Artikel "Semasa" Terkini
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) memainkan peranan besar membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat sahih kepada masyakat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, UPDI bertanggungjawab menghubungkan rakyat dengan maklumat yang tepat, cepat dan terkini selaras dengan agenda Maju, Berkat, Sejahtera.
Katanya, UPDI mempunyai beberapa medium di media sosial antaranya portal TRDI News serta TV Darul Iman (TVDI).
“Penghasilan berita mengenai program-program kerajaan negeri membuktikan keberhasilan liputan yang dibuat contohnya seperti Kejohanan Kuda Lasak Sultan Mizan Cup 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
“Justeru, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat termasuk mengenai dasar kerajaan negeri boleh melayari portal TRDI News dan laman rasmi TVDI di Youtube atau Facebook masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Kepada 20 Penerima Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Di kesempatan tersebut, Tengku Seri Bijaya Raja yang akan bersara wajib pada 5 November ini turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua warga Wisma Darul Iman atas kerjasama sepanjang beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu.
“Saya doakan warga Wisma Darul Iman terus cemerlang dengan pelbagai pencapaian baru dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada rakyat.
"Wisma Darul Iman adalah nadi pentadbiran negeri, justeru saya berharap semua pegawai dan kakitangan terus menunjukkan imej yang baik dan menjadi contoh kepada agensi di peringkat negeri dan daerah,” ujarnya.
Pada majlis tersebut juga, turut diraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu melalui Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) dan Unit Perumahan di atas kejayaan mendapatkan pensijilan Information Security Management System (ISMS) mengikut standard ISO/IEC 27001:2022 daripada Cyber Security Malaysia pada 7 Jun lalu.
28 Oct 24
1435
Kerajaan Digesa Perkenal Sistem Elak Pemberian Bermotif Politik
KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Kerajaan Persekutuan digesa memperkenalkan mekanisme baharu bagi mengelakkan sebarang pemberian kepada negeri dipengaruhi sentimen politik kepartian.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sistem lebih telus dan berobjektif itu perlu agar rakyat tidak menjadi mangsa permainan politik.
“Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu, seperti ‘Independent Grants Council’ yang diamalkan di Australia dan Pakistan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Menurut Ahmad Samsuri, langkah tersebut perlu dilakukan selepas melihat terdapat syarat yang diletakkan bagi peruntukan di negeri-negeri tertentu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, kerana terdapat beberapa projek diumumkan secara langsung untuk Negeri Terengganu.
“Namun begitu, apa yang menarik perhatian saya adalah, terdapat syarat yang diletakkan bagi peruntukan di sesetengah negeri seperti (penggunaan frasa) ‘berdasarkan prestasi’, namun tiada syarat ini pada sesetengah negeri yang lain.
“Saya mencadangkan agar suatu kaedah atau formula yang lebih jelas diperkenalkan, agar negeri yang dikategorikan ini tidak dipinggirkan namun pada masa yang sama negeri maju terus menerima geran serta peruntukan yang lebih tinggi,” jelasnya.
Tambah Ahmad Samsuri, bagi memastikan elemen ketelusan dalam setiap pemberian kepada negeri-negeri, amat wajarlah Kerajaan Persekutuan melaksanakan fungsi pelaporan terhadap semua peruntukan yang disalurkan.
“Termasuklah peruntukan istimewa (special allocation) dan paling penting juga, memastikan setiap laporan tersebut boleh diakses oleh masyarakat awam di negara ini.
“Selain itu juga, dalam mencapai keseimbangan dan keadilan di dalam perkara yang melibatkan federalisme fiskal.
"Adalah lebih baik dilaksanakan reformasi dalam fungsi dan operasi Majlis Kewangan Negara, supaya ia menjadi forum dan ruang untuk negeri-negeri untuk terus berkembang maju,” ujar beliau.
28 Oct 24
124
‘Henti Guna Royalti Petroleum Untuk Dera Seteru Politik’
KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Kerajaan Persekutuan sekali lagi digesa agar tidak menggunakan wang royalti petroleum untuk mendera seteru politik.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan hasil minyak mesti disalurkan secara terus kepada akaun Kerajaan Negeri sebagaimana amalan terdahulu dan janji terhadap rakyat Terengganu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Larut selaku Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) yang membangkitkan isu berkaitan Royalti Petroleum untuk Terengganu.
“Tuntutan kami di Terengganu, walaupun sesetengah pihak menjadikannya sebagai keputusan dan penderaan politik, Kemaman bersama dengan rakan-rakan yang lain akan terus menyampaikan pendirian dan hasrat rakyat, supaya royalti petroleum kepada negeri dipulangkan terus kembali ke akaun Negeri, seperti mana yang diamalkan sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Menteri Besar Terengganu itu berkata, ketidakadilan itu berlaku disebabkan tujuan politik diletakkan pada tahap tertinggi mengatasi kepentingan lain.
“Inilah antara contoh yang berlaku apabila tujuan politik mengatasi segalanya, maka ditimbul dan digunakanlah berbagai alasan, seumpama mengalih tiang gol, dan berbagai syarat baharu untuk menidakkan tindakan penyaluran wang royalti petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu.
Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022.
Manakala berdasarkan rekod sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, bagi tahun ini pula, Kerajaan Persekutuan dilapor masih belum melunaskan bayaran sebagaimana perjanjian.
28 Oct 24
671
Pengumuman Tentang T15 Buat Rakyat Terpinga-Pinga
KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Pengelasan Kerajaan Persekutuan terhadap kelompok T15 sebagai golongan maha kaya yang wajar ditarik subsidi membuatkan rakyat terpinga-pinga.
Berdasarkan data pendapatan isi rumah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia setakat 2022, kelompok T15 di Malaysia bermula dengan jumlah RM13,295 dan ke atas.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebanyakan rakyat terkeliru apabila pengumuman tentang golongan terbabit tidak diperincikan dengan jelas.
“Perkara ‘threshold’ seperti ini wajar ditentukan lebih awal dengan cermat dalam merangka sesuatu Bajet dan bukannya disesuaikan definisinya apabila sedar kelompok ini bukanlah ‘maha kaya’.
“Apa pun, alhamdulillah, kerana kerajaan bersifat responsif dalam hal ini untuk menentukan ‘threshold’ baharu kelompok ini (golongan maha kaya), sebagaimana yang dilaporkan oleh media pada hari semalam sebagai T10.
“Walaupun begitu, kerajaan juga masih mesti bersifat adil kepada mereka, kerana nanti golongan ini bertanya, ‘motivasi dan perkhidmatan apa yang kami dapat dengan membayar cukai paling banyak ini?,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab terhadap semua peringkat dan golongan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.
“Walau apa agama, kaum, tua atau muda, miskin atau kaya sekalipun, mereka ada hak yang wajar ditunaikan oleh negara kepada mereka dan sebaliknya.
“Oleh yang demikian, dalam usaha menambah sumber kewangan negara demi pembangunan ekonomi dan sosial, kerajaan mestilah cermat dan berhati-hati, agar dalam masa yang sama, ia turut mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan turut berlaku adil kepada semua,” kata beliau.
28 Oct 24
1047
Kerajaan Perkenal Inisiatif Psikologi Awam Tangani Gangguan Mental
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Kerajaan negeri memperkenalkan Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu 2023-2027 bagi memantapkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan psikologi di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja menekankan kepentingan kesejahteraan psikologi penjawat awam dalam menangani cabaran kesihatan mental.
"Pelan Strategik ini diharap akan dapat membantu organisasi perkhidmatan awam untuk memperkasa peranan psikologi
dalam pembangunan sumber manusia sejajar dengan matlamat dan aspirasi perkhidmatan awam dan negara sepertimana yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Peluasan perkhidmatan psikologi diteruskan lagi dengan pewujudan sistem sokongan serta pencegahan kepada permasalahan bagi membantu penjawat awam melalui Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam yang lebih dikenali sebagai AKRAB," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Terbuka Psikologi Peringkat Negeri Terengganu 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas tentang program tersebut, beliau berkata, tema 'Aku Yang Terpaling' bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu Narcissistic Personality Disorder (NPD) atau Gangguan Keperibadian Narsistik.
"Dalam bebanan tugas semakin bertambah dan kompleks setiap hari, isu kesihatan mental perlu dititik beratkan oleh semua pihak dan persekitaran yang holistik di tempat kerja memainkan peranan penting dalam memacu perkhidmatan berkualiti dan efisen.
"NPD atau gangguan keperibadian narsistik adalah salah satu jenis gangguan mental di mana pengidapnya menganggap dirinya lebih baik dan lebih penting daripada orang lain, sehingga orang lain harus mengagumi, mencintai, dan membanggakannya.
"Nampak seperti perkara remeh dan tuan punya badan tidak hirau dengan keadaan dirinya, sebaliknya individu berada di sekelilingnya akan rasa rungsing serta tertekan dan mungkin menyebabkan hubungan menjadi renggang seterusnya mewujudkan persekitaran yang tidak harmoni di tempat kerja," katanya.
Menurutnya, pihak JPA telah jalankan pelaksanaan Sistem pemprofilan Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MYPsyD) bagi mengenal pasti tahap risiko kesihatan psikologi pegawai awam.
"Di Terengganu, seramai 7,825 kakitangan awam atau 89 peratus daripada keseluruhan penjawat awam negeri telah terlibat dalam kajian ini.
"Mengikut perincian domain pula adalah seperti kemurungan 54 orang (0.6 peratus), stress 2,602 orang (33 peratus), penyalahgunaan dadah 124 orang (1.4 peratus), keresahan 20 orang (0.2 peratus), idea bunuh diri 13 orang (0.1peratus) dan cubaan bunuh diri, 104 orang (1.9 peratus)," ujarnya.
Beliau menambah, hasilnya mendapati masalah psikologi seperti stres dan kemurungan terus menjadi isu utama yang memerlukan perhatian segera.
Justeru itu, beliau berharap program tersebut dapat menjadi platform yang menghapuskan stigma masyarakat terhadap kesihatan mental serta menggalakkan penjawat awam untuk memanfaatkan perkhidmatan psikologi disediakan.
28 Oct 24
96
Terpilih Pengunjung Ke Setengah Juta, Suriani Bawa Pulang Jongkong Emas Bernilai RM15 Ribu
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu.
Itu gambaran kepada Suriani Sulleh yang terpilih sebagai pemenang hadiah utama bagi pelawat Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) ke setengah juta iaitu jongkong emas bernilai RM15 ribu.
Berkongsi cerita, kakitangan swasta berusia 30 tahun yang berasal dari Sabah itu mengetahui namanya terpilih sebagai pemenang utama selepas menerima panggilan telefon daripada pihak penganjur tiga hari lepas.
Katanya, sewaktu panggilan pertama, dia ditanya jika pernah datang ke Drawbrigde tapi dinafikan kerana terlupa tentang nama dan lokasinya serta bimbang jika pemanggil adalah 'scammer'.
"Selepas beberapa minit, saya mendapat panggilan kali kedua dan masa sama kawan saya menunjukkan gambar Drawbridge. Barulah saya teringat dan mengakui bahawa saya pernah pergi ke sana,
“Saya sangat teruja dan tak sangka menjadi individu paling bertuah dengan hanya satu borang sahaja diisi dia berjaya memperoleh hadiah utama," ujarnya yang bertuah buat kali kedua apabila menerima hadiahnya daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah hari ini.
Baginda telah berkenan mencemar duli berangkat ke Kuala Terengganu Drawbridge (KTDB) dan Majlis Santapan Hi-Tea sekaligus mengurniakan hadiah kepada pemenang Pengunjung Drawbridge Yang Ke Setengah Juta.
Tambah Suriani, ia merupakan saat-saat indah bagi dia dan keluarga kerana lawatan pertamanya ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Oktober tahun lepas, untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran anaknya kini membawa pulang satu lagi kenangan abadi yang lebih besar dan bernilai.
Suriani yang bekerja di Seri Kembangan, Selangor itu berkata, buat masa ini, dia bercadang untuk menyimpan bar emas itu sebagai pelaburan pada masa hadapan.
Dalam masa sama, Suriani turut menzahirkan penghargaan kepada TI Properties yang menganjurkan program kepada pelawat yang telah menyokong dan mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata, berkata kempen itu bertujuan untuk memperluaskan lagi jenama dan populariti Jambatan Angkat Kuala Terengganu bukan hanya di Terengganu, tetapi juga ke seluruh Malaysia.
"Dengan menawarkan hadiah lumayan, ia dapat menarik perhatian ramai pelawat dari pelbagai negeri untuk mengunjungi mercu tanda ini.
"Kempen ini merupakan penghargaan kepada pelawat yang telah menyokong dan mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu sejak ia mula beroperasi pada 2019," ujarnya.
26 Oct 24
505
32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Seramai 32 anak yatim piatu dari setiap DUN di Terengganu telah terpilih menyertai program 'Terbang ke Kuala Lumpur'.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menyatakan bahawa inisiatif kali pertama kerajaan negeri itu telah dirancang sejak empat bulan yang lalu.
"Walaupun negeri sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi, ia tidak menjadi halangan untuk kita merealisasikan program ini.
"Bagi saya, kita teruskan program ini walaupun tiada dana khusus daripada Persekutuan (royalti).
"Walaupun kerajaan pusat tidak begitu simpati dengan kita, masih ramai individu yang berkemampuan tampil untuk menyumbang bersama kami," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media program 'Terbang Ke Kuala Lumpur' bersama Anak Yatim Piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.
Menurutnya, anak-anak yatim piatu yang terlibat berusia antara 10 hingga 15 tahun dan masih bersekolah, serta tidak pernah menaiki kapal terbang.
"Bagi mereka, ini merupakan pengalaman pertama menaiki kapal terbang dan diharapkan ia dapat mengubati sedikit sebanyak luka di hati mereka.
"Kami mahu menunjukkan bahawa masyarakat dan kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan anak yatim yang kekurangan dari sudut kasih sayang.
"Kami turut memberikan pendidikan secara tidak langsung dan ingin mereka tahu bahawa masih ada orang yang menyayangi mereka," tambah Maliaman.
Beliau juga menyatakan bahawa program ini adalah yang pertama kali diadakan dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
24 Oct 24
554
Belanjawan : Rakyat Bimbang Krisis Kos Sara Hidup Tidak Selesai
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dikhuatiri tidak memadai untuk mengatasi masalah hutang negara dan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, menyatakan kebimbangan bahawa belanjawan negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mampu menyelesaikan isu kos sara hidup bermain dalam kalangan rakyat.
“Belanjawan dibentangkan walaupun besar tapi pada saya tidak akan menyelesaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, kalau kita lihat pada hari ini rakyat masih dihimpit dengan kenaikan harga barang, kos operasi semakin tinggi dan rakyat berada dalam keadaan tertekan.
“Kita tidak menafikan ada kebaikan dengan belanjawan besar dikemukakan dan tetapi sebenarnya apabila belanja besar hutang kerajaan yang ada juga akan semakin meningkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada baru-baru ini.
Ariffin juga menegaskan bahawa kerajaan perlu lebih serius dalam menangani isu kemiskinan, terutama di kawasan bandar dan luar bandar, yang masih dihantui oleh kemiskinan tegar.
"Terdapat golongan miskin tegar di Malaysia, khususnya di Terengganu meskipun menerima bantuan seperti RM100 seorang dan bantuan-bantuan lain yang biasa diberikan.
“Kita juga telah melihat bantuan disalurkan sebelum ini, namun persoalannya, adakah ia mampu menyelesaikan isu kemiskinan, terutamanya kemiskinan di bandar dan luar bandar?,” soalnya.
Beliau menambah, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan segala bentuk bantuan, geran, dan pinjaman yang diumumkan sampai kepada rakyat di peringkat bawah tanpa diskriminasi dan halangan.
Dalam pada itu, Ariffin turut menyentuh isu subsidi, menurutnya mungkin akan ditarik balik secara berperingkat dan termasuk subsidi minyak yang telah diumumkan sebelum ini.
"Dijangka ia akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barang keperluan lain seperti gula.
“Kerajaan kononnya memberikan pelbagai inisiatif kepada rakyat dan akan ada subsidi yang ditarik balik sebagaimana minyak diesel sebelum ini kita dengar petrol akan ditarik subsidi menyebabkan harga minyak naik serta kesan kenaikan harga barang.
“Ini akan memberi kesan langsung yang dipanggil kesan berantai, terutamanya kepada rakyat," katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan perseketuan perlu lebih serius dalam menangani isu berkait kos sara hidup.
24 Oct 24
169
TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad memeterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan di Doubletree by Hilton Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengerusi TDM Berhad merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program Sukuk Wakalah adalah langkah signifikan dalam perjalanan TDM untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan.
"Dana yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyokong pelaburan masa hadapan dan memenuhi komitmen kewangan TDM dengan mematuhi prinsip Shariah.
"Kerjasama dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad selaku penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi Program Sukuk Wakalah tersebut mencerminkan keyakinan rakan kewangan kami terhadap visi dan strategi jangka panjang TDM," ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut katanya, pogram tersebut memberi fleksibiliti kepada TDM untuk menerbitkan nota jangka sederhana mengikut prinsip shariah Wakalah Bi Al-Istithmar, dengan pilihan untuk menerbitkan Sukuk Wakalah tersebut sebagai ‘Rated’ atau ‘Unrated’.
"Inisiatif ini membolehkan TDM mengoptimumkan struktur kewangan, menyokong pertumbuhan masa depan dan memperkuat kedudukan modal operasi.
"Tempoh keseluruhan program ini adalah selama 30 tahun bagi menyediakan keperluan kewangan untuk menyokong projek-projek akan datang dalam sektor Perladangan dan Penjagaan Kesihatan.
"Sebahagian besar daripada hasil penerbitan Sukuk akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, pelaburan, keperluan modal kerja, dan tujuan korporat am Kumpulan," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, program berkenaan juga bertujuan mengoptimumkan struktur kewangan termasuk membayar semula pembiayaan sedia ada.
"Selain itu, dana ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan modal operasi bagi memastikan kelancaran operasi harian dan mengekalkan kecekapan operasi dalam perniagaan Kumpulan secara menyeluruh," ujarnya.
Menurut beliau, TDM kini menguruskan 13 ladang kelapa sawit yang berkeluasan 28,531 hektar dan masing-masing dua kilang kelapa sawit, kilang Bio-Organik dan loji Biogas yang terletak di Terengganu.
Di samping itu katanya, Kumpulan TDM juga mengendalikan lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berlokasi di Kuala Terengganu, Kuantan, Taman Desa, Kelana Jaya, dan Tawau.
"Program Sukuk Wakalah ini akan memastikan TDM mempunyai kemampuan kewangan untuk memacu sektor perladangan dan memperluaskan penjagaan kesihatan.
“Program ini dijayakan dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad sebagai Penasihat Utama Bersama, Penyusun Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama.
"Affin Hwang Investment Bank Berhad juga berperanan sebagai agensi fasiliti, manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai penasihat Shariah untuk program ini," ujarnya.
24 Oct 24
175
Mangsa Ribut, Hujan Batu Kemaman Ditempatkan di PPS
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Seramai 18 mangsa ribut dan hujan batu yang berlaku di daerah Kemaman semalam ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Kampung Gong Pauh.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim memaklumkan bahawa mangsa terlibat adalah daripada tujuh keluarga, membabitkan lapan lelaki, enam wanita dan empat kanak-kanak lelaki.
"Mangsa yang dipindahkan ke PPS turut menerima bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kita bantu segera dan mangsa yang terlibat kampung yang berlainan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada program Terbang Ke Kuala Lumpur Bersama Anak Yatim Piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rumah yang terjejas melebihi 200 buah rumah dan tujuh keluarga dipindah ke PPS kerana rumah rosak teruk.
"Selepas keadaan pulih, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Setakat ini mereka akan tinggal di PPS sehingga ada penempatan yang disediakan," jelasnya.
Beliau menambah, SMA Al-Falah adalah premis paling teruk terjejas kerana hampir 80 peratus bumbung di sekolah itu diterbangkan angin.
Ujar Maliaman, sebanyak tujuh sekolah mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan hujan batu di Kemaman pada petang Rabu.
Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang lelaki patah kaki kanan kerana dihempap bumbung sebuah wakaf yang runtuh berdekatan Pantai Teluk Mak Nik.
24 Oct 24
414