Artikel "Semasa" Terkini
Mangsa Banjir, OKU Terharu Impian Miliki Rumah Tertunai
KUALA NERUS, 10 Oktober - Setelah tertangguh beberapa waktu, penduduk di sini dapat menarik nafas lega apabila menerima rumah yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
Kegembiraan dan rasa terharu itu dikongsikan penerima projek perumahan tersebut termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mangsa banjir.
Khairul Anuar Ali, 43 tahun, yang berstatus OKU menzahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat memiliki kediaman sendiri setelah sekian lama diidamkan.
“Saya tidak mampu lagi bekerja sejak beberapa tahun yang lalu dan kini hanya menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara bulanan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara tahunan.
"Sudah tentu saya sangat gembira apabila dapat memiliki rumah sendiri pada hari ini setelah hanya mampu menyewa (rumah) sebelum ini.
“Ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang banyak membantu saya dengan menghulurkan keperluan asas secara bulanan dan banyak memudahkan urusan saya sehingga dapat memiliki rumah sendiri,” ujarnya ketika ditemui pemberita.
Dia berkata demikian selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Kunci Program Residensi Rakyat (PRR) bersama 500 penerima di Bukit Nenas hari ini.
Dalam pada itu, Adnan Yunoh, seorang guru agama yang mempunyai 14 orang anak meluahkan perasaan gembira tidak terhingga apabila menerima kunci rumah itu setelah menempuh ujian banjir setiap tahun.
“Selama ini hanya menumpang di rumah keluarga, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh, kami memang wajib berpindah ke pusat pemindahan banjir, itu sudah biasa bagi kami sekeluarga.
"Kami hanya mampu bersabar dengan dugaan tersebut, apabila dapat rezeki rumah yang Allah kurnia ini, saya rasa sangat bersyukur. Terima kasih sebanyaknya diucapkan kepada kerajaan yang bersusah payah dan mengambil tanggungjawab demi memudahkan urusan rakyat,” katanya.
Sementara itu seorang anak muda dari Tok Jiring, Mohd Zulkifli Mat Din, 29, sangat teruja kerana dapat memiliki kediaman sendiri di usia muda,
"Terima kasih kepada pihak kerajaan setelah berjaya menyediakan fasiliti kemudahan kepada rakyat Terengganu khususnya bagi penduduk kawasan Kuala Nerus," jelasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan projek PRR Bukit Nenas pada tahun 2018 yang menelan kos RM96 juta.
Projek itu bagi membangunkan 500 unit rumah pangsa lima tingkat, dan menawarkan lima unit khusus untuk golongan OKU.
Di samping itu turut disediakan fasiliti asas seperti surau, taska, tadika dan taman permainan.
10 Oct 24
628
EPIC Berhad, MRL Kerjasama Teroka Integrasi ECRL
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan Malaysian Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah menjalinkan kerjasama strategik bagi mengintegrasikan operasi syarikat terbabit dengan rangkaian Projek Laluan Rel Pantai Timur (REL).
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, memorandum yang ditandatangani itu selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memaksimakan potensi Pelabuhan Kemaman sebagai hab maritim dan logistik serantau.
"Bertepatan dengan kerancakkan semula industri perdagangan dan perkapalan global, bukan sekadar 'oil and gas' semata-mata.
"Ini dapat memastikan kelancaran integarasi operasi logistik Epic Berhad dengan rangkaian ECRL, khususnya di laluan pemisah atau 'spurline' di Pelabuhan Kemaman.
"Sekali gus meningkatkan kecekapan pengendalian kargo selain merealisasikan sasaran menjadikan Pantai Timur sebagai hab logistik pilihan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU tersebut di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato' Sri Darwis Abdul Razak.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan penghargaan kepada Loke atas usaha untuk memaksimakan impak positif dalam projek infrastruktur berskala besar.
"Seperti ECRL ini yang merentasi beberapa negeri khususnya Negeri Terengganu, tentunya kerjasama seperti ini adalah amat penting agar ECRL ini dapat dimanfaatkan semaksimanya," ujar beliau.
09 Oct 24
511
Kerajaan Negeri Sedia Hadapi Isu Penduduk Semakin Menua
KUALA NERUS, 9 Oktober - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mewujudkan warga emas yang berdikari, dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif sebagai usaha mendepani cabaran Negara Menua 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata semua pihak harus menyantuni dan memberikan kehidupan selesa kepada warga emas atas jasa dan peranan penting yang telah ditabur sepanjang usia mereka.
“Pihak kami bersama JKM kini mempersiapkan golongan tersebut untuk menghadapi hari tua melalui pendidikan dan mampu berhadapan dengan apa jua situasi.
"Warga emas perlu diberi perhatian khusus dari segi penjagaan dan sokongan, baik secara fizikal mahupun emosi agar mereka merasa dihargai dan dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
“Contohnya kalau seorang anak tidak menjaga ibu atau bapa mereka, golongan ini masih lagi boleh berdikari , tidak ‘stres’ dengan apa yang berlaku dan mampu meneruskan kehidupan seharian tanpa bantuan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam.
Tambah Maliaman, warga emas juga merupakan tunjang kepada kekuatan komuniti pada hari ini dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.
"Mereka telah melalui pelbagai cabaran hidup, perubahan sosial, kemajuan teknologi dan ekonomi, menjadikan mereka adalah guru yang tak ternilai bagi generasi muda hari ini.
“Kepada warga emas, jagalah kesihatan dengan baik kerana kesihatan kita adalah aset yang paling berharga dan kita mahu hidup dan berfungsi dengan baik di usia emas,” ujarnya.
Hari Warga Emas disambut 1 Oktober setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga emas ke arah pembangunan negara dan bangsa dengan tema tahun ini 'Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas'.
09 Oct 24
200
JKM Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA NERUS, 9 Oktober - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)Terengganu bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri , Mazura Ngah Abdul Manan berkata, tahap kesiapsiagaan kini lebih 90 peratus dengan baki tugas yang lain akan diselesaikan sebelum akhir Oktober ini.
Menurutnya, seramai 686 petugas terdiri daripada 334 pegawai dan kakitangan, 11 pegawai psikologi, kaunselor dan 97 pasukan sokongan psikologi termasuk 244 sukarelawan juga sudah bersedia dan hanya menunggu masa untuk dipanggil.
“Barangan makanan dan keperluan lain seperti selimut, kain, tuala, tikar dan sabun akan mula dihantar dan diagihkan secara berperingkat ke 152 pangkalan hadapan seluruh negeri termasuk Pulau Redang dan Pulau Perhentian bagi mengelakkan berlakunya kelewatan bantuan.
“Pasukan kita juga telah bersedia dari segi fizikal dan mental terutama faktor ‘main power’ termasuk persiapan-persiapan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang terdapat di seluruh negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam.
Tambah Mazura, bekalan dianggarkan mencukupi walaubagaimana sekiranya berlaku banjir diluar jangkaan, pihaknya akan membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk membuat tambahan belian.
Menurutnya lagi, secara umumnya, JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 590 PPS yang boleh memuatkan seramai 147,590 mangsa membabitkan sekolah, balai raya dan dewan orang ramai.
Mengulas tentang cadangan pengunaan kod QR di PPS bagi melancarkan proses pendaftaran penduduk terjejas banjir di Terengganu, beliau berkata ia adalah pendekatan baru yang boleh dilaksanakan.
“Pelaksanaan kod QR di semua PPS yang dibuka memudahkan penyaluran maklumat dan bentuk bantuan yang disalurkan.
“Namun bagi di PPS yang menghadapi masalah terputus talian internet, kita tetap menggunakan pendaftaran secara manual,”ujarnya.
09 Oct 24
489
Imej, Nama Disalahguna, Amzad Harap Orang Ramai Tidak Terpedaya
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Imej dan nama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim terus disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan, termasuk 'love scam'.
Menurut beliau, meskipun pelbagai laporan telah dibuat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak hampir empat tahun lalu, isu tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.
“Akaun palsu terus muncul sebaik sahaja akaun terdahulu dipadam, seolah-olah tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
“Saya sangat khuatir dengan kemunculan akaun palsu yang menggunakan foto dan identiti saya ini kerana ia bukan sahaja memperdaya mangsa tetapi juga mencemarkan nama baik saya,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Tegas Amzad, beliau tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk penipuan yang menggunakan gambar atau namanya.
“Saya menyeru semua untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan akaun-akaun palsu ini. Jika anda terjumpa atau menjadi mangsa penipuan seperti ini, sila buat laporan kepada pihak polis dan SKMM dengan segera.
“Saya akan terus berusaha untuk menangani isu ini dan berharap kerjasama semua pihak dalam memerangi penipuan ini,” katanya.
09 Oct 24
126
10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
SETIU, 8 Oktober - Seramai 10 keluarga di Pulau Redang menzahirkan kesyukuran apabila menerima kunci Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Pulau Redang bagi penyerahan kali kedua.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika menyempurnakan penyerahan replika kunci merakamkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat hingga mampu menyiapkan projek tersebut.
“Sebanyak 101 unit telah diterima penduduk ketika penyerahan pertama pada September 2022, yang mana telah tertunggak sejak 2013, dan pada hari ini ditambah lagi 10 unit daripada jumlah 160 unit keseluruhannya, bakinya akan diserahkan dengan kadar segera selepas dibaik pulih.
“Hari ini saya bersama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) meninjau dan melihat kerja-kerja sedang dilakukan oleh kontraktor, kita merasakan dapat menyelesaikan dengan segera bagi unit-unit yang terlibat dan berharap serahan akhir dapat dibuat dalam tempoh segera bagi penduduk Pulau di sini.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati penduduk yang telah atau bakal mendiami kawasan ini supaya dapat menjaga persekitaran ini sebaik mungkin, terutama dari aspek kebersihan dan keselamatan atau apa-apa perkara yang boleh memberikan kebahagiaan dan keselesaan penghuni di sini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyempurnakan penyerahan replika kunci rumah RPMM pada hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri; Ir Saiful Azmi Suhail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit; Mohd Shafizi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT; Dato’ Wan Adnan Wan Derahman.
Dalam pada itu, salah seorang penerima yang berasal, Izyani Mohamed Noor meluahkan rasa syukur dengan penyerahan itu yang dinanti sekian lama.
“Saya seorang ibu tunggal yang memiliki tiga orang anak, sebelum ini menetap bersama keluarga.
"Saya sangat gembira dapat terima rumah pada hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada PMINT dan juga Kerajaan Negeri kerana memberi penyelesaian kepada kami,” ujarnya.
08 Oct 24
709
796 Petugas Kesihatan Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Seramai 796 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata daripada jumlah itu, seramai 380 petugas akan mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau di kawasan yang terjejas banjir.
Katanya, setiap pasukan kesihatan tersebut terdiri daripada tiga petugas iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu.
“Manakala seramai 416 petugas lagi akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku sebarang kejadian kecemasan di PPS.
“Mereka terdiri daripada pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan dan apabila mengetahui ada PPS yang diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kasemani juga berkata, JKN Terengganu akan memastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir di semua daerah dilakukan dengan teliti dan menyeluruh.
“Walaupun kes COVID-19 di Terengganu telah menunjukkan trend penurunan ketara dan sekarang kita berada di dalam fasa hidup bersama COVID-19, tetapi langkah-langkah pencegahan mestilah sentiasa dititikberatkan bagi membendung penularan COVID-19 di PPS.
“Mangsa-mangsa banjir positif COVID-19 dan mereka yang bergejala respiratori digalakkan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan banjir atau di PPS yang sesak,” ujarnya lagi.
Tambahnya, selain kesiapsiagaan sumber manusia, kesiapsiagaan di lapangan dari aspek risiko fasiliti kesihatan, ubat-ubatan, alatan dan ambulans serta lain-lain logistik juga telah dibuat persediaan dengan terperinci.
“Terdapat 43 fasiliti kesihatan pelbagai kategori (klinik desa, klinik pergigian, klinik kesihatan, hospital dan pejabat kesihatan) yang berisiko terlibat dengan banjir dan persiapan telah dibuat bagi menghadapi banjir termasuk pemindahan aset-aset kesihatan yang mungkin terlibat.
“Begitu juga pengurusan sajian iaitu penyediaan makanan untuk mangsa banjir di PPS mestilah bersih dan selamat untuk dimakan dan memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 atau apa-apa penyakit di PPS,” jelas beliau.
08 Oct 24
164
Terengganu ke Separuh Akhir Piala Tun Abdul Razak 2024
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober- Pasukan hoki lelaki Terengganu berjaya merebut slot separuh akhir dalam kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2024 selepas membenam pasukan Negeri Sembilan dengan jaringan 10-0, semalam.
Ia hasil jaringan lima gol oleh pemain negara Faizal Saari dan hatrik daripada Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta satu gol masing-masing daripada Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak dan Darwisy Hamdan.
Faizal menjaringkan golnya pada minit ke-22, 32, 41, 52 dan 54.
Akhimullah Anuar Esook (ke-10, 14, 18), Darwisy Hamdan (ke-42) dan Adam Haiqal Abdul Razak (ke-53) membuat jaringan.
Sementara, pasukan Wanita Terengganu berjaya mengikat pasukan yang dibarisi pemain Remaja Negara iaitu Young Tigress dengan keputusan 1-1.
Piala Tun Abdul Razak 2024 diadakan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bermula 2 hingga 12 Oktober ini .
08 Oct 24
842
Penjawat Awam Perlu Faham Lebih Mendalam Tentang SSPA
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Program Sesi Libat Urus (SLU) Pekeliling Perkhidmatan Sistem Awam (SSPA) merupakan salah satu inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memberi kefahaman lebih mendalam kepada penjawat awam mengenai sistem persaraan baharu yang diperkenalkan.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Azizul Ab Hadi berkata, melalui program itu, penjawat awam diberi peluang untuk memahami dengan lebih jelas perubahan yang berlaku dalam sistem saraan mereka.
“JPA sebelum ini juga telah mengadakan beberapa sesi melibatkan pihak berkuasa di setiap kementerian bagi memastikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai pelaksanaan SSPA.
“Terengganu adalah negeri kedua selepas Selangor yang menyertai inisiatif ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sesi Libat Urus (SLU) Pekeliling Perkhidmatan Sistem Awam (SSPA) Oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia di Dewan Besar Wisma Darul Iman, pada semalam.
Menurutnya, kerajaan turut menekankan kepentingan mengambil peluang yang ada dalam program ini untuk bertanya persoalan mengenai perubahan dalam sistem saraan berkenaan.
“Ini adalah peluang penting bagi penjawat awam untuk mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai SSPA.
“Saya menggalakkan semua yang hadir untuk mengambil kesempatan ini dengan bertanya sebarang persoalan berlegar di fikiran mereka,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan SSPA telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Awam (MAPA) yang berlangsung pada 16 Ogos 2024.
Antara kelebihan SSPA ialah termasuk peningkatan faedah persaraan dan pengurusan sumber manusia yang lebih fleksibel.
“Apakah kebaikan SSPA berbanding Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam.
"Tempoh dari 21 Oktober 2024 hingga 30 November 2024 akan menjadi peluang penting bagi penjawat awam untuk menilai dan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya dalam perancangan kerjaya mereka," soalnya.
Penjawat awam digalakkan untuk menggunakan tempoh ini dengan sebaik-baiknya dan mempertimbangkan apa yang paling penting untuk masa depan mereka.
Sistem SSPA berkuat kuasa untuk penjawat awam yang bersatus tetap manakala pegawai lantikan kontrak tidak layak ditawarkan opsyen.
07 Oct 24
529
Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Terengganu berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.1 bilion di negeri terbabit melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata daripada jumlah tersebut 98 peratus disumbangkan dalam sektor pembuatan selain sektor pelancongan yang akan mewujudkan sehingga 5,356 peluang pekerjaan serta 102 peluang keusahawanan.
Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan adalah sangat penting untuk menarik pelaburan baharu.
“Projek seperti Projek Pemacu Ekonomi (EAP) memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan kementerian, agensi dan sektor swasta, serta membangunkan ekosistem ekonomi yang kukuh.
“Dengan penggunaan rel sebagai pemacu utama pertumbuhan di Pantai Timur, EAP akan merangsang ekonomi setempat dengan meningkatkan trafik penumpang dan barangan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Bandar-bandar kecil seperti Jertih, Dungun dan Kerteh akan menerima manfaat besar daripada peningkatan keterhubungan rangkaian ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) di kediaman Seri Iman, baru-baru ini.
Beliau juga berkata usaha tersebut dijangka akan mengekalkan momentum negeri ke arah menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik di Malaysia.
Tambahnya lagi, ia merupakan pencapaian penting bagi mencapai sasaran pelaburan Terengganu sebanyak RM4.2 bilion bagi tahun 2024, sekaligus mengukuhkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan ini.
06 Oct 24
830