Artikel "Semasa" Terkini
Dr. Sam Ajak Orang Ramai Sertai Sukarelawan Banjir T-Volt
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Menteri Besar Terengganu mempelawa orang ramai untuk menyertai Sukarelawan Pasca Banjir Terengganu Volunteer (T-Volt) bagi tahun 24/25.
Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri membuka ruang seluas-luasnya bagi sesiapa yang ingin menyumbang tenaga membantu mangsa banjir.
“Pasca banjir, banyak tangan dan tenaga yang diperlukan untuk membantu memulihkan kawasan terjejas terutamanya rumah-rumah mangsa dan kawasan sekitar.
“Kini, kami membuka peluang buat semua sukarelawan yang bersemangat dan prihatin untuk menyertai usaha pemulihan ini.
“Setiap bantuan, besar atau kecil memberi kesan yang besar dan bermakna kepada mereka (mangsa banjir),” tulisnya dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
T-Volt adalah pertubuhan badan bukan kerajaan yang menghimpunkan sukarelawan yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri Terengganu dan diselia oleh Urusetia Belia Sukan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT).
Menerusi hantaran di laman UBSNT, pihaknya memaklumkan sedang membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menabur bakti dan tenaga bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
“Sukarelawan yang berminat untuk menyertai Misi Pasca Banjir, bolehlah mengisi maklumat dan menyertai ‘WhatsApp Group’ melalui pautan https://forms.gle/wYzDEARFz2YJ1qrq7 ,” ujarnya menerusi hantaran berkenaan.
03 Dec 24
281
Mangsa Banjir Terharu Jabatan Amal Hulur Bantuan
MARANG, 3 Disember - Mangsa banjir di Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di daerah ini meluahkan rasa terharu atas bantuan yang dihulurkan anggota Jabatan Amal di saat mereka diuji dengan musibah tersebut,
Salah seorang mangsa banjir, Mohd Bakhtimi Mohd Ali Hanafiah, 58, berkata, kehadiran Jabatan Amal DUN Pengkalan Berangan ke kediaman mereka bagi membersihkan kotoran akibat bencana itu tidak mampu dibalas dengan wang ringgit.
"Kami baru pulang ke rumah setelah beberapa hari terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Pengkalan Berangan. sampai di rumah kami tak sangka anggota Jabatan Amal datang membantu membersihkan rumah kami.
“Alhamdulillah, kami sangat berterima kasih kepada Jabatan Amal yang begitu cepat bertindak.
"Kesan banjir memang banyak, tetapi dengan bantuan mereka, saya rasa lega dan boleh kembali memulakan kehidupan,” katanya penuh syukur.
Ujarnya, dengan bantuan terbabit rumahnya kembali bersih dan selesa untuk didiami.
Bakhtimi turut menyatakan segala tindakan pantas dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Jabatan Amal itu juga telah mendapat penghargaan daripada para penduduk yang terlibat.
"Usaha murni ini turut memberi harapan kepada banyak lagi keluarga yang terjejas oleh banjir untuk kembali meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik," katanya.
03 Dec 24
252
Rumah Masih Belum Siap, Pagar Pula Musnah Dihempap Tanah Runtuh
MARANG, 3 Disember - 'Rumah masih belum lagi siap pagar pula dihempap tanah runtuh', begitulah nasib yang menimpa seorang penduduk di Kampung Jenang, Pengkalan Berangan di sini.
Menurut Jiran terdekat Muhamed Yusuf, kejadian sekitar jam 1 pagi 29 November lalu itu walau bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan fizikal.
"Tuan rumah berasal dari Jerong, rumah itu belum lagi siap hanya pagar yang siap, jadi runtuhan itu hanya terkena pagar.
"Nasib baik rumah itu masih belum diduduki, bayangkan jika penghuninya ada, pasti ia membahayakan keselamatan nyawa, kita tidak mahu tragedi di Bukit Apit berulang kembali," ujarnya.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata pihaknya melalui pusat khidmat akan menyelesaikan pembersihan untuk tanah tersebut dengan peruntukan RM1,000 sehari.
"Jika diselesaikan dalam dua hari kosnya RM2,000 dan kita akan menanggung segala kos pembersihan ini," ujarnya.
03 Dec 24
257
Mangsa di PPS SK Atas Tol Terima Bantuan Makanan
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Walaupun langit kembali cerah, mangsa banjir di sekitar Kampung Atas Tol masih kekal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Atas Tol kerana Paras air yang belum surut sepenuhnya serta berkemungkinan akan menghadapi air pasang besar pada malam ini.
Pasukan Ameerah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong berusaha menceriakan kanak-kanak yang terkesan akibat bencana ini, dan telah hadir menyampaikan bantuan makanan.
"Bantuan ini bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan asas, tetapi juga sebagai sokongan moral kepada mangsa yang masih bergelut dengan situasi semasa.
“Adik, dapat ni makan sama-sama dengan adik-beradik lain jugok deh. Sama-sama kongsi,” ujar salah seorang sukarelawan kepada seorang kanak-kanak ketika menyerahkan bungkusan makanan.
Menurnutnya bagi orang dewasa mungkin tekanan akibat bencana banjir ini dapat dihadapi kerana ia tidak dapat dielakkan.
"Namun ia akan lebih dirasakan oleh kanak-kanak yang terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan baru di PPS.
"Semoga usaha ini dapat membantu menceriakan suasana dan memberikan sedikit keceriaan kepada mereka.
"Sekali gus dapat meringankan beban mereka yang terjejas, sementara doa terus dipanjatkan agar keadaan kembali pulih dan mangsa banjir dapat kembali ke kediaman masing-masing dengan selamat,"ujarnya.
03 Dec 24
193
PPS SMK Seri Payong Ditutup
MARANG, 3 Disember - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong secara rasminya ditutup pada petang ini setelah penghantaran pulang mangsa banjir terakhir selesai dilakukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata operasi pemindahan terakhir itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain yang terlibat dalam membantu mangsa banjir.
“Alhamdulillah, bantuan penghantaran balik mangsa banjir yang terakhir di PPS SMK Seri Payong sebentar tadi. Secara rasminya petang ini PPS SMK Seri Payong ditutup,” kata beliau dalam suatu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Mohd Nor berkata dengan Penutupan PPS berkenaan menandakan situasi banjir di kawasan tersebut semakin pulih serta membolehkan mangsa kembali ke kediaman masing-masing.
Mohd Nor turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi ini.
"Terima kasih kepada usaha dan pengorbanan pelbagai pihak, mangsa banjir kini dapat memulakan langkah pemulihan selepas menghadapi bencana tersebut," ujarnya.
03 Dec 24
232
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca aktif bakal melanda kawasan Pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, bermula petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember.
Fenomena penumpuan angin di kawasan ini dijangka membawa hujan lebat berserta ribut petir.
Menurut hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia pada 2 Disember, fenomena luruan monsun pula dijangka berlaku antara 8 hingga 14 Disember 2024.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung, yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa lokasi.
Sebagai makluman, luruan monsun sering berlaku pada bulan November, Disember, dan Januari, fenomena ini terjadi apabila kawasan tekanan rendah dan pusaran terbentuk berhampiran rantau negara.
Pada masa yang sama, udara sejuk dari Siberia meluru ke arah Malaysia akibat letusan udara bertekanan tinggi di kawasan tersebut.
Apabila luruan udara sejuk dari Siberia bertembung dengan angin timuran dari Pasifik, ia bergerak ke rantau kita, mencetuskan hujan lebat, angin kencang, dan ombak besar, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
Orang ramai disarankan agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan merancang aktiviti harian dengan teliti, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau mudah terjejas.
Pastikan anda mendapatkan maklumat yang sahih melalui laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia.
Peringatan ini dikeluarkan untuk memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Kekal tenang, utamakan keselamatan keluarga dan komuniti, serta ikuti arahan pihak berkuasa jika diperlukan.
03 Dec 24
607
Semua Mangsa Banjir Terima Layanan Baik
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 3 Disember - Walaupun penat dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ia tidak dijadikan alasan oleh para petugas untuk tidak memberikan layanan yang terbaik kepada mangsa banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, keadaan itu dapat dilihat sepanjang beliau melakukan tinjauan serta melawat PPS dan situasi itu memberikan keselesaan kepada mereka yang berada di situ.
"Malah mereka turut memuji makanan yang disediakan dikatakan sedap untuk dimakan selain menerima layanan yang baik daripada setiap petugas," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan di situ, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, petugas yang dimaksudkan itu adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), anggota rela dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Kesemua mereka telah bertungkus lumus bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang masa berlakunya bencana banjir.
"Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal ibadat yang dihitung sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan," katanya.
Untuk rekod, semalam masih mencatatkan 209 keluarga di Seluruh Marang masih berada di sembilan PPS.
03 Dec 24
141
23 Ahli Keluarga Termasuk Dua Bayi Dipindahkan ke PPS
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 2 Disember – “Semua ahli keluarga saya, termasuk dua bayi dipindahkan ke PPS Padang Air,” luah Mohd Sori, 41, dari Kampung Padang Hangus, yang terpaksa berpindah bersama 23 ahli keluarganya selepas kediaman mereka dinaiki air sejak Jumaat lalu.
Menurut Mohd Sori, tiga rumah milik keluarganya yang terletak berdekatan ditenggelami air hingga tidak lagi selamat untuk didiami.
“Air mula naik ke tangga rumah sejak Jumaat. Sekarang, masih tak boleh masuk rumah sebab air masih bertakung di kawasan itu,” katanya ketika ditemui.
Walaupun terpaksa meninggalkan kediaman, beliau bersyukur kerana kemudahan di PPS termasuk lampin bayi disediakan dengan baik.
Dalam perkembangan sama, Penolong Pegawai Masyarakat Daerah Kuala Terengganu, Mariam Fariha Mat Husin memaklumkan sebanyak 66 keluarga telah mendaftar di PPS Padang Air, namun tidak semuanya menetap di pusat pemindahan tersebut.
“Sebahagian mangsa memilih untuk tinggal bersama saudara-mara, manakala 169 orang lagi kini menetap sepenuhnya di PPS ini,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, walaupun cuaca hari ini cerah, kebanyakan mangsa hanya pulang untuk memantau keadaan rumah sebelum kembali ke PPS kerana jalan ke kediaman mereka masih dinaiki air.
02 Dec 24
131
GLC Terengganu Sumbang RM15,000 Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 2 Disember- Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), anak syarikat Golden Pharos Berhad (GPB) menyampaikan sumbangan bernilai RM15,000 kepada 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di DUN Bukit Besi sebagai inisiatif tanggungjawab sosial syarikat (CSR) syarikat kepada masyarakat di negeri Terengganu.
Pengerusi GPB, Dato' Yahaya Ali berkata, sumbangan berkenaan merupakan usaha fasa pertama dan syarikat komited menghulurkan bantuan dalam meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
"Kita tidak mendoakan, tetapi kalau berlaku banjir lagi, akan ada kesinambungan yang kita usahakan. Itu merupakan komitmen kami.
"Kita akan aktifkan satu pasukan untuk menguruskan situasi selepas berlakunya banjir yang mana kita sedia maklum pelbagai perkara perlu dilakukan bukan sahaja ketika banjir tetapi, selepas daripadanya seperti pembersihan rumah-rumah dan seumpamanya.
"Kita akan gembleng tenaga daripada Golden Pharos (GP) dan anak-anak syarikatnya termasuk KPKKT, Pesaka (Terengganu Berhad) , Pesama (Pesama Timber Corporation Sdn Bhd), Permint Plywood, GP Forest Plantation dan GP Glass," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di PPS Kampung Pasir Raja, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi KPKKT, Muhyidin Abdul Rashid, Timbalan Pengurus Besarnya, Ahmad Bazli Razali dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut menyampaikan bantuan ke PPS Kampung Jongok Batu dan Kg Syukor.
Yahaya turut memaklumkan, GPB juga komited menjadikan kawasan-kawasan terlibat sebagai anak angkat syarikat dalam usaha memastikan masyarakat di kawasan itu terutamanya mendapat bantuan sewajarnya.
Dalam pada itu, Ghazali sempat merakamkan rasa terima kasih kepada GPB dan anak-anak syarikatnya membantu mangsa-mangsa banjir,
Beliau juga menasihati penduduk terlibat agar terus berjaga-jaga dengan situasi semasa.
"Setakat ini, banjir di Bukit Besi masih dalam kawalan. Kalau kita perhatikan di kawasan lain di Dungun, banjir yang melanda berskala besar dengan sesetengah tempat melibatkan lebih 500 di satu-satu PPS.
"Apa yang penting bagi kita, kita kena terima redha Allah SWT dan kena me'normalisasi' keadaan dengan bersedia menghadapi musim ini.
"Kita kena bersyukur apa yang dikurniakan Allah SWT, apa yang kita dapat dan makan, kita hargai," katanya.
02 Dec 24
294
Adun Kemasik Lapor Polis Fitnah Plastik Logo PAS
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan berlaku manipulasi daripada PAS berhubung bantuan diberikan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasik di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Katanya, rakaman video yang tular tentang dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali dan memohon pihak polis mengambil tindakan terhadap pengfitnah.
“Saya berharap perkara (fitnah) sebegini tidak dibuat memandangkan kita semua telah berusaha untuk bersama-sama membantu mangsa banjir.
“Yang sepatutnya kita lakukan adalah untuk memastikan kita dapat memberi khidmat yang terbaik dan memberi keselesaan kepada semua dan bukannya mempolitikkan atau menimbulkan sesuatu isu yang tidak sepatutnya untuk memburukkan keadaan,” ujarnya kepada pemberita.
Susulan itu, beliau mengharapkan pihak polis akan membuat siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.
Dalam pada itu, pihak pemberi bantuan tersebut, Pakatan Setia Merah Katering dalam satu kenyataan menjelaskan, makanan tersebut disumbangkan oleh bekas ADUN sebuah parti politik dan bukannya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagaimana fitnah yang berlegar.
Tegasnya, pihaknya juga secara sukarela tanpa paksaan mana-mana menggunakan plastik itu bagi memudahkan agihan memandangkan tiada plastik lain di tempat berkenaan.
“Plastik lain tiada, plastik itu diguna untuk diagih makanan ke khemah-khemah mangsa sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai video berdurasi 15 saat yang memaparkan bantuan ditukar ke dalam plastik berlogo PAS oleh beberapa individu yang berpakaian sebagai sukarelawan JKM di PPS.
02 Dec 24
1523