lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Tumpu Industri Teknologi Tinggi
Terengganu Tumpu Industri Teknologi Tinggi
KUALA TERENGGANU, 30 Julai- Kerajaan negeri telah mengatur beberapa strategi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Berteknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antaranya dengan memberi tumpuan kepada industri berasaskan teknologi yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi. “Terengganu juga akan mengutamakan pembangunan mapan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial. “Selain itu, kerajaan negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam. Mengulas lanjut katanya, Terengganu akan mempelbagaikan ekonominya dengan melabur dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan. Katanya, kerajaan negeri sedang menggubal satu dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030. “Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada Internet of Thing (IOT) sebagai iltizam Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030),” ujarnya.  
30 Jul 24
975
Hasil Adunan Pelaksanaan Syariah, Ketelusan Terengganu Diiktiraf
Hasil Adunan Pelaksanaan Syariah, Ketelusan Terengganu Diiktiraf
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi cemerlang sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan menurut kajian badan bebas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merupakan salah satu hasil pemerkasaan syariah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pengiktirafan itu memperlihatkan Terengganu benar-benar melaksanakan apa yang disarankan syariah Islam. "Sebagaimana sedia maklum, negeri kita dari segi asasnya sangat teguh dengan dasar dan prinsip Islam, maka kita comelkan lagi apa yang telah dilaksanakan pada penggal lepas. "Apa yang dilaksanakan pada masa lepas terlalu agresif bagi memastikan pelaksanaan syariah di negeri ini berjalan dengan baik dan tersusun. Jadi, pada penggal ini kita memperkenalkan slogan dinamakan Indahnya Hidup Bersyariat. "Kita telah mengadakan banyak program melalui pelbagai jabatan dan agensi samsada dalam bentuk pelaksanaan syariah dalam ruang dan bidang kuasa yang kita ada dan kita juga mengadakan program kesedaran kepada rakyat  "Kita mahu mendidik rakyat bahawa pelaksanaan syariah ini bukan semata-mata undang-undang jenayah syariah, sebaliknya satu konsep yang sangat luas merangkumi setiap sendi kehuidpan kita diantaranya good gorvenance," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi tentang pelaksanaan Indahnya Hidup Bersyariat dalam program-program di negeri Terengganu. Tambah Muhammad Khalil, kerajaan negeri juga akan terus meningkatkan program untuk menyedarkan rakyat, masyarakat dalam negeri yang telah diteruskan daripada penggal lepas seperti program Madinah Ramadan, Seminar Fiqh Korban dan Akikah dan lain-lain. "Dalam masa terdekat ini, kita juga akan menganjurkan satu karnival Indahnya Hidup Bersyariat di peringkat negeri dan turun ke semua DUN," ujarnya sebagai usaha memupuk lebih kefahaman kepada masyarakat.        
30 Jul 24
173
GLC Terengganu Terlibat Aktif Bangunkan Industri CCUS
GLC Terengganu Terlibat Aktif Bangunkan Industri CCUS
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu akan terlibat secara aktif dalam perbincangan membangunkan hab Industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dengan Kerajaan Persekutuan melalui PETRONAS. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia sebagai langkah permulaan untuk membangunkan CCUS dengan memastikan kepentingan ekonomi dapat dimanfaatkan oleh kerajaan negeri. "Rakyat tidak akan 'participantas directly' di dalam isu CCUS ini, tetapi apabila hasil kerajaan negeri bertambah melalui GLC akhirnya ia akan ditumpahkan kepada rakyat juga dalam pelbagai program sosial, program ekonomi dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada rakyat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya, selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Berkongsi perkembangan semasa, beliau menyatakan bahawa Kementerian telah memaklumkan akan menggubal undang-undang berkaitan CCUS sebelum berakhir tahun ini. "Sebab CCUS ini merupakan perkara baru dan ia memerlukan rangka polisi dan peraturan-peraturan dalam bentuk undang-undang untuk dilaksanakan kemudian baru ia boleh dilaksanakan dengan begitu kemas. "Ia juga sebagai panduan kepada pelabur-pelabur di peringkat antarabangsa ataupun syarikat-syarikat luar negara yang ingin menggunakan khidmat CCUS supaya akhirnya kepentingan negara dan negeri dapat dijaga," ujarnya. Sebelum ini, Kementerian Ekonomi berkata, projek itu dijangka menarik pelaburan mencecah RM20 bilion.
30 Jul 24
222
Terengganu Rekod 5.2 Juta Pelancong, Lepasi Sasaran
Terengganu Rekod 5.2 Juta Pelancong, Lepasi Sasaran
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Terengganu berjaya menarik kunjungan lebih 5.2 juta pelancong tempatan dan antarabangsa setakat separuh pertama tahun 2024, melebihi sasaran awal 4.5 juta pelancong. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata,  kejayaan tersebut diraih hasil pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurutnya, pelbagai indikator digunakan untuk merekodkan kehadiran pengunjung dan pelancong yang datang ke negeri ini. "Sebanyak 861,282 ribu jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan utama bertiket dan 538,691 pengunjung tidak bertiket bagi setiap daerah sejak Januari hingga Jun 2024. "Anggaran jumlah pelancong yang menginap di hotel, resort dan lain-lain  sehingga Jun merekodkan 318,067 ribu dan jumlah ini tidak termasuk pelancong yang menginap di homestay yang tidak berdaftar. "Dan bagi kemasukan pelancong melalui pintu masuk utama ke negeri Terengganu iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Pulau Redang merekodkan kehadiran pelancong lebih 5 juta orang," katanya kepada pemberita. Menurut Razali, pihaknya juga membuat anggaran jumlah berdasarkan pertindihan data pelancong melalui LPT2 . "Daripada keseluruhan jumlah data pengguna LPT2 sebanyak 5,577,063 juta, kita menolak sebanyak 50 peratus dengan mengambil kira laluan kerja dalam Terengganu, laluan transit untuk ke Kelantan dan lain-lain,"ujarnya lagi. Tambah beliau, perancangan kerajaan negeri dalam acara-acara pelancongan dan  penglibatan Jabatan Pelancongan telah menunjukkan berjaya mempromosikan Terengganu. "Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW), Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' dan Scooterian Mega Gathering 2.0 menjadi antara acara yang berjaya menarik ramai pelancong ke negeri ini,"katanya.  
30 Jul 24
391
Peminat Bola Sepak Terengganu Sambut Baik Pengasingan Tempat Duduk Di Stadium
Peminat Bola Sepak Terengganu Sambut Baik Pengasingan Tempat Duduk Di Stadium
KUALA NERUS, 30 Julai - Rata-rata peminat bola sepak di negeri ini menyambut baik penyediaan tempat duduk khas bagi penyokong wanita dan individu berkeluarga yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak. Terengganu FC akan mula melaksanakan pengasingan itu sempena perlawanan antara Terengganu FC dan Negeri Sembilan pada malam ini. Salah seorang penyokong Terengganu TC, Hanif Rashid melalui komen di 'Facebook' berkata, "Alhamdulillah, usaha yang sangat baik. Harap perlaksanaan juga dapat sambutan yang baik. Ayuh warga penyokong TFC, sambut usaha ni. Insya-Allah selesai hok (yang) ini, ada akan ada penyelesaian isu lain pulok (pula)" ujarnya. Hisyamuddin Usa pula berpendapat, "bestnya, harap semua kalu dapat ikut contoh yg baik, suatu hari Terengganu akan menjadi perintis kuasa besar bola sepak Asia," tulisnya. Sementara Ahmad Hanif Awang berkata, "alhamdulillah terbaik ustaz, guna pendekatan yang mudah, tak mampu buat semua jangan tinggal semua. Mana yang baik rakyat akan sokong demi kebaikan semua," katanya. Mohd Rozi Sakiman pula berpendapat, ia satu inisiatif yang baik daripada kerajaan negeri untuk pihak pengurusan mengambil langkah drastik terbaik dalam menyediakan pelaksaan tersebut. "Elakkan daripada percampuran antara lelaki dan perempuan serta mendidik masyarakat khususnya rakyat Negeri Terengganu dengan syariat Islam. "Semoga rakyat lebih memahami ikhtilat atau pergaulan antara lelaki dan perempuan," ujarnya. Terdahulu dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu FC telah memperhalusi perkara ini dan bersetuju untuk memberikan komitmen mereka. “Ia akan dimulakan sempena perlawanan Terengganu FC vs Negeri Sembilan FC pada malam ini. Berkebetulan juga, pihak TFC menganjurkan Matchday x Family Day. “Oleh kerana sifat stadium ini terbuka, pihak penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki dari mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk. “Walaupun begitu, usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan,” katanya melalui satu hantaran di laman rasmi beliau. Jelasnya, perkara berkenaan timbul dan disuarakan penyokong sewaktu perlawanan bola sepak antara Terengganu FC vs Selangor FC sempena Separuh Akhir Piala FA, antara yang berbangkit adalah tentang percampuran penonton antara lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu, beliau berharap usaha Kerajaan Negeri itu dapat menarik lebih ramai sokongan daripada kaum wanita dan keluarga dalam usaha menyemarakkan lagi  tuntutan beragama dan bersyariah dalam segala aspek kehidupan. “Pihak Kerajaan Negeri berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak. “Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan Terengganu FC,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Ngeri Dun Seberang Takir, Khazan Che Mat berharap peminat faham dan dapat mematuhi garis panduan yang akan dilakukan. "Apa pun perbuatan kita tidak dapat lari dengan perintah agama walaupun dalam bersukan," katanya
30 Jul 24
387
Pengasingan Tempat Duduk Dalam Stadium Beri Nilai Positif
Pengasingan Tempat Duduk Dalam Stadium Beri Nilai Positif
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Orang ramai dinasihatkan melihat pengasingan tempat duduk khas kepada penyokong wanita di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang  bermula malam ini dari segi positifnya. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata perkara itu bukanlah diwajibkan sebaliknya ia hanya satu pilihan. "Itulah masalah kita sekarang ni secara umumnya bila buat satu inisiatif yang baru hanya tengok negatif dan bukannya positif. "Ini hanya pilihan, bukan bermaksud siapa yang nak masuk situ kita akan tahan (dan asing ikut jantina) ... bukan macam itu. "Sama macam di Kuala Lumpur pun, ada koc khas untuk wanita ..parking khas untuk wanita (di pasar raya), koc wanita bukan sehari dua ni, ia dah lama dan berjalan dengan baik," katanya. Ahmad Samsuri  berkata demikian ketika mengulas mengenai polemik negatif yang ditimbulkan sesetengah pihak setelah perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, semalam. Terdahulu, beliau merasmikan Pameran Muto & Kenangan di Muzium Negeri Terengganu dekat Losong di sini hari ini. Justeru itu katanya, setiap apa yang dilaksanakan juga perlu dinilai dari aspek positif dan bukan dari sudut negatif semata-mata. Tambahnya, ia adalah satu pilihan untuk keselesaan penonton sepanjang perlawanan bola sepak berlangsung dan bukannya paksaan.    
30 Jul 24
102
HoSZA, Hospital Pertama Pantai Timur Guna Digital Laparoscopic Suite
HoSZA, Hospital Pertama Pantai Timur Guna Digital Laparoscopic Suite
KUALA NERUS, 30 Julai - Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi hospital pertama di Pantai Timur  menggunakan Digital Laparoscopic Suite bagi tujuan pembedahan laparoskopi (MIS). Pakar Bedah Kolorektal HoSZA, Dr. (Mr.) Ahmad Fardi Sulaiman, berkata dengan adanya kaedah ini ia dapat membantu pesakit secara amnya untuk pulih dengan cepat, kos efektif dan pesakit mengalami tahap kesakitan pasca pembedahan lebih rendah berbanding pembedahan bukaan besar (laparotomy). Katanya, selain untuk pembedahan, kaedah itu juga adalah bertujuan untuk latihan, pengajian dan pembelajaran di HoSZA. “Kaedah ini juga dapat membantu mengecilkan lukaan dan juga kebanyakkan pesakit dapat bangun atau berjalan dari katil dengan lebih cepat. “Dengan adanya Digital Laparoscopic Suite ini, pembedahan mampu dilakukan secara siaran langsung dan kita juga dapat pancarkan secara telecast di beberapa tempat lain antaranya Bilik Seminar, Auditorium bahkan juga platform siaran maya iaitu google meet dan webex. “Ini semestinya dapat membantu doctor dan pelajar terutamanya di UniSZA untuk melihat lebih dekat apa dan bagaimana pakar-pakar melalukan pembedahan tanpa mereka berada di dalam dewan pembedahan”, katanya selepas melakukan pembedahan kepada pesakit kanser usus, hari ini. Menurut Dr. Ahmad Fardi,  dari tahun 2018-2022, sebanyak 371 kes dalam pangkalan data Kanser Kolorektal Terengganu dan 146 pesakit (40 peratus) hadir ke hospital dengan keadaan yang memerlukan pembedahan kecemasan. “Kebanyakan pesakit datang dengan gejala usus tersumbat seramai 106 orang (72 peratus) dan pendarahan 21 orang (14 peratus). “Hasil pembentangan ini membawa hasil penyakit yang buruk, morbiditi yang lebih tinggi, beban kesihatan yang ketara dan peningkatan eksponen dalam kos kumulatif kepada Kerajaan bagi merawat kanser ini”, katanya. Menurut beliau, lebih memburukkan lagi, pada tahun 2023 sahaja, telah merekodkan seramai 218 kes baharu kanser kolorektal yang mendapatkan rawatan di semua hospital utama di Terengganu.
30 Jul 24
363
Pembayaran Royalti : "Pelik, Ajaib dan Tak Pernah Berlaku"
Pembayaran Royalti : "Pelik, Ajaib dan Tak Pernah Berlaku"
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Prosedur pembayaran royalti petroleum atau wang ehsan dari Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Terengganu menggunakan kaedah ‘itemised’ dan ‘case-by-case basis’ adalah sesuatu yang memelikkan. Berdasarkan rekod, hasil perundingan berkali-kali dengan kerajaan Persekutuan, setakat Julai 2024 kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan royalti berjumlah RM792.32 juta berbanding anggaran hak sebenar RM1.524 bilion. Namun, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri, sejumlah RM802.18 juta juga masih tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi 2023. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi pembayaran yang dibuat, kerajaan negeri amat tidak bersetuju kerana kaedah pembayaran tersebut tidak membantu dari aspek kecekapan dan produktiviti. “Pendekatan ini bukan sahaja memelikkan, ajaib dan tidak pernah berlaku kerana yang berlaku adalah kontrak antara Kerajaan Negeri dengan pihak kontraktor yang menjalankan servis tetapi pembayarannya dibuat terus oleh pihak ketiga kepada kontraktor. “Keadaan ini dengan sendirinya telah mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, menyusahkan kakitangan Kerajaan sama ada di negeri atau Pusat, bahkan turut mengaburkan semangat federalisme dan sistem demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Walau bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri terpaksa menghadap prosedur menyusahkan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pihak-pihak berkenaan yang menjalankan perkhidmatan dan kontraknya, menerima bayaran yang sepatutnya.  
30 Jul 24
9569
SUKMA : Atlet Judo Optimis Capai Target Enam Emas
SUKMA : Atlet Judo Optimis Capai Target Enam Emas
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Atlet sukan judo yang akan mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) kini telah berada tahap terbaik dan optimis dapat mencapai sasaran enam emas. Ketua Jurulatihnya, Marjan Abdullah berkata, 22 atlet yang dipertaruhkan bagi mencapai pingat emas itu merupakan muka baru dan hanya seorang yang pernah mewakili SUKMA dalam edisi sebelum ini. Ujarnya, peserta paling muda berusia 15 tahun dan tertua berusia 22 tahun melibatkan atlet lelaki dan wanita yang akan beraksi menerusi lapan kategori pertandingan. "Persediaan atlet kita sekarang ini 95 peratus, semuanya telah bersedia untuk ke Sarawak dan bebas daripada kecederaan. "Insya-Allah kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk  mencapai misi sekurang-kurangnya merangkul enam pingat emas, sebelum ini kita dapat lima pingat emas. "Kali ini kita akan cuba leburkan emas baru melalui muka-muka baru yang kita tampilkan dan kesemua mereka telah melalui latihan mencukupi," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). semasa menghadiri Majlis Inspirasi SUKMA 2024: Bapa Angkat dan Persatuan Judo Negeri Terengganu, di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, di sini, semalam. Dalam pada itu katanya, pihaknya juga turut mengawal pemakanan bagi memastikan kesemua atlet cergas dan mampu memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung. "Kita mengharapkan agar emas mampu dicapai sebanyak-banyaknya melalui acara ini dan melepasi target yang kita sasarkan dengan semua atlet kini berada pada tahap mental yang terbaik bagi menghadapi SUKMA pada kali ini," ujarnya.  
30 Jul 24
167
Sultan Terengganu Berkenan Lihat Gelagat Pelajar di Pertandingan Akhir Piala YDSM
Sultan Terengganu Berkenan Lihat Gelagat Pelajar di Pertandingan Akhir Piala YDSM
KUALA NERUS, 29 Julai – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyaksikan pertandingan akhir Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail hari ini. Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, bersama anakanda-anakanda Baginda yang lain. Pertandingan akhir Piala YDSM menyaksikan penyertaan lapan sekolah, masing-masing mewakili satu daerah di Terengganu yang bersaing untuk merebut gelaran juara. Sultan Mizan turut berkenan meninjau semua pertandingan yang berlangsung hari ini, termasuk Pertandingan Chorasikal Sketch, Pertandingan Chain Story Telling dan Pertandingan Public Talk, My Terengganu Proposal Quest, serta Smart English. Kesemua pertandingan tersebut masing-masing bertempat di Dewan Besar Al-Farabi, Dewan Besar Ungku Omar, dan beberapa bilik di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Keberangkatan Baginda ke acara tersebut mencerminkan komitmen dan sokongan terhadap usaha memupuk bakat dan kreativiti dalam kalangan pelajar. Para pelajar, guru serta ibu bapa yang hadir menunjukkan perasaan teruja dengan kehadiran baginda ke acara tersebut. Sultan Mizan, Sultanah dan anakanda-anakanda Baginda berkenan meluangkan masa untuk bersalaman dengan hadirin serta pelajar yang mengambil bahagian dan memberi sokongan dalam acara berkenaan.            
29 Jul 24
469