lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Model Perpaduan Kaum Yang Inklusif
Terengganu Model Perpaduan Kaum Yang Inklusif
KUALA TERENGGANU, 21 November – Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu negeri contoh dalam perpaduan kaum menerusi pendekatan inklusif yang merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata usaha ini dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira waktu atau keadaan. “Apabila kita turun padang ke daerah-daerah untuk menyantuni golongan memerlukan, saya turut melibatkan pelbagai kaum yang berbeza. “Walaupun sasaran utama ziarah ini adalah golongan susah kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, kehadiran masyarakat Cina, India, dan juga Orang kurang Upaya  (OKU) dalam majlis ini mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi. “Konsep kebajikan kita adalah bersifat merentas, tidak semestinya hanya pada program semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali sahaja,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam. Menurut Maliaman, Terengganu dilihat sebagai model perpaduan yang berjaya di Malaysia kerana tiada isu pergeseran kaum dilaporkan. Beliau percaya pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan mampu mengekalkan keharmonian serta memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain. “Untuk mengukur kejayaan ini, kita tidak mempunyai kayu ukur yang khusus. Namun, matlamat utama aktiviti perpaduan adalah untuk mewujudkan jalinan mesra antara pelbagai kaum di Terengganu. “Ketiadaan isu pergeseran dan ketegangan kaum di negeri ini menjadi bukti bahawa program-program perpaduan yang dilaksanakan telah mencapai matlamat dan sasarannya. “Bahkan, isu-isu ketegangan kaum yang berlaku di luar Terengganu tidak wujud di sini, dan ini menunjukkan bahawa Terengganu boleh dijadikan model perpaduan,” ujarnya. Justeru itu, beliau menyifatkan perpaduan di negeri ini sebagai bersifat merentas dan tidak terhad kepada isu atau masa tertentu. “Segala aktiviti berkaitan kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada musim perayaan seperti Deepavali atau Tahun Baru Cina sahaja,” tambah Maliaman.
21 Nov 24
156
Terengganu Rekod 53 Kes Perkahwinan Bawah Umur
Terengganu Rekod 53 Kes Perkahwinan Bawah Umur
KUALA TERENGGANU, 21 November - Sebanyak 53 kes perkahwinan bawah umur melibatkan remaja perempuan di Terengganu dari tahun 2022 hingga 2024. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, daripada jumlah tersebut, 15 kes direkodkan di Kemaman. "Daerah Besut pula merekodkan sebanyak 13 perkahwinan bawah umur diikuti Dungun (tujuh), Kuala Terengganu (lima), Setiu (lima), Hulu Terengganu (tiga), Marang (tiga) dan Kuala Nerus (dua). "Antara sebab keperluan perkahwinan tersebut terdapat segelintir ibu bapa mahu membendung dan batas menjaga anak anak mereka daripada terus melakukan masalah sosial seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dadah dan sebagainya. "Oleh itu, ibu bapa berpendapat bahawa perkahwinan ialah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan anak-anak mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri,Yusop Majid dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Tambahnya, kekurangan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) juga antara punca utama berlakunya perkahwinan kanak-kanak.
21 Nov 24
102
Terengganu Anjur Persidangan Antarabangsa 23 November Ini
Terengganu Anjur Persidangan Antarabangsa 23 November Ini
KUALA TERENGGANU, 21 November – Persidangan Antarabangsa Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) menjadi platform utama dalam memperkukuhkan kesatuan ummah dan memacu kemajuan negeri Terengganu ke arah kemampanan serta daya tahan ekonomi. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, program itu diadakan bertujuan membina rangkaian kerjasama global dalam kalangan tokoh-tokoh utama dunia Islam. "Walaupun tajuknya berkait dengan persatuan ummah, tetapi ia mempunyai objektif lain antaranya ialah dalam bidang pelaburan, pendidikan dan kebudayaan yang mana kita nak memperkenalkan Negeri Terengganu kepada negara-negara luar," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Turut hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Ridzuan Hashim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Adram Musa. Mengulas lanjut kata beliau, program anjuran bersama Yayasan Perdana, Yayasan Permata Ummah (YPU), Sekretariat SG4 dan Menteri Besar Incorporated (MBI) itu akan dihadiri oleh perwakilan dari lima negara. "Insya-Allah akan dikunjungi oleh lima buah negara iaitu Oman, Rusia, Filipina, Turki dan Indonesia,” ujarnya. Menurut Khalil, persidangan ini merupakan kali kedua diadakan yang bertemakan kesatuan ummah ke arah kemampanan, daya tahan dan kemakmuran bersama. "Kita adakan program seperti ini dan panggil wakil wakil daripada luar daripada Negara Timur Tengah daripada Rusia dan lain lain lagi. "Jadi kita harap ia akan membuka pintu-pintu lain lah untuk kita terokai lagi selepas daripada ini," katanya. Ucaptama akan disampaikan oleh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia dan Ahli Parlimen Marang merangkap penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Majlis perasmian pula akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Beliau menambah, acara ini akan diadakan pada hari Sabtu 23 November bermula daripada 9 pagi hingga 5.30 petang bertempat di Duyong Marina Resort, Pulau Duyong.  "Melibatkan Negeri Terengganu termasuk ahli Parlimen, negeri negeri SG4 (Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam pusat dan pusat pendidikan. "Penyertaannya bukan terbuka tapi terhad, insya-Allah akan ada siaran langsung," tambah Khalil lagi.
21 Nov 24
484
MBI Terengganu Komited Terokai Potensi Gas Cecair Asli
MBI Terengganu Komited Terokai Potensi Gas Cecair Asli
KUALA TERENGGANU, 21 November - Mentri Besar Trengganu (Incorporated), MBI Terengganu sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG). Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, MBI Terengganu telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau dan ammonia hijau di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun. “Pihak kerajaan pada ketika ini telah selesai melaksanakan libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat yang berpotensi bagi memperhalusi cadangan pembangunan loji hydrogen hijau dan ammonia hijau pada bulan Oktober dan bulan ini.  “Hasilnya, perkara yang berkaitan dengan teknikal akan diteliti oleh agensi yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia, Jabatan Perhutanan Negeri serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam. Tambah beliau, kerjasama sepenuhnya dari agensi bagi memastikan permohonan oleh pelabur serta perincian teknikal oleh agensi harus juga diberi penelitian mengikut lunas undang- undang agar ia dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Dalam pada itu katanya, Terengganu sedang memperkenalkan industri CCUS yang dijangka akan menjadi sumber baharu pendapatan negara dan negeri serta menyumbang kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui.  “Selain itu, projek solar terapung di Tasik Kenyir dijangka menjana tenaga solar sehingga satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan projek permulaan dijangka akan dibina pada tahun 2025 secara berfasa. “Dengan semua inisiatif ini di bawah portfolio pelaburan, kerajaan negeri berusaha untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, serta mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan baharu bagi negeri,” ujarnya.  
21 Nov 24
968
Terengganu Tidak Berganjak, Hukuman Sebat Tetap Diteruskan
Terengganu Tidak Berganjak, Hukuman Sebat Tetap Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan negeri tidak berganjak dan akan tetap meneruskan hukuman enam sebatan di khalayak ramai walaupun telah ada suara-suara dari golongan tertentu yang tidak mahu ia dilaksanakan sehingga melabelkan Terengganu sebagai negeri taliban. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Kerajaan Terengganu tidak sesekali berganjak ke belakang dari tidak melaksanakan hukuman itu semata-mata dengan suara-suara yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut. Menurutnya, hukuman itu adalah selari dengan tuntutan agama Islam dan  ia selari dengan polisi kerajaan negeri yang menetapkan agenda pemerkasaan sebagai satu agenda utama. "Dalam konteks ini kita akan 'move forward' tidak akan undur ke belakang untuk terus memperkasakan syariah di negeri Terengganu ini. "Jadi kita akan terus melangkah ke hadapan dan  tidak akan undur ke belakang, hasrat kita yang paling utama dalam pelaksanaan sebatan di khalayak ini adalah hendak memperkenalkan kepada masyarakat bahawa hukuman ini berbeza dengan undang-undang sivil untuk lebih mendidik bukannya untuk mencederakan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa menghadiri Dialog EXCO Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya, hukuman sebat yang bakal dilaksanakan itu adalah kepada pesalah jenayah syariah yang melakukannya berulang kali. "Jadi hakim (Mahkamah Syariah) boleh menentukan hukuman sebat ini di khalayak ramai mengikut bidang kuasa yang ada. "Manakala agensi-agensi yang terlibat nanti akamn menjadi pelaksana dan setakat ini kita telah berbincang dan jawapannya sangat positif untuk memberikan kerjasama kepada kita," ujarnya.
21 Nov 24
1012
Isu Kepentingan Rakyat Diambil Tindakan Segera
Isu Kepentingan Rakyat Diambil Tindakan Segera
KUALA TERENGGANU, 20 November - Pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat  di Telemong perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail berkata, antara yang menjadi rungutan penduduk ialah gangguan hidupan liar, masalah banjir, dan pembangunan pelancongan. "Masalah gajah dan hidupan liar kerap kali sebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat Tindakan Daerah pada setiap bulan dan juga dalam media sosial. "Banyak harta benda rosak, tolonglah ambil tindakan tuntas," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dalam perbahasan bajet 2025 pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam. Zawawi turut menyuarakan kebimbangan terhadap kehadiran gajah dan hidupan liar yang semakin kerap mengganggu penduduk. Tambah beliau, punca utama dikenal pasti adalah penerokaan hutan akibat pembinaan empangan, aktiviti pembalakan, dan pembukaan tanah secara tidak terkawal.  “Pihak bertanggungjawab jangan hanya fikir keuntungan,” tegasnya. Masalah banjir turut menjadi perhatian, khususnya di kawasan rendah seperti Telemong yang terkesan setiap tahun.  Beliau mencadangkan beberapa langkah mitigasi seperti pembinaan tebatan banjir, pendalaman sungai, dan pembinaan "monsoon drain". "Biarpun memerlukan kos besar, langkah ini mampu mengurangkan kerugian besar yang ditanggung kerajaan dan rakyat setiap kali banjir melanda," katanya. Selain itu, beliau menekankan pentingnya memajukan kawasan pelancongan seperti Tasik Kenyir dan Hutan Lipur dan Taman Pertanian Sekayu.  "Kawasan nampak layu  dan tidak serancak dulu sejak akhir-akhir ini. "Punca utama ialah kurang diberi perhatian, terbiar - mari kenyir main air suasana sunyi dan kekurangan perhatian," ujarnya. Zawawi turut mengingatkan kerajaan tentang janji-janji berkaitan pembangunan perumahan di Bukit Tadok dan pembinaan Masjid Kampung Palas.  Justeru itu, beliau berharap isu-isu ini diberi perhatian serius dan projek ini dapat dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan rakyat.
20 Nov 24
73
Kerajaan Negeri Terus Komited Atasi Isu Gajah Liar
Kerajaan Negeri Terus Komited Atasi Isu Gajah Liar
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan peruntukan one-off sebanyak RM10 juta bagi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk menyelesaikan isu gajah liar termasuk di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata peruntukan tersebut melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia / Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) / Sarawak Forestry Corporation (SFC). “Tumpuan kepada kumpulan sasar yang mengalami kerugian berbentuk kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan. “Sehingga Oktober 2024, sebanyak RM77,120 telah disalurkan kepada 24 pemohon di Terengganu bagi bantuan BKHT, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu mangsa kerosakan yang disebabkan oleh serangan gajah liar.” katanya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam. Menurut Razali, RM6.5 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk membangunkan sistem pagar elektrik gajah (SPEG) di empat lokasi baru, termasuk Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di Kemaman, serta Kampung Gerdong dan Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu, bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan penempatan. Tambah beliau, tindakan lain seperti pemantauan, kawalan, dan tembak halau juga dijalankan bagi menangani masalah gajah liar ini.  “Jika perlu, kaedah tangkap-pindah gajah akan dilaksanakan untuk mengurangkan ancaman yang dihadapi oleh penduduk di kawasan terlibat. “Kerajaan negeri dan persekutuan terus komited untuk memastikan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar, sambil menangani isu konflik manusia dan hidupan liar dengan lebih berkesan,” jelasnya.
20 Nov 24
64
Kerajaan Negeri Jangka Peroleh RM32 Juta Melalui Enakmen Sumber Air 2020
Kerajaan Negeri Jangka Peroleh RM32 Juta Melalui Enakmen Sumber Air 2020
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri menjangkakan pendapatan sebanyak RM32 juta pada tahun 2025 hasil pelaksanaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020  menerusi Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata daripada jumlah tersebut, RM12 juta dijangka diperoleh melalui caj pengabstrakan air, manakala RM20 juta lagi daripada caj aktiviti penggubahan sumber.  “Ini merupakan langkah penting untuk meningkatkan pendapatan negeri sambil memastikan sumber air kita diurus dengan baik,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambah Razali, selain hasil utama ini, LAUT juga sedang meneroka potensi pendapatan baharu, antaranya melalui caj pendaftaran vesel untuk aktiviti navigasi di sumber air, dengan kutipan dianggarkan sebanyak RM67 ribu pada tahun 2025. Selain itu katanya, ia meliputi  pembangunan industri pelancongan berasaskan sumber air, termasuk aktiviti rekreasi serta, kajian pelaksanaan Zero Discharge Policy untuk memelihara sumber air dan memanfaatkan penggunaan semula air pulih guna. Beliau turut menjelaskan bahawa caj-caj ini hanya dikenakan kepada aktiviti komersial.  “Kita ingin menegaskan bahawa caj ini tidak akan membebankan rakyat biasa.  “Sebagai contoh, kegunaan air untuk pertanian atau peternakan sara diri di bawah 10,000 liter sehari, atau untuk isi rumah yang menggunakan kurang daripada 2,500 liter sehari, dikecualikan daripada caj,” jelasnya. Justeru itu, Razali berharap langkah ini dapat menyeimbangkan antara peningkatan hasil negeri dan pemeliharaan alam sekitar, khususnya sumber air yang menjadi aset penting bagi negeri Terengganu.
20 Nov 24
125
Mahasiswa Perlu Bebas Dari Kongkongan Politik - Muhammad Khalil
Mahasiswa Perlu Bebas Dari Kongkongan Politik - Muhammad Khalil
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan pendirian tegas untuk membela kebebasan mahasiswa selepas pembatalan Majlis Perasmian Penutup Islamic Youth Leadership Conference 2024 oleh pihak penganjur, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menzahirkan rasa simpati terhadap situasi tersebut, menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah ke belakang yang mengekang kebebasan intelektual golongan mahasiswa. “Mahasiswa adalah kumpulan terpilih dalam masyarakat, mereka memiliki daya intelektual yang tinggi dan seharusnya diberi ruang bebas untuk berkembang. “Malangnya, apa yang berlaku menunjukkan satu tindakan tidak demokratis dan bercanggah dengan semangat politik matang serta terbuka,” katanya ketika mengulas tentang permohonan maaf dari pihak UniSZA. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Muhammad Khalil menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang merangsang pemikiran kritis mahasiswa. “Langkah-langkah yang menyekat mereka daripada mendengar pandangan berbeza, hanya akan merencatkan pembangunan intelektual golongan muda ini. “Kita mahu mahasiswa diberi kebebasan untuk mendengar dan menilai pelbagai pandangan, tidak kira daripada mana-mana pihak. “Mahasiswa perlu menjadi generasi yang berani bersuara untuk kebenaran, kerana hanya melalui cara itu mereka mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara,” jelas beliau. Dalam pada itu, Terengganu turut mengkritik tindakan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat mengongkong mahasiswa daripada mengadakan program-program ilmiah yang membuka minda. Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menyifatkan pendekatan mengongkong kebebasan mahasiswa sebagai tindakan tidak bertamadun dan bersifat dendam politik. “Politik hari ini seharusnya bergerak ke hadapan, lebih terbuka, dan matang. “Namun, apa yang kita lihat adalah politik lama yang bersifat kolot, yang cuba menyekat ruang intelektual mahasiswa, ini amat menduka citakan,” ujarnya dengan penuh kecewa sambil menyeru pihak Kerajaan Madani agar mengutamakan nilai demokrasi dan membuka ruang kebebasan berfikir kepada mahasiswa, tanpa rasa takut atau pilih kasih. Jelasnya lagi, komitmen kerajaan negeri dalam mendukung golongan mahasiswa adalah kerana belia berperanan menjadi agen perubahan yang mampu membawa idea-idea segar demi masa depan yang lebih gemilang. “Kami di pihak kerajaan negeri amat menyokong segala usaha untuk memperkasakan minda mahasiswa. “Mereka adalah aset berharga negeri ini, jangan sesekali belenggu mereka dengan sekatan yang tidak perlu,” tambahnya.
20 Nov 24
191
Peneroka Warga Emas Ditemuikan Lemas Ketika Memukat Ikan
Peneroka Warga Emas Ditemuikan Lemas Ketika Memukat Ikan
HULU TERENGGANU, 20 November - Seorang peneroka warga emas ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan ladang sawit yang terletak di belakang kilang sawit Jerangau Barat, Ajil, Hulu Terengganu hari ini. Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi tadi mayat Chik Mamat, 76 tahun, dijumpai penduduk yang secara kebetulan ke kawasan tersebut untuk menahan pukat. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supritendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata pihaknya menerima maklumat dari orang awam yang memberitahu menjumpai mayat mangsa berdekatan dengan pukat ikan kira-kira 9.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. "Kita menerima maklumat daripada orang awam memberitahu telah menjumpai mangsa di dalam air berdekatan dengan pukat ikan. "Polis bersama bantuan orang ramai telah mengeluarkan mangsa pada kedalaman air lebih kurang satu meter sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat. Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut. Sementara itu anak sulong mangsa, Zamani Chik, 55, tahun berkata ayahnya keluar kira- kira tujuh pagi tadi sebelum dimaklumkan penduduk kampung mengenai penemuan berkenaan. “Ayah memang suka tahan pukat musim hujan, adik saya cakap ayah ke lokasi jam 7 pagi semalam, dan hari ini dia pergi ke lokasi angkat pukat,” katanya Jenazah Allahyarham akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerangau Barat selepas Solat Isyak.
20 Nov 24
144