lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Usaha Mencari Dua Lagi Mangsa Bot Karam Dipertingkatkan
Usaha Mencari Dua Lagi Mangsa Bot Karam Dipertingkatkan
KEMAMAN, 12 Ogos - Pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk keberadaan dua mangsa bot karam yang masih hilang dalam tragedi yang melibatkan bot nelayan dan sebuah tongkang di perairan Kemaman di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, beliau telah menerima makluman dimana pihak agensi kerajaan seperti Polis, Bomba dan Maritim telah menggandakan usaha bagi mengesan dua lagi mangsa yang hilang termasuk di lokasi bot karam. "Setakat ini kita belum menemukan petunjuk mangsa yang hilang dan pihak berwajib sedaya upaya akan mencari cara terbaik untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum dijumpai. "Untuk pencarian hari ini, saya difahamkan pihak bomba turut menggunakan unit udara untuk membuat tinjauan di lokasi kejadian dan sekitarnya," ujarnya kepada pemberita. Katanya lagi, perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sebelum ini, dua mangsa ditemukan lemas manakala dua lagi masih hilang apabila bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Ahad.  
12 Aug 24
191
Terengganu Menuju Negeri Industri Berteknologi Tinggi
Terengganu Menuju Negeri Industri Berteknologi Tinggi
KEMAMAN, 12 Ogos - Kerajaan negeri telah mengatur beberapa strategi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Berteknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, Terengganu akan mengutamakan pembangunan mapan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial. Katanya, kerajaan negeri juga sedang menggubal satu dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030. “Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada Internet of Thing (IOT) sebagai iltizam Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030), “Selain itu, kerajaan negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi," katanya. Beliau berkata demikian  ketika merasmikan upacara penutup bagi Pembukaan Kilang Kemaman Liquid Mud Plant (KLMP) yang berlangsung di Pengkalan Bekalan Kemaman di sini hari ini. KLMP merupakan kilang penyimpanan serta pemprosesan bahan kimia untuk dihantar ke pelantar-pelantar minyak bagi kegunaan kerja-kerja penggerudian minyak. Hanafiah berkata, kilang kLMP itu adalah salah satu perkhidmatan yang amat penting bagi melengkapkan struktur perkhidmatan dalam sesebuah pengkalan bekalan.  "Saya difahamkan bahawa kilang KLMP ini adalah salah satu kilang terbaik di rantau ini dan telah mendapat piawaian ISO mengikut standard keperluan syarikat-syarikat antarabangsa. "Ini menunjukkan komitmen KLMP terhadap kecemerlangan, keselamatan dan kualiti dalam setiap aspek operasinya," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Pengkalan Bekalan Kemaman. Tambah beliau, kilang tersebut bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi tempatan tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai 'hab industry' minyak dan gas yang kompetitif di peringkat global. "Dengan teknologi terkini dan amalan terbaik yang diterapkan, KLMP telah menunjukkan bahawa kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa," ujarnya.  
12 Aug 24
1087
Impian Usahawan Tercapai, Berniaga dari Rumah ke Kiosk
Impian Usahawan Tercapai, Berniaga dari Rumah ke Kiosk
KUALA NERUS, 12 Ogos – Usahawan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Nurulnadiah Abdullah, mencapai kejayaan besar dengan pembukaan kiosk barunya, Sugar Pastel Legacy, selepas beberapa tahun beroperasi dari rumah. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, menyatakan bahawa kiosk yang terletak di Tapak Pasar Malam Teluk Ketapang ini adalah hasil kerjasama banyak pihak termasuk SME Corp. Malaysia yang memberikan geran sebanyak RM30,000 kepada Nurul Nadiah. “Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus menyediakan tapak untuk kiosk tersebut. YPU Terengganu juga memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam proses pembukaan kiosk ini. “Saya berharap bahawa pembukaan Sugar Pastel Legacy ini menandakan langkah penting dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan Puan Nadiah dan merupakan contoh kejayaan usahawan yang mendapat sokongan penuh daripada agensi-agensi kerajaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian kiosk Sugar Pastel Legacy di Teluk Ketapang hari ini. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengarah SME Corp. Malaysia Terengganu, Mohamad Firdhouse Mohamad Tajuddin, Pengurus Kanan Korporat YPU Terengganu, YM T Ahmad Shabirin Awalludin; serta wakil dari Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus dan Persatuan Penjaja Pasar Malam dan Pekan Sehari Kuala Nerus. Menurut Nurul Nadiah, sebelum ini, dia telah menjalankan perniagaan bakeri dari rumah, tetapi dengan cita-cita dan semangat yang tinggi dalam pembuatan kek, dia akhirnya berjaya membuka sebuah kiosk. “Kejayaan ini tidak hanya memperluas jangkauan perniagaannya tetapi juga memberikan peluang kepada pelanggan untuk menikmati hasil karya saya dalam suasana yang lebih profesional. “Dengan bantuan yang diterima, saya berharap dapat mengukuhkan kedudukan saya dalam pasaran dan terus memotivasi usahawan lain untuk mengejar cita-cita dalam perniagaan,” ujarnya.                
12 Aug 24
280
Permai Hotel Rangkul Anugerah 'Hotel Bandar Terbaik'  2024
Permai Hotel Rangkul Anugerah 'Hotel Bandar Terbaik'  2024
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Permai Hotel Kuala Terengganu sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai pemenang bagi kategori “Best City Hotel” di Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024), baru-baru ini. Pengurus Besarnya,  Noralizan Abd Rahman berkata kejayaan tersebut menandakan satu pencapaian hebat bagi Permai Hotel Kuala Terengganu, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pilihan utama penginapan di bandar Kuala Terengganu. Menurutnya, anugerah itu merupakan satu tanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga.  "Tahun ini, kami akan mulakan pengubahsuaian bagi 80 bilik bagi keselesaan pengunjung.  "Permai Hotel juga telah melakukan beberapa pengubahsuaian bilik, penggantian karpet Ballroom, dan renovasi restoran," ujarnya ketika ditemui pemberita.  Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024) diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Majlis tersebut turut mempertandingkan lebih 60 kategori termasuk ejen pelancongan, perhotelan, seni dan budaya, perkhidmatan makanan dan banyak lagi.  Noralizan juga berkata beliau yakin anugerah itu juga akan menjadi antara faktor para pelanggan menjadikan hotel tersebut sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Kuala Terengganu. "Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Terengganu khususnya," ujarnya.      
12 Aug 24
1678
Nahas Bot Karam, Kerajaan Negeri Hulur Bantuan
Nahas Bot Karam, Kerajaan Negeri Hulur Bantuan
KEMAMAN , 11 Ogos - Kerajaan negeri turut membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian bot nelayan berlanggar dengan tongkang, pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata beliau telah memastikan semua agensi kerajaan yang terlibat seperti Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Maritim dan Pejabat Daerah Kemaman dapat melaksanakan tugasan masing-masing dengan baik. "Pihak kami telah menyediakan beberapa bentuk bantuan kepada mangsa yang ditemui. Pertama, kami telah menyediakan sebuah rumah tumpangan untuk mereka tinggal sementara waktu. "Kita juga telah menyediakan pakaian baru, peralatan mandian, selipar dan sebagainya. Dalam masa yang sama, kami juga turut menyediakan makanan kepada mereka. "Dalam masa sama memastikan keperluan mereka mencukupi sementara menunggu pihak berwajib dapat menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya," ujarnya ketika ditemui di lokasi. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian sekitar jam 6.30 pagi itu berlaku pada jarak tujuh batu nautika atau 13 kilometer (km) dari kawasan perairan Kuala Kemaman. Menurutnya, bot tersebut dikatakan membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong berusia lingkungan 23 hingga 79 tahun untuk memancing. "Penumpang bot terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan berasal dari Raub, Pahang dan Gombak, Selangor. "Setakat ini, lima mangsa selamat, dua ditemui lemas dan dua lagi masih belum ditemui," ujarnya. Operasi pencarian mangsa yang masih hilang dihentikan jam 7.00 malam dan akan bersambung esok.
12 Aug 24
840
'Sukan Air' Imbau Nostalgia Warga Desa
'Sukan Air' Imbau Nostalgia Warga Desa
HULU TERENGGANU, 11 Ogos - Acara Sukan Air di Temasya 'Tranung Kite' 2024 yang berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos di Kuala Berang telah berjaya mengimbau nostalgia warga desa dengan pelbagai aktiviti dan pameran yang mengangkat seni serta budaya tempatan. Antara tarikan utama temasya berkenaan adalah acara yang melibatkan elemen air termasuk Panjat Tiang Licin, Tangkap Belut Pukul Bantal dan Tarik Tali Dalam Air. Pertandingan lain seperti Pertandingan Ayam Serama Terbuka, Deklamasi Sajak Oghang Ulu turut menarik perhatian pengunjung. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan seni dan budaya yang memberi mereka kesempatan untuk merasai kembali suasana kampung serta tradisi lama yang telah lama dilupakan. Kuala Berang dipilih sebagai lokasi temasya disebabkan kedudukannya yang strategik, membolehkan pengunjung menikmati keindahan pesisir sungai dan destinasi menarik seperti Tasik Kenyir. Kejayaan acara ini turut didorong oleh penyertaan aktif komuniti tempatan serta penggiat seni yang terlibat dalam pelbagai aktiviti budaya. Acara ini memberikan impak ekonomi yang positif kepada masyarakat tempatan dengan menjana pendapatan sebanyak RM700 ribu melalui sewaan, jualan, bayaran persembahan, dan hadiah pertandingan. Temasya ini juga memberikan platform kepada penggiat seni budaya tempatan untuk meneruskan kreativiti mereka dan memartabatkan warisan negeri Terengganu. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran gajah yang dikenali sebagai Indah, berumur 27 tahun di hadapan pintu temasya berkenaan.  
11 Aug 24
320
'Temasya Tranung Kite' Tarik Lebih 15 Ribu Pengunjung
'Temasya Tranung Kite' Tarik Lebih 15 Ribu Pengunjung
HULU TERENGGANU, 11 Ogos - 'Temasya Tranung Kite' yang diadakan di Kuala Berang bermula 8 hingga 10 Ogos itu telah berjaya menarik lebih 15 ribu pengunjung dari seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program tersebut adalah kejayaan besar bagi Hulu Terengganu dan negeri Terengganu secara keseluruhan. “Kita menyasarkan lebih 10 ribu pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dan telah berjaya menarik lebih 15 ribu pengunjung. “Selain itu, program ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM700 ribu untuk masyarakat tempatan melalui sewaan, jualan, bayaran persembahan, dan hadiah pertandingan. "Kuala Berang dipilih sebagai lokasi program berkenaan kerana kedudukannya yang strategik, memudahkan akses dari LPT2 dan memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan pesisir sungai serta tempat-tempat menarik seperti Tasik Kenyir," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Temasya Tranung Kite 2024 di Kuala Berang, Terengganu di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Mohd Amran Mohd Haris. Program tersebut merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Persatuan ATMA Seni Budaya Terengganu. Tambah Maliaman, pelbagai acara menarik yang diadakan pada temasya berkenaan termasuk Kejohanan Gasing Terbuka Asean, Kejohanan Ayam Serama Terbuka, Pertandingan Wau dan pelbagai lagi. "Keberhasilan acara ini tidak hanya terletak pada jumlah pengunjung yang tinggi, tetapi juga pada penyertaan aktif komuniti tempatan dan penggiat seni yang menjayakan pelbagai aktiviti budaya. “Program ini diharapkan akan menjadi pusat berhimpunnya penggiat-penggiat seni budaya tempatan, khususnya dari negeri Terengganu, untuk meneruskan kreativiti dan karya-karya mereka," katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang telah menyokong dan membantu menjayakan program berkenaan. Sementara itu, Mohd Amran berkata penganjuran berskala besar seperti itu, kali terakhir dianjurkan di negeri Terengganu adalah pada 10 tahun lalu. Katanya, dalam tempoh tahun-tahun seterusnya JKKN akan berusaha mengangkat penganjuran sedemian menjadi acara tahunan. “Bagi menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026, kita cuba terapkan lagi program yang berskala besar yang bertunjangkan seni budaya di negeri Terengganu. “Jadi, Insya-Allah bermula pada tahun 2024 ini kita akan teruskan lagi penganjuran program-program yang dapat mengangkat dan juga memartabatkan kesenian negeri Terengganu,” ujarnya.    
11 Aug 24
1826
Kerajaan Terengganu Sokong Usaha Peningkatan Ilmu Fiqh Munakahat
Kerajaan Terengganu Sokong Usaha Peningkatan Ilmu Fiqh Munakahat
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu menyokong usaha peningkatan ilmu Fiqh Munakahat dalam kalangan Pegawai Khidmat Nasihat, Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam serta jurunikah negeri. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata sokongan ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan pegawai dan jurunikah mempunyai kefahaman mendalam tentang undang-undang keluarga Islam. "Program talaqqi khas seperti ini adalah langkah penting dalam memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pegawai dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan.  "Kerajaan negeri percaya bahawa dengan ilmu yang mendalam dan pemahaman yang baik mengenai Fiqh Munakahat. "Pegawai dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada masyarakat serta menangani isu-isu perkahwinan dan perceraian dengan lebih cekap," katanya ketika berucap pada program Talaqqi Khas 'Iddah Musyarah' bertempat di Houseboat Tasik Kenyir pada hari ini. Tambah Dr Khalil, inisiatif ini juga diharapkan dapat memperbaiki pengurusan dan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di negeri ini. Sekali gus, memperkukuh peranan pegawai dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan berkeluarga yang harmoni dan berlandaskan hukum syarak.
11 Aug 24
28
Penyu di Terengganu Tidak 'Merajuk'
Penyu di Terengganu Tidak 'Merajuk'
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Statistik terkini mengenai penyu di Terengganu menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan dalam aktiviti pendaratan, membuktikan bahawa penyu-penyu ini tidak 'merajuk' dan terus aktif dalam proses pendaratan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata data terkini menunjukkan jumlah sarang penyu di Terengganu semakin meningkat sejak tahun 2021. “Pada tahun 2021, sebanyak 7,301 sarang penyu direkodkan, dengan 429,371 anak penyu dilepaskan ke laut. Pada tahun berikutnya, 2022, jumlah sarang meningkat kepada 9,618 dengan 586,430 anak penyu dilepaskan. “Tahun 2023 menyaksikan jumlah sarang mencapai 10,130, sementara 636,477 anak penyu telah dilepaskan ke laut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Dr Azman berkata bahawa statistik itu menunjukkan trend positif, dengan peningkatan jumlah sarang dan anak penyu setiap tahun. Menurutnya, peningkatan jumlah sarang dan anak penyu yang dilepaskan adalah petunjuk bahawa program pemuliharaan kami memberi kesan yang baik. “Dianggarkan lebih daripada 400,000 telur penyu menetas di Terengganu setiap tahun, menghasilkan anak penyu yang kemudiannya dilepaskan ke laut. “Statistik menunjukkan bahawa kira-kira 400 daripada 400,000 anak penyu yang dilepaskan mungkin akan kembali ke pantai asal mereka apabila dewasa. “Program pelepasan anak penyu yang dijalankan secara berterusan adalah langkah penting dalam usaha kami untuk memastikan kelestarian spesies ini,” ujarnya. Dr Azman berkata kerajaan negeri Terengganu akan terus mempergiatkan usaha pemuliharaan penyu dan memastikan bahawa spesies ini terus berkembang di perairan negeri ini.
09 Aug 24
222
Walau 'Ditekan', Terengganu Tetap Salur Air Percuma Kepada 13,922 Akaun
Walau 'Ditekan', Terengganu Tetap Salur Air Percuma Kepada 13,922 Akaun
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Sejumlah RM2.5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd  (SATU) bagi pemberian bekalan air percuma yang memanfaatkan 13,922 akaun di seluruh negeri bagi tahun 2024. Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia jelas membuktikan bahawa subsidi bekalan air percuma kepada golongan B40 dan golongan sasar tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat. Katanya, masalah royalti bukan menjadi penghalang untuk kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial untuk rakyat yang layak menerimanya walaupun jumlah nilai pemberian air percuma sebenarnya meningkat  untuk setiap akaun penerima yang mana kosnya ditanggung kerajaan negeri. “Perkara ini melibatkan 11,782 akaun melibatkan peruntukan  sebanyak RM1.3 juta bagi premis kediaman golongan B40 yang layak mengikut ketetapan kerajaan negeri. “Semua masjid (956 akaun) serta surau (1,184 akaun) yang berdaftar menerima subsidi bekalan air bersih percuma tanpa had berjumlah RM1.2 juta secara keseluruhannya. “Sementara itu, bagi masjid dan surau yang tidak berdaftar, akan menerima subsidi sebanyak 50 meter padu pertama secara  percuma dan penggunaan selebihnya akan dibayar dengan kadar baharu bagi setiap meter padu,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi. Tambahnya lagi, inisiatif itu merupakan penerusan pelaksanaan manifesto seperti yang dijanjikan  Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bermula sejak 2019. Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menegaskan pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan B40 termasuk pembekalan air percuma kepada masjid di seluruh negeri tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat. Menurutnya program bekalan air percuma telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu dan sampai ke hari ini tiada pengurangan dari segi penerima bantuan tersebut. Beliau menambah bahawa dalam apa jua keadaan, usaha untuk bertahan walau menghadapi tekanan perlu diteruskan. SATU sebagai penyelia perkhidmatan bekalan air terawat di Terengganu, menyediakan perkhidmatan kepada lebih 1.2 juta rakyat, meliputi 342,364 akaun, pengguna domestik dan bukan domestik
09 Aug 24
481