lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Muaz, Hajjah Halimah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu
Muaz, Hajjah Halimah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu
SETIU, 22 November - Qari dari Kampung Ladang Bari Sungai Tong, Muhammad Muaz Mokhtar manakala qariah dari Kampung Chalok Lama, Halimah Ibrahim dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1446H/2024M di Masjid Felda Chalok Barat malam tadi. Dengan keputusan itu, mereka layak membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, selain piala pusingan, plak dan sijil penyertaan. Tempat kedua pula dimenangi qari dari Kampung Chalok Lama, Zulkifly Mohamed Adnan dan qariah dari Kampung Rahmat, Rozilah Yaacob. Mereka membawa pulang hadiah RM1,000, cenderamata dan sijil penyertaan. Tempat ketiga dimenangi qari dari Sungai Tong, Ahmad Al-Mustafa dan qariah dari Kampung Chalok Lama, Dr. Sayuti Mohamed Adnan. Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh ADUN Langkap, Azmi Maarof diiringi oleh Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat bersama Pegawai Agama Daerah Setiu Ustaz Kamal Mamat. Terdahulu Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim selepas solat Maghrib.
22 Nov 24
163
Kerajaan Rancang Beberapa Langkah Majukan Semula Hentian Bas MBKT
Kerajaan Rancang Beberapa Langkah Majukan Semula Hentian Bas MBKT
KUALA TERENGGANU, 22 November- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah merancang beberapa langkah serta tindakan bagi memajukan semula Hentian Bas MBKT. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antaranya dengan membuat penyusunan semula peniaga serta menawarkan sewaan lot-lot perniagaan kepada perniagaan francais. Selain itu katanya, mempelbagaikan jenis jualan termasuk waktu beroperasi serta membaikpulih fasiliti di kawasan tersebut. "Antara langkah yang akan diambil dalam memajukan semula Hentian Bas MBKT adalah melalui strategi menyusun atur semula peniaga-peniaga dengan lebih bersistematik. "Memberi sewaan kepada Sabasun, ECO Shop, Café Cofee/Premium 24 jam atau Family Mart bagi menarik minat kepada pengunjung. "Memperluaskan jenis jualan perniagaan termasuk produk pelancongan Terengganu serta membaikpulih segala kerosakan seperti bumbung dan penyediaan pukat bagi menghalang burung-burung di tingkat atas serta pencahayaan," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Wakaf Mempelam) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Ahmad Shah bertanyakan soalan mengenai apakah pihak kerajaan negeri mempunyai rancangan membaik pulih Hentian Bas MBKT di dalam usaha untuk memajukan perniagaan di situ. Selain itu katanya, bas pelancongan akan dibenarkan untuk masuk ke dalam terminal pada waktu-waktu biasa selain waktu puncak Bas Ekspress. "Selain mengadakan usahasama antara peniaga dan agensi pelancongan bagi promosi kreatif melalui media social, facebook, tik tok atau media sosial yang lain,” ujarnya. Mengulas lanjut katanya, pembaikian Hentian Bas MBKT telah dijalankan secara dalaman melalui kerja-kerja pembaikian dibuat oleh kakitangan MBKT.  “Kerja-kerja pembaikian ini telah dijalankan beberapa kali melibatkan pembaikian bahagian bumbung dan juga pencahayaan di hentian tersebut. “Bagi tujuan jangkamasa panjang pihak MBKT telah memohon peruntukan bagi tujuan pembaikian hentian bas tersebut melalui Kerajaan Negeri dan juga pihak Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan,” katanya. Menurut Wan Sukairi, jenis-jenis kerosakan di Hentian Bas MBKT adalah kerosakan major pada bahagian bumbung jenis ‘Metal Roofing’ yang berkarat dan telah berusia melebihi 25 tahun sejak hentian tersebut dibina.  “Selain itu, rekabentuk hentian itu sendiri menyebabkan berlakunya tempias pada musim hujan menyebabkan
berlakunya kerosakan lain di hentian tersebut,” jelasnya.  
22 Nov 24
234
Che Alias Hamid Dilantik Sebagai Senator
Che Alias Hamid Dilantik Sebagai Senator
KUALA TERENGGANU, 22 November – Che Alias Hamid, mantan Ahli Parlimen Kemaman, telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara dalam Sidang Dewan Undangan Negeri mewakili Negeri Terengganu. Pelantikan ini melengkapkan barisan kepimpinan negeri di peringkat persekutuan. Che Alias, yang berasal dari Kampung Semayor, Kemasik, lahir pada 2 Jun 1966 mempunyai tujuh orang anak hasil perkahwinan dengan Rashidah Awang merupakan seorang tokoh yang kaya dengan pengalaman dalam pelbagai bidang.  Che Alias telah bertanding dalam beberapa pilihan raya sejak tahun 1999, dan pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau memenangi kerusi Parlimen Kemaman. Atas sumbangannya kepada masyarakat, beliau dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada tahun 2002 dan Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) pada tahun 2022. Beliau berkata, isu kepentingan Terengganu akan terus diperjuangkannya demi kesejahteraan rakyat negeri ini. “Saya menyifatkan pelantikan ini sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab. "Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa hasrat dan harapan rakyat Terengganu ke peringkat Dewan Negara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam. Sebagai Senator yang mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu, beliau menekankan kepentingan menyelaraskan perancangan negeri dan persekutuan demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, terutama antara Pantai Timur dan Pantai Barat. “Seperti yang telah dinyatakan, rakyat negeri Terengganu mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan dalam pelbagai aspek, termasuk kos sara hidup, kepentingan ekonomi, dan penempatan.  “Namun, kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan semua perkara ini secara menyeluruh tanpa kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.  “Oleh itu, keseimbangan dalam peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah amat penting. Sebagai seorang Ahli Dewan Negara yang dilantik, menjadi tanggungjawab saya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Terengganu.  “Ini kerana aspirasi, cita-cita, dan harapan rakyat negeri kita hanya dapat direalisasikan sepenuhnya dengan sokongan padu daripada Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau. Alias menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mengabaikan kepentingan dan pembangunan yang perlu diberikan perhatian bersama, kerana Terengganu juga merupakan sebahagian daripada Malaysia. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam arena politik, beliau berazam untuk membawa isu-isu utama rakyat Terengganu ke perhatian Dewan Negara. “Sebagai wakil yang membawa isu-isu negeri Terengganu, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan hasrat dan harapan rakyat negeri ini didengari oleh kepimpinan serta dilaksanakan dengan sebaik mungkin.  “Antara isu utama adalah tuntutan royalti minyak, yang telah lama dibincangkan dan sering disuarakan oleh YAB Menteri Besar, termasuk melahirkan rasa kecewa terhadap sikap Kerajaan Persekutuan,” katanya. Alias menambah, dalam sistem federalisme, perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku dimana ia menjadi tanggungjawab Persekutuan untuk membantu Kerajaan Terengganu apatah lagi apabila melibatkan hak negeri yang wajar dihormati dan dilaksanakan.
22 Nov 24
113
Ulama Antarabangsa Sertai Terengganu International Summit Esok
Ulama Antarabangsa Sertai Terengganu International Summit Esok
KUALA TERENGGANU, 22 November - Ulama dan cendekiawan dari enam negara  akan berkampung di Duyong Marina Resort esok sempena Terengganu International Summit. Delegasi mewakili Palestin, Turkiye, Oman, Rusia, Indonesia dan Filipina dijangka membahaskan isu-isu kesatuan ummah dan memacu kemajuan negeri Terengganu ke arah kemampanan serta daya tahan ekonomi. Isu berkait Palestin, perpaduan nusantara dan keamanan sejagat juga dijangka akan diketengahkan setiap panel enam negara terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata ucaptama persidangan itu akan disampaikan oleh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Majlis perasmian pula katanya akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Beliau menambah, acara bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang. "Melibatkan Exco Negeri Terengganu termasuk ahli Parlimen, negeri negeri SG4 (Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam pusat dan pusat pendidikan. "Penyertaannya terhad, tetapi insya-Allah akan ada siaran langsung di halaman Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)," tambah Khalil lagi.
22 Nov 24
310
RM280,000 Peruntukan Bagi pembangunan Dan Promosi Usahawan
RM280,000 Peruntukan Bagi pembangunan Dan Promosi Usahawan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM280,000 bagi pembangunan dan promosi usahawan pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak RM140,000 digunakan khusus bagi pembangunan usahawan, manakala bakinya diperuntukkan untuk aktiviti promosi yang turut merangkumi usahawan dalam industri kraftangan.  Katanya, langkah tersebut bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada usahawan tempatan, termasuk mereka yang terlibat dalam sektor kraftangan, agar dapat berkembang dan memperluaskan pasaran produk mereka.   "Kerajaan Negeri juga menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK)  dengan memfokuskan latihan dalam pelbagai bidang kraf, termasuk anyaman daun getah, tenunan, batik, dan logam. "Serta membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo atau karnival keusahawanan bagi memasarkan produk-produk kraftangan," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Ghazali mengemukakan soalan mengenai adakah peruntukan kewangan atau kursus latihan bagi industri kraftangan oleh kerajaan negeri jika ada, berapakah jumlah peruntukan yang diberikan. Menurut beliau, projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang diinisiatifkan oleh Kraftangan Malaysia melibatkan komuniti yang terdiri daripada suri rumah, asnaf dan anak muda secara langsung dengan perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan berjaya melahirkan 99 pengusaha kraf di Terengganu. “Seramai 14 Adiguru Kraf dalam bidang tekstil, logam dan hasil rimba dari negeri ini telah dilantik untuk menyumbang kepakaran dan berkongsi kemahiran dengan komuniti, dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi menerusi penghasilan kraf. “PPKK telah diwujudkan pada 2020 susulan serangan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan akibat kehilangan kerja dan punca pendapatan,” ujarnya.  
22 Nov 24
59
Sebat Terbuka : Wakil Rakyat Sepakat, Rakyat Sokong
Sebat Terbuka : Wakil Rakyat Sepakat, Rakyat Sokong
KUALA TERENGGANU, 21 November - Hukuman sebat secara terbuka terhadap pelaku khalwat berulang di Terengganu mendapat sokongan kuat daripada pemimpin negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menyatakan keputusan Mahkamah Syariah itu dilihat sebagai langkah tegas untuk mendidik masyarakat agar mematuhi syariat Islam dan menjauhi perbuatan terlarang. Jelasnya, tindakan berkenaan dilihat mampu membendung perbuatan khalwat di negeri itu.  “Pelaku ini telah beberapa kali mengulangi kesalahan yang sama.  “Hukuman di khalayak ramai ini adalah pengajaran bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga masyarakat secara keseluruhan.  “Saya berharap agar kes seperti ini tidak lagi berlaku di negeri ini,” tegas beliau. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) menyatakan bahawa hukuman sebat ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam.  “Dalam Islam, hukuman ini bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk memberi kesedaran.  “Apa yang dilakukan kerajaan negeri berlandaskan sunnah Nabi SAW.  “Kita mengharapkan masyarakat Islam menerimanya dengan baik dan menjadikannya panduan,” jelasnya sambil menggesa masyarakat untuk merujuk kepada pihak berautoriti jika timbul keraguan. Bagi ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, turut memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman sebatan terbuka.  “Hukuman ini sebahagian daripada ajaran Islam, kita perlu menunjukkan kepada masyarakat bahawa perbuatan seperti ini adalah jenayah yang serius.  “Hukuman terbuka ini juga dapat memberi pengajaran kepada semua agar menjauhi perkara mungkar,” ujarnya. Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor, yang juga ADUN Ladang, menganggap hukuman ini sebagai peringatan untuk semua pihak.  “Sebatan di khalayak ramai adalah langkah untuk mendidik masyarakat supaya patuh kepada syariat.  “Kesalahan ini berulang kali berlaku, maka hukuman seperti ini wajar dijalankan.  “Insya-Allah, kita sama-sama berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” ujarnya. Dalam nada yang sama, Pengarah Urusetia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin, mengingatkan masyarakat tentang larangan keras dalam Islam terhadap zina dan perkara yang mendekatinya.  “Dalam isu khalwat ini, kita bukan sekadar menghukum, tetapi juga memberi pemahaman dan kesedaran kepada rakyat supaya menjauhi perbuatan ini.  “Hukuman ini bukan untuk menakutkan, tetapi untuk mendidik.  “Sebagai umat Islam, kita perlu elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara terlarang ini,” ujarnya. Keputusan tegas Mahkamah Syariah Terengganu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menegakkan syariat Islam dan memelihara integriti masyarakat. Hukuman sebat secara terbuka ini diharapkan menjadi peringatan besar kepada semua agar terus mematuhi ajaran agama dan menjauhi perbuatan yang mencemarkan maruah diri serta keluarga.
21 Nov 24
241
Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Bakal Diwujudkan
Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Bakal Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 21 November - Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Terengganu akan ditubuhkan bagi menggabungkan koperasi khariah masjid yang menjalankan aktiviti kedai runcit.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia akan berperanan sebagai penggerak utama bagi membekalkan barangan harian kepada kedai runcit milik ahli gabungan. Katanya, ia sekali gus memastikan bekalan sentiasa tersedia pada harga berpatutan serta 'halalan tayibah'. “Selain itu, konsortium ini akan menyelaras dan menyusun atur kedai-kedai tersebut menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama di bawah jenama (K4mart).  “Bagi merealisasikan hasrat ini satu jawatankuasa pemandu telah diwujudkan yang terajui oleh Exco Usahawan dan Koperasi serta dianggotai oleh pihak-pihak berkepentingan iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pakar dalam industri,” ujarnya.  Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini semalam. Katanya, jawatankuasa tersebut akan memantau serta menyelaras penubuhan dan perjalanan konsortium agar selaras dengan matlamat penubuhannya.
21 Nov 24
196
Terengganu Semai Minda Keratif & Inovatif di Segenap Peringkat Umur
Terengganu Semai Minda Keratif & Inovatif di Segenap Peringkat Umur
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Terengganu telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengintegrasikan pendidikan dalam menekankan kreativiti dan inovasi dalam kurikulum sekolah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, antara usaha yang dibuat ialah menganjurkan aktiviti di sekolah-sekolah setiap daerah melalui kerjasama Yayasan Terengganu untuk mencungkil bakat dan menarik minat pelajar dalam bidang inovasi. "Di semua peringkat, kerajaan negeri menyokong industri kreatif dan teknologi digital antaranya menerusi penubuhan zon ekonomi digital dengan menyediakan ruang bagi syarikat teknologi berkembang termasuk dalam bidang animasi, reka bentuk grafik digital. "Begitu juga dalam mempromosikan budaya kreatif dalam komuniti masyarakat melibatkan pameran-pameran seni, bengkel kraf dan pentandingan inovasi serta pembangunan desa kreatif," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) Wisma Darul Iman, semalam. Menurut Satiful, usaha menyokong kawasan luar bandar menonjolkan keunikan tradisi dan kraf tempatan melalui inovasi terkini dapat meningkatkan tradisi dan kraf tradisional sekaligus menjana pendapatan penduduk desa. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) menganjurkan 'Media Engagement Strategy' yang melibatkan bidang teknologi maklumat dan media baru selain beberapa pelan kerjasama melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT).
21 Nov 24
88
TSV Sebagai Hab Strategik Silika dan Kuarza di Terengganu
TSV Sebagai Hab Strategik Silika dan Kuarza di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 November - Lembah Silika Terengganu (TSV) berpotensi dijadikan sebagai hab strategik untuk industri silika dan kuarza, di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, lokasinya strategik dan  mempunyai simpanan silika dan kuarza yang besar, menyokong strategi pertumbuhan ekonomi mampan. "TSV bertujuan menjadi pusat aktiviti hiliran berasaskan silika dan kuarza, dengan kawasan perindustrian seluas 4,000 hektar yang dirancang di Marang, Terengganu. "Ia mempunyai infrastruktur lengkap, termasuk akses kepada gas asli, elektrik, dan air, serta pelabuhan dan jaringan logistik berdekatan (Pelabuhan Kemaman dan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur yang akan datang). "TSV disusun untuk aktiviti huluan (perlombongan dan pemprosesan silika) serta hiliran (pembuatan kaca, panel solar, elektronik)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Tambahnya, pelan induk melibatkan pembangunan secara berfasa untuk memenuhi pelbagai keperluan industri, termasuk kawasan seluas 1,272 hektar untuk fasa awal. "TSV akan disokong oleh bekalan utiliti yang kukuh, termasuk elektrik berkuasa tinggi, gas, dan air.  "Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menawarkan insentif seperti pengecualian cukai, elaun pelaburan, dan pengecualian duti import untuk menarik industri pembuatan dan penyewa utama," ujarnya lagi. Menurutnya, TSV juga mewakili peluang besar untuk industri silika dan kuarza di Asia Tenggara, menyediakan ekosistem perindustrian yang lengkap untuk pelabur tempatan dan antarabangsa.
21 Nov 24
927
Walau Disekat Royalti, Terengganu Kekalkan Pemberian Caj Wad Kelas 3 Percuma
Walau Disekat Royalti, Terengganu Kekalkan Pemberian Caj Wad Kelas 3 Percuma
KUALA TERENGGANU, 21 November - Walaupun menghadapi sekatan hak royalti, Kerajaan Negeri tetap meneruskan janji manifesto pada penggal lalu iaitu pemberian caj rawatan di wad kelas ketiga di hospital kerajaan secara percuma sehingga kini. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat di negeri ini akan terus terbela. "Cuma Kad Sejahtera telah ditangguhkan sementara pada tahun ini bermula pada April yang lalu dan masih belum disambung lagi. "Insya-Allah sekiranya tidak ada apa-apa yang menghalang, kita telah pun mencari satu kaedah ataupun satu jalan bagi meneruskan Kad Sejahtera itu yang memberikan kelebihan kepada pemegang kad tersebut untuk mendapatkan rawatan di mana-mana klinik swasta dengan kadar RM500 setahun," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog EXCO Kerajaan Negeri Bersama Rakyat Daerah Kuala Terengganu, di Dewan PPR HIliran, di sini, semalam. Tambah beliau, kerajaan negeri akan mengumumkan bila Kad Sejahtera itu akan dikembalikan semula. "Kita mempunyai komitmen yang bersungguh untuk meneruskan program Kad Sejahtera," ujarnya.  
21 Nov 24
516