Artikel "Semasa" Terkini
6,000 Pek Makanan Diagih Kepada Mangsa Banjir Taman Rakyat Jaya
DUNGUN, 8 Disember – Sebanyak 6,000 pek makanan telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Taman Rakyat Jaya dan kampung-kampung sekitarnya semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pek makanan tersebut merupakan hasil sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Hanafiah atas kemurahan hati beliau yang menyumbang 6,000 pek makanan kepada mangsa banjir di sini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Dapur Rakyat KM (KHIDMAT Malaysia) Dungun, DUN Rantau Abang, yang diadakan di Surau Taman Rakyat Jaya pada pagi semalam.
Turut hadir ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, dan Ketua KM Dungun, Khairul Ismail.
Menurut beliau, JPKK kawasan sekitar telah ditugaskan memasak 450 kilogram nasi dan 600 kilogram daging.
"JPKK terlibat ialah Taman Rakyat Jaya, Gong Pasir, Pulau Serai, Pelandang, Balai Besar, Bemban, Batu Tiong, Jalan Intan, Batu Putih dan Balik Bukit bergotong-royong memasak nasi dan lauk gulai dan singgang daging yang siap dimasak seawal 8 pagi.
"Terima kasih kepada semua sukarelawan yang hadir dari Dungun dan Kemaman datang awal pagi membantu membungkus dan mengagihkannya.
"Usaha murni ini membuktikan semangat gotong-royong yang tinggi dalam membantu mangsa banjir, serta menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus membantu mereka yang memerlukan," ujarnya lagi.
Lebih 500 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang berganding bahu membungkus dan mengagihkan pek makanan terbabit.
Di samping 21 buah kenderaan pacuan empat roda dari Kemaman dalam turut mengambil bahagian untuk memudahkan pengagihan ke kawasan yang terkesan.
08 Dec 24
245
Banjir Pulih, PPS di Terengganu Ditutup Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Keadaan banjir di negeri ini pulih sepenuhnya hari ini apabila satu-satunya Pusat Pemindahan Sementara(PPS) di Setiu merupakan PPS terakhir ditutup.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Bencana Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata PPS terakhir di Sekolah Kebangsaan Rhu Sepuluh yang menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga di Setiu, ditutup jam 9 malam tadi.
Terdahulu Terengganu dilanda banjir berikutan dua luruan hujan masing-masing pada 19 November dan 26 November lalu.
Pada gelombang kali ini, Terengganu merekodkan sebanyak 307 PPS dibuka yang menempatkan 43,273 mangsa daripada 11,707 keluarga.
Keseluruhan lapan daerah di Terengganu dilanda banjir dan menyaksikan Besut paling terjejas dengan 16, 091 melibatkan 4,303 keluarga di 121 PPS.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) kembali mengeluarkan amaran banjir di empat negeri, iaitu Kedah, Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Ia berikutan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), pada Khamis.
Amaran itu adalah untuk tempoh bermula 8 Disember sehingga 11 Disember.
06 Dec 24
163
Waris Tragedi Tanah Runtuh Terima Sumbangan
HULU TERENGGANU, 6 Disember - Sebanyak RM5,000 hasil sumbangan orang ramai berjaya disampaikan kepada keluarga dua beradik yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kampung Bukit Apit, Ajil minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sumbangan tersebut disampaikan kepada waris agar dapat membantu meringankan beban ditanggung.
"Hari ini kita beri sumbangan kepada waris keluarga yang meninggal. Kejadian ini amat menyedihkan bukan saja kepada keluarga malah seluruh rakyat.
"Ini ujian besar bagi mereka (keluarga) dan diharap sumbangan ini dapat meringankan beban dan kesedihan yang terpaksa ditanggung dengan pemergian ahli keluarga," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa tragedi tanah runtuh, Ruziah Fuad, 46 di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Rakan Care Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Muhammad Zakaria menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua orang ramai dan dermawan yang menyumbang kepada tabung Derma Kilat yang dilancarkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut sejak minggu lalu
"Kami memandang tinggi dan mengucapkan terima kasih begitu mendalam kepada seluruh penderma yang begitu prihatin dan JPKK Kampung Jaba dan Bukit Apit yang turut bekerjasama dalam usaha mengerakkan tabung sumbangan ini.
"Saya juga berharap sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mangsa bencana yang masih dalam proses pemulihan dan memulakan kehidupan baharu selepas kejadian," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pagi tadi.
Kejadian tanah runtuh pada 29 November lalu menyebabkan seorang selamat dan dua lagi maut di tempat kejadian.
Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.
Dua mangsa yang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan tanah tersebut dikenali sebagai Puteri Sajidah Azman,16, dan Siti Fatimah Azman,13.
06 Dec 24
907
Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Badan Bukan Kerajaan Khidmat Malaysia Kuala Terengganu (KMKT) menganjurkan inisiatif Dapur Rakyat bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.
Ketua Kebajikan KMKT, Azizah Mahmood berkata langkah itu menyasarkan penduduk di kawasan yang paling terkesan, khususnya mereka yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Paloh dan Sekolah Kebangsaan Bukit Losong.
“Kami di Khidmat Malaysia Kuala Terengganu amat memahami kesukaran yang dihadapi penduduk selepas bencana.
“Dapur Rakyat pada kali ini menyediakan kira-kira 800 pek makanan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas.
“Termasuk mereka yang berada di PPS dan penduduk dari lima buah kampung yang teruk dilanda banjir iaitu Pulau Rusa Hilir, Paloh, Losong Dato’ Amar, Losong Haji Long, dan Losong Panglima Perang,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Wakaf Mempelam, di sini semalam.
Tambah Azizah, Dapur Rakyat dijayakan dengan komitmen 50 petugas wanita dan 30 lelaki yang bertugas sebagai sukarelawan untuk menyediakan dan mengagihkan makanan.
“Kami pastikan makanan ini sampai kepada semua yang memerlukan, termasuk mereka yang berada di kawasan terjejas lain yang memerlukan bantuan segera,” jelasnya.
Beliau juga menambah, Ops Bersih telah dijalankan di SK Pulau Rusa dengan kerjasama pihak Bomba, guru-guru sekolah, JPKK Pulau Rusa Hilir, dan pasukan dari Khidmat Malaysia Dun Wakaf Mempelam.
Azizah turut menyeru lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan.
“Kami masih mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan, sama ada dalam bentuk tenaga, wang ringgit, atau apa sahaja bentuk bantuan untuk mangsa banjir,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa bencana ini tidak hanya memberi kesan kepada Kuala Terengganu, tetapi juga banyak kawasan lain di seluruh negeri.
“Banjir kali ini sangat besar, Khidmat Malaysia Negeri Terengganu amat menghargai sokongan dari dalam dan luar negeri.
“Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi ini, dan semoga usaha kita semua diberkati serta menjadi amal jariah yang berkekalan,” katanya.
05 Dec 24
459
Banjir Terengganu : 1,245 Kes Penyakit Berjangkit Dikesan di PPS
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Sebanyak 1,245 kes penyakit berjangkit telah berjaya dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dalam musim banjir kali ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jangkitan saluran pernafasan mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 969 kes, diikuti oleh jangkitan kulit sebanyak 166 kes.
"Jangkitan demam pula ialah sebanyak 63 kes manakala keradangan perut dan usus pula ialah sebanyak 47 kes.
"Selain itu ada beberapa kes lagi jangkitan keradangan mata namun kita lega kerana tiada sebarang jangkitan kes penyakit serius atau wabak dilaporkan berlaku setakat ini," katanya.
Walau bagaimanapun beliau tetap mengingatkan orang ramai termasuk penghuni PPS supaya mengamalkan langkah-langkah kebersihan dan keselamatan bagi mengelak dijangkiti penyakit pada musim banjir.
Dr Kasemani juga berkata, sebanyak 19 fasiliti kesihatan termasuk klinik kesihatan dan hospital terjejas disebabkan banjir."19 fasiliti ini ada yang terputus hubungan dan ada yang dimasuki air. Fasiliti yang dimasuki air ini kita pindahkan perkhidmatan mereka ke fasiliti mereka ke tempat lebih selamat.
"Yang terputus hubungan ini dari awal kita telah pindahkan perkhidmatan ke fasiliti lain yang boleh dihubungi atau diakses penduduk.
"Pesakit-pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis dan wanita sarat mengandung di kawasan berisiko, pihak kami sarankan supaya berpindah lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diiingini," katanya.
05 Dec 24
348
Mercato Lancar CSR, Bantu Mangsa Banjir Yang Terkesan
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Pasar raya premium pertama di Pantai Timur yang kini beroperasi di Mayang Mall telah melancarkan program Banjir, Beli & Bantu dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu mangsa banjir di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail, Tiger Cheah berkata Mercato sebuah destinasi yang bukan sahaja menawarkan kualiti terbaik tetapi juga menjadi simbol harapan dan kebersamaan.
Menurutnya, berbekalkan semangat itu, pihaknya akan bekerjasama dengan organisasi tempatan untuk membantu mereka yang memerlukan kerana kami percaya setiap komuniti perlu bangkit bersama.
"Kami sedar bahawa kebelakangan ini, banyak keluarga di kawasan ini terkesan akibat banjir. Hati kami bersama anda, dan kami ingin menegaskan bahawa Mercato hadir di sini bukan sekadar untuk menjalankan perniagaan, tetapi juga untuk menyokong komuniti yang kami anggap sebagai sekeluarga.
“Oleh itu, pelanggan yang datang membeli belah di Mercato digalakkan menyokong usaha ini dengan membeli barangan keperluan pada harga diskaun atau menyumbang secara tunai,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan pelancaran outlet mereka di Mayang Mall di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, semua sumbangan akan disalurkan kepada keluarga yang terjejas dalam tempoh yang mencabar ini melalui Yayasan Kebajikan Negara.
Mercato Mayang Mall yang mempunyai keluasan lebih 30,000 kaki persegi menjadi destinasi membeli-belah bertaraf antarabangsa di tengah-tengah Terengganu turut menawarkan pelbagai pilihan produk segar, barangan tempatan, serta produk premium antarabangsa untuk memenuhi keperluan keluarga.
Tambah Tiger Cheah, terdapat pelbagai pilihan yang menawarkan gabungan unik perkhidmatan dan produk premium yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan penduduk Kuala Terengganu dan pantai timur khususnya.
“Kita menawarkan produk segar dan import, pilihan sedia dimakan, perkhidmatan tambahan seperti penghantaran percuma untuk pembelian melebihi RM300 dalam radius lima kilometer,” katanya.
Sementara itu, Pengarah YKN, Zahimi Mohamad berkata Mercato menjadi pasaraya pertama yang menyumbang bantuan banjir kepada mangsa yang memerlukan melalui kolaborasi bersama YKN Zon Timur.
“Tepat pada waktunya usaha yang dilakukan oleh Mercato tanpa desakan mana-mana pihakm untuk membantu mereka yang memerlukannya.
“Jadi kepada semua warga Terengganu, sama-sama lah kita membantu setiap sen yang dibelanjakan di Mercato, yang anda dermakan ini akan memberi barakah pada masa akan datang,”katanya.
05 Dec 24
783
Banjir: Bomba Terengganu Siap Sedia Hadapi Gelombang Kedua
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersiap siaga menghadapi risiko gelombang kedua banjir yang mungkin melanda negeri ini, dengan segala aset diperlukan dengan kekuatan kira-kira 900 orang termasuk pegawai dan anggota.
Pengarahnya, Nor Mahathir Muhammad berkata segala keperluan termasuk logistik dan sumber manusia telah disusun bagi memastikan kelancaran operasi pemindahan, menyelamat dan penghantaran bantuan.
"Banjir gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula 8 hingga 12 Dis ini. Terengganu dijangka menerima beberapa siri hujan lebat dalam tempoh itu.
"Dari segi persiapan kita mempunyai 624 anggota tetap dan dibantu lebih 200 bomba sukarela. Kekuatan aset kita telah tingkatkan yang mana kita dapat bantuan dari pengkalan hadapan Wakaf Tapai," katanya selepas menghadiri Majlis Perbarisan Kehormat Pengarah JBPM Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Berdasarkan analisis model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula petang hari Selasa sehingga awal pagi Rabu.
METMalaysia semalam menjangkakan luruan monsun berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan peka dengan perubahan cuaca serta peningkatan air di kawasan masing-masing.
04 Dec 24
624
Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Hukuman Sebat Pesalah Khalwat
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Hukuman sebatan syariah di luar penjara terhadap pesalah khalwat berulang yang dijadualkan pada 6 Disember ini ditangguhkan kepada suatu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu memutuskan untuk menggantung sementara pelaksanaan perintah itu susulan Permohonan Semakan telah difailkan oleh satu pihak kepada Mahkamah Rayuan Syariah, semalam.
Oleh yang demikian katanya, perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut adalah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
Jelasnya, Permohonan Semakan merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman dan beliau menegaskan keputusan untuk menggantung sementara hukuman berkenaan bukan disebabkan desakan daripada mana-mana pihak.
“Justeru, orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
“Saya ingin menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah dan yang pasti hukuman tetap berjalan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media berkait hukuman sebat di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, hukuman sebatan tersebut merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir yang bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu yang lain.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan enam hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah iaitu di sebuah masjid (Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu) pada 6 Disember ini selepas solat Jumaat.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail.
Sabitan hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada pengakuan salah oleh OKT itu sendiri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
04 Dec 24
501
Jumlah Mangsa Banjir Terengganu Semakin Menurun
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Situasi banjir di Terengganu semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini terus berkurangan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan, setakat pukul 12 tengahari ini jumlah mangsa banjir di tujuh daerah mencatatkan 13,256 orang daripada 3,324 keluarga yang masih berlindung di 54 PPS.
Katanya, Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa paling tinggi, iaitu sebanyak 6,415 orang daripada 1,681 keluarga yang berada di 15 PPS, manakala di daerah Dungun mencatatkan 4,215 mangsa (1,023 keluarga) yang masih berada di 20 PPS.
Di daerah Kuala Terengganu pula, sejumlah 2,115 mangsa (504 keluarga) berlindung di lapan PPS sementara di daerah Hulu Terengganu, 163 mangsa (44 keluarga) ditempatkan di tiga PPS.
Bagi daerah Marang, seramai 186 mangsa (43 keluarga) berada di tiga PPS manakala di daerah Setiu, 158 mangsa (28 keluarga) di empat PPS diikuti 4 mangsa daripada sebuah keluarga masih berada di sebuah PPS di daerah Kemaman.
Selain itu menurut JPBNT, kesemua mangsa banjir di Besut telah pulang ke kediaman masing-masing selepas air surut berikutan cuaca cerah sejak semalam.
04 Dec 24
158
Pasca Banjir: NGO Giat Turun Padang, Bantu Bersihkan Rumah Rakyat Terjejas
HULU TERENGGANU, 3 Disember - Prihatin dengan musibah banjir yang menimpa penduduk di Daerah Hulu Terengganu, Badan Bukan Kerajaan (NGO), PAS Kuala Terengganu dan beberapa agensi turun padang membantu membersihkan rumah penduduk terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa penerangan,Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kita datang untuk memberi khidmat masyarakat kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN)Ajil.
"Kita bergerak dibawah payung Khidmat Malaysia dan memandangkan Negeri Terengganu salah sebuah negeri yang agak teruk terlibat dengan banjir kali ini, kita membahagi kepada beberapa pasukan untuk bergerak ke kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir.
"Bagi kawasan Kuala Terengganu, kita diarahkan untuk membantu DUN Ajil dan pada hari ini kita telah membahagikan petugas petugas bagi membersihkan dua buah masjid dan sepuluh buah rumah dalam kampung Kua dan Pengkalan Ajal," ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu menjelaskan, 100 orang sukarelawan terlibat dalam operasi kali ini yang melibatkan empat DUN di kawasan Kuala Terengganu.
"Selain di DUN Ajil,semua kawasan yang terjejas banjir seperti di Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman kita akan turun," katanya lagi.
Tambah beliau, misi membersihkan kediaman penduduk kebanyakkan bermula hari ini.
"Bila berlaku bencana banjir ini kita ada tiga fasa. Fasa pertama sebelum banjir, fasa kedua semasa banjir dan fasa ketiga selepas banjir," ujarnya.
03 Dec 24
123