lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Syukur,Tiga Projek Baharu Atasi Banjir Lulus Di Kuala Besut - Azbi
Syukur,Tiga Projek Baharu Atasi Banjir Lulus Di Kuala Besut - Azbi
BESUT, 3 Disember - Sebanyak tiga projek baharu yang dipohon kepada Menteri Kerjaya Raya, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi telah diluluskan serta merta. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh Salleh berkata, pihaknya sebelum telah memohon kepada  Menteri Kerja Raya itu semasa beliau hadir melakukan tinjaun Projek Tiub Tebatan Banjir baru-baru ini. "Tiga projek itu ialah membesarkan longkang di sekitar Kem Tentera Udara DiRaja Malaysia Gong Kedak, pembinaan longkang baru di sempadan Pachakan dan yang terakhir pembinaan longkang daripada Masjid Kayu Jerteh ke Kampung Pusu Tinggi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini. Dalam pada itu, Azbi merakamkan jutaan terima kasih kepada Elexender  yang telah sudi meluluskan projek terbabit serta merta bagi memastikan masalah banjir di Dun Kuala Besut dapat dikurangkan.
02 Dec 24
311
JPNT Urus Penghantaran 261 Calon SPM Ke Pusat Peperiksaan Alternatif
JPNT Urus Penghantaran 261 Calon SPM Ke Pusat Peperiksaan Alternatif
KUALA TERENGGANU, - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil inisiatif untuk menguruskan penghantaran 261 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir ke pusat peperiksaan alternatif. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, proses penghantaran semua pelajar terlibat berjalan lancar pagi ini. Katanya, semua perancangan rapi telah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung untuk memastikan keselesaan calon SPM. "Cuaca juga agak baik dan saya dimaklumkan proses penghantaran semua calon SPM ke pusat peperiksaan alternatif berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi terlibat yang turut membantu memudahkan proses penghantaran pelajar. "Terima kasih jabatan ucapkan kepada semua pihak terutama Majlis Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta Pejabat Pendidikan Daerah yang menyelia urusan pengangkutan pagi ini," katanya. Terdahulu, beliau juga telah meninjau proses penghantaran 16 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting ke pusat peperiksaan alternatif awal pagi tadi. "Alhamdulillah semuanya nampak ceria dan semangat untuk menghadiri ujian pertuturan Bahasa Melayu yang diadakan di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin pagi ini. Difahamkan, seramai 1,734 calon SPM dari 20 buah sekolah di enam daerah di Terengganu telah dikenalpasti terjejas akibat bencana itu.  
02 Dec 24
123
Kebajikan Pesakit Tidak Terabai Di Musim Banjir
Kebajikan Pesakit Tidak Terabai Di Musim Banjir
Oleh : Abay Cik MARANG, 2 Disember  - Bagi memastikan kebajikan pesakit tidak terabai walau berhadapan situasi banjir, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong telah mengadakan misi menyampaikan bantuan dan menghantar barangan keperluan. Pembantu Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payong, Kamanordin Md Jusoh berkata, pasukan dari pusat khidmat turun ke lapangan bersama Penghulu Mukim, Zafiri Ahmad Zaki membantu menyampaikan barangan keperluan daripada Tabung Darul Iman (TDI). Ujarnya, antara barangan yang disampaikan seperti lampin pakai buang dan susu khas untuk pesakit. "Kami berusaha untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran kesihatan dan bencana. "Misi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami dalam membantu komuniti setempat," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyertai misi menghantar bantuan kepada pesakit, di sini, semalam. Dalam pada itu katanya, misi yang dijalankan tersebut turut menyasarkan rumah-rumah penduduk yang terkesan banjir. Seorang penduduk, Zakaria Mohamad berkata telah menjadi lumrah berhadapan situasi itu saban tahun setiap kali menjelangnya musim tengkujuh. "Tetapi banjir pada tahun ini tidak sebesar sebagaimana yang terjadi pada beberapa tahun lepas," katanya.  
02 Dec 24
87
Pendapatan Suku Ketiga TDM Naik 10 Peratus
Pendapatan Suku Ketiga TDM Naik 10 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - TDM Berhad mengumumkan keputusan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 meningkat sebanyak 10 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. Menurut satu kenyataan, kejayaan itu didorong oleh peningkatan pendapatan daripada Bahagian Perladangan sebanyak RM13.4 juta dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM3 juta. Sementara itu, Kumpulan mencatatkan Kerugian Sebelum Cukai ("LBT") sebanyak RM6.4 juta pada suku ini, berbanding Keuntungan Sebelum Cukai ("PBT") sebanyak RM17.8 juta pada suku yang sama tahun lalu. Katanya, EBITDA Kumpulan turut menurun sebanyak 58 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. "Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, dengan sumbangan peningkatan daripada Bahagian Perladangan sebanyak RM27.6 juta dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM18.3 juta.  "Kumpulan mencatatkan LBT sebanyak RM18.2 juta bagi tempoh tersebut, berbanding LBT sebanyak RM9.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.  "Selain itu, EBITDA Kumpulan turut menurun sebanyak 16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya," ujar kenyataan tersebut. Sementara itu, Bahagian Penjagaan Kesihatan Bahagian Penjagaan Kesihatan terus menunjukkan prestasi kukuh dengan peningkatan hasil sebanyak tiga peratus kepada RM92.1 juta bagi suku ini. "Ia dipacu oleh peningkatan purata hasil per pesakit dalam sebanyak 8 peratus. "Namun, jumlah pesakit dalam menurun sebanyak empat peratus, jumlah pesakit luar menurun sembilan peratus, dan kadar penggunaan katil menurun lima peratus berbanding suku sebelumnya," ujarnya. Justeru itu, Kumpulan  mempertingkatkan program titik sentuh pelanggan untuk mencapai penjagaan pesakit yang  cemerlang dan hasil berasaskan nilai.  
02 Dec 24
175
Banjir: Peniaga Diharap Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga
Banjir: Peniaga Diharap Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga
KUALA TERENGGANU, 2 Disember- Kerajaan memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barangan keperluan asas terutamanya ketika musim tengkujuh yang masih melanda Terengganu ketika ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dalam mengawasi dan memantau harga barangan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan daripada situasi banjir. "Tindakan undang-undang akan diambil jika didapati ada peniaga yang berbuat demikian (naikkan harga barangan).  “Buat masa ini kami masih belum menerima apa-apa laporan kenaikan harga,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Peserta usahawan Belia Sejahtera (U-BES) 3.0 Dan 4.0 di Hotel Grand Puteri, semalam. Mengulas lanjut katanya, pihak KPDN mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan sama ada peniaga melanggar skim harga atau sebaliknya. “Mereka sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang musim banjir ini. “Justeru, kita mengharapkan tidak ada peniaga termasuk di kedai-kedai runcit dan yang menjual barangan basah mengambil kesempatan menaikkan harga atau sorok barang,” katanya. Beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan terus kepada pihak KPDN sekiranya terdapat peniaga yang menaikan harga barangan keperluan asas di mana-mana kawasan supaya mereka dapat menghantar pasukan melakukan siasatan dan pemeriksaan.  
02 Dec 24
119
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
SETIU, 1 Disember – Pengisytiharan darurat bencana banjir tidak diperlukan buat masa ini, meskipun lebih 150,000 mangsa terjejas di 10 negeri. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi banjir masih berada dalam kawalan dengan seluruh agensi keselamatan dan jentera kerajaan berfungsi dengan baik. “Berdasarkan laporan Pasukan Keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), darurat tidak perlu diisytiharkan.  “Jentera keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi kerajaan Persekutuan, Negeri, dan Daerah, berjaya menguruskan situasi dengan cekap,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini. Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu; Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir Anwar turut memuji keberkesanan operasi pasukan keselamatan yang telah bertungkus-lumus memastikan keselamatan mangsa banjir dan kelancaran proses pemindahan. “Semua pihak telah menunjukkan kerjasama luar biasa.  “Kesungguhan dan komitmen mereka jelas membantu mengawal situasi tanpa memerlukan pengisytiharan darurat,” tambahnya.
01 Dec 24
257
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
SETIU, 1 Disember – Kampung Telaga Papan dilanda tragedi meruntun hati apabila beberapa bot termasuk bot gentian kaca milik nelayan tempatan dihanyutkan ombak besar hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta. Seorang pemilik bot yang terkesan dengan kejadian itu, Jamaludin Mohamad, 57, berkata tragedi itu dipercayai berpunca daripada tekanan air banjir dan ombak besar yang menyebabkan tebing pecah pada tengah malam tadi. “Saya hanya tahu tentang musibah ini pada awal pagi tadi selepas dimaklumkan oleh adik saya, yang juga tekong bot.  “Beliau menyedari kejadian itu sekitar jam 6 pagi ketika rutin harian untuk memeriksa bot,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pesisir pantai Kg Telaga Papan, di sini hari ini. Tambah Jamaludin, sebaik tiba di jeti yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai, dia terkejut dan sedih apabila melihat semua bot milik nelayan kampung telah hilang.  “Tali pengikat bot-bot itu putus, menyebabkan semuanya dihanyutkan ombak.  “Saya terus ke pantai, dan apa yang saya lihat amat memilukan, bot-bot bersepah-sepah seperti sampah yang dibawa arus,” katanya. Jamaludin, yang memiliki dua bot kelas A, satu bot kelas B, dan beberapa bot gentian kaca, menganggarkan kerugiannya lebih daripada RM200,000. Meskipun begitu, dia merasa sedikit lega kerana kesemua bot yang hanyut berjaya diselamatkan.  “Semua bot dapat diselamatkan, tetapi kebanyakan daripadanya perlu dibaiki.  “Apabila bot keluar dari muka kuala, ia berlanggar dengan ombak besar yang menyebabkan bahagian bot banyak yang pecah dan rekahan berlaku.  “Mungkin, proses membaikinya akan memakan masa hampir setahun, kos membaikinya sangat tinggi dan memerlukan kerja yang amat memakan masa,” jelas beliau dengan kesedihan terbayang di wajahnya. Seorang lagi mangsa, Khairul Hassan Mohamad, 54, turut berkongsi kisahnya dengan penuh kesedihan.  “Air malam tadi sangat besar, dengan ombak setinggi 2.7 meter.  “Bot-bot yang berjaya diselamatkan selepas tersadai di pantai pun banyak yang rosak teruk, terutama pada badan dan enjin.  “Sebuah bot saya hancur sepenuhnya, dan kos untuk membaikinya sangat tinggi. Ia akan mengambil masa yang panjang untuk dibaiki,” luahnya.  
01 Dec 24
263
Tebing Runtuh Ancam Kediaman Satu Keluarga di Kuala Berang
Tebing Runtuh Ancam Kediaman Satu Keluarga di Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 1 Disember - Sebuah kediaman di Taman Dato Haji Abdul Rahman dekat sini berhadapan risiko bahaya susulan kejadian tanah mendap dan tebing runtuh yang berlaku selepas hujan lebat petang semalam. Kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku sekitar jam 1 hingga 3 pagi itu turut merebahkan tangki air milik penghuni yang terletak di tebing alur sungai berkenaan. Menurut Muhammad Saufi Hashim, 38,  kejadian ini kali pertama berlaku, berkemungkinan berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu. Menurutnya, ketika kejadian, dia sekeluarga langsung tidak menyedarinya dan hanya tahu pada waktu pagi. "Tiba waktu pagi, kakak saya bersungut bekalan air terputus dan menaruh syak tangki bocor. "Saya pun keluar nak periksa dan terkejut tengok keadaan yang mana tangki air dah terjunam dalam alur tersebut beserta peralatan kerjanya," ujarnya ketika ditemui. Namun bapa kepada empat anak itu bersyukur kejadian tanah runtuh yang berlaku bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau sebarang kecederaan. Justeru itu, dia membuat keputusan berpindah  rumah demi keselamatan mereka sekeluarga kerana masih berlaku pergerakan tanah yang menyebabkan rumahnya berisiko runtuh. Sementara itu, kejadian tersebut telah mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan agensi-agensi berkaitan yang telah turun ke lokasi berkenaan petang tadi.  
01 Dec 24
1770
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
SETIU, 1 Disember – Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM25 juta, bagi bencana banjir untuk Terengganu dan Kelantan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu adalah tambahan kepada RM50 juta yang telah diluluskan sebelum ini melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). “Kita akan beri kerjasama penuh dan bantuan menyeluruh untuk Kelantan dan Terengganu. “Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, RM50 juta telah diluluskan. Namun, selepas menilai keperluan terkini dan mendapati jumlah mangsa terjejas lebih besar daripada jangkaan awal,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini. Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Menurut Menteri Kewangan itu, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya, pembentung dan menaikkan aras jalan di kawasan Hulu Besut yang terjejas teruk akibat banjir.  “Selain itu, kerja-kerja pembersihan, termasuk tandas-tandas sekolah, turut dimasukkan dalam peruntukan tambahan. “Kerja-kerja pembersihan ini penting supaya sekolah dapat beroperasi semula tanpa gangguan,” tambah beliau. Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa negeri-negeri lain yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan berdasarkan keperluan masing-masing. “Kita sedang pantau keadaan di negeri-negeri lain.  “Saya jangka keseluruhan bantuan banjir di seluruh negara kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” ujarnya.
01 Dec 24
254
Pelajar Tetap Semangat Hadir Kem Motivasi Walau Berhadapan Banjir
Pelajar Tetap Semangat Hadir Kem Motivasi Walau Berhadapan Banjir
Oleh : Syahida Mohd KUALA NERUS, 30 November - Berhadapan situasi banjir tidak mematahkan semangat calon Sijil pelajaran Malaysia (SPM) untuk menghadiri Kem Motivasi Pecutan Akhir yang diadakan semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program berkenaan merupakan kemuncak akhir setelah Tuisyen Rakyat diadakan sebelum ini bagi memastikan kesemua pelajar yang akan menduduki peperiksaan bakal memperolehi keputusan cemerlang. "SPM ini adalah langkah pertama kita nak pergi ke peringkat lebih atas, dan kuncinya ada di situ (SPM). "Jadi anak-anak perlu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kunci kejayaan ini dalam SPM," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas menghadiri program berkenaan, yang diadakan di Al-Riyadah Residen Gong Badak,di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abas, Amir Husin Ali, Ketua Sektor Akademik dan Ketua Sektor Akademik Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Nor Afendi Mahyiddin. Dalam pada itu Hishamuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap pendidikan anak-anak Terengganu kerana itu diperkenalkan Tuisyen Rakyat. Sementara itu, sebanyak empat buah sekolah di DUN berkenaan iaitu Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), SMK Bukit Guntong, SMK Kompleks Gong Badak  dan SMK Dato' Haji Abas telah menerima sumbangan kewangan dan Kit Peperiksaan SPM. Menurut Hishamuddin sumbangan itu diberikan sebagai galakan untuk mengadakan tuisyen. "Kita bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mereka adakan tusiyen di sekolah masing-masing dan kita salurkan terus sumbangan kepada pihak sekolah," ujarnya.  
01 Dec 24
171