Artikel "Semasa" Terkini
DUN Terengganu Lulus Pindaan Enakmen Tanah Simpan Orang Melayu
KUALA TERENGGANU, 24 November – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan 2024 pada bacaan kali ketiga, menandakan langkah signifikan dalam meminda Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim, telah mencadangkan Rang Undang-Undang tersebut yang bertujuan untuk meminda subseksyen 9(iii) enakmen berkenaan.
"Pindaan ini akan membolehkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diiktiraf sebagai badan yang layak menerima pemindahan pegangan tanah Melayu.
"Rang Undang-Undang ini bertujuan meminda subseksyen 9(iii) Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360, supaya Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diiktiraf sebagai entiti yang layak untuk menerima pemindahan pegangan tanah Melayu," jelasnya.
Dr. Azman membentangkan Rang Undang-Undang ini dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, yang berlangsung di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pelaksanaan Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri.
"Saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360 ini dibaca sebanyak tiga kali," katanya.
Cadangan tersebut turut disokong oleh ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim.
Selepas perbahasan, Rang Undang-Undang ini diluluskan sebulat suara dan akan berkuat kuasa sebagai pindaan kepada Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360.
24 Nov 24
1355
Janaan Hasil Era Dr. Sam Lebih Tinggi Ketimbang MB Terdahulu
KUALA TERENGGANU, 24 November - Janaan hasil negeri Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merekodkan pencapaian yang lebih tinggi berbanding pada era dua Menteri Besar terdahulu.
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, data berkenaan dikumpul bagi tempoh tiga tahun perkhidmatan penuh yang terakhir dan tidak termasuk tahun peralihan.
“Di bawah pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Said (2011-2013) sebanyak RM673.5 juta hasil dicatatkan dengan purata RM224.5 juta setahun, semasa pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (2015-2017) pula, hasil dikumpul ialah RM713.2 juta dengan purata RM237.7 juta setahun.
“Manakala di era Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar iaitu bagi tahun 2021 hingga 2023, Kerajaan Negeri menjana hasil sebanyak RM791.7 juta dengan purata RM263.9 juta setahun, sekali gus menjadikan ia paling tinggi berbanding dua Menteri Besar sebelumnya,” jelas beliau ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Mohd Eikhwan.
Menurut beliau lagi, data itu juga selari dengan kadar kebergantungan Kerajaan Negeri terhadap royalti petroleum bagi tempoh sama tiga pentadbiran terbabit.
Jelasnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ahmad Said merekodkan kadar kebergantungan terhadap royalti paling tinggi mengatasi Ahmad Razif dan Ahmad Samsuri.
“Ahmad Said menerima royalti petroleum dari 2011 hingga 2013 berjumlah RM6.64 bilion dengan purata RM2.21 bilion setahun, manakala Ahmad Razif Abdul Rahman yang memimpin negeri pada 2015 hingga 2017 mendapat RM4.70 bilion dengan purata RM1.57 bilion setahun.
“Sementara itu, Ahmad Samsuri menerima royalti petroleum paling sedikit dengan jumlah RM3.48 bilion bagi 2021 hingga 2023 menjadikan purata RM1.16 bilion setahun,” katanya.
Tambah Mohd Eikhwan, sekalipun hanya ‘bergantung’ dengan sejumlah RM3.48 bilion hasil royalti petroleum, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri masih mampu mengekalkan keutuhan pentadbiran walaupun penuh mencabar.
“Bahkan lebih banyak inisiatif baru diperkenalkan seperti lesen motosikal percuma untuk belia, pencen warga emas, baucer RM500 bagi rawatan kesihatan di klinik swasta dan caj percuma bagi pesakit di wad kelas ketiga di hospital kerajaan.
“Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan minggu lepas pula, Menteri Besar menyasarkan hasil janaan negeri ini bakal mencecah RM510 juta menjelang 2030,” katanya.
24 Nov 24
595
ADUN Belia Terengganu Perlu Selami Potensi SG4
KUALA TERENGGANU, 24 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu disarankan untuk mengkaji serta meneliti peluang dan potensi besar yang ada dalam State Government 4(SG4).
Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, ia susulan sidang kemuncak SG4 yang telah berlangsung beberapa bulan lalu ada menyentuh berkenaan hal ehwal belia khususnya aspek pendidikan.
Katanya, Dasar Pendidikan Rabbani perlu dijadikan teras kepada usaha pembangunan belia dalam negeri.
“Hasrat ini sejajar dengan Teras Strategik Kelapan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu Pembinaan Belia Rabbani yang menjadi batu asas pelaksanaan Program ADUN Belia Terengganu sebagai mercu tandanya.
“Anda semualah yang bakal dijadikan kayu ukur dan contoh ikutan kepada golongan belia di negeri-negeri lain,”ujarnya dalam ucaptama Persidangan ADUN Belia Siri 3/2024 – 2026 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, ADUN Belia perlu berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam memastikan maklumat-maklumat tentang inisiatif dalam Belanjawan 2025 Terengganu yang akan diberikan komitmen oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan masa depan belia Terengganu sampai ke pengetahuan anak muda di DUN-DUN agar mereka tidak tercicir dalam menerima bantuan dan menikmati kemudahan yang disediakan.
Tambah Mohd Nor, sebagai ADUN Belia yang dilantik, jangan sesekali takut untuk membuat kritikan jika ada mempunyai asas dan fakta yang kukuh.
“Tetapi apa yang lebih penting sebagai orang muda yang seharusnya turun kebawah membuat kajian dan seterusnya memberikan cadangan dan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan.
“Hendak berpolitik silakan, tetapi biarlah berbudaya matang dan sejahtera, menawarkan solusi bukan menyalahkan.
“Kalau tidak, kita hanya bagaikan ‘burung kakak tua’ yang hanya pandai menyebut dan mengulang perkara yang sama, tetapi tidak ada jalan penyelesaiannya,”ujarnya.
24 Nov 24
53
Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 23 November - Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu (TIS) 2024 yang berakhir hari ini mengecam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel ke atas penduduk Gaza di Palestin.
Itu antara lima resolusi yang dipersetujui, sepanjang sehari persidangan berlangsung, disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob petang tadi.
Dr. Mohd Hanif berkata, persidangan juga menghargai Sidang Kemuncak dan Forum Islam serta antarabangsa yang telah menyuarakan kebimbangan serta mengusahakan inisiatif strategik untuk menangani genosid di Gaza, konflik dunia dan Islamofobia.
"Kami juga masyarakat sivil dari Malaysia, Rusia, Oman, Turkiye, Filipina, Indonesia dan Palestin mengiktiraf usaha multilateral seperti Sidang Kemuncak PBB, CoP dan ESG.
"TIS turut mengiktiraf kepentingan platform serantau dan multilateral yang sedang berkembang seperti ASEAN dan BRICS.
"Di samping itu, sidang kemuncak ini mngiktiraf dunia multipolar yang pesat dengan inovasi teknologi dan usaha kerjasama," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata TIS bercadang untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan agar usaha itu dapat dicapai.
Katanya, kerjasama itu termasuk dengan menubuhkan Majlis Kepimpinan untuk Kesatuan dan Solidariti Ummah bagi memupuk kerjasama, persefahaman, dan visi bersama antara pemimpin pelbagai sektor.
"Ini penting untuk melatih pemimpin dalam penyelesaian konflik, rundingan dan pengurusan projek berdasarkan nilai Islam dan etika kepimpinan," jelasnya.
Ujar beliau lagi, konflik dalaman juga perlu diurus secara berkesan dengan meningkatkan toleransi dan kerjasama antara mazhab dalam menangani cabaran bersama.
"TIS mencadangkan agar dialog dan kerjasama antara pemimpin Sunni dan Syiah diperluaskan supaya umat Islam dapat bersatu dan menentang ketidakadilan," katanya.
Tambah beliau, seluruh peserta sidang kemuncak bersetuju agar tindakan boikot terus dilakukan termasuk terhadap Blackrock dan entiti yang terlibat membantai rakyat Palestin.
"Kita menggalakkan negara Islam yang kuat dari segi ekonomi untuk melakukan pelaburan di negara yang kurang membangun sebagai langkah penting ke arah kesatuan ummah," ujarnya.
23 Nov 24
103
Politik Berpecah Melayu Jadi Lemah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Umat Islam di Malaysia hari ini berpecah kerana bergaduh sesama sendiri sehingga terpecah kepada beberapa blok.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sewajarnya orang-orang Melayu di negara ini bersatu hati agar Malaysia berupaya menjadi contoh serta permulaan yang baik untuk negara Islam bangkit dan tidak ditindas.
"'Political Party' yang memecah belahkan kita, kalau dahulu kita hanya ada satu (blok) sekarang sudah berpecah kepada lima.
"Sebab itu parti di Malaysia sudah melemahkan orang Melayu khususnya kerana kita berpecah dan berlawan sesama sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa berlansungnya Terengganu International Summit (TIS), di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, bermula tahun hadapan apabila Malaysia mengepalai Asean, negara ini perlu berusaha bagi memastikan United Nation diubah.
"Supaya tidak ada kuasa veto oleh mana-mana pihak dan itu boleh dibuat secara beransur-ansur, cadangan itu cuma Malaysia yang pernah cadangkan tetapi tidak ada susulan.
"Apa jua perkara ia perlu bermula dengan kecil-kecilan selepas itu diperbesarkan apabila lebih banyak negara-negara bersetuju untuk melakukan satu-satu tindakan," ujarnya.
23 Nov 24
170
TIS Jadi Medan Penyatuan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu International Summit (TIS) mampu menjadi medan suara penyatuan umat Islam serantau dan dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bertemakan 'Kesatuan Ummah Ke Arah Kemampanan Daya Tahan dan Kemakmuran Bersama' ia berperanan besar menyatu umat sekali gus memberi tanda positif untuk pembebasan Palestin.
"Juga turut membincangkan penyatuan ummah di Nusantara dan meletakkan tiga objektif utama, pertamanya membina jaringan memupuk pengaruh dalam pelbagai bidang kepakaran di peringkat antarabangsa dan dunia Islam.
"Kedua, mengemukakan resolusi bagi berkongsi cadangan dan idea yang rasional dan praktikal untuk dilaksanakan di semua peringkat.
"Ketiga, memperkasa agenda penyatuan ummah di peringkat pimpinan sehingga ke akar umbi dan merancang berdasarkan pembangunan Gaza dan Palestin sebagai wilayah solidariti ummah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media TIS 2024, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Marang yang juga Mantan Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Dunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil berkata TIS pada kali ini mengemukakan lima pembentang utama dari luar negara iaitu Oman, Syeikh Ahmed Saudi Al-Siyabi ; Rusia, Anuar Birgalin Azamatovich ; Turkiye. Ustaz Atid Agdag; Indonesi, Dr. Hurriyah El Islamy.
Katanya, resolusi perbincangan dari TIS itu akan dapat dicapai setelah Sidang Meja Bulat 1 yang melibatkan dua kumpulan.
"Kumpulan pertama akan membicarkan mengenai Penyatuan Ummah Dalam Konteks Negara Dan Global iaitu : Peranan dan Hala Tuju Ulama & Umara serta Perananan & Hala Tuju Masyarakat Sivil & Kumpulan Belia.
"Manakala pada Sidang Meja Bulat Sesi 2 pula ialahkumpulan satu membincangkan tentang Langkah Strategik Dalam Memperkukuhkan Kekuatan dan Sumber Organisasi Pimpinan Muslim.
"Kumpulan kedua pula membincangkan tentang Langkah Strategik Dalam Memperkukuhkan Kekuatan dan Sumber Kerajaan Pimpinan Muslim," jelasnya.
23 Nov 24
148
Amerika Melampaui Batas Kemanusiaan Lindungi Israel
KUALA TERENGGANU, 23 November - Tindakan Amerika menggunakan kuasa veto bagi melindungi pembunuhan yang dilakukan Israel adalah di luar batas kemanusiaan serta dianggap tidak berhati perut.
Mantan Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, di saat masyarakat di Eropah telah bersetuju untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Amerika pula ambil keputusan bertentangan atas dasar kepentingan.
"Keputusan itu (heret Israel) diterima oleh masyarakat negara eropah malangnya Amerika pula guna kuasa veto untuk menyekat, tindakan Amerika luar biasa dari kemanusiaan.
"Kerana siapa hendak menang presiden Amerika mestilah orang yang paling kuat sokong zionis baru akan menang menjadi presiden," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS), Duyong Marina, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan yang menyatakan Israel berhak mempertahankanya dirinya, Abdul Hadi menegaskan ia adalah tidak wajar serta tiada asas.
"Apa hak dia? Palestin itu saya sebut dalam ucapan saya tadi, Nabi Ibrahim berkata orang yang zalim tidak berhak menerima wasiat, hanya orang yang adil sahaja boleh menerima," ujarnya.
23 Nov 24
102
'Israel Tiada Hak Untuk Dipertahankan'
KUALA TERENGGANU, 23 November - Telah terang lagi bersuluh Israel merupakan negara haram yang tidak perlu diiktiraf dan dipertahankan serta kewujudannya telah mengakibatkan umat Islam di Palestin sengsara atas penindasan yang dilakukan.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerana itu sejak dari dahulu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara Malaysia mengiktiraf Israel malah tidak mempunyai sebarang hubungan.
"Sekiranya dia mendakwa atas keselamatan, maka dia berhak untuk dipertahankan (sepatutnya) dia juga berhak menerima bahawa orang Islam di Gaza lebih mempunyai hak untuk selamatkan diri mereka.
"Tetapi yang berlaku hari ini yang menyerang ialah Israel bukannya orang Islam yang menyerang Israel," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS) 2024, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, bekas Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Tun Mahathir menyatakan Benjamin Netanhayu wajar diheret ke mahkamah dunia dan menerima hukuman yang setimpal kerana telah membunuh puluhan ribu nyawa umat Islam yang tidak berdosa.
"Dia (Benjamin Netanhayu) penjenayah melakukan pembunuhan terhadap manusia, (jika) membunuh satu orang pun merupakan satu jenayah, ini dia bunuh 44,000 orang Islam ini merupakan penjenayah yang besar dan perlu dikenakan hukuman gantung," ujarnya.
Jelasnya, mengenai tindakan Amerika yang melindungi Israel katanya itu telah menjadi dasar negara terbabit.
"Walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh Israel itu adalah satu jenayah besar tetapi Amerika masih lagi menyokong negara terbabit dengan mengenakan veto terhadap segala usaha (negara Islam) untuk menghentikan peperangan," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi membebaskan negara Palestin dariada terus dizalimi resepinya adalah melalui kesatuan umat Islam dan perlu menghindari perpecahan yang membawa kepada kepincangan.
"Orang Islam di dunia ini seramai 1.4 bilion orang tetapi kerana kita berpecah lawan sesama sendiri kita jadi lemah dan kita tidak mampu untuk menyelamatkan negara yang dihuni oleh umat Islam," katanya.
23 Nov 24
135
TIS Sebagai Agenda Strategik Negara Bangunkan Solusi Ummah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu International Summit (TIS) boleh diangkat sebagai salah satu agenda strategik negara untuk dilaksanakan bagi membangunkan solusi-solusi dalam berbagai isu yang sedang dihadapi oleh ummah.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepimpinan negara wajar memulakan langkah seterusnya untuk menggerakkan kempen dan lobi yang lebih spesifik.
Katanya, usaha itu perlu untuk mencapai matlamat ummah ini, dengan dimulai di kalangan negara umat Islam yang mempunyai kefahaman yang hampir sama terlebih dahulu.
“Kita mungkin menjadi 'opinion leader' and 'policy makers' kepada negara masing -masing, sehingga agenda besar ini mampu diangkat sebagai salah satu 'national strategic' agenda.
"Ya benar bahawa pada hari ini kita tidak ada kuasa
seperti mereka yang bernegara, dan kita tidak ada dana yang besar sebagaimana kumpulan pelobi Barat.
"Tetapi kita mempunyai kesedaran, kefahaman,
semangat dan daya juang untuk terus berusaha, membawa perkara ini sebagai sumber penyatuan ummah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Terengganu International Summit di Duyong Marina Resort di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, segala unsur-unsur yang membawa kepada pertembungan dan persengketaan sesama umat Islam, wajar dikendurkan dan dineutralkan terutamanya
pertembungan yang merugikan diri sendiri.
"Sudah tentu kepentingan agenda ummah ini adalah lebih besar dari segala kepentingan yang lain," ujarnya.
Beliau berkata, umat Islam kini berdepan dengan dunia yang sangat ganas dengan isu kekejaman dan kezaliman di Palestin [yang disebut oleh Negara Barat sebagai penghapusan etnik (ethnic cleansing)], cabaran Islamophobia, kecelaruan dan serangan pemikiran terhadap umat Islam dan sebagainya.
23 Nov 24
78
Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
HULU TERENGGANU, 22 November - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan Jawatankuasa Masjid bersama-sama membantu pihak berkuasa Agama memantau dan menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti yang mencurigakan sama ada di masjid atau dalam kawasan kariah.
Baginda bertitah, salah satu cabaran dalam pembangunan insan dan umat sejahtera ialah wujudnya pengaruh ajaran salah dan menyeleweng yang cuba memesongkan akidah.
"Penyebaran ajaran sesat dapat dikekang jika setiap individu Muslim berwaspada dan meningkatkan pengetahuan agama menerusi cara yang betul serta mengelak diri daripada dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang kebanyakannya mempunyai agenda peribadi," titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Ajil di sini hari ini.
Dalam pada itu, baginda juga bertitah, agar Jawatankuasa Masjid juga mempromosikan Masjid sebagai wadah penyatuan umat Islam serta menghidupkan kembali peranan Masjid dengan segala aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
"Di samping itu juga pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan masjid perlulah mempunyai minda yang terbuka, berfikiran kritis dan kreatif untuk merangka dan melaksanakan pelbagai program yang boleh melahirkan ummah yang cemerlang.
"Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid-masjid seluruh negeri perlu diperkasakan agar ianya mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat," titah baginda.
Titah Sultan Mizan lagi, kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembeling bersama-sama jawatankuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah dan masyarakat setempat agar usaha ke arah mengoptimumkan fungsi masjid berjaya direalisasikan.
22 Nov 24
192