lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Portal Terengganu Talent Kumpul Bakat Anak Terengganu
Portal Terengganu Talent Kumpul Bakat Anak Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan membangunkan Portal Terengganu Talent bagi mengumpulkan data mengenai bakat-bakat Terengganu.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, portal khas tersebut bertujuan untuk membantu pencari kerja rakyat Terengganu mendaftar dan mengumpulkan data pencari kerja.  Menurutnya, portal itu juga akan menjadi platform bagi majikan di Terengganu terutama anak syarikat (GLC) Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong, memudahkan pencari kerja membuat permohonan, dan menyediakan pelaporan statistik pasaran buruh kepada kerajaan negeri. “Objektif utama portal ini adalah bagi tujuan pengumpulan data maklumat dan data bakat modal insan di Terengganu. “Portal ini juga menyediakan platform bagi majikan yang terdiri dari syarikat berkaitan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong,”ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambahnya lagi, selain itu ia memudahkan  pencari kerja untuk mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Di samping itu juga, Ariffin berkata kewujudan portal berkenaan membolehkan kerajaan negeri membuat pelaporan statistik mengenai pasaran buruh yang merangkumi permintaan iaitu tawaran kerja kosong serta penawaran iaitu data pencari kerja.     Justeru itu, beliau berharap dengan adanya portal tersebut, semua bakat anak negeri Terengganu samada yang memiliki pendidikan tinggi atau rendah dan berkemahiran tinggi mahupun tidak mahir dapat dikumpul bagi tujuan membantu pengurusan bakat jangka panjang.  
20 Nov 24
173
Kerjasama Awam-Swasta Bangunkan Kawasan Sekitar ECRL
Kerjasama Awam-Swasta Bangunkan Kawasan Sekitar ECRL
KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kerjasama awam-swasta bagi membangunkan kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar stesen East Coast Rail Link (ECRL). Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah mempercepatkan proses pembangunan demi manfaat rakyat dan ekonomi negeri. Menurutnya, pelbagai projek telah dirangka dan dicadang bagi dilaksanakan pada tahun hadapan demi memastikan permasalahan dan keselesaan kehidupan rakyat lebih terjamin. “Kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership, PPP) berfungsi sebagai platform untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak.  “Dalam model ini, kerajaan akan menyediakan tanah atau insentif seperti pengecualian cukai, manakala pihak swasta akan menyumbangkan modal, teknologi, dan kepakaran teknikal.  “Pembahagian tanggungjawab dan risiko ini membolehkan pembangunan berjalan dengan lebih cekap tanpa membebankan kewangan kerajaan secara berlebihan,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Menurut Hanafiah, pembangunan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL juga akan membawa pelbagai manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri Terengganu dengan mengambil kira keperluan komuniti setempat dan kelestarian alam sekitar. “Kawasan ini akan mengintegrasikan perumahan, perniagaan, dan kemudahan pengangkutan awam, sekali gus memudahkan penduduk setempat untuk bergerak dan menjalankan aktiviti harian.  “Pada masa yang sama, pembangunan ini juga mampu meningkatkan nilai hartanah, menarik pelaburan asing, dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama golongan belia,” katanya lagi. Tambah beliau, kerjasama  awam-swasta untuk membangunkan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL mencerminkan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri maju dan mesra pelabur.  Dalam masa sama,  peluang daripada projek berskala besar seperti ECRL, negeri dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan membawa perubahan positif kepada rakyat.  “Saya berharap kerjasama ini adalah contoh terbaik bagaimana kerajaan dan sektor swasta boleh berganding bahu untuk membangunkan negeri demi kesejahteraan Bersama,” jelasnya.
20 Nov 24
223
TDM Bayar RM1.4 Juta Untung Kepada LTAWNT
TDM Bayar RM1.4 Juta Untung Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 20 November - TDM Berhad telah menyerahkan pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM1,439,723 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT). Ia merupakan sebahagian daripada perjanjian bagi usahasama (JV) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY2023). Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, perjanjian usahasama itu merupakan satu cara bagaimana kerjasama yang strategik dapat memaksimumkan potensi sektor perladangan kelapa sawit. "Hasil yang diperolehi bukan sahaja membawa keuntungan kepada syarikat tetapi juga memberikan nilai tambah kepada pembangunan ekonomi tempatan khasnya kerajaan negeri. "TDM akan terus berusaha untuk memastikan usahasama seperti ini memberikan manfaat menyeluruh kepada semua pihak,"ujarnya menerusi, suatu kenyataan, di sini, hari ini. Cek pembayaran  berkenaan telah diserahkan secara rasmi kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof oleh Najman dalam majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Nara Setia. Selain itu, pembayaran itu juga menunjukkan prestasi kukuh TDM serta komitmen berterusan terhadap rakan-rakan kongsi strategik dalam memastikan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham dan komuditi.
20 Nov 24
96
Padah Khalwat Berulang, Buruh Bakal Disebat di Khalayak Ramai
Padah Khalwat Berulang, Buruh Bakal Disebat di Khalayak Ramai
KUALA TERENGGANU, 20 November- Seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang. Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. Memetik laporan Harian Metro, Kamalruazmi menjatuhkan hukuman enam sebatan, denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya jika gagal menjelaskan denda berkenaan terhadap tertuduh. Kamalruazmi turut memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu pada 6 Disember depan selepas solat Jumaat sebaik tamat tempoh rayuan. Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakiman berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat dan daripada segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan sebagainya. "Ia suatu pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya. "Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Kamu (pesalah) pernah disebat dan dipenjara tetapi buat lagi (berkhalwat). "Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan," katanya. Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan ketiga tertuduh. Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman. Bapa kepada lima anak itu sekali lagi melakukan kesalahan sama pada 25 Januari lalu sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari lalu menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan. Untuk rekod, tertuduh sebelum ini menjadi pesalah khalwat pertama di Terengganu dikenakan empat sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang. Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi pada 16 Jun lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
20 Nov 24
1618
PBT Terengganu Diarah Tidak Keluarkan Lesen Perniagaan Vape
PBT Terengganu Diarah Tidak Keluarkan Lesen Perniagaan Vape
KUALA TERENGGANU, 20 November- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarahkan untuk tidak membenarkan lesen perniagaan vape atau rokok elektronik di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan semua PBT di Terengganu supaya tidak mengeluarkan lesen untuk perniagaan tersebut. "Kalau dari segi pengharaman, memang negeri-negeri sudah terima pakai fatwa daripada sebelum ini bahawa vape itu haram. "Di peringkat negeri, kita ada kuasa di bawah PBT untuk tidak membenarkan premis perniagaan milik PBT digunakan sebagai tempat penjualan vape selepas ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Ahmad Samsuri berkata, keputusan untuk tidak membenarkan PBT memperbaharui lesen perniagaan vape adalah untuk menjaga kemaslahatan umum terutama golongan muda. Baru-baru ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total. Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK). Namun begitu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan Kerajaan Persekutuan berpendirian belum tiba lagi masa untuk pihaknya mengharamkan penjualan vape seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara maju di dunia. Bagaimanapun, beliau tidak keberatan jika ada negeri-negeri yang mahu melarang penjualan produk tersebut.
20 Nov 24
1270
ADUN Sura Raih PhD Doktor Kesihatan
ADUN Sura Raih PhD Doktor Kesihatan
PULAU PINANG, 20 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, telah menerima Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) , Kampus Induk USM, Pulau Pinang baru-baru ini. Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin secara peribadi menyifatkan kejayaan peribadi itu menjadi tanda dedikasi beliau dalam dunia akademik serta penglibatannya yang aktif dalam bidang kesihatan awam, politik, dan sosial. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang turut aktif dalam penyelidikan dan pendidikan, dengan hasrat untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat, khususnya dalam kawasan Sura. "Penghargaan ini bukan hanya milik saya, tetapi juga milik keluarga, sahabat, serta seluruh masyarakat yang telah memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademik saya. Saya berazam untuk terus memberi sumbangan yang bermakna kepada pembangunan negara dan komuniti Sura," ujarnya penuh rasa syukur. Di kesempatan sama, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin turut mengingatkan golongan muda agar memanfaatkan sepenuhnya masa muda mereka untuk menimba ilmu dan berusaha menjadi individu yang bermanfaat kepada agama, bangsa, dan negara. "Semoga perjalanan ini memberi inspirasi kepada pemuda di luar sana agar memaksimumkan sebaik mungkin waktu muda dengan ilmu dan dakwah. Ingat, permulaan kepada kebangkitan Islam adalah ilmu dan kita kena jadi pejuang yang berilmu," katanya. Dengan pencapaian ini, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin tidak hanya membuktikan kebolehannya dalam dunia akademik, tetapi juga membuktikan bahawa seorang pemimpin yang berilmu dapat memberi impak yang besar dalam memajukan negara dan rakyat.  
20 Nov 24
367
Pelabuhan LKIM Chendering dan Pulau Kambing Bakal Siap Sepenuhnya Pada 2031
Pelabuhan LKIM Chendering dan Pulau Kambing Bakal Siap Sepenuhnya Pada 2031
KUALA TERENGGANU, 20 November - Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) akan kembali menjadi pusat pendaratan utama hasil laut Terengganu apabila projek pembangunan bernilai RM192 juta yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2031. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek tersebut bertujuan menyelesaikan isu mendapan pasir dan kekurangan infrastruktur yang menyebabkan banyak bot laut dalam terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di luar negeri.  "Projek terdiri dari dua fasa iaitu yang pertama kerja-kerja di daratan oleh JKR dan kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS.  "Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada. "Pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak," jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bandar pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Menurutnya, kerja fasa pertama di kawasan daratan dijadualkan siap pada Oktober 2028, manakala fasa kedua di kawasan air pada Ogos 2031. Menurut Dr. Azman, usaha ini adalah hasil resolusi Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu 2021, dengan sokongan Kementerian Ekonomi yang meluluskan peruntukan pada Februari 2023.  "Apabila projek ini siap, PLC dijangka mengembalikan kegemilangan sektor perikanan negeri dan memperkukuh ekonomi Terengganu," katanya. Tambahnya lagi, Kompleks LKIM Pulau kambing merupakan antara kompleks yang aktif dan mencatatkan rekod pendaratan tertinggi di Terengganu. "Bukan hanya jeti pendaratan, di sini juga ada Pasar Nelayan, Pusat Pembekalan Air Batu, Pusat Jualan Minyak Diesel dan Pusat Pengistiharan Pendaratan Ikan," katanya. Beliau juga berkata, Kompleks Perikanan Pulau Kambing turut menerima penambahbaikan naik taraf dan peningkatan infrastruktur sebanyak RM2.188 juta pada 2022. Selain itu, katanya, projek naik taraf dan peningkatan infra telah siap sepenuhnya pada Oktober 2024.
20 Nov 24
337
Sekat Wakil Rakyat ke Sekolah: Kerajaan Persekutuan Tidak Matang
Sekat Wakil Rakyat ke Sekolah: Kerajaan Persekutuan Tidak Matang
KUALA TERENGGANU, 20 November - Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) menyelar tindakan kerajaan persekutuan yang didakwa menyekat Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada memasuki institusi pendidikan, termasuk sekolah dan universiti.  ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang dan bertentangan dengan prinsip keterbukaan yang dijanjikan kerajaan. “Semasa pentadbiran Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan, kami masuk ke sekolah dan universiti untuk bertemu guru serta pelajar, dan mereka menyambut kami dengan mesra dan baik.  “Namun, selepas Pakatan Harapan dan Umno mengambil alih (Kerajaan Persekutuan), kami disekat atas alasan politik,” katanya dengan penuh kecewa. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, disini, hari ini. Menurut Mohd Shafizi, wakil rakyat PAS dan PN hanya ingin menyampaikan mesej penting kepada pelajar, seperti kepentingan fokus terhadap pengajian, pemahaman agama, dan kesedaran politik yang membina.  Beliau turut menegaskan bahawa PAS dan PN tidak berminat untuk berpolitik secara kepartian dalam institusi pendidikan. “Ramai orang Melayu-Islam hari ini tidak memandang serius politik, sehingga menyebabkan ia dikuasai pihak bukan Islam dan bukan bumiputera.  “Ini satu masalah besar yang perlu ditangani, dan usaha itu harus bermula dari pusat pengajian,” ujarnya. Mohd Shafizi juga mengkritik insiden yang berlaku di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di mana Exco kerajaan negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, dibatalkan daripada merasmikan sebuah program di saat-saat akhir atas alasan politik. “Tindakan ini memalukan, lebih-lebih lagi jika isu ini diketahui oleh pihak luar.  “Sepatutnya, mereka perlu berpegang kepada janji pilihan raya untuk bersikap adil dan terbuka. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” tegasnya. Beliau turut menyeru golongan pendidik, termasuk guru dan pensyarah, agar menjadi teladan baik kepada pelajar dengan menunjukkan keberanian dalam menghadapi sebarang ketidakadilan. “Jika kita sebagai pendidik tunduk kepada tekanan dan membiarkan perkara yang salah berlaku, bagaimana pelajar mahu menghormati kita? Keberanian perlu ada, walau dalam apa jua keadaan,” ujarnya lagi. Mohd Shafizi mengakhiri kenyataannya dengan menasihatkan kerajaan persekutuan supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan tidak menggunakan pendidikan sebagai medan politik sempit. Tindakan sekatan ini, menurut beliau, bukan sahaja mencemar prinsip demokrasi, tetapi juga memberi contoh buruk kepada generasi muda yang bakal memimpin negara.
20 Nov 24
118
Laksana Pembangunan Utama Tingkatkan Kualiti Penduduk Kuala Besut
Laksana Pembangunan Utama Tingkatkan Kualiti Penduduk Kuala Besut
KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri disarankan agar melaksanakan beberapa projek pembangunan utama bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk  setempat serta memperkukuhkan sektor pelancongan yang menjadi  nadi ekonomi rakyat setempat di di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, beberapa cadangan yang perlu ditambah baik di kawasan tersebut dalam sektor pembangunan. “Naiktaraf sistem jalanraya berkembar iaitu jalan ke Pekan Kuala Besut daripada sempadan Negeri Kelantan di Kampung Pachakan memandangkan berlaku kesesakan kenderaan diwaktu puncak setiap hari dan jalan menghubungkan ke Tok Bali Pasir Putih Kelantan. “Dan sistem perparitan di ketiga-tiga mukim di DUN kuala Besut dan terdapat lagi sistem perparitan yang perlu diselenggarakan. Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam. Dalam sektor pelancongan pula, Azbi berkata Pulau Perhentian menjadi tarikan utama para pelancong ratusan ribu dari seluruh negara pada setiap tahun. “Pihak kerajaan negeri melalui Agensi Pelancongan Negeri perlu menitik berat hal hal tersebut iaitu  antaranya pembinaan jeti baru yang lengkap dengan kemudahan terkini. “Sistem pengurusan di jeti yang lebih efektif kepada pelancong, sistem pengangkutan dari Terminal Bas di Pekan Baru Kuala Besut ke jeti pelancongan di Pekan Lama Kuala Besut menjadi agenda utama,” ujar beliau. Justeru itu, beliau turut berharap agar pihak Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dapat merealisasikan moto Kerajaan Terengganu iaitu Terengganu Maju Berkat Sejahtera.
20 Nov 24
103
Banjir Landa DUN Ajil, Tiga PPS Dibuka Untuk Mangsa
Banjir Landa DUN Ajil, Tiga PPS Dibuka Untuk Mangsa
HULU TERENGGANU, 20 November - Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di Negeri Terengganu, termasuk di DUN Ajil, dilanda banjir.  Keadaan ini memaksa tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, yang juga merangkap ADUN Ajil, memaklumkan bahawa pihaknya segera turun padang bagi meninjau keadaan semasa dan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir. “Tiga PPS yang telah dibuka ialah PPS Surau Kolam yang menempatkan 6 keluarga, PPS Masjid Hadhari dengan 5 keluarga, dan PPS Masjid Tok Gebok yang menempatkan 3 keluarga,” ujar Maliaman menerusi hantaran di Facebook, semalam. Beliau turut memberi jaminan bahawa Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan segera diberikan kepada semua yang memerlukan. Maliaman turut menyeru orang ramai untuk berdoa agar keadaan kembali pulih dan banjir cepat surut.  “Semoga semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” ujarnya dengan penuh simpati. Keadaan banjir yang melanda ini mencetuskan kebimbangan penduduk setempat, khususnya bagi mereka yang terpaksa meninggalkan rumah demi keselamatan.  Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.
20 Nov 24
141