Artikel "Semasa" Terkini
Kerajaan Disaran Buka Kawasan Baru Taman Kekal Pengeluaran Makanan
KUALA TERENGGANU, 20 November - Bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, kerajaan negeri disaran membuka lebh banyak kawasan baharu pertanian di setiap daerah untuk Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ia bermatlamat untuk memastikan rantaian makanan negeri ini mampu memenuhi keperluan rakyat serta menjadi pemacu ekonomi negeri.
“Usaha untuk menggalakkan pengeluaran produk makanan yang mempunyai nilai tambah, seperti produk organik, makanan siap proses (frozen) dan makanan khas untuk eksport agar dapat meningkatkan potensi ekonomi sektor makanan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Matlamat utama adalah membangunkan rantaian nilai makanan yang kukuh bukan sahaja akan memastikan keperluan makanan rakyat Terengganu terjamin, tetapi juga menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan utama di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam.
Selain itu, kerajaan juga perlu memperluaskan platform pemasaran digital bagi membantu petani dan penternak memasarkan produk mereka secara lebih efektif.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memudahkan hubungan antara pengeluar makanan, peruncit, dan pengguna.
“Kerajaan juga perlu memperbanyakkan inisiatif yang memudahkan hubungan antara pengeluar makanan, peruncit, dan pengguna. Platform pemasaran digital perlu diperluaskan untuk membantu petani dan penternak memasarkan produk mereka dengan lebih efektif.
“Dengan adanya kepelbagaian aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali dapat memberi galakkan kepada orang muda dalam sektor agromakanan,” ujar Ghazali.
19 Nov 24
49
Satu PPS Banjir Dibuka di Setiu
SETIU, 18 November - Hujan lebat berterusan di daerah ini menyebabkan paras sungai meningkat mengakibatkan penduduk mengambil langkah berpindah secara berperingkat.
Penduduk Kampung Merbau Menyusut di DUN Langkap mula berpindah ke pusat permindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap jam 7.22 malam tadi.
Jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS itu seramai 68 orang terdiri daripada 21 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa, 22 kanak-kanak dan 2 orang kurang upaya (OKU).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof menasihatkan penduduk kampung berdekatan sungai mengambil langkah berjaga-jaga.
"Keselamatan harus diutamakan dan orang ramai diminta berpindah lebih awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," kata beliau yang ditemui ketika membuat lawatan terhadap mangsa banjir.
Dalam pada itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Chalok di Setiu mencatatkan bacaan paras waspada setakat jam 11.00 malam hari ini.
19 Nov 24
126
Letak Syarat Hanya Gadis Belum Baligh Boleh Menari di Khalayak
KUALA TERENGGANu, 19 November - Kerajaan negeri disaran agar meletakkan syarat hanya anak-anak gadis yang belum mencapai usia baligh sahaja dibenar melakukan persembahan tarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, langkah itu perlu bagi memantapkan pelaksanaan garis panduan bagi memastikan negeri Terengganu sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.
"Adalah lebih 'molek' kiranya mendefinisikan anak gadis tersebut kepada baligh dan belum baligh.
"Ertinya anak-anak sekolah rendah yang belum baligh sahaja dibenarkan membuat persembahan tarian dan sebagainya di hadapan khalayak umum.
"Saya melihat perkara ini memerlukan penglibatan semua agensi yang berkaitan untuk memastikan pemerkasaan dan pelaksanaan garis panduan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata bagi memastikan perkara itu dapat direalisasikan, ia memerlukan penglibatan semua pihak serta agensi yang berkaitan.
"Bagi memastikan pemerkasaan dan pelaksanaan garis panduan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab.
"Institusi kerajaan perlu menunjukkan contoh yang baik supaya menjadi ikutan kepada yang lain dan pelaksanaan setiap program perlulah diteteliti terutama bila berkait dengan persembahan yang melibatkan wanita," ujarnya.
19 Nov 24
143
Isu Perumahan Rakyat Diberi Perhatian Serius
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan negeri perlu mengambil serius isu perumahan rakyat ataupun dipanggil Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam membantu rakyat termiskin memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, sebanyak 83 permohonan baik pulih dan 39 permohonan bina baharu telah diterima daripada penduduk.
“Progam Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan setiap rakyat termiskin, dapat menikmati kehidupan lebih baik dengan akses kepada tempat tinggal yang sesuai
“Namun suara rakyat tetap perlu kita bawa ke dewan ini agar mendapat perhatian yang wajar dari kerajaan negeri agar kes-kes kritikal dapat diselesaikan dengan kadar segera.
“Rumah-rumah daif yang mengalami kerosakan oleh faktor usia dan merbahaya kepada penghuni perlu diberi keutamaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurutnya, PPRTmenjadi harapan utama bagi golongan ini namun, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan permohonan baik pulih dan pembinaan rumah baharu di bawah program ini yang memerlukan perhatian kerajaan negeri.
“Kita semua sedia maklum mengenai kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri pada masa kini berbeza dengan lima tahun yang lalu.
“Hasil dan pendapatan kerajaan pada ketika itu melimpah ruah dan kerajaan negeri juga telah menunjukkan kesungguhan yang luar biasa dalam menangani isu ini,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau menyeru kepada kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Kerajaan Madani agar politik sempit dielakkan dalam pentadbiran dan mengembalikan semula hak rakyat Terengganu.
“Program ini dapat memperbaiki kualiti hidup golongan ini dengan memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah untuk tinggal di rumah yang lebih selesa dan selamat.
“Rumah yang baik bukan sahaja memberikan perlindungan daripada cuaca dan bencana, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
19 Nov 24
90
Kemasik Perlu Dibangunkan Sebagai Hab Penerbangan dan Pusat Teknologi
KUALA TERENGGANU, 19 November – Dalam usaha memperkasakan ekonomi Terengganu, kerajaan negeri dicadangkan menggunakan strategi inovatif untuk membangunkan kawasan Kemasik sebagai hab penerbangan berskala sederhana dan pusat teknologi masa depan.
Ahli Dewan Undangan negeri ( ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, usaha ini selari dengan Fokus Ke-4 Belanjawan Terengganu 2025 iaitu Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing.
Katanya, keupayaan jaringan pengangkutan darat dan laut, terutama berhampiran Kerteh Supply Base (KSB), menjadikan lokasinya amat strategik.
“Kemasik mempunyai lapangan terbang yang lengkap bagi pelaburan segmen penerbangan berskala sederhana dan peluang-peluang yang ada.
“Antaranya dalam Industri drone yang bakal menjadi salah satu daripada alternatif baharu bidang udara dalam segmen pengangkutan (teksi udara, kargo udara), pemantauan, pemeriksaan, pencegahan, keselamatan dan lain-lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet 2025 pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurutnya, inisiatif ini dilihat mampu menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dengan potensi besar seperti projek teksi udara AirAsia yang dijangka beroperasi pada tahun 2025, serta kolaborasi PETRONAS dan Aerodyne dalam solusi drone.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan pembangunan kawasan Transit-Oriented Development (TOD) berhampiran stesen ECRL sebagai bandar moden berkonsepkan Qalbul Madinah.
“TOD Kemasik jadi Bandar Masa Depan dengan konsep Pembangunan berkonsepkan Qalbul Madena dimana jantung yang merupakan organ utama badan manusia dan QALBUN MEDINA dijangka akan menjadi Bandar Baharu yang akan menawarkan gaya hidup mampan serta moden.
“Keperluan utama bagi pembangunan ini sudah pasti tidak lari dari keupayaan siber yang tinggi dan juga pusat penyelidikan toknologi dan pembangunan.
“Institusi Pendidikan dan penyelidikan termasuk TATIUC boleh menjadi institusi negeri yang berperanan besar membantu mempercepatkan lagi usaha merealisasikan sasaran ini,” katanya.
Tambahnya, konsep pembangunan Qalbul Madinah menekankan kepada integrasi teknologi siber dalam pelbagai aspek kehidupan.
Justeru itu, beliau yakin bandar ini akan menawarkan gaya hidup mampan, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri
“Dengan lokasi strategik yang menghubungkan pengangkutan darat dan laut, TOD Kemasik dijangka menjadi pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi.
“Institusi pendidikan seperti TATIUC dicadangkan untuk memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam melahirkan tenaga pakar bagi mempercepatkan pembangunan kawasan ini,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau berharap kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada peluang-peluang strategik ini untuk memastikan hasil daripada Belanjawan 2025 dapat memberi impak maksimum kepada pembangunan kawasan dan rakyat.
19 Nov 24
78
Banjir Mula Landa Terengganu, Satu PPS Dibuka di Kemaman
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kemaman menjadi daerah pertama di Terengganu yang dilanda banjir pada musim Monsun Timur Laut apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di di Balairaya Meraga Beris.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan setakat ini 12 orang daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sehingga kini operasi pemindahan masih berjalan di RMM Teluk Kalong dan juga di Kampung Baru kemasik berikutan trend air yang semakin menaik.
Jumlah mangsa dijangka terus meningkat dan lebih banyak PPS akan dibuka memandangkan hujan masih berterusan di hampir semua tempat di Terengganu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Terengganu sehingga Sabtu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Datuk Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan hari ini berkata analisis terhadap ramalan cuaca terkini menunjukkan kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November hingga 1 Disember.
Menurutnya, keadaan berkenaan berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh itu.
19 Nov 24
254
Kerajaan Terengganu Dicadang Ambil Pemandu Wanita
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan Terengganu disaran agar membuka penjawatan pemandu wanita di setiap agensi kerajaan di negeri ini supaya kebajikan dan keselesaan penjawat awam wanita lebih terjaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata langkah menyediakan pemandu wanita itu akan turut memberikan satu nafas baru kepada kakitangan penjawat awam khususnya membabitkan golongan itu untuk menggunakan kenderaan kerajaan atas urusan rasmi.
"Terutamanya ketika kakitangan wanita perlu keluar kawasan seorang diri.
"Dengan adanya pemandu wanita ini, ia dapat menjamin keselesaan agar lebih memelihara keadaan dan meraikan fitrah wanita sebagai pekerja, ibu dan juga muslimah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata kerap kali beliau mendengar pendapat mereka yang menyatakan kurang selesa ketika bermusafir berdua bersama pemandu lelaki.
"Kadangkala pegawai wanita terpaksa melakukan perjalanan jauh demi tugasan seperti menghadiri mesyuarat, program rasmi dan sebagainya," ujarnya.
Dalam pada itu tegasnya, di sebalik pengambilan pemandu wanita tersebut perlulah seiring dengan aspek keselamatan dan kebajikan mereka.
"Contohnya, menyediakan tempat yang mesra wanita di depoh kenderaan serta menyediakan jadual waktu fleksibel bergantung kepada arahan ketua jabatan," ujarnya.
19 Nov 24
257
Tembak Mati Kera, Babi Hutan Langkah Akhir Perhilitan Tangani Ancaman
KUALA TERENGGANU, 19 November – Menembak mati terhadap kera dan babi hutan merupakan langkah terakhir yang terpaksa diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dalam menangani konflik gangguan hidupan liar yang dikesan mengganggu penduduk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tindakan penakaian (tembak mati) akan dilaksanakan ke atas spesies haiwan itu kerana populasi yang amat tinggi dan kebolehan membiak yang pantas.
“Kerajaan negeri melalui Perhilitan setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk aspek keselamatan dan ancaman nyawa turut mengambil tindakan bersesuaian terhadap spesies hidupan liar lain seperti gajah dan harimau.
“Bagi setiap aduan yang diterima, Perhilitan akan mengambil tindakan dengan melaksanakan siasatan, pemantauan dan tindakan tembak halau, pemasangan perangkap atau operasi tangkap pindah sekiranya hidupan liar tersebut gagal untuk kembali ke habitat asal mereka,”ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijal berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Telemong , Zawawi Ismail dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Sementara itu, bagi menangani serangan daripada spesies Gajah, pembinaan system pagar elektrik gajah (SPEG) telah dilaksanakan di tiga buah lokasi iaitu di Kg. Lawit ke Belukar Bukit, Hulu Terengganu (29.5KM), Kg. Pelong. Setiu (35KM) dan Kg. Payung ke Chalok Barat, Setiu (25KM).
“Pembinaan SPEG ini telah dibangunkan melalui RMK-10 dengan kos sebanyak lebih kurang RM 3.5 juta.
“Kerajaan juga telah memperuntukkan lebih kurang RM 500,000 setiap tahun bagi kerja-kerja kontrak pembersihan dan penyelenggaraan SPEG agar ianya berfungsi dengan baik dan dapat membantu mengurangkan serangan gajah,” katanya lagi.
Razali juga berkata pasukan keselamatan atau renjer komuniti juga ditubuhkan antaranya di Kampung Basong, Hulu Terengganu dikenali sebagai Basong Rangers.
“Basong Rangers telah ditubuhkan sebagai ‘pilot project’ melibatkan kerjasama antara komuniti dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jabatan PERHILITAN, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain bagi mengurangkan risiko berlakunya serangan gajah liar di kawasan tersebut,” ujarnya lagi.
Selain itu katanya, bagi membantu petani, pentemak yang terkesan akibat daripada serangan hidupan liar, kerajaan negeri turut menyediakan saguhati di bawah Tabung Bencana Pertanian.
Jelas beliau, kadar bantuan ditetapkan RM1,000 bagi setiap hektar dan had maksimum ialah dua hektar dimana pada 2023 sebanyak RM14, 760 diperuntukkan kepada 17 penerima dan sebanyak RM25,450 diperuntukkan kepada 20 penerima pada tahun sebelumnya iaitu pada 2022," ujarnya
19 Nov 24
297
Hujan Tahap Buruk Dijangka Landa Terengganu Hingga Sabtu Ini
KUALA TERENGGANU, 19 November- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Terengganu, Pahang dan Johor hingga 23 November ini.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan keadaan cuaca tersebut dijangka melanda kawasan Terengganu, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang manakala di Johor melibatkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh serta Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera), pada tempoh sama.
Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku di Melaka, manakala Negeri Sembilan melibatkan kawasan Kuala Pilah, Jempol dan Tampin serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) hingga esok.
19 Nov 24
209
Kerajaan Negeri Laksana Pemutihan Di Kawasan Perindustrian Pulau Serai
KUALA TERENGGANU, 19 November- Kerajaan negeri ketika ini dalam proses melaksanakan pemutihan bagi kawasan perindustrian Pulau Serai, Dungun yang melibatkan lot-lot industri tidak aktif dan terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada awalnya terdapat 19 lot di kawasan tersebut yang dipajak oleh pemain industri, namun malangnya selepas pandemik Covid-19 melanda, beberapa syarikat terpaksa menamatkan operasi.
“Kini hanya tinggal lima syarikat yang masih meneruskan operasi di kawasan perindustrian ini setelah yang lain menghentikan pengoperasian.
“Ia disebabkan faktor-faktor ekonomi yang tidak menentu, menyebabkan terdapat beberapa syarikat tidak dapat beroperasi dan keadaan di lot-lot industri yang berkaitan terbengkalai,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian bagi ketika menjawab soalan lisan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mohd Fadhli mengemukakan soalan mengenai apakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan bagi memajukan Kawasan Perindustrian di Pulai Serai.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri akan mengambil langkah yang perlu untuk mengaktifkan semula kawasan tersebut selepas proses pemutihan selesai.
19 Nov 24
72