Artikel "Semasa" Terkini
Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak mengkhianati amanah dengan mengembalikan royalti petroleum kepada Terengganu sepenuhnya.
Menerusi Usul Tergempar yang dikemukakan ADUN Belia Pengkalan Berangan, Azim Razak, beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan jelas menetapkan bahawa urusan kewangan antara negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu berasaskan perundingan dan persetujuan bersama.
Malangnya kata beliau, prinsip itu telah dilanggar secara terang-terangan dalam isu royalti Terengganu.
“Tatakelola yang ada sekarang mencerminkan pendekatan unilateral Kerajaan Persekutuan, yang tidak menghormati semangat kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.
“Undang-undang dan dokumen perjanjian yang ada memberi kelebihan yang jelas kepada kerajaan negeri Terengganu. Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) menetapkan bahawa pembayaran tunai mesti diberikan kepada negeri pengeluar petroleum.
“Perjanjian Royalti 1975 memeterai komitmen pembayaran 5 peratus (kepada Kerajaan Negeri) daripada hasil petroleum yang diekstrak,” jelasnya ketika membahaskan usul terbabit di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menurut Azim yang juga mahasiswa jurusan Undang-undang Universiti Taylor, pelanggaran prinsip undang-undang itu tidak hanya menimbulkan persoalan moral, tetapi juga memberikan peluang kepada pihak berkepentingan untuk mencabar keabsahan tatakelola yang diamalkan.
“Mengapa wang royalti ini tidak disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri untuk memastikan perancangan lebih efisien? Adakah kerana ketakutan terhadap kebangkitan negeri yang lebih maju daripada pusat?.
“Jika perjanjian royalti ini dilaksanakan melalui proses sah, mengapa terdapat penangguhan yang berulang? Apakah ini mencerminkan kelemahan sistem atau kebobrokan politik?,” soal beliau.
Jelas Azim lagi, sekatan royalti petroleum dengam mekanisme dan birokrasi berlebihan dilihat ‘menyeksa’ rakyat Terengganu.
“Perancangan untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai pusat ekopelancongan serantau terhenti akibat ketiadaan dana kesinambungan.
“Program seperti i-Belia dan i-Perantau, yang dijangka memperkasakan anak muda Terengganu dengan bantuan kewangan dan sokongan untuk perantau, turut tergendala, menafikan peluang kepada belia untuk berkembang dan menyumbang kepada negeri.
“Projek Pusat Autisme Terengganu, yang dirancang sebagai pusat pembangunan holistik untuk kanak-kanak autisme, kini tergendala akibat kekangan dana royalti,” tegasnya.
Justeru, beliau dan majoriti Adun Belia lain sepakat mendesak Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuasa penuh pengurusan royalti kepada Kerajaan Negeri.
25 Nov 24
533
PMINT Peroleh 18 Kelulusan Tapak Berkait Silika
KUALA TERENGGANU, 25 November- PMINT dan anak syarikatnya, Permint Granite Sdn. Bhd telah memperoleh 18 kelulusan tapak (lesen pengambilan pasir atau lombong silika) secara keseluruhan sehingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, 18 kelulusan itu merangkumi 16 kelulusan pasir silika dan dua kawasan batuan silika.
“Daripada 18 kawasan ini juga empat kawasan sedang beroperasi dan 14 kawasan yang lain di peringkat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan lain-lain kelulusan agensi teknikal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Khazan ingin tahu berapakah lesen pengambilan pasir silika atau lombong silika yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 dan adakah kerajaan negeri bercadang membina pusat penapisan atau kilang memprosesnya.
Dalam pada itu menurut beliau, secara asasnya, kilang sedia ada PMINT di kawasan Bukit Senyamok, Dungun telah mematuhi kehendak pasaran dengan kualiti pasir yang dikeluarkan melalui pengeluaran mineral lombong yang konsisten.
“Kawasan Perlombongan di kawasan Bukit Senyamok ini juga dirancang untuk dijadikan kawasan pembangunan perlombongan yang lestari dan mampan.
“PMINT kini merancang untuk membangunkan kawasan perlombongan mampan merangkumi aspek pematuhan kepada garis panduan alam sekitar dan pembangunan kilang yang berteknologi tinggi serta berdaya saing bagi pembangunan produk hiliran,” jelasnya.
25 Nov 24
457
Pelaksanaan Hukuman Takzir di Khalayak Ramai Keputusan Hakim
KUALA TERENGGANU, 25 November– Tindakan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah jenayah takzir tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Hakim Syarie
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman boleh dilaksanakan sama ada di dalam penjara atau di kawasan terbuka, bergantung kepada keperluan dan objektif hukuman itu sendiri.
“Jadi di sini kita fikir ada keperluan untuk kita melaksanakan di khalayak ramai, untuk menggerunkan mereka yang melakukan kesalahan tertentu .
“Jika pesalah telah melakukan kesalahan lebih daripada dua kali, dan hukuman dalam penjara tidak memberi kesan, maka ada keperluan untuk melaksanakan hukuman tersebut di khalayak ramai,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab solan daripada ADUN Kuala Besut, Azbi Salleh, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pelaksanaan di tempat awam, seperti di pasar atau pekarangan masjid, memerlukan kerjasama erat dengan agensi berkaitan dan sekiranya dilakukan di pasar, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilibatkan.
Manakala, jika di kawasan masjid, tindakan susulan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan diperlukan.
“Hukuman ini berlandaskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir 2001, yang kini merangkumi 24 kesalahan utama.
"Antara kesalahan yang termasuk dalam enakmen tersebut ialah Pemujaan Salah (Seksyen 3), Penyebaran Doktrin Palsu (Seksyen 4) dan Mengembangkan Doktrin Agama Menyesatkan,” tambah Khalil.
25 Nov 24
163
TIS 2024: Terengganu Curi Tumpuan Dunia Islam
KUALA TERENGGANU, 24 November - Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, sekali lagi membuktikan keupayaan negeri Terengganu sebagai pencetus dialog global dan penggerak penyatuan umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan kejayaan ini sebagai langkah besar dalam menonjolkan peranan Terengganu di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, ini adalah tahun kedua kita berjaya melaksanakan sidang ini, jika tahun lalu kita mengetengahkan tema ‘Fiqh Hidup Bermasyarakat’ sesuai dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Tahun ini kita tampil dengan tema yang lebih besar ‘Penyatuan Umat’, TIS 2024 menonjolkan mesej solidariti, khususnya dalam konteks krisis Palestin yang memerlukan kerjasama seluruh umat Islam.
“Tema ini dipilih kerana kita mahu menyatukan umat, terutama dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Wacana Daie Kontemporari di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambah Muhammad Khalil, TIS 2024 menyerlahkan prestijnya dengan kehadiran tokoh-tokoh terkemuka tempatan dan antarabangsa.
“Kita amat berbesar hati menerima negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang, serta tokoh-tokoh Islam dari Oman, Rusia, Turki, Indonesia, dan Filipina.
“Kehadiran mereka menambah kredibiliti dan tarikan kepada program ini.
“Respon peserta sangat positif, dan kita telah merumuskan beberapa keputusan penting untuk tindakan susulan,” ujar beliau.
Muhammad Khalil menekankan bahawa TIS 2024 bukan sekadar dialog, tetapi pemangkin kepada hubungan strategik yang memberi manfaat besar kepada negeri dan rakyat Terengganu.
“Hasil 'engagement' tahun lalu dengan Kesultanan Oman telah berjaya membawa pelajar Terengganu melanjutkan pengajian ke sana dengan tajaan biasiswa penuh.
“Ini adalah satu pencapaian besar. Kita berharap lebih ramai pelajar Terengganu dapat dihantar ke Oman pada masa akan datang,” jelasnya.
Selain itu katanya, kerjasama dengan Oman juga membuka peluang ekonomi menerusi pelaburan dalam sektor minyak dan gas.
"Selain Oman, hubungan dengan Turki turut mendapat perhatian apabila penasihat Menteri Pendidikan Turki hadir pada sidang kali ini.
“Kita bercadang menghantar pelajar ke Turki dengan tajaan biasiswa, selain membuka peluang pelajar Turki mengikuti kursus singkat Bahasa Inggeris di Terengganu ini.
“Ini peluang besar untuk mempromosikan Terengganu dan menjalin hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya penuh optimis.
Dr. Khalil turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan TIS 2024, termasuk Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) serta jabatan kerajaan, agensi, dan sukarelawan.
“Kerjasama erat semua pihak memastikan kejayaan sidang ini.
“Insya-Allah, kita harap program ini akan diteruskan dengan lebih hebat di masa akan datang,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur.
Beliau optimis bahawa engagement antarabangsa ini akan membuka lebih banyak peluang untuk Terengganu dalam bidang dakwah, ekonomi, pendidikan, dan sosial.
“Kami mahu TIS menjadi jambatan penyatuan umat Islam di peringkat global. Mudah-mudahan usaha ini diberkati Allah SWT,” katanya.
24 Nov 24
170
Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Baiki Jalan Raya di Besut
KUALA LUMPUR, 24 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera menaik taraf jalan-jalan rosak di sekitar daerah Besut
Kata beliau, usaha itu penting bagi mengelakkan masalah banjir ekoran keadaan jalan yang rosak.
Jelasnya, ia juga bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya memandangkan kawasan terbabit menjadi laluan utama orang ramai.
"Dua projek utama, pertama, pembinaan dan penyiapan longkang U-Drain serta kerja menaik taraf jalan di FT189 antara Seksyen 17.85 hingga 18.75, dengan anggaran kos RM11.7 juta.
"Kedua, pembaikan jalan FT65 dari Kampung Tembila hingga Kampung Pengkalan Gaduh, termasuk pembinaan jambatan baru untuk mengatasi masalah limpahan air, yang dianggarkan memerlukan peruntukan sekitar RM43 juta.
“Setiap kali musim tengkujuh, jalan ini ditenggelami air, menyebabkan penduduk terputus hubungan tanpa laluan alternatif. Ini memberi kesan besar kepada aktiviti harian dan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Belanjawan 2025 bagi Kementerian Kerja Raya.
Che Mohamad Zulkifly turut menekankan bahawa reka bentuk jalan yang kurang selamat di kawasan itu sering mengakibatkan kemalangan, terutama melibatkan kenderaan berat.
Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut akan memberi impak positif dari segi ekonomi, sosial, dan keselamatan.
"Ia bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, tetapi juga menyokong pertumbuhan sosioekonomi penduduk, sejajar dengan pembangunan kawasan yang semakin pesat.
"Saya menyeru Kementerian Kerja Raya untuk segera meluluskan peruntukan demi kesejahteraan rakyat.
“Putus kasih boleh dirawat, tetapi kalau jalan terputus, kesannya kepada rakyat amat besar,” tegasnya.
24 Nov 24
1103
Pelik, Perjuang Kebebasan Bersuara Tidak Selantang Lawan Hukum Islam
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Terengganu hairan dan pelik dengan golongan liberal yang tidak agresif menentang sekatan kebebasan bersuara berbanding kelantangan luar biasa mereka menentang pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, terlalu banyak perkara berlaku dalam negara yang sewajarnya perlu diperjuangkan oleh golongan terbabit.
"Kalau kita hendak bercakap soal perundangan di sana banyak lagi undang-undang selain Islam yang lebih zalim dan menindas sebagai contoh berkait dengan kebebasan bersuara.
"Secara umumnya kita melihat kebebasan bersuara di zaman madani ini mereka hanya cakap kosong, berjanji memperjuangkan demokrasi, kebebasan bersuara tetapi mereka menekan dengan pelbagai akta dan undang-undang 3R sehingga rakyat tidak diberikan kebebasan bersuara yang sepatunya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa menghadiri Dialog EXCO Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Dewan PPR Padang Hiliran, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu melaksanakan hukuman sebatan di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang adalah kerana hendak menegakkan hukum Islam dan menjalankan kewajipan serta tuntutan agama.
"Tidak sepatutnya golongan tertentu melabelkan Terengganu sebagai negeri Taliban.
"Saya sangat dukacita dengan kenyataan-kenyataan begini sedangkan kita sebagai orang Islam bersifat terbuka dengan apa yang bakal dilaksanakan oleh negeri Terengganu ini, ini tanggungjawab orang Islam untuk terus memperkasakan agama kita.
"Ia juga selari dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan," ujarnya.
Tegasnya, apa yang lebih utama untuk difikirkan oleh golongan pejuang kebebasan ialah hak untuk bersuara yang disekat oleh kerajaan madani.
24 Nov 24
206
LRA Hulu Terengganu Akan Dinaik Taraf Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 24 November- Loji Rawatan Air (LRA) Hulu Terengganu akan dinaik taraf dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, projek menaik taraf LRA terbabit telah diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta.
“Status terkini projek ini adalah di peringkat akhir pelantikan Jurutera Perunding.
“Projek menaik taraf LRA Hulu Terengganu telah dibuat permohonan di bawah RMKe-12 RP4 kepada KKDW dan telah mendapat kelulusan pada tahun 2023,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman.
Dr Mamad mengemukakan soalan mengenai bilakah kerajaan negeri akan segera menaik taraf loji air SATU di Hulu Terengganu bagi mengatasi masalah tekanan air rendah.
Katanya, projek naik taraf loji berkenaan dijangka siap pada tahun 2027 dengan tambahan kapasiti pengeluaran daripada 55 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 65 JLH.
Dalam pada itu Hanafiah memaklumkan, terdapat juga projek pembinaan LRA Baharu Kenyir berkapasiti 20 JLH di bawah pinjaman Kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM30 juta.
“Status kemajuan terkini adalah di peringkat penyediaan dokumen tender oleh pihak perunding dan proses pengambilan tanah untuk sebahagian tapak cadangan LRA tersebut yang dijangka dapat disiapkan pada penghujung tahun 2029,” ujarnya.
Jelas beliau, dengan siapnya LRA Baharu Kenyir ini dan naik taraf LRA Hulu Terengganu kelak, penstrukturan zon bekalan air akan dibuat semula di mana LRA di daerah Hulu Terengganu akan mempunyai rizab tambahan bekalan air sebanyak 15 JLH bagi menampung keperluan pada masa hadapan.
Sementara itu, mengulas mengenai rancangan pihak Kerajaan Negeri mengatasi masalah paip air yang sentiasa pecah di Hulu Terengganu beliau berkata, antaranya dengan membuat penukaran meter aliran elektromagnetik di 20 kawasan di daerah Hulu Terengganu.
“Selain itu ,penukaran paip utama bersaiz 300 mm yang kerap pecah daripada Tangki Air Kepah hingga ke Kampung Matang.
"Serta langkah sementara yang diambil oleh SATU dengan Pressure Reduce Valve (PRV) dan mengawal tahap paras tangki air secara optima bagi mengawal tekanan air," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan Negeri melalui pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam fasa pelaksana Program Pengurangan Air Tak Terhasil (NRW) dengan membuat penukaran Meter Aliran di seluruh kawasan Hulu Terengganu.
24 Nov 24
633
Perkenalkan Inisiatif Baru Buat Atlet Para SUKMA
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif baru seperti memberi insentif segera kepada semua atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) yang mendapat pingat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya berhasrat menyediakan cadangan memberikan insentif yang sama seperti atlet SUKMA bagi yang mendapat pingat dalam kejohanan Para SUKMA baru-baru ini.
“Sehubungan itu satu Kertas Cadangan insentif akan dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk memulakan inisiatif atlet SUKMA dan Para SUKMA,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Tepoh) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Ladang, Zuraida Mohd Noor dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Hishamuddin turut berkata pihaknya akan memastikan penyediaan fasiliti sukan secara lebih bermanfaat kepada golongan OKU untuk mereka terlibat dalam latihan.
“Manakala sumbangan peralatan-peralatan melalui Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu,” katanya.
24 Nov 24
117
37 ADUN Belia Terengganu Angkat Sumpah
KUALA TERENGGANU, 24 November- Seramai 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama ADUN Belia Terengganu Yang Ke-3 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Majlis angkat sumpah di hadapan yang Dipertua Dewan Belia Negeri Terengganu yang baharu dilantik Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli didahului oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Belia Negeri Terengganu, Mohd Shafizi Ismail.
Majlis angkat sumpah diteruskan dengan wakil Air Putih iaitu Abu Umair Mohd Yusof, Shahrurizuan Abd Rahman (Alur Limbat); Muhammad Azim Bakhtiar Abdul Razak (Pengkalan Berangan) dan Muhammad Fakhruddin Nordin (Kemasik) mengetuai majlis angkat sumpah ADUN Belia Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah telah menyempurnakan ucaptama sempena persidangan berkenaan.
Persidangan ADUN Belia Terengganu Siri Ke-3 2024-2026 (Mesyuarat Pertama Penggal Pertama) berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
24 Nov 24
313
JPKK Laksana Projek Ternak Ikan Talapia Bantu Ekonomi Penduduk
DUNGUN, 24 November - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sura Lapangan Terbang melaksanakan projek ternakan ikan talapia yang menggunakan teknologi Rapid Biofloc di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, teknologi Rapid Biofloc yang digunakan dalam projek itu diyakini mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada penduduk yang terlibat.
Beliau menjelaskan bahawa ia bukan sahaja memberi manfaat dari segi ekonomi, tetapi juga menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada komuniti setempat.
“Projek ini bukan sekadar peluang ekonomi, tetapi ia juga akan memperkasakan penduduk kampung dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang penternakan ikan yang moden.
"Kami akan memastikan pemantauan dan bimbingan daripada pegawai yang terlatih untuk memastikan kejayaan projek ini,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian selepas sesi pelepasan ikan sebagai tanda perasmian projek terbabit.
Katanya, kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek berkenaan.
"Selain itu, peralatan moden dan latihan intensif akan disediakan bagi memastikan keberhasilan program ini.
"Dengan menggunakan kaedah Rapid Biofloc, sistem ini mengoptimakan penggunaan ruang dan sumber air, sekaligus meningkatkan hasil pengeluaran ikan talapia secara efisien dan mampan. Penduduk yang terlibat dijangka dapat menikmati hasil yang menguntungkan dalam jangka masa yang singkat.
"Projek ternakan ikan talapia ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkenalkan teknologi moden kepada masyarakat luar bandar, serta memajukan sektor pertanian dan akuakultur. Diharapkan, inisiatif ini akan memberi impak positif kepada ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan bagi golongan muda di kawasan ini," jelasnya.
24 Nov 24
150