Artikel "Semasa" Terkini
Operasi Penangkapan, Pelupusan Anjing Liar Ikut SOP KPKT
BESUT, 13 Oktober - Operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar di daerah ini telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Mohd Sukeri Ibrahim berkata, kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku pada 6 September 2024.
Katanya, operasi itu dilaksanakan dengan peruntukan Seksyen 30, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990
“Undang-undang itu memperuntukkan mana-mana anjing sama ada berlesen atau tidak, yang pemunyanya tidak ditemui, boleh dibinasakan atau dilupuskan sebagaimana yang diarahkan oleh Yang Di Pertua atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.
“Dakwaan anjing yang digelar 'Kopi', dibiarkan selepas operasi adalah tidak benar kerana berdasarkan SOP MDB, anjing tersebut akan ditanam. Namun ketika itu, pegawai operasi dihalang oleh pengadu dan tidak dapat mengambil bangkai anjing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Sukeri berkata, operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar dibuat selepas menerima banyak aduan daripada orang awam kerana boleh mengancam orang ramai.
“Bermula Januari 2024 sehingga September 2024, MDB telah menerima 62 aduan gangguan anjing liar daripada orang awam dan telah membuat 131 tangkapan anjing liar di seluruh kawasan di daerah Besut.
“Pihak MDB juga turut menerima aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan anjing liar yang berada di sekitar BSN Jerteh yang bertindak agresif dengan menyerang dan mengganggu orang awam yang melalui kawasan itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama bersama badan bukan kerajaan (NGO) untuk penyelesaian terhadap aduan anjing liar yang saban tahun semakin meningkat.
13 Oct 24
356
GBS Marang Jadi Hub Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Marang merupakan yang pertama di Pantai Timur bakal menjadi hub penting bagi perkhidmatan inovasi dan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sekali gus menarik para pelabur yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara tidak langsung GBS bakal menjadikan Terengganu sebagai destinasi perniagaan yang akan dikenali dunia.
Menurutnya, pusat GBS akan berperanan sebagai pusat kemudahan digital dan penrniagaan kepada rakyat memenuhi kehendak masa kini sekali gus bertepatan dengan visi kerajaan negeri di bawah Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu.
"Di bawah pelan ini, kerajaan negeri Terengganu membuat perancangan untuk jangka masa panjang bagi menjana pendapatan baharu dari sumber yang lebih pelbagai dan pembukaan pusat ini akan menyokong perancangan pelan tersebut.
"Selain dari meningkatkan kecekapan operasi syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri Terengganu khususnya dan saya percaya potensi yang dimiliki oleh pusat GBS ini.
"Tengok kepada fasiliti, kemudahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak saya percaya ia akan muncul sebagai 'centre' yang sangat penting dan dikenali bukan sahaja dalam negara kita bahkan di seluruh dunia, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pusat GBS Pertama di Pantai Timur, Dewan Kristal Redang, KompleksTM Medah jaya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengharapkan agar para pelabur dan peniaga sama ada dari syarikat kecil atau syarikat besar di luar sana khususnya dari Terengganu akan menjadi faktor untuk negeri ini menjadi salah satu destinasi perniagaan.
"Penubuhan pusat ini juga akan memastikan negeri kita mempunyai persekitaran kondusif untuk kejayaan mereka (pelabur dan peniaga).
"Banyak perkara yang boleh dimanfaatkan melalui penubuhan GBS ini dan saya percaya syarikat-syarikat yang berada di bawah kerajaan negeri, di bawah GLC negeri akan berunding dan bebrincang dengan TM One untuk sama-sama kita mewujudkan kerjasama PINTAR.
"Mewujudkan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat dan juga membantu mengupayakan lagi TM One, insya-Allah," jelasnya lagi.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada pasukan TM yang diyakini ia merupakan salah satu kejayaan yang penting untuk syarikat terbabit.
"Saya percaya ia merupakan salah satu milestone yang penting kepada TM dan juga kepada daerah Marang dan juga negeri Terengganu secara khususnya," ujarnya.
13 Oct 24
3018
Nahas Pelajar UiTM Dungun: Muhammad Ammar Danish Dibenarkan Keluar Hari Ini
DUNGUN, 13 Oktober -- Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, yang cedera akibat rempuhan berhampiran UiTM Dungun, di sini, dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, 20, itu dibenarkan pulang selepas lima hari dirawat di hospital itu sejak Rabu lepas.
Menurutnya, Muhammad Ammar Danish akan dihantar pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans UiTM bersama keluarganya.
"Kita tengok dia tak trauma sangat. Cuma proses penjagaan dan kaunseling akan disediakan UiTM termasuk hospital dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diteruskan untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan dirinya down,”ujarnya.
"Sebab kejadian yang berlaku itu besar di mana tiga rakannya meninggal dunia. Insya-Allah pihak hospital akan terus beri perhatian dari sudut rawatan mental dan begitulah selebihnya," katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar itu di Hospital Dungun, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa.
“Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan.
“Ketika musibah ini berlaku, kita nampak kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada Muhammad Ammar Danish," katanya.
Dalam kejadian pada 7.35 malam Rabu lepas, Muhammad Ammar Danish dan tiga lagi rakannya yang menaiki dua buah motosikal dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita berusia 49 tahun yang dipercayai menghidap penyakit mental.
Impak rempuhan itu menyebabkan dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan meninggal dunia di lokasi akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.
13 Oct 24
989
KPM Kenalpasti 401 Sekolah Sebagai PPS di Seluruh Negeri
KUALA NERUS, 13 Oktober - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenalpasti 401 sekolah yang akan dijadikan penempatan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk masyarakat setempat bagi kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir tidak lama lagi.
Ketua Pengarah KPM, Azman Adnan berkata, semua sekolah yang dijadikan PPS telah bersedia untuk menerima kemasukan mangsa banjir.
Menurutnya, ia susulan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kemungkinan banjir berlaku lebih awal berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka melanda pada minggu keempat bulan ini.
"Selain itu, 65 sekolah pula berisiko banjir dan terkepung, semua persiapan termasuk berkaitan peperiksaan yang mungkin berlangsung pada tempoh banjir telah pun diberi taklimat kepada JPN seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Terengganu 2024 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini semalam.
Tambahnya lagi, bagi sekolah-sekolah yang berisiko dilanda banjir atau terkepung (tiada laluan keluar masuk) juga telah disediakan pelan alternatif yang sesuai.
"Semua ini dirancang rapi agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa sepanjang banjir melanda kelak," katanya.
Dalam masa sama, pihaknya juga turut mengaktifkan jawatankuasa banjir di peringkat negeri-negeri bagi memperkukuhkan
semua perancangan telah diatur rapi dalam memastikan semua warga pendidik di seluruh negara mampu berdepan bencana itu dengan lebih terurus dan baik.
13 Oct 24
164
MBKT Nafi Tembak Mati Anjing
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menafikan anggotanya menembak mati seekor anjing sebagaimana dakwaan yang sedang tular di media sosial.
MBKT ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, setiap operasi penangkapan anjing liar hanya menggunakan kaedah penahanan perangkap sahaja sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
"Tiada operasi kami menggunakan kaedah tembakan sama ada menggunakan peluru hidup atau pelali.
"Lagipun MBKT tiada senapang untuk digunakan dalam sebarang operasi," kata MBKT ringkas sebentar tadi.
Justeru pihak MBKT menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak betul hingga mencetuskan persepsi salah dalam kalangan masyarakat.
Walau bagaimanapun MBKT memandang serius jika perkara itu berlaku di luar pengetahuan mereka.
"MBKT akan menyiasat perkara ini, kita memohon agar semua bertenang," ujar MBKT.
Sejak petang tadi, tular satu video di media yang mendakwa pihak berkuasa tempatan bertindak kecam terhadap anjing.
Video tersebut mendapat lebih 500 ribu tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang awam sehingga ada yang melemparkan fitnah tidak berasas.
11 Oct 24
1770
Usahawan Terengganu Disaran Terokai Pasaran Luar Negara
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Usahawan bumiputera di negeri ini disaran menerokai dan memperluaskan perniagaan sehingga dapat menembusi pasaran luar negara yang dilihat mempunyai potensi besar.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arifin Deraman berkata, usahawan tidak perlu mengehadkan fikiran mereka dalam persekitaran negara sahaja kerana mereka perlu melihat dunia luar dan kemampuan untuk bersaing di peringkat rantau dan global.
“Sebagai contoh, syarikat pengedar dan pengeluar makanan berasaskan tepung milik Bumiputera di daerah ini iaitu Muslim Food Industries (MFI) yang telah bertapak di negeri ini sejak lebih sedekad lalu kini semakin berkembang maju.
“Saya yakin dan optimis MFI yang telah berjaya mengusai pasaran semenanjung dapat melangkah lebih jauh sehingga boleh eksport produk keluaran mereka ke luar negara ditambah dengan penggunaan teknologi dan inovasi baharu oleh syarikat terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang MFI bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), semalam.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri ingin melihat lebih banyak usahawan dan syarikat bumiputera yang berjaya dan dapat bersaing di pasaran global sekali gus akan memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Malah kerajaan negeri melalui YPU menyediakan pelbagai pembiayaan selain khidmat nasihat bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
11 Oct 24
259
'Smart Terengganu 2040' Bakal Realisasikan Bandar Pintar
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Kerajaan negeri optimis Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu atau 'Smart Terengganu 2040' akan menjadi rujukan dalam menginspirasikan inisiatif bandar pintar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, 'Smart Terengganu 2040' bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan teknologi dan pelaksanaannya malah turut mengambil kira pendekatan pembangunan pintar yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam semua aspek kehidupan.
Katanya, insiatif bandar pintar itu akan membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggi dari segi teknologi, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
"Selain dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, ia juga akan memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan pelaburan dan inovasi di Malaysia.
"Tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah berjaya menyediakan pelan tindakan bandar pintar di peringkat daerah masing-masing hasil kerjasama erat dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia Terengganu)
"Tiga PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Terengganu Smart City Activation Day 2024 (TSCA 24) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini.
Katanya, Smart Terengganu 2040' adalah langkah penting dalam memacu Terengganu ke arah menjadi negeri yang lebih maju, lestari, dan berdaya saing di peringkat global melalui transformasi bandar pintar dan ekonomi digital.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran TSCA 24, beliau mengharapkan ia dapat menjadi platform terbaik bagi semua pihak berbincang dan mengupas idea-idea baharu berkaitan dengan bandar pintar dan pelaksanaannya di negeri ini.
"Di Terengganu, inisiatif bandar pintar ini adalah selaras dengan hasrat negeri untuk menjadi sebuah negeri ‘technologically- advanced economy and digitally-driven state’ iaitu negeri yang akan dipandu oleh teknologi digital dalam pelbagai aspek yang berbeza disamping menyasarkan pembangunan bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari.
"Ini termasuklah keadilan sosial, kesejahteraan masyarakat, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan yang beretika.
"Hasil komitmen semua pihak, Insya-Allah impian ini akan dapat direalisasikan dan memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya dari segi ekonomi, pendidikan dan pelancongan," katanya.
11 Oct 24
1639
SG4 Perkasa Dakwah, Bukan Hanya Berorientasi Pelaburan
KOTA BHARU, 11 Oktober - Kerjasama yang terjalin antara negeri membentuk 'State Government 4' (SG4) bukan hanya berorientasi pelaburan bagi memperkukuhkan ekonomi tetapi turut mencakupi aspek yang lain termasuk memperkasakan dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan mengeratkan lagi kerjasama dalam memastikan agenda dakwah menjadi keutamaan bersama.
"Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan lebih erat dalam aspek yang berkait dengan portfolio khususnya dalam bidang dakwah.
"Dengan mengambil semangat 'SG4' bukan sahaja dalam bidang pelaburan dan pembangunan insan bahkan juga dalam bidang dakwah ini.
"Antara benda menarik yang kita boleh dapat hasil daripada pertemuan ini ialah pengalaman Kelantan berkenaan dengan cara berdakwah kepada masyarakat bukan Islam untuk dibawa balik ke negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan kerja ke Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pertemuan itu sangat bermakna khususnya dalam berkongsi pengalaman dalam memperkasakan syariat Islam.
"Apabila kita berbincang tadi ada beberapa perkara yang perlu diselaraskan bagi memperkasakan dakwah kepada kelompok sasaran serta bukan Islam dan segmen syariah.
"Melalui jabatan-jabatan tertentu seperti Jabatan Agama, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah dan juga rakan-rakan strategik yang lain.
"Apa yang penting kita ingin mencapai objektif melalui beberapa penyelarasan program dengan kita saling mempelajari dari apa yang dilalui oleh Terengganu di bawa ke Kelantan dan pengalaman di Kelantan di bawa ke Terengganu untuk manfaat seluruh rakyat," katanya.
11 Oct 24
146
KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'
KUALA NERUS, 10 Oktober - Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik rumah Program Residensi Rakyat (PRR) yang menjadikan kediaman itu sebagai inap desa akan disenarai hitam.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata beliau tidak menafikan bahawa ada PRR yang dijadikan 'homestay' tetapi ia tidak serius dan pihaknya sentiasa membuat kajian dan audit dari semasa ke semasa.
"Ada beberapa kes yang kita pernah jumpa. Sesiapa yang kita dapati menukar milik atau menjual pula kepada pihak lain, kita akan mengambil tindakan tegas dan kalau ada yang menjadikannya 'homestay' mereka tidak akan dapat lagi rumah PRR ini.
"Ini termasuk tindakan tegas yang akan dikenakan kepada pemilik yang menukar milik atau menjual rumah berkenaan kepada pihak lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PRR Bukit Nenas, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.
Kata Aiman, projek PRR tersebut melibatkan pembinaan 500 unit rumah pangsa jenis 'walk-up' berkeluasan 700 kaki persegi di atas tanas seluas 17.4 ekar dengan kos peruntukan Kerajaan sebanyak RM96.15 juta.
"Ia dilengkapi kemudahan seperti taska, tadika, dewan komuniti, surau dan unit kedai dan gerai untuk kemudahan penduduk setempat dan kawasan sekitarnya," jelas beliau.
Tambahnya lagi, harga seunit rumah ialah RM 45,000, ditawarkan kepada golongan B40 yang berpendapatan isi rumah antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan melalui pembiayaan kerajaan negeri.
Sementara itu, Aiman juga berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dgn semua pihak termasuk negeri-negeri untuk program kebajikan rakyat.
"Kalau kerajaan negeri dapat sediakan tanah yang strategik untuk kita dirikan PRR ini, kita akan usaha sungguh-sungguh untuk dapatkan dana bagi realisasikan pembinaannya," katanya.
Menurut beliau, terdapat dua projek PRR di Terengganu iaitu di Padang Hiliran dan Bukit Nenas manakala satu projek sedang dalam pembinaan iaitu di Besut dan satu lagi dalam perancangan iaitu di Jeram, Manir.
10 Oct 24
247
Nahas Pelajar UiTM Dungun, MB Terengganu Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terlibat dalam kemalangan ngeri semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga menzahirkan rasa dukacita buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian menyayat hati tersebut.
"Tiga daripadanya meninggal dunia manakala seorang sudah stabil dan sedang dirawat di Hospital Dungun yang difahamkan kesemua mangsa berasal dari luar Terengganu.
"Takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian yang menyayat hati ini. Semoga diberi kesabaran dan kekuatan atas ujian yang menimpa.
"Semoga kesemua mangsa yang meninggal dunia juga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya dalam satu hantaran di facebook rasminya hari ini.
Semalam, tiga pelajar lelaki UiTM Kampus Dungun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Tiga mangsa yang maut itu ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Tukirin, 25.
Seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.20 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung.
Nahas itu dikatakan berlaku apabila motosikal yang dinaiki mereka secara tiba-tiba dirempuh Honda CRV yang dipandu seorang wanita dari arah belakang.
10 Oct 24
370