Artikel "Semasa" Terkini
CEO Satu Antara Lapan Pendaki 'Berkain Batik' Berjaya Tawan 'Everest Base Camp'
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut, 54, menjadi antara lapan pendaki dari Terengganu berjaya menawan Kem Pangkalan Everest di Kathmandu, Nepal sekitar jam 5 petang pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua Ekspedisi berkata, dia cukup teruja dengan kejayaan itu dan lebih manis, mereka turut berpakaian tradisional batik dan semutar sebaik 'menawan' Everest Base Camp (EBC).
Menurutnya, pendakian ke puncak setinggi 5,364 meter mengambil masa 15 hari dengan jarak perjalanan pergi dan balik sejauh 130 kilometer (km).
"Pendakian hari kesembilan pada Selasa bermula dari Perkampungan Lobuche yang berada para paras 4,910 meter sekitar jam 7.30 pagi dan pasukan kami selamat tiba di Kem Pangkalan Everest jam 3 petang waktu tempatan di sini.
"Sepanjang pendakian, keadaan cuaca sangat sejuk dengan suhu serendah antara negatif lapan hingga 16 darjah Celsius.
"Selain itu, kami terpaksa melalui laluan yang berbatu serta keadaan cuaca berangin antara cabaran buat kami semua untuk menamatkan kembara ini," katanya yang pertama kali menyertai ekspedisi tersebut.
Tambah beliau, ekspedisi ini turut disertai pendaki pertama Terengganu yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 2007 iaitu Mohd Rafi Kori, 45.
"Pengalamannya yang sudah lima kali berjaya menawan EBC banyak membantu melancarkan ekspedisi ini," ujarnya lagi.
Abdul Karim berkata, perjalanan turun dari EBC menuju ke Perkampungan Lukla dan Kathmandu pada 2 November ini dengan jarak perjalanan sejauh 60 km mengambil masa selama tiga hari sebelum pulang ke tanah air.
"Pasukan pendaki ini dijangka tiba di Malaysia pada 5 November ini," katanya.
Selain Muhamad Rafi dan Abdul Karim, pendakian itu turut disertai Mohamad Salam Muda, 38; Mohd Yusri Gati@Mohd Gati, 37; Mohd Juhairi Mohd, 39; Mohd Izwan Awang, 37; Mohd Ghazali Kori, 37 dan Hairry Helmy @ Khairy Mustafa, 48.
Bagaimanapun,difahamkan salah seorang pendaki tidak berjaya sampai sehingga ke puncak atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Program kembara oleh Kelab Sukan Dan Kebajikan Kakitangan SATU Terengganu (KSKK) dengan Kerjasama Kelab Terengganu BackPackers juga mendapat tajaan rakan agensi seperti Ladang Rakyat, TDM, KMI Healthcare, Jaks Resources, PTT Energy, Asmak, Hospital Salam dan Adeqsue.
Sementara itu, Muhamad Rafi berkata, walaupun telah berpengalaman sebanyak lima kali tiba ke kem pangkalan tersebut, suhu serendah negatif lapan hingga 16 darjah Celsius antara cabaran yang perlu dilalui sepanjang ekspedisi itu.
"Saya bersyukur kerana pengalaman kali kelima menuju ke pangkalan ini berjaya direalisasikan," ujar beliau.
Katanya lagi, sepanjang tempoh pendakian, kesemua pendaki merasai pengalaman baharu iaitu bertemu pendaki lain dari seluruh dunia dan dalam masa yang sama dapat mempromosikan Malaysia dan Terengganu secara amnya di mata dunia.
31 Oct 24
617
Karnival Tarik Minat Pelajar Tahfiz Dalam Bidang Sains
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Penganjuran program Hari Kokurikulum dan Rehlah Sains buat julung kali di adakan di Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring bertujuan menarik dan memperkukuhkan minat pelajar tahfiz dalam bidang sains dan teknologi.
Menurut Ketua Sektor Akademik MTT, Nor Effendi Mahyiddin berkata, acara yang diadakan pada hari ini adalah kerjasama Pusat Sains Negara Terengganu (PSNT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).
"Alhamdulillah ini merupakan kali pertama kita diberi peluang berkolaborasi dengan pihak PSNT untuk menarik minat orang ramai terutama pelajar tahfiz dalam bidang sains.
"Apabila ada program macam ini ia membuka satu ruang kepada pelajar untuk mereka mengenali bidang sains dengan lebih menarik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT, pada hari ini.
Menurutnya, program itu menyediakan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz untuk mendalami ilmu sains melalui pameran alat-alat sains oleh PSN, termasuk gerai pameran atom negara dan bas pameran sains.
Selain itu katanya, aktiviti lain seperti kereta lumba tenaga suria dan permainan menggunakan tenaga belon turut menarik minat pelajar untuk memahami konsep sains dengan lebih dekat serta pencerapan matahari yang dikelolakan oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu
"Di samping itu, kita ada juga gerai kerjaya pendidikan iaitu melibatkan TATI, pusat Darul Quran Terengganu dan kolej-kolej yang memberi maklumat lanjut berkenaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar beliau.
Sementara itu ujarnya, terdapat pelajar OKU buta yang mengikuti pendidikan tahfiz di MTT, dengan tujuh pelajar yang kini berdaftar di sana.
"Kita ada juga OKU buta dan di sekolah ini, ada hafazan tahfiz untuk orang buta dan kalau yang berminat boleh daftar.
"Biasa digemburkan apabila dengar berkenaan sekolah tahfiz hanya dengan belajar dan menghafaz Al Quran.
"Di sini kita nak terapkan pelajar kita supaya meminati sains dan alhamdulillah sekolah kita ada sains tulen," kata Effendi.
Di samping itu, Klinik Al-Fatihah turut disediakan secara percuma kepada orang ramai yang ingin memperbetulkan Al Fatihah.
Justeru itu, beliau berharap, program sebegini diadakan setiap tahun supaya memberi peluang yang lebih meluas kepada para pelajar dan kepada sekolah berdekatan menaruh minat dalam dunia sains.
29 Oct 24
106
Kerjasama Dengan Terengganu Hasil Makanan Ternakan Biojisim
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan disaran mengadakan kerjasama dengan Negeri Terengganu yang sedang dalam usaha menghasilkan makanan ternakan daripada biojisim.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, penghasilan makanan ternakan daripada sumber tersebut dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan import.
"Inisiatif Kerajaan menerusi Pelan Tindakan Biojisim Negara 2030 (NBAP 2030) perlu juga mengambil kira usaha mencipta peluang pekerjaan baru kepada golongan belia di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan, dan khususnya Terengganu," jelasnya.
Wan Hassan berkata demikian ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau meminta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran (circular economy) untuk mengelakkan bahan buangan berkenaan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG).
Menerusi jawapan lisannya, Johari memberitahu, Kementeriannya dan agensi menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti bahan sisa sawit untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.
"Gas metana daripada efluens kilang minyak atau palm oil mill effluent (POME) diperangkap untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui oleh kilang-kilang sawit.
" Menjelang tahun 2030, industri biojisim ini dijangkakan akan menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion.
" Industri ini juga dijangkakan akan dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baru," ujarnya.
29 Oct 24
864
‘Bebaskan’ Negeri Untuk Urus Hasil Sendiri
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan Persekutuan disaran supaya mengkaji semula peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait kuasa negeri dalam menguruskan hasil bumi.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, Malaysia sudah mengecapi kemerdekaan selama 67 tahun dan setiap negeri mempunyai hasil negeri serta potensi tersendiri untuk dibangunkan.
Katanya, atas dasar itu, negeri-negeri sepatutnya dibenarkan untuk lebih berdikari dalam menguruskan hasil negeri.
“Kita sendiri menyaksikan perbelanjaan negeri-negeri melebihi pendapatan yang diperoleh yang akhirnya menyebabkan defisit.
“Justeru, kita perlu mula desentralisasi (pengurangan dan pengagihan kuasa pentadbiran, perundangan dan kewangan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri) untuk mengusahakan hasil bumi dan menginovasikan ekonomi untuk memacu pertumbuhan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Amzad menegaskan, Kerajaan Persekutuan juga digesa menyemak kuasa dan peruntukan yang disalurkan kepada setiap negeri.
“Sudah tiba masanya Kerajaan mengkaji semula jumlah geran perkapita selaras peruntukan Bahagian 1 Jadual ke-10 Perlembagaan Persekutuan.
“Memandangkan kali terakhir ia dipinda adalah hampir 20 tahun lalu agar nilai yang diterima setimpal dengan perbelanjaan setiap negeri (hasil yang dikutip),” tambah beliau.
29 Oct 24
561
Kerajaan Dirayu Tambah Baik Pasar Payang, Tangani Keluhan Peniaga
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dirayu agar melakukan penambahbaikan terhadap Kompleks Pasar Payang bagi menangani masalah peniaga.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ada beberapa perkara baru yang telah menjadi isu kebelakangan ini yang wajar diperhalusi antara negeri dan Persekutuan.
“Misalnya, ada beberapa bahagian di dalam pasar yang tidak dilalui oleh pengunjung yang datang, atas faktor ia terlalu tersorok dan terselindung daripada laluan utama.
“Sebenarnya ia seolah-olah tiada akses dari laluan utama dan tersorok di bahagian belakang, sebelum ini mengikut pelan asal, di bahagian itu sepatutnya ada eskalator, namun kerana mahu menjimatkan kos ia tidak dibina.
“Tetapi sekarang ia mendatangkan masalah dan aduan peniaga yang mengatakan pengunjung tak ramai datang ke kedai mereka disebabkan masalah tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ruang diperuntukkan untuk peniaga batik, iaitu di tingkat dua yang menghadap ke arah laut amat susah untuk menerima pelanggan.
“Ini menyebabkan keresahan dalam kalangan peniaga-peniaga batik atas kekurangan pelanggan yang membeli batik di kedai mereka,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Amzad turut mempersoalkan Kerajaan Persekutuan berhubung Pasar Borong Gong Pauh.
"Pasar ini merupakan sebuah pusat pengedaran barangan keperluan makanan yang utama di Terengganu.
"Kini, ia berada dalam keadaan yang daif. Soalan saya, adakah pihak KPKT berhasrat membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur di pasar berkenaan?," soal beliau.
29 Oct 24
246
Tour Gateh D'Tranung Labuh Tirai
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) yang melibatkan lima daerah iaitu Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melabuhkan tirainya semalam.
Kejohanan di peringkat akhir semalam bagi acara 'Night Criterium' membabitkan jarak sejauh 57 kilometer di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Dalam acara kemuncak, pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandy Lakkasek telah memenangi perlumbaan dengan saingan sengit daripada rakan sepasukan.
Bagi kategori bawah 23 tahun menyaksikan ASC Monster dari Indonesia telah muncul juara diikuti Nusantara Cycling Team berada di tempat kedua dan TSG (Terengganu Cycling Team) berada di tempat ketiga.
Manakala untuk kategori Local Club Team menyaksikan MIFH Cycling Group menjadi johan, tempat kedua dimenangi MBPJ dan tempat ketiga PDRM Cycling Team.
Untuk kategori Best Elit Team pula, Armed Cycling Group telah muncul sebagai johan, di tempat kedua TSG dan ketiga Malaysia pro Cycling.
Kejohanan TGDT2024 semalam telah dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Timbalan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri (NGO), Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
29 Oct 24
429
SHMMP Deepavali: 178 Anggota KPDN Pantau Harga di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Seramai 178 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) ditugaskan memantau pematuhan peniaga yang menjual barangan harga terkawal di negeri ini berkuat kuasa Isnin sehingga 3 November.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata sebanyak lapan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.
"Senarai barangan adalah daging kambing, biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Menurutnya, antara diberi tumpuan dalam pemeriksaan pematuhan adalah penggunaan tanda harga berwarna merah jambu, pematuhan penentusahan alat timbang sukat, pematuhan harga maksimum runcit dan borong serta keberadaan bekalan.
"Pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini peniaga boleh dikenakan penalti," katanya.
29 Oct 24
178
Tambah Baik Kemudahan Kesihatan Dan Keselamatan Di Kemaman
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengusulkan beberapa permintaan penting bagi memastikan kesejahteraan penduduk Kemaman.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan kesihatan dan keselamatan di kawasan tersebut yang semakin pesat membangun.
“Dalam sektor kesihatan, saya mencadangkan peningkatan taraf bagi beberapa klinik utama, termasuk Klinik Batu 2 1/2, Klinik Cukai, Klinik Kuala Kemaman, dan Klinik Kemasik.
“Berdasarkan dengan pertambahan pesakit di kawasan itu, peningkatan infrastruktur dan kemudahan kesihatan amat diperlukan. Dengan usaha ini akan membantu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa, demi kesejahteraan penduduk setempat,” ujarnya ketika berucap di hadapan wakil-wakil kerajaan dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu, Menteri Besar Terengganu turut menekankan aspek keselamatan, di mana beliau menyatakan bahawa dengan pertambahan populasi dan penempatan baharu, kawasan tersebut memerlukan tambahan kekuatan anggota keselamatan terutamanya dengan perkembangan kawasan industri.
“Saya memohon perhatian dan tindakan kerajaan untuk menaik taraf pondok – pondok polis di Kemaman, menaik taraf perjawatan Ketua Polis Balai dan Ketua Polis Daerah kepada jawatan hakiki yang lebih tinggi.
“Ia penting bagi memastikan keselamatan penduduk di Kemaman sentiasa terjamin dan mampu menghadapi cabaran baru akibat pertumbuhan pesat kawasan tersebut.
“Kemaman kini berkembang maju dan setiap penduduk berhak hidup dalam keadaan selamat dan selesa. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kebaikan kita bersama,” kata beliau.
29 Oct 24
201
Peniaga Pasar Payang Baru Raih Keuntungan Berganda
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Nur Edayu Arudin, seorang peniaga berpengalaman selama 14 tahun, menyatakan bahawa perpindahannya ke Pasar Payang Baru pada 1 Ogos lalu telah membawa kepada peningkatan ketara dalam perniagaannya.
Dia mengakui bahawa sambutan luar biasa semasa acara-acara besar seperti RXZ telah memberikan impak positif, dengan jualan harian kini meningkat dua kali ganda berbanding ketika beliau berniaga di pasar lama.
"Jualan harian meningkat ketika banyak program berlangsung ditambah lagi kawasan baru luas, kalau pasar lama sempit sikit, kalau kat sini selesa untuk pengunjung duduk.
"Semua kedai dapat manfaat dan ada pelanggan. Walaupun harga sewa meningkat sikit tapi mampu bayar berbanding kedai lama," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Pasar Payang, pada hari ini.
Nur Edayu memuji usaha kerajaan negeri kerap menganjurkan acara-acara besar yang mana menarik ramai pelancong, sekali gus meningkatkan jualan produk tempatan seperti keropok, cenderamata dan batik.
Menurut beliau, jualan hariannya mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 pada hari biasa, manakala cuti atau ketika acara berlangsung, jualannya boleh mencapai RM10,000, dengan keuntungan bersih sekitar RM3,000.
"Produk yang paling laris ialah 'keychain' berbentuk helmet yang viral, mampu dijual antara 500 hingga 700 unit sehari dengan harga RM15 setiap satu semasa acara," katanya.
Dia berharap kerajaan akan terus menganjurkan acara-acara seperti motor dan kereta yang mampu menarik ramai pengunjung dari luar, sekali gus menyokong perniagaan tempatan.
"Kedai biasanya beroperasi dari jam lapan pagi hingga lapan malam, namun semasa acara besar, ia dibuka sehingga jam 10 malam.
"Selain itu, agensi-agensi kerajaan negeri juga kerap menempah produk sebagai cenderahati rasmi, memberi sokongan tambahan kepada perniagaannya," tambah beliau lagi.
29 Oct 24
707
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Sebanyak 74 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 159 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pelantikan itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan keperluan asas timbul sepanjang musim bencana terutama di kawasan-kawasan berisiko banjir.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN)telah melantik rantaian pengedaran di peringkat pemborong dan peruncit bagi menambah stok barang kawalan berjadual yang terkandung dalam lesen barang-barang kawalan berjadual (CSA).
“DDW dan DDR yang dipilih dibenarkan menyimpan stok sehingga 30 peratus daripada had simpanan lesen CSA sehingga berakhir tempoh MTL,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Tambahnya, sebarang pembelian barang kawalan berjadual di Kawasan bencana oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) atau individu bagi tujuan edaran bantuan bencana adalah dilarang.
“Ini termasuk pembelian minyak masak paket bersubsidi bagi tujuan agihan bantuan tidak dibenarkan dan disaran penggunaan minyak masak kemasan botol,”ujarnya.
Menurut Ariffin, program Jualan Rahmah Madani juga akan diadakan di lokasi-lokasi berhampiran dengan bencana banjir.
28 Oct 24
150