lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Rezeki Tak Salah Alamat, Paksu Tomoi Terima Pakej Umrah
Rezeki Tak Salah Alamat, Paksu Tomoi Terima Pakej Umrah
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Rezeki tidak pernah salah alamat. Itulah yang berlaku pada seorang warga emas  apabila menerima tawaran mengerjakan umrah dari penganjur program permotoran RXZ Members 6.0 yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini. Ismail Abdullah, 68 atau lebih dikenali sebagai Paksu Tomoi  tular di media sosial kerana komitmennya yang tinggi menyertai program tersebut walaupun sudah berusia malah sanggup menempuh perjalanan jauh dari Kuala Ketil, Kedah. Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penghargaan itu dengan kerjasama Syarikat Hashwat Alharamayn & Tours khas bagi menghargai Paksu Tomoi diatas kesungguhan merentas perjalanan dua hala hampir 1,000 kilometer (km) dari Kedah.  "Biarpun sudah berusia, Paksu Tomoi sanggup datang ke Terengganu bersama RXZ kesayangannya bagi menyokong program yang dianjurkan sejak RXZ Members 1.0 berlangsung. "Paksu adalah ikon permotoran RXZ dan menjadi idola untuk peminat motosikal ini atas semangatnya. "Alhamdulillah, kita juga menerima pelawaan daripada sebuah syarikat agensi pelancongan yang berbesar hati menawarkan pakej umrah kepada beliau sebagai penghargaan buatnya," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Hadiah tersebut disampaikan wakil pengurusan dan agensi pelancongan tersebut di kediaman Paksu di Kuala Ketil, Kedah, baru-baru ini. Mohamad Faizal berkata, Paksu dijadualkan mula berangkat mengerjakan umrah pada 20 November depan.  "Masa beri hadiah pakej umrah itu, mata Paksu nampak 'berkaca', seolah-olah terharu dan sebak dengan penghargaan yang kita berikan.  "Kita harap apa yang kita berikan kepada Paksu ini dapat memberikan kegembiraan dan Paksu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik," ujarnya.  Sebelum ini, rakaman video tular memaparkan warga emas berserban menunggang motosikal Yamaha RX-Z untuk menyertai program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak mendapat perhatian pengguna media sosial. Rata-rata dalam kalangan mereka memuji kesungguhan lelaki tersebut kerana dalam masa yang sama turut singgah ke masjid untuk menunaikan solat bersama kumpulan anak muda yang berkongsi minat yang sama.  Program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada September lalu menarik penyertaan lebih 80,000 peserta dari seluruh negara.  
06 Oct 24
245
Usahawan Cendawan Terengganu Rancang Tembusi Pasaran Eksport
Usahawan Cendawan Terengganu Rancang Tembusi Pasaran Eksport
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Bermula sebagai projek kecil keluarga, seorang usahawan wanita dari Gong Penaga, Jabi, Terengganu kini mengorak langkah lebih jauh dalam industri penanaman cendawan dan merancang untuk menembusi pasaran eksport. Afizah Mat Sulaiman, 34, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi dan Pengurusan Perladangan dari UiTM pada tahun 2014, mula mengusahakan cendawan pada tahun 2014 sebelum mendaftarkan syarikatnya secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2016.  Menurut Afizah, minatnya terhadap perniagaan ini tercetus selepas melawat beberapa ladang cendawan di sekitar Besut termasuk telah menjalani latihan praktikal di beberapa tempat semasa masih menuntut di universiti. "Rumah cendawan pertama dibina bersama keluarga menggunakan kayu-kayu terpakai dan pokok gelang yang terdapat di sekitar rumah," katanya ketika dihubungi pada hari ini. Beliau kini mengusahakan tiga jenis cendawan utama iaitu cendawan kukur (kulat sisir), cendawan tiram, dan cendawan jeli hitam secara kecil-kecilan.   Menurutnya lagi, bagi meningkatkan kecekapan perniagaan, dia merancang untuk memperluas pengeluaran cendawan kukur ke pasaran eksport kerana proses pengeringan yang mudah dan kandungan nutrien tinggi menjadikannya berpotensi untuk perubatan, kecantikan dan kesihatan. "Cendawan kukur memerlukan tempoh semusim selama sebulan, manakala cendawan tiram dan jeli hitam memerlukan empat bulan.  "Pengeluaran cendawan biasanya lebih tinggi pada musim hujan berbanding musim panas, namun harga pasaran agak tidak stabil disebabkan oleh lebihan bekalan, terutama untuk cendawan tiram.  "Sebaliknya, harga bagi cendawan kukur dan jeli hitam lebih stabil," ujar  Afizah yang mendapat modal permulaan daripada keluarganya. Berikut adalah harga pasaran semasa bagi cendawan yang diusahakan, cendawan kukur (borong) RM50/kilogram (kg), cendawan kukur (runcit) RM80/kg, cendawan tiram (borong) RM13/kg, cendawan tiram (runcit) RM18/kg, cendawan jeli hitam (borong) RM30/kg dan cendawan jeli hitam (runcit) RM40/kg.   Namun, cabaran besar dalam perniagaan ini adalah perubahan cuaca yang tidak menentu, yang mempengaruhi serangan penyakit ke atas tanaman. "Pada musim hujan, saya lebih menumpukan kepada pengeluaran cendawan kukur dan jeli hitam kerana kedua-dua jenis cendawan ini boleh dikeringkan dan dijual secara dalam talian, manakala cendawan tiram lebih sukar disimpan dan hanya boleh dijual dalam lingkungan sekitar ladang," tambahnya. Dengan modal permulaan sekitar RM10,000, Afizah banyak memanfaatkan sumber yang sedia ada seperti kayu terpakai untuk mengurangkan kos.  Afizah juga berkongsi bahawa beliau pernah menerima bantuan mesin dan bahan mentah daripada Jabatan Pertanian serta sokongan berterusan daripada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT), yang banyak membantu usahawan dalam bidang penanaman cendawan. "Khasiat cendawan kukur turut diakui dalam bidang perubatan kerana ia mengandungi schizophyllan, sejenis ramuan yang digunakan dalam ubat anti-barah khususnya barah serviks.  "Ia membantu meningkatkan sel imun yang berfungsi membunuh sel barah, virus, atau kuman yang menyerang badan," katanya. Kini, dengan kapasiti penuh, Afizah mampu menjana pendapatan sehingga RM15,000 sebulan.  Namun, disebabkan serangan perosak dan penyelenggaraan ladang yang sedang dijalankan, beliau hanya memperoleh sekitar RM2,000 sebulan buat masa ini.
06 Oct 24
952
Perhilitan Terengganu Giat Kesan Gajah Liar di Kampung Basung
Perhilitan Terengganu Giat Kesan Gajah Liar di Kampung Basung
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) negeri Terengganu membuat pemantauan secara berterusan bagi mengesan gajah liar yang menyebabkan kematian seorang warga emas, di Kampung Basung, baru-baru ini. Pengarahnya Loo Kean Seong (he) berkata ia susulan penemuan mayat, Musa Ahmad, 65, yang disahkan polis sebagai berpunca akibat diserang sekumpulan gajah liar. Katanya, pemantauan pihak Perhilitan di kampung tersebut bermula sejak minggu lepas setelah menerima laporan berhubung kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di situ.  "Sebenarnya Perhilitan Hulu Terengganu turut terlibat dalam pencarian Musa kerana kawasan itu memang kawasan yang memang ada gajah. Tapi, masa itu belum disahkan lagi akibat serangan gajah.  "Walau bagaimanapun, selepas 'confirm' mangsa meninggal dunia akibat diserang haiwan tersebut, maka kita teruskan operasi pemantauan sebelum ambil tindakan sama ada untuk tembak halau atau tangkap pindah sekiranya berjaya mengesan gajah tersebut," katanya kepada pemberita. Beliau turut menasihatkan penduduk sekiranya berdepan dengan haiwan berkenaan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah  segera menjauhkan diri dan jangan melakukan sebarang provokasi. “Segera laporkan lokasi penemuan gajah berkenaan kerana ia akan memudahkan Perhilitan menganggarkan keberadaan haiwan tersebut bagi tindakan selanjutnya.  "Orang ramai juga dinasihatkan jangan masuk ke kebun secara sendirian. Selain itu, jangan biarkan kebun anda semak dan terbiar kerana haiwan liar akan mudah untuk menyorok dalam semak-samun lalu menyukarkan kita untuk mengetahui kewujudan mereka berdekatan kita," katanya.  Dalam masa sama, Loo berkata pihaknya telah berjumpa dengan waris Musa dan memaklumkan mengenai Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas bagi meringankan beban mereka sekeluarga.  "Memang kita bersedih atas kehilangan ini tapi sekurang-kurangnya ada bantuan dari kerajaan yang boleh diberikan kepada mereka. Waris diminta untuk berhubung dengan Perhilitan Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya. 
06 Oct 24
275
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
KUALA NERUS, 3 Oktober - Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan. Salah seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung bagi DUN Batu Rakit, Mohd Fadhil Ismail berkata, program bersemuka itu juga membolehkan rakyat bertanyakan soalan secara langsung kepada EXCO sekali gus menjawab segala persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat. "Alhamdulillah melalui program ini kerajaan negeri dapat sampaikan apa jua maklumat kepada rakyat mengenai apa usaha, matlamat dan hulu tuju kerajaan negeri serta perjalanan kerajaan negeri dalam keadaan terhimpit. "Sepanjang program ini berlangsung, kita telah melihat banyak soalan-soalan yang berkisar tentang kesan ekonomi selepas kerajaan negeri tidak lagi diberikan royalti petroleum seperti biasa. "Jadi telah diberikan penerangan apa solusi untuk masa hadapan dengan wujudnya usaha bagi menambah pendapatan baharu yang boleh menyakinan penduduk dan Pengerusi JPKK mendapat maklumat yang tepat dalam melaksanakan dasar kerajaan terutama bagi memastikan kebajikan kepada rakyat dapat diteruskan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Dialog EXCO yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, di sini, kelmarin. Dalam pada itu, Fadhil berkata program yang dianjurkan oleh UPDI itu perlu diperluaskan lagi dan diadakan secara berterusan agar rakyat faham mengenai apa yang terjadi serta dapat mengetahui info-info terbaharu mengenai setiap perancangan dan agenda yang dijalankan. "Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri serta penganjur yang telah mengadakan program ini sekali gus mendekatkan pimpinan kerajaan negeri bersama rakyat," katanya.  
04 Oct 24
129
Terengganu Lulus Dua Syarikat Laksana Kajian Lombong REE
Terengganu Lulus Dua Syarikat Laksana Kajian Lombong REE
KUALA NERUS, 3 Oktober - Kerajaan Terengganu sudah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dua syarikat itu diberi tanggungjawab melakukan proses penerokaan sejak Ogos lalu bagi menentukan tahap kedalaman sebelum proses perlombongan. Ujarnya, dari lapan syarikat yang memohon untuk terlibat dalam proses membabitkan REE tersebut hanya dua syarikat sahaja yang diluluskan setakat ini. "Kerana mereka telah memohon dalam tempoh yang begitu lama bagi melakukan kajian tahap kedalaman melombong termasuk perincian proses menggerudi kawasan perlombongan, semua itu ada kiraannya yang tersendiri. "Selepas kerja awal itu barulah sumber itu boleh dikeluarkan dengan kadar maksimum. "Hasrat kita memang hendak beri kelulusan kepada lapan-lapan syarikat yang telah memohon ini, kita berikan selepas proses kajian dilakukan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, kelmarin. Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lebih lanjut, Nurkhuzaini berkata selepas kajian dilakukan fasa seterusnya akan dapat dilakukan. "Kita jangka dalam Jun tahun hadapan kita akan luluskan lesen perlombongan untuk keluarkan hasil tersebut. "Dalam masa yang sama kita tengah jalinkan hubungan dengan 'player industry' untuk keluarkan karbonat dahulu yang akan diproses untuk dibuat magnet yang menghasilkan kuasa lebih 70 kali ganda, ia digunakan dalam menghasilkan kereta elektrik," ujarnya.  
04 Oct 24
2662
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
Terus Beri Sokongan Kepada TFC
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan negeri menyeru peminat setia bola sepak untuk terus memberi sokongan penuh kepada Terengganu FC (TFC). Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sokongan penyokong penting bagi menaikkan semangat skuad penyu susulan ketiadaan ketua jurulatih selepas Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatan. “TFC mempunyai penolong-penolong jurulatih yang boleh menjalankan tugas buat sementara. Tidak bermakna kalau tidak ada (jurulatih) itu terus tergantung begitu sahaja dan kita akan uruskan isu ini, dalam senarai pendek nama calon (ketua jurulatih baharu) sudah ada. “Kepada penyokong tentunya kita nak semua berjalan dengan lancar, tetapi ialah dalam mana-mana perjalanan sekali pun akan ada atas jalan raya kita jumpa dengan jalan tidak ada ‘line’, lubang dan sebagainya. Itu perkara biasa sama juga dengan proses kita untuk memperkukuhkan pasukan bola sepak atau pasukan-pasukan lain, akan ada masalah-masalah. “Yang penting ialah penyokong dan peminat pasukan bola harus bersama dengan pasukan untuk memberi sokongan moral supaya walau apa jua cabaran, kita hadapi secara bersama. Insya-Allah dengan cara itu semangat pasukan dan pemain kita akan meningkat,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, TFC akan melihat kepada kemampuan terutama faktor kewangan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menggantikan ketua jurulatih baharu dengan calon tempatan atau import.  
03 Oct 24
245
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
KUALA NERUS, 3 Oktober - Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal kini telah mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan bakal diagihkan kepada penerima terpilih dalam tempoh dua bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rata-rata mereka yang memohon rumah itu sudah tidak sabar mendiaminya kerana tertarik dengan reka bentuk serta keindahan warna. "Saya telah pun mengadakan lawatan ke RPMM Tok Jembal beberapa bulan lepas dan dimaklumkan oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bahawa projek itu kini telah berada di fasa terakhir. "Sedikit masa sahaja lagi kerana ada beberapa isu (kecil) yang berlaku dalam pembinaan RPMM tersebut dan sekarang ia telah pun diserahkan kepada kontraktor penyelamat bagi membuat kerja-kerja akhir," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucapa di Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, semalam. Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi berkata dengan melihat kepada kemajuan terkini RPMM Tok Jembal itu rumah berkenaan akan diserahkan segera kepada pemilik yang terpilih sebelum berakhir tahun ini. "Insya-Allah saya menjangkakan dalam tahun ini juga kita akan dapat membuat penyerahan kepada pemilik-pemilik yang telah pun dipilih dan berada dalam senarai penama-penama yang berjaya menduduki rumah tersebut. "Insya-Allah dalam tempoh sebulan dua ini kita akan membuah penyerahan rumah pangsa tersebut," ujarnya.  
03 Oct 24
3548
Koperasi Terengganu Catat Peningkatan Perolehan
Koperasi Terengganu Catat Peningkatan Perolehan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Koperasi Terengganu mencatatkan peningkatan yang ketara dari segi  jumlah koperasi dan perolehan di negeri ini. Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad, menyatakan bahawa bilangan koperasi di negeri ini telah meningkat daripada 828 kepada 839 buah pada 31 Disember 2023. “Pencapaian koperasi negeri Terengganu menunjukkan peningkatan yang positif. “Perolehan di peringkat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Terengganu juga menunjukkan peningkatan dan pada 31 Disember 2023, jumlah perolehan hampir mencecah RM700 juta. "Dalam masa yang sama apabila kita lihat data pada tahun 2024 setakat bulan Jun kita memperolehi RM380 juta, penambahan RM30 juta berdasarkan data Jun,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi (MPKN) peringkat Negeri Terengganu siri kali pertama di Menara Majis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Darul Iman, Kuala Terengganu, pada kelmarin. Menurutnya, pada tahun 2023 sebanyak enam buah koperasi negeri Terengganu telah disenaraikan dalam 100 koperasi terbaik Malaysia. “Banyak koperasi contoh yang terbaik dan ada koperasi memang luar bandar contoh Koperasi 3K Berhad, Koperasi Peserta-peserta Felcra Seri Bandi Kemaman Berhad, dua koperasi ini berada di luar bandar. “Insya-Allah, dengan 828 buah koperasi yang ada di negeri Terengganu, impak diberikan kepada masyarakat kita di peringkat negeri adalah signifikan.  “Bantuan yang telah disalurkan kepada koperasi negeri Terengganu hampir mencapai RM0.5 juta. "Begitu juga, pinjaman yang telah diluluskan kepada seluruh koperasi negeri Terengganu pada tahun 2024 juga hampir mencecah RM3,000,000,” ujar beliau. Sebagai contoh katanya lagi, KOGURU telah memberi pinjaman sebanyak RM50,000 kepada anggotanya dan menyediakan tanah lot untuk keluarga yang memerlukan. "Dengan pinjaman tambahan untuk membina rumah, koperasi ini telah membantu keluarga tersebut mendapatkan tempat tinggal yang selesa. “Di peringkat kita, apabila beroperasi sebagai koperasi, kita boleh merancang aktiviti yang akan dilaksanakan. "Pada masa yang sama, kita berusaha untuk mensejahterakan masyarakat, terutama di kawasan luar bandar. "Banyak aktiviti yang telah kita laksanakan, seperti jualan Madani dan jualan murah untuk rakyat di luar bandar,” tambah beliau lagi.
03 Oct 24
313
Terengganu Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir
Terengganu Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri ketika ini dalam keadaan bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir dan hujan lebat yang dibawa oleh angin Monsun Timur Laut. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, satu mesyuarat melibatkan pihak berkuasa negeri telah diadakan baru-baru ini sebagai persediaan menghadapi bencana berkenaan. “Menerusi menyuarat terbabit, kita telah mendapat taklimat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan fenomena yang berlaku. “Ia termasuk bilakah jangkaan Monsun Timur Laut akan sampai dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku. Insya-Allah kita bersedia. Setiap tahun kita sentiasa berdepan perkara yang sama, doakan tidak ada banjir buruk di Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat memaklumkan, lebih RM4.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini.  
03 Oct 24
208
Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama
Tindakan Terhadap GISB Tertakluk Keputusan Pihak Berkuasa Agama
KUALA TERENGGANU – Sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Terengganu akan dibuat berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama dan undang-undang sedia ada. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan akan merujuk isu berkenaan terhadap pemegang taruh dan pihak berautoriti dalam masa terdekat. "Saya rasa mungkin dalam masa terdekat ini (kita akan buat beberapa keputusan). Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024 – 2026 di Majlis Bandaraya, Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini. Sementara itu katanya, tindakan menyita peralatan perniagaan di premis GISBH perlu dijalankan mengikut peraturan sedia ada. "Kita akan tengok dari segi peruntukan dalam undang-undang apa yang peringkat PBT boleh buat. "Jadi biar kita ikut peraturan sebab kalau tidak ada risiko kena saman maka kita kena lebih cermat," ujarnya. Ketika ditanya mengenai penggantungan lesen GISBH berdasarkan keputusan muzakarah dibuat, beliau menyatakan pihaknya tidak mempunyai perkembangan berhubung isu tersebut setakat ini. "Belum ada perkembangan lagi dan kita tidak boleh tengok isu lesen dan premis sahaja. "Isu lain pun kita tengok supaya tidak timbul kelompongan dari segi penguatkuasaan yang boleh buka ruang kepada tindakan undang-undang lain. "Jadi kami akan ambil sedikit masa (berhubung tindakan gantung lesen) supaya lebih cermat," jelasnya.  
03 Oct 24
263