lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Lapan Sungai Terengganu Lepasi Aras Bahaya
Lapan Sungai Terengganu Lepasi Aras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 27 November - Sebanyak lapan sungai di Terengganu kini melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan yang dijangka sehingga Sabtu ini. Berdasarkan kemaskini publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lapan sungai tersebut melepasi paras amaran bahaya. Sungai Besut di Jambatan Keruak kini berada di paras 37.55 meter (bahaya 35.00 meter), Sungai Besut di Kampung La di paras 23.44 meter (bahaya 21.80 meter), Sungai Setiu di Kampung Besut di paras 17.89 meter (bahaya 17.50 meter).  Manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap di paras 22.00 meter (bahaya 21.00 meter), Sungai Telemong di Kuala Ping di paras 20.57 meter (bahaya 19.70 meter) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak di paras 18.51 meter (bahaya 18.50 meter). Sementara itu, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja di paras 39.10 meter(bahaya 38.70 meter)dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok  di paras 9.19 meter (bahaya 8.40 meter). Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut yang telah bermula dari 5 Nov lepas hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.   
27 Nov 24
1519
Ketua Jabatan Diminta Kaji Prosedur Kerja Lapuk
Ketua Jabatan Diminta Kaji Prosedur Kerja Lapuk
KUALA TERENGGANU, 27 November- Ketua Jabatan di negeri ini diminta untuk mengkaji semula mana-mana prosedur kerja lapuk dan perlu dibuat pengemaskinian. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia berkata, semua Ketua Jabatan perlu membuat sekurang-kurangya satu Reformasi Prosedur Kerja bagi jabatan masing-masing.  “Jika proses-proses atau birokrasi dipermudahkan maka ruang untuk rasuah itu berlaku semakin mengecil dan akan hilang terus apabila tahap integriti pegawai dipertingkatkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, satu panduan kepada semua agensi awam untuk mempercepatkan perlaksanaan reformasi karenah birokrasi telah digariskan dalam Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Ujikaji Peraturan yang telah dilancarkan sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 baru-baru ini.   “Ia bagi memastikan pentadbiran yang lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Ketua Jabatan supaya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan semua warga kerja jabatan tidak melakukan kesalahan dari segi tatakelakuan dan integriti.  “Ketua Jabatan seharusnya tidak menyembunyikan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh warga kerja jabatan atas dasar untuk menjaga imej jabatan/ketua jabatan.  “Sebarang kesalahan hendaklah dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya dapat dikenakan tindakan sewajarnya,” ujar beliau. Sementara itu katanya, penjawat awam perlu berwaspada dan peka dengan sebarang peraturan, pekeliling, garis panduan dan arahan-arahan semasa dalam menjalankan tugas agar tidak melanggar prinsip integriti. “Selain di peringkat jabatan, amalan integriti seharusnya terlebih dahulu bermula dari diri individu itu sendiri.  “Kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai integriti seharusnya ditanamkan dalam diri kita terlebih dahulu,” ujarnya.
27 Nov 24
144
Infrastruktur, Perumahan, Keselamatan Jadi Fokus Ahli Parlimen Besut
Infrastruktur, Perumahan, Keselamatan Jadi Fokus Ahli Parlimen Besut
KUALA LUMPUR, 26 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh lantang menyuarakan isu kritikal yang membabitkan kebajikan rakyat di Daerah Besut meliputi infrastruktur, pengurusan sisa pepejal, keselamatan komuniti serta perumahan mampu milik. Katanya, sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap adalah perlu di daerah tersebut. "Pengasingan sisa di peringkat awal kutipan perlu dilaksanakan untuk mengurangkan beban tapak pelupusan, projek waste- to- energy juga boleh menjadi solusi jangan panjang. "Dengan menukar sisa kepada tenaga altenatif," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankyasa Bagi Kementeria Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini, hari ini Dalam pada itu beliau turut mengesa agar pembinaan balai bomba di Pulau Perhentian dibina. "Kami hanya memerlukan balai berskala kecil bertaraf gred D untuk mempercepatkan masa tindak balas kecemasan seperti kebakaran dan penyelamatan. "Tapak telah diluluskan sejak 2016, tiada alasan untuk kelewatan,” tegas beliau sambil menekankan jarak 20km dari Pulau Perhentian ke Kuala Besut yang menyukarkan operasi kecemasan. Menyentuh mengenai isu perumahan pula Zulkifli berkata kurangnya Rumah Mampu Milik (RMM) di Daerah Besut sangat membimbangkan.  "Terutamanya untuk golongan B40 dan M40 (kerana) rakyat Besut menghadapi kesukaran memiliki rumah sendiri. "Kerajaan perlu membina lebih banyak rumah mampu milik dan melaksanakan inisiatif seperti skim MyHome untuk membantu rakyat mendapatkan rumah pertama,” ujarnya. Sementara itu katanya, Isu keselamatan  juga perlu diberikan perhatian serius khususnya ancaman anjing liar di Besut yang membahayakan penduduk agar kes tragis di Semporna yang melibatkan kematian seorang kanak-kanak akibat diserang anjing liar tidak berlaku di daerah terbabit. “Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap ancaman ini, tetapi dengan mematuhi prosedur yang berhemah, termasuk terhadap mereka yang bertanggungjawab memiliki anjing ini,” katanya.
26 Nov 24
93
Ahmad Samsuri Kini Bergelar Brigedier Jeneral
Ahmad Samsuri Kini Bergelar Brigedier Jeneral
KUALA TERENGGANU, 26 November - Menteri Besar Terengganu kini bergelar Brigedier Jeneral Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri  Mokhtar. Beliau menerima pangkat tersebut atas pelantikannya sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Terengganu. "Terima kasih kepada pucuk kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) di atas kepercayaan, pemakaian dan penganugerahan pangkat yang diberikan," ujarnya. Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan, Kem Kementah, Kuala Lumpur, di sini hari ini. Pelantikan ini telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan syor Majlis Angkatan Tentera Ke-580.  
26 Nov 24
340
'Royalti Bukan Hak Terengganu?, PAN Jangan Jadi Pengkhianat'
'Royalti Bukan Hak Terengganu?, PAN Jangan Jadi Pengkhianat'
KUALA TERENGGANU, 26 November – Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu diingatkan agar tidak menjadi pengkhianat di negeri sendiri susulan tindakan parti itu menyatakan royalti bukan hak mutlak Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat menegaskan, kenyataan sembrono PAN dianggap sebagai pengkhianatan kepada rakyat,memandangkan negeri ini telah menerima royalti minyak sejak sekian lama. "Kenyataan itu menimbulkan kemarahan ramai kerana bertentangan dengan pendirian pemimpin PAN sendiri sebelum ini.  "Ketika di peringkat awal politik mereka, pemimpin PAN lantang menyatakan bahawa royalti minyak adalah hak rakyat Terengganu.  "Namun kini, mereka dilihat 'berpatah arang' dengan menafikan hak rakyat," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Raja Bahrin berdemo di hadapan Wisma Darul Iman menuntut royalti hak Terengganu. Menurut beliau, royalti minyak adalah hasil bumi Terengganu dan ia menjadi hak negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petronas 1975. "Pemimpin yang kata ini bukan hak mutlak Terengganu sebenarnya telah mengkhianati negeri sendiri,” ujar beliau. Jelas Satiful, pengkhianatan terhadap Terengganu ini tidak mustahil akan menyebabkan rakyat terus menolak parti tersebut. "Bagaimana rakyat hendak beri kepercayaan kepada mereka jika mereka sendiri yang mengkhianati rakyat. "Ini bukan saja menunjukkan ketidaktelusan, tapi juga hilangnya rasa hormat terhadap hak rakyat,” katanya. Semalam Pengarah Komunikasi PAN Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir mengatakan royalti minyak bukan hak mutlak Terengganu. Kenyataan itu menimbulkan kemarahan ramai kerana sebelum ini PAN Terengganu menerusi ketuanya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata royalti petroleum adalah hak rakyat Terengganu.  
26 Nov 24
353
Hujan Lebat Berterusan Tahap Bahaya di Terengganu, Pahang Hingga Jumaat Ini
Hujan Lebat Berterusan Tahap Bahaya di Terengganu, Pahang Hingga Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 26 November -Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya membabitkan beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat ini. METMalaysia dalam kenyataan menerusi platform X 1 tengah hari tadi memaklumkan, di Terengganu, daerah yang dijangka terjejas susulan taburan hujan sangat lebat dan berterusan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Sementara itu, di Pahang, lima daerah diletakkan dalam zon merah atau bahaya iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin. Selain itu, amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan membabitkan beberapa negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor Di Terengganu, empat daerah di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka berdepan cuaca tahap buruk selain Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera). METMalaysia turut mengeluarkan infografik angin kencang dan laut bergelora membabitkan beberapa kawasan perairan negara setakat jam 1 tengah hari tadi sehingga 30 November depan. Amaran bagi kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam (kmsj) hingga 50 kmsj, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter. Selain itu amaran tahap dua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60kmsj dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5m dijangka membabitkan Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Utara Tioman, Utara Bunguran, Timur laut dan barat daya Reef North serta Layang-Layang METMalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya kekal waspada dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan media sosial rasminya selain aplikasi mobile myCuaca. Bagi pertanyaan lanjut, hubungi talian hotline METMalaysia,1-300-22-1638.  
26 Nov 24
237
300 Anak Terengganu Sertai Bengkel AI SAiBer 3.0
300 Anak Terengganu Sertai Bengkel AI SAiBer 3.0
KUALA TERENGGANU, 26 November - Seramai 300 anak muda dari seluruh Terengganu telah menyertai Bengkel Kuasai Artificial Intelligence & Media Baharu (SAiBer 3.0), yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS).  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, berkata Artificial Intelligence (AI) adalah ilmu yang perlu dikuasai untuk kekal relevan dalam era digital. “AI, atau Kecerdasan Buatan, adalah teknologi yang boleh belajar dan berfikir seperti manusia kini digunakan di seluruh dunia, dan anak muda kita tidak boleh ketinggalan.  “Bengkel ini memberi peluang kepada anda semua untuk memahami asas AI dan meneroka potensi teknologi ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan SAiBer 3.0 di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma  Darul Iman, di sini, hari ini. Ahmad Shah turut menjelaskan mengapa penting untuk mempelajari teknologi ini.  “Majikan sekarang mencari tenaga kerja yang mahir dalam AI yang mana industri seperti kesihatan, kewangan, dan e-dagang semakin bergantung kepada teknologi ini.  “Dengan kemahiran dalam AI, peluang kerjaya anak muda akan lebih terbuka,” jelasnya. Namun begitu, beliau juga menekankan cabaran etika dan keselamatan yang datang bersama penggunaan AI.  “Teknologi ini ada risikonya, terutama dalam soal privasi. Oleh itu, kita harus menggunakan AI dengan bertanggungjawab, selaras dengan nilai agama dan etika,” katanya. Ahmad Shah turut mengumumkan bahawa i-MITS akan menganjurkan Bengkel Volcano Advanced AI untuk peserta yang telah menyelesaikan salah satu siri SAiBer tahun ini. “Ini adalah peluang keemasan untuk mendalami ilmu AI ke tahap seterusnya.Saya harap peserta semua ambil peluang ini, belajar bersungguh-sungguh, dan gunakan ilmu ini untuk manfaat masyarakat,” ujarnya.
26 Nov 24
205
Angkat Pendidikan Islam Seiring Kemodenan Zaman
Angkat Pendidikan Islam Seiring Kemodenan Zaman
KUALA TERENGGANU, 26 November- Mengikut perkembangan masa dan zaman, penambahbaikan perlu dibuat bagi melihat pendidikan Islam bangkit dan selari dengan pendidikan konvensional yang lain secara langsung sebagai pemangkin utama berasaskan ketakwaan serta akidah yang mantap bagi melahirkan generasi mendatang. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknoplogi dan Pembangunan Insan Terengganu, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, usaha berkenaan perlu digembleng bersama institusi pendidikan Islam yang ada di negeri Terengganu khususnya. "Kita melihat kewujudan hari ini dan perkembangan umat Islam khususnya di negeri ini hampir 70 peratus masih lagi merupakan melayu Muslim, hasil daripada peninggalan nenek moyang kita 700 tahun yang lampau, hari ini Alhamdulillah kita masih lagi melihat generasi ini masih majoriti meneruskan kehidupan ke arah yang sempurna dalam pengamalan Islam. "Ia dapat dicapai hasil ketekunan di semua peringkat khususnya guru-guru, para alim ulama dalam mempertahankan pendidikan Islam yang bukan sahaja untuk disebar luaskan tetapi untuk melahirkan duat iaitu pendakwah yang meneruskan agenda Islam yang ditinggalkan Rasulullah SAW," katanya. Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) di dewan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, semalam. Hadir sama ialah Pengarah Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Lothman Awang dan Timbalan Pengarah (Operasi) JPINT, Mohd Zaini Mohd Nor. Tambahnya, konvensyen yang diadakan buat kali ketiga itu antaranya untuk menghimpun tenaga pengajar, guru-guru, penggerak institusi pendidikan islam negeri Terengganu yang bernaung di bawah JPINT sama ada yang berada di bawah kerajaan negeri mahupun swasta. "Kita mengadakan konvensyen ini sedikit sebanyak antaranya untuk memberi pengiktirafan kepada guru-guru yang telah berkhidmat menjangkau usia tetapi istiqamah mengamalkan pendidikan Islam sebagai pendidikan sepanjang hayat. "Walaupun mungkin tidak seberapa, tetapi inilah menggambarkan hasrat kerajaan negeri bagi memberi motivasi sebagai tanda hati atas mereka yang berkhidmat bersungguh-sungguh dalam menegakkan dan menyebar luaskan ilmu Islam. "Kerajaan negeri juga bersikap terbuka kepada semua institusi, tokoh penggerak dalam pendidikan untuk bekerjasama dalam melihat generasi akan datang berterusan mendapat alternatif pendidikan," katanya. Dalam konvensyen tersebut, sebanyak 21 anugerah khas disampaikan kepada tenaga-tenaga pengajar terpilih bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Konvensyen kali ini turut mengadakan Forum Pendidikan Islam yang menampilkan Prof. Dr Solehah Yaacob dan Dato' Dr. Abdul Mua'ti@ Zamri Ahmad dalam membentangkan tema Ketamadunan Melayu Islam Paksi Kegemilangan Peradaban.          
26 Nov 24
125
Projek Perumahan Kuala Ping Dalam Proses Kajian Semula
Projek Perumahan Kuala Ping Dalam Proses Kajian Semula
KUALA TERENGGANU, 25 November- Projek Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu masih berada dalam tindakan pemaju dan kini sedang dalam proses kajian semula.  Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak pemaju, kajian awal mendapati bahawa pasaran jualan dan permintaan rumah di kawasan tersebut tidak memuaskan, mengakibatkan keputusan untuk menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan di tapak. “Tindakan ini mungkin bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek sejalan dengan permintaan pasaran yang sebenar bagi mengelakkan lebihan rumah yang tidak terjual.  “Keputusan ini juga memberi ruang kepada pihak pemaju untuk mempertimbangkan strategi yang lebih sesuai, termasuk potensi perubahan dalam perancangan projek atau penyesuaian harga jualan mengikut kemampuan dan permintaan masyarakat setempat,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Katanya, pihak SPNB mungkin akan mengkaji pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi, kemampuan pembeli di kawasan tersebut, serta prospek pembangunan lain yang dapat menarik minat pembeli.   
26 Nov 24
340
Wan Hassan Kecewa MRSM Dungun Gagal Siap Ikut Jadual
Wan Hassan Kecewa MRSM Dungun Gagal Siap Ikut Jadual
KUALA LUMPUR, 26 November - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli melahirkan rasa kecewa atas kegagalan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun disiapkan mengikut jadual Lanjutan Masa Ketiga (EOT 3) iaitu pada 25 Ogos 2024. Wan Hassan berkata, setakat Julai 2024 pembinaannya telah mengalami kelewatan dengan peratus pencapaian kemajuan fizikal semasa baru mencapai 79.03 peratus, berbanding 97.24 peratus yang dijadualkan. "Lanjutan masa terkini iaitu kali ke-4 adalah pada 14 Julai 2025, iaitu tidak sampai setahun dari sekarang," ujarnya. Rasa kecewa itu disampaikannya ketika membahas Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat di sini, baru-baru ini. Beliau juga memohon penjelasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan perkara berkenaan. "Sejak Julai ketika peratus kemajuan fizikal yang disebutkan tadi diumumkan, apakah terdapat sebarang kemajuan terhadap peratus berkenaan dan adakah sudah ada cadangan supaya diberikan kuota khusus juga kepada pelajar-pelajar di Dungun yang ingin memasuki MRSM  Dungun ini?," soalnya lagi. Berdasarkan rekod Lawatan Pemantauan Healthcheck oleh Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu ke tapak MRSM Dungun pada Julai lalu, antara punca yang dikenalpasti menyebabkan kelewatan adalah kesukaran daripada pihak kontraktor untuk mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi bagi kerja-kerja pembinaan di tapak dan isu kelewatan kelulusan pengalihan kabel daripada pihak TNB. Walaubagaimanapun, pihak kontraktor sentiasa komited untuk meningkatkan jumlah pekerja dan memastikan kemajuan projek kembali mengikut jadual. PPNT juga telah mencadangkan supaya satu sesi libat urus dilaksanakan bersama pihak TNB bagi membincangkan tentang isu pengalihan utiliti.
26 Nov 24
356