lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi
Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi
ALOR SETAR, 6 Ogos - Kerajaan Kedah tidak bersendirian dalam perjuangan mempertahankan prinsip sifar judi di negeri terbabit selepas Terengganu menyatakan sokongan terhadap usaha negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dasar yang menjadi polisi negeri SG4 itu akan dipertahankan bersama.  Ujarnya, walaupun ada pihak yang menentang usaha itu sehingga berlaku semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, pihaknya bersama Kerajaan dan rakyat Kedah. "Ia penting untuk kita terus berpegang kepada prinsip yang telah diputuskan bersama oleh negeri SG4 melalui bidang kuasa kerajaan negeri, kita tidak akan benarkan sama sekali. *Kita hendak memastikan rakyat kita bebas daripada amalan judi yang mempunyai mudarat besar hingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan mewujudkan suasana tidak aman dalam masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa mewakili delegasi Kerajaan Terengganu mengadakan kunjungan hormat Kerajaan Negeri Kedah, di Bilik Gerakan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, semalam. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Rizuan Hashim dan Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato' Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato' Mohd Azam Abd Samad. Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata Terengganu mengambil langkah persediaan seandainya ada pihak yang akan melakukan perkara sama menentang penutupan pusat judi. "Kita bersedia melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut bidang kuasa kita sendiri, insya-Allah apa yang penting kita mempertahankan prinsip yang diputuskan dengan polisi yang telah kita persetujui bagi menjaga kepentingan rakyat secara umum," ujarnya. Dalam pada itu, Azam berkata kerajaan Kedah kini melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor sedang berusaha bagi mempertahankan dasar sifar judi. "Ia disambut oleh pihak PBT yang menegaskan tidak akan meluluskan lesen premis judi di Kedah walaupun telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. "Di peringkat Kerajaan Negeri Kedah akan terus membuat rayuan di Mahkamah Rayuan supaya apa yang telah dilaksanakan bagi membendung aktiviti judi dapat diteruskan dan ini juga merupakan hasrat rakyat Kedah bagu memastikan 'sifar judi' dapat dipertahankan," tegasnya.  
06 Aug 24
371
Yayasan Terengganu Rai Kakitangan Cemerlang
Yayasan Terengganu Rai Kakitangan Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Seramai 31 kakitangan Yayasan Terengganu yang menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun lalu menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) masing-masing pada Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini. Turut dirai enam orang pengetua cemerlang Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu serta 19 orang warga kerja yang telah dan akan bersara pada tahun ini. Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, penganjuran program itu merupakan medan pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja Yayasan Terengganu yang telah menunjukkan dedikasi, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan setiap tugasan diamanahkan. “Semoga pengiktirafan ini akan menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih tekun dan cemerlang serta menjadi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini. Mengulas lanjut katanya, sebagai penjawat awam, kakitangan Yayasan Terengganu merupakan tonggak utama kepada pembangunan negeri khususnya dalam bidang pendidikan. “Pelbagai kejayaan serta kecemerlangan dilakar telah menjadikan ekspektasi rakyat dan pemegang taruh terhadap Yayasan Terengganu kini semakin tinggi. “Keadaan ini memerlukan kita sentiasa peka terhadap tuntutan perubahan semasa, melaksanakan tugas dengan cekap serta membuat pembaharuan yang berterusan bagi memastikan sentiasa kekal relevan dan responsif,” ujarnya. Justeru katanya, warga kerja Yayasan Terengganu diingatkan agar menjauhi elemen negatif yang boleh merosakkan nama baik serta kredibiliti organisasi yang telah dibina sekian lama sebaliknya terus berusaha mengharumkan nama sehingga ke mata dunia.
06 Aug 24
127
Beri Perkhidmatan Dengan Penuh Profesional dan Berintegriti
Beri Perkhidmatan Dengan Penuh Profesional dan Berintegriti
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Warga kerja Yayasan Terengganu diseru agar terus memberi perkhidmatan yang mengutamakan rakyat dengan penuh profesional, progresif dan berintegriti. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, beliau percaya seiring dengan transformasi teknologi maklumat di zaman Revolusi Industri 4.0, kepantasan serta kecekapan memainkan peranan sangat signifikan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan. “Bagaimanapun, dalam mengejar kecemerlangan bagi memastikan tahap perkhidmatan diberikan memenuhi ekspektasi rakyat, pengurusan emosi dan tekanan di tempat kerja tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan tahap produktiviti individu. “Justeru, hadapi setiap tekanan dengan cara yang positif, rehat yang mencukupi, dapatkan sokongan mentor serta bahagikan masa dengan efektif agar keseimbangan pekerjaan dan kehidupan dapat dicapai,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini. Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut beliau, Yayasan Terengganu merupakan sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk membangunkan modal insan dengan menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran peringkat tinggi kepada rakyat Negeri Terengganu. “Justeru, sistem penyampaian produktif serta berkualiti amat penting bagi memastikan rakyat negeri ini terus mendapat manfaat sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negeri,” ujarnya.  
06 Aug 24
129
DAP Perlu Belajar Hormat Hak Majoriti Rakyat
DAP Perlu Belajar Hormat Hak Majoriti Rakyat
KANGAR, 6 Ogos - Naib Presiden DAP, Teresa Kok diingatkan agar tidak hanya lantang bersuara mempertahankan hak minoriti bukan Islam sebaliknya perlu belajar menghormati sensitiviti masyarakat muslim di negeri terbabit dan juga Malaysia.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, tidak wajar isu larangan penyanyi wanita mengadakan persembahan di kuil pada acara keagamaan ditimbulkan kerana garis panduan hiburan di Terengganu telah sedia difahami oleh semua pihak.  Tegasnya, pemimpin DAP itu perlu faham, apabila ia diadakan di tempat umum maka kerajaan negeri tiada kompromi bagi memastikan syariat terjaga. "Bagi orang bukan Islam mereka boleh buat persembahan pada majlis dan upacara keagaaman mereka, sekiranya diadakan di tempat tertutup dan tidak mengganggu orang lain dan itu merupakan hak mereka.  "Namun, jika dibuat di kawasan terbuka dan majlis mereka didapati mengganggu masyarakat, kerajaan negeri tidak boleh berkompromi. "Jika hendak dibuat, buat sesama mereka dalam majlis atau dewan tertutup maka tidak akan ada masalah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Kerajaan Negeri Perlis, di sini, semalam. Tegasnya lagi, dalam ketegasan Teresa Kok bercakap mengenai hak minoriti jangan dilupakan keutamaan untuk turut menjaga sensitivibmasyarakat Islam yang merupakan majoriti di negara dan Terengganu secara khususnya. "Apabila bercakap tentang menjaga hak minoriti kita terlupa tentang hak majoriti.  "Sedangkan masyarakat di Terengganu hidup secara aman dan harmoni walaupun muslim 96 peratus, namun hak bukan Islam tiada masalah selama beratus dan berpuluh tahun, kami hidup harmoni saling bertoleransi.  "Masing-masing menghormati antara satu sama lain," ujarnya. Justeru beliau memberikan peringatan tegas agar hak orang Islam perlu dijaga bagi memastikan keharmonian terus berkekalan.  "DAP selalu menimbulkan dakwaan bahawa kita tidak menjaga hak orang bukan Islam.  "Saya nak sebutkan di sini, hendak beri peringatan bahawa mereka juga perlu menjaga hak orang Islam.  "Kerana Islam adalah agama rasmi dan merupakan majoriti dalam negara," ujarnya.
06 Aug 24
297
Penjawat Awam Disaran Tingkatkan Produktiviti Selaras Kenaikan Gaji
Penjawat Awam Disaran Tingkatkan Produktiviti Selaras Kenaikan Gaji
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Penjawat awam di seluruh negara digesa meningkatkan produktiviti  kerja selaras dengan kenaikan gaji bakal diumumkan oleh kerajaan pada 16 Ogos depan. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata beliau percaya dengan kadar baharu gaji tidak perlu dijadikan isu kerana pihaknya memberi jaminan akan meningkatkan mutu serta terus memberi perkhidmatan baik kepada rakyat. "Kenaikan gaji atau kadar baharu gaji itu diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 1 Mei lalu. Perinciannya akan diumumkan pada 16 Ogos ini, manakala pelaksanaan pula pada Disember depan. Maksudnya, kerajaan hendak melihat lebih awal sumbangan kita (penjawat awam) sebelum gaji dinaikkan. "Kita lihat ramai netizen komen sebagai contoh mempersoalkan kenapa harus naik gaji, kenapa gaji dipertingkatkan dan perkhidmatan diberi belum ada penambahbaikan dan sebagainya. Jadi semua ini kita ambil maklum. "Kami ingin menjelaskan pada rakyat. Jangan bimbang dengan kenaikan gaji penjawat awam. Kenaikan gaji ini tetap kami beri perkhidmatan baik," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam (Kesihatan Negeri Terengganu) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam. Mengulas lanjut, Adnan menyatakan tidak menolak bahawa kerajaan boleh membuat sesuatu keputusan lain berhubung kenaikan gaji itu sekiranya tiada sebarang peningkatan dari segi produktiviti dan prestasi dipamerkan penjawat awam. Bagaimanapun, Adnan memberi jaminan bahawa penjawat awam sentiasa memberi komitmen tinggi dalam menjalankan tugas, dan ia dibuktikan melalui peranan penting dimainkan mereka sebagai barisan hadapan ketika pandemik COVID-19. "Jadi jangan berasa ragu (naik gaji). Walaupun naik gaji tetapi perkhidmatan (diberikan) tetap kekal sebagaimana hari ini. "Malah kami beri jaminan akan beri lagi perkhidmatan sebagaimana kami telah lakukan semasa Covid-19 di mana kami bertindak sebagai barisan hadapan dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara," jelas beliau.
06 Aug 24
280
Kunjung Balas, Perkukuh Hubungan Antara Terengganu dan Perlis
Kunjung Balas, Perkukuh Hubungan Antara Terengganu dan Perlis
PERLIS, 6 Ogos - Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan kunjung balas ke Perlis bagi menzahirkan kesungguhan untuk saling bekerjasama dalam memperkukuhkan negeri 'SG4'. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah , Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pertemuan yang amat bermakna itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara empat negeri dalam memperkasakan peranan melalui portfolio masing-masing. Katanya, melalui perjumpaan tersebut, semua pihak boleh mengambil 'istifadah' dari negeri masing-masing yang berbeza 'waqie'. "Alhamdulillah setelah kita melawat ke Kedah (pada sebelah pagi) sekarang ini kita berkunjung ke Perlis bagi mengadakan pertemuan dengan EXCO kerajaan negeri ini. "Melalui perbincangan perkongsian dan bertukar-tukar pendapat banyak perkara yang boleh dibawa balik ke Terengganu dan ada perkara yang boleh mereka ambil dari negeri kita untuk dimanfaatkan  dan dinilai dari segi kesesuaiannya untuk dilaksanakan "Pertemuan ini sangat bermakna dan banyak perkongsian yang boleh dimanfaatkan bagi memajukan antara negeri-negeri 'SG4' ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, semasa mengadakan lawatan ke negeri terbabit, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terenggany, Rizuan Hashim, Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato'Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Hadir sama, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa dan Pengarah Akademi Didik Ulama' Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah. Delegasi Terengganu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan.
05 Aug 24
162
Paya Bunga Hotel Terima Anugerah Best Family City Hotel
Paya Bunga Hotel Terima Anugerah Best Family City Hotel
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Paya Bunga Hotel terus mencatat sejarah apabila  dianugerahkan  'Best Family East Coast City Hotel' sempena Anugerah Industri Pelancongan (TIA) 2024, baru-baru ini. Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Alias berkata kejayaan itu menjadi bukti komitmen dan dedikasi Paya Bunga Hotel dalam menyediakan perkhidmatan serta hospitaliti yang terbaik kepada para tetamu khususnya keluarga. "Ia sekali gus mencatat kejayaan manis buat mereka selepas mencipta beberapa kejayaan sebelum ini serta meraih banyak anugerah dan disifatkan sebagai pembuka laluan untuk kecemerlangan berterusan sepanjang tahun ini.  "Semoga anugerah ini dapat menyuntik semangat warga kerja PB Hotel untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan dan komitmen yang terbaik kepada setiap pelanggan yang berkunjung ke PB Hotel,”katanya dalam satu kenyataan. Majlis anugerah yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) bertempat di Royale Chulan Kuala Lumpur. Tourism Industry Award 2024 telah  mempertandingkan sebanyak 80 kategori yang melibatkan pelbagai bidang seperti agen pelancongan, seni budaya, perkhidmatan makanan dan lain-lain. Anugerah tersebut bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para penggiat industri pelancongan dan hospitaliti yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang mereka.
05 Aug 24
587
UniSZA Terima Surat Pengesahan Akreditasi Dari Arab Saudi
UniSZA Terima Surat Pengesahan Akreditasi Dari Arab Saudi
KUALA NERUS, 5 Ogos -Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mencipta sejarah apabila menerima surat pengesahan akreditasi daripada kerajaan Arab Saudi. Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato’ Dr. Fadzli Adam, berkata dengan pengiktirafan itu, UniSZA berharap dapat menarik lebih ramai pelajar dari Arab Saudi, serta memperkukuh kerjasama dengan institusi yang berada di Arab Saudi. "Saya percaya bahawa kerjasama ini akan membuka peluang untuk pertukaran pengetahuan, penyelidikan bersama, dan program mobiliti pelajar yang dapat memperkaya pengalaman akademik dan budaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu beliau dan Atase Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Dr. Fahad Mohammed Alsehmmeri menerima perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA semalam. Turut bersama-sama dalam majlis mengadap ialah Pro Canselor UniSZA, Yang Mulia Tunku Dato' Nooruddin Tunku Dato’ Seri Shahabuddin, dan Pendaftar UniSZA, YBrs. Encik Muzafar Mohd Din. Tambahnya lagi, pengiktirafan tersebut adalah satu pencapaian penting kepada UniSZA yang menunjukkan komitmen  dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan memenuhi standard antarabangsa. “Kami sangat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia adalah bukti usaha keras dan dedikasi semua warga UniSZA. "InsyaAllah, kami sentiasa berkomited untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik,"ujar beliau. Dalam masa sama, delegasi Saudi Cultural Attache mengadakan perbincangan dan pembentangan bersama wakil Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam di Bangunan Canselori sebelum meluangkan masa melawat Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)
05 Aug 24
350
Kuil : 'Tiada Halangan Jika Patuh Syarat' - Terengganu Jawab DAP
Kuil : 'Tiada Halangan Jika Patuh Syarat' - Terengganu Jawab DAP
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada apa-apa pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan dan agama untuk mengadakan program selagi mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, isu tular berkenaan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa kerajaan negeri melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan dianjurkan sebuah kuil kurang tepat daripada fakta sebenar. Menurutnya, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dimohon oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than membabitkan penonton lelaki dan wanita di khemah terbuka dalam kawasan terbuka di kawasan kuil tersebut. “Serta melibatkan orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut, maka persembahan seperti ini tidak dianggap sebagai khusus untuk bukan Islam dan pemakaian Garis Panduan umum untuk melarang artis wanita adalah terpakai. “Pemakaian Garis Panduan Tersebut adalah secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak dan ianya adalah Garis Panduan umum bagi aktiviti hiburan bagi maksud Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 yang diterima pakai di Negeri Terengganu,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Wan Sukairi berkata permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than telah diterima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 20hb Jun 2024. “Permohonan tersebut bertujuan untuk memohon permit bagi upacara keagamaan dan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni sempena ulang tahun kuil Kwan Tee Than pada 29hb Julai hingga 2hb Ogos 2024. “Majlis telah meluluskan permohonan yang dikemukakan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than termasuk bagi persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni perlu mengikuti Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu (“Garis Panduan Tersebut”),” jelasnya. Beliau berkata, berdasarkan kepada Garis Panduan tersebut persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim.
05 Aug 24
3601
12 Peratus Belia Terengganu Tidak Sedar Hidap Darah Tinggi
12 Peratus Belia Terengganu Tidak Sedar Hidap Darah Tinggi
KUALA NERUS, 4 Ogos – Sebanyak 12 peratus daripada 32,000 belia yang disaring menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) pada tahun lepas di Terengganu didapati menghidap penyakit darah tinggi, namun malangnya ramai daripada mereka tidak menyedari keadaan tersebut. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong, berkata pihaknya telah menjalankan saringan terhadap 32,000 rakyat Terengganu pada tahun 2023 dan mendapati sebanyak 16 peratus daripada mereka mengalami penyakit darah tinggi yang tidak didiagnosis sebelumnya. “Daripada jumlah tersebut, 12 peratus adalah golongan belia. Mereka hanya mengetahui mereka menghidap penyakit ini selepas menjalani saringan. “Ramai kalangan masyarakat mengalami kematian di usia muda dan tiba-tiba jatuh pengsan. Pada ketika itu barulah dapat mengetahui bahawa mereka ini sebenarnya ada darah tinggi, pendarahan dan sebagainya," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Program Agenda Nasional Malaysia Sihat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu. Tambah Kasemani, pihaknya menggesa supaya rakyat di Terengganu tampil untuk jalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan supaya dapat mengesan lebih awal tentang penyakit dihidapi. Mengulas lanjut, beliau berkata golongan yang berisiko menghidap penyakit darah tinggi merupakan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun. “Mereka berusia 20 hingga 40 tahun ini selalu merasakan bahawa umur mereka masih muda dan beranggapan tidak perlu jalani pemeriksaan kesihatan. “Ini sepatutnya tidak berlaku dan kita minta datanglah secara ramai buat saringan supaya dapat mengesan tentang penyakit mereka yang dihadapi sebelum terlambat,” ujarnya. Dalam pada itu, Dr Kasemani memaklumkan dalam kalangan pesakit diabetes pula, sebanyak 97 peratus daripada 39,000 pesakit aktif mempunyai penyakit darah tinggi. Katanya, hanya 37 peratus mempunyai tekanan darah yang terkawal dan seramai 12 peratus tidak mengetahui bahawa mereka menghidap darah tinggi dan paling ramai adalah melibatkan golongan belia.  
04 Aug 24
301