Artikel "Semasa" Terkini
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) melepaskan 18,600 ekor pelbagai spesis benih ikan asli di perairan umum Sungai Terengganu, di Kampung Dusun, Telemong hari ini.
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata jumlah benih ikan yang dilepaskan pada pagi itu terdiri daripada benih ikan baung sebanyak 3,500 ekor, Lampam Sungai berjumlah 15,000 ekor manakala Kelah pula sebanyak 100 ekor.
Katanya, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan stok ikan bagi menjamin bekalan protein dari sumber ikan sentiasa mencukupi kepada rakyat.
"Selain itu, menjadi tarikan baru pelancongan kepada golongan kaki pancing untuk mengunjungi kawasan Kampung Dusun dan kampung-kampung lain yang terdapat di sepanjang jajaran sungai ini.
"inisiatif tersebut turut memberi impak dan manfaat kepada nelayan dan golongan sasar yang terdiri daripada masyarakat luar bandar, pulau serta pedalaman bagi mendapatkan sumber protein murah dan meningkatkan pendapatan juga sosioekonomi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas program berkenaan.
Maliaman berkata, program tersebut diharapkan dapat terus melestarikan sumber perikanan sungai dalam memenuhi ruang sebagai salah satu sumber ekonomi bagi nelayan darat di samping dapat memulihara ekosistem.
“Saya harapkan kita semua akan terus menjaga persekitaran daripada tercemar akibat perbuatan tangan-tangan manusia yang tidak menjaga kesejahteraan sungai.
"Disini juga kawasan utama pembiakan Tuntung. Sebelum ini kita sudah kehilangan salah satu daya tarikan negeri kita iaitu penyu yang sudah kurang mendarat di Rantau Abang," ujarnya.
Untuk Rekod pada tahun 2024, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerima RM135,000.00 peruntukan bagi perolehan benih ikan. RM85,000.00 adalah dari Kerajaan Negeri manakala RM50,000.00 dari Kerajaan Persekutuan.
08 Aug 24
231
Pensyarah Antarabangsa Gesa Pemimpin Sambut Idea Geopolitik, Ekonomi Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Ahli akademik luar negara menggesa badan pemikir dan pemimpin utama Malaysia menyambut saranan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mendepani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia, Dr. Warjio berkata, Ahmad Samsuri menyatakan bertahan menghadapi ketidakpastian geopolitik dan ekonomi tidak cukup dengan hanya memiliki majlis ekonomi standard.
“Sebaliknya semua pemimpin berbeza latar belakang perlu duduk bersama pemegang taruh seperti peniaga, ahli ekonomi, pemain industri, masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penasihat undang-undang, pakar teknologi dan sebagainya.
“Jika ingin mengurangi semua ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, kita perlu melihat setiap negara secara individu, untuk melihat mereka miliki, keadaan ekonomi, demografi dan sebagainya kerana satu penyelesaian mungkin berfungsi di sebuah negara tetapi tidak berfungsi di negara lain,” katanya memetik idea Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran badan pemikir baharu, The Future Research (Penyelidikan Masa Depan, TFR) di Putrajaya baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Ekonomi Kanan dari Pejabat Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAPCEO), Kumpulan Bank Dunia, Dr. Aakash Mohpal, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.
Terdahulu ujar Dr. Warjio, Pakar Aeroangkasa itu menyatakan ketidakpastian geopolitik timbul daripada pelbagai isu global dan serantau, termasuk konflik geopolitik, keselamatan alam sekitar dan sumber, keselamatan dan pengurusan risiko dan kesihatan serta pandemik.
“Ketidakpastian ekonomi pula dinyatakan berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk ekonomi, perdagangan dan rantaian bekalan, pasaran serta kewangan, teknologi dan pasaran buruh serta faktor politik selain alam sekitar,” jelasnya.
Tambah Dr Warjio, beberapa saranan lain untuk menangani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi turut dikemukakan Ahmad Samsuri, ia termasuk menubuhkan rangkaian rantaian bekalan halal berasaskan ‘blockchain’ dan membangunkan platform ‘blockchain’ nasional untuk barangan kritikal seperti makanan dan ubat-ubatan.
Kata beliau, Ahmad Samsuri turut mencadangkan agar negara memanfaatkan wakaf untuk projek pelaburan mampan, menubuhkan hab inovasi awam-swasta serta melaksanakan program pendidikan berterusan dan peningkatan kemahiran.
“Dua negara ASEAN, iaitu Singapura dan Vietnam, merupakan contoh utama ketahanan ekonomi dan inovasi.
“Kesimpulan ucapan beliau, pengalaman negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam serta negara Muslim seperti Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menekankan pentingnya investasi strategi dan reformasi ekonomi dalam mempertahankan ketahanan di tengah-tengah tantangan global, menunjukkan strategi proaktif dapat digunakan untuk mengelola dan mengurangi dampak gangguan geopolitik mahupun ekonomi dengan efektif.
“Ahmad Samsuri juga membahas mengenai contoh strategi ketahanan di Terengganu yang membuatkan kemajuan di negeri itu signifikan dalam mendiversifikasi ekonomi yang bertujuan meningkatkan ketahanannya.
“Secara sejarah, Terengganu terlalu bergantung pada industri minyak dan gas, tetapi kini beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri biopolimer farmaseutikal, pertanian pintar, sektor pertanian, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain.
“Hasilnya, Laporan Ketua Audit Negara merumuskan antara 2018 hingga 2021, menyatakan kebergantungan Terengganu kepada royalti petroleum berkurang sebanyak empat peratus kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus untuk 2014 hingga 2017,” katanya.
08 Aug 24
307
Kerajaan Negeri Galak Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa
KUALA NERUS, 9 Ogos – Kerajaan negeri kini giat menggalakkan usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan menyediakan sokongan, bimbingan dan peluang yang diperlukan bagi memperluas capaian mereka ke peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, berkata inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan memperluas capaian pasaran mereka di peringkat global, seterusnya meningkatkan daya saing dan membuka peluang baharu dalam industri.
Katanya, kerajaan negeri baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja bersama MATRADE Wilayah Timur, yang diwakili oleh Pengarah Wilayah Timur, Puan Zaimah, serta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ke beberapa syarikat tempatan termasuk Mamadil Hq di Dataran Austin dan In Saff Food Industries Sdn Bhd.
“Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai syarikat-syarikat ini, termasuk potensi, masalah yang dihadapi, serta jenis bantuan yang diperlukan.
“Mamadil, sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2012, telah berjaya membuka sembilan cawangan di seluruh negara dan kini sedang berusaha untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Kami memuji usaha mereka dan komited untuk memberikan sokongan dalam bentuk bantuan dan maklumat melalui MATRADE dan YPU,” katanya kepada pemberita selepas lawatan berkenaan.
Ariffin berkata, begitu juga dengan In Saff Food Industries Sdn Bhd, yang mengeluarkan produk makanan sejuk beku dan kini merancang untuk mengembangkan pasaran mereka.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri, bersama MATRADE dan YPU, telah menyediakan pelbagai program sokongan, termasuk latihan khusus dalam pengembangan eksport, padanan perniagaan, dan pameran perdagangan antarabangsa seperti MIHAS 2024.
“Program-program ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan usahawan tempatan dapat memanfaatkan peluang yang ada di pasaran global.
“Kami juga menggalakkan syarikat-syarikat untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi keusahawanan,” ujarnya.
Beliau turun menekankan bahawa pentingnya persijilan antarabangsa seperti BPOM dan Izin Edar bagi memudahkan produk tempatan memasuki pasaran luar negara.
“Dengan adanya persijilan dan sokongan dari agensi kerajaan, syarikat tempatan dapat mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran global dan menarik minat pembeli antarabangsa.
“Kami percaya bahawa dengan sokongan dan bimbingan yang tepat, usahawan tempatan akan dapat memanfaatkan peluang yang ada dan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa,” kata Ariffin menutup sesi perbincangan.
“Kerajaan Negeri Terengganu terus komited untuk menyokong perkembangan industri tempatan dan memastikan usahawan tempatan mendapat akses kepada peluang yang dapat memajukan perniagaan mereka di luar negara,” ujarnya.
08 Aug 24
175
'Hospitalku Sekolahku' Bantu Pendidikan Kanak-Kanak Dalam Rawatan
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Program 'Hospitalku Sekolahku' yang diadakan di Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu menyasarkan pendidikan berterusan untuk kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Nor Hafizah Abdullah, berkata program tersebut telah berlangsung selama 11 tahun dan melibatkan antara 300 hingga 400 pelajar.
Menurutnya, program tersebut dianjurkan oleh FBK dengan kerjasama SDH, HSNZ, Kuala Terengganu, sebagai kesinambungan daripada program 'Sekolahku Hospitalku' yang mula dilaksanakan pada tahun 2013.
“Saya berharap inisiatif ini akan terus menjadi platform penting untuk pendidikan kanak-kanak dalam rawatan, dengan harapan usaha ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.
"Program ini memberikan impak positif kepada komuniti dan peserta, mengeratkan hubungan antara komuniti luar dengan mahasiswa FBK serta menyediakan input untuk memperkuat dan memperkasakan para peserta,” katanya kepada pemberita ketika pelancaran program berkenaan.
Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Pengarah Hospital, Dr. Norazman Alias, yang menyatakan komitmen untuk memastikan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital tidak terlepas daripada pembelajaran.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Nordin Abdul Rahman, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Dekan FBK, para pensyarah yang menyertai program, dan fasilitator “Hospitalku Sekolahku”.
Beliau juga menekankan bahawa program berkenaan bertujuan menerapkan konsep sukarelawan berdasarkan Teras 'Hero Komuniti' dalam Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2023-2030, dengan harapan pelajar dapat berperanan aktif dalam pembangunan komuniti dan negara.
“Bagi peserta, program ini memberi peluang kepada mahasiswa FBK untuk berbakti dan mengasah kemahiran mengajar serta insaniah melalui aktiviti-aktiviti seperti origami, lukisan, dan pelbagai aktiviti kreatif lain," ujarnya.
08 Aug 24
358
UMT Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program semarak kibar jalur gemilang di kampus universiti itu bersempena sambutan bulan kemerdekaan Malaysia ke-69.
Acara tahunan sejak lebih sedekad itu merupakan manifestasi warga kampus dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan serta sambutan Hari Malaysia.
Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program sebagai pengisian menyambut bulan kebangsaan.
“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan program kibar Jalur Gemilang dan menyempurnakan simbolik pelepasan kenderaan rasmi UMT.
“Pelbagai program pengisian sepanjang sambutan bulan kemerdekaan akan dilaksanakan UMT bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang dalam menghayati pengertian kemerdekaan selain menyemai semangat patriotik di kalangan warga kampus khususnya mahasiswa," ujarnya.
Katanya, selaras dengan kempen kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan pihak kerajaan bertemakan Malaysia Madani : Jiwa Merdeka Julai lalu, kira-kira 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz berjaya diedarkan UMT kepada semua kenderaan yang masuk ke kampus sepanjang program Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di pintu masuk utama kampus.
Sementara itu, wakil barisan Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Nur Sabrina Afiqah Md Sukor menyeru mahasiswa untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
“Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar mengalu-alukan warga pelajar UMT untuk bersama-sama menyertai program berkaitan bulan kebangsaan bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan serta menyemai semangat patriotik terhadap negara Malaysia yang tercinta ini, " katanya.
07 Aug 24
178
Terengganu Inc, Shizen International Kerjasama Bangunkan Projek Solar
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shizen International Inc (Shizen International) untuk meneroka penjanaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) melalui projek loji janakuasa tenaga solar di negeri Terengganu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kerjasama tersebut dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengukuhkan profil negeri Terengganu sebagai peneraju ekonomi hijau.
“Pada hari ini, kita akan menyaksikan satu langkah strategik yang akan membuka lembaran baru dalam usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negeri ini. Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya.
“Pengkormersilan sektor ini akan memberi manfaat pertukaran teknologi, perkongsian tenaga pakar dan pertukaran pengetahuan berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia selari dengan NETR Roadmaps bagi halatuju kelestarian tenaga bersih negara.
“MOU yang ditandatangani akan mengukuhkan komitmen kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja awal kajian kebolehlaksanaan solar secara komersial dalam penilaian potensi pembangunan dan pelaburan bagi kedua-dua pihak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Tingkat 18, Wisma Darul Iman di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Wakil kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), dari Terengganu Inc ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, manakala dari Syarikat Shizen pula diwakili Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa.
Shizen International adalah anak syarikat Shizen Energy Inc yang terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania dan Amerika Latin.
Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar dan sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.
Tambah Bijaya Raja, MOU tersebut juga memberikan gambaran usaha Terengganu dalam memajukan sektor tenaga boleh baharu dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau yang mampan dan mesra alam.
“Ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju dalam teknologi hijau,” katanya.
Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata dengan termeterainya MOU tersebut, Terengganu Inc berharap agar dapat merealisasikan hasrat untuk meneroka dan mempelopori potensi 'ground-mounted solar' bagi menggalakkan peningkatan pendapatan negeri melalui ekonomi hijau.
“Perjanjian ini menjadi tanda permulaan usaha Terengganu Inc dan Shizen International Inc untuk membolehkan penyertaan Terengganu dalam program CRESS yang dijangka dapat mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara.
“Dengan matlamat hasil pelaburan tinggi menjelang tahun 2030, Terengganu Inc konsisten dalam pertumbuhan bisnes mampan di dalam pelbagai kluster utama antaranya perladangan, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah, pembangunan & pembinaan hartanah, penjagaan kesihatan serta pelaburan-pelaburan bukan teras,” ujarnya.
Bagi Pengarah Eksekutif Shizen, Hiroki Koga, pihaknya berhasrat untuk membawa manfaat positif kepada alam sekitar, mengurangkan pelepasan karbon dan penggalakkan penggunaan tenaga bersih sekaligus menyumbang kepada pendapatan ekonomi tempatan.
“Kerjasama ini akan dalam usaha memperkenalkan Shizen di pasaran Malaysia selaku peneraju RE yang berpengkalan di Jepun dan berhasrat membawa manfaat positif kelestarian alam sekitar bagi menangani perubahan iklim dan pemanasan global”. Katanya lagi selepas pemeteraian perjanjian selesai hari ini.
“Perjanjian MOU ini dijangka membuka jalan kerjasama strategik yang akan memberi manfaat bagi pertumbuhan ekonomi hijau di negeri Terengganu,” katanya.
07 Aug 24
483
Gaji Penjawat Awam : Terengganu Tunggu Pengumuman PM 16 Ogos
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung semakan kenaikan kadar gaji penjawat awam di Terengganu yang akan diumumkan kerajaan Persekutuan pada 16 Ogos ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata setakat ini, tiada lagi perbincangan mengenai perkara tersebut (kenaikan gaji) bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Kita akan lihat pengumuman pada 16 Ogos nanti. Kalau berdasarkan sejarah dahulu pun apa diputuskan kerajaan pusat itu selalu kita ikut (kadar baharu kenaikan gaji).
“Selalu ikut selaras dengan pengumuman dibuat kerajaan persekutuan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Menandatangani Perjanjian antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.
Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.
Pada 15 Julai lepas, pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan.
Menerusi hantaran di laman X, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, pengumuman khas itu diadakan menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ketika ditanya mengenai implikasi kewangan terhadap kerajaan negeri, Tengku Farok Hussin menyatakan seluruh negeri juga menerima impak tersebut.
“Negeri-negeri lain pun sama (implikasi kewangan) bukan Terengganu sahaja. Semua negeri yang bayar gaji penjawat awam turut menerima impak tersebut.
“Selain itu, kerajaan Persekutuan pun apabila umumkan kenaikan gaji ini, ia juga beri impak besar pada kerajaan pusat. Jadi begitu juga kerajaan negeri.Insya-Allah, kita tengok cara yang terbaik untuk kita laksanakannya,” ujarnya.
07 Aug 24
329
New Malaysia Needs to Be Rebuilt
KUALA TERENGGANU, August 7 - Perikatan Nasional (PN) views that a New Malaysia needs to be built to ensure a better life for the people in the future.
The Chief Minister, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, stated that his side is always approached by various parties expressing their desire to join the PN coalition and PAS itself, which will be considered from time to time based on suitability and mutual interests for national development.
"We see that a better future for the country, a 'new Malaysia,' must be built by strengthening the existing political consensus between PAS and its partners in PN.
"This needs to be developed from time to time and will be a good offer for the new Malaysia, God willing," he said.
He made these remarks when speaking to the media during his press conference at the Second Meeting of the Second Session of the 15th State Legislative Assembly at Wisma Darul Iman recently.
Commenting on UMNO President Ahmad Zahid Hamidi's statement that the opposition, PN, had come to negotiate with him and Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Samsuri stated that his side is not interested in addressing baseless statements.
"Whatever he says is his own business. I do not interfere with what is said. We have met in Parliament, crossed paths in meetings with our respective roles as MPs, State Assembly members, or government officials.
"That is not classified as political discussions. Even if we meet UMNO MPs, it is within the context of managing our roles as MPs and State Assembly members in our respective states," he said.
Regarding whether there will be cooperation with UMNO in the future, he said it is difficult to predict what will happen.
"So, I will not comment on future matters. As of now, there are no plans, no meetings, or anything of the sort," he explained.
07 Aug 24
232
Terengganu Teruskan Inisiatif Pinjaman Tanpa 'Riba'
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu tetap meneruskan pemberian pinjaman tanpa caj tambahan kepada usahawan dan peniaga di negeri terbabit walaupun hak royalti petroleum disekat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) diteruskan bagi membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.
Namun begitu katanya, jumlah penerima yang mendapat pinjaman tahun ini lebih kecil berbanding dengan tahun lalu.
"Sejak dilancarkan skim TUGAS pada 2019 sehingga ke pertengahan tahun ini, kita telah berjaya menyalurkan skim itu kepada 4,963 usahawan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM28 juta.
"Program hari ini melibatkan 33 orang usahawan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM467,586.40 melibatkan penerima pinjaman RM10 ribu hingga RM30 ribu," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kali ke dua tahun 2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, semalam.
Menurut Ariffin, sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2023, kerajaan negeri telah memberi pinjaman melalui tabung TUGAS sebanyak RM8,042,800.96 manakala pada 1 Januari sehingga 30 Julai 2024 sebanyak RM1,131,275.52 dibelanjakan.
"Kita ada sedikit kekangan kewangan seperi yang sedia maklum, tetapi kerajaan membuat keputusan untuk tetap melaksanakan inisiatif ini walaupun, insya-Allah tahun depan kita usahakan dapat bagi lebih banyak.
"Kita ada dua siri lagi (untuk tahun ini) dan dijangka RM0.5 juta lagi akan diberi," katanya.
07 Aug 24
2614
Kontinjen Terengganu Juara Kejohanan Memanah Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kontinjen Negeri Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2024 bertempat di Mini Stadium Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.
Jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata kejohanan tersebut telah diadakan empat hari bermula 2 hingga 5 Ogos 2024 yang melibatkan acara recurve dan tradisional lelaki dan perempuan membabitkan 16 peserta dan 9 orang pegawai bagi setiap negeri.
“Pertandingan itu telah bermula pada tahun 2018 dan merupakan salah satu aktiviti tahunan anjuran JAKIM dengan kerjasama Jabatan, Majlis dan Yayasan Islam Negeri dan disertai oleh semua Sekolah Menengah Agama di seluruh negara.
“Ia bagi menanam dan meningkatkan semangat kesukanan dan penampilan ilmu dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Agama serta memupuk semangat persahabatan dan silaturahim di antara negeri-negeri semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Majlis Perasmian Penutup dan pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat bertempat di Hotel H Elite Kota Bharu, Kelantan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr Ruslan Said dan Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM, Mohd Fadzil Abu Kasim.
JAKIM berkata, penghargaan diberikan kepada semua pihak yang telah menjayakan Pertandingan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali ke-4 Tahun 2024/1446.
07 Aug 24
1016