Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Salur RM4.2 Juta Baik Pulih Rumah Rosak Akibat Ribut
KUALA TERENGGANU, 3 November - Peruntukan sebanyak RM4.2 juta disalurkan kerajaan negeri bagi kos baik pulih 1,177 rumah yang rosak akibat kejadian ribut pada akhir bulan lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja baik pulih rumah penduduk terjejas di seluruh Terengganu masih berjalan dengan kemajuan antara 70 hingga 80 peratus, ketika ini.
Menurutnya, kebanyakan kerosakan yang dilaporkan adalah melibatkan bumbung dan atap rumah yang tercabut.
"Baik pulih bumbung ini tidak mengambil masa yang lama seperti kerosakan yang melibatkan struktur bangunan.
"Kejadian ribut yang berlaku itu memang melibatkan semua daerah namun dua daerah iaitu Dungun dan Kuala Nerus menerima kesan kerosakan yang minimum sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, hari ini.
Difahamkan, selain rumah kediaman, beberapa sekolah turut mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku kesan tempias Ribut Tropika Trami itu terutama di daerah Kemaman.
Antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Bukit Mentok, SMK Sultan Ismail, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, SK Bukit Mentok, Sekolah Menengah Agama Al Falah dan SK Seri Kemaman.
03 Nov 24
335
Terengganu-Melaka Bina Integrasi Pacu Kemajuan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 3 November- Terengganu memiliki kekuatan tersendiri dalam bidang pelancongan yang boleh diperkasakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sa'ari Basiron menyatakan, kekuatan tarikan pelancongan Terengganu tidak lain tidak bukan adalah pulau-pulaunya seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas, di samping sejarah, budaya dan warisan yang ada.
"Terengganu dengan kekuatan produk pelancongannya, kita lihat Melaka dengan sejarah, warisan dan budayanya.
"Kalau ke Terengganu, kita akan tengok keunikan batiknya, kedua makanannya siapa tidak kenal keropok losong, ketiga pulau-pulaunya. Kalau kita boleh sepadukan antara kedua-duanya, ia akan jadi satu pakej yang sangat menarik.
"Kita di negeri-negeri tidak boleh bersaing kerana kita ada kekuatan masing-masing dan perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Semasa pandemik dahulu kita pernah mengadakan satu program 'travel bubble' antara Melaka dan Terengganu di mana kita menawarkan satu pakej yang amat menariklah bagi saya kepada masyarakat Terengganu, untuk datang dengan harga serendah RM188," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas pertemuan dengan delegasi pelancongan negeri Terengganu di Seri Negeri, Melaka, hujung minggu lalu.
Kehadiran delegasi yang diketuai Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman itu turut disertai Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mazshida Rusial dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mokhtaruddin Dahiri.
Sa'ari turut menyifatkan, pertemuan itu mampu membina perkembangan lebih pesat dalam bidang pelancongan antara kedua-dua negeri.
"Saya melihat ini satu permulaan yang baik di mana kita amat mengalu-alukan delegasi negeri Terengganu ke Melaka khususnya untuk menjalin kerjasama dalam bidang pelacongan.
"Saya rasa ini peluang untuk menjalinkan kerjasama dan pada hari ini saya llihat banyak pandangan yang boleh dipertimbangkan demi kemajuan kedua-dua negeri ini.
"Benda ini kita boleh perluaskan lagi bagi kita jalinkan kerjasama bagaimana untuk meningkatkan pelancong ke Terengganu dan Melaka melalui pakej-pakej yang dipanggil integrasi. Mungkin kita boleh buatkan satu pakej melibatkan perjalanan darat, dan baru-baru ini Melaka telah didatangi syarikat penerbangan Singapura iaitu Scoot Airline, mungkin juga penerbangan boleh dijadikan salah satu pakej merapatkan hubungan kedua negeri," ujarnya.
Hasrat berkenaan disambut baik Ahmad Ridzwan untuk mengadakan kolaborasi dan kerjasama bagi memantapkan lagi sektor pelancongan negeri Terengganu.
"Melaka ini, kita tengok terutamanya dari tinggalan penjajah terdahulu telah dijadikan satu tarikan pelancongan. Untuk terengganu, kita juga ada produk-produk sebegini iaitu peninggalan sejarah dari pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tok Ku Paloh, perjalanan Mat Kilau yang pernah datang ke Terengganu jadi, kita boleh melihat tempat-tempat ini untuk dijadikan produk pelancongan yang akan menjadi tarikan pelancong.
"Tahun ini Melaka mengisytiharkan Tahun Melawat Melaka 2024 dan kita datang ke sini untuk melihat usaha-usaha yang dibuat, kita nampak ada beberapa perkara yang boleh dibuat di negeri Terengganu seperti aktiviti 'Bila Larut Malam'.
"Kita ingin lihat langkah yang dibuat negeri Melaka sehingga berjaya, mempelajari gerak kerja yang dilakukan yang dapat menarik ramai pelancong.
"Kita mengambil peluang memperkemaskan produk dengan menambah beberapa pakej supaya ia dapat menarik pelancong dari luar juga. Melaka banyak persamaan dengan Terengganu dan kita melihat ia sebagai satu kelebihan dalam persediaan kita untuk mengadakan Tahun Melawat Terengganu pada 2027 nanti," katanya.
03 Nov 24
610
Pemberdayaan Ekonomi Rakyat Antara Fokus Belanjawan Terengganu 2025
KUALA TERENGGANU, 4 November - Pemberdayaan ekonomi rakyat antara fokus Belanjawan Terengganu 2025 yang akan dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar 18 November ini.
Menurut Ahmad Samsuri, ia termasuklah hal kebajikan dan sebagainya agar rakyat lebih berdikari.
“Jumlah peruntukan Bajet 2025 lebih kurang dengan bajet 2024, tidak jauh beza.
“Untuk tahun 2024, kita telah selesai agihkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu 2024 yang disempunakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurut Ahmad Samsuri, Bajet 2025 juga akan mengambil kira pandangan rakyat.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri masih meletakkan 80 peratus bajet negeri bergantung kepada sumber minyak dan gas.
“Memang kita meletakkan kebergantungan kepada sumber minyak dan gas kerana hal itu adalah sejak sekian lama.
“Nak dapat hasil tambahan baru ia bukan mudah, perkara melibatkan undang-undang, termasuklah libatkan enakmen dan sebagainya, ia akan memakan masa,” ujarnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai status terkini baki royalti yang belum dibayar oleh Kerajaan Persekutuan beliau memaklumkan tiada perkembangan terbaru mengenai isu tersebut.
“Yang adanya adalah, kita dapat kalau kita tuntut di atas keperluan-keperluan yang kita nyatakan dan sekiranya diluluskan tuntutan tersebut, dapatlah.
“Cuma segala pembayaran itu tidak terus kepada akaun kerajaan negeri kecuali yang berkait dengan pembayaran emolumen (gaji) sahaja.
“Kalau kita ada keperluan termasuk bencana dan sebagainya kita akan buat surat, akan ambil masa untuk mereka (kerajaan pusat) buat keputusan,” ujarnya.
03 Nov 24
144
Terengganu Masih Belum Fatwakan GISB Sesat Kerana Tiada Keperluan Mendesak
KUALA TERENGGANU, 3 November- Ajaran dan fahaman pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISB) masih belum difatwakan sebagai sesat kerana tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian ketika ini di Negeri Terengganu.
Mufti Terengganu, Dato’ Mohamad Sabri Harun berkata, ia susulan pengikut kumpulan tersebut tidak ramai di negeri ini, tidak seperti di negeri-negeri yang lain.
"Bagaimanapun perkara ini tetap akan dibawa dan dibincangkan ke Majlis Fatwa Terengganu, setelah kita menerima resolusi daripada Majlis Raja-Raja Melayu.
"Setelah kita terima maklumat yang lengkap, kita akan bincangkan dan bawa keputusan ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Seterusnya, MAIDAM akan persembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk diperkenan dan seterusnya difatwakan (mengikut keputusan mesyuarat)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai langkah negeri-negeri lain yang telah memfatwakan gerakan GISB sebagai haram pula beliau berkata, ia boleh dilaksanakan mengikut keadaan di sesebuah negeri tersebut.
"Oleh kerana di Terengganu ini, (GISB ) tidak begitu ketara, ia adalah terpencil jadi maksudnya tidak begitu serius (untuk difatwakan secepat mungkin).
"Lagipun, pihak berkuasa pun ada membuat pemantauan mengenai mereka dan pengikutnya ramai dah lari ke negeri lain.
"Namun, kita tetap akan bincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu nanti," katanya.
Setakat ini, enam negeri telah mengisytiharkan ajaran dan amalan GISB sebagai sesat dan bercanggah dengan Islam iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.
03 Nov 24
280
Terengganu Anjur Kejohanan Cungkil Bakat Bola Sepak Remaja
KUALA NERUS, 3 November - Kerajaan Terengganu melalui Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) mengambil inisiatif mencungkil bakat remaja untuk pembangunan sukan bola sepak Terengganu dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Remaja peringkat negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata dengan menyasarkan remaja berusia 10 hingga 15 tahun usaha pencarian peringkat awal dilakukan secara serius dan bersepadu membabitkan 80 pasukan.
"Usaha ini melibatkan penglibatan daripada semua pihak, di awal ini di bawah kendalian UBSNT sebelum berada di bawah kendalian Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu termasuk di bawah Terengganu FC (TFC).
"Jadi melalui kerancakan usaha yang dilakukan ini kita berhasrat bagi melahirkan serta mengesan bakat-bakat yang boleh diketengahkan pada masa akan datang.
"Pada petang ini 'team scouting' ada bersama-sama bagi menilai dan meneliti nama-nama yang sepatutnya dipilih untuk diketengahkan pada peringkat seterusnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Kejohanan Bola Sepak Remaja 2024 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak UBSNT kerana berjaya mengumpulkan anak-anak remaja Terengganu yang berbakat dalam sukan terbabit.
"Insya-Allah daripada ratusan penyertaan hari ini ia akan memberi kesan besar untuk tahun-tahun mendatang untuk kelansungan pembangunan bola sepak Negeri Terengganu," ujarnya.
03 Nov 24
477
'Apa Perkembangan Terkini LPT3?' - Soal Ahli Parlimen Setiu
KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, melahirkan kekecewaan terhadap kemajuan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT-3) yang sehingga kini belum menunjukkan perkembangan positif.
Dalam sesi Dewan Rakyat, beliau menyoal komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur di Pantai Timur yang didakwa sering terpinggir berbanding Pantai Barat.
“Daerah Setiu paling terkesan dengan ketiadaan lebuh raya, kesesakan sering berlaku terutama ketika musim perayaan tiba, melibatkan laluan utama dan laluan alternatif iaitu jalan pantai.
“Mengapa projek sebesar LPT-3 ini seolah-olah dibiarkan terbengkalai tanpa perkembangan terkini?,” soalnya.
Menurut beliau, kerja awalan projek ini dimulakan sejak 2021, namun hampir tiga tahun telah berlalu tanpa sebarang kemajuan yang boleh dilihat, sekali gus menimbulkan keraguan tentang kesungguhan kerajaan dalam menyeimbangkan pembangunan antara Pantai Timur dan Barat.
Beliau juga mempersoalkan dasar kerajaan yang dilihat sering memfokuskan projek infrastruktur ke Pantai Barat.
“Adakah kerajaan sedar bahawa rakyat di Pantai Timur juga layak menikmati infrastruktur yang sama seperti di Barat?,” tambahnya.
Shaharizukirnain menegaskan bahawa pembangunan yang seimbang antara kedua-dua wilayah ini penting untuk membuka peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat Pantai Timur.
“Kita tidak minta layanan istimewa, kita cuma mahu keadilan dalam pembangunan,” katanya lagi, menyeru agar kerajaan segera bertindak menyelesaikan projek LPT-3 yang dinanti-nantikan penduduk Pantai Timur.
03 Nov 24
499
MTT Perkenal Kursus Untuk OKU Penglihatan Bina Kemahiran
KUALA TERENGGANU, 3 November – Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman memperkenalkan kursus khas bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui Markaz Tahfiz OKU Masalah Penghilatan (MTOKUMP-MTT) demi memberi peluang kemahiran buat golongan terbabit.
Seorang tenaga pengajar, Mohammad Ifram Abdul Rahman, 24 berkata, program tahfiz khusus OKU penglihatan itu mengfokuskan potensi mereka dalam bidang agama dan kemahiran vokasional, sekali gus membuka ruang interaksi lebih dekat dengan masyarakat.
“Kita nak orang yang buktikan orang yang bermasalah penglihatan ini bukan tak boleh buat apa-apa. Kita nak mereka keluar ke dalam masyarakat sekali gus membuktikan mereka boleh berbakti kepada masyarakat.
"Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cekap dalam ilmu al-Quran, tetapi juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat sebagai imam atau bilal,” jelasnya.
Beliau yang telah menjadi tenaga pengajar selama tiga tahun berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT baru-baru ini.
Menurutnya, program itu turut memberikan peluang kepada golongan cacat penglihatan berumur antara 18 hingga 23 tahun untuk mendalami al-Quran, termasuklah menghafal kesemua 30 juzuk.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh orang pelajar yang belajar dari 9 pagi sampai pukul lima petang.
“Di samping mereka belajar Braille selepas pandai kita bagi hafal Al-Quran pula, dari juzuk satu sampai 30. Memang target kita nak suruh mereka jadi hafiz," ujarnya.
Selain aspek pengajian agama katanya, pelajar tahfiz ini juga dilatih dalam bidang refleksologi sebagai salah satu cara untuk berdikari.
Beliau menambah, kebolehan refleksologi ini diperoleh melalui latihan di kolej vokasional di Johor, dan pada bulan November ini, satu pusat refleksologi akan dibuka di premis tahfiz tersebut.
“Kami akan membuka perkhidmatan urutan setiap hujung minggu bagi memanfaatkan kemahiran yang mereka miliki, sambil memberi mereka ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat.
“Di samping mereka belajar pada hari biasa, Jumaat Sabtu itu mereka boleh membuka perkhidmatan mengurut dan kita akan hebahkan tempat mengurut di sini,” ujarnya lagi.
03 Nov 24
196
EPIC, Brunei Jalin Kerjasama Majukan Industri Maritim
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 November – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), syarikat milik penuh Kerajaan Terengganu terus melangkah lebih jauh dalam industri maritim apabila menjalin kerjasama dengan Brunei dalam bidang terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili berkata, majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa) membuka jalan kepada pembangunan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan kapal yang pertama di Brunei Darussalam.
Katanya, ia merupakan peluang besar untuk EPIC Berhad memperluaskan kepakaran ke peringkat antarabangsa sejajar dengan strategi perniagaan syarikat.
"Langkah itu juga berpotensi membawa impak positif kepada industri maritim di Malaysia dan Brunei serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
“Kami sangat bersemangat untuk meneroka potensi besar ini yang bukan sahaja mendukung strategi perniagaan kami tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
“LoI ini mencerminkan komitmen EPIC Berhad terhadap pertumbuhan melalui kerjasama strategik bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain industri minyak dan gas pilihan, sambil memacu inovasi perkhidmatan penyahtauliahan dan marin.
“Inisiatif ini juga selari dengan pembangunan Fasiliti Kitar Semula Kapal Hijau ("GSRF") EPIC Berhad di Pelabuhan Kemaman, yang juga berfungsi sebagai Tapak Pelupusan Pesisir atau Fasiliti Pemulihan Penyahtauliahan ("DRF"). Terletak di atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman ("KSB"), fasiliti dwi-fungsi pertama di Malaysia ini dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 selain bakal menjadi penanda aras bagi kemudahan kitar semula serta penyahtaulihan kapal secara Lestari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemeteraian yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei, di sini, hari ini.
Majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Untuk rekod, fasiliti tersebut terletak di kawasan strategik seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, Brunei.
Ia dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Qaswa bersama Dana Modal Pembangunan Strategik Brunei, dengan kerjasama teknikal syarikat antarabangsa dari Korea Selatan, Dongil Shipyard Co Ltd, dan dari United Kingdom, CessCon Decom Ltd.
Fasiliti berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan penyahtauliahan marin yang mampan dan moden, menjadikannya tumpuan utama di rantau ini.
Sementara itu, Pengerusi Qaswa, Musa Adnin, menyatakan bahawa pemeteraian LoI adalah pencapaian penting bagi Qaswa dalam usaha membina kerjasama dan pelaburan strategik bersama EPIC Berhad.
"Ia diharap dapat memberikan manfaat besar kepada syarikat dan memperkukuh ekonomi Brunei.
“Dengan memanfaatkan kepakaran serta rekod pencapaiannya yang kukuh, jalinan hubungan strategik tersebut dijangka memberikan manfaat besar kepada Qaswa serta menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi Brunei Darussalam.
"Kerjasama ini juga merupakan langkah signifikan dalam menambah baik keupayaan sektor minyak dan gas serta ekonomi tempatan, seiring dengan visi pembangunan ekonomi mapan negara,” ujarnya.
01 Nov 24
484
Pelaksanaan Bahasa Melayu dalam Pendidikan dan Komunikasi Rasmi Perlu Ditambah Baik
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober – Penggunaan Bahasa Melayu dalam sektor pendidikan dan komunikasi rasmi perlu dipertingkatkan bagi memastikan bahasa kebangsaan terus dihormati dan digunakan secara meluas.
Prof. Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata meskipun Bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar pendidikan, cabaran utama kini adalah dalam memastikan linguistik tersebut diterapkan secara efektif di semua peringkat, termasuk dalam bidang sains dan teknologi.
"Jika dilihat dari sudut perancangan, kita telah berjaya menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Namun, isu sebenarnya adalah pada pelaksanaan.
“Cabaran utama adalah bagaimana kita memastikan Bahasa Melayu menjadi alat perpaduan, simbol kedaulatan, dan digunakan sepenuhnya dalam pentadbiran serta pendidikan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas majlis Majlis Penyampaian Anugerah Bahasa Terengganu Dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Awam Peringkat Negeri Terengganu 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.
Dr Adi Yasran yang merupakan pemenang hadiah tokoh Bahasa Terengganu 2024, turut menyuarakan kebimbangan mengenai pengaruh bahasa rojak yang semakin berleluasa di media sosial.
Menurutnya, perkara tersebut boleh menjejaskan kewibawaan Bahasa Melayu.
“Sekarang ini yang kita yang betul-betul perlu jaga ialah penggunaan bahasa dalam konteks rasmi, walau bagaimanapun kita tengok penggunaan dalam medium sosial walaupun dalam konteks tidak rasmi, macam facebook, instagram, whatApps , berhubung dengan kawan, kita terlampau membiasakan diri dengan bahasa rojak yang campur-campur dan bahasa singkatan.
“Lama kelamaan di dalam majlis rasmi pun kita akan terbawa-bawa penggunaan tersebut yang menyebabkan bahasa melayu tidak dilihat ada kewibawaannya menyebabkan dipandang rendah,” ujar beliau.
Justeru itu, beliau menyeru orang ramai agar memanfaatkan media sosial sebagai platform untuk memperbaiki penggunaan Bahasa Melayu serta berkongsi idea dan pengalaman dengan menggunakan bahasa yang betul.
Tambahnya, terdapat keperluan untuk menyemak semula sistem pendidikan, termasuk pendekatan pembelajaran dari pra-sekolah hingga universiti, bagi memastikan Bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa ilmu yang mampu memenuhi keperluan akademik dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi.
Jelasnya, jika di universiti kalau terutama dalam bidang sains tulen mereka lebih banyak mengajar dalam Bahasa Inggeris manakala Bahasa Melayu hanya digunakan dalam kursus tertentu.
“Jadi apa yang penting nak selarikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar Pendidikan sepatutnya ia menjalankan fungsi sebagai bahasa ilmu.
"Bahasa ilmu bermakna semua medium pengajaran itu boleh diajar dalam Bahasa melayu dan semua peringkat pengajian sehinggalah ke peringkat PHD.
“Kita seharusnya mencontohi Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970-an, di mana pengajaran dalam semua bidang termasuk kejuruteraan dan perubatan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu,” tambahnya lagi.
Justeru itu, beliau berharap agar pihak kerajaan dan institusi pendidikan melihat semula perancangan taraf bahasa ini dan mengintegrasikannya dengan lebih berkesan dalam sistem pendidikan dan media sosial.
31 Oct 24
276
Anugerah Bahasa Terengganu, Jadi Platform Promosi Bahasa Melayu
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober – Majlis gilang-gemilang Anugerah Bahasa Terengganu 2024, menjadi penanda aras dalam usaha negeri mendukung Bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa komunikasi, tetapi juga sebagai teras pembinaan masyarakat dan tamadun bangsa yang kukuh.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pada kali ini seramai 13 pemenang diumumkan pemenang diktiraf sumbangan anak kelahiran Terengganu yang aktif memperjuangkan bahasa Melayu di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Sebagai anugerah yang julung kali dilaksanakan di Terengganu saya berharap manifestasi kita untuk melihat kelahiran lebih ramai ilmuwan dan bahasawan Terengganu di kalangan anak jati Negeri Darul Iman ini berhasil.
“Menerusi naskhah dan karya yang diangkat sebagai pemenang ini, semoga menjadi titik tolak untuk semua karyawan dan bahasawan untuk terus memberikan sumbangan tenaga dan juga idea secara berterusan.
“Bagi mengembangkan serta menyebarluaskan ilmu untuk manfaat kepada pembangunan pemikiran masyarakat mahupun peradaban bangsa sama ada di Terengganu ataupun peringkat kebangsaan,’ jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Bahasa Terengganu Dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Awam Peringkat Negeri Terengganu 2024, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya, penghargaan itu turut memberi peluang kepada penggiat bahasa dan karyawan dalam bidang persuratan untuk dihargai atas usaha mereka memperkukuhkan warisan bahasa kebangsaan.
“Dengan anugerah ini, kerajaan negeri berharap dapat melahirkan lebih ramai tokoh bahasa dari kalangan anak muda yang mampu menyumbang idea dan usaha mereka bagi memperkasakan bahasa kebangsaan, sama ada di Terengganu mahupun di peringkat nasional.
“Bulan Bahasa Kebangsaan kali ini juga menekankan kesinambungan perjuangan bahasa yang dimulakan sejak tahun 1960-an, bertepatan dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” tambahnya.
Justeru itu, beliau sentiasa menyokong sebarang bentuk program dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan ini di seluruh Terengganu.
31 Oct 24
99