langkah penting untuk memastikan pendidikan kita kekal bersih dan berkesan dalam membentuk generasi masa depan yang cemerlang,” ujarnya.
Razali menekankan bahawa rakyat perlu terus berwaspada dan memastikan bahawa sistem pendidikan negara tetap kukuh dan bebas dari sebarang bentuk pengaruh yang boleh menjejaskan nilai-nilai dan etika pelajar.
28 Jul 24
177
Usahawan Terengganu Bina Hubungan Antarabangsa di Singapura
SINGAPURA, 28 Julai - Malaysia Fest 2024 yang berlangsung di Singapore Expo, Changi menjadi platform penting bagi usahawan Terengganu untuk memperkenalkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah mengunjungi booth usahawan Terengganu di acara tersebut untuk memberikan sokongan dan galakan kepada mereka.
Menurutnya, beliau berpeluang melihat pelbagai produk tempatan yang dipamerkan, termasuk batik dan songket Terengganu yang mencerminkan keindahan dan kekayaan warisan budaya negeri.
“Selain itu, pelbagai makanan tradisional seperti keropok lekor, ketupat palas, sata, dan aneka kuih turut menjadi tarikan utama pengunjung dari Singapura.
“Penyertaan dalam festival seperti ini adalah peluang penting bagi usahawan Terengganu untuk membina hubungan dan jaringan perniagaan dengan usahawan lain dari dalam dan luar negara,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada program berkenaan.
Ariffin berkata, perkara yang penting bagi usahawan-usahawan yang menyertai festival seperti ini adalah mereka dapat membina hubungan sesama usahawan lain, dari dalam negara dan juga luar negara, termasuk Singapura, bagi meluaskan pasaran produk mereka.
“Dengan adanya peluang seperti ini, usahawan Terengganu diharap dapat memperluas rangkaian perniagaan mereka dan mencapai kejayaan di peringkat global.
“Saya menggalakkan masyarakat untuk mengunjungi booth usahawan Terengganu di Malaysia Fest dan merasai sendiri keunikan serta kualiti produk tempatan yang ditawarkan.
“Acara Malaysia Fest 2024 di Singapura bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk mereka tetapi juga membuka ruang bagi pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Sekali gus katanya, penambahan jaringan perniagaan antarabangsa. Terengganu terus komited untuk menyokong usaha-usaha ini dan memastikan produk tempatan kita mendapat pengiktirafan di persada dunia.
28 Jul 24
296
KPRJ, Terengganu Inc Meterai MOU Bagi Teroka Peluang Baharu Bersama
KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi meneroka dan membangunkan projek serta inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata MOU itu akan mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak dalam mengenalpasti potensi peluang-peluang perniagaan, memupuk
inovasi dan pembangunan mampan di kedua-dua wilayah.
"Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami terhadap pembangunan mampan dan inovasi.
"Bersama-sama, kami berharap dapat meneroka peluang baharu antara kedua-dua negeri," ujarnya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani MOU ini adalah bersempena dengan Ekspo Pelaburan & Perindustrian Selangor ke-4 yang telah diadakan pada 25 Julai 2024 sehingga 27 Julai 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KPRJ, Zainal Abidin Zakaria ber kata gabungan kedua-dua organisasi ini, bakal memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya mencapai kerjasama dan sinergi yang lebih baik untuk Johor dan Terengganu
"Kami amat teruja dengan peluang-peluang perniagaan yang bakal dibawa hasil daripada kerjasama ini," ujarnya.
28 Jul 24
204
Sultan Terengganu Berkenan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
SETIU, 27 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai kejohanan kuda lasak antarabangsa Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2024 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong petang tadi.
Baginda telah berkenan menyertai dalam Kategori Antarabangsa Championship Endurance National (CEI 2*120) Kilometer (KM).
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada petang tadi melibatkan laluan 120 KM, 100 KM dan 80 KM.
Peserta dengan kategori CEI*2 120 KM bertolak pada pukul 5 petang, kategori CEI*1 100 KM pula bertolak pukul 5.15 petang manakala kategori terakhir 80 KM pula bertolak jam 5.30 petang.
Sultan Mizan yang memakai baju biru bernombor sembilan mewakili kelab Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) menunggang kuda pilihannya bernama Ashva Puma, dicabar 83 peserta.
Turut beraksi dalam perlumbaan sejauh 120 kilometer itu juara 2016 dari kelab State Terengganu Endurance Team (STET), Mohammad Fuad Hashim yang menunggang kuda diberi nama F S Patagon.
Peserta lain yang akan bersaing hebat dengan Sultan Mizan termasuk peserta antarabangsa dari Belarus, Viktoriyia Melnikava serta tiga orang peserta Singapura dan dua lagi, masing-masing mewakili Singapura dan China.
Kejohanan edisi ke-7 yang bermula sejak 2018 itu dilepaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5 petang tadi menampilkan beberapa kelab antarabangsa dari dalam dan luar negara.
Perlumbaan yang mengambil masa lebih 12 jam itu dijangka berakhir pada jam 5.20 pagi esok.
27 Jul 24
237