lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

'Lapor Polis Jika Berlaku Aktiviti Karan Ikan'
'Lapor Polis Jika Berlaku Aktiviti Karan Ikan'
MARANG, 1 Ogos - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak polis atau pejabat perikanan berhampiran jika terdapat aktiviti kaedah penangkapan iakn terlarang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti menggunakan racun, bom ikan atau menangkap ikan menggunakan arus elektrik. Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, kaedah tersebut akan mengakibatkan kepupusan spesies ikan dan hidupan lain sekali gus akan mengganu ekosistem sungai dan turut memberi kesan kepada nelayan darat hilang sumber pencarian. "Jika ada nampak cara yang salah digunakan untuk menangkap ikan laporkan segera kepada Jabatan Perikanan, tindakan undang-undang akan diambil melalui Akta Perikanan 1985. "Adalah perlu untuk orang ramai peka dan cari jalan bagi mengatasi perkara ini bagi menjaga ekosistem sungai dan memelihara spesies ikan dan hidupan lain bagi mengekalkan kelestarian yang akan memberi manfaat kepada semua," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pelepasan Benih Ikan dan Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat Daerah Marang dan Hulu Terengganu, di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, di sini, hari ini. Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman. Mengulas lebih lanjut, Ruzaidi berkata individu yang didapati bersalah menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (pindaan 1993). Katanya, individu bersalah boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM500 atau denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. "Orang awam juga diingatkan agar tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan sungai dibimbangi ia akan turut menjejaskan ekosistem sungai dan kepupusan spesies ikan asli. "Antara spesies asing adalah Ikan Baung Ekor Merah, Ikan Bandaraya, Ikan Peacock Bass dan Ikan Pacu," ujarnya.  
01 Aug 24
284
Pasar Payang 1 Dibuka, Pengunjung Boleh Membeli
Pasar Payang 1 Dibuka, Pengunjung Boleh Membeli
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos – Pasar Kedai Payang 1 secara rasmi dibuka hari ini, membolehkan pengunjung mula membeli pelbagai barangan serta perkhidmatan yang disediakan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dalam lawatan tidak rasmi pasar kedai payang hari ini menunjukkan bahawa kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan 110 peniaga telah memulakan operasi mereka. “Hari ini menyaksikan dua segmen sudah beroperasi, iaitu kedai barang kemas dan cenderamata. Untuk segmen lain seperti kedai pakaian, kami sasarkan mereka akan mula beroperasi dalam tempoh sebulan hingga sebulan setengah lagi. Kami yakin kedai pakaian akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 September. “Walaupun tidak semua peniaga barang kemas dan cenderamata memulakan operasi, kira-kira lima hingga enam kedai telah dibuka. Kedai-kedai lain masih dalam proses pengubahsuaian dan dijangka siap dalam masa terdekat," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan tidak rasmi pembukaan Pasar Payang 1 di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif. Wan Sukairi berkata jumlah pemohon untuk menyewa kedai di Pasar Payang menunjukkan sambutan yang sangat baik, dengan hampir 1,000 permohonan diterima "Isu berkaitan kadar sewa yang timbul di kalangan pemohon dianggap tidak besar, kerana kadar sewa yang ditetapkan adalah berpatutan berdasarkan lokasi dan jumlah pengunjung yang diunjurkan.  "Proses pengubahsuaian untuk Pasar Payang 2 akan dimulakan selepas pemindahan peniaga dari Pasar Payang 1 selesai," ujarnya. Jelasnya lagi, kerja-kerja renovasi akan dilaksanakan oleh pihak pengurusan, manakala peniaga akan menyiapkan pengubahsuaian mengikut keperluan mereka sendiri.    
01 Aug 24
387
Penganjur Jom Heboh Setuju Ikut Garis Panduan Kerajaan Terengganu
Penganjur Jom Heboh Setuju Ikut Garis Panduan Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Penganjur Program Jom Heboh Terengganu 2024 telah bersetuju untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata penganjur berikrar untuk patuh dengan semua tatacara penganjuran hiburan di Terengganu termasuk mengenai pengasingan kawasan lelaki dan perempuan serta keluarga semasa acara pentas. Katanya, pengasingan itu bertujuan menjaga privasi dan mematuhi adab Islam serta tidak melanggar kesalahan jenayah syariah di negeri berkenaan. "Kerajaan negeri ingin memastikan semua pengunjung dapat menikmati persembahan dengan penuh keselesaan, tanpa sebarang ketidakselesaan atau gangguan. “Pengasingan kawasan ini merangkumi pemisahan tempat duduk untuk lelaki dan perempuan semasa konsert, dengan tanda jelas yang menunjukkan kawasan masing-masing. “Pengasingan tersebut dijangka dapat membantu mengurangkan sebarang masalah yang mungkin timbul dan memastikan acara hiburan malam tersebut berjalan dengan lancar serta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. “Langkah ini adalah sebahagian daripada garis panduan yang ditetapkan untuk acara tersebut, yang juga melibatkan kehadiran penguatkuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk memastikan tiada pelanggaran syariah berlaku,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Razali berkata, pihak penganjur juga telah bersetuju untuk mengarahkan semua artis dan urus setia untuk mematuhi garis panduan pemakaian, dengan artis wanita wajib memakai tudung dan lelaki dikehendaki menutup aurat. “Tidak ada sebarang nyanyian wanita dibenarkan, dan semua nyanyian akan dikhususkan kepada genre yang mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. “Dengan pelaksanaan garis panduan ini, kami berharap dapat menyediakan pengalaman yang harmonis dan selesa bagi semua pengunjung Jom Heboh,” ujarnya. Razali berkata, pihaknya juga menggalakkan pengunjung untuk mematuhi panduan yang telah disediakan demi menjamin kelancaran acara. Untuk rekod, Jom Heboh 2024 di Terengganu bermula pada 1 hingga 3 Ogos bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.
31 Jul 24
861
Terengganu Perkenal Garis Panduan Baharu Perkasa Syariah
Terengganu Perkenal Garis Panduan Baharu Perkasa Syariah
KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Dalam usaha untuk memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di Negeri Terengganu, satu bengkel khas telah diadakan bertujuan untuk membangunkan Garis Panduan Pendengaran Kes Segera Kes Jenayah Syariah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata bengkel tersebut adalah inisiatif untuk menangani kes-kes tangkapan yang melibatkan bukan warganegara dan warganegara yang tinggal di luar negeri, serta memastikan bahawa prosedur undang-undang dilaksanakan dengan lebih berkesan. “Negara telah menghadapi pelbagai cabaran terhadap undang-undang syariah, termasuk kes seperti Iki Putra Mubarak dan Nik Elin. Namun, ini tidak bermakna kita perlu mengaku kalah, sebaliknya, memerlukan usaha yang berterusan untuk memperkasakan perundangan syariah. “Kerajaan Negeri Terengganu telah menetapkan Pemerkasaan Pelaksanaan Syariah dan Pemantapan Pendidikan sebagai teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030),” katanya ketika berucap pada bengkel berkenaan bertempat di Sumai Hotel Apartment, Kuala Terengganu semalam. Dr Khalil turut menyentuh usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkasakan pelaksanaan syariah dan menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti perundangan syariah. Katanya, Jawatankuasa Penyelarasan Undang-undang Syariah di bawah Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah telah berjaya mencadangkan pindaan kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2024. “Pindaan tersebut melibatkan peruntukan baharu dan peningkatan kadar hukuman untuk memastikan undang-undang selari dengan perkembangan semasa. “Saya mengalu-alukan usaha ini sebagai langkah penting untuk memastikan garis panduan yang relevan dan efektif dalam pelaksanaan undang-undang syariah,” ujarnya. Beliau juga mengingatkan bahawa tindakan yang diambil perlu sejajar dengan undang-undang yang berkuat kuasa dan berharap bengkel ini akan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa perundangan syariah.
31 Jul 24
150
Dua Acara Baharu Dipertandingkan Rebut Piala YDSM 2024
Dua Acara Baharu Dipertandingkan Rebut Piala YDSM 2024
KUALA TERENGGANU, 31 Julai- Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) memperkenalkan dua acara baharu dalam pertandingan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris bagi merebut Piala YDSM 2024 iaitu Public Talk: Back To The Future dan My Terengganu Proposal  Quest. Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Azri Sani Dato’ Mazlan berkata, Program Pengukuhan Bahasa Inggeris yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya itu telah mencapai hasil yang membanggakan dengan beberapa pembaharuan yang dilaksanakan menjadikan lima pertandingan iaitu Smart English, Choracisical Sketch, Chain Stori Telling dan dua acara baharu yang dipertaruhkan kali ini lebih mencabar. “Acara baharu iaitu Public Talk: Back To The Future bertujuan menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini. “Ia lebih kepada menekankan kematangan pelajar membentang cita-cita dan aspirasi selain memupuk mereka menjadi pengkaji kerana pembentangan perlu dikuatkan dengan bukti. “Untuk tahun rintis ini, seramai 102 pelajar dari 43 sekolah telah mengambil bahagian dimana peserta mempamerkan kebolehan serta matang dalam menyampaikan idea masing-masing,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengurniaan Hadiah Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan 2024 bagi Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Program Pengukuhan Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah, hari ini. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Jelani Sulong dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M. Rozi Bidin. Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu diangkat sebagai johan pertandingan Smart English, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Hulu Terengganu johan kategori pertandingan Chorasical Sketch; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu johan pertandingan Chain Story Telling.  Sementara bagi acara baharu iaitu Public Talk: Back To The Future johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut dan johan My Terengganu Proposal Quest adalah Sekolah Menengah Kebangsaan kompleks Gong Badak, Kuala Nerus. Azri Sani berkata, Program Pengukuhan Bahasa Arab yang memasuki tahun ke-8 penganjurannya pula masih meneruskan pertandingan Kalam Jama’ie dan Dikir Arab bagi mencungkil bakat pelajar dalam penguasaan Bahasa Arab di peringkat sekolah menengah agama di negeri ini. Tambah beliau, mulai tahun ini juga pertandingan akhir program diadakan dalam bentuk Karnival Bahasa Inggeris Dan Bahasa Arab Piala YDSM menjadikan suasananya lebih meriah.
31 Jul 24
364
‘Usikan’ Motosikal Klasik dan Retro Kini di Muzium Negeri
‘Usikan’ Motosikal Klasik dan Retro Kini di Muzium Negeri
KUALA  TERENGGANU, 31 Julai - Lebih 40 buah motosikal klasik dan retro menjadi perhatian orang ramai serta pengunjung pada Pameran Muto dan Kenangan 2024 yang berlangsung di Dewan Mandalika dan Ruang Foyer, Kompleks Muzium Negeri Terengganu bermula 1 Julai sehingga 31 September ini. Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, antara yang mendapat perhatian pengunjung, sebuah motosikal klasik paling lama dan bernilai tinggi iaitu harley davidson model 1916 C  yang kini mencecah nilaian lebih RM150,000. Katanya, pameran itu diadakan bertujuan mengimbau nostalgia permotoran di Malaysia dengan suntikan nilai-nilai sentimental dalam budaya bermotosikal. “Motosikal klasik dan retro menjadi tunjang koleksi serta foto-foto lama bakal mengembalikan pengalaman bersama dari pelbagai aspek budaya motosikal dalam kehidupan. "Ia sekali gus memberi pendidikan kepada generasi baharu khusus dalam aspek keselamatan dan perundangan di jalan raya," katanya ketika ditemui sempena pameran Muto & Kenangan di sini semalam. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dan menyokong penuh  penganjuran-penganjuran seperti itu yang menyumbang kepada peratusan kehadiran pelancong ke Terengganu. “Kompleks Muzium ini  merupakan salah satu destinasi ‘patut lawat’ para pelancong jika berkunjung ke negeri ini. “Justeru itu, saya berharap pihak muzium  dan lain-lain agensi pelancongan  sentiasa bersiap siaga menyajikan program-program yang kreatif, inovatif serta dapat  memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat,”ujar beliau.  
31 Jul 24
244
PAS Kecam Pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran
PAS Kecam Pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam serangan terbaru oleh Israel yang mengakibatkan kematian Ketua Politik Pasukan Pejuang Palestin, Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran. Dalam satu kenyataan media, Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyifatkan tindakan Israel sebagai jenayah perang dan kejam. Menurutnya, serangan tersebut berlaku di ibu kota Iran, Tehran, dan turut mengorbankan seorang pengawal peribadi Ismail Haniyeh. “PAS turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah. “Serangan ini bukan sahaja merupakan satu bentuk penganiayaan yang tidak berperikemanusiaan tetapi juga menunjukkan bahawa Israel terus menerus menjadi dalang di sebalik keganasan yang berlaku di Gaza,” ujar kenyataan tersebut. Abdul Hadi berkata tindakan mereka adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia. Beliau juga mengingatkan bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan yang tidak pernah berakhir dan memerlukan sokongan berterusan daripada umat Islam dan masyarakat antarabangsa.  “Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim. PAS menyeru kepada seluruh dunia untuk mengutuk tindakan Israel dan menuntut tindakan tegas terhadap negara tersebut. "Serangan ini menambah kepada ketegangan yang sedia ada di Timur Tengah, dengan banyak pihak mengecam tindakan Israel dan menyeru kepada penyelesaian damai yang adil untuk konflik Palestin-Israel," ujarnya. Menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi di laman web beritanya berkata, Haniyeh tiba di Tehran pada hari Selasa untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, di parlimen Haniyeh juga sempat bertemu dengan Pezeshkian serta pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. "Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut, tetapi disyaki dilakukan oleh tentera Israel, yang telah berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas selepas serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu. "Punca kejadian itu belum dijelaskan dengan jelas, namun wakil Iran hanya menyatakan bahawa siasatan sedang dilakukan," ujarnya.
31 Jul 24
227
Solat Hajat, Baca Qunut Nazilah di Seluruh Negara 3 Ogos - PAS
Solat Hajat, Baca Qunut Nazilah di Seluruh Negara 3 Ogos - PAS
KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh negara untuk mengadakan solat hajat dan bacaan doa qunut nazilah demi Gaza pada 3 Ogos 2024 sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin. Dalam kenyataan media hari ini, Abdul Hadi berkata bahawa langkah itu diambil sebagai respons kepada cadangan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang mencadangkan 3 Ogos sebagai hari solidariti untuk penduduk Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel. “Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan seluruh ahli PAS dan mencadangkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah pada hari tersebut” katanya dalam kenyataan tersebut. Abdul Hadi menambah, tujuan utama inisiatif itu adalah untuk memohon pertolongan dan kemenangan kepada rakyat Palestin serta meminta Allah menghancurkan bala tentera Israel dan sekutunya yang bertindak zalim tanpa perikemanusiaan. “Kita harap dengan tindakan ini, rakyat Malaysia dapat menunjukkan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendesak masyarakat antarabangsa untuk lebih prihatin terhadap krisis yang sedang berlaku di Gaza. “Solat Hajat ini akan diadakan di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara pada 3 Ogos, yang turut diharapkan dapat mengumpulkan sokongan moral dan doa daripada rakyat Malaysia untuk Palestine,” ujarnya. Dalam satu kenyataan di akaun Telegram Hamas Isnin lalu, Haniyeh menggesa 3 Ogos menjadi hari kebangsaan dan antarabangsa untuk menyokong Gaza dan tahanan. “Penyertaan negara, Arab, Islam serta antarabangsa yang berkesan untuk tujuan ini dan kesinambungan semua bentuk demonstrasi serta perarakan terhadap pendudukan, pencerobohan dan jenayah Zionis hinggalah kekejaman terhadap banduan tahanan di penjara Nazi. “Kami menantikan 3 Ogos sebagai hari yang penting dilihat dan berkesan di semua bahagian Palestin, kem pelarian dan diaspora serta di dunia Arab, negara Islam dan dalam kalangan semua orang bebas di dunia untuk menyokong rakyat kami di Gaza dan tahanan. “Ia dibuat berikutan kesunyian antarabangsa dan ketidakupayaan untuk menghentikan perang agresif ini terhadap rakyat dan banduan. Berat sebelah dalam sokongan dan perkongsian penuh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dalam pencerobohan ini. “Serta kegagalan institusi hak asasi manusia dan kemanusiaan dalam memikul tanggungjawab mereka dalam memberikan sokongan, bantuan dan kemenangan untuk rakyat kita di Semenanjung Gaza dan tawanan kita di penjara zionis,” katanya yang dilaporkan portal Al Quds. Sejak 7 Oktober lalu, Israel dengan sokongan AS melancarkan perang ke atas Gaza sehingga mengakibatkan lebih 130,000 syahid dan cedera yang kebanyakannya kanak-kanak dan wanita. Lebih 10,000 lagi hilang di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kebuluran yang dianggap bencana kemanusiaan terburuk di dunia.          
31 Jul 24
775
Malaysia Baharu Perlu Dibina Semula
Malaysia Baharu Perlu Dibina Semula
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Perikatan Nasional (PN) melihat bahawa Malaysia Baharu perlu dibina demi menjamin kehidupan rakyat yang lebih sejahtera di masa akan datang. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa didatangi pelbagai pihak yang menyatakan ingin bersama dengan komponen PN dan PAS sendiri yang akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian serta kepentingan bersama bagi membangunkan negara. "Kami melihat masa depan negara yang lebih baik 'a new Malaysia' harus kita bina dengan (memperkasakan) muafakat politik sedia ada antara PAS bersama dengan rakan-rakan dalam PN. "Ia perlu kita kembangkan dari semasa ke semasa (dan) ini akan menjadi satu tawaran yang baik untuk Malaysia baru, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang akhbarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini. Mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pihak pembangkang iaitu PN datang untuk berunding dengannya serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Samsuri menyatakan pihaknya tidak berminat untuk melayan kenyataan yang tidak berasas itu. "Apa yang dia sebut dia punya pasal, saya tidak campur apa yang disebut, (selama ini) berjumpa di parlimen, selisih dalam mesyuarat itu pertemuan dengan peranan masing-masing sama ada sebagai  Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun kerajaan. "Itu bukan diklasifikasikan sebagai pertemuan perbincangan politik, itu akan kalau bertemu dengan Ahli Parlimen UMNO sekalipun itu adalah pertemuan dalam konteks mengurus tadbir sesuai dengan perananan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN di negeri masing-masing," ujarnya. Menjawab mengenai akan berlaku atau tidak kerjasama dengan UMNO pada masa akan datang, katanya perkara pada masa hadapan sukar untuk diramal. "Jadi saya tidak akan komen tentang perkara akan datang, setakat ini tiada apa-apa perancangan, tidak ada untuk mengadakan pertemuan dan seumpama dengannya," jelasnya,
31 Jul 24
283
Royalti 'Dikerat', Kaedah Bayaran Menyusahkan
Royalti 'Dikerat', Kaedah Bayaran Menyusahkan
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sudahlah bayaran tidak diterima sebagaimana perjanjian, royalti petroleum milik rakyat Terengganu yang diterima pula sangat sulit dan membebankan kerajaan serta penjawat awam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mendedahkan Terengganu hanya menerima RM425.17 juta daripada jumlah keseluruhan royalti petroleum yang sepatutnya diterima sebanyak RM1.524 bilion pada 2024. Katanya, bagi jumlah yang diterima pula, pembayaran dilakukan secara ‘runcit-runcit’ hingga memaksa kerajaan negeri 'menghadap' pihak persekutuan setiap bulan bagi meluluskan item diperlukan. "Kemudiannya kelulusannya pula ditentukan oleh pihak kerajaan persekutuan (walaupun dana itu hak milik Terengganu dan kerajaan Terengganu adalah kerajaan yang sah). "Kerajaan negeri Terengganu terpaksa berhadapan dengan prosedur yang rumit dan menyusahkan untuk mendapatkan bayaran royalti milik sendiri yang telah ditetapkan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Dr Khalil berkata situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan pentadbiran negeri tetapi juga membebankan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan. Beliau juga menyatakan bahawa pendekatan itu menunjukkan kurangnya kepercayaan daripada pihak kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri, walaupun negeri-negeri adalah asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia. “Ini adalah satu bentuk kegagalan dalam semangat federalisme dan amalan demokrasi di bawah Kerajaan Madani. Kami berharap kerajaan persekutuan dapat memperbaiki sistem pembayaran royalti ini agar lebih adil dan berkesan. “Pendedahan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Terengganu dan pihak-pihak berkepentingan yang menyifatkan langkah ini sebagai satu pengabaian terhadap hak negeri dalam menerima hasil sumber asli mereka,” ujarnya.
31 Jul 24
271